Showing posts with label Mobu. Show all posts
Showing posts with label Mobu. Show all posts

Thursday, 28 December 2017

BUNUH DIRI ATAU...??? - Mobu


BUNUH DIRI ATAU...???
Karya : MOBU

Sememangnya menjadi kebiasaan pada malam minggu bagi warga muda-mudi di bandar kecil itu untuk melepak. Berpeleseran di kaki-kaki lima, di bahu-bahu jalan. Langsung tak diendah cemuhan masyarakat.

Bandar itu mati sebaik menjelang malam tapi dihidupkan kembali dengan hiruk pikuk kaki lepak ini. ‘Port’ lepak yang menjadi kegemaran mereka di dataran berhadapan dengan terminal bas. Begitu juga Ashraf dan kawan-kawannya.

Aktiviti melepak anak-anak bermasalah ini kebanyakan dihabiskan dengan aktiviti yang kurang menyenangkan pandangan, apatah lagi kesihatan. Pergaulan bebas, minuman memabukkan, dadah, gam sudah menjadi pemandangan yang biasa dan menjelikkan di mata orang ramai sebaik matahari melabuhkan tirai.

Mereka sangat berani beraksi secara terbuka walaupun sudah beberapa kali dihalau dan ditangkap oleh pihak berkuasa. Tapi sedikit pun tidak melurutkan jati diri mereka sebagai sampah masyarakat yang berjaya.

Tapi tidak bagi Ash dan teman-temannya. Walaupun mereka ‘sebumbung’ tapi Ash lebih suka menghabiskan masa melepak dengan bermain gitar dan menyanyi. Ash sedikit pun tidak memperlekehkan kelakuan mereka yang lain, masih boleh berbual dan bergurau senda. Ash, Ijan, Syirhan dan Wan sudah digelar empat serangkai. Ke mana-mana sahaja mereka pergi mesti berempat, utuh ikatan persahabatan mereka.

Dalam kalangan mereka berempat, Ash lebih dihormati kerana usianya lebih tua. Suka berjenaka dan selalu membuat sesuatu yang bakal menggelikan hati sesiapa sahaja yang berdamping dengannya. Sikap yang ‘sporting’disenangi teman-teman yang lain.

Bersebelahan dengan dataran yang menjadi ‘port’ lepak terletaknya bekas tapak pembinaan bangunan yang telah menjadi tempat takungan air. Telah lama bekas pembinaan yang dahulunya hendak didirikan sebuah sekolah dibiarkan. Disebabkan lokasinya di tengah-tengah bandar, pembinaan terpaksa dihentikan bagi megelakkan kesesakan lalu lintas di kemudian hari. Takungan air itu tidak pernah kering sehingga sekarang. Sekelilingnya dipagarkan dan tidak ada sesiapa yang dibenarkan menceroboh.

Sesiapa yang tinggal berhampiran pasti tahu benar akan kejadian-kejadian ngeri yang sering berlaku di tapak pembinaan tersebut. Kejadian bunuh diri, penampakan wanita berjalan di atas permukaan air, rengekan dan tangisan serta macam-macam lagi kejadian mistik yang menjadi bahan bualan penduduk setempat.

Berbalik kepada Ash. Semenjak dua menjak kelakuan Ash agak berlainan. Tidak seperti dia yang sebelum ini, sering bergurau, bergelak ketawa, mengusik. Ash menjadi lebih pendiam dan suka termenung.

Ijan, Syirhan dan Wan tahu akan masalah keluarga yang dihadapi oleh Ash. Tidak mereka persoalkan, cuma kelakuan Ash tidak menyenangkan mereka kerana ini pertama kali Ash berperlakuan begitu.

Lagu-lagu yang dimainkan semuanya berunsurkan perpisahan. Memetik gitar juga sudah tidak serancak sebelum ini. Kebanyak masa dihabiskan termenung dan memandang tapak pembinaan. Seperti punya sesuatu difikirannya yang hanya dia ketahuan. Kawan-kawannya yang lain hanya memikirkan itu cuma masalah keluarga, tiada apa yang perlu dibimbangkan.

Hari berganti hari, Ash masih begitu. Membingungkan Ijan selaku teman baik dan jiran Ash. Bila ditanya, hanya gelengan dan senyuman diberikan. Mereka bertiga mula mencari punca. Dilihat hubungan ibu dan ayahnya semakin baik, apa pula yang mengganggu fikiran pemuda itu.

Semakin hari semakin sedikit perkataan yang keluar dari mulutnya. Soalan kawan-kawan lebih banyak dijawab dengan isyarat geleng dan angguk sahaja.

Ucapan yang sering dinyatakan oleh Ashraf ke belakangan ini ialah “Aku haus”. Apabila disuakan botol air, Ash hanya menggelangkan kepala. Tapi sering kedangaran kenyataan itu dari Ash.

Pandangannya ke arah tapak pembinaan itu tak penah lekang. Setiap kali melepak, seperti sengaja menghadapkan badannya ke tapak pembinaan tersebut. Setiap kali melintasi tapak tersebut, pasti matanya tidak jemu memandang. Seperti dilihat sesuatu di kawasan tersebut.

Sehinggalah pada suatu malam yang memilukan menjadi jawapan bagi persoalan-persoalan mereka selama ini.

Makin kerap “aku haus” Ash ucapkan. Dia mundar-mandir di depan kawan-kawannya. Sudah beberapa kotak rokok dihabiskan dalam tempoh masa beberapa jam sahaja. Bila ditanya, kesunyian sahaja yang dibalas.

Beberapa minit sebelum kejadian menyayat hati berlaku, Ash menyatakan hasrat untuk menemui seseorang yang telah lama ingin berjumpa dengannya.

Apabila ditanyakan siapa dan dimana, jarinya ditudingkan ke tapak pembinaan yang telah menjadi takungan air itu. Ijan beranggap itu hanya gurauan Ashraf. Sedikit pun tidak diambil serius. Namun tanpa diketahui ianya bakal menjadi suatu kesalan buat Ijan.

Dalam mereka rancak berbual, sekali lagi dan buat kali terakhir, Ash menyuarakan yang dia haus dan nak sangat berjumpa dengan orang yang dimaksudkan sebentar tadi. Tapi ternyata tiada siapa yang peduli sehinggalah ketiadaan Ash disedari Syirhan beberapa minit kemudian.

Kekalutan berlaku sebaik ada yang melihat Ash sudah berada di tebing tapak takungan air tersebut. Di dalam kawasan pagar yang berkunci. Bagaimana Ashraf boleh masuk?

Suasana menjadi cemas. Ijan, Syirhan dan Wan bergegas berlari mendapatkan Ashraf. Diikuti yang lain diiringi jeritan yang membingit minta Ash tidak membuat sesuatu yang bodoh.

Tetapi ternyata usaha mereka sia-sia. Ash nekad terjun ke takungan tersebut. Ijan yang masih berlari melihat Ash terkapai-kapai. Semakin tenggelam. Nama Ash sahaja yang mampu dijeritkan ketika itu.

Sekarang mereka yang berlari tadi betul-betul di balik pagar besi tu. Pagar itu kukuh, tiada tanda-tanda pencerobohan, tapi bagaimana Ash masuk ke dalam. Ijan mula memanjat pagar tersebut dan terus terjun ke dalam air untuk menyelamatkan Ash.

Ternyata tiada apa yang mampu dilakukan. Usahanya sia-sia. Beberapa kali takungan itu diselami orang yang berbeza. Ijan hampir putus asa. Dia duduk ditebing memandang ke takungan dengan pandangan yang kosong. Kekesalan mula menyelubungi, air mata mula mengalir.

Tidak lama kemudian, pihak polis dan bomba tiba diikuti van ambulans. Kawasan kejadian mula sesak dikerumuni oleh orang ramai. Semua yang ada di minta tidak melepasi tape kuning yang dipasang. Operasi mencari dimulai oleh pihak berkuasa.

Mereka bertiga berpandangan dan kemudian termenung panjang. Selepas mendapat panggilan telefon dari Ijan, keluarga Ash bergegas datang. Tiada apa yang mampu diucapkan kecuali teriakan dan juraian air mata.

Selepas beberapa jam, keruman orang ramai makin menyurut. Ijan, Syirhan, Wan dan ahli keluarga Ash masih setia menanti bersama harapan agar Ash masih bernafas. Disebabkan kawasan takungan itu dalam dan gelap, kerja pencarian menjadi sukar. Setelah memakan masa beberapa jam, akhirnya pencarian menemui kejayaan. Tetapi kejayaan mengundang kepiluan.

Ash disahkan meninggal dunia di tempat kejadian. Kematiannya diklasifikasikan sebagai bunuh diri. Tetapi kenyataan sebenarnya masih misteri dan hanya diketahui teman-teman rapat Ash dan ahli keluarganya.

Ternyata takungan itu telah memakan banyak korban manusia dan cerita mistiknya masih menjadi bualan sehingga kini.

**Sama-samalah kita sedekahkan bacaan al-Fatihah kepada kawan baik saya. Semoga rohnya dicucuri rahmat Allah.

-TAMAT-
Karya : MOBU

Suntingan Gambar : DeeFen DF
Karya merupakan hakcipta penulis dan Arkib Angker Negara.
Anda ada kisah seram, misteri, thriller ataupun mind-blowing?
Ayuh kongsikan kisah anda kepada kami. Hantar kisah anda ke e-mel aanrc2017@gmail.com
Nyatakan sekali nama akaun Facebook, Instagram, Twitter, blog atau webpage anda untuk tujuan pengkreditan.

Monday, 11 December 2017

TEMAN SEMINGGU - Mobu


TEMAN SEMINGGU
Karya Oleh : Mobu

======================
Aku bekerja sebagai Pembantu Akauntan di sebuah syarikat swasta. Aku menyewa bersama Sarah, rakan sepejabatku di sebuah apartment tingkat 9.
Kami agak rapat, walaupun jarang dapat meluang masa bersama. Aku seringkali menjadi sumber rujukan dan tempat untuk dia berkongsi masalah.
Waktu bekerja kami sama, tapi aku sering mengambil 'overtime' di tempat kerja.Manakala, Sarah lebih cenderung mengambil 'overtime' bersama buah hatinya. Waktu bersua kami, hanyalah pada awal pagi dan petang sebaik habis waktu bekerja.
Jika malam minggu Sarah tiada dirumah, aku akan habiskan masa melepak bersama kawan-kawan aku yang lain.
===================================

