Saturday, 25 November 2017

BEDAH BATIN - Kamenrider


BEDAH BATIN
Oleh: #kamenrider

Hari ini slot W namun dia ada masalah teknikal, maka saya dengan rela hati mengisi slot malam ini dengan kisah pengalaman saya sendiri. Saya percaya, ramai di antara anda-anda pembaca tidak mengenali saya. Kenapa saya boleh join AAN yang saya sendiri tak tahu puncanya. Mungkin Allah dah aturkan perjalanan saya untuk berkarya di sini untuk anda semua. Antara kisah saya yang sudah dikongsi pada umum adalah Bangi Bandar Berhantu dan 5 bab kisah-kisah seram yang berlaku di UKM Bangi.
Mungkin ada juga di antara anda yang sudah baca cerita saya ini di beberapa laman sesawang. Kisah ini merupakan 100% kisah benar dengan bersaksikan beberapa lagi rakan baik saya. Diharap anda dan anda tidak melatah dan saya tidak sesekali memaksa anda percaya dengan kisah saya ini.
Saya juga berharap tiada satu pun di antara kalian yang mesej saya atau inbox AAN bertanya perihal nombor contact pengamal perubatan dalam cerita ini atas permintaan peribadi orang yang terlibat.
===========================
Tahun 2014
Kisah bedah batin ini bermula apabila aku membuat keputusan untuk menginap di sebuah apartment area Kajang-Bangi, Seksyen 7 (hint dekat dengan sup urat keting) bersama dengan tiga orang geng UKM. Duduk dengan kawan ini best weh, berjoyah 24 jam, galok masing-masing, nak keluar balik lewat pon tak ada masalah, main masak-masak lah. Serius pengalaman terbaik sebab selama ini aku duduk dengan famili je.
Kami berempat menjalani kehidupan normal, semua bekerja kecuali Kak Joyah yang gigih habiskan sisa-sisa PhDnya. Bermulalah kisah misteri satu per satu terjadi dalam rumah kami. Mungkin terlalu banyak peristiwa berlaku sampai aku lupa urutan kisah kami.
Bunyi guli, bunyi orang buat sambal belacan dengan lesung batu pagi-pagi buta dan alih perabot tu macam dah biasa kami dengar. Pili air terbuka tu pun biasa, macam senaman kami ulang-alik tutup paip. Suis lampu terbuka tertutup sendiri, mungkin 'benda' tu nak berdisko.
Bilik senior kami, Kak Joyah ni memang bersih dan tersusun rapi barang-barangnya. Bilik dia ada satu teddy bear sebesar badan aku, kadang-kadang Kak Joyah keliru mana satu aku mana satu teddy bear. Bila Kak Joyah keluar dating, teddy bear dia bergerak! Dia baring atas lantai, ubah posisi kedudukan asal sehingga kami musykil siapa yang masuk alih benda alah ni? Acah-acah Annabelle Doll pulak.
Cerita tentang Kak Joyah belum berakhir, ada satu hari aku tengah tekun bekerja tetiba teman sebilik aku si Timah menghantar satu gambar selfie Kak Joyah.
Aku macam "Kenapa nak lesbian sangat bagi gambar Kak Joyah?".
Sekali Timah kata " Tengok betul-betul belakang kat Joyah ada kelibat lelaki hitam weh".
Aku terus tergamam, zoom in banyak kali. Kelibat lelaki tu dah photoboom masuk dalam gambar, macam separuh badan serupa macam orang yang sedang mengintai, cak! Orang minyak ke? Entah! Yang penting penampakan sungguh jelas, kelibat lelaki tu akhirnya munculkan diri. Bermakna, selama ini kami mempunyai seorang teman serumah yang duduk FREE dalam rumah tu. Mungkin dia lah yang buat sambal belacan, main guli, main pintu, main lampu dan sebagainya. Nakal ya. Sejak itu juga aku cuak nak selfie lagi-lagi dalam rumah tu.
Alih cerita Timah pula, dia adalah teman sebilik aku dan dia ni kerja sambil belajar. Kerja dia keluar masuk hutan ambil sampel serangga dan katak. Sebabkan kerjayanya begitu, dia selalu je kena ganggu tapi dia ni jenis hati kering tak ambil kisah sangat (tak layan emosi sangat dengan gangguan). Hatinya lembut dengan abang gajah je.
Ada bunyi orang buka pintu utama masa dia tengah mandi, bila dia periksa tak ada orang pun balik rumah lagi masa tu. Setakat pintu berdentum masa tengah syok tidur tu dah biasa sangat. Bukan ada angin kuat pun dalam rumah tu. Kalau tengah tidur kena sentak kaki pun biasa. Ada satu masa, saudara dia datang tumpang tidur kat rumah kami. Ramai-ramai kena kacau.
Saudara dia dengar suara budak menangis tepi sinki dapur kami semasa bangun pagi untuk minum air. Pintu berdentum beberapa kali jangan cakaplah, memang tak lena langsung tidur malam tu. Dan kemuncak gangguannya apabila dia terasa ada sesuatu atas kepala dia, tak nampak tapi terasa rengusan nafas. Sejak itu dia trauma nak tumpang tidur rumah kami lagi.
Dalam bilik kami ada dua katil asalnya, disebabkan aku berat macam badak, patah besi katil tu maka sejak itu aku tidur guna tilam je atas lantai. Bila tak ada katil, aku malas la nak bangun-bangun. Kebiasaannya aku akan selalu lepak dalam bilik je pinjam laptop si Timah ni tengok DVD Kamen Rider.
Satu malam, tengah asyik tengok Kamen RIder lagi-lagi masa tu part konflik, aku memang sangat-sangat fokus siap pakai earphone. Aku tahu si Timah ni tengah galak gosip dengan Kak Joyah dan Kak Senah kat ruang tamu.
Tetiba si Timah ni datang bilik duduk atas katil panggil aku ajak berborak. Aku bengang betul potong stim fokus aku. "Kau nak apa kacau aku tengah syok ni?" Aku serabut tapi aku buat muka 'fake' nak layan dia juga.
Aku dengar dia bercerita sampai aku 'pause' cerita Kamen Rider (aku seorang yang lebih pentingkan Kamen Rider dari si Timah, kalau aku 'pause' tu maknanya seruan gosip si Timah ni POWER).
Pastu si Timah nak pergi jamban pula, sebab gelak macam haram tadi sampai nak terkucir. Sementara tunggu aku 'play' semula Kamen Rider.
Tak sampai berapa saat dia dah keluar sambung gosip. Aku masa ni dah menyampah nak sambung cite Kamen RIder sebab feel tu dah tak sampai dah sebab kena kacau.
Aku 'pause' lagi dan layan semula si Timah. "Woi kejap gila kau kencing, kau basuh tak?" Aku tegur.
"Basuhlah gila!" Naik suara si Timah. Kami sambung gosip, sekarang si Timah masih duduk atas katil menghadap aku.
"Dengar la cerita aku ni... bla blaa blaaa...." aku lupa kami cerita tentang apa tapi memang gosip kelakar sampai aku berdekah-dekah malam tu. Dari keadaan berlunjur baring-baring malas aku jadi panas bontot terus mengiring tongkat kepala sambil layan si Timah bergosip. Maknanya agak lama juga la.
Sekelip mata.....
Sekelip mata si Timah yang lagi satu masuk bilik buat muka lega selepas buang hajat. Aku macam terus terkejut, bukan ke sesaat tadi si Timah duduk depan aku atas katil ni sambil gelak-gelak sambung bergosip?
Dalam masa yang sama, spontan aku terkejut sehingga sedikit terjerit melatah "Ehh!!" Aku pandang tempat Timah duduk tadi dengan Timah yang baru masuk. Timah yang atas katil tadi siapa? Jelmaan Timah atas katil lesap sekelip mata.
Si Timah ni terkejut la bila aku terjerit "Ehh!!" pastu riak muka aku masa tu betul-betul terkejut beruk. "Kau kenapa Nadey?".
Aku terdiam sekejap hadam apa yang berlaku. "Wehhhhh sumpah!! 
Sumpah aku baru je berborak ngan kau, kau duduk depan aku ni ha! Aku sanggup 'pause' kamen rider sebab layan ko berborak ni. Kita siap gelak-gelak lagi,!" Masa ni aku terus bangun terangkan pada si Timah. Masa ni kami berdua dah mula rasa meremang.

"Ni aku baru masuk bilik ni haaa. Kau jangan main-main Nadey".
"Baru masuk?". Ah sudah, aku cakap dengan siapa tadi? Masa ni, aku terus 'off' Kamen Rider bukak surah ruqyah. Bila dah cuak, banyak tenaga aku guna masa cuak tadi terus-menerus terasa lapar. Aku buat-buat alasan lapar untuk keluar dari bilik. Mungkin hantu raya si Timah itu masih dalam bilik, tak nak lah 'dia' tahu yang kita ni takut pada dia kan?
Sejak dari kes hantu raya tu, kami pasang surah Al-baqarah non-stop selama 3 hari. Hari pertama, kami dengar Kak Joyah mengigau macam mengerang-ngerang kat ruang tamu. Kami tahu dia jenis mengigau sleep walker begitu, maka itu MEMANG aktiviti paranormal Kak Joyah yang normal. Tapi malam itu dia mengerang lain macam, si Timah ni terjaga tapi dia malas layan, dia pejam mata rapat-rapat dan paksa tidur semula.
Hari kedua pasang surah Al-baqarah, aku biasa tidur bukak lampu kecik ala-ala romantik sebelum tidur baca novel (padahal aku takut tidur dalam gelap selepas apa yang terjadi). Malam itu aku tertidur menghadap dinding sambil peluk DVD Kamen RIder.
Pagi buta itu, si Timah menerima panggilan alam dia bangun tanpa memakai kacamata. Ya, dia memang rabun teruk tapi masih boleh melihat jelas dari dekat walaupun sedikit kabur. Usai laburannya, dia masuk semula ke bilik tetiba terkedu bila dia nampak ada kelibat hitam atas kepala aku sambil perhatikan aku tidur.
Dia yakin dengan apa yang dia lihat jelas sebab masa tu lampu romantik itu masih terbuka. Dia terus melompat atas katil paksa tidur. Al-baqarah masih berbunyi dari laptop itu, tetiba ada suara dekat dengan telinga si Timah macam menganjing bacaan surah yang kami pasang tu. Kalau kau? Cuak tak. Memang 'benda' tu tak takut dengan ayat Al Quran siap menganjing apa perasaan kau? Hanya zikiran, ayat kursi yang diulang oleh si Timah sehingga dia tertidur semula.
Seawal 5.15 pagi aku bangun awal bersiap untuk ke pejabat kalau lewat habis terperangkap dalam 'jam' . Bangi ke TTDI KL memang gila sesak. Si Timah yang tak lena tidur ni terus bangun dan cerita apa yang terjadi pada dia tadi.
Nampak kelibat dan hantu raya menjelma sebagai Timah itu kes biasa lagi tapi kalau gangguan bisik kat telinga menganjing surah Al-baqarah tu bagi aku maksimum melampau. Yelah, kau nak halau dia tapi dia tak lut pula dengan ayat Al-Quran. Macam mana kami nak terus duduk rumah macam ni?
Masa itu, kami betul-betul rasa seram maksimum sampaikan aku nak solat dalam bilik terdengar 'benda' tu hembus-hembus nafas kuat kiri kanan belakang aku. Buat dia terjah macam kes kat UKM dulu habis terkucir aku. Sejak tu aku memang solat kat ruang tamu biar semua tengok aku solat.
Malam tu kami paksa seorang rakan lelaki kami, Anas ni datang rumah kami. Sebab dia kata ada kawan yang boleh halau hantu. Malam itu dia dan geng-geng datang rumah. Kawan Anas tu beritahu yang dia dah halau hantu tu. Tapi macam-macam hal pula terjadi selepas tu.
Dengan rentetan gangguan tu juga, kesihatan aku merosot. Sakit satu badan, terutamanya tulang belakang. Bila ke Hospital Serdang dan KPJ Damansara doktor tak dapat apa-apa keputusan yang pelik dari hasil diagnosis x-ray semua. Masa tu sakit macam tak boleh tanggung dah, aku selalu MC sehingga bos aku risau yang amat. Aku pula alergi dengan pain killer lagi-lagi yang dos tinggi seperti Voltaron. Tiada pilihan tahan je la sakit sendirian tanpa ubat.
Dengan nasihat keluarga Timah, kami membuat keputusan untuk balik ke Terengganu berubat dengan saudara si Timah. Dia ada kebolehan buat bedah batin buang hantu dan saka. Awal-awal dia ingatkan kami untuk ambil gambar area dapur, ruang tamu dan bilik.
Kami gerak ke Terengganu dua kereta enam orang, Timah, Joyah, aku, Mael, Usop dan Kiah. Dengan niat nak bersihkan satu rumah dan semua sekali termasuk penghuni rumah.
Langkah masuk je dalam rumah saudara Timah yang dikenali sebagai Mat ni dia dah tegur ada benda berat sangat kat aku. "Berat nim, ini ketua jin!" Dia siap tegur kawan dia. "Weh... budak ni ada bapok jin weh". Boleh bayangkan tak muka aku masa tu?
Memula aku rasa macam kau ni perli aku gemuk ke? Disebabkan aku dah jumpa ramai sangat orang yang berubat ni, makin lama aku rasa semua ni menipu je. Tengok muka aku yang macam menyampah, Si Timah cepat-cepat 'volunteer' kan diri berubat dahulu.
Satu per satu perlakuan Si Mat ni tarik sesuatu dari badan si Timah masuk ke botol. Berpeluh-peluh tengok botol tu. Tapi logik la biasa kalau masuk angin dalam botol mesti ada wap air. Kita ni budak sains kan, so fikir macam tu je. Susah nak percayalah kononnya. Lepas berubat, Mat 'snap' gambar botol. Dia tunjuk kat kami.
"Nampak tak?"
Aku terkejut sebab aku nampak jelas figura Pocong dan beberapa muka lagi. Aku diam menunggu reaksi Timah dan yang lain masih keliru. Akhirnya aku bertanya... "Betul ke kau orang tak nampak? Aku nampak pocong tu..," Mat terus tersenyum tanda aku nampak apa yang dia nampak juga. Yang lain menggeleng kepala tak nampak jelas seperti yang aku dakwa.
Si Timah dan Joyah bertanya "Kenapa kau nampak aku tak?? Mana satu??". Aku rasa mungkin itu hanya ilusi aku. Bukan pocong je aku nampak, aku siap nampak macam asap halus gerak-gerak lagi dalam botol tu.
Tiba giliran Kak Joyah. Masa ni Mat kata "Ada pontianak" pulak. Masa ni aku dah tergelak "Eh tadi pocong ni pontianak pulak". Dialah yang duduk kat bilik Kak Joyah. Mungkin pontianak inilah yang main-main dengan teddy bear dalam bilik tu.
Tengok dalam botol biasa je. Macam botol Timah juga, cuma kali ni lebih jelas nampak berambut, siap bertaring. Sampai giliran Mael pula, jelas nampak rupa sami (dari jauh macam cahaya kuning), ada yang rupa pocong dan yang rupa macam perempuan dengan wajah mengerikan. Mat kata tu hantu tok sami, terus dia tergelak-gelak. Sumpah saiko bila kami dengar dia gelak. Seperti macam banyak benda tersirat dia nak tunjuk kat kami. Mael kata, "Aku baru balik dari Bali. Masuk kuil itu ini mungkinlah kot". Level kepercayaan aku masa ni dah naik.
Setiap botol yang terkumpul mesti berpeluh lain macam, berwap seperti ritma kita bernafas.
Tibalah giliran aku. Aku berdebar-debar. First dia pegang kepala aku turun ke tengkuk dan bahu. Tarik satu-satu masuk dalam botol, aku kira lebih kurang 59 kali. Macam proses berubat sebelum ni, aku rasa biasa je tapi rasa ada angin sejuk la lalu kat bawah kulit. Tu satu perasaan susah aku nak jelaskan dengan kata-kata. Sepanjang proses Mat tu, aku berdebar lain macam sehingga dia tarik sesuatu dari tulang belakang aku. Masa ni rasa panas lain macam.
Habis je rawatan, Mat terus teruja ambil gambar botol. Apa yang kami nampak? Satu jin ni sebijik macam topeng Iron Man, bertaring jelas sangat. Menurut Mat itulah ketua jin tu. Bawahnya tiga ekor anak jin. Ada jin-jin lain yang berupa iras beruk, wajah-wajah yang menakutkan. Boleh kata, dalam banyak-banyak botol yang ditangkap, botol aku yang paling jelas menunjukkan berpuluh-puluh wajah yang mengerikan. Ada juga yang email aku mengatakan dia nampak ada satu pedang berwarna hijau dalam gambar tersebut.
Aku tak puas hati, aku ambil gambar sekali lagi dengan telefon bimbit aku. Mat hanya tergelak melihat reaksi aku yang masih tak boleh terima hakikat. "Tapi saya tak boleh buang saka awak sebab dia tak ada kat sini". Aku tunjuk gambar famili aku, "Dalam gambar ni, dari lima orang yang saya nampak menda berat sangat pada ayah dan awak." Kami tergelak sebab semua orang dalam gambar tu bersaiz badak, memanglah berat. Namun, tak boleh sorok riak wajah masing-masing yang agak risau dengan pernyataan Mat tadi.
Mat sambung lagi, "Kalau awak semua tak percaya rawatan saya, boleh tanya mana-mana pengamal dan Darul Syifa dia mesti nampak bekas jahit bedah batin ni."
Lepas rawatan dia beri amaran tiga hari tak boleh makan pisang, satay, makanan pedas dan banyak lagi. Tapi entah macam mana petang tu kami semua terlupa bila nampak pisang goreng. Malam itu, Mat terpaksa datang dan jahit semula luka yang terbuka.
Malam itu juga dia tarik hantu raya dari gambar rumah kami. Menurut Mat ada tiga ekor hantu raya kat bahagian ruang tamu dan dapur. Masa ni terus teringat kes photoboom dalam selfie Kak Joyah dan jelmaan Timah itu angkara hantu raya dalam rumah kami.
Sebenarnya, cerita ini adalah permulaan dari kebongkaran kisah famili kami bertiga (aku, Timah dan Joyah). Barulah aku tahu tentang kisah famili aku sendiri. Rupanya persoalan gangguan aku selama ini semuanya berkaitan. Walaupun rumah kami dah 'bersih' tak sangka perkara lain pula yang datang ganggu kami.
Terpulang pada semua nak percaya atau tidak. Kalau anda nampak puluhan muka dalam botol tu hehehe......
hijab anda mungkin...
Tamat
===============================
Nanti kalau ada masa lagi, saya kongsi lagi pengalaman-pengalaman saya.
Salam Henshin!

Anda ada kisah seram, thriller, pengalaman, atau sesuatu yang mind blowing? Hantarkan karya anda untuk dikongsi bersama di sini. Kepilkan karya anda dalam bentuk Words dan inbox kepada kami, atau hantarkan melalui email ke:
aanrc2017@gmail.com
Sila sertakan nama, link Facebook atau Twitter, untuk tujuan pengkreditan.

No comments: