Friday, 3 November 2017

AFIQ - Tuan Muhammad Faiz


AFIQ

Nama aku Ila. Nama panjang Innalilah. Hehehe, gurau je. Pertama kali aku jejakkan kaki bersama keluarga ke Terengganu. Sebelum ini asyik ke PD, bosan. Suasana resort ini memang sangat best sebab sebelum ni aku pernah ikuti latihan PLKN fasa pertama di sini. Kawasan yang agak terpencil, perlu lalui kawasan pokok kelapa sawit. Keluarga aku pun suka tempat ini, tenang rasanya. Udara memang nyaman sangat, jauh dari bandar. Memang feel habis.
Sedang aku dengan keluarga punggah barang untuk masuk ke resort, aku nampak kelibat yang amat aku kenal berhampiran pokok besar di pintu masuk tengah dekorasi papan tanda resort.
"Afiq!" Jeritku sambil berlari mendapatkan Afiq. Of course lah excited, sebab sudah 4 tahun tak berjumpa.

"Eh, Ila. Ko buat apa kat sini?" Soal Afiq hairan, melihatku ada di sini.
"Aku bercuti dengan family. Kau pulak buat apa kat sini?" Soal aku. Tersenyum melihat Afiq yang masih handsome seperti dulu.
"Oh, aku kan tinggal kat kawasan ni. Ni tempat kerja aku. Lupa pulak nak cakap. Maaflah hari tu kahwin aku lupa ajak kau," kata Afiq meminta maaf sambil memegang cangkul.
"Kau kahwin dengan siapa? Dulu aku nak kat kau, kau tak nak. Diam diam je kau dah kahwin," kataku, seolah-olah merajuk.
"Dengan Ina. Sama batch PLKN dulu. Dah kita tak ada jodoh nak buat macam mana," balas Afiq, tersenyum dan meneruskan kerjanya.
"Ina, mana?" soalku, ingin melihat isterinya.
"Ina tengah sakit kat rumah. Maaflah."
"Ila, angkat barang tak habis lagi tu. Nak maghrib dah ni!" Laung Ibuku, memanggil.
"Okaylah Afiq. Nanti jumpa lagi. Ibu aku dah panggil," kataku seraya berlari-lari anak ke pintu bilik meninggalkan Afiq keseorangan.
"Abang, maghrib-maghrib ni, masuk rumah. Nanti ibu marah," kataku sambil menampar bahu abangku, Ilham yang duduk di beranda memerhatikan kami berdua. Ilham hanya berdiam diri, masuk ke dalam bilik, masih berdiam diri. Aku hairan melihat perlakuan abang aku, dan sesudah solat maghrib aku terus bertanya pada Ilham.
"Abang, kenapa diam je ni?"
Ilham memandangku. Kemudian, seolah-olah termenung memikirkan sesuatu.
"Adik berbual dengan siapa tadi?" Soalan terpacul dari mulut abangku, setelah berfikir seketika.
"Oh, tadi berbual dengan Afiq. Dia satu batch dengan adik buat PLKN kat sini dulu," kataku kepadanya, cuba memperkenalkan kepadanya berkenaan Afiq.
Abang aku ni menakutkan sikit. Percaya benda-benda mistik, cincin kat jari punyalah banyak. Batu petir ada, seri ada, buluh ada. Entah apa-apa sajalah abang aku ni. Perlahan-lahan, abang aku bangun pergi ke arah ibu yang tengah menyediakan makan malam. Mereka berbual tentang sesuatu, sambil kadang-kadang memandang ke arah ku. Aku lihat ibuku mengurut-urut dada seolah-olah terkejut.
Abang aku mengarahkan yang lain untuk berkumpul di ruang tamu. Entah apalah yang dia nak cakap, aku pun tak tahu.

"Abang ada satu benda nak cakap," abangku memulakan bicara. Suasana sunyi sepi di ruang tamu itu.
"Petang tadi, Abang nampak Ila berborak dengan seseorang. Tapi abang tak nampak orang tu. Nak tanya di sini ada sesiapa yang nampak, takut-takut abang tersalah tengok?" Soalan abangku membuatkan bulu romaku meremang habis. Berpeluh-peluh memikirkan situasi yang baru disebut oleh abangku itu.
"Ah, abang ni mengarut je! Bukan tadi ayah dan ibu nampak ke Afiq kat signboard resort?" soalku sambil memandang ayah dan ibu ku. Ayah dan ibuku berpandangan sesama sendiri, lalu menggelengkan kepala.

"Abang dah rasa lain macam sejak kita jejakkan kaki dalam resort ni," Ilham menyambung bicaranya.
"Tak ada orang lain dalam resort ni selain kita. Abang dah tengok keliling dah tadi!" Sambungnya.
"Eh, abang ni dah kenapa? Syaitan tak wujudlah. Orang berbual dengan Afiq pun nak jeles ke? Tahulah tak laku, bising je lebih!" Tengkingku kepada abang, membentak keras perbuatannya yang jelek itu.
Abangku kelihatan marah, lalu terus menghampiriku. Dia mencengkam bahu kananku sambil membaca potongan ayat-ayat suci Al-Quran. Serentak itu, bulu romaku meremang lagi. Air mataku tidak semena-mena mengalir laju akibat ketakutan. Aku mula nampak apa yang dia nampak. Aku tak pernah tahu, dia ada ilmu hebat macam ni. Kelihatan samar-samar, aku dapat melihat tembus sehinga ke luar bilik. Ada dua makhluk berterbangan berhampiran pintu belakang bilik kami. Ada juga yang merangkak menghampiri bilik. Tiba tiba…
"Ila... Ila...”
“Afiq datang ni. Jomlah jalan-jalan sekejap kat depan ni." Terdengar satu suara garau dari luar pintu bilik kami. Kami mendiamkan diri. Bunyi ketukan mula kedengaran dengan perlahan di pintu. Makin lama, ketukan itu berbunyi semakin kuat.
BAM…BAM...BAM...
BAM! BAM! BAM!
BAM!!! BAM!!! BAM!!!
"BUKA PINTU NI, ILA!" Jerit suara kasar itu lagi.
Aku mula menggigil ketakutan. Ilmani, adikku, dan ibu, berpeluk sesama sendiri. Ayah dan abangku tidak putus-putus membaca tasbih dan zikir supaya gangguan tidak berterusan. Beberapa minit kemudian, aku melihat Ilmani menundukkan kepala ke bawah. Tergelak sendiri dengan suara yang menaikkan bulu roma sesiapa sahaja yang mendengarnya.

HI HI HI HI HI HI HI HI HI HI!
Gelak tawa Ilmani itu disambut dengan hilaian dari luar bilik. Bunyi anjing melolong mula jelas kedengaran. Aku mula menangis dan menyalahkan diri sendiri. Ilmani mendongakkan kepala, melihatku.
"Hehehe, ila sayang. Rindu Afiq tak? Hahahahaha!" gelak tawa Ilmani ketika itu menyerupai suara Afiq. Aku berundur ke bucu katil akibat ketakutan. Abangku, Ilham, terus mendapatkan Ilmani.
"La ilahaillallah, Muhammadar Rasullullah," baca abangku sambil memegang kepala Ilmani. Kemudian, dia memulakan bacaan ayat bismillah 5, berulang-ulang kali.
"Bismillaahir rohmaanir rohiim,
Bismillaahisy syafi,
Bismillaahil kaafi,
Bismillaahil mu'aafi,
Bismillahil la-dzi laa ya-dhur ru ma'as-mihi syai-un fil ardhi walaafis-samaa'i wahuwas samii'ul aliim" Baca abangku, lalu beralih ke kaki Ilmani selepas selesai memegang kepalanya.
Di cengkamnya ibu jari kaki menggunakan Cincin Batu Petir.

"Bismillaahir rohmaanir rohiim, siapa kau?!" Soal Abangku tegas.
Kelihatan adik mengeliat sekuat hati. Ayah dan ibu tak dapat memegang Ilmani, mungkin kudrat mereka yang semakin meniti usia. Aku cuba menghampiri untuk membantu. Abangku menghalang dengan isyarat tangan.
"Ila, marilah sini sayang. Afiq rindu Ila sangat. Hihihihi!" Ilmani ketawa lagi, dan menampakkan matanya putih seputihnya. Aku tergamam, menangis di penjuru katil.
"Sekarang bukan masa nak menangis! Baiklah, sekarang bantu abang!" Tegas Abangku dan memberi arahan tangan supaya duduk di sebelahnya. Aku mengesat air mata dan memberanikan diri duduk di sebelahnya seperti disuruh.
"Baca bismillah 5 tanpa henti dalam hati. Abang tak nak 'Dia' berpindah masuk kepada kamu," bisik abangku perlahan.
"Aku ulang sekali lagi! Siapa kau?! Apa agamamu?! Apa tujuanmu datang ke mari!" jerit abangku tegas.
"Aakkuu…daatang…demmii…Ilaa…Aakuu…me...nann…ttii...seekk…iian…la...ma. Aa...kk...uu...suu...ka pa...daa...dia!" Kedengaran suara sangkut-sangkut, serak basah, seperti sedang menahan kesakitan.
"Mustahil, syaitan ingin berdamping dengan manusia. Dua pilihan untuk kau, memilih Islam sebagai agamamu, atau aku hapuskan kau!" Gertak abangku. Bertegas ketika sedang berhadapan dengan makhluk misteri itu.
"AKU TAK MAHU ISLAM!" Jerit Ilmani kuat, bergema segenap kawasan itu.
"Baiklah. Kau tunggu!" Jerit abangku dan terus mencengkam ibu jari Ilmani. Ilham meminta aku membaca bismillah 5, seiring dengan bacaan ayat Kursi. Ilham terus membaca ayat Kursi dengan lantang. Tubuh Ilmani terangkat dan terapung di udara. Meronta-ronta untuk di lepaskan, tubuhnya terhuyung hayang melanggar papan di kiri dan kanan dinding.
"Arrghhh! Lepaskan aku! Lepaskan aku! Panas! Panas!!!" Rayuan Ilmani kedengarn. Rambutnya mengerbang panjang, matanya yang putih melepak mula beransur pulih sedikit demi sedikit. Gigi taring yang sedari tadi semakin memanjang, mula menyusut.
Ilmani jatuh, mujur disambut oleh ayahku. Dia diletakkan ke bawah kembali. Mulut adikku terbuka dengan sendirinya. Kelihatan asap hitam diiringi jeritan misteri seraya berlalu pergi. Abangku membawa kami keluar dari resort dan memegang tangan kami erat. Perlahan-lahan resort yang serba indah itu, hilang sekelip mata. Yang ada hanyalah, kubur-kubur tidak bertanda.
"Eh, mana Resort tadi? Habis tu, Afiq?" Soalku, keanehan.
"Abang tak tahu. Tapi Afiq yang adik jumpa petang tadi memang bukan manusia. Resort yang adik pergi sebelum ni, kat depan tu je abang rasa," abangku menunjuk ke arah yang bertentangan.
"Abang rasa benda ni tunggu adik dah lama. Mungkin berkenan kat adik, masa adik buat latihan PLKN kat dalam kawasan ni dulu," tambah abangku.
Kami memapah Ilmani menuju ke kereta, lalu menuju ke resort yang sebenar untuk berehat dan mengubat adikku, Ilmani. Aku terlihat di resort itu, Afiq dan Ina memandangku. Mereka tersenyum lebar melihatku. Aku mula risau dan takut. Menyedari kegalauan pada riak mukaku, barulah abangku menghampiri.
"Yang itu, baru betul Afiq," kata abangku, tersenyum melihatku.
Aku berjumpa dengan mereka. Mereka maklumkan bahawa kawasan ini memang keras sikit tetapi tenang kalau nak bercuti. Mereka dapat tahu aku akan kedatanganku pun disebabkan ada tempahan bilik menggunakan nama aku.
-TAMAT-
Ikuti penulis di FB: Tuan Muhammad Faiz
Page penulis: Seram 7 DimensI
Suntingan dan Gambar: Gongpal Topek

Anda ada kisah seram, komedi-seram, misteri, thriller ataupun mind-blowing? Apa kata anda kongsikan kisah anda kepada kami.
Hantar kisah anda ke inbox Arkib Angker Negara atau emelkan ke aanrc2017@gmail.com
Nyatakan sekali nama akaun Facebook, blog, Instagram, Twitter atau webpage anda untuk pengkreditan.

No comments: