Fake Jesus
==================
Aku ada satu kisah yang berlaku masa aku belajar di JB dulu. Nak terangkan pun susah apa sebenarnya yang berlaku. Hmm. Aku duduk menyewa dekat sebuah taman perumahan yang jauh sikit dari bandar JB. Siling dalam bilik rumah sewa aku tu ada lubang. Takdelah besar mana. Muat-muat sebiji bola sepak jer kot. Memang dah ada dekat situ sejak hari pertama aku pindah masuk awal semester tahun sebelum tu. Pernah juga aku tanya dekat member-member bilik lain. Kata diorang, biarkan jer lubang tu. Bukan menyusahkan aku pun. Senanglah diorang cakap macam tu. Yang tak dapat tidur malamnya aku.
Aku bukannya seorang yang penakut. Biasa-biasa jer. Kalau setakat nak tengok cerita Annabelle dekat laptop tu kalau volume-nya 50%, aku tengok selamba jer.
Tapi memang ada sesuatu yang tak kena kot dengan lubang dekat siling bilik tidur aku tu. Aku tak 100% pasti dengan apa yang aku nampak, tapi aku agak yakin yang kadang-kadang bila aku terjaga dari tidur pagi-pagi alam (2 - 3 pagi) dah beberapa kali aku nampak seseorang yang wajahnya mirip dengan... macam mana aku nak terangkan eh? ... mirip dengan wajah patung 'jesus' yang selalunya ada dekat gereja-gereja tu. Faham kan?
(maaf sekiranya ada penganut agama Kristian yang membaca. Sudah tentu benda yang saya nampak tu hanyalah jelmaan makhluk lain. Bukannya jesus. Saya orang Islam. Saya pun percaya kepada nabi Isa)
Dia hanya jengukkan kepala keluar dari lubang tu, dengan rambut yang agak panjang dan berjanggut. Dia tak tengok aku pun. Dia pandang lantai jer.
Tapi aku takdelah risau sangat sebab sepanjang setahun lebih aku duduk dekat bilik tu, bila jadi adegan 'tinjauan' tu, aku akan gerak-gerakkan sikit badan aku (menandakan yang aku dah sedar) dan kepala tu akan masuk semula ke dalam lubang tadi. Macam tu jer.
Lama-lama aku mula belajar biasakan diri dengan tinjauan tu. Kalau dia tak kacau aku, aku pun tak kacau dia.
Tapi aku tak ceritakan benda tu dekat rakan-rakan serumah. Bukannya apa. Kitorang pun tak rapat sangat. Selalu jer aku dipulaukan. Sebabnya aku tidak bercampur dengan diorang. Diorang pergi main lucky ball, aku akan terperap dalam bilik. Diorang pergi tengok midnight movie, aku terperap dalam bilik. Diorang pergi mengurat awek dekat Danga Bay pun aku akan terperap dalam bilik juga.
Pada suatu malam Sabtu, macam biasa, rakan-rakan serumah entah ke mana (mungkin ke pusat karaoke Neway City Square), aku dilawati lagi oleh 'benda' itu. Kepalanya langsung tak bergerak. Tenung lantai jer. Aku yang terjaga dek kerana nak terkencing, buka mata kecik jer. Aku perhatikan benda tu. Aku nak tahu sebenarnya apa yang dia buat. Tiba-tiba kepala tu menoleh ke aku. Dia macam pandang tepat dalam mata aku. Dia macam tahu aku dah bangun, tapi saja tak bergerak-gerak macam selalu. Aku tersentak terkejut. Bulu roma aku tak payah cakaplah. Macam nak tercabut. Aku pejamkan mata serapat mungkin. Cuba nak tidur balik. Tapi masa tu pundi kencing aku memang dah rasa macam nak meletup dah.
Aku gagahkan juga, bangun tapi tak buka mata, jalan slow-slow pergi tandas.
Sebaik pulang dari tandas, perlahan-lahan aku tengok lubang tu. Takde dah kepala tu dekat situ. Nasib baik. Aku pun tidur balik.
Sampailah malam esoknya, hati aku jadi berdebar-debar. Bukan apa. Sebab sebelum tu tak pernah kot dia tengok ke aku. Semalam tu first time. Housemate aku semua keluar sejak dari siang. Tak silap aku diorang pergi tidur dekat Desaru. Aku pun redha jer.
Siap buat report sikit, aku pun siap-siap nak tidur. Perihal lubang tu aku tolak ke tepi. Kepala aku rasa berat dari petang. Nasib baiklah aku ni jenis yang senang jugaklah nak lelap.
Malam tu aku terdengar bunyi bergeser-geser dekat siling bilik. Bunyi geseran yang macam kalau kucing tengah meronta-ronta nak keluar dari kotak kadbod. Tapi lagi kuat. Macam tu lah. Ah, sudah! Takkanlah di nak turun dari lubang tu? Jangan buat hal!
Slow-slow aku buka mata. Gila! Aku nampak seorang berjanggut yang tak pakai baju. Badan macam bercalar-calar... korang bayangkan rupa patung tu jer lah senang. Saling tak tumpah!
Kepala dia melentok ke bahu, tangan didepangkan. Macam cross tu. Langsung tak buat apa-apa. Dia berdiri tegak jer dekat tengah bilik aku dengan mulut ternganga sikit. Mata buntang gila pandang aku.
Tak gila aku waktu tu? Sehabis kuat aku tujah kaki melompat dari atas katil ke atas lantai. Macam askar aku bertiarap masuk bawah katil. Aku nampak kaki benda tu dari bawah katil. Dia jalan perlahan jer macam kaki kena ikat.
Dalam hati aku masa tu cuma mampu berdoa jer. Satu badan aku dah terketar-ketar macam terkena parkinson. Semakin lama semakin dekat benda tu dengan katil aku. Aku pejam mata rapat-rapat. Lepas tu aku terdengar bunyi spring katil berkeriut. Macam ada orang baring atas tu. Tilam siap melendut ke bawah.
Sampailah ke pagi aku duduk tertiarap dekat bawah katil tu. Aku pun tak pasti aku terlelap ker tak masa tu. Aku dongak tengok katil tu tak melendut dah. Slow-slow aku merangkak keluar dari bawah katil. Katil aku kosong. Yang ada cuma bantal, selimut tampal dengan handphone.
Apalah nasib aku kena kacau dengan hantu muka alim berjanggut. Buat hal lah. Menyamar lah jadi benda lain. Langsuir ke. Hantu raya ke.
Hari tu, aku berlagak macam biasa. Keluar tapau makanan, tengok movie dekat laptop, siapkan assignment, sampailah tiba malam. Waktu ni, housemate semua dah balik. Lega betul aku rasa. Walaupun hubungan aku dengan diorang tak berapa baik, at least diorang manusia.
Sekali lagi hatiku berdebar masa nak tidur. Sepanjang aku baring atas katil aku tenung jer lubang itu. Tunggu kalau-kalau ada pergerakan dekat dalam lubang tu. Kemudian, mindaku menangkap sesuatu. Lepas tu aku terfikir balik, bukan ke malam tu bunyi berkersak-kersuk dekat lubang tu. Tapi kenapa tak rosak? Macam biasa jer.
Aku pun bangun pergi check betul-betul. Memang tak ada rosak sikit pun melainkan lubang tu sendiri yang memanglah satu kerosakan dah dekat siling tu. Tapi lubang tu sama jer macam sebelum-sebelum ni. Tak bertambah besar pun. Kalau fikir pun tak mungkin ada jawapan. Jadi aku pun tidur macam biasa. Malam itu aku tak terjaga. Lena jer.
Esoknya kecoh satu rumah. Salah seorang dari housemate aku kata dia nampak orang berjanggut dekat dalam bilik dia semalam. Dia kata, dia ingat dia mimpi. Tapi bila benda tu jalan slow-slow makin dekat dengan dia macam nak serang dia. Dia pun bangun berlari keluar bilik. Masa tu lah dia sedar yang tu bukan mimpi. Sampailah pagi dia tidur dekat ruang tamu. Pagi tu pintu bilik dia still tertutup lagi. Dia tak berani bukak. Dia tunggu sampai kitorang bangun.
Aku pun ceritalah dekat diorang tentang apa aku nampak dekat lubang dalam bilik tu kadang-kadang. Diorang bantai marah aku pulak. Diorang kata aku tak bagitahu diorang. Aku dah bagitahu kot tentang lubang tu. Tapi yang tentang nampak benda tu aku tak bagitahulah. Karang diorang kata aku tipu pulak.
Kitorang pun pergilah beranikan diri bukak pintu tu. Bila bukak, tak ada apa-apa pun. Cuma ada satu bau pelik. Macam bau tanah basah. Macam mana nak terangkan eh? Dia bau macam tanah basah yang busuk tu.
Petang tu member kepada housemate aku datang. Dia ni macam ustaz-ustaz sikitlah. Kopiah jer tak pakai. Tapi sekali pandang korang dah tahu lah dia ni alim. Dia suruh siapa yang tak mandi wajib, mandi dulu. Lepas tu dia suruh semua pakai baju bersih-bersih, lepas tu dia ajak solat hajat. Dia bagitahulah cara-cara dan apa nak doa. Kitorang dia supaya apa yang asing yang ada dalam rumah tu semua keluar. Kiblat rumah kitorang tu menghadap dinding. Macam membelakangi pintu masuk. Masa tengah sembahyang tu, kitorang dengar bunyi lolongan dari belakang. Dari bilik-bilik tu. Suara tu macam bergerak dari belakang ke depan, lepas tu pintu rumah macam bergegar. Aku masa tengah sembahyang tu siap fikirlah, patut kitorang kena bukak pintu rumah ker eh kalau benda tu nak keluar? Lepas sembahyang aku pun tanyalah brader ustaz tu tentang pintu tu. Masing-masing masa tu muka pucat gila! Tiba-tiba semua macam insaf sekejap. Brader ustaz tu pun terangkanlah. Dia kata benda tu tak payah tunggu pintu bukak pun kalau nak keluar. Tapi dengan syarat dia kena keluar ikut tingkap atau pintu. Sama macam kalau haiwan nak keluar atau masuklah.
Dia terangkan lagi, benda-benda tu boleh menyamar jadi apa-apa jer kecuali muka nabi Muhammad S.A.W. Dia kata lagi, jangan pulak kita percaya muka nabi Isa macam tu. Pendapat brader ustaz tu, benda tu meniru apa yang dia selalu nampak jer. Kalau dia selalu nampak patung tu, dia akan menyamar jadi patung tu. Benda-benda ni ada yang bijak, ada yang tak. Kadang-kadang dia tak kacau pun. Dia macam saja minat nak duduk dengan manusia. Dia perhati jer.
Aku pun tak faham macam manalah dalam banyak-banyak bentuk dia boleh tiru, dia pergi tiru rupa patung tu. Haih.
Itu jer lah cerita aku. Aku tahu mungkin korang tak seram. Tapi bagi aku gila seram kot. Lepas kejadian tu aku rasa sebulan jugaklah aku tidur tak lena. Kadang-kadang macam bau tanah basah tu. Tapi bila hidu-hidu balik, takde pulak. Entahlah.
Okay, terima kasih kalau korang baca sampai habis. Terima kasih jugak kalau admin publish kisah aku ni. Salam.
=====================
Anda ada kisah seram, komedi-seram, misteri, thriller ataupun mind-blowing? Apa kata anda kongsikan kisah anda kepada kami.
Hantar kisah anda ke inbox Arkib Angker Negara atau emelkan ke aanrc2017@gmail.com
Nyatakan sekali nama akaun Facebook, blog, Instagram, Twitter atau webpage anda untuk pengkreditan.
No comments:
Post a Comment