Thursday, 9 November 2017

TELEFON - Mobu


TELEFON
Karya: #mobu
Suntingan Karya & Gambar: DeeFen DF



Hari itu, Aisyah membeli telefon baru kerana miliknya yang lama sudah berendamkan air laut ketika bercuti di salah satu pulau di Malaysia.
Sesampai di rumah, Aisyah meletakkan telefon di meja makan dan bersiap untuk menyediakan makan malam untuk anaknya, Haikal. Memandangkan suaminya yang bekerja di luar daerah minggu itu, Aisyah memasak hanya untuk dia dan anak lelakinya sahaja.
Maghrib mula melabuhkan tirai, malam pula menjengah. Telefon yang baru dibeli nya beberapa jam yang lalu dari seseorang yang mengiklankan di laman sesawang mudahdotcom itu masih di atas meja. Kali ini ditemani nasi putih dan lauk pauk yang telah siap terhidang.
Sementara Haikal sedang membersihkan diri sebaik balik dari bermain di taman permainan depan rumahnya, Aisyah ambil peluang untuk mandi dan selepas itu bolehlah makan berjemaah bersama.
Keluar dari bilik air, dilihat Haiqal sedang membelek-belek telefon di meja makan. Memandang ibunya, lantas meminta izin untuk menggunakannya sebentar. Aisyah berikan kebenaran dengan syarat tidak menghubungi atau menghantar mesej kepada sesiapa. Kanak-kanak berusia 12 tahun itu apa sajalah yang dia tahu, selain bermain 'game'.
Setelah selesai menyarung baju, Aisyah kembali ke dapur untuk menjamu selera. Perutnya sudah mulai mendendangkan lagu Keroncong untuk Ana. Berkerut dah Aisyah melihat makanan yang terhidang.
Nasi yang dimasak untuk dua orang dan sengaja dilebihkan sedikit hanya tinggal lebih kurang 2 senduk nasi. Ikan masak kicap yang sepatutnya 3 ekor tadi dah tinggal seekor. Air sirap yang penuh 1 jug pula sudah tinggal ais sahaja. Mata melilau mencari anaknya. Tiada. Bergegas dia kebilik anaknya, dilihat anaknya sedang tidur sambil telefon masih di tangan.
Dia kembali semula ke dapur, perutnya seperti menarik dirinya untuk menghadap lauk pauk yang terhidang. Di benak fikirannya, lapar sungguh Haikal, bukan main banyak dimakan anaknya. Barangkali di sekolah tadi tidak makan mungkin. Ditambah pula bermain sahaja petang tadi. Bertuah sungguh anak langsung tidak ditunggu ibunya.
Cawan Haikal yang tersisa setengah lagi air sirap disebelahnya diteguk tanpa melihat cawan tersebut. Sebaik cawan diletakkan kembali ke atas meja, tertangkap oleh matanya bekas lipstik di bibir cawan. Disangka mulutnya masih bersisa lipstik. Tidak mengapa, akan dibersihkan sekali lagi sebelum tidur nanti.
Setelah setengah jam di hadapan televisyen, matanya mula mengantuk, ingatan mula tersangkut semula pada telefon barunya. Televisyen dimatikan. Kaki diarak ke bilik anak lelakinya. Dia duduk ditepi katil, telefon di tangan Haikal dicapai.
Diteliti telefonya, tiada banyak yang berubah kecuali 'wallpaper' nya bertukar dan beberapa aplikasi 'game' di 'install'. Dibiarkan saja. Jari mula beralih ke folder gambar. Satu persatu gambar dipadam. Mana gambar yang gelap, gambar perabot, pintu dan tingkap di padam. Rancak jarinya menari di 'button delete'.
Tarian ibu jarinya terhenti di satu gambar. Gambar Haikal sedang tidur. Tapi bukan diambil oleh Haikal, tapi orang lain.
Siapa?
Betul ke orang lain atau sesuatu yang lain. Dia yakin benar, dirumah tersebut hanya mereka berdua sahaja. Telefon di letakkan perlahan di tapak tangan kiri, tugas ibu jari digantikan oleh jari telunjuk. Dicalit perlahan skrin ke kiri, penuh debaran.
Gambar dilihat tadi seperti diambil dalam posisi berdiri tidak jauh dari katil. Gambar kedua ini jaraknya makin dekat, seperti di ambil dari kedudukanya sekarang. Kedua-dua dari kamera belakang. Gambar seterus dilihat, kali ini jantungnya hampir berhenti mengepam darah. Gambar yang dilihat kali ini di ambil dari kamera hadapan.
Selfie? Ya.. Selfie.
Gambar anak bujangnya sedang tidur, tapi kali ini berteman kan 'seseorang'. Perempuan. Hanya separuh mukanya diambil, matanya menjeling Haikal sambil tersenyum nipis.
Jika dilihat orang lain tiada yang menyeramkan tentang gambar itu. Seperti gambar seorang ibu sedang ber'selfie' sambil menidurkan anaknya. Tapi bagi Aisyah, ia sebaliknya. Cepat jarinya yang menggeletar itu, menekan 'button back'.
Belum selesai ke menu utama, matanya tertangkap satu video. Hati berbelah bagi mahu ditekan atau tidak. Akhirnya, selepas beberapa detik, video itu dimainkan. Isi kandungan video itu, dalam gelap disinari cahaya telefon, terlihat seorang wanita hampir sebayanya, yang langsung tidak dikenali. Rambutnya yang panjang menutup sebelah mukanya, wanita misteri itu tersenyum sambil menyampaikan pujiannya.
"Sedap kau masak…"
Telefon ditangan dicampak, hampir saja terkena kepala anak bujangnya.
Sedetik kemudian, di cuping telinga kirinya terdengar suara sayup-sayup......
"Pulangkan telefon aku........" dalam nada marah.
-TAMAT-
Karya: #mobu
Suntingan Karya & Gambar : DeeFen DF
Anda ada kisah seram, komedi-seram, misteri, thriller ataupun mind-blowing? Apa kata anda kongsikan kisah anda kepada kami.

Hantar kisah anda ke inbox Arkib Angker Negara atau emelkan ke aanrc2017@gmail.com
Nyatakan sekali nama akaun Facebook, blog, Instagram, Twitter atau webpage anda untuk pengkreditan.

No comments: