Showing posts with label Tajul Ariffin Norsadan. Show all posts
Showing posts with label Tajul Ariffin Norsadan. Show all posts

Saturday, 25 November 2017

ONCALL - Tajul Ariffin Norsadan


ONCALL
Entah kenapa aku malas untuk pergi kerja hari ini. Mungkin kerana bebanan kerja yang tinggi dan kebodohanku dalam bidang ini, membuatkan aku rasa tertekan.
Mahu tidak mahu, aku harus meredah dugaan ini kerana ini sudah menjadi tanggungjawabku yang diamanahkan oleh pihak yang mengambilku bekerja.
Tidak ada apa yang aneh. Seperti hari-hari sebelumnya, aku masuk bekerja pada pukul 7 petang hingga 12 tengah hari keesokan harinya jika bekerja atas-panggilan.
Kegelapan di waktu senja ini, membuatkan aku lebih tidak bersemangat. Dengan hati kaku dan layu, aku mula membuat pekerjaanku.
Walau hatiku begitu, aku tetp melemparkan senyuman paling manis ketika berdepan pesakitku. Orang kata dengan senyuman sudah mampu menyembuhkan.
*****
"Doktor, doktor." Jururawat memanggilku.
"Ye." Aku menoleh ke arahnya.
"Boleh ambikkan darah untuk pesakit yang dekat dalam unit kebakaran tu tak?"
"Boleh, kejap lagi saya ke sana. Nak darah apa je?"
"FBC (full blood count) je. Dia baru lepas tranfuse darah doktor."
"Ok!" Sambil melempar senyuman paling manis.
Aku melihat jam dinding. 3 pagi. Mataku sudah memberat dan badanku sudah keletihan.
*****
"Nurse, mana patient yang nak kena amik FBC tadi?"
"Dalam bilik tu doktor. Bilik 6." Sambil menunjukkan ke arah biliknya.
Unit kebakaran biasanya meletakkan hanya seorang pesakit di dalam satu bilik. Unit ini juga kekal sejuk kerana berpenghawa dingin.
Aku mula menyiapkan alat-alat yang diperlukan untuk mengambil darah seperti picargari, jarum, kapas beralkohol dan tourniquet.
Aku membawa ke semua peralatan tadi di dalam bekas besi yang berbentuk seperti kacang gajus ke bilik pesakit tadi.
Aku lihat dia berbalut hampir setengah dari badannya. Kulitnya melepuh disebabkan air panas yang dicurahkan kepadanya.
Tergamak sekali pelaku melakukan demikian hanya kerana meminta sedekah. Mungkin dia kelihatan agak tidak terurus, tetapi tidak pula dia harus dilayan sebegitu.
"Maaf ye cik saya ganggu pepagi buta ni. Saya nak ambil darah sikit ya."
"Hari-hari pun angkat darah ke?" Kata wanita berbangsa India itu.
"Maaf ye. Saya nak tengok darah cik dah cukup belum. Tadi kan baru lepas tranfuse darah."
"Kalau asik amik je, mane nak cukup." Jawabnya sedikit kesal.
"Maaf ye. Sikit je." Aku cuba merayu
"Ok." Dia setuju.
Aku pun membuka langkah. Jurus-jurus mengambil darah dimulakan. Aku tunduk sedikit dan mula menusuk picagari berjarum ke kulitnya.
Aku menolak picagari berjarum lebih dalam. Darah mula mengisi. Sedang aku cuba menarik lebih banyak, tangannya mula bergerak mengalihkan tangannya.
"Cik jangan goyang ye. Sikit je lagi. Nanti takut tak cukup, kena cucuk balik."
"Doktor, itu itu." Suara seperti tergagap.
"Sikit je lagi." Aku masih menunggu dia untuk tidak bergoyang.
"Doktor, itu kat belakang."
Belakang? Apa yang belakang? Rasanya hanya kami berdua di sini. Aku kaku. Aku melihat ke arahnya. Matanya memberi isyarat seperti ada sesuatu dibelakangku.
"Tak apa cik jangan goyang. Sikit je lagi." Aku cuba menggagahkan diriku walaupun suara terketar.
Tiba-tiba, dia yang dari baring terus berundur ke kepala katil sampai berkeadaan duduk. Aku cuba mengekori tangannya kerana jarum masih tertusuk.
"Itu belakang, sudah kat bawah. Ha, kat bawah."
Ah sudah. Jantungku berdegup laju. Apa pula yang sudah di bawah katilnya.
"Nurse! Tolong saya kejap. Pesakit ni geraklah."
"Pesakit tu memang susah sikitlah doktor. Dia ada masalah sikit. Jap saya datang." kedengaran suara jururawat itu sedikit menjerit dari luar.
Kedengaran tapak kaki dari langkah jururawat tadi berjalan ke arah bilik itu.
"Argh!!!!!!" Jururawat yang baru muncul di pintu bilik itu menjerit dan jatuh pengsan.
Kenapa pula ini? Aku masih terkaku di situ.
Tiba-tiba...
"Aku nak darah dia..." kedengaran suara garau dari bawah katil.
Bilik yang sejuk itu terasa panas kerana jantungku berdebar kencang. Peluh mula mengalir dipipiku. Seribu satu doa yang boleh aku baca, terkumat kamit dibibirku.
"Aku nak darah yang kau ambik tu...!"
"Jangan kacau aku. Darah ni bukan kau punya." Aku mengagahkan diri.
"Kenapa kau boleh. Aku tidak?" Sepertinya dia mula marah.
"Aku nak tolong dia. Bukan macam kau."
Aku menarik nafas dalam dan menarik picagari tadi. Picagari itu aku letak di dalam bekas.
"Apa kau nak!"
Aku tunduk ke bawah katil untuk bersemuka dan pada waktu yang sama, azan Subuh berkumandang.
Tiada apa di situ. Kosong. Aku lega. Aku kembali bangun dan duduk disebelah pesakit. Pesakit tadi juga sudah tidak sedarkan diri.
Aku membangun pesakit tadi, posisikan dia baik-baik agar dia boleh beristirahat. Dia yang masih separuh sedar, kembali tidur.
"Kak bangun!" Aku cuba membangunkan jururawat tadi.
"Ehh...mmmm...doktor." jururawat yang baru sedar tadi terus berlari ke luar unit kebakaran.
Aku hanya mengikutnya dari belakang. Sampai sahaja diluar unit itu,.
"Doktor, doktor. Benda apa tadi tu? Saya tak nak masuk balik. Saya takut..."
"Saya pun tak tahu. Saya tak nampak, saya dengar suara je. Awak nampak?"
"Tak tahu nak cakap macam mana, yang penting besar gelap dan nampak mulut bertaring macam serigala."
"Yang penting, masa saya keluar tadi, benda tu tak ada dah. Kalau awak takut, awak minta tolong staff dari unit lain teman awak sampai cerah. Takkan nak biar pesakit sorang-sorang macam tu je.Dah, saya pergi solat jap."
"Ok doktor." Jawabnya.
Aku meluru ke surau dan berwuduk. Terasa pedih di ibu jari kaki kananku. Kelihatan kesan gigitan besar dan sedikit darah keluar mengalir.
"Terima kasih." Suara garau itu lagi.
-Tamat-
Admin,

*Jika anda ada kisah angker, seram, misteri mahupun thriller yang ingin dikongsikan kepada kami. Bolehlah menghantarnya ke inbox kami :

Atau emelkan ke:
aanrc2017@gmail.com

Kisah anda itu akan dikreditkan kepada anda. Nyatakan sekali nama akaun Facebook, Instagram, Twitter, blog atau webpage anda untuk tujuan pengkreditan.

Saturday, 15 July 2017

SETIA - Tajul Ariffin Norsadan




“KAU LEPASKAN ISTERI AKU!”
Seorang wanita berambut pendek sedang memegang isteriku dari belakang. Sebilah pisau diletakkan di leher isteri seperti mahu mengelarnya.
“Bang, tolong Nur bang.” Nur masih dalam pelukan wanita itu.
“Kau diam! Aku bunuh kau!” gertak wanita itu.
“Tolong jangan apa-apakan dia. Apa yang kau nak sebenarnya?”
“Dah merata Mira cari Abang. Mira nak Abang je…” wanita yang menggelarkan dirinya Mira sedikit merayu.
“Tak mungkin Mira. Benda yang dah lepas, lepaskanlah. Lepaskan isteri aku dan jangan kacau kami lagi.”
“TAK MUNGKIN! Mesti sebab perempuan ni kan? Baik aku BUNUH je dia!”
“Mira, lepaskan isteri Abang... Dia tidak ada kene-mengena dalam kes ni.”
“Sebab dia, kita tak bersama Bang. Kenapa Abang tinggalkan Mira? Mira nak Abang je..” Mira merayu lagi.
“Mustahil, Mira. Mustahil!”
“Apa yang MUSTAHIL! Aku nak kau je! Apa yang susah sangat. Isteri Abang ni, saya bunuh je.” Mira mula menarik pisau semakin dekat ke leher Nur.
“Tolong lah lepaskan dia. Kalau kau nak sangat aku, AMIK LAH! Tapi kau lepaskan dia!”
“Betul ni bang?” Mira
“Ya.” aku mendekati dia.
“Kau lepaskan dia.”
“Abang jangan tipu. Kalau tak, aku bunuh korang semua!”
Aku mendekati dia lagi. Perlahan-lahan dia melepaskan Nur. Nur terus berlari ke arahku dan memelukku yang dalam keadaan menangis dan trauma.
“Bang jom.” Rayu Mira.
“Nak pergi mane Mira?”
“Ikut Mira balik rumah kita la.”
“Sedarlah Mira. Abang tak mungkin ikut Mira.”
“KAU NAK AKU BUNUH KAU DENGAN ISTERI KAU DEKAT SINI KE?”
“Macam mane Abang nak ikut Mira. Abang tak tahu nak cakap macam mana.”
“Kenapa bang? Kenapa?”
“Sebab Mira dengan Abang dari dunia yang berbeza.”
“Apa maksud Abang?”
“Mira tak ingat ke apa yang jadi pada Mira!”
“Ingat apa?”
“Mira, Mira dah tinggalkan Abang masa Mira lahirkan anak kita. Mira dengan anak kita dua-dua dah tak ada.”
Mira menangis dan terjelupuk jatuh.
“Tapi Mira rindukan Abang...”
“Mira pulanglah ke tempat asal Mira. Mira dah ada dekat kehidupan yang lain.”
Aku mendekati Mira. Dia pernah menjadi kekasih hati aku. Tetapi dia sudah tiada di dunia ini.
“Mira balik lah. Jangan kacau keluarga baru Abang. Abang kene teruskan…...Ugh.”
“Abang!!” kedengaran jeritan suara Nur.
Pisau ditangan Mira sudah menikam ditubuhku. Badanku lemah. Terasa cairan hangat mencurah-curah keluar dari luka tikaman itu.
“Lari Nur! LAR..Ugh!”
Leherku dikelar. Tiada suara yang keluar. Pandanganku kabur. Aku sudah tidak bermaya untuk berdiri dan akhirnya aku rebah. Terbaring bermandikan darahku sendiri.
“Mira tahu Abang guna ilmu keji masa nak dapatkan Mira sampai Mira sanggup derhaka dekat Mak dengan Ayah.”
“Sekarang Mira boleh bersama Abang selamanya.”
******
Suntingan: Arkib Angker Negara
Hayati lagu ini yang menjadi ilham kepada kisah ini:
https://youtu.be/x-1hPyWnCW0
Jika anda ada kisah yang ingin dikongsikan. Hantarkan ke inbox kami. Kisah itu akan kami kreditkan kepada anda.
*Gambar hasil carian di Google.

Friday, 7 July 2017

KUNJUNGAN - Tajul Ariffin Norsadan


"Jomlah Man, kita balik."
"Ala. Satu rumah je lagi." Kataku.
"Dah nak Maghrib ni. Mak aku suruh balik sebelum Maghrib." Gesa Nazrul.
"Jomlah Naz. Rumah hujung tu je. Lepas tu kita balik." Pintaku.
"Tak nak lah. Kau gi lah Man. Aku nak balik."
Nazrul meninggalkan aku sendiri.
"Lantak kau lah. Aku nak balik Johor dah besok. Tak sempat nak beraya rumah terakhir tu besok!" Jeritku.
Tetapi, Nazrul terus melangkah menjauh.
Setiap tahun, bila menjelang Hari Raya Aidilfitri, aku akan pulang ke kampung di Ulu Selangor. Tetapi, baru tahun ini aku dapat keliling kampung untuk mengutip duit Hari Raya.
Aku mengikut kawan-kawan aku di kampung ini untuk pergi beraya. Kampung ini tidaklah terlalu besar. Mereka kata hanya cukup satu hari, kita dapat pergi ke semua rumah.
*****
Aku berada di depan sebuah rumah. Rumah kayu tersergam indah. Rumah yang terjaga rapi. Reka bentuk yang masih mengekalkan rumah seni bina kemelayuan.
Di depan rumah itu terpasang pelita-pelita yang menerangi jalan ke depan rumahnya.
"Assalamualaikum." Aku memberi salam.
Tiada jawapan.
"Assalamualaikum"
"Waalaikumsalam." Terdengar sahutan ini dari dalam rumah itu.
"Masuklah." Tambahnya.
Seorang lelaki badan tegap, agak tinggi, dan berkulit gelap muncul di depan pintu. Berbaju putih bersih. Sangat segak.
"Naiklah rumah Acik. Nak berayakan?" Tanyanya.
"Ye cik." Aku menjawab sopan.
Aku melepaskan kasut rayaku ditangga. Selangkah demi selangkah aku menaiki tangga kayu itu. Aku sampai di tangga terakhir dan memasuki pintu.
"Jemputlah duduk ye. Acik buat air kejap. Anak ni minum air teh kan?"
"Ye cik."
Bersih dan tenang. Itulah yang aku dapat menggambarkan tentang rumah ini. Perabot-perabot klasik menghiasi segenap kawasan rumah.
Pak cik tadi kemudian datang membawa dulang yang di atasnya terdapat teko dan dua cawan.
"Maaflah, Acik tak ada kuih nak hidangkan. Acik buat teh je." Dia tersenyum.
"Eh tak apalah cik." Aku turut balas senyumannya.
"Anak ni anak siapa?" Bertanya.
"Anak Karim. Cucunya Wak Jalal." balasku.
"Oh, rumah sebelah Warung Pak Hanif tu ya?"
"Ye cik."
Mungkin Acik ini kenal dengan keluargaku. Aku sesekali menghirup teh yang dihidangkan. Tehnya wangi dan sedikit hangat. Memang menenangkan.
"Acik duduk sorang ke?" Tanyaku.
"Ye nak. Dulu acik ada isteri. Tapi meninggal masa lahirkan anak Acik yang pertama. Anak Acik tu pun meninggal." Jelasnya bersahaja.
Aku diam dan tunduk.
"Anak ni umur berapa?"
"11 tahun." jawabku.
"Kalau anak Acik masih hidup, samalah umur dengan anak ni." Jelasnya.
Aku hanya membalas dengan senyuman.
"Acik rindu isteri dan anak Acik. Acik sunyi je duduk rumah ni. Terima kasihlah sebab sudi datang umah Acik ni. Terubat rindu acik." Meluahkan perasaannya.
Sedih aku melihat Acik. Tidak ada yang boleh aku buat.
"Acik, saya balik dululah. Takut mak marah. Dah malam sangat ni." Pintaku.
"Ye lah. Nanti kirim salam mak ye."
Aku bangkit dari kerusi dan menghulurkan tangan. Acik membalas salamku. Terasa kasar ditapak tangan Acik. Aku mencium dibalik tangannya seperti didikan mak.
"Nah duit Raya. Jangan buat beli mercun ye." Nasihat Acik.
"Terima kasih Acik. Selamat Hari Raya!" Ucapku.
"Sama-sama. Selamat Hari Raya." balasnya tenang.
Aku menuruni tangga rumahnya dengan berhati-hati. Mungkin kerana kakiku yang kecil, terasa jauh setiap anak tangga. Sampai di bawah, aku menyarung kasutku.
Hari sudah gelap. Aku melambai ke arah Acik tanda perpisahan. Aku beredar dari perkarangan rumah itu.
'Mati aku. Mesti mak marah'
******
"Assalamualaikum! Mak! Man balik!"
Aku memberi salam dalam keadaan termengah-mengah. Aku berlari dari rumah Acik sampai ke rumah Atuk. Terasa jauh sekali.
"Man! Anak mak!" Terdengar teriakan mak dari dalam rumah.
"Ye mak!" Aku membalas.
Terlihat mak berlari dari dalam rumah ke arahku.
"Anak mak pergi mana?" Mak memelukku sambil menangis teresak-esak.
"Man gi beraya lah Mak. Kenapa mak nangis ni?" Tanyaku.
"Man beraya ke mana sampai seminggu tak balik-balik. Mak risau."
"Mana ada mak. Man pergi kejap je. Lepas rumah terakhir kat hujung jalan tu, Man terus balik." Jelasku.
"Mana ada rumah kat situ Man. Situkan tanah surau lama." Mak masih menangis.
"Betul Mak. Ni ha, Acik tu bagi duit Raya"
Aku membuka sampul raya yang terbuat dari surat khabar lama. Aku mahu membuktikan yang ada duit di dalamnya.
Aku lihat di dalamnya. Ada sehelai kertas dan tertulis sesuatu.
'Malam ni Acik datang'
..........



Jika anda ada kisah yang ingin dikongsikan, sila hantarkan ke inbox kami. Kisah itu akan dikreditkan kepada anda.
*Gambar: hasil carian di Google.

Sunday, 18 June 2017

UBAT - Tajul Ariffin Norsadan


Saya Dewi. Baru je melapor semalam” aku menghulurkan tangan melengkap tanda perkenalan.
“Oh! nama kakak, Asriani. Panggil je Kak Ani.” Kami bersalaman.
“So, first time la on-call malam ni ?” Tanya Kak Ani.
Kak Ani. Umur, mungkin 30-an. Agak rendah dari aku. Kurus. Kulit, sawo matang. Mungkin sudah lama disini. Aku mesti banyak belajar dari Kak Ani.
“Eh, kenapa termenung je? Tak apa, nanti kakak ajar awak kerja-kerja malam ni ok?” Kak ani tersenyum.
“OK!” jawabku.
Nampak baik. Semoga memang baiklah orangnya. Setakat dua hari ini, aku jumpa semua jururawat yang ada dan hampir semua baik dan sangat membantu antara satu sama lain. Kalau aku di hospital lama, memang aku sahajalah yang buat kerja. Yang lebih senior hanya datang goyang kaki. Aku yang baru inilah yang terkial-kial sendiri.
Rumah Sakit Umum Daerah Labuang Baji lebih dikenali RSLB. Didirikan pada tahun 1938 semasa perang dunia kedua. Hospital ini menjadi tempat rawatan anggota tentera yang cedera semasa perang. Ada yang selamat dan banyaknya yang terkorban. Sekarang, hospital ini kelihatan agak usang dan kurang terjaga. Peralatan-peralatannya juga masih menggunakan barang lama. Seperti contoh masih menggunakan katil kayu di wad. Inilah hospital yang aku bertugas sekarang.
Aku bertugas di wad pediatrik. Wad yang penuh dengan kanak-kanak dan penjaga mereka. Sama ada ibu bapa mahupun datuk atau nenek mereka. Kebiasaan orang di sini, mereka membawa ramai keluarga untuk menjaga. Mahu dihalaunya kesian kerana kadang-kadang mereka ini datang dari jauh. Perjalanan berjam-jam untuk sampai disitu. Kalau dihalau juga mereka tetap akan tidur dihospital tetapi diluar pagarlah. Jadi kami biasa akan hanya menutup sebelah mata untuk kejadian-kejadian seperti ini. Biasanya keluarga mereka akan tidur dibawah tempat tidur pesakit.
Tugas malam ini berjalan lancar. Semua dalam keadaan tenang. Harap tidak diserang kemasukan pesakit secara mendadak. Sekali-sekali terdengar suara bayi menangis. Lalu diam kembali. Pasti sudah sudah dipujuk oleh ibunya. Itulah keadaan di wad pediatrik.
“Dewi, ubat semua dah kasi?” tiba-tiba aku ditegur Kak Ani.
“Eh Kak! Terkejut saya. Dah kak. Semua dah bagi. Tinggal pukul 6 pagi nanti punya je.” Aku membalas.
“Tu la kau berangan je. Semua OK je kan? Kalau OK, gi la tidur dulu.” Kak Ani.
“OK kak. Tapi saya tidur sini je la. Saya ni kalau dah naik tilam memang tak sedar. Kak tidur la dalam. Kalau ada apa-apa saya kejutkan.” Aku menjelaskan. Aku sudah terbiasa dihospital lamaku. Jadi aku terbawak-bawak melayan seniorku seperti itu.
“Boleh ke tidur situ? Tak selesa la tidur kat meja. Muat je tidur kat dalam tu.” Pelawa Kak Ani.
“Tak pe kak. Saya kat tidur sini je.” Menolak pelawaan Kak Ani dengan lembut.
“Suka hati kau la Dewi. Kalau ada apa-apa kejut kakak OK! Nanti kul 6 kita bagi ubat sama-sama.” Kak Ani terus masuk ke dalam bilik yang disediakan.
Jam sudah pukul 1 pagi. Semua masih tenang. Tiada pula panggilan dari jabatan kecemasan untuk kemasukan pesakit baru. Aku meletakkan kepala di atas lenganku. Sambil melihat-lihat di laman Facebook, akhirnya aku terlelap. Sepi. Gelap.
********
“Kring!!!! Kring!!!”
“Eh, pukul berapa ni?” Aku terjaga dari bunyi penggera dari telefon bimbitku.
6.10. Terlambat. Banyak pesakit yang aku harus beri ubat. Aku langsung ke bilik untuk membangunkan Kak Ani. Tetapi, tiada. Mungkin Kak Ani sudah mula memberi ubat. Aku langsung ke trolley¬ ubat. Betul. Semua ubat untuk semua bed sebelah kanan sudah tiada. Pasti Kak Ani sudah mula memberi. Aku bergegas mengambil semua ubat-ubat untuk semua bed sebelah kiri. Aku mula memberi semua ubat kepada pesakit-pesakitku.
Ini bed terakhir. Setelah itu, tinggal tunggu jam 8 pagi dan tamat shift malam pertamaku. Nasib baik malam ini tiada apa-apa yang berlaku. Semuanya tenang-tenang sahaja.
“Dik, ibu ayah mana?” Tanyaku kepada pesakit.
“Oh, ntah kak. Tadi ada. Keluar kot.” Katanya.
“Adik Hendra kan?” Aku hanya memastikan namanya.

“Ye kak.” Balasnya.

“Kakak kasi ubat eh untuk pagi ni.” Aku menjelaskan kepadanya.
“Eh? Kakak, tadi dah ade nurse bagi ubatlah!”
“Dah dapat ubat?” aku terpinga-pinga.
“Ha’ah dah dapat. Cucuk kat sini kan?” ujar pesakit berumur 8 tahun itu.
“OK tak pe. Kakak check balik ye!”
Pelik. Ubat adik Hendra ini masih ada, tapi katanya, ubatnya sudah diberikan. Baik aku bertanya ke Kak Ani, mungkin dia sudah memberikan ubat untuk adik Hendra. Jadi masalah pula kalau diberikan dua kali. Aku pun pergi mencari Kak Ani.
“Kak! Kakak dah bagi ubat untuk pesakit atas nama Hendra kat bed ujung tu ke?” aku bertanya ke Kak Ani.
“Eh? Dah bangun pun kau. Ingat tido lagi. Tido kat meja pun boleh nyenyak. Hendra eh? Mana ada, kakak baru je abis bagi ubat kat bed-bed sebelah kiri ni. Belum lagi pegi sebelah sane.” Jelas Kak Ani.
“Oh ye ke? Tak pe lah kak, budak Hendra tu cakap dia dah dapat ubat. So, saya tanyalah kakak. Takut terbagi dua kali. Budak ni takut dapat ubat kot.” Aku terus berjalan ke bed Hendra. Budak Hendra ini pasti main-mainkan aku. Geram.
“Dik, belum dapat ubat la. Tadi kakak baru je tanya kawan kakak. Adik tak dapat ubat lagi.” Aku tersenyum kelat.
“Dah kak. Betul. Buat apalah saya tipu. Saya nak cepat balik mesti la kene amik ubat.” Pandai pula adik Hendra ni.
“Dah tu, ni ada lagi ubat adik. Memang dah siapkan untuk bagi kat adik je. Kalau dah bagi mesti dah abis dah.” Aku jelaskan.
“Manalah saya tau. Yang saya ingat nurse yang kasi tu tinggi-tinggi. Putih. Berisi sikit. Pastu muka macam Mat Salleh.” Kata Hendra.
Aku terdiam. Itu bukan Kak Ani. Kami je yang kerja berdua malam ni.
“Ha! Tu pun nurse tadi! Nurse! Nurse ni tak caye yang nurse dah bagi ubat.”
Kaku. Aku dapat merasakan sesuatu di belakangku. Rasanya seperti ditatap ke arahku. ‘Dia’ tidak bersuara. Jantungku berdegup laju. Bulu romaku tegak. Peluh mula keluar dari liang-liangnya. Aku menggigil. Hendra masih menunjuk-nunjuk ke arah belakangku.
“AKU SUDAH BERI!” suara seperti orang tua dengan pelat Eropahnya kuat dari belakangku.
Kaki aku lemah. Terduduk. Aku panik. Apa yang aku harus lakukan. Kaku. Aku diam tidak bergerak. Tiba-tiba aku merasakan ‘dia’ tidak ada lagi dibelakangku. Aku toleh. Tiada. Aku dongak.
“AKU KATA AKU SUDAH BERI!”


Betul-betul di depan mukaku. Tua. Ngeri. Kakinya disiling. Terbalik.

******
“Dewi! Bangun! Kenapa kau terbaring kat sini?” terdengar suara Kak Ani.
“Dewi! Dewi!” suara Kak Ani semakin jelas.
“Kak?”
“Ye Dewi. Kenape Dewi terbaring kat sini?”
Aku cuba membuka mata. Silau. Penglihatan yang kabur semakin jelas. Aku betul-betul ditepi bed Hendra. Tetapi, tiada Hendra disitu.
“Hendra mane kak?” Aku bertanya.
“Hendra?” Kak Ani.
“Ye, Hendra. Pesakit kat bed ni?” tanyaku lagi.
“Ko ni biar betul Dewi. Bed ni memang kosonglah dari semalam.” Ujar Kak Ani.
“Eh pagi tadikan saya tanya kakak pasal ubat Hendra ni?” Aku bingung.
“Eh kau jangan merepek la. Tadi aku pegi solat subuh kat surau. Aku baru je balik. Balik-balik kau dah terbaring kat sini.”
Huh?!


Suntingan: Arkib Angker Negara
Jika anda ada kisah yang ingin dikongsikan, boleh hantar ke inbox kami. Kisah anda akan dikreditkan kepada anda.
*Gambar: Hasil carian di Google.

Monday, 29 May 2017

CERMIN - Tajul Ariffin Norsadan


“Din cepatlah! Aku nak balik ni. Dah pukul berape dah ni!” Kedengaran suara Daus menerusi telefon.
“Kejap-kejap, dah on the way dah ni.” Aku cuba mejawab panggilan Daus sambil menunggang motor.
“OK, cepat! Jangan singgah-singgah dah.” Daus mengeluh dan meletakkan panggilan telefon tersebut.
Jam sudah menunjukkan jam 9.15 malam. Aku sudah terlambat. Pendikit di pulas habis. Motor jenis Yamaha berwarna hitam ini meluncur dengan kecepatan tinggi. Soal keselamatan sudah tidak dipedulikan. Yang penting penting sekarang aku harus cepat.
Aku mencari tempat parkir motor setelah aku tiba di hospital. Sebuah hospital yang terletak di tengah bandar Sulawesi Selatan, Indonesia. Hospital ini menjadi tempat rujukan terakhir untuk seluruh kawasan selatan kepulauan Sulawesi.
Pusat Infeksi. Sebuah pusat di bina khas untuk menempatkan pesakit dengan penyakit berjangkit. Di situlah tempat aku bertugas malam ini. Ini malam pertamaku situ. Harap semuanya tenang tanpa ada kes kecemasan berlaku.
Kelihatan dari jauh kelibat Daus menunggu di depan pintu sambil menggalaskan begnya. Mungkin sudah tidak sabar untuk pulang.
“Sorry Daus. Tadi aku sakit perut. Aku dah siap dah tadi, tiba-tiba perut meragam.” Alasan biasa yang aku beri.
“Ah kau. Tu je alasan kau kalau terlambat.” Suara Daus agak tinggi.
“Alah, bukan aku sengaja. Dah termakan Mee Naga[1] . Nak buat macam mana?” balasku.
“Dah tahu nak jaga kau pergi makan pedas-pedas buat apa. Nah! Ni peta pesakit. Ko jangan tak buat round pulak” sinis.
“Tingkat 3 pun ada?” tanyaku.
“Ada.” Balasnya dan terus pulang.
Dengan keadaan berpeluhnya dan berlengas, aku pergi memeriksa setiap pesakit. Aku mulakan dengan tingkat 1. Jarang-jarang ada pesakit di sini. Biasa hanya pesakit yang menumpang dari wad lain. Aku ke tingkat 2. Di sini adalah yang paling banyak pesakitnya iaitu menempatkan pesakit dengan jangkitan paru-paru.
11.45 malam. Tingkat 3 belum lagi aku periksa dan di sini adalah tempat pesakit dengan penyakit berjangkit lainnya. Kebiasaannya untuk menaiki setiap tingkat kami lebih memilih untuk menaiki tangga kerana lebih cepat. Lif yang disediakan biasanya hanya digunakan oleh doktor-doktor pakar.
Akhirnya selesai di tingkat ini. Dengan penuh longlai aku menaiki tangga ke tingkat 3. Jam di tingkat sudah menunjukkan jam 12.03 tengah malam. Satu per satu anak tangga aku naik. Akhirnya aku sampai di tingkat paling atas. Betul-betul di hadapanku ada sebuah cermin. Cermin ini jadi tempat kebiasaan aku membetulkan rambut dan sekali-sekali membetulkan baju. Jadi sudah jadi kebiasaan aku untuk berbuat demikian setiap kali di depan cermin tersebut.
Segak. Bergaya. Aku bangga.
“Hensem.....”
Bisikkan halus ditelinga kedengaran sayup-sayup. Aku tidak pasti itu suara hati aku atau suara sesuatu. Bulu sudah menegak berdiri. Aku kaku. Di cermin tidak kelihatan apa-apa kecuali diriku tetapi aku dapat merasakan ada sesuatu berdiri di belakangku. Aku menguatkan diri. Pelan-pelan aku toleh ke kiri. Belum sempat aku toleh.
“Doktor, ke sini sekarang! Cepat! Ada patient kritikal!” Teriakan seorang jururawat lelaki kedengaran.
“Ye!” Aku berlari lintang pukang. Aku terus mendapatkan jururawat lelaki tersebut.
“Ye bang?.” setelah sampai didepannya. Aku berdebar. Jantungku laju berdegup.
“Tak, tadi saya dengar ada orang naik ditangga. Tiba-tiba senyap.” dia menjelaskan.
“Jadi, saya pergilah tengok kat CCTV.” Sambungnya lagi.
“ Saya nampak...”
“Ada yang benda berdiri kat belakang doktor tadi. Jadi, saya terus buat-buat panggil doktor.”
Malam itu aku tidur di bilik jururawat lelaki itu. Katanya sudah beberapa kali kejadian itu berlaku. Mungkin di tingkat 3 ini banyak pesakit yang kritikal dan meninggal akhirnya. Dan mungkin sebab itu, hanya jururawat lelaki sahaja bertugas di sini.
[1] Sejenis mee goreng yang popular di Sulawesi Selatan di mana pelanggan boleh memilih tahap kepedasan. Terdapat 10 level kepedasan.
Jika anda ada cerita seram yang ingin dikongsikan, silakan hantar kepada inbox kami. Nukilan anda akan dikreditkan kepada anda.