BILIK 202
===============
“Alhamdulillah, akhirnya anak mak ni dapat juga kerja. Dah dapat kerja ni, buat elok-elok. Rasa macam tak percaya anak mak ni dah besar,” itulah reaksi mak Raihan, dirasakan sekelip mata anaknya yang membesar depan mata kini sudah menggalas tanggungjawab.
Raihan kerja biasa-biasa sahaja bukanlah pengarah dan sebagainya. Hanya sebagai penghantar makanan di Hotel Cherating yang berhampiran dengan rumah mereka. Walau bagaimanapun dia cukup bersyukur dengan rezekinya sebagai remaja berumur 18 tahun yang baru sahaja menamatkan SPM, ini adalah pengalaman pertama buatnya. Baginya biarlah kerja biasa-biasa sekarang ini kebanyakan syarikat lebih mengutamakan pengalaman selain keputusan peperiksaan yang baik.
Keesokkanharinya, dia bergerak awal ke tempat kerja walaupun jarak daripada rumahnya ke tempat kerja hanyalah sekangkang kera. Semangat pekerja baru kan, dia tetap memilih untuk bergerak awal. Dia takut terlewat pada hari pertama. Raihan menaiki Honda EX5 milik arwah bapanya. Selesai sahaja melapor diri, dia diperkenalkan dengan beberapa orang pekerja yang akan bekerjasama dengannya.
Hari pertama berjalan dengan lancar. Raihan belajar tentang cara mengambil, menghantar dan mengemaskini pesanan yang dibuat oleh pelanggan hotel. Petang itu ada sesi pembahagian ‘shift’ bekerja. Semua pekerja bahagian F & B diarahkan untuk berkumpul di ruangan dapur.
“Okay semua, pembahagian ‘shift’. Siapa nak kerja malam?” En. Fahrin bertanya.
Krik…krik…krik… Tiada sesiapa yang member respon.
“Takkan tak ada lagi… Susahlah saya macam ni. Elaun malam banyak tau untuk siapa yang sanggup kerja malam. Korang tak nak duit lebih ke?” masing-masing masih diam membisu. En.Fahrin mengeluh berat.
Raihan pelik. Kenapa tiada seorang pun yang berminat untuk kerja malam ni? Mungkin kebanyakan mereka sudah berkeluarga, kerja malam mungkit rumit bagi mereka. Memandangkan elaun untuk bekerja malam adalah sangat tinggi ditawarkan jika berbandingkan dengan hotel-hotel lain, aku merasakan ini peluang untuk aku mencari rezeki lebih lagipun tidaklah berat sangat tugasannya kerana jarang ada pelanggan yang memesan makanan pada waktu malam.
Raihan pun tanpa segan silu mengangkat tangan ‘mengorbankan’ dirinya. Serentak itu semua mata tertuju kepadanya. Mereka memandang Raihan dengan perasaan kagum, siap ada yang bertepuk tangan. Sekelumit curiga terasa.
“Haaa… Macam nilah saya nak. Berani. Awak kerja ‘shift’ malam dengan saya ya Raihan,” En.Fahrin memberikan arahan. Raihan pulang sekejap ke rumah pada petang itu memberitahu ibunya dan kembali semula ke hotel untuk shift malam.
Telefon bordering untuk malam pertama dia bekerja sesi malam. Terpapar angka bilik nombor 202 di skrin telefon. Raihan mengangkat tanpa perasaan ragu-ragu. “Hello. Bahagian F&B. Ada apa-apa yang boleh saya bantu?” Raihan bersuara penuh hemah.
“Hell…lo… Saya nak makan,” suara wanita itu agak serak.
“Baiklah, cik.Cik nak makan apa? Kami akan hantarkan ke bilik cik,” Raihan cuba menjawab dengan profesional.
“Apa-apa pun tak apa. Awak pun boleh,” Raihan hampir tergelak. Namun, bulu romanya meremang tiba-tiba, entah mengapa. Walaupun dia tahu itu hanya gurauan namun suaranya seperti tidak bergurau. Mungkin aku terlebih fikir.
“Cik ni bergurau pula. Baiklah kalau begitu, saya akan hantarkan nanti,” Raihan menjawab.
“Oh ya, pintu tak dikunci,” panggilan dimatikan serta-merta sebelum sempat Raihan mengucapkan terima kasih.
Raihan pantas bergerak ke dapur dan member pesanan pelanggan kepada chef. Dia meminta apa-apa yang ringkas dan tidak mengemukkan. Dia tahu wanita takut gemuk. Setelah hampir 15 minit menunggu, makanan yang dipesan sudah tersedia. Raihan menyediakan lengkapan ke atas troli menujuk ke arah lif. Saat Raihan menekan butang lif, sekali bulu romanya merinding. Raihan pujuk hatinya agar dia positif.
Sesampainya Raihan di hadapan bilik 202, dia menekan loceng bilik beberapa kali, namun tiada sahutan. Dia teringat tadi wanita itu sempat memberitahu bahawa pintunya tidak berkunci. Raihan menolak sedikit, ya memang tidak dikunci. “Cik, makanan yang dipesan sudah sampai, saya masuk ya!” Masih diam.
