UBER
Karya : Suzie Aziz
====================
Ramlah menanti kereta Uber yang ditempahnya berhampiran pusat membeli belah Sogo. Ditangan kiri dan kanannya bergantungan beg-beg kertas pelbagai jenama hasil membeli-belah dari pagi hingga ke petang. Walaupun tidak jauh dari situ kelihatan berderet teksi sedang menunggu pelanggan, Ramlah sudah serik menggunakan perkhidmatan mereka.
Penantian Ramlah tidak lama. Kelihatan kereta jenis Myvi bewarna hijau tua berhenti berhampiran tempatnya berdiri. Ramlah memeriksa nombor kenderaan yang tertera dalam sistem Uber di telefon pintarnya. Setelah yakin itulah kereta yang ditunggunya, Ramlah masuk ke dalam kereta. Ramlah memilih untuk duduk di belakang walaupun pemandunya seorang wanita.
Tanpa sebarang suara pemandu Uber tersebut meneruskan pemanduan menuju ke Gombak. Ramlah bersandar di tempat duduk belakang. Di sebalik tingkap dia memerhati deretan bangunan di sepanjang laluan ke rumah. Kepalanya yang dilitupi tudung bawal Exclusive disandarkan ke tempat duduk. Dia mengelamun memikirkan sesuatu.
Cuaca yang terang di luar perlahan-lahan bertukar kekuningan. Ramlah melirik jam yang terlilit di pergelangan tangan. Aneh. Baru pukul 4:23 petang tetapi perubahan cuaca yang berlaku secara tiba-tiba menimbulkan satu perasaan runsing yang sukar didefinasikan. Ramlah menjenguk ke luar tingkap. Langit kelihatan bersih namun warna kebiruannya telah bertukar menjadi kuning keperangan. Apa yang sedang berlaku ni? Ramlah melihat ke arah pemandu Uber yang sangat tenang berhadapan dengan suasana yang aneh itu.
“Err cik...”
Tiada sahutan.
“Cik. Dengar tak?”
Pemandu itu masih tidak mempedulikan Ramlah. Dia mula merasa cuak. Takkan perempuan tu tak perasan apa yang berlaku dekat luar. Ramlah melihat ke hadapan. Jalan yang selalunya sibuk dengan kenderaan kini kosong. Di kiri kanan jalan juga tidak kelihatan seorang manusia pun. Peluh dingin mula memercik di dahi Ramlah. Jantungnya mula berdegup laju. Laluan yang sedang dilalui memang betul. Sama seperti laluan yang selalu digunakannya. Dia cukup mengenali setiap landmark yang dilewati. Tapi…tapi…
Ramlah sukar membendung kerisauan yang semakin menggunung di dada. Dia perlu lakukan sesuatu. Dia bimbang kalau-kalau pemandu Uber itu seorang penjenayah bersiri yang dikehendaki polis. Perlahan telefonnya dicapai. Aduh, bateri cuma tinggal 3%. Dahlah powerbank tertinggal di rumah. Ramlah mendail nombor suaminya.
“Hello, abang.”
“Siapa ni?”
“Ramlah la bang. Suara isteri sendiri pun dah tak kenal ke?” Ramlah sedikit radang dengan pertanyaan suaminya. Lama suaminya mendiamkan diri.
“Betul ke ni Ramlah?” terdengar getaran dalam nada suara suaminya.
“Ish abang ni. Ab…” talian terputus.
Ramlah melihat telefonnya. Skrin telefonnya gelap tanda sudah kehabisan bateri. Aduh, masa nilah dia nak buat hal. Ramlah mencampakkan telefonnya ke tepi. Dia melemparkan pandangannya ke luar. Suasana masih sama. Alam kelihatan kuning keperangan. Jam di tangan menunjukkan 4:42 petang. Lebih kurang 10 minit lagi dia akan sampai ke rumah. Ramlah malas memikirkan tentang perubahan yang berlaku di luar kereta Myvi itu.
Pemandu Uber yang sedari tadi mendiamkan diri sekadar dipandang dengan ekor mata. Disebabkan kedudukannya berada di belakang pemandu, memang sukar untuk Ramlah melihat wajah si pemandu itu. Kalau diikutkan hatinya mahu sahaja dia bergerak ke tepi dan melihat wajah si pemandu dengan jelas. Namun akal warasnya menghalang. Nanti apa kata si pemandu kalau dia bersikap begitu.
Ramlah kembali merebahkan kepalanya ke kerusi. Rasa mengantuk yang hadir tiba-tiba membuatkannya menguap. Cuba ditahan agar tidak tertidur namun Ramlah akhirnya tewas. Kedengaran dengkur halus mengiringi Ramlah yang tertidur lena. Dari sebalik cermin pandang belakang, si pemandu Uber merenung Ramlah yang sedang lena seperti bayi.
************
Laporan polis berkenaan kehilangan isterinya telah dibuat hampir sebulan. Namun sehingga hari ini tiada sebarang khabar berita diterimanya. Pihak polis juga buntu. Nak kata isterinya diculik, dia tidak menerima sebarang panggilan meminta wang tebusan. Kalau isterinya kemalangan, tiada pula diterima panggilan telefon dari mana-mana hospital. Hashim sedang termenung di luar rumah. Airmatanya sudah kering mengenangkan kehilangan isteri tercinta. Mujurlah mereka tidak dikurniakan anak-anak. Jika tidak pasti semakin bertambah bebanan perasaan yang terpaksa ditanggungnya.
Nombor isterinya kembali di dail. Walaupun dia sedar dia hanya akan mendengar suara operator yang memberitahunya nombor isterinya tidak dapat dihubungi. Hashim mengeluh. Dia merenung nombor isterinya. Entah kenapa rasa sayu yang sukar ditahan menerpa hatinya. Hashim jatuh terduduk. Dia menangis teresak-esak seperti seorang bayi. Hati Hashim benar-benar sakit.
Ketika dia sedang terpunduk di atas lantai, terdengar deringan telefon menandakan ada panggilan yang masuk. Sepastanya Hashim menjawab panggilan itu.
“Hello”
“Assalamualaikum Encik Hashim.”
“Wa…walaikumussalam.”
“Encik Hashim, saya Inspektor Izham. Saya minta encik datang ke HKL sekarang. Kami rasa kami dah jumpa isteri encik. Saya jumpa encik di sana.”
Hashim merenung telefonnya yang telah gelap. Bagai tidak percaya dengan apa yang didengarinya. Selamatkah isterinya? Masih hidupkah? Hisham tidak mahu memikirkan kemungkinan itu. Cepat-cepat diseka air mata yang masih bersisa di pipi. Pintu rumah dikunci rapat sebelum dia memecut keretanya ke HKL.
“Encik Hashim. Saya harap encik Hashim dapat membantu saya mengenalpasti samada orang yang kami temui adalah isteri encik atau bukan. Sila ikut saya.”
Hashim mula merasa cuak apabila dia dibawa ke bilik mayat. Setibanya di sana, seorang pembantu perubatan menarik sebuah troli. Di atas troli itu terdapat beberapa barangan yang diletak di dalam plastik. Hashim melihat semua barangan yang berada di atas troli itu. Jantungnya laju menendang dada. Dia cukup mengenali barangan kemas milik isterinya terutama sekali cincin perkahwinan mereka.
“Allah…Allah…” Lutut Hashim terasa longgar. Tubuhnya pasti rebah ke lantai jika tidak dipegang oleh Inspektor Izham.
“Itu…itu barang kemas isteri saya Inspektor. Barang kemas isteri saya.”
“Baik. Sekarang saya mahu encik Hashim camkan mayat ini.”
Pintu peti ditarik. Hashim agak ragu-ragu untuk menghampiri peti itu. Dia tak sanggup membayangkan apa yang bakal dilihatnya
“Encik Hashim.” Inspektor Izham terpaksa mengeraskan sedikit suaranya.
Hashim menarik nafas dalam-dalam. Perlahan kakinya melangkah menghampiri peti mayat itu. Ketika dia melihat mayat reput yang terbaring di dalam peti itu, Hashim rebah terlentang. Nasib baik Inspektor Izham sempat menahan kepalanya dari terhentak ke lantai.
“Maaf Inspektor. Saya tak dapat kawal diri saya tadi.” Hashim semakin pulih dari hambatan perasaan yang dialaminya sebentar tadi. Melihat keadaan mayat isterinya benar-benar merobek hati.
“Itu memang isteri saya Inspektor.”
Inspektor Izham mengangguk. Dia sudah mendapat pengesahan dari waris sebelum bedah siasat boleh dilakukan.
“Inspektor, bagaimana pihak polis jumpa isteri saya?”
“Kami dapat laporan berkenaan penemuan mayat dalam sebuah kereta buruk di Sungai Pusu. Berdasarkan gambaran yang diberikan kami padankan dengan laporan orang hilang yang kami terima. Jadi encik Hashim adalah orang pertama kami hubungi berdasarkan laporan yang encik buat.”
Hashim hanya mampu menggigit bibir. Dia langsung tidak menyangka penantiannya selama hampir sebulan berakhir
setragis ini. Inspektor Izham meminta kebenaran untuk meninggalkannya sebentar.
Sedang Hashim termenung merenung lantai, telefon yang berada di dalam saku bajunya tiba-tiba berdering.
***********
Ramlah terjaga apabila merasakan kereta Uber yang dinaikinya berhenti. Dia menguap sambil menggosok-gosokkan mata. Ketika pandangannya kembali pulih dari rasa mengantuk, Ramlah terperanjat besar ketika melihat satu kawasan yang lapang terbentang di luar kereta. Kiri kanan tidak kelihatan sebarang bangunan atau manusia. Segalanya kosong. Suasana di luar masih lagi bewarna kuning keperangan. Ramlah diserang ketakutan. Aku kat mana ni. Ramlah memandang pemandu Uber yang diam di belakang stereng. Rasa takutnya berukar menjadi kemarahan.
“Eh, awak bawak saya ke mana ni? Saya nak balik rumah saya, hantarkan saya balik sekarang.”
Pemandu Uber itu masih mendiamkan diri. Tangannya terangkat dan jari telunjuknya mengarah ke arah jam yang berada di dashboard.
“Pukul 4:56 petang. Ramlah, kita dah sampai ke rumah awak”
Ketika pemandu Uber itu berpaling ke belakang melihatnya, Ramlah dihambat satu rasa yang sukar digambar dengan perkataan. Matanya terbuntang luas dan mulutnya ternganga. Walau tiada sebarang suara yang keluar, Ramlah sedar dia memang benar-benar telah sampai ke destinasinya.
***********
Hashim mengeluarkan telefon dari saku bajunya. Tanpa melihat nombor si pemanggil, dia terus membalas panggilan.
“Hello, abang.”
Hashim terpana. Suara itu. Terus dilihat nombor si pemanggil. Ya Allah, Ramlah!
“Siapa ni?”
“Ramlah la bang. Suara isteri sendiri pun dah tak kenal ke?” terdengar suara Ramlah sedikit radang dengan pertanyaannya. Lama Hashim mendiamkan diri. Dia masih belum mampu mempercayai apa yang didengarinya sekarang.
“Betulke ni Ramlah?” terdengar getaran dalam nada suaranya. Matanya merenung ke arah bilik mayat yang menempatkan arwah Ramlah.
“Ish abang ni. Ab…“ talian tiba-tiba terputus. Hashim menjauhkan telefon dari telinganya. Dia menyandarkan kepala ke dinding. Kelihatan cecair jernih mengalir dari kedua matanya. Perlahan kedua tangannya diangkat.
“Ya Allah. Andai benarlah itu suara isteriku, aku mohon Ya Allah,Kau tempatkanlah isteriku di kalangan orang-orang yang beriman. Aku maafkan segala kesalahannya ya Allah.” Hashim mengeluh berat sambil meraup wajahnya. Sesungguhnya dia sudah redha.
***********
Mastura melihat sebuah kereta Myvi bewarna hijau tua berhenti tidak jauh darinya. Diperiksa nombor kereta yang tertera di dalam sistem Uber. Setelah yakin itulah kereta yang ditempahnya, Mastura membuka pintu belakang. Dia lebih selesa berada di belakang walaupun pemandunya adalah seorang wanita. Selepas menutup pintu, kereta Uber itu mula bergerak menuju ke destinasi. Perjalanan Mastura pasti akan menjadi sangat panjang. Kan?
-Tamat-
====================
Gambar : Wan SC
Anda ada kisah seram, komedi-seram, misteri, thriller ataupun mind-blowing? Apa kata anda kongsikan kisah anda kepada kami.
Hantar kisah anda ke inbox Arkib Angker Negara atau emelkan ke aanrc2017@gmail.com
Nyatakan sekali nama akaun Facebook, blog, Instagram, Twitter atau webpage anda untuk pengkreditan.
No comments:
Post a Comment