SELAMAT HARI LAHIR
==============================
"Kau akan mati apabila kau berusia 22 tahun. Awas!" Seorang tua memberi amaran lalu ghaib.
Mona tersedar dari tidur. Kedua-dua matanya digosok dengan tangan. Suis lampu yang terlekat di dinding lantas dipetik. Menyala terang. Kepalanya berpusing-pusing memikirkan mimpi tadi. Sudah seminggu dia mendapat mimpi yang sama. Namun, Mona tidak menceritakan mimpinya itu kepada sesiapa. Tidak kepada kawan-kawan. Tidak juga kepada ibu bapanya. Biarlah hanya dia dan Tuhan saja yang tahu.
"Siapa orang tua tu?" Mona berbisik perlahan.
Ketika dia sedang memikirkan mimpi tadi, sayup-sayup kedengaran azan Subuh. Mona mengeliat sebelum turun dari katil. Perlahan-lahan dia melangkah masuk ke bilik air untuk mengambil wuduk.
Selesai menunaikan solat, Mona mengambil tempat di meja tulis. Tingkap dihadapannya ditolak perlahan. Mengizinkan udara pagi untuk masuk ke biliknya. Nyaman sekali.
"Mungkin mainan tidur." Mona bermonolog.
Dia perlu melakukan sesuatu untuk melupakan mimpi tadi. Mona segera menekan punat on di laptopnya. Sambil menunggu, dia mencapai telefon bimbitnya yang terletak diatas meja di tepi katil.
"15 JULAI, 2012"
"Lagi seminggu." Mona mengeluh. Telefonnya dibuang di atas katil. Mona kembali duduk di meja tulisnya. Remaja sebayanya mungkin teruja apabila hari lahir mereka akan tiba. Tapi tidak bagi Mona. Fikirannya bercelaru.
Mona melayari Internet. Mencari kisah-kisah seram untuk dibaca. Tak peduli sama ada kisah betul atau rekaan. Asalkan seram dan jalan cerita yang seronok. Matanya tertumpu pada satu tajuk.
"Sang Korok: Penjaga Rimba Hitam"
Terus saja dia klik pada tajuk itu. Tajuk itu membawa ke blog yang berlatar belakangkan warna hitam. Tulisan tajuknya berwarna merah. Yang lainnya berwarna putih. Terdapat satu tajuk kecil yang tertulis "AWAS. Ini kisah benar."
'Tok, tok, tok.' Pintu bilik Mona diketuk perlahan dari luar.
"Mona. Dah bangun ke?" Suara Puan Maria memanggil dari luar setelah ketukan tadi tidak mendapat apa-apa reaksi. Tangannya memulas tombol pintu bilik tidur anaknya. Kepalanya dijengah.
"Dah mama. Solat pun sudah." Mona menoleh kearah puan Maria. Terukir sekuntum senyuman manis di bibir mamanya.
"Kejap lagi mama nak ke pasar. Mona nak ikut?" Tanya puan Maria.
"Mona duduk kat rumah je la. Lagipun Mona tak nak kacau mama dengan papa dating. Hehehe." Mona mengusik puan Maria.
"Ada-ada saja la Mona ni. Mama nak goreng roti telur kejap lagi. Mona sarapan yang tu dulu ya."
"Okay ma." Mona menjawab pendek lalu menyambung kembali bacaan setelah Puan Maria menutup pintu.
"Sang Korok ni asalnya seorang lelaki. Anak tunggal kepada sepasang suami isteri. Sang Korok tu cuma gelaran. Nama sebenarnya tidak diketahui. Sang Korok berbeza dengan orang lain. Tingginya mencapai 7 kaki. Wajahnya tak sempurna. Dia seorang yang lurus. Tetapi dia sangat taat kepada orang tuanya."
Bacaan Mona terhenti apabila seekor burung gagak hinggap pada tingkapnya. Dia menghalau burung itu lalu bangun menutup suis lampu bilik. Perutnya berbunyi. Minta diisi.
"Kejap lagi la aku sambung baca," Mona berbicara sendirian seraya klik pada icon sleep. Skrin laptopnya langsung kelam. Dia mengambil tuala mandi lalu melangkah ke bilik air. Selesai mandi, Mona bersarapan di dapur. Puan Maria dan encik Khaleed telah lama keluar ke pasar. Setelah selesai bersarapan dan mengemas dapur, Mona kembali ke biliknya.
Mona menghempas tubuhnya diatas katil. Tidak lama kemudian, dia terlelap.
***
Mona kini berada di dalam hutan. Kawasan disekitarnya disimbahi dengan cahaya bulan. Kedengaran riuh rendah tidak jauh dari tempatnya. Mona bergegas kearah suara itu.
"Tolong, jangan bunuh aku. Tolong. Aku minta maaf." Seorang lelaki sedang terbaring diatas tanah sedang merayu-rayu.
Di hadapan lelaki itu berdiri kemas satu makhluk memegang parang yang dihiasi dengan tompokan darah. Badannya terlilit rantai besi yang panjang dan besar. Tingginya mencapai 7 kaki. Makhluk itu memakai tengkorak kepala haiwan dikepalanya. Seorang gadis berdiri disamping makhluk itu.
"Tolong jangan bunuh aku. Aku menyesal," lelaki itu merayu lagi.
"Dah terlambat untuk kau minta maaf. Sekarang kau terima sajalah balasan kau!" Gadis berambut panjang hitam pekat itu bersuara lalu mengundur beberapa langkah sebelum makhluk tadi menusuk kepala lelaki tadi dengan menggunakan parang. Gadis itu menoleh kearah Mona lalu memberikan senyuman.
"Selamat hari jadi..."
Mona meninggalkan tempat itu dengan serta merta. Dia berlari meredah apa saja yang ada di depan. Langkahnya terhenti apabila tiba-tiba saja ada seorang tua berjubah hitam berdiri memegang tongkat di hadapannya. Orang tua itu yang selalu muncul didalam mimpi Mona.
"Siapa kau? Kenapa kau suka ganggu aku?" Mona bertanya garang. Sikit pun dia tidak takut.
"Aku bukan ganggu kau. Aku cuma datang memberi amaran." Jawab orang tua itu perlahan.
"Amaran apa? Amaran tentang kematian aku?" Mona geram.
"Ya. Tentang kematian kau, anak muda. Sekarang pulanglah. Nikmati sisa-sisa hidup yang kau ada. Sebelum terlambat. Hehehehe..."
Orang tua itu terus ghaib.
Mona terjaga. Terus dia beristighfar. Jam ditelefonnya memaparkan angka 11.
"Mona. Mama nak masak nasi ayam ni. Sini tolong mama." Kedengaran suara Puan Maria dari dapur.
"Kejap ma." Mona membalas sambil menapak ke bilik air untuk mencuci muka.
-----------------------------------------------
"Apa masalah awak ni? Awak nak kerja ke tak nak kerja?" Seorang wanita berbadan gempal bersuara keras di hadapan Mona.
"Maaf, puan. Saya tak sengaja." Terketar-ketar Mona menjawab. Pandangannya ditundukkan. Tak berani nak bertentang mata dengan bossnya yang macam singa itu.
"Ini amaran terakhir untuk awak. Kalau awak buat lagi, siap la awak. Sekarang pergi sambung kerja." Wanita itu memberi amaran sambil membetulkan kaca matanya yang tebal.
Mona melangkah keluar dari bilik boss dengan lemah. Bukan dia sengaja untuk menjatuhkan pesanan di atas pelanggan. Dia asyik ternampak kelibat orang tua berjubah hitam di mana-mana.
"Mona, kau okay ke? Puan cakap apa pada kau?" Sahabat baik Mona, Mimi terus bertanya sejak tadi dia menunggu di luar bilik.
"Aku okay je. Takde apa. Puan cuma nak aku lebih fokus. Tu je." Jawab Mona perlahan sambil menuju ke bilik air. Mimi hanya memerhatikan Mona.
"Kau okay ke Mona?" Tanya Linda, tukang masak senior.
"Okay je kak. Cuma letih sikit." Mona membalas.
"Kalau macam tu takpe la. Pesanan dah siap. Pergi hantar kat meja 21. Jaga-jaga. Meja Dato tu." Linda mengingatkan.
Mona terus mengangkat dulang besi kecil yang berisi makanan dan minuman ke meja 21.
Matanya sekali lagi menangkap kelibat orang tua berjubah hitam diseberang jalan. Orang tua itu tersenyum memandang Mona.
"Lagi 3 hari..."
"Apa ni??"
Mona seakan tersedar dari lamunan. Dia melihat seorang lelaki berpakaian kemas di hadapannya. Tangan lelaki itu menyapu-nyapu kesan makanan dan minuman yang terjatuh pada pakaiannya.
"Mata kau kat mana?" Lelaki itu bangun dari kerusi.
"Saya minta maaf Dato. Saya tak sengaja." Mona sedikit cemas sambil mengemas meja itu. Semua pelanggan menumpu kepada mereka berdua.
"Mana boss kau? Panggil dia ke sini." Lelaki itu melihat sekeliling.
Tidak lama kemudian, wanita berbadan gempal tadi datang. Riaknya cemas.
"Minta maaf Dato. Saya minta maaf sangat-sangat." Wanita itu menyapu baju coat lelaki itu menggunakan sapu tangan. Matanya dijeling tajam kearah Mona.
"That's it. You're fired!"
Mona menuju ke dapur dengan rasa bersalah. Apronnya disangkut pada tempat penyangkut. Lalu masuk ke bilik rehat untuk berkemas.
"Mona. Kau nak balik ke?" Tanya Mimi. Riak wajahnya menampakkan kesedihan.
"Balik la. Buat apa nak tunggu kat sini lagi." Jawab Mona sambil menggalas beg di belakang.
"Tunggu la dulu. Bincang dengan puan. Mana tahu dia akan pertimbangkan." Mimi cuba memujuk kawannya.
"Takpe la. Lagipun aku dah bosan kerja kat sini." Mona mengambil topi keledar lalu dipakainya di kepala.
"Emm. Nanti kau nak kerja apa?" Tanya Mimi lagi.
"Pandai-pandai la aku cari nanti. Kau kerja baik-baik tau. Jangan jadi macam aku." Pesan Mona.
"Kau ni. Hmm. Yelah." Mimi lantas memeluk Mona.
"Dah la tu. Bukan kita tak boleh jumpa lagi lepas ni. Kau ni pun. Dah pergi sambung kerja kau." Mona meleraikan pelukan kawannya.
"Nanti kau datang tengok kami tak?" Soal Mimi lagi.
"Tengok la dulu macam mana." Mona menjawab pendek sambil keluar dari pintu belakang.
-------------------------------------
"Kau lagi?" Mona geram.
"Aku cuma nak beritahu yang masa kau hampir tiba. Hehehe." Orang tua itu menjawab.
Mona mendiamkan diri. Selepas itu dia mula bertanya.
"Macam mana aku mati?"
"Kau nak tahu?" Orang tua berjubah hitam itu perlahan-lahan menghampiri Mona.
"Ya. Aku nak tahu." Mona yakin.
"Kau akan mati..... MACAM NI!!!" Orang tua itu menusuk perut Mona dengan menggunakan parang.
Mona terjaga dari tidur.
"Mona dah bangun ke?" Soal Puan Maria sambil menolak daun pintu bilik anaknya.
"Dah mama. Mona nak mandi dulu." Mona bingkas bangun dari katil.
"Okay. Cepat sikit. Lepas mandi, pakai cantik-cantik. Lepas tu turun ke halaman rumah. Pukul 10 kejap lagi tetamu datang," Puan Maria mengingatkan Mona sambil menutup pintu kembali. Mona merenung kosong dinding bilik airnya. Tanpa berlengah pancuran air dibuka.
Jam menunjukkan pukul 9:45 pagi, tetapi sudah ada tetamu yang hadir. Masing-masing membawa hadiah.
"Ramonaaaa!"
Mona berpaling ke arah suara itu. Rupanya Mimi.
"Selamat hari lahir Monaaa!" Mimi terus memeluk Mona. Pelukannya dibalas.
"Aku bawa sepupu aku ni. Nama dia Lana." Mimi memperkenalkan sepupunya kepada Mona.
"Hai Mona. Selamat hari lahir."
Mona dan Lana berjabat tangan.
"Terima kasih." Mona merenung Lana.
"Macam pernah nampak." Mona bermonolog di dalam hati.
"Takkan kita nak berdiri kat sini je. Taknak jemput kami ke?" Mimi bergurau.
"Eh. Haa marilah. Kejap lagi nak potong kek." Mona mengajak mereka berdua ke meja utama.
Majlis pada pagi itu berlangsung meriah. Berpuluh-puluh ucapan selamat hari lahir diterima Mona. Begitu juga dengan bungkusan hadiah. Lana merenung Mona tajam. Dari jauh Mona ternampak kelibat seseorang.
Lelaki tua berjubah hitam sedang berdiri di atas pagar batu. Hanya Mona seorang saja yang dapat melihat lelaki itu.
"Masa kau hampir tamat, Mona. Hampir tamat." Tubuh lelaki itu mula membesar. Parang yang bersinar dipegang di tangan kanannya.
Mona tergamam. Terus dia berlari masuk kerumah. Puan Maria dan Encik Khaleed hairan dengan sikap anak tunggal mereka itu. Para tetamu juga hairan.
Mona mencapai sebilah pisau di dapur sebagai senjata untuk mempertahankan dirinya sebelum menguncikan diri di dalam bilik tidurnya.
"Mana kau? Kalau kau berani, datang kemari. Biar aku bunuh kau." Mona bersuara lantang sambil mengacu-acukan pisau ke sana sini. Tiba-tiba, almari pakaiannya bergoyang. Pintunya ditolak dari dalam. Sosok berjubah hitam mula menampakkan diri.
"Sini kau. Sebelum aku mati ditangan kau, kau akan mati ditangan aku dulu." Tengking Mona.
Puan Maria dan encik Khaleed berada di luar biliknya. Mengetuk-ngetuk pintu. Para tetamu juga menggerumuni diluar.
"Kau silap, Ramona. Kau bukan mati ditangan aku."
"Habis, siapa yang bunuh aku?"
Di belakang orang tua itu munculnya satu sosok setinggi 7 kaki. Kepalanya ditutupi dengan tengkorak kepala haiwan. Rantai besi besar terlilit kemas dibadannya. Tangan kanannya memegang sebilah parang.
"Aku cuma datang untuk ambil jantung kau. Buat makanan kepada anak aku ni."
Makhluk setinggi 7 kaki tadi mula bergerak perlahan-lahan menghampiri Mona.
Tubuh Mona seakan-akan kaku. Pisau pada tangannya terlepas. Mukanya berubah pucat.
"Jadi kaulah yang nak bunuh aku," Mona bersuara perlahan.
Makhluk setinggi 7kaki itu hanya mendiamkan diri. Melihat keadaan makhluk itu, Mona terus merampas parang yang berada di tangannya lalu bergerak ke pintu. Tombol pintu dipulas sambil dia memanggil Puan Maria dan Encik Khaleed.
"Sia-sia saja usaha kau," Orang tua itu bersuara sambil berdiri di sisi anaknya.
Mona menuju pantas kearah lelaki setinggi 7 kaki itu lalu menikamnya bertubi-tubi.
"Ini pun sia-sia saja. Kami takkan mati," Orang tua itu bersuara.
"Aku takkan mati di tangan kau. Sebelum kau bunuh aku, lebih baik aku..."
Mona menikam perutnya sendiri dengan menggunakan parang yang berada di tangannya. Katilnya dibasahi darah merah. Air matanya mengalir dipipi.
Pintu biliknya dibuka.
"Monaaa! Apa dah jadi ni nak? Kenapa Mona buat macam ni?" Puan Maria terus merangkul Mona sambil menangis.
"Mama, papa, Mona minta maaf. Mona nak bebas." Suara Mona perlahan, menahan sakit dengan sisa baki nafas yang ada
"Apa yang Mona cakapkan ni??" Puan Maria masih menangis sambil Encik Khaleed menyuruh orang menelefon ambulans.
"Mona dah tak tahan. Sekarang Mona sudah bebas...." ujar Mona dengan lemah sebelum menghembuskan nafasnya yang terakhir dipelukan puan Maria.
-TAMAT-
===========================================
Gambar: Azman Zainordin
Anda ada kisah seram, komedi-seram, misteri, thriller ataupun mind-blowing? Apa kata anda kongsikan kisah anda kepada kami.
Hantar kisah anda ke inbox Arkib Angker Negara atau emelkan ke aanrc2017@gmail.com
Nyatakan sekali nama akaun Facebook, blog, Instagram, Twitter atau webpage anda untuk pengkreditan
No comments:
Post a Comment