Aku dimaklumkan Sarah, bahawa dia akan mengambil cuti selama seminggu bermula hari sabtu ini. Katanya, ingin bercuti ke Bali, Indonesia. Wah seronoknya dapat bercuti ke sana ke mari. Aku, asal cuti je terperap dirumah. Sekali-sekala je keluar melepak.
Sabtu.
Ketiadaan Sarah di rumah, maka aku mengambil keputusan untuk melepak dengan kawan-kawanku. Alah, bukan kemana pun. Melepak kedai mamak je. Borak santai.
12.30 Tengah malam.
Aku tiba di rumah. Aku meluru masuk ke bilik. Terasa badanku berlengas. Tidak selesa. Aku capai tuala dan terus masuk ke kamar mandi.
Usai mandi dan mengenakan pakaian tidur, aku keluar dari bilik. Hajat untuk berehat sebentar di ruang tamu. Terkuak sahaja pintu, mataku terpaku.
Allah! Rasa nak tercabut jantung.Dihadapanku, ada sesusuk tubuh yang sedang duduk diatas sofa. Dia membelakangkan aku.
Dadaku berdebar. Lututku juga menggeletar spontan. Cuak.Aku masih tidak berganjak di hadapan pintu bilik. Susuk tubuh itu juga masih kekal dengan posisinya. Dadaku turun naik, cuba menyelaras nafas yang kian berombak.
"Ehemm..."
Terangkat bahuku, terperanjat. Susuk itu berdehem. Nadanya, seperti biasa kedengaran. Tidak semena-mena, dia bangkit dari duduknya.
Tetapi masih dalam posisi membelakangkan aku. Berdiri tegak. Dadaku kembali diserang debar. Namun, mataku tidak kularikan dari menatap terus susuk tubuhnya.
Aku amati baju yang tersarung ditubuhnya.
"Eikkk, macam kenal je baju ni." Monologku dalam hati.
Ya. Itu memang baju Sarah, tidak syak lagi. Rasa debar yang membuak seawal tadi, beransur hilang.Dengan yakin, aku melangkah mendekatinya.
Tuala kecil yang membaluti kepala, aku tarik. Terurai rambutku yang masih basah. Aku, kini menghadapnya.
"Sarah?"
"Ya!"
"Ehhh.Bukan flight kau petang tadi ke? Kenapa kau kat sini lagi?"
"Tak jadi pergi!"Sugul wajahnya.
"Ermm.Pulak! Tak lain tak bukan, gaduh lagi lah tu kan?"
Sarah tidak menjawab, malah dia menundukkan muka.
Erm. Memang sah gaduh. Getus hatiku. Malas mahu melayan mood puting beliung Sarah. Lebih baik aku masuk tidur.
Sebelum beransur, aku turut memesan kepada Sarah untuk tidur juga. Dah lewat malam. Emosi, kalau dilayan terus menerus, memang tidak akan pernah habis.
Sebaik sahaja aku berpaling untuk menutup pintu bilik, jantung aku sekali lagi tersentak. Aduh, dah kenapa kau ni? Sarah, tercegat di depan pintu bilik aku!
"Aku tidur dengan kau malam ni boleh?"
Aku angguk. Dah jadi kebiasaan. Kalau Sarah bergaduh dengan Naim, akulah peneman makan dan tidurnya. Cuma aku sedikit pelik.Sarah tak banyak bercakap pula kali ini.
Selalunya, mulut dia macam bertih jagung. Pot pet pot pet, tak pandai diam. Tak sah kalau tak berbakul-bakul sumpah seranah dia pada Naim.
Lazimnya, aku yang akan merayu pada dia agar berhenti dan sambung esoknya. Tapi, malam ni mulut Sarah berat. Ermm. Tak apalah, mungkin Sarah penat barangkali.
Sarah, baring di sebelahku. Aku dan dia hanya diam. Akhirnya, tak sedar kami hanyut ketiduran.
Ahad.
Aktiviti aku di hujung minggu berjalan seperti biasa. Mengemas, menonton televisyen, makan dan tidur. Sarah? Pagi-pagi dah lesap. Aku bangkit dari tidur, dia memang dah tak ada di sebelah. Jumpa Naim lah tu!
11.00 malam.
Kedengaran, pintu rumah diketuk beberapa kali. Keras ketukannya. Aku bangkit dari duduk, bergegas untuk membuka pintu. Daun pintu di kuak. Kelihatan, Sarah tercegat dengan wajah yang sugul. Aduhh, tak habis-habis. Main emosi lagi, kan dah jiwa kacau.
"Kunci kau mana?"
Diam. Tiada jawapan dari Sarah.
"Kau dah makan?"
Angguk.
Sarah meluru masuk ke bilik. Eikk, bilik aku? Ermm, tak apa lah. Ada juga aku teman.
================
Khamis.
Sudah 5 malam, Sarah buat hal. Baliknya lewat, keluarnya awal pagi. Bila ditanya, diam. Bila diasak dengan soalan dia menangis. Kesudahannya, aku pun malas nak tanya apa-apa lagi. Janji Sarah balik. Aku tahu, dia pun bosan duduk di rumah. Cuti seminggu kan. Takkan dia nak terperuk dirumah sahaja.
6.00 petang.
Menjadi kebiasaan, aku akan beli bungkus makanan siap-siap sebelum pulang ke rumah.Aku seorang je yang makan. Sarah?Memang payahlah nak tengok dia makan di rumah apatah lagi nak masak.
Aku menuju ke ruangan parkir kereta di belakang pejabat. Dari jauh, aku melihat batang tubuh seseorang sedang berdiri tercegat di sebelah keretaku. Sarah?? Buat apa dia kat sini?
"Sarah? Kenapa kau kat sini?"
"Aku tunggu kau. Aku lapar!"
"La... kenapa tak tunggu je aku kat rumah? Call je lah, bagitau aku suruh tapau. Beriya sangat kau ni, sampai datang ke office."
"Aku bosan. Kau masakkan untuk aku boleh tak? Aku teringin nak makan lauk daging, air tangan kau. Boleh?"
"Ermmm... Patutlah beriya tunggu aku. Nak suruh aku masak rupanya. Yelahhh... Demi kau Sarah, aku turutkan."
Sarah senyum. Aku layankan sahaja permintaan dia. Parah juga kalau orang bergaduh dan putus cinta ni ya?
Menu makan malam kami, nasi putih dan daging masak black pepper. Hasil air tangan aku.Sarah paling teruja. Gelojoh betul dia makan. Bertambah-tambah. Makanlah Sarah, asalkan kau happy. Aku pun ikut happy.
Aku masih lagi mengunyah, Sarah bangkit dari duduknya. Dia beredar meninggalkan aku dan terus masuk ke bilik AKU.
Eikk, ni dah melampau. Dengan pinggan tak berangkat, tangan tak basuh. Kau apa hal ni Sarah? Bungkam aku dibuatnya.
Kita dah masak, tolong-tolonglah basuh pinggan ke. Ini tidak, menonong je blah tinggalkan aku. Aku rasa dah macam kuli dia pula. Ni tak boleh jadi ni.
"Sarahhh!!"
Senyap. Tidak bersahut.
"Wei Sarah. Kau dengar tak aku panggil!"
"Sarah!"
"Kau nak apa!!!"
Terjengul wajahnya di depan pintu bilik. Perghhh. Dia punya pandangan. Menusuk. Siap pakej jelingan. Patutnya, aku yang marah. Ini dia pula yang panas.Mata Sarah masih pegun melihat aku. Bengis.
Ermm.. Malas aku nak berpanjang-panjang. Maka, aku diam seraya menggeleng tanda tiada apa-apa. Sarah? Lepas je tengok aku gelengkan kepala, dia terus lesap semula ke dalam bilik AKU. Bukan bilik dia.
Usai makan dan membasuh pinggan, aku masuk ke dalam bilik. Aku lihat, Sarah sedang duduk bersila diatas lantai. Dia menghadap dinding. Tanpa suara. Matanya tidak berkutik. Pegun, seolah-olah dia terpaku pada sesuatu didasar dinding.
Aku mulai risau. Sarah kemurungan ke? Dia ada terlintas nak buat perkara-perkara yang diluar kawal ke? Tak ada yang mustahil. Mungkin juga Sarah tertekan. Sikapnya jauh beza.
Beberapa ketika, telingaku disahut dengan tangisan halus dari Sarah.
"Sarah.. Kau okay?"
Diam.
"Hehehehhe..."
Okay, Sarah gelak! Damn. Tegak bulu roma aku. Tadi dia lapar. Dah kenyang,dia menangis pula.Dan sekarang, dia gelak?Wei, kau kenapa Sarah? Takut pula aku!
Tidak semena-mena, Sarah bangkit dari silaan. Dia meluru ke arah suis didinding. Pap!! Suis lampu dimatikan. Bilik yang cerah tadi, jadi gelap. Segelap hatiku yang mula menjalar perasaan gusar.
"Tidur!"
Sarah melepaskan arahan. Dalam hati, 'Baik...aku tidur. Sebab aku takut dengan kau. Perangai kau pelik!!'
"Kau cakap apa?"
"Erkkk...Tak. Aku tak cakap apa-apa. Okay, good night Sarah." Yes, aku akui. Aku cuak.
Aku baring menghadap ke kanan. Posisi kebiasaanku jika tidur seorang. Tapi bila bertemankan Sarah, maka aku tidur jadinya menghadap belakang badan Sarah.
Beberapa ketika, tiba-tiba aku dapat merasakan Sarah menukar posisi. Dia mengiring ke sebelah kiri. Jadinya? Dia menghadap aku.
Aku capai handphone disisi katil. Aku on flash light. Sengaja aku tadahkan cahaya tepat di wajahnya. Bundar mata Sarah menatapku. Sedikit pun tidak berkelip.
