Monday, 13 November 2017

PENGHUNI FOC - Vion Krisalis


Penghuni FOC
OLEH: Vion Krisalis



Hai admin! Mohon hide profil ni ya, sebab saya pinjam FB jiran blok sebelah. Cukuplah korang kenal saya sebagai Musalmah. Saya sekarang ni bekerja di Putrajaya dan tinggal di kawasan Presint 5. Tak perlu tahu bangunan kuarters mana satu, nanti korang mencari pula.
Biar saya cerita serba sedikit tentang rumah yang saya duduk sekarang ni. Rumah saya di tingkat 17, tingkat paling atas. Saya tinggal sorang-sorang sejak lima bulan lepas. Tingkat ni pula setakat yang saya tahu hanya tiga buah rumah yang berpenghuni, termasuk rumah saya.Lima buah lagi kosong.
Sebelum ni saya okey je sorang-sorang dalam rumah. Seronok apa duduk sorang-sorang. Tak payah kongsi ramai-ramai macam masa duduk kat flat hijau. Kau nak gelak mengilai masa tengok Running Man pun tak ada siapa nak komplen. Kau nak karok kuat-kuat pun tak mengganggu jiran-jiran.
Tapi...
Cukup tiga bulan, muncul penghuni baru. Saya perasan pun sebab dia suka main buka tutup suis. Saya duduk dalam bilik, dia buka lampu ruang tamu. Saya duduk ruang tamu, dia buka kipas bilik. Bazir elektrik tahu! Tapi saya abaikan je semua tu. Asalkan dia tak tunjuk rupa dahlah. Tak hadap saya nak tengok muka dia.
Kalau bunyi alih perabot, bunyi menumbuk belacan tu memang setiap malam saya dengar. Bunyi guli pun sama. Datangnya dari tingkat atas padahal rumah saya tu tingkat paling atas dah.
Tak apalah, saya anggap tu gurauan manja je.
Penghuni baru ni saya tak tahulah nak describe macamana. Pemalu ke apa ke. Sebabnya, dia suka panggil nama saya tapi nyorok-nyorok pula. Saya tengah makan dia duk panggil ‘Musalmah... Musalmah...”. Bila saya jenguk, tak ada sesiapa pun.
Nak kata suka pedajal saya pun ya jugak. Contohnya, saya tinggal Iphone X saya kat dalam bilik. Lepas tu bila cari tak jumpa. Cari punya cari alih-alih ada dalam peti ais! Memang kurang ajar betul dia punya pedajal tu!
Ada satu hari tu, saya tengah seronok layan Running Man. Duk mengilai gila-gila punya ni, tiba-tiba ada suara halus ikut mengilai sama. Bunyi dekat je, macam sebelah saya. Meremang roma saya min! Agaknya macam nilah yang housemate saya dulu rasa bila saya mengilai. Patutlah diorang marah sangat.
Tapi makin dibiarkan, makin naik lemak makhluk sekor ni. Saya tengah main saham tengah-tengah malam, boleh pula dia main buka tutup lampu. Tak kusyuk saya jadinya. Itu belum dia rembat susu kotak saya dalam peti ais. Tahu-tahu saja dah masam terperam dalam almari baju. Nasib jumpa. Kalau tak, mahu berulat almari tu.
Lepas tu kan min, dia suka sangat rembat baju saya. Saya punya duk cari merata-rata sebab nak pakai pergi kerja, alih-alih tiga hari lepas tu elok je tersadai atas katil. Saya cukup pantang dengan perangai macam ni. Ambil tak reti minta izin.
Kemuncaknya, kejadian baru berlaku dua hari lepas. Saya tengah sedap tidur, tiba-tiba bunyi ketung ketang ketung ketang kat dapur. Cepat-cepat saya keluar bilik. Elok je buka pintu bilik, bunyi tu hilang. Senyap sunyi. Saya terus ke dapur. Masa tu rumah memang gelap gelita sebab saya tak suka tidur dalam cerah.
Sampai dapur, buka lampu, mengucap panjang saya min. Menyirappp je rasa bila tengok api dapur terpasang dengan periuk berisi cecair coklat tengah menggelegak sampaikan meleleh keluar dari periuk. Atas lantai pula penuh dengan serbuk koko dan susu pekat bersepah-sepah. Melekit lantai! Saya tutup api dapur, periuk tu saya letak dalam sinki dan saya biarkan pili air terbuka. Ternampaklah beberapa ketul kulit telur dalam periuk tu.
Saya tak tahulah makhluk sekor ni. Kau nak buat kek coklat lava ke hah?! Memang berlava sungguh kek coklat kau sampai melimpah ruah atas lantai. Malam tu, memang kesabaran saya teruji. Saya mengamuk maki hamun dia. Saya cakap kat dia, kalau kau berani menumpang free rumah aku lagi, aku panggil ustaz suruh bakar kau!
Lepas je saya cakap tu, saya dengar suara perempuan menangis. Kemain sayu bunyinya. Dan lepas peristiwa tu, sampai sekarang dah tak ada gangguan-gangguan tu lagi.
Dah panjang lebar saya bercerita ni, saya nak tanya admin – makhluk halus ni memang berjiwa halus ke guane? Memang cepat touching eh? Baru kena maki sikit dah merajuk lari rumah.
Yang ikhlas menyoal,
Musalmah.

=====================
Suntingan & Gambar : #kamenrider

Anda ada kisah seram, komedi-seram, misteri, thriller ataupun mind-blowing? Apa kata anda kongsikan kisah anda kepada kami.
Hantar kisah anda ke inbox Arkib Angker Negara atau emelkan ke aanrc2017@gmail.com
Nyatakan sekali nama akaun Facebook, blog, Instagram, Twitter atau webpage anda untuk pengkreditan

No comments: