Sunday 29 April 2018

RINDU - Nasa Yusuf


RINDU
Nukilan : Nasa Yusuf
==================================
Lambaian dedaun di luar jendela sedikit menenangkan. Dari tingkap kecil berbentuk empat segi itu terlihat kayu semakin usang sebagai penghias ukiran. Berwarna coklat lembut. Cermin tingkap sedikit kelam, berkabus. Apabila dikesat dengan tangan, masih lagi kembali pada yang asal. Kelam semula...

Telefon berbunyi.
“Mommy”.

Itulah nama yang terpapar di skrin. Malas betul dia nak menjawab. Namun deringan itu berkali-kali. Akhirnya Maya mengalah.

“Ye mommy...”
“Betul Maya tak mahu balik rumah mommy? Dah seminggu Maya langsung tak jenguk mommy. Mommy rindu....”
“Beri Maya masa...” Pintanya perlahan. Lantas talian dimatikan.

Maya menghela nafas. Duduk di meja bulat tepi jendela, menghirup air kopi pekat yang dijadikan peneman setia. Masuk hari ini sudah tiga hari dia tidak dapat lelap dengan erti kata sebenar-benarnya tidur. Perlahan-lahan, cecair itu mengalir di tekak. Wajahnya berkerut-kerut, tapi ianya nikmat dunia sarapan paginya.

Di sebelahnya kain langsir berwarna hijau muda siap untuk dipasang. Diletakkan di atas sofa sementara. Di sampingnya ada juga langsir berwarna coklat. Sebenarnya dia masih berkira-kira untuk memilih. Sekejap lagi dia akan menukar kain langsir yang nampak sudah pudar di rumahnya.

Cawan itu diletak perlahan. Dibetulkan pemegang agar seiring dengan tubuh. Entah apa tujuan. Sekadar bosan dan melayan perasaan mungkin! Sekali lagi Maya mengeluh.

Rindu....

Ya... itulah yang menyebabkan dia begitu dalam berperilaku. Masuk hari ini sudah lima hari pemergian suami tercinta. Maya betah duduk di rumah seorang diri. Keluarganya sudah mengajak agar tinggal bersama, tapi bagi Maya biarlah dia dengan kenangan yang masih baru bersama suami.

Sesekali Maya tersenyum, ketawa kecil apabila imbauan memori itu singgah. Ya! Rudi cukup kelakar. Orangnya simple, tidak banyak bercakap. Apabila berbicara lembut tingkahnya. Tidak pandai marah, tidak pandai bergurau, tapi dalam seriusnya itu, Maya cukup terhibur.

“Cantik betul Maya ni...”

Ujar Rudi di suatu pagi. Ketika mereka masih berbaring di katil empuk. Kenangan bagi suami isteri yang sangat bernilai. Sentuhan Rudi melurut di segenap tubuh. Maya memegang tapak tangan suaminya. melihat dan mencium sepenuh perasaan.

Ada tahi lalat di ibu jari kanannya. Rambut suaminya lurus hampir mencecah bahu. Malah anak matanya berwarna coklat perang hazelnut. Rudi menolak rambutnya kebelakang.

“Biasa je bang...”

“Maya sangat cantik....” Puji Rudi lagi. Tidak dinafikan memang isterinya itu sungguh cantik, menarik dan sedap mata memandang.

Maya suka dipuji. Minyak wangi jenama ‘legend’ itu masih lagi melekat baunya di badan Rudi. Maya mencium beberapa kali. Suka betul pada haruman itu.

“Kalau abang tak ada satu masa nanti, ketahuilah yang abang sentiasa ingat pada sayang. Abang akan sentiasa rindu sayang. Walaupun abang tak ada tapi abang sentiasa nampak sayang...”

Maya mengangguk.

“Abang nak air teh?.” Dia bangun dari katil, meluru untuk menyediakan sarapan.

“Abang tak minum teh. Abang suka kopi.”

“Tapi Maya tak suka kopi....” Maya tersenyum memujuk. Mahu juga dia memaksa Rudi agar mengikut kemahuannya.

“Abang tetap suka kopi sayang...” Rudi mencuit dagu isteri tercinta.

Bunyi air yang siap dimasak mematikan lamunan Maya. Tidak ada lagi Rudi, tidak ada lagi perbualan tadi. Kepalanya tertoleh-toleh. Terasa seperti dia di dalam mimpi. Kemudian Maya menghela nafas. Air kopi di atas meja di tenung.

Pahit!

Itu adalah persepsi awalnya apabila meneguk minuman kelat itu. Namun kerana rindu.... kerana rindulah dia suka apa yang Rudi suka, dia cuba apa yang Rudi cuba. Semua kerana dia sangat rindukan lelaki itu.

Matanya sedikit segar walaupun air itu tidak diminum sepenuh hati. Maya bangkit berjalan lemah ke arah dapur. Mematikan api dan dia menoleh ke arah langsir di rumahnya. Maya duduk bersandar di tepi dinding. Masih lagi setiap memori di rumah itu singgah.

“Langsir ni tak cantik lah sayang...” Tegur Rudi mencemik.

“Sayang suka! Sayang tetap nak warna coklat.”

“Ambil lah warna hijau muda tu... yang tu abang suka...” Rudi memeluk pinggang isterinya.

“Tak nak!! Saya tak suka warna hijau muda!!.”

“Hurmm... tak kisah mana-mana, coklat ok, hijau pun ok.” Ujar Rudi.

Maya ketawa melihat gelagat suaminya. Rudi memuncungkan bibir - manja!

Tiba-tiba Maya ketawa sebagai mengimbas kenangan tadi, kemudian dia tersenyum, dan kenangan itu hilang kembali.

Maya menarik nafas dan menghembus beberapa kali. Dia perlu redha dengan pemergian suaminya. Ya! setiap manusia akan diuji dan setiap ujian itu tidak sama.

Bagi Maya walaupun pemergian Rudi itu terlalu cepat, tapi dia tetap redha. Rindu bukan lah untuk meminta Rudi kembali, tapi rindu hanyalah sebahagian dari proses untuk meneruskan hidupnya.

Bunyi guruh di luar memeranjatkan Maya. Teringat kain di ampaian. Maya berlari laju ke pintu belakang. Hujan yang renyai, sekejap sahaja lebat. Sedang Maya mengangkat pakaian, dia terlihat seorang lelaki yang berpeluk tubuh tidak jauh dari rumahnya.

Lelaki itu tidak tahu mahu ke mana, dan tidak dinafikan memang rumah Maya adalah satu-satunya yang ada di situ. Lelaki itu berteduh di bawah pokok namun jelas masih lagi terkena tempias, habis baju kemeja dan sweater hoodie yang dipakai.

“Encik!!! Marilah!!!.”

Spontan Maya memanggil. Dia melambai tangan. Kasihan melihat lelaki itu kebasahan. Dan sebagai tindakan spontan, lelaki itu turut berlari ke arah rumah Maya.

“Encik duduk lah berteduh di sini.”

Maya menghulur tuala yang kebetulan ada di ampaian. Lelaki itu hanya mengangguk di bawah bumbung zink luar rumah. Kawasan halaman rumah itu agak besar dan luas. Hampir semuanya siap ditutup dengan atap.

Tidak disuruh, lelaki itu terus duduk di kerusi yang agak berjauhan dari wanita tadi. Membungkus diri dengan tuala kuning yang tebal.

Kasihan juga Maya melihatnya. Tapi entah kenapa berani pula dia memanggil. Tidak terlintas pula kalau lelaki itu adalah pencuri, perompak, perogol atau...

Ah! Maya malas berfikir yang negatif walaupun kemungkinan itu ada.

Lelaki itu pula sesekali menjeling. Dia terpana, sedikit tergamam pada mulanya. Tapi dibiasakan diri. Mungkin sahaja dia malu.

“Encik duduk lah dulu.”

Lelaki itu mengangguk, dia membuka baju sejuk di bahagian luar dan menarik hoodie yang menutup kepala. Terserlah rambutnya yang lurus separas bahu itu. Tuala kuning itu di lap di rambut sambil tersenyum sedikit ke arah Maya. Apabila sudah kering dan agak selesa, tuala itu diserahkan kembali kepada tuannya.

Maya tersenyum dan mengambil pakaian tadi untuk dibawa masuk. Semerbak bau minyak wangi jenama ‘legend’ itu dari luar. Maya menoleh.

“Rudi...”

Namun Maya sedar. Bau itu hanya pada tuala yang digunakan lelaki dari luar tadi. Dia mengeluh kasar.

Setelah meletakkan semua pakaian, Maya berjalan ke arah pintu semula.

“Encik nak air panas?.”

“Boleh juga.” Sambut lelaki itu masih lagi tidak mahu bertentang mata.

“Saya buatkan teh ya?.”

“Err... kopi! Saya tak minum teh.”

Lelaki itu menoleh ke arah jalan raya, melepaskan pandangan. Pada fikirannya bagaimana untuk pulang ke rumah dengan cepat.

Sekali lagi Maya terpana. Anak mata lelaki itu yang berwarna coklat perang hazelnut hampir sama dengan seseorang!

Sungguh penampilan lelaki itu sama seperti Rudi... badannya, rambutnya, bau minyak wanginya...

Ah! Dia hanya rindu....

Sebaik menyiapkan air, Maya membawa cawan ke hadapan, namun lelaki itu tiada. Dia meletakkan cawan. Berjalan sedikit keluar. Hanya kerusi tempat lelaki itu duduk tadi basah, tapi penghuninya tiada.

“Cantik rumah ni...”

Suara itu dari belakang. Maya benar-benar terperanjat, hampir sahaja terpelanting dulang yang dibawa.

Lelaki itu berdiri tegak dengan kedua tangan dimasukkan ke dalam poket. Penampilannya segak. Benar-benar seperti arwah suaminya.

“Errr... saya bawa air te... eh! Kopi!.”

“Terima kasih.” Lelaki itu duduk kembali, terus meneguk kopi panas itu.

Tingkah lakunya diperhatikan, cara lelaki itu minum, cara lelaki itu melihat, cara bercakap dan cara lelaki itu menyelak rambutnya juga sama seperti....

Ah! Dia cuma rindu...

Dari luar, lelaki itu menoleh ke arah ruang dalam, pintu itu terkuak, menampakkan sudut ruang tamu. Terlihat perabot dan secawan kopi di atas meja bulat berhampiran tingkap yang sedikit kelam.

“Dah minum tadi?.” Tanya lelaki itu.

“Ha???.”

“Takkk saya tanya dah minum tadi?.” Ulang lelaki itu semula sambil mengangkat sedikit cawannya ke arah Maya.

Maya menoleh ke dalam, kemudian tersenyum mengangguk.

“Cantik rumah...”

Ulang lelaki itu ayat yang sama, dia tidak tahu mahu berbual apa. tapi dia tidak banyak bercakap.

Maya berlari ke dalam rumah, dia mengambil langsir yang belum dipasang. Yang diletakkan di atas sofa tadi. Lalu dibawa kedua langsir itu keluar menunjuk ke arah lelaki itu.

Lelaki itu mengangkat kedua keningnya.
“Rasa nya yang mana sesuai?.”

Lama lelaki itu berfikir, sebenarnya tidak tahu apa tujuan dia perlu menjawab.
“Yang mana satu sesuai?.” Sekali lagi Maya bertanya.

“Saya tak suka coklat. Saya pilih hijau muda.” Jawab lelaki itu tersenyum, sekadar menghormati ruan rumah. Air kopinya dihirup kembali, tetap mengalihkan pandangan.

Dan kali ini. Air mata Maya bertakung, bergenang. Langsir itu masih erat dipegang. Sebenarnya dia tidak tahu kenapa dia bertindak begitu, apa yang dia tahu dia cuma rindu.

Lelaki itu sedikit terkejut melihat wanita itu berdiri tercegat dengan air mata yang sudah pun mengalir di pipi.

“Errr... saya... ada tersilap cakap ke?.” Cawan tadi diletak kembali.

Maya menggeleng.

“Errr sebenarnya yang mana-mana pun ok. Coklat ok, hijau pun ok.”

Dan kali ini air mata Maya mengalir deras. Serba salah lelaki itu dibuatnya. Maya pula tidak mahu berhenti, terasa dia benar-benar berjumpa dengan arwah suaminya. Dia rindu... terlalu rindu...

Apabila lelaki itu bangun untuk mendekat, Maya beralih. Bau haruman minyak wangi itu sangat dikenali, malah itulah bau yang selalu dicium dari Rudi.

Sebuah kenderaan berhenti tidak jauh dari depan rumah Maya. Dari dalam kereta seorang lelaki lain melambai-lambai.

Maya mendongak.
“Kamal.... kawan saya dah sampai...”

Lelaki itu mengambil baju sejuknya untuk meminta diri. Dia sedikit menunduk mengucapkan terima kasih.

Maya juga meminta maaf. Dan dia menyuruh lelaki itu mendoakan kesejahteraan suaminya serta dirinya sendiri.

“Ketahuilah yang suami awak sentiasa ingat pada awak. Dia akan sentiasa rindu awak. Walaupun dia tak ada, tapi dia sentiasa nampak awak.”

Lelaki itu mengakhiri kata-katanya, tanpa bertentang mata, sebelum meminta diri. Mereka berpisah tanpa sempat mengenali nama dan butir diri.

Maya tercengang! Kata-kata itu.... Benar! Dia yakin lelaki itu adalah suaminya. namun kemudian dia beristigfar. Mengurut .dada dan menganggap semua itu hanya kebetulan.

Ya... sebab dia rindu.....

Sebaik kereta itu berlalu. Maya segera masuk ke rumah mencapai telefon bimbitnya. Nombor didail dan dia menunggu panggilan dari sana berjawab.

“Mommy....” Panggil Maya.

Suara dari sebelah sana terdengar sedikit serak. Wanita itu menangis.

“Mommy... Maya... rindu mommy...”

Dan Maya juga tidak dapat menahan tangisannya sendiri. Ya dia terlalu mengikut perasaan sampai semua orang sekeliling diabaikan.

***********************************

Kereta tersebut bergerak laju membelah jalan raya dan pemandu tadi berceloteh sana sini. Tapi tidak dilayan.

“Hoi!! Kenapa kau termenung?.” Sapa Kamal.
Lelaki itu hanya tersenyum.

“Sejak balik dari rumah wanita tadi... kau termenung ni? Dah jatuh cinta keeee....” Kamal mengusik.
Lelaki itu masih lagi diam, tidak menjawab.

“Apahal ni???.” Tanya Kamal

“Perempuan tu...” Lelaki itu tidak menghabiskan ayat.

“Kenapa?.”

“Perempuan tu sama seperti arwah isteri aku.... Maya...” Jawab lelaki itu akhirnya. Dia menoleh ke arah Kamal di sebelah. Tawa Kamal kendur. Tidak ada kata-kata lagi antara mereka. Keduanya terdiam.

“Aku nak jumpa dia lagi...” Lelaki itu membuat keputusan.

“Kau biar betul Rudi?.” Soal Kamal yang nampak terkejut.

Rudi mengangguk dan kereta mereka menyusur jalan raya menuju ke destinasi yang dituju.

Yang sebenarnya, Rudi sudah mula rindu....

TAMAT

===================================
Suntingan: Dee Edot

Gambar: Dikmang
Karya ini adalah hakmilik penulis dan Arkib Angker Negara.
Anda ada kisah seram, komedi-seram, misteri, thriller ataupun mind-blowing? Apa kata anda kongsikan kisah anda kepada kami.
Hantar kisah anda ke inbox Arkib Angker Negara atau emelkan ke aanrc2017@gmail.com
Nyatakan sekali nama akaun Facebook, blog, Instagram, Twitter atau webpage anda untuk pengkreditan.

HABISKAN IA - Ariff Budiman Zainal


HABISKAN IA
==============================

Sudah seminggu Shidah asyik berdiam diri dan berkurung di dalam bilik. Kadang-kadang ibunya terdengar dia ketawa sendirian. Kadang-kadang Shidah seperti bergaduh dengan seseorang. Kadang-kadang dia menjerit kesakitan. Bila di tanya kenapa, Shidah akan menjeling tajam ibunya dan menengking.

"Berambuslah! Sibuk saja orang tua ni."

Pilu hati seorang ibu tapi dia sudah mengesyaki, itu bukan Shidah yang sebenarnya. Dalam solat, ibunya tidak pernah lupa mendoakan agar Allah memelihara anaknya. Itulah saja anak gadis yang dia ada.

"Abang. Buat lah sesuatu untuk anak kita. Takkan kita nak biarkan dia begitu saja tanpa berusaha." Si suami hanya mendiamkan