"Ermm. Sorry. Aku lupa nak set alarm clock. Kang tak bangun pula." Aku berbahasa basi.
Sarah tidak membalas kata-kataku. Usai aku meletakkan handphone di tempat asal, aku terus mengubah posisiku menghadap sebelah kiri. Takut aku nak bertemu empat mata dengan Sarah.
Beberapa ketika. Aku cuba melelapkan mata. Tetapi sukar. Mahu tidak. Dengkuran kasar dari Sarah sangat membingitkan telinga. Dah macam lembu kena sembelih bunyinya. selalunya, Sarah tak pernah berdengkur.
Makin lama, bunyi dengkurannya masih kuat. Arghh, ini tak boleh jadi! Aku perlu gerakkan dia. Kalau aku biarkan, memang tak tidurlah aku.
Aku, mengubah posisi menghadap sebelah kanan. Damn! Kosong.
Ehh, mana Sarah? Dia tak ada di sebelah aku. Aduhh. Kalau ya pun nak balik bilik sendiri bagitahu lah. Tapi.... kalau dia dah balik bilik, bunyi dengkuran tadi tu dari siapa?
"Ktakk!!"
Tiba-tiba, aku terdengar seolah-olah bunyi tombol pintu dipulas. Tidak semena-mena, kain langsir yang menutupi cermin tingkap, terangkat. Seperti ditiup angin. Walhal, aku yakin yang cerminnya bertutup. Aku jarang sekali buka kecuali buat cleaning.
Spontan, biasan cahaya bulan terhasil dari cermin tingkap akibat langsir yang terselak berulang kali. Pantulan cahaya tersamar disudut dinding bilik. Lantas, mataku tertancap pada sesuatu yang kelihatan sedang berdiri pegun menghadapaku.
Aku memicingkan mata. Aku seolah-olah dipertontonkan dengan sesusuk tubuh berkain putih. Nahh, rambutnya panjang hingga mencecah lantai. Aku menggosok mataku berulang kali. Takut-takut mainan mata barangkali.
'Arghh. Tak boleh jadi ni. Entah-entah Sarah sahaja nak mainkan aku.'
Aku capai handphone. Aku hidupkan flash light. Kemudian, aku suluh pada dinding.
Kosong.
"Ermmm. Takda pun! Dah agak dah. Mata ni yang bukan-bukan je nampaknya dalam gelap."
Aku sengaja halakan cahaya pada sudut -sudut lain. Terlebih berani. Mana tahu, kalau - kalau Sarah memang ada dalam bilik aku, main sorok-sorok. Sengaja nak menakut-nakutkan aku.
Tidak ada....
Sehinggalah, cahaya itu berakhir di sebelah aku. Damn!! Wajah itu pucat lesi. Matanya jegil. Bibirnya, menyeringai menampakkan giginya yang tajam seperti mata gergaji.
Dia bukan Sarah. Dia makhluk lain. Handphone ditangan, terlepas. Suasana yang sedia gelap, bertambah gelap.
Aku pengsan!
=============
Jumaat.
Aku tersedar. Mata kubuka perlahan. Aduh, terasa beratnya kepala. Berdenyut.Jam di meja sisi, aku lirik. Allahu. Terkejut beruk aku. 10.00 pagi? Dah lewat sangat ni kalau aku nak pergi kerja. Kebetulan, badan aku pun rasa tak sihat.
Lantas, aku menghubungi pejabat memaklumkan ketidak hadiran aku. Cuti sakit. Aku bangkit dan duduk diatas tilam.Baru sahaja ingin turun dari katil, tiba-tiba pintu bilik dikuak dari luar.
Sarah?
"Kau dah bangun?"
"Kenapa kau tak kejut aku, Sarah?"
"Aku dah kejut kau, tapi kau tak nak bangun. Kau meracau dari malam tadi. Badan kau panas, jadi aku biarkan kau rehat."
"Meracau?"
"Yelah. Kau mimpi buruk barangkali. Aku yang baring dekat sebelah kau pun, habis kau tendang."
"Ehh, betul ke? Kau..kau, tidur sebelah aku?"
"Yelah. Aku tidur dengan kau lah. Dah, tak payah banyak cakap. Ni,aku ada buatkan kau air milo dan bubur.Makan, lapik perut tu sebelum makan ubat demam ni. Kalau kau tak okay lagi, kita pergi klinik ya."
Aku mengangguk. Sarah meletakkan sarapan di meja sisi aku, kemudian dia beredar keluar dari bilik. Dia sempat menghadiahkan senyuman buatku. Manis.
Jujur. Sebenarnya, aku masih keliru. Sarah kata aku meracau? Maksudnya, apa yang jadi malam tadi, apa yang aku nampak malam tadi tu hanya mimpi?
Arghhh. Malas nak fikir banyak. Kepalaku yang masih berat, tiba- tiba rasa berdenyut. Sakit yang amat sangat. Tak selesa. Tanpa fikir banyak, aku baringkan tubuhku kembali. Dan, aku hanyut sebelum sempat menjamah apa-apa pun.
=============
7.00 petang.
"Ergghhhh...."
Aku menggeliat. Bilik aku gelap. Meraba-raba aku capai handphone di meja sisi.
"Mak aiii. Pukul 7.00 dah? Lamanya aku tidur!"
Aku terus bangkit, turun dari katil tanpa berlengah. Suis lampu, aku petik. Terang benderang bilik aku. Tuala ku capai. Aku terus menuju ke kamar mandi. Biar segar badan aku. Seharian aku tidur.
Usai mandi dan mengenakan pakaian, aku terus ke ruang tamu. Aku lihat Sarah sedang duduk di sofa, ralit dia menonton televisyen. Tak pasti aku cerita apa yang tonton. Tapi dari bahasa yang ditutur, aku yakin itu bahasa indonesia.
"Kau tengok cerita apa tu Sarah?"
"Eh, kau dah bangun?"
"Dah. Dah siap mandi pun."
"Aku tengok cerita sundal bolong."
"Suzanna?"
"Ye lahh."
"Weii. Aku suka gila cerita ni. Nak join!"
"Jomlah. Seronok sikit berteman. Boleh seram sama-sama kan?"
Sarah pandang aku. Senyum.
Sedang ralit aku menonton, tiba-tiba handphone aku berdering. Aduhh. Aku letak dalam bilik pula tu.
"Hp kau bunyi lah. Kau tak nak angkat ke?"
Aku diam. Ralit melayan Si Sundel Bolong sedang meratah sate.
"Kringgg....kringg..."
Sekali lagi, tontonanku terganggu. Arghh, lebih baik aku angkat. Kalau tidak, berdering terus. Aku bangun dari duduk, menuju ke dalam bilik. Handphone yang terletak di meja sisi, aku ambil.
Di skrin terpapar, panggilan tidak dijawab.
"Sarah Housemate?"
Aku intai Sarah di ruang tamu melalui bukaan daun pintu bilik yang tidak ditutup rapat. Dia kelihatan sedang ralit menonton. Apa hal pula si Sarah ni call aku? Nak prank aku ke?
"Kringgg...kringgggg..."
Sekali lagi handphone ku berbunyi. Masih tertera nama "Sarah Housemate" di paparan skrin. Sekali lagi, aku intai Sarah. Apahal dia ni? Nak kenakan aku agak-agaklah.
Ehh. Baru aku terfikir. Mungkin handphone Sarah tertinggal pada Naim kot. Mungkin dia nak bercakap dengan Sarah agaknya. Angkat je lah.
"Hello."
"Hooiiii, apasal lambat sangat angkat? Whatsapp tak balas, telefon dari tadi tak jawab. Aku call office, Lin cakap kau MC. Kau ok tak ni? Kau kat mana sekarang? Rumah ke?"
Damn!!
Sarah? Spontan, jantung aku laju. Degupan bertindih-tindih. Seolah-olah aku baru lepas berlari 4 X 400 meter. Apakah?
"Hooiiii..... Kau dengar tak? Apasal diam?" jerkah Sarah.
"Errr....Err.. Sarah... Kau.... Kau kat mana? "Tergagap gagap.
"Aku baru sampai Airport ni? Aku call kau, sebab nak bagitahu yang aku tak jadi balik rumahharini. Naim ajak aku balik rumah parents dia. Mungkin esok malam atay ahad baru aku balik ya. Naim ni ha..sibuk ajak balik rumah mak dia."
Jawapan dari Sarah di talian, buat aku terpempan. Tanpa berlengah, aku capai beg duit dan kunci kereta.Cardigen yang tergantung balik pintu, aku capai dan sarung ke tubuh.
Apa nak jadi, jadilah. Yang aku tahu, aku kena keluar dari rumah. Sekarang!!
Aku keluar dari bilik. Limpas sahaja aku di ruang tamu...
"Kau nak pergi mana tu?"
"Errr....aku, aku nak ke kedai sekejap."
Jawab aku tanpa sedikit pun menoleh ke arahnya.
"Yeke, kau nak ke kedai? Bukan nak lari? Hehehehe...."
Zappp!
Berderau darah aku.
"Elehhhh.. Kau dah tahu kan? Hihihihihi...."
Sumpah. Suara Sarah palsu, terasa begitu dekat di telingaku. Aku telan liur berkali-kali. Meremang.
Pantas aku meninggalkan Sarah di ruang tamu. Kelam kabut, sehingga pintu utama yang aku buka terbiar luas tanpa sempat ditutup kembali.
Aku lari...dan terus lari, sambil jerit......
"Sarah copycat! Jangan ikut aku!!!!!"
"Jahanam kau Sarah!"
PESANAN : PASTIKAN ANDA TIDAK KESEORANGAN SAAT INI. JIKA YA, ANDA PASTI YANG RAKAN SERUMAH ANDA TIDAK PALSU?? HEHEHEH....
TAMAT
=========================
Suntingan: Dee Edot
Gambar: KamenRider
Editor, Arkib Angker Negara

=========================
Anda ada kisah seram, komedi-seram, misteri, thriller ataupun mind-blowing? Apa kata anda kongsikan kisah anda kepada kami.
Hantar kisah anda ke inbox Arkib Angker Negara atau emelkan ke aanrc2017@gmail.com
Nyatakan sekali nama akaun Facebook, blog, Instagram, Twitter atau webpage anda untuk pengkreditan.

Tuesday, 5 December 2017

MONA - Mobu + Azman Zainordin


MONA
Oleh Mobu + Azman Zainordin

========================
Tugas hakiki aku menjawab telefon. Bekerja 'shift' itu sudah menjadi kebiasaan 'customer service' seperti aku. Bulan itu 'turn' aku 'shift' malam. Awal panggilan seperti biasa, pertanyaan waktu operasi, procedure permohonan, talian senyap, talian terputus. Malam kurang panggilan telefon. 10 ke 15 minit sekali baru masuk panggilan.
"Beep.." bunyi tanda panggilan masuk.
"Salam sejahtera, syarikat ABC, siapa di talian?"
"Saya Mona...."
"Ya.. Puan Mona, ada pertanyaan apa?"
"Tak ada soalan. Cuma nak teman berbual."
"Tapi kami tidak dibenarkan berbual dengan pemanggil tanpa urusan kerja puan."
"Sekejap je, tak apa kan?"

Aku berdiam beberapa detik.
"Tak apa lah, tak banyak 'call' kan malam ni? Kamu tu jangan selalu sangat balik lewat malam. Bahaya." 
"Memang dah tugas saya untuk kerja sebelah malam puan."
"Saya pesan je. Air tu dah sejuk, pergi bancuh air baru. Dalam 'office' tu sejuk. Dapat minum air panas-panas baru sedap."

Air milo di atas meja aku pandang. Aku tekan butang mute. Aku bangun.
"Janganlah main-main!" Aku jerit dan pandang setiap seorang rakan sekerja aku. Lima orang kesemuanya. Termasuk aku enam. Semua pakat pandang aku tanpa mengerti apa-apa.
"Tak payah cari. Saya tak ada kat situ.."
Aku putuskan talian. Aku pandang sekali lagi teman-temanku. Aku yakin ini mesti kerja rakan sekerja aku.
"Beep.." sekali lagi talian masuk selepas 15 minit berlalu.
"Salam sejahtera, syarikat ABC, siapa di talian?"
"Tadikan dah bagitahu nama. Mona. M.O.N.A.... Mona.. kenapa matikan panggilan tadi. Kamu ingat saya main-main ke? Saya nak bagi nasihat untuk keselamatan kamu juga."

Aku terkelu.
"Saya ni dah mati. Saya dirogol dan dibunuh. Mayat saya dicampak ke dalam sungai. Saya bukan main-main."
Sekali lagi aku putuskan talian. Meremang bulu roma aku. Ligat dibenak fikiran, siapalah yang menyakat aku malam-malam begini.
Tak lama lepas itu, dia bersuara lagi..
"Nak tinggalkan pesan je ni. Balik kejap lagi tumpang kawan, kereta awak tayar bocor. Minta kawan tunggu, jangan balik sorang-sorang pula. Jangan tunggu situ, nanti terima nasib macam saya. DENGAR!!!!!!" Lembut diawal, tegas dipengakhiran.
Aku campak headset aku keatas meja. Monitor depan aku ditatap. Tiada tanda panggilan masuk. Bunyi 'beep' pun tidak kedengaran.
****
Jam di dinding menunjukkan keangka 11 malam. Aku bersiap-siap untuk balik. Nampaknya aku orang terakhir turun dari pejabat dan perlu mengunci pintu dan grill. Sesampai di parking, hanya aku dan kereta aku yang tinggal. Kelihatan tayar kereta aku bocor. Teringat aku kembali akan si Mona. Sejurus selepas itu, terdengar bunyi hentakan yang kuat, belakang kepala aku terasa sakit dan dunia aku menjadi malap terus gelap sepekat hitam malam.
"Bangun. Bangun..."
Aku tersedar. Suara perempuan itu mengejutkan aku dari pengsan. Kedua kaki dan tangan aku diikat kemas dengan tali. Aku kini sedang terbaring di tempat duduk belakang sebuah kenderaan. Kulihat depan. Ada 2 orang lelaki. Seorang kurus, seorang lagi berisi.
"Dapat lauk lagi kita. Hahaha!" Lelaki kurus yang sedang memandu bersuara.
"Kenyang la kita nanti." Disambut pula dengan lelaki di sebelahnya.
"Port mana?"
"Macam biasa. Pondok tepi sungai tu."
Kenderaan dibelok ke arah kiri, melalui jalan tanah yang berlopak. Tak lama kemudian lelaki itu memberhentikan kenderaan. Keadaan di situ sangat sunyi.
"Dah. Jom jom. Tak sabar pulak aku." Lelaki kurus mematikan enjin.
Pintu belakang dibuka.
"Wah. Dia dah sedar la. Lagi bagus. Hahaha." Lelaki berisi itu ketawa sambil menarik aku keluar.
Perasaan takut mula menebal dalam hati aku.
Aku meronta untuk melepaskan diri. Lelaki yang sedang mengangkat aku itu seakan terkejut dengan tindakan aku. Aku terjatuh ke tanah.
"Cuba nak lari yee.."
Belum sempat aku berbuat apa-apa, tangan aku ditarik dan aku diseret. Mulut aku disumbat dengan kain. Kaki seluar aku menyapu tanah. Sesekali kaki aku terlanggar tunggul. Tiba di sebuah pondok, aku diangkat dan dilempar tanpa belas kasihan. Lelaki kurus datang ke arah aku, manakala seorang lagi duduk di pintu sambil menghisap rokok, mengawal keadaan.
"Cepat sikit Min." Arahnya sambil menghembus asap rokok. Okay, nama lelaki kurus itu adalah Min.
Min duduk di atas kaki aku sambil membuka ikatan tali pada kaki aku. Tangan aku terikat di belakang. Aku tak mampu berbuat apa-apa. Air mata jernih mengalir di pipi. Aku memejamkan mata dan berserah...
Tiba-tiba aku terdengar seperti bunyi yang kuat di dalam pondok. Aku lihat Min sedang mencekik dirinya sendiri. Manakala seorang lagi sudah terkulai di pintu pondok dengan lehernya dipenuhi kesan cucuhan putung rokok. Aku mengalihkan pandanganku ke arah Min semula. Dia sedang meronta-ronta melawan tangannya sendiri. Dalam beberapa minit bergelut, akhirnya Min kaku di lantai pondok dengan muka yang membiru. Aku tak tahu apa yang berlaku.
Aku cuba menanggalkan ikatan pada tangan. Mulanya agak susah. Selepas 20 minit, ikatan tali mulai longgar. Aku berusaha lagi. Akhirnya tertanggal. Aku terus keluar dari pondok itu tanpa mempedulikan mayat Min dan rakannya yang terbujur kaku.
Ketika kakiku keluar menjejak tanah, bulu romaku meremang. Ekor mataku menangkap satu kelibat berhampiran sungai. Aku menoleh. Seorang wanita yang pakaiannya koyak rabak serta punya kesan lebam pada wajahnya dan kelaran di leher, terapung-apung di udara. Di sisinya terdapat satu guni yang berisi sesuatu terapung di permukaan sungai.
"Sini. Jangan takut. Saya Mona. Saya yang tolong awak tadi. Sekarang awak pula tolong saya. Ambil guni ini dan serahkan kepada keluarga saya. Tolong yaa...." Mona merayu. Guni itu bergerak ke tebing sungai perlahan-lahan. Mona ghaib dari pandangan.
Mataku tepat memandang guni putih yang terikat kemas di depan aku. Seakan dipukau, aku menapak ke arah guni tersebut. Dengan tangan yang menggeletar, aku meleraikan simpulan tali pada guni.
Aku menjerit.
Sekujur jasad seorang wanita yang kebiruan terkeluar dari guni. Dadaku menjadi sebak.
"Tolong saya. Keluarga saya sedang tunggu saya pulang..." Kedengaran suara Mona berbisik.
"Baiklah Mona. Saya akan tolong awak." Aku membalas lalu bergerak menuju ke arah kenderaan yang membawa aku ke sini. Aku mencari beg tangan di tempat duduk belakang. Jumpa. Terus aku mengambil telefon bimbit lalu mendail nombor pihak polis.
"Terima kasih Mona. Semoga awak bersemadi dengan tenang."
*****
Suntingan dan Gambar: Azman Zainordin

Anda ada kisah seram, komedi-seram, misteri, thriller ataupun mind-blowing? Apa kata anda kongsikan kisah anda kepada kami.
Hantar kisah anda ke inbox Arkib Angker Negara atau emelkan ke aanrc2017@gmail.com
Nyatakan sekali nama akaun Facebook, blog, Instagram, Twitter atau webpage anda untuk pengkreditan.

Thursday, 16 November 2017

INI BENAR - Mobu


INI BENAR
Karya : #Mobu
Suntingan Karya & Gambar : DeeFen DF

Acap kali aku kerja lebih masa. Sering balik lewat malam. Disebabkan kerja aku yang hanya menjawab telefon, tiada masalah buat aku sekiranya diminta untuk bermalam seketika di pejabat.
Ruang pejabat aku di waktu kerja biasanya ramai orang, riuh rendah dengan suara kawan-kawan menjawab panggilan telefon. Berbeza pula suasananya menjelang malam sebab tak ramai yang berkeinginan menghambakan diri di pejabat hingga larut malam.
Selalunya tak lebih dari lima orang. Ditambah pula tempat duduk masing-masing agak jauh, jika aku berdiri mereka kelihatan paras bahu hingga kepala sahaja.
Sememangnya aku sudah sedia maklum yang tempat aku bekerja sekarang agak angker. Ada satu kejadian, pengawal keselamatan yang berkumpul di bahagian lobi pernah ternampak seorang wanita tua memimpin seorang kanak-kanak melintasi mereka menuju terus ke arah lif. Salah seorang pengawal keselamatan cuba mengekori dan ternyata kelibat yang dilihat tadi hilang.
Sering kali juga terlihat seorang wanita berkebaya merah dalam lif. Kadang-kadang terlihat dia mundar-mandir di koridor.
Pernah satu kejadian, rakan sekerja aku sedang mengerjakan solat maghrib. Kami tak dibenarkan ke surau berteman kerana orang yang kerja lebih masa pada sebelah malam hanyalah 4 atau 5 orang sahaja.
Jadi kawan aku ke surau seorang diri. Dalam keadaan dia berdiri tegak sedang membaca Surah Al- Fatihah, terjenguk kepala disebelah kaki kirinya, memandang ke atas arahnya. Matanya yang sedari tadi tepat ke arah tempat sujud, langsung tidak diganjak walau seinci. Berterabur bacaannya. Dipejamkan mata buat seketika, dibuka kembali kepala itu hilang.
Bunyi ketukan cermin tingkap, kerusi bergerak dengan sendiri, itu semua seperti mainan mereka setiap hari. Nama diseru sewaktu di dalam tandas sendirian, sudah menjadi pengalaman hampir setiap orang yang bekerja di bangunan tersebut.
Berbalik kepada aku. Sepanjang aku bekerja disini, tidak pernah lagi aku menerima gangguan seperti teman-teman yang lain. Terasa seperti dilihat orang sewaktu ke tandas dan surau sendirian itu biasa, tapi aku lebih suka menganggap itu cuma mainan perasaan aku. Walaupun aku ini peminat cerita-cerita mistik, tapi jika dialami diri sendiri, aku memilih untuk tidak memikirkan ke arah tersebut.
Sehinggalah satu malam, baru aku mengerti ketakutan yang luar biasa itu.
Seperti biasa, aku berkerja lebih masa. Di kawasan tempat duduk aku, memang aku seorang sahaja di situ. Seperti selalu aku akan melayan drama, sesekali aku layari youtube. Kerja jawab panggilankan? Sementara tunggu panggilan seterusnya masuk, aku teruskan melayan drama Korea.
Tiba-tiba aku seperti terdengar nama aku diseru. Sayup tapi jelas. Drama yang aku sedang tonton di 'pause' kan. 'Headphone' dialihkan sedikit dari telinga. Tiada apa-apa. Sekali lagi aku anggap aku yang tersalah dengar.
Aku teruskan semula aktiviti aku sebentar tadi. Kemudian sekali lagi kedengaran nama aku dipanggil. Suara dan nada yang sama. Kali ini aku terus menyahut.
"Ha..apadia?!" Jerit aku sambil kepala aku toleh kebelakang untuk melihat siapa yang memanggil aku.
Tiada.
Aku berdiri dan memanggil rakan sekerja aku bertanyakan sekiranya mereka memanggil aku. Mereka hanya menggelengkan kepala.
Kehairanan menyelubungi perasaan aku. Aku duduk sebentar, pandang ke kiri ke kanan, leher aku panjangkan untuk melihat meja dihadapan aku.
"Perasaan aku je kot." Bisik aku sendirian.
Aku buka youtube untuk menukar lagu, tapi yang peliknya channel yang aku buka tadi sudah diganti dengan "ghost caught in camera". Meremang bulu roma aku. Dalam hati bertanya aku sendiri, bila masanya aku buka channel tersebut. Aku memang akan selalu tengok video sedemikian tapi hanya pada waktu siang. Tak berani aku nak buka malam-malam.
Aku dah mulai rasa tidak sedap hati. Aku padamkan youtube, aku teruskan dengan drama Korea aku. Tiba-tiba, terasa seperti kerusi aku ditarik. Aku toleh ke belakang, tiada siapa-siapa di belakang aku, yang aku nampak kawan-kawan aku dah berdiri. Semua mereka berdiri di satu tempat.
Kemudian panggilan masuk (masa ini aku terkejut nak mati). Nama yang keluar di skrin adalah nama salah seorang rakan sekerja aku yang berdiri beramai-ramai tadi. Aku pandang mereka dan terima isyarat untuk tekan butang terima panggilan. Aku turuti.
"Kau kemas barang kau semua, off semua PC dan jangan toleh ke kiri." Cemas suara rakan aku memberikan arahan.
"Kenapa pula?" Tanya aku kehairanan. Tanpa berfikir panjang aku terus toleh ke kiri, langsung tak aku hiraukan amaran rakan aku sebentar tadi. Spontan tindakan aku.
Ternyata amaran rakanku itu bersebab. Sekujur tubuh wanita, muka yang pucat tanpa darah, berambut panjang sehingga ke kaki. Dipakainya pula baju putih yang telah lusuh sedang berdiri tegak di penjuru dinding pejabat sambil memerhatikan aku. Tepat pandangannya ke arah aku.
Aku langsung tak mampu nak alihkan pandangan. Apa sahaja yang rakan aku katakan, otak aku seperti tak mampu nak proses. Sekelip mata wanita yang aku tenung tadi betul-betul berada di sebelah aku, cuma kepala dan mata aku sahaja tak mampu aku alihkan dari arah tadi.
Sebelum dunia aku menjadi gelap, sempat aku dengarkan wanita itu berbisik. Sayup dan jejas, sama seperti nama aku dipanggil tadi.
"Ini benar......"
-TAMAT-
Karya : #Mobu
Suntingan Karya & Gambar : DeeFen DF

Anda ada kisah seram, misteri, thriller ataupun mind-blowing?
Ayuh kongsikan kisah anda kepada kami. Hantar kisah anda ke inbox Arkib Angker Negara atau e-melkan ke aanrc2017@gmail.com

Nyatakan sekali nama akaun Facebook, Instagram, Twitter, blog atau webpage anda untuk tujuan pengkreditan.

Thursday, 9 November 2017

TELEFON - Mobu


TELEFON
Karya: #mobu
Suntingan Karya & Gambar: DeeFen DF



Hari itu, Aisyah membeli telefon baru kerana miliknya yang lama sudah berendamkan air laut ketika bercuti di salah satu pulau di Malaysia.
Sesampai di rumah, Aisyah meletakkan telefon di meja makan dan bersiap untuk menyediakan makan malam untuk anaknya, Haikal. Memandangkan suaminya yang bekerja di luar daerah minggu itu, Aisyah memasak hanya untuk dia dan anak lelakinya sahaja.
Maghrib mula melabuhkan tirai, malam pula menjengah. Telefon yang baru dibeli nya beberapa jam yang lalu dari seseorang yang mengiklankan di laman sesawang mudahdotcom itu masih di atas meja. Kali ini ditemani nasi putih dan lauk pauk yang telah siap terhidang.
Sementara Haikal sedang membersihkan diri sebaik balik dari bermain di taman permainan depan rumahnya, Aisyah ambil peluang untuk mandi dan selepas itu bolehlah makan berjemaah bersama.
Keluar dari bilik air, dilihat Haiqal sedang membelek-belek telefon di meja makan. Memandang ibunya, lantas meminta izin untuk menggunakannya sebentar. Aisyah berikan kebenaran dengan syarat tidak menghubungi atau menghantar mesej kepada sesiapa. Kanak-kanak berusia 12 tahun itu apa sajalah yang dia tahu, selain bermain 'game'.
Setelah selesai menyarung baju, Aisyah kembali ke dapur untuk menjamu selera. Perutnya sudah mulai mendendangkan lagu Keroncong untuk Ana. Berkerut dah Aisyah melihat makanan yang terhidang.
Nasi yang dimasak untuk dua orang dan sengaja dilebihkan sedikit hanya tinggal lebih kurang 2 senduk nasi. Ikan masak kicap yang sepatutnya 3 ekor tadi dah tinggal seekor. Air sirap yang penuh 1 jug pula sudah tinggal ais sahaja. Mata melilau mencari anaknya. Tiada. Bergegas dia kebilik anaknya, dilihat anaknya sedang tidur sambil telefon masih di tangan.
Dia kembali semula ke dapur, perutnya seperti menarik dirinya untuk menghadap lauk pauk yang terhidang. Di benak fikirannya, lapar sungguh Haikal, bukan main banyak dimakan anaknya. Barangkali di sekolah tadi tidak makan mungkin. Ditambah pula bermain sahaja petang tadi. Bertuah sungguh anak langsung tidak ditunggu ibunya.
Cawan Haikal yang tersisa setengah lagi air sirap disebelahnya diteguk tanpa melihat cawan tersebut. Sebaik cawan diletakkan kembali ke atas meja, tertangkap oleh matanya bekas lipstik di bibir cawan. Disangka mulutnya masih bersisa lipstik. Tidak mengapa, akan dibersihkan sekali lagi sebelum tidur nanti.
Setelah setengah jam di hadapan televisyen, matanya mula mengantuk, ingatan mula tersangkut semula pada telefon barunya. Televisyen dimatikan. Kaki diarak ke bilik anak lelakinya. Dia duduk ditepi katil, telefon di tangan Haikal dicapai.
Diteliti telefonya, tiada banyak yang berubah kecuali 'wallpaper' nya bertukar dan beberapa aplikasi 'game' di 'install'. Dibiarkan saja. Jari mula beralih ke folder gambar. Satu persatu gambar dipadam. Mana gambar yang gelap, gambar perabot, pintu dan tingkap di padam. Rancak jarinya menari di 'button delete'.
Tarian ibu jarinya terhenti di satu gambar. Gambar Haikal sedang tidur. Tapi bukan diambil oleh Haikal, tapi orang lain.
Siapa?
Betul ke orang lain atau sesuatu yang lain. Dia yakin benar, dirumah tersebut hanya mereka berdua sahaja. Telefon di letakkan perlahan di tapak tangan kiri, tugas ibu jari digantikan oleh jari telunjuk. Dicalit perlahan skrin ke kiri, penuh debaran.
Gambar dilihat tadi seperti diambil dalam posisi berdiri tidak jauh dari katil. Gambar kedua ini jaraknya makin dekat, seperti di ambil dari kedudukanya sekarang. Kedua-dua dari kamera belakang. Gambar seterus dilihat, kali ini jantungnya hampir berhenti mengepam darah. Gambar yang dilihat kali ini di ambil dari kamera hadapan.
Selfie? Ya.. Selfie.
Gambar anak bujangnya sedang tidur, tapi kali ini berteman kan 'seseorang'. Perempuan. Hanya separuh mukanya diambil, matanya menjeling Haikal sambil tersenyum nipis.
Jika dilihat orang lain tiada yang menyeramkan tentang gambar itu. Seperti gambar seorang ibu sedang ber'selfie' sambil menidurkan anaknya. Tapi bagi Aisyah, ia sebaliknya. Cepat jarinya yang menggeletar itu, menekan 'button back'.
Belum selesai ke menu utama, matanya tertangkap satu video. Hati berbelah bagi mahu ditekan atau tidak. Akhirnya, selepas beberapa detik, video itu dimainkan. Isi kandungan video itu, dalam gelap disinari cahaya telefon, terlihat seorang wanita hampir sebayanya, yang langsung tidak dikenali. Rambutnya yang panjang menutup sebelah mukanya, wanita misteri itu tersenyum sambil menyampaikan pujiannya.
"Sedap kau masak…"
Telefon ditangan dicampak, hampir saja terkena kepala anak bujangnya.
Sedetik kemudian, di cuping telinga kirinya terdengar suara sayup-sayup......
"Pulangkan telefon aku........" dalam nada marah.
-TAMAT-
Karya: #mobu
Suntingan Karya & Gambar : DeeFen DF
Anda ada kisah seram, komedi-seram, misteri, thriller ataupun mind-blowing? Apa kata anda kongsikan kisah anda kepada kami.

Hantar kisah anda ke inbox Arkib Angker Negara atau emelkan ke aanrc2017@gmail.com
Nyatakan sekali nama akaun Facebook, blog, Instagram, Twitter atau webpage anda untuk pengkreditan.