Tuesday, 7 November 2017

POKOK KETAPANG - Schum Schurie


POKOK KETAPANG
KARYA: Schum Schurie
Ini adalah kisah benar.
kejadian berlaku sekitar tahun 1994, di salah sebuah kampung yang pernah wujud di Shah Alam.
Aku ringkaskan cerita, aktiviti budak kampung - selain main tutup botol, guli dan batu seremban, sudah tentu aktiviti malamnya pulak kena mengaji.
Kami berlapan dalam satu kumpulan.
Tempat mengaji pula bukan di surau atau masjid, tapi di dewan orang ramai yang jaraknya dalam satu kilometer berjalan kaki dari tempat berkumpul kami, iaitu di surau.
Pukul 9 malam, kami bergerak. Menyusuri laluan bertar dan pokok-pokok yang rimbun di bahu jalan. Oh ya,kawasan perkampungan kami terletak di atas bukit, jadi sepanjang perjalanan nampak la bumbung-bumbung rumah kampung dan lampu-lampu yang masih menyala.
Setibanya kami berhampiran rumah seorang kakak yang selalu ikut kumpulan kami mengaji, kami berhenti. Rumah kakak ni terletak di lereng bukit, sementara di hadapan rumahnya pula tersergam sepohon pokok ketapang lama yang merimbun.
Dari jarak lebih kurang 400 meter,kami nampak kakak tu berdiri betul-betul di antara pintu rumah dan pohon ketapang tu.
Dia tercegat, siap bertelekung putih. Yang hairan,rumahnya gelap, tidak dibuka lampu.
Waktu itu, kami tidak menyangka apa-apa sehinggalah seorang rakan berteriak.
"Kak, jomlah, kitorang dah nak pergi mengaji ni.”
Tiada balasan.
"Eleh, nak takutkan kitorang la tu.”
Sambungnya lagi. Kami semua ketawa.
Tak semena-mena, kakak tu tiba-tiba mendepangkan tangannya sambil menghayun lemah gemalai seperti mahu terbang.
Kami tercengang-cengang.
Ketika itulah, baru kami nampak telekung yang dipakai kakak itu - bukannya telekung, namun kain yang berjuraian, koyak rabak dan kelihatan lusuh. Kami masih ketawa, masih berani kerana ingatkan kami di permainkan.
Namun aksi kakak tu berterusan tanpa sebarang reaksi. Rasa seram mula menguasai kami,sehinggalah seorang lagi rakan bersuara.
"Eh, itu bukan kak tu, tu hantu… Kaki takdeee!"
Apa lagi, berdesup kami berlari hinggalah sampai ke surau tempat berkumpul tadi!
Kami tercungap-cungap, pucat lesi wajah kami dibuatnya. Belum habis lagi penat, kakak tu muncul dari dalam surau bersama beberapa jemaah wanita lain.
"Korang dah kenapa?" ujar kakak tu kehairanan. Kami berpandangan ketakutan.
"Bukan ke akak yang sakat kami kat depan rumah akak tadi?” ujar seorang rakan kami.
Air muka akak tu berubah pucat.
"Mak kau ada tak? Akak nak tumpang tidur rumah kau malam ni, tak berani akak nak balik!"
Dan kami,ponteng mengaji malam tu!
TAMAT
========================
Suntingan dan Gambar: Nil Kuhaku
Anda ada kisah seram, komedi-seram, misteri, thriller ataupun mind-blowing? Apa kata anda kongsikan kisah anda kepada kami.
Hantar kisah anda ke inbox Arkib Angker Negara atau emelkan ke aanrc2017@gmail.com
Nyatakan sekali nama akaun Facebook, blog, Instagram, Twitter atau webpage anda untuk pengkreditan.

No comments: