Wednesday, 15 November 2017

LUKISAN - Xander Xavier


LUKISAN

======================
Remy berjalan perlahan sambil meneliti gambar-gambar yang dipaparkan di galeri milik sahabat baiknya, Ishak. Satu persatu lukisan dan potret yang dipaparkan dibelek dan diperhati dengan teliti. Remy adalah pengkritik lukisan yang terkenal dengan hasil kerjanya yang teliti malah dengan kemahiranya, namanya sentiasa disebut-sebut oleh penggiat seni lukis di Malaysia malah antarabangsa.
Remy melangkah lagi sehingga perhatianya tertarik pada sebuah lukisan yang memaparkan imej dua orang kanak-kanak. Seorang budak lelaki dengan pistol kayu dan seorang lagi budak perempuan dengan anak patung di tangan. Riak wajah gadis kecil itu kelihatan ketakutan, seperti menunggu masa untuk menangis. Mereka berdua berdiri di hadapan pintu kaca sebuah rumah usang. Ia sebuah lukisan biasa namun halus jiwanya merasakan lukisan ini seperti mempunyai aura yang kuat dengan dirinya tapi…, entahlah!
“Woi, jauh menung! Hero Malaya dah puas merantau? Amacam dengan koleksi di galeri aku?” Ishak menepuk belakang badan Remy. 
“Mana kau dapat gambar ni?” Lelaki bertubuh sasa itu menjawab pertanyaan sahabatnya dengan soalan.

“Entah, aku jumpa depan galeri. Mungkin ada orang letak kot. Aku tengok macam bukan lukisan biasa-biasa maka aku letakkan saja di sini. Eh, kau dah 5 tahun membawa diri, kejap ke London, kejap balik semula ke Malaysia. Kau tak nak jenguk keluarga kau ke?” Ishak cuba menyentuh rasa rindu sahabatnya itu.
“Aku tak nak cakap pasal ni lah… Kau nak jual tak lukisan ni? Aku sanggup bayar berapa pun…,” ternyata dendam masih bersisa di hati Remy.
“Kau tau tak yang Emma…,” Ishak mencuba lagi. Namun belum sempat dia menghabiskan perkataannya, Remy sudah memotong terlebih dahulu.
“Kau faham tak?! Aku tak nak dengar pasal dia lagi! Sebab dia aku kena halau! Tiada siapa percayakan aku. Demi Tuhan aku bersumpah, bukan aku yang tolak dia tapi Mama dan Papa langsung tak ada simpati buang aku. Aku tahulah aku ni anak susuan je…,” Remy marah tetapi hanya suara pilu yang mampu dikeluarkan.
“Ok… ok cool Remy. Kau nak tak lukisan ni? Kau ambillah, aku bagi percuma lagipun aku dapat ‘free’ juga,” Ishak serba salah. Dia cuba mengalihkan topik perbicaraan mereka.
Setelah seharian sibuk, lewat malam itu Remy pulang ke rumahnya. Dia menghilangkan lelahnya di atas sofa kegemarannya. Fikirannya kosong. Pada usianya yang masih muda, dia sudah memiliki segalanya kerjaya, populariti, kekayaan, wajah pun boleh tahan juga tampan namun isu keluarga membuatkan dia berasa hidupnya masih tidak sempurna. Remy benci keluarganya.
Remy mengiring badannya ke kanan. Dia terpandang bungkusan lukisan yang diberikan Ishak siang tadi. Dia bangun dan mengoyakkan bungkusan lukisan itu perlahan-lahan. Takut kalau-kalau tindakannya ‘mencacatkan’ lukisan itu. Dia menatap lama lukisan itu. Imej dua orang kanak-kanak itu membuatkan hati Remy yang tadi serabut kini kembali tenang. Wajah mereka yang ‘innocent’, membuatkan Remy tersenyum sendirian.
Remy tercari-cari sudut yang sesuai untuk dia menggantungkan bingkai lukisan itu. Akhirnya dia memilih untuk menggantungkan lukisan itu di sofa kegemarannya yang kebetulan ia terletak betul-betul di bawah lampu yang memberikan efek khas pada nilai estetika lukisan tersebut. Remy gembira dengan lokasi lukisan itu. Dia baring sambil menatap lukisan itu sehingga terlelap.
Jam 3.00 pagi, Remy terbangun daripada tidur. Dia kehausan. Dalam keadaan mamai, dia perlahan menuruni tangga untuk ke dapur. Ya, bilik tidur Remy di tingkat dua dan dapur di tingkat bawah. Baru setengah anak tangga dia turun, telinganya menangkap bunyi pelik. Bunyi itu seakan-akan bunyi beberapa butir guli yang dijatuhkan ke lantai lalu bertaburan.
Tikkkkk…. Tik... Tik…..Tik…
‘Siapa pula yang bermain guli tengah malam buta ni’ Getusnya sendirian
“Ehehehe…… Ehehehe,” kedengaran suara kanak-kanak ketawa.
Remy terus laju menuruni tangga. Sampai sahaja dia di bawah, tiada sesiapa! Dia memeriksa setiap sudut rumahnya. Malah, luar rumah pun turut diperiksa juga. Mungkin khayalannnya saja. Remy masuk semula ke dalam rumah dan matanya sempat menjamah pada lukisan tadi. Dia menggelengkan kepalanya, tak logik langsung apa yang terlintas difikirannya tadi.

Keesokan harinya, Remy sibuk dengan urusan kerjanya. Daripada program siaran langsung di stesen televisyen sehinggalah perancangan pameran koleksi lukisan dari Rusia yang akan dibawa masuk ke Malaysia tidak lama lagi. Seharian sibuk, dia pulang ke rumah pun sudah sangat lewat, lebih kurang pukul 2 pagi. Saat Remy memulas tombol pintu, dia terdengar sekali lagi suara kanak-kanak persis kejadian semalam dari dalam rumah. Segera dia menguak pintu dan lampu dinyalakan. Remy terkedu.
Rumah yang tadi ditinggalkan dalam keadaan elok berkemas kini semuanya sudah berterabur. Apa yang terlintas difikirannya, kemungkinan rumahnya diceroboh. Dia kalut mencapai batang penyapu dan memeriksa alat pengera keselamatan sekeliling rumahnya, takut juga jika penceroboh masih bersembunyi. Apabila turun kembali ke tingkat bawah, dia perasan kusyen-kusyen sofanya tersusun pelik. Remy termenung lama, susunan kusyen itu membuatkan dia terkenang zaman kecilnya. Dia sering bermain menyusun kusyen seperti pondok kecil seperti itu bersama-sama Emma. Perlahan air matanya menitis.
Malam itu juga, Remy tidak dapat melelapkan matanya. Dia terkenangkan Emma, Mama dan Papa. Namun, perasaan itu segera dibuang jauh-jauh. Remy amat terkilan, yang mereka sanggup menghalaunya keluar dari rumah semata-mata kerana dituduh menolak Emma. Dendam bersisa, amarahnya tak pernah padam. Akhirnya dia tertidur juga dalam keadaan begitu.
Pukul 3.00 pagi, Remy terjaga lagi. Kali ini bukan kerana haus tetapi dia terdengar suara tangisan halus di hadapan pintu biliknya. Diperhatikan ruang bawah pintu kelihatan bayang-banyang kaki seseorang. Dia bangun dari pembaringan dan melangkah perlahan. Pintu dibuka, dengan semena-mena ada kelibat berlari-lari menuruni anak tangga. Remy mengejar kelibat itu dan sempat mengintip di balik anak tangga. Alangkah terkejutnya dia melihat seorang kanak perempuan masuk ke dalam lukisan barunya itu dengan sekelip mata.
Remy terpana! Apa yang dia lihat tadi? Adakah dia terlalu stress sehingga terbayang yang bukan-bukan? Remy merengus bengang, dia kembali semula ke bilik tidur dan cuba melelapkan matanya. 
Pukul 4 pagi, Remy terjaga lagi. Dia merasakan selimutnya ditarik agak kuat dari bawah katil. Perlahan-lahan, dia bangun. Selimut diselak pantas. Dia melihat seorang perempuan yang cukup hodoh dan mengerikan sedang mencangkung di lantai sambil menarik selimutnya! Remy menjerit sekuat hatinya, tanpa fikir panjang dia membuka langkah berlari keluar daripada bilik tidurnya. Langkahnya terhenti sebelum menuruni tangga. Dia terdengar lagi suara dua orang kanak-kanak sedang rancak berbual.

“Kita nak bagitahu dia tak?” Agak pelat tuturannya.
“Kalau kita bagitahu dia, mesti Perempuan tu marah!” Kali ini suara lain yang bertutur agak fasih membalas.

“Tapi syian dia…,” suara yang agak pelat itu kembali menjawab.
Remy terduduk terus di tepi tangga, dia teringat sesuatu. Seraya itu, dia merasa ada sesuatu yang mendekati di belakangnya, apabila dia menoleh dan…
“Arghh!” Remy tergolek dari tangga atas laju ke bawah.
Sedar-sedar dia sudah berada di atas katil hospital, kepala dan satu badannya sakit-sakit. Kerutan wajahnya membuatkan Ishak berada di sebelah kalut memanggil doktor. “Wei, kau kenapa?! Macam mana boleh jatuh tangga? Kenapa tak kunci pintu rumah? Kalau perompak masuk macam mana? Ke kau memang kena rompak?” Ishak menghujani Remy dengan jutaan pertanyaan.
“Is! Is! Shhhh… Emma sekarang kat mana?” Pertanyaan Remy membuatkan Ishak jadi kelu. Dia terdiam seribu bahasa, serba salah.
“Inilah yang aku cuba nak cakapkan dengan kau kelmarin. Tapi kau degil! Kau tak nak dengar. Sebenarnya…. Emma, Mama dan Papa kau dah lama meninggal dunia.” Remy separa menjerit terkejut.
“Tak silap aku, sejak kau buat keputusan nak ke London lima tahun lepas, mereka bertiga dijumpai terjatuh dari tangga bertindih-tindih di rumah. Menurut polis kemungkinan ini kes rompakan sebabnya lukisan Emma ada yang hilang. Salah seorang bibik kau yang perasan lukisan tu hilang,” Ishak menerangkan dengan panjang lebar.
“Kenapa aku tak tahu? Aku ni keluarga mereka. Satu apa pun aku tak menahu ni. Polis tak siasat aku ke? Masakan aku ahli keluarga terdekat langsung tidak menjadi suspek? Kau pernah tengok tak lukisan Emma yang hilang tu?” Suara Remy bergetar menahan sebak. Perkara ini amat mengejutkan.
“Lukisan itu aku tak tahu. Polis ada juga datang ke galeri aku buat siasatan. Kes ini di luar pengetahuan kau buat aku rasa pelik juga. Kau tau je la family kau bukan orang sebarangan. Kes ni berprofil tinggi. Mula-mula kecoh tiba-tiba je senyap macam tu je. Ada juga yang beritahu aku kes ditutup terus dan pihak polis membuat kenyataan bahawa itu kes kemalangan yang tidak disengajakan. Berapa lama aku cuba cari kau Remy… ” Ishak menjelaskan lagi.
“Kau… kau tahu mana kubur mereka Is? Ermmm… tolong teman aku pergi rumah keluarga aku dulu. Sekarang!” Remy mendesak.
“Nanti dulu… Kau tak sihat lagi ni!” Ishak cuba menenangkan Remy.
Setelah beberapa kali dipujuk, Remy kembali tenang. Namun keadaanya seperti tidak stabil, matanya jelas menunjukkan sesuatu telah berlaku. Pilu hati Ishak melihat Remy menangis teresak-esak. Walaupun Ishak tidak tahu apa-apa, tapi dia tahu Remy sangat memerlukannya pada ketika ini.

Beberapa hari kemudian, Remy dibenarkan keluar dari wad. Dia meminta Ishak singgah di rumahnya sebentar. Remy memanjat sofa dan mengambil bingkai lukisan yang sudah beberapa hari digantung di dinding rumahnya. Dia meniliti sekali lagi lukisan itu, pasti ada sesuatu yang pelik mengenai lukisan itu. Bila diamati, barulah dia perasan ada satu lagi kelibat perempuan asing dengan wajah yang amat mengerikan dalam lukisan tersebut.
Dia amat yakin sebelum ini tiada imej asing melainkan dua orang kanak-kanak itu sahaja. Otaknya ligat mencari memori, akhirnya dia teringat. Perempuan misteri itulah yang menarik selimutnya tempoh hari. Remy spontan melemparkan jauh, berderai habis kaca bingkai lukisan itu.
“Kau ok?” Ishak kelam-kabut berlari masuk ke dalam rumah.
“Aku dah ingat Is…,”
“Kau ingat apa? Cerita dekat aku… Kenapa campak lukisan tu?” Ishak cuba menenangkan Remy.
“Kau dengar dan cuba fahamkan…”
Tahun 1997, Kampung Culas Lama
Remy dan Emma sedang bermain di hadapan rumah mak cik mereka. Bukan main sebenarnya lebih kepada mengintai. Kenapa rumah mak cik mereka? Sebab mereka berjiran. Lagi pula, kini rumah itu hanya dihuni oleh kakak sepupu mereka yang pelik.

“Abang, nak bagitahu kak Dina tak?” Emma menoleh ke kiri dan ke kanan.
“Kalau kita bagitahu Kak Dina mesti kita tak selamat nanti,” Remy memarahi Emma. Walaupun dia tidak nampak apa yang Emma nampak tapi dia tetap mempercayai kata-kata adiknya itu.
“Tapi…, syian dia,” Emma menundukkan mukanya.
“Bagitahu apa?!” Dina menyergah tiba-tiba muncul dari belakang mereka. Dia memakai gaun putih comot dengan bekas warna air dan cat.
“Kak Dina nak tahu ke? Pasal Perempuan…,” Remy bertanya. Dina melutut di antara Remy dan Emma.
“Tak payah bagitahu, akak dah tahu. Dia kawan kakak. Akak yang suruh dia bunuh keluarga akak. Lepas ni keluarga kamu pulak. Remy kamu orang luar, kamu tak sepatutnya berada dalam keluarga malang ni,” Remy dan Emma kaget, hilang kata seketika dengan pernyataan Dina.
“Saya takkan tinggalkan Emma. Dia adik saya!” Remy membantah. Dina mencebik, dia bangun semula ke arah canvas lukisannya
“Kamu berdua mari sini, berdiri dekat situ diam-diam. Akak nak lukis ni. Shhh… Kalau tak nak kena tolak sampai mati, jangan melawan. Kawan akak akan duduk dalam lukisan korang ni,” Dina memberi arahan dalam nada yang menyeramkan dan dia tergelak kecil melihat budak di hadapannya kini dalam keadaan ketakutan.

“Dia nak akak bagi lukisan ni pada keluarga korang. Sampai masa nanti dia akan pergi dekat pemilik asal dia. Dia akan makan seorang demi seorang. Bila pemilik dia dah tak ada, dia akan cari orang yang paling rapat dengan pemilik asal dia. Untuk jaga dia macam akak jaga dia. Bagi dia makan semua ahli keluarga akak. Best kan?” Dina kembali fokus melukis, prospeknya Remy dan Emma dalam keadaan ketakutan. Emma sudah mula menangis.
“Oh ya… Kenapa Emma boleh nampak kawan akak tu? Remy, kau tak pelik ke? Dan kenapa perempuan tu suka berkawan dengan Emma? Kenapa benda tu boleh bagitahu Emma, akak nak mati lepas ni? Hahaha, sebab tu akak nak bagi ‘kawan’ akak tu dekat Emma…,” Dina masih melukis dengan senyum sumbing.
Hari ini, Kuala Lumpur.
“Maksud kau ada hantu dalam lukisan ni?” Ishak menelan paksa air liur. Pemanduannya terganggu dengan cerita Remy.

“Ye… Cuba kau tengok betul-betul dalam lukisan ni… Memang ada perempuan hodoh berdiri di sebalik pintu kaca belakang dua budak tu… Perempuan itulah yang menganggu aku dan menolak aku jatuh dari tangga rumah aku tempoh hari. Patutlah keluarga aku yang besar itu seorang demi seorang mati dengan misteri, kesemuanya mati jatuh tangga. Dan… aku percaya Emma adalah pemilik asal ‘benda’ tu,” Remy menghalakan lukisan itu kepada Ishak.
“Woi, tak nak aku tengok! Kenapa aku tak perasan langsung ada imej lain pada lukisan ni semasa di galeri dulu. Sekarang hantu tu nak nyawa kau pulak ke?” Ishak cuak.
“Ya… Aku nak cari sesuatu di rumah itu. Aku tahu dia bukan sengaja tuduh aku tolak dia dulu. Aku pun satu, kenapa aku marah sangat sampai tak ingat semua benda ni…,” serentak Remy menghabiskan ayat, mereka tiba di perkarangan rumah keluarga Remy.
Remy dan Ishak terus meluru keluar. Mereka menghampiri pintu utama. Remy masih menyimpan kunci rumah itu. Dia masuk, sekali lagi air matanya menitis sebak menyentuh jiwa apabila dia melihat isi rumah itu masih tidak berubah. Tapi… Mereka semua sudah meninggalkannya sendirian. Remy naik ke bilik Emma manakala Ishak ditinggalkan di ruang tamu. Masuk sahaja ke bilik Emma, dia terus menyelongkar segala laci. Tiada apa-apa yang dicarinya. Kali ini dia membuka almari baju. Di bahagian bawah almari itu ada kotak alat melukis Emma. Remy duduk. Dia buka kotak itu. Ada surat yang bertulis ‘Untuk Abang Remy’.
“Abang….
Maafkan Emma sebab tuduh abang hari tu. Emma nak abang keluar daripada rumah berpuaka ni… Emma tak nak Perempuan tu ambil abang. Dia dah banyak kali ambil keluarga kita. Rupanya baru Emma faham, dia akan ambil Emma bila Emma cukup dewasa sebab Emma pemilik asal selepas kematian Dina. Perempuan tu memang Kak Dina yang punya. Kak Dina dah lama amalkan ilmu hitam. Seperti sumpahan, lebih tepat tuntutan harus dibayar dengan nyawa. Mama dan Papa tahu, disebabkan kami tiada pilihan kami terpaksa halau abang. Hanya abang yang mampu habiskan sumpahan ini, kalau abang baca surat ni, abang dalam keadaan bahaya. Lukisan tu… Mesti dah ada pada abang. Perempuan tu akan cari abang juga. Abang kena hapuskan lukisan tu sebelum dia apa-apakan orang sekeliling abang. Abang… Adik sayang abang”

“Argh… !!!” Ishak menjerit. Remy berlari mendapatkan Ishak. Tiba di tangga, Remy ternampak ada tangan mengerikan keluar daripada lukisan yang dipegang Ishak. Tangan itu sedang mencekik leher Ishak seolah-olah ingin menelan rakannya masuk ke dalam lukisan puaka itu. Remy berlari menarik Ishak dengan seluruh kudrat dikerah. Dia tak nak mahu Ishak mati. Ishak satu-satunya sahabat dan keluarganya yang tinggal. Remy menarik dan tarik lagi.
Mereka berdua tersadung jatuh setelah berjaya menarik Ishak, mereka bergegas keluar daripada rumah itu.
“Remy apa tadi tu ?!!” Ishak panik. Nampak benar dia ketakutan.
“Bawa aku pergi jumpa Ustaz Fazli yang dekat rumah kau tu. Kita kena buang benda tu,” Remy tercungap-cungap.
“Kita akan selamat kan kalau kita minta tolong Ustaz Fazli?” Ishak mengelap peluh di dahi.
“In Sha Allah. Kita doa yang terbaik,” itu sahaja yang mampu dia katakan.
“Maafkan aku Ishak. Aku tak patut libatkan kau dalam hal ni,” Remy meminta maaf kepada Ishak. Sungguh dia rasa serba salah.
“Takpe, bro. Kau kawan dunia akhirat aku, susah senang sama-sama. Sekarang ni yang penting aku nak hidup. Aku banyak dosa. Aku nak bertaubat dulu. Aku tak nak masuk neraka,” Ishak melajukan pemanduannya.
Seminggu kemudian…
Remy dan Ishak berada di tanah perkuburan Emma, Mama dan Papa. Setelah selesai mengemas rumput yang meliar dan menghadiahkan bacaan Yaasin, Ishak meninggalkan Remy sendirian.

“Emma, semuanya dah selesai. Maafkan abang sebab salah faham dengan Emma, Mama dan Papa selama ni. Abang menyesal sebab tak ada diwaktu keluarga perlukan abang. In sha Allah kita akan bertemu juga nanti. Emma, terima kasih...,” Remy menitiskan air matanya.
P/S : Keluarga adalah harta yang tidak ternilai. Kadang-kala, kita ada perselisihan antara adik-beradik. Tapi, apa kata kalau kita melihat kepada perkara positif yang mereka pernah lakukan untuk kita… Sahabat yang setia juga mahal harganya. Jangan pernah khianati kepercayaan mereka. Hidup dan mati kita Allah yang tentukan. Sentiasalah bersedia. Ok, sekali lagi cerita ni tiada kena-mengena dengan Remy Ishak ataupun Emma Maembong. Hehehe... Senyum-senyum selalu… dan kekal positif! - XX
=========================
Suntingan #kamenrider
Gambar : Xander Xavier

Anda ada kisah seram, komedi-seram, misteri, thriller ataupun mind-blowing? Apa kata anda kongsikan kisah anda kepada kami.
Hantar kisah anda ke inbox Arkib Angker Negara atau emelkan ke aanrc2017@gmail.com
Nyatakan sekali nama akaun Facebook, blog, Instagram, Twitter atau webpage anda untuk pengkreditan.

No comments: