MAWAR HITAM
Setiap pagi aku akan menunggu bas untuk ke tempat kerja. Sudah menjadi rutinku sebagai pekerja kilang untuk menaiki bas ke tempat kerja. Bas pekerja sudah agak uzur pada pengamatan aku tetapi amat berjasa kepada kami yang kurang berkemampuan. Berhimpit-himpit seperti sardin setiap hari sudah biasa bagi aku. Kadang-kala aku tidak hairan lagi dengan variasi aroma yang wujud di dalam bas itu tatkala waktu pulang kerja.
Hampir setahun aku bekerja di kilang itu. Tidak pernah lagi aku pulang ke rumah dengan kudrat sendiri. Namun apa yang terjadi hari itu lah menjadi detik permulaan kepada perubahan hidup aku.
Aku masih ingat lagi hari itu. Bas yang aku cakap uzur tu akhirnya tewas dipertengahan jalan. Jadi, terpaksalah kami mencari sendiri pengangkutan untuk pulang. Namun jarak untuk pulang ke rumah sewa aku ketika itu tidaklah jauh mana. Aku memutuskan untuk berjalan kaki sahaja. Dapat juga aku menjimatkan wang.
Ketika dalam perjalanan pulang, aku melalui kawasan perumahan elit. Rumah di situ semuanya besar dan cantik. Tersergam indah. Namun sejujurnya bukan itu yang menarik perhatian aku. Perhatianku tertumpu kepada gelagat si gadis yang sedang leka membelek bunga mawar dalam laman rumah.
“Lupp..dupp.. Lupp..dupp…”
Aku menyentuh dada sebelah kiriku. Injap jantung seolah-olah sedang galak mengepam darah menyebabkan debaran begitu kuat. Terasa seperti hendak terkeluar jantung aku.
“Hoi, kau buat apa kat depan rumah aku tu?” Tempikan suara si gadis mengejutkan aku. Hmm. Tak sangka.. Sungguh ‘cantik’ bahasa gadis itu.
Tapi bila difikir balik salah aku juga. Tercegat di depan rumah orang tanpa sebab. Sudah tentu mengundang syak wasangka.
Aku tersengih memandang gadis itu. Dia hanya berlalu masuk ke dalam rumahnya. Sempat dia menjeling ke arahku. Aku merasakan rentak jantung aku masih laju. Inikah yang terjadi bila jatuh hati?
Semenjak dari detik itu, aku selalu turun bas di persimpangan jalan berhampiran rumah gadis itu. Memanglah jauh sedikit jarak untuk aku berjalan tetapi berbaloi. Sekurang-kurangnya aku dapat melihat kelibat Maya setiap hari. Macam mana aku tahu namanya? Aku risik-risik daripada jirannya. Aku juga dapat tahu bahawa Maya mempunyai minat terhadap bunga mawar. Tidak bercampur dengan jiran dan hanya tinggal seorang diri di rumah itu. Rumah pusaka kedua orang tuanya.
Setelah beberapa lama aku memendam rasa, akhirnya aku memutuskan untuk meluahkan rasa hati kepada Maya. Aku mengumpulkan kekuatan. Ayat-ayat aku susun dan tuturkan dengan penuh berhikmah. Jawapan yang aku terima hanyalah sebaris ayat:-
“Dapatkan sekuntum mawar hitam baru kita boleh berkawan.”
Aku buntu. Mawar hitam? Di mana hendak ku cari? Sedangkan mawar merah biasa pun aku tak mampu nak beli, mawar hitam apatah lagi. Berganda susahnya untuk ku perolehi. Kegalauan hati aku itu dapat dihidu rakan sekerja.
“Zaid, kau ada masalah ke?” Soal Husni ketika kami sama-sama sedang rehat. Aku cuma mengerutkan kening.
“Nampak macam aku ni ada masalah ke?” Soalku kembali. Tiba-tiba Husni meledakkan ketawa. Aku hairan. Apa yang kelakar sangat?
“Soalan yang dijawab dengan soalan menunjukkan ada sesuatu yang cuba kau sembunyikan. Memang kau tengah ada masalah lah jawabnya ni. Monyok je dua tiga hari ni.”
Aku hanya melepaskan keluhan kecil. Kemudian aku menguis-nguis sisa nasi dalam pinggan. Patut ke aku ceritakan kepadanya? Aku memandang muka Husni dan menceritakan satu persatu kepadanya.
“Mawar hitam ni setahu aku tak ada kat tempat kita,” ujar Husni.
“Habis tu, Maya sengaja letak syarat tu kerana tahu aku tidak dapat memenuhinya?”
“Hmm.. tak juga. Mungkin dia sudah lama menginginkan mawar itu. Sebab kau juga kata kat laman rumah dia penuh bunga mawar,”
“Kat mana bunga tu?”
“Aku lupa lah tapi setahu aku ada satu tempat yang iklimnya memang untuk mawar ni hidup. Mawar hitam sebenarnya bukan hitam sebetulnya. Warna dia merah gelap macam maroon ke arah hitam. Ada sesetengah orang rendam batang bunga ni dalam dakwat hitam supaya bertukar hitam sepenuhnya.”
“Kau nak cakap aku patut rendamkan mawar merah biasa dengan dakwat?” soalku polos. Buntu aku dibuatnya. Husni hanya mengelengkan kepala.
“Tak. Kalau merah biasa tak menjadi. Yang aku cakap ni, mawar tu memang dah warna merah gelap seoalah-olah hitam. Mereka nak gelapkan lagi biar jadi hitam. Tapi..”
“Tapi apa?”
“Aku pernah la dengar satu cara ni nak dapatkan mawar hitam. Rasanya tak sesuailah kalau kau nak buat”
“Macam mana?” Aku menggesa Husni. Husni hanya mengeleng. Tapi setelah didesak berkali-kali Husni akhirnya mengalah jua.
“Ada yang kata kena gunakan darah sebagai baja. Batang bunga itu dipacakkan pada tanah liat dari sungai. Sungai tu mestilah yang terpencil. Maksudnya yang tidak menjadi tumpuan orang ramai. Tanah itu dicampurkan dengan dakwat hitam dan darah manusia.”
“Itu je? Tak ada lah susah sangat.”
Aku tersenyum membayangkan bahawa aku bakal memperoleh mawar itu nanti.
“Senang kau cakap? Darah manusia kau tau tak? Lagipun ada syaratnya juga. Darah itu mestilah yang ditoreh di pergelangan tangan. Walaupun sakit macam mana, air mata setitik pun tak boleh keluar. Keluar air mata alamatnya sia-sia saja,” ujar Husni panjang lebar.
Termenung juga aku memikirkan syarat itu. Perlu ke aku melukakan diri sendiri semata-mata untuk sekuntum bunga? Aku bermonolog dan berkira-kira samaada ingin meneruskan ataupun tidak.
“Tapi, aku tak sarankan kau buat. Sebab sebenarnya benda ni helah jin untuk menyesatkan. Sekali kau terjebak, kau tak boleh lari lagi,” Husni menasihati aku di akhir perbualan kami.
***
Aku sudah memasang tekad. Nafas ku tahan. Pisau rambo yang telah di asah kugenggam erat. Aku memejamkan mata sebaik sahaja mendaratkan mata pisau di pergelangan tangan. Mata pisau dibenamkan perlahan-lahan dan meneroka lapisan kulit aku.
Bermula daripada lapisan epidermis, ke dermis dan kemudian mata itu mendarat ke salur darah aku. Sebaik sahaja salur darah di robek mata pisau, aku dapat rasakan bendalir keluar daripada pergelangan tangan.
Aku mengacip gigi kemas-kemas. Pedih. Air mata yang hendak terkeluar dari tubir mata terpaksa aku tahan. Semuanya hanya demi mendapatkan hati seorang gadis. Aku biarkan sahaja darah menitik ke dalam sebuah bekas berisi tanah .Tanah sungai itu aku perolehi siang tadi.
Sebaik sahaja darah mencukupi, aku pantas menutup luka aku dengan kain bersih. Aku menekan kuat bahagian itu untuk menghentikan pengaliran darah.Kemudian aku mengaplikasikan teknik balutan luka yang aku pelajari ketika di sekolah dulu.
Dakwat hitam aku tuang ke dalam bekas tadi. Sekuntum mawar merah dipacak ke dalam bekas itu. Mawar atas ihsan bos tempat kerja aku. Terpaksa aku tebalkan muka untuk meminta sekuntum mawar yang terdapat di tepi pejabat bos. Aku biarkan sahaja mawar itu selama 3 hari. Dan aku mampu tersenyum setelah melihat mawar itu betul-betul berubah hitam.
Hari itu juga aku bergegas ke rumah Maya. Aku mengenakan baju yang agak kemas. Rambut ku sisir rapi. Ku calit sedikit wangian walaupun wangian itu hanya murah. Berlari-lari aku menuju ke rumah Maya walaupun hari sudah malam. Sesampai di pagar rumah Maya, aku terlihat dia sedang membelek mawarnya.
“Tidak habis-habis dengan bunga.” Detik hatiku.
Maya datang menghampiri aku sebaik sahaja aku memanggilnya.
“Maya, saya dah dapatkan,” ujarku tersipu-sipu. Kekok pula hendak berkata-kata.
“Dapatkan apa?” Soal Maya. Agak kasar nadanya.
“Ni, mawar hitam untuk awak. Kira kita boleh berkawan lah kan?” Aku tersengih-sengih sambil menghulurkan mawar itu kepadanya.
Maya hanya merenung aku dan tersenyum sinis.
“Kau ni memang lurus bendul. Buat apa sekuntum bunga hitam? Kau ingat aku betul-betul nak ke berkawan dengan kau?”
Aku terpana dengan kata-kata angkuh Maya.
“Tapi kenapa?” Aku cuba meminta penjelasan.
“Aku ni saja je suruh kau dapatkan mawar hitam sebab tak nak kau dekati aku. Sebab mustahil untuk kau dapatkan mawar hitam.” Bersahaja nada Maya namun cukup merobek hati aku.
“Lagipun, aku dah ada seseorang dah. Yang jauh lagi kaya daripada kau. Dia dah hadiahkan aku satu kebun bunga yang penuh dengan pokok bunga mawar. Khas untuk aku. Kat tepi tasik sana tu. Aku rasa aku tak perlukan picisan mawar kau yang tidak berguna itu. Setakat sekuntum, mana boleh ditanam. Dah, kau boleh pergi,” Selamba saja Mawar menghalau aku.
Aku kecewa. Geram kerana dipermain-mainkan. Amarahku tidak dapat dibendung lagi. Pagar rumah Maya aku panjat. Berjaya aku lepasi pagar itu.
“Kau nak buat apa ni?” Soal Maya cemas.
Aku tidak menjawab pertanyaan itu. Kelihatan dia ingin menjerit meminta tolong tetapi aku pantas menekup mulutnya. Rambutnya aku tarik. Kuat sehinggakan dia meraung kesakitan akibat tindakan aku. Aku tidak takut. Kawasan perumahannya gelap. Lagipun dia tinggal sendirian di rumah.
‘Tusuk mata dia dengan batang bunga mawar.’
Kedengaran suatu suara berbisik di telinga aku. Tanpa berfikir panjang, aku mengikuti suara itu. Batang mawar yang berduri terbenam dalam matanya.
Dalam kesamaran malam itu aku tersenyum puas melihat Maya menggelupur menahan kesakitan. Tidak cukup dengan itu, aku menarik mawar yang terbenam itu. Kemudian aku menusuknya ke mata yang satu lagi. Maya meronta-ronta.
“Tolong aku. Jangan seksa aku lagi.” Lemah suara Maya. Lirih dia merayu kepada aku. Namun aku tidak berasa kasihan. Aku menghumbankan Maya ke tanah. Kemudian dadanya aku pijak-pijak.
“Rasa sakit kan? Macam ni lah yang aku rasa. Hahaha,”
Aku rasa seronok memperlakukan dia sebegitu. Seolah-olah rasa sakit hati aku hilang. Setelah aku merasakan hayatnya sudah berakhir, aku mengendongnya. Ke mana? Sudah tentu ke taman bunganya di tepi tasik. Mesti dia gembira kalau di semadikan di situ.
Oh ye, aku semadikan dia bersama bunga mawar hitam itu. Aku tusukkan ke dadanya. Biarlah cinta hati pertama aku bersemadi bersama mawar hitam itu.
***
Setahun kemudian..
Aku ke tempat itu ketika tiada orang yang mengunjunginya. Waktu malam merupakan ruang waktu yang sesuai untuk aku melawat Maya. Pada waktu siang aku tidak berkesempatan kerana tempat itu selalu dikunjungi orang ramai.
Aku mengeluarkan pisau dan mengelar pergelangan tangan. Ku biarkan darahku menitik ke tanah tempat mawar hitam itu tumbuh dan mekar. Setiap sebulan sekali aku akan melakukan perkara itu. Semuanya demi cinta aku terhadap Maya. Akan aku usahakan supaya mawar itu tetap mekar. Aku akui, aku cukup menyesal membunuh Maya.
Kehilangan Maya setahun lalu mencetuskan tanda tanya. Namun kes itu ditutup kerana penyiasatan mengenainya menemui jalan buntu.
Aku dapat rasakan kelainan ketika aku mengelar tanganku pada malam itu. Darahku seolah-olah tidak mahu berhenti keluar. Pandanganku berpinar-pinar. Semakin lama aku merasakan rentak jantungku semakin lemah.
Aku cuba berpaut pada pokok mawar hitam itu. Ku genggam erat pokoknya seolah-olah aku sedang menggenggam tangan Maya. Aku tidak dapat membendung darah yang semakin galak keluar. Aku dapat rasakan hayat aku makin sampai ke penghujungnya. Aku akhirnya tewas. Nafasku terhenti. Aku terkulai di situ.
****
Keesokan harinya pengunjung taman bunga itu dikejutkan dengan penemuan mayat seorang lelaki di bawah pokok mawar hitam. Tempat itu ditutup sementara waktu bagi memberi ruang kepada pihak berkuasa menjalankan penyiasatan.
“Tuan, ada yang pelik dengan mayat lelaki ini,” ujar seorang pegawai kepada ketua pegawai di situ.
“Apa yang pelik?”
“Tangannya tak boleh dialihkan dari pokok tu. Nak potong bahagian pokok tu ke macam mana tuan?”
“Hmm.. boleh. Tapi nampaknya kena gali pokok tu. Sebab tangan mayat tu kat pangkal. Berhampiran dengan akar. Kalau potong tanpa gali nanti habislah tangan lelaki itu.”
Pegawai itu mengangguk-angguk. Kemudian kerja-kerja menggali pokok mawar dilakukan. Agak rumit juga kerja itu memandangkan akar pokok itu jauh ke dalam tanah. Terpaksalah mereka menggali sampai habis. Masing-masing hairan kerana selalunya akar mawar tidaklah sedalam itu.
“Tuan, tuan!!! Cuba tengok ni!!!”
Laung pegawai tadi cemas. Dituding jarinya ke arah lubang itu. Ketua pegawai segera menjengah ke dalam lubang. Alangkap terkejutnya dia tatkala melihatkan ada kerangka yang tertanam di situ. Akar mawar hitam pula di lihat mencengkam kerangka tersebut.
Masing-masing tertanya-tertanya. Apakah kaitan kerangka di dalam tanah itu, pokok mawar dan mayat lelaki yang baru di temui ini? Kebetulan ataupun terdapat misteri yang perlu dirungkai?
-TAMAT-
Karya: Atikah Che Yasin
Suntingan Gambar: DeeFen DF
Anda ada kisah seram, komedi-seram, misteri, thriller ataupun mind-blowing? Apa kata anda kongsikan kisah anda kepada kami.
Hantar kisah anda ke inbox Arkib Angker Negara atau emelkan ke aanrc2017@gmail.com
Nyatakan sekali nama akaun Facebook, blog, Instagram, Twitter atau webpage anda untuk pengkreditan.
No comments:
Post a Comment