Raihan beranikan diri memasuki perut bilik dan dia melihat tiada sesiapa pun di dalam bilik itu. Dia menarik trolinya sekali sambil berjalan mengundur. Habis tarik, pintu bilik itu tertutup, Raihan menoleh.
Tiba-tiba Raihan terdengar ketukan dari arah pintu almari di dalam bilik itu. Dia beranikan diri merapati pintu itu. Apabila dia berdiri betul-betul di hadapan pintu almari itu, bunyi ketukan itu terhenti. Pelik. Dia mengundur dan bunyi itu muncul kembali. Kali ini dia merapatkan telinganya pada pintu almari itu.
“Jangan buka pintu ni…,” bisikan halus kedengaran dari belakangnya yang masih membongkok menghadap pintu almari itu.
Spontan dia memalingkan badannya namun tiada sesiapa di belakangnya. Raihan menoleh sekeliling. Memang tiada orang, terus tegak habis bulu romanya kerana dia pasti suara itu tadi kedengaran betul-betul dekat dari arah belakang badannya. Entah mengapa perasaan ingin tahu semakin membuak-buak seperti pepatah Inggeris ‘curiosity kills the cat’.
Apabila Raihan menarik sahaja pintu almari itu, alangkah terkejutnya sehingga hampir gugur jantungnya, suaranya tak mampu keluar dari peti suara. Dengan langkah mengundur kelam-kabut dia terus membuka langkah seribu keluar dari bilik itu ke arah tangga kecemasan turun laju ke lobi utama.
Tergocoh-gocoh dia menarik nafas. Dia merakam semula memori ngerinya tadi, dia melihat seorang wanita yang memakai dress putih dengan leher terkulai dan terlilit dengan wayar telefon merenung tajam ke arahnya. Dalam beberapa saat, memorinya hanya mengulangi gambaran mata wanita itu hampir terjojol ngeri, wajahnya pucat kebiruan. Wanita itu juga sempat berkata.
“Kan aku dah cakap jangan buka pintu ni,”
“Woi budak baru, kau dah kenapa lari macam tu?” Penyambut tetamu dalam lingkungan usia 20-an menegurnya cemas melihat Raihan yang seperti semput terduduk di sisi mejanya.
“Ada hantu di bilik 202,” Raihan cuba bercakap walaupun tersekat-sekat anak tekaknya.
“Bilik mana kau cakap?” Lelaki itu agak terkejut dengan penyataan Raihan.
“Bilik 202. Tadi perempuan tu buat tempahan makanan suruh saya hantar di biliknya. Cuba abang check dekat cctv bang. Sumpah bang!,” Raihan masih tercungap-cungap. Penat bercampur ketakutan yang amat.
“Aduh ... Dik sebenarnya… bilik tu memang dah lama pihak atasan tak bagi pengunjung menginap sebab dulu ada perempuan bunuh diri guna wayar telefon dalam almari tu. Benda ni terpaksa dirahsiakan sebab takut terjejas imej hotel kita ni kan,” lelaki tadi bercerita dalam riak serba salah.
“Habis tu yang call saya tadi tu siapa ?” Raihan binggung.
“Kau rasa siapa? Hisy, kau ni tak dengar betul-betulah tadi abang cerita. Abang cakap dia bunuh diri guna apa?” Jelasnya sekali lagi kepada Raihan. Pekerja lain yang mendengar terus mendekat turut sekali.
“Wayar telefon?” Raihan masih binggung.
“Haa.. Dia akan telefon mana-mana bahagian yang dia suka. Dah ramai yang kena kacau sebab tu tak ada yang berani kerja shift malam. Bilik tu memang bilik larangan. Kita kunci pun, dia tetap akan terbuka balik. Pihak atasan pun risau kalau-kalau pengunjung termasuk bilik tu. Dahlah, kalau kau dapat call dari bilik tu lagi, kau abaikan je. Jangan pandai-pandai masuk bilik tu lagi,” abang tadi menyambung ceritanya.
Kini Raihan tangkap dengan maksud cerita abang itu tadi, apa yang dia sedang lalui tadi bukan khayalan kerana gangguan itu bukan Raihan seorang yang kena. Barulah dia faham kenapa seniornya tidak berani untuk mengambil shift malam. Patutnya dia menerima tepukan kagum oleh mereka petang tadi. Dia tak habis lagi mengeletar. Hanya kepada Allah tempat dia berlindung. Dia berharap wanita tadi tidak mengikut dan mengganggunya lagi.
“Eh, tadi kau kata kau hantar makanan dekat bilik tu kan… Troli kau mana?”
“Ya Allah, troli dalam bilik tu ! Bang saya sumpah tak berani nak masuk abang tolong la saya ambil troli tu” Rayu Raihan cuak.
P/S : Hehehe ! Sesungguhnya kepada Allah jugalah tempat kita berlindung.
==============
Suntingan & Gambar: #kamenrider
Anda ada kisah seram, komedi-seram, misteri, thriller ataupun mind-blowing? Apa kata anda kongsikan kisah anda kepada kami.
Hantar kisah anda ke inbox Arkib Angker Negara atau emelkan ke aanrc2017@gmail.com
Nyatakan sekali nama akaun Facebook, blog, Instagram, Twitter atau webpage anda untuk pengkreditan.
No comments:
Post a Comment