KAMPUNG TELANG
====================
Kampung Telang terletak kira-kira 75km dari pekan Rapit. Mempunyai penduduk seramai 245 orang dan sebahagian besarnya terdiri daripada warga emas. Pekerjaan utama penduduknya adalah mencari hasil hutan sementelah pula kampung mereka berada di sempadan Hutan Menggala.
Tidak banyak kemudahan yang terdapat di kampung ini. Untuk bekalan air mereka masih lagi bergantung kepada sungai yang mengalir dari perut hutan dan malam mereka pula hanya ditemani lampu minyak tanah. Kehidupan sehari-hari mereka sangat sederhana. Kenderaan utama penduduk kampung hanyalah basikal tua yang kebanyakannya sudah seusia mereka. Tidak ada motosikal apatah lagi kereta kelihatan di kampung itu. Cuma sesekali van yang membawa barang keperluan masuk ke kampung untuk ditukarkan dengan hasil hutan.
Bilangan anak muda Kampung Telang pula boleh dibilang dengan jari. Tiada siapa yang tahu kemana perginya anak-anak muda di kampung itu. Bagi mereka yang pernah singgah dan bertanya, mereka hanya diberitahu ramai anak-anak muda kampung telah berhijrah ke bandar.
Di pintu masuk kampung pula terdapat tiga blok bangunan usang yang dahulunya menempatkan Klinik Desa dan mempunyai dua orang jururawat desa yang tinggal dan bertugas di situ. Namun setelah kejadian hitam yang menimpa kedua orang jururawat itu, klinik tersebut terpaksa ditutup. Setiap kali ada yang bertanya peristiwa apakah yang berlaku, hampir kesemua penduduk kampung akan mengunci mulut dan membiarkan pertanyaan tersebut tergantung tanpa jawapan.
Kampung Telang - 1997
YB Rahman menggunting riben sebelum menandatangani plak yang digantung di dinding klinik desa kampung Telang sebagai lambang terasminya pembukaan klinik tersebut. Beliau diiringi wakil kementerian kesihatan dan beberapa orang pembantu YB. Tapi yang menghairankan tidak ada seorang pun penduduk kampung yang berada di di situ. Kerusi yg disediakan di bawah kanopi kosong.
Jururawat desa yang bakal bertugas di klinik tersebut juga berada di situ. Mereka adalah Rohaya dan Hasnah. Masing-masing berusia pertengahan dua puluhan dan masih bujang.
“Pelik ya. Orang kampung macam tak suka aje kita ada kat sini” Hasnah berbisik ke telinga Rohaya.
Cuaca yang agak panas dan kering membuatkan dahi Rohaya ditumbuhi bintil-bintil peluh. Dia hanya sekadar mengangguk. Rohaya sedar orang-orang kampung seperti benci melihat mereka. Mungkin disebabkan mereka orang luar.
Majlis berakhir sekitar pukul dua petang. Rohaya dan Hasnah sedang sibuk mengemas kuarters yang akan menjadi kediaman mereka sepanjang bertugas di situ. Mereka dimaklumkan doktor bertugas akan datang tiga hari seminggu dan untuk hari-hari yang tiada doktor, merekalah yang akan membantu orang kampung jika mereka perlukan rawatan sementara.
“Gedegang!!”
Satu bunyi kuat mengejutkan keduanya. Masing-masing saling berpandangan. Hasnah mengangkat kening seoalah-olah bertanya,
“Apa tu?”.
Rohaya sekadar mengangkat bahu. Lama mereka terpaku di tempat masing-masing.
“Gedegang!!”
Hasnah hampir melompat dari tempat duduknya. Di wajahnya jelas terbayang ketakutan. Rohaya sedar dia tidak boleh ikut sama merasa takut seperti Hasnah. Perlahan dia bangun menuju ke pintu. Hasnah tidak mahu ditinggalkan sendirian. Dia memegang baju Rohaya sambil terjenguk-jenguk dari belakang.
Dari sebalik langsir tingkap, Rohaya menjenguk ke luar. Tidak kelihatan sesiapa di luar. Suasana kampung yang sunyi memberikan satu rasa semacam dalam hati Rohaya. Matanya meliar melihat kiri dan kanan. Setelah diyakini memang tiada sesiapa pun di luar, Rohaya membuka pintu.
“Kau ni biar betul. Selamat ke kat luar tu?” Hasnah menarik lengan Rohaya.
Dadanya berdebar-debar. Kalau diikutkan hati tak ingin dia ditugaskan di kampung itu. Tapi apakan daya, ‘Saya Yang Menurut Perintah’.
Rohaya berdiri di beranda. Memang tidak kelihatan sesiapa pun di luar. Usahkan manusia, binatang pun tak ada kelihatan berkeliaran. Yang ada hanyalah pohon-pohon besar merimbun yang memisahkan kuarters klinik dan rumah penduduk.
“Gedegang!!”
Kali ini bunyi itu datang dari arah belakang kuarters yang dipagari semak samun. Hasnah sudah menggigil dalam pelukan Rohaya. Cepat-cepat ditarik tubuh Hasnah masuk ke dalam rumah. Malam itu mereka berdua tidur di atas satu katil.
************************
Doktor Aris sedang memeriksa beberapa dokumen yang perlu disiapkan. Dia akan bertugas selama tiga hari di klinik itu. Dahinya yang agak luas kelihatan berkeringat. Udara panas dan kering langsung tidak membantu menyejukkan tubuhnya walaupun angin sesekali bertiup.
Jam sudah melewati pukul lima petang. Sepanjang hari ini tiada seorang pun penduduk kampung yang datang mendapatkan rawatan. Ada sekali dia melihat seorang lelaki tua melintas di hadapan klinik. Sambil tersenyum dia cuba menegur lelaki tua itu. Tapi malangnya dia hanya mendapat satu renungan tajam sebagai balasan. Tubuhnya terasa pegal akibat duduk terlalu lama. Dua orang jururawat yang bertugas di klinik itu tidak kelihatan di mana-mana. Sedang Dr Aris termenung melihat ke luar klinik, satu tepukan singgah di bahunya dari belakang. Terperanjat bukan kepalang Dr Aris dibuatnya. Dia pantas berpusing ke belakang.
Aneh! Tiada sesiapa pun di belakangnya. Degup jantung Dr Aris kedengaran laju menendang dada. Dia bukanlah seorang yang mudah percaya dengan hantu atau makhluk halus.
“Pap”
Satu lagi tepukan singgah di bahunya. Sekali lagi Dr Aris terperanjat bukan kepalang. Namun kali ini rasa terperanjatnya cepat berganti rasa lega selepas melihat jururawat Hasnah.
“Doktor ni dah kenapa? Macam nampak hantu je?” Hasnah tersengih-sengih.
“Eh mana ada.” Dr Aris mengesat peluh di dahi.
“Dah kalau awak sergah macam tu, gajah pun boleh mati.”
Hasnah mengelengkan kepala sambil ketawa kecil. Baharu sahaja dia hendak membuka mulut, Rohaya tiba-tiba muncul. Dia memandang Hasnah yang berdiri di sebelah Dr Aris.
“Eh, doktor dah makan? Kalau belum marilah ke rumah. Saya dah siapkan makan malam.”
“Takpalah Rohaya. Saya dah makan roti tadi. Cukuplah untuk malam ni.” Dr Aris menolak ajakan Rohaya sopan. Lagipun dia risau apa kata orang kampung kalau mereka nampak dia berada di rumah kedua gadis itu.
“Eh, mana boleh macam tu doktor. Penat saya masak tau.” Rohaya masih bertegas dengan ajakannya. Dia hanya berdiri di muka pintu. Hasnah hanya tersengih-sengih di sebelah Dr Aris.
Mahu tak mahu Dr Aris terpaksa juga memenuhi ajakan Rohaya. Dia berlalu meninggalkan Hasnah yang masih tersenyum-senyum memandang Rohaya.
Sampai sahaja di kuarters yang didiami kedua jururawat itu, Dr Aris terpempam. Dia melihat Hasnah sedang duduk dikerusi di beranda dalam keadaan berselimut. Berkerut keningnya memikirkan bagaimana Hasnah boleh sampai secepat itu ke kuarters.
“Doktor dah nampak kan. Yang tu Hasnah. Dia tak kerja hari ni sebab demam. Yang dekat klinik tadi tu bukan.” Kata-kata Rohaya membuatkan Dr Aris menelan air liur.
Kalau yang sedang duduk di beranda itu Hasnah, habis yang ditinggalkan di klinik tadi tu siapa?
“Maksud awak, yang dekat klinik tu…” Dr Aris tak sanggup menghabiskan kata-katanya.
Patutlah Rohaya beria mengajaknya. Rupanya Rohaya memang sengaja membuatnya keluar dari klinik. Rohaya hanya mendiamkan diri. Dia masih belum dapat melupakan bagaimana ‘Hasnah’ memandangnya sambil tersengih di klinik tadi. Bulu romanya serta-merta tegak berdiri.
******************
Hasnah dan Rohaya merasa pelik ketika melihat beberapa orang penduduk kampung mengheret beberapa ekor lembu. Ketika itu mereka sedang berjalan-jalan keliling kampung sewaktu melintasi sekumpulan lelaki yang sedang mengheret lebih kurang lima ekor lembu menuju ke arah pinggir hutan. Sementara yang lain sedang menyapu sesuatu seperti minyak pada tiang-tiang dan tangga rumah mereka.
“Awak berdua ni nak kemana?”
Teguran seorang wanita pertengahan umur mengejutkan kedua gadis itu. Rohaya menghulurkan tangan untuk bersalaman namun tidak bersambut.
“Kami jalan-jalan je makcik sebab petang nanti kami nak balik ke bandar.”
“Hemm… baguslah”
Hasnah menggertap bibir geram bila tiba-tiba makcik itu tergesa-gesa memanjat tangga dan masuk ke dalam rumah. Biadab betul orang-orang kat kampung ni. Rohaya hanya mengeluh melihatkan sikap dingin penduduk kampung terhadap mereka. Terasa kehadiran mereka tidak dialu-alukan. Sudah lima hari mereka berada di situ, sekali pun orang kampung tidak datang ke klinik atau bertandang ke kuarters mereka bertanya khabar.
“Teruk betul perangai orang-orang kat sini. Agaknya mereka ni lebih percayakan bomoh dari kita.” bebelan Hasnah perlahan menyapa cuping telinga Rohaya.
“Dahlah tu. Agaknya mereka ini tak biasa dengan kehadiran orang luar. Lama-lama nanti okaylah tu.” Rohaya memang sentiasa berfikiran positif.
Ketika mereka sampai ke kuarters, kereta Dr Aris masih ada di bawah garaj. Cuma kelibat doktor muda itu sahaja tidak kelihatan. Rohaya dan Hasnah masuk ke dalam rumah dan membawa keluar beg pakaian mereka. Selama dua hari mereka akan ke bandar kerana mengikuti kursus.
“Mana Dr Aris ni. Janji nak bertolak pukul 5. sekarang dah pukul 5:15 dah.” Hasnah merungut.
“Aya, kau pergilah ketuk rumah doktor tu.”
Rohaya hanya mengeluh. Dia sendiri pelik kenapa Dr Aris masih belum muncul. Setahunya selama tiga hari bertugas di klinik itu Dr Aris memang sentiasa menepati masa. Lambat-lambat kakinya melangkah menghampiri kuarters yang didiami Dr Aris. Ketika dia tiba, langkahnya terhenti di tepi tangga. Muka Rohaya merona merah ketika pandangan matanya tertancap pada sekujur tubuh Dr Aris yang tidak berbaju berdiri di tingkap yang terbuka.
“Err… Dr Aris tak siap lagike? Nanti lambat sampai ke bandar.”
“Masuklah dulu kalau ya pun.” suara Dr Aris kedengaran romantik di telinga Rohaya. Bagai dipukau Rohaya melangkah mendaki tangga. Pintu rumah Dr Aris terbuka perlahan-lahan. Belum sempat Rohaya melangkah masuk ke dalam rumah, tangannya tiba-tiba ditarik kasar.
“Eh, Aya. Kau ni dah kenapa. Bukan main lama lagi aku dengan Dr Aris tunggu kau kat depan sana.” Hasnah menjengil biji mata ke arah Rohaya. Ada nada geram dalam suara Hasnah. Rohaya yang baru tersedar memandang pintu dan tingkap rumah Dr Aris yang tertutup rapat.
“Gedegang!!”
Bunyi hentaman yang kuat dari dalam rumah menghantar dua orang gadis itu berlari ketakutan mendapatkan Dr Aris. Ternyata gangguan sebegitu akan sentiasa dihadapi selagi mereka bertugas di situ.
****************
Selepas hampir sebulan peristiwa mereka terserempak dengan sekumpulan penduduk kampung mengheret lembu-lembu ke pinggir hutan, sekali lagi Hasnah melihat kumpulan lelaki yang sama. Kali ini mereka mengheret lima ekor kerbau yang gemuk dan besar. Hasnah yang sering merasa curiga dengan penduduk kampung merancang sesuatu. Dia yakin penduduk kampung Telang secara sembunyi mengamalkan ajaran sesat.
Keyakinannya diperkuatkan lagi dengan sikap orang-orang kampung yang sentiasa menjauhi klinik. Dia juga yakin di kampung itu tidak ada surau atau masjid kerana dia tak pernah mendengar bunyi paluan beduk atau laungan azan. Selama sebulan Rohaya dan Hasnah hanya makan gaji buta sahaja. Beberapa kali dia menyuarakan perasaannya kepada Rohaya, namun Rohaya hanya memintanya bersabar.
Senyap-senyap Hasnah mengekori kumpulan itu. Dia berselindung di sebalik pokok-pokok besar dan semak samun yang merimbun. Walaupun jantungnya berdebar kencang, rasa ingin tahunya terlalu tinggi.
Tidak ada sebarang perbualan berlaku antara kumpulan lelaki itu. Mereka hanya menarik kerbau-kerbau tersebut sehingalah mereka sampai ke pinggir sungai. Hasnah memanjat sebatang pokok yang agak rendang. Dia ingin melihat dengan jelas apa yang akan dilakukan lelaki-lelaki itu.
Selepas menyeberangi jambatan, lima ekor kerbau diikat pada lima pancang kayu. Selepas itu badan-badan kerbau itu disimbah sejenis cecair pekat bewarna kehitaman. Hasnah semakin teruja. Dia semakin yakin yang penduduk kampung Telang memang mengamalkan ajaran sesat.
“Agaknya kerbau-kerbau tu nak dikorbankan lepas tu bagi makan jin.” Hasnah bermonolog sendirian di atas pokok.
Selepas memastikan kerbau-kerbau itu tidak terlepas, kumpulan lelaki tersebut tergesa-gesa meninggalkan tempat itu. Hasnah mengeluh kecewa. Nampaknya hajat untuk menyaksikan ritual aneh tidak kesampaian. Perlahan-lahan dia turun dari pokok. Rasa haus yang terpaksa ditahannya sedari tadi memaksanya turun ke sungai. Diceduk air sungai yang jernih dan diminumnya seteguk dua. Hasnah sedar dia perlu balik ke kuarters memandangkan hari semakin gelap. Dia segera bangun dan berpatah balik ke arah kampung. Dibiarkan kerbau-kerbau yang diikat turun ke sungai. Hasnah tidak mahu melepaskan kerbau-kerbau itu walau jauh di sudut hatinya dia merasa kasihan mengenangkan apakah nasib yang bakal menimpa mereka.
“Kau ni dari mana Has. Dah nak maghrib baru balik.” sergahan Rohaya di muka pintu disambut dengan senyum kambing di bibir Hasnah.
“Ala, aku ronda-ronda kampung je.” Hasnah melabuhkan punggung di atas kerusi.
“Eh Aya. Kau ingat tak bulan lepas kita nampak orang-orang kampung heret lembu ke hutan?”
“Ingat. Kenapa?”
“Tadi aku nampak diorang heret kerbau pulak. Lepas tu diorang bawak sampai hujung kampung, tepi sungai tu. Diorang simbah apa ntah kat badan kerbau-kerbau tu. Aku nampak macam darah je.”
“Kejap...kejap. Kau ikut diorangke? Patutla aku cari keliling tak jumpa. Berani betul la kau ni Has. Dahlah orang kampung ni tak berapa suka kita ada kat sini. Kalau diorang tahu kau…”
“Opp jangan nak membebel macam mak nenek. Aku nak pergi mandi.” Hasnah bingkas menuju ke bilik air.
Rohaya hanya mampu memandang geram. Geram dengan sikap tidak matang Hasnah. Usai mandi Hasnah bersantai di beranda. Bulan kelihatan terang di langit. Selalunya kalau malam bulan mengambang macam ni mesti ada hantu. Hasnah tersenyum-senyum memikirkan tentang hantu. Sepanjang hampir dua bulan bertugas di situ, dia dan Rohaya sudah lali dengan gangguan-gangguan yang datang.
Sewaktu matanya merenung sang rembulan yang mengambang di langit, telinganya tiba-tiba menangkap satu bunyi bising yang bingit datang dari arah kampung. Dia kehairanan. Bunyinya bukan seperti bunyi cengkerik.
“Aya, cuba kau datang sini kejap.”
Rohaya yang sedang menyiapkan laporan bertemankan lampu gasolin sekadar menyahut dari dalam. Dia malas nak melayan karenah Hasnah.
Bunyi bingit itu semakin kuat menerjah deria pendengarannya. Bunyinya seakan-akan pekikan halus yang nyaring. Nampaknya ada sesuatu sedang menuju ke arah kuarters. Dalam limpahan cahaya bulan Hasnah melihat satu hamparan hitam bergerak laju menuju ke arahnya.
“Eh, apa benda tu?”
Hamparan hitam semakin mendekat seiring bunyi pekikan halus yang membingit. Rohaya yang terdengar bunyi bising di luar rumah segera bangun dan menuju ke pintu. Belum sempat dia bersuara, dia terasa seperti memijak sesuatu yang licin dan berlendir. Rohaya melihat ke bawah. Mulutnya ternganga bila dia menyedari sekumpulan binatang seperti lintah meliuk lintuk memanjat kakinya. Rohaya merasa satu kesakitan yang tak terperi di saat makhluk itu mula menggigit badannya. Tidak sampai sepuluh saat sekujur tubuh Rohaya dikerumuni makhluk seperti lintah itu.
“Arghhhhh!!!”
Jeritan terakhir Rohaya bergema sebaik sahaja tubuhnya dimamah rakus mahkluk aneh itu. Hasnah pengsan sebaik melihat makhluk hitam seperti lintah itu bergerak melepasinya dan mengerumuni Rohaya. Kunyahan kasar sewaktu makhluk itu melahap daging sahabatnya menjadi benda terakhir yang didengarinya.
Hasnah tersedar dari pengsan. Dalam keadaan mamai dia melihat langit yang dipayungi rimbun dedaunan. Dia terasa seperti sedang bergerak dalam keadaan terlentang. Setelah berusaha menggapai kewarasan, Hasnah akhirnya menyedari yang dia berada di atas hamparan makhluk si pemakan daging. Keadaannya tak ubah seperti sekumpulan semut yang sedang membawa makanan. Makhluk itu membawanya merentasi hutan. Dia cuba bangun namun gagal. Ternyata kulit badannya sedang digigit makhluk-makhluk itu. Hasnah meraung kesakitan. Akibat tidak tertahan menanggung kesakitan Hasnah pengsan buat kali kedua.
Hasnah terjaga apabila satu simbahan air singgah di wajahnya. Matanya terkelip-kelip menahan silau. Ketika retina matanya mula stabil, Hasnah melihat tiga orang lelaki mengerumuninya. Hasnah kenal salah seorang lelaki itu. Dia adalah Ketua Kampung Telang.
“Pakcik, tolong saya pakcik. Ada… ada makhluk kejam dah bunuh kawan saya pakcik.” Hasnah ingin bangun mendapatkan lelaki itu namun pergerakannya terhenti. Rupanya badannya telah diikat pada sebatang pokok. Di hadapannya berdiri air terjun yang tinggi menjulang.
“Pakcik, kenapa buat saya macam ni? Lepaskan saya pakcik. Apa salah saya pada pakcik.” Hasnah mula menangis. Dia dihambat ketakutan ketika melihat senyum sinis pada wajah ketiga-tiga lelaki itu.
“Lepaskan kau? Hahahahaha” lelaki tua itu ketawa terbahak-bahak.
“Mana boleh lepaskan Sang Ratu.”
“Sang Ratu? Apa…apa maksud pakcik Sang Ratu?”
“Dalam badan kau ada Sang Ratu. Aku tak boleh biarkan Sang Ratu keluar dari hutan ini. Kampung ini perlukan Sang Ratu untuk menjaga hasil hutan. Dia menjadikan hutan ini subur untuk orang-orang kampung teruskan hidup. Nampaknya tahun ni tak payahlah aku korbankan anak muda kampung ni untuk Sang Ratu” lelaki tua itu tersengih sebelum membelai pipi Hasnah.
“Sayang, kau ni cantik juga orangnya.”
“Pakcik. Tolong lepaskan saya pakcik. Tolonglah pakcik.” rayuan Hasnah langsung tidak diendahkan. Lelaki tua itu memandang dua orang anak buahnya.
“Lagi sebulan Sang Ratu akan keluar. Pastikan dia ni hidup sehingga saat itu.” usai memberi arahan, Ketua Kampung Telang berlalu meninggalkan Hasnah merayu-rayu.
Selama hampir sebulan, Hasnah terikat di pokok besar di tepi sungai. Dia sudah terlalu lemah. Hampir setiap hari dia merasakan sesuatu sedang membesar dalam perutnya. Dua orang lelaki yang ditugaskan mengawalnya akan memaksa Hasnah untuk makan walaupun Hasnah sedaya upaya mengatup mulutnya. Dia lebih rela mati kelaparan daripada membiarkan ratu pemakan daging membesar dan hidup di dalam badannya.
Malam ini bulan mengambang penuh. Hasnah sudah terlalu lemah. Dia semakin kehilangan tenaga. Dia dapat merasakan pergerakan liar di dalam perutnya. Kedua orang lelaki yang setia mengawalnya telah lama menghilangkan diri. Hasnah bersendirian berhadapan dengan malaikat mautnya yang bakal muncul sebentar nanti.
Dalam limpahan cahaya bulan, Hasnah dapat melihat perutnya yang kempis tenggelam timbul. Sang ratu kelihatan tidak sabar-sabar untuk keluar. Hasnah mula merasakan kesakitan yang dahsyat dari dalam perutnya.
“Arghhh!!!”
Hasnah menggelupur. Kakinya menendang-nendang tanah dan dedaun kering. Darah mengalir dari rongga di wajahnya. Hasnah sedang merasakan kesakitan yang sukar digambar dengan kata-kata. Kesakitan yang dialami seumpama dihiris berulangkali dengan sebilah pisau. Jeritan dan raungannya memecahkan kesunyian alam bercampur dengan pekikan-pekikan halus yang bingit dari arah sungai.
Perut Hasnah yang hanya tinggal kulit sahaja tiba-tiba merekah. Kelihatan sesuatu yang besar dan hitam muncul dari rekahan itu. Hasnah meraung-raung kesakitan. Sang Ratu akhirnya berjaya meloloskan diri dari perut Hasnah. Saiznya sebesar lengan kanak-kanak berusia enam tahun. Bentuknya seakan-akan lintah dan mempunya gigi yang tajam berlapis-lapis. Makhluk itu tidak bermata dan terdapat sepasang tanduk kecil di kepalanya.
Sang ratu berdiri tegak mengadap Hasnah. Mulutnya terbuka menyerlahkan gigi yang berceracak tajam. Hasnah hanya mampu menutup mata disaat Sang Ratu menerkam wajahnya.
Kampung Telang - 2017
Kehilangan Sang Ratu membuatkan Kampung Telang tidak aman. Makhluk-makhluk pemakan daging itu mengamuk dan mula menyerang penduduk kampung. Tiang-tiang dan tangga yang diseliputi minyak langsung tidak memberi kesan. Dari jauh suara jeritan meminta tolong bersahut-sahutan berbaur pekikan halus yang membingit. Dalam satu malam kesemua penduduk Kampung Telang lenyap menjadi santapan makhluk pemakan daging.
Lima hari kemudian…
Pasukan mencari dan menyelamat yang tiba di Kampung Telang dalam misi mencari empat orang wanita dan seorang lelaki yang dilaporkan hilang gagal menemukan walau seorang pun penduduk kampung. Pintu dan tingkap rumah mereka tertutup rapat. Kesunyian yang aneh menyelubungi kampung itu.
“Orang-orang kampung ni dah pindah ke tempat lain agaknya.” pegawai operasi bermonolog sebelum meneruskan kerjanya.
Dia sebenarnya berharap dapat meminta bantuan Ketua Kampung Telang dalam misi tersebut.
Di saat pasukan penyelamat sedang sibuk mendirikan pusat operasi sementara, kelihatan kelibat dua orang wanita berpakaian jururawat sedang berdiri di tingkap kuarters yang terbuka.
TAMAT
Anda ada kisah seram, komedi-seram, misteri, thriller ataupun mind-blowing? Apa kata anda kongsikan kisah anda kepada kami.
Hantar kisah anda ke inbox Arkib Angker Negara atau emelkan ke aanrc2017@gmail.com
Nyatakan sekali nama akaun Facebook, blog, Instagram, Twitter atau webpage anda untuk pengkreditan.
No comments:
Post a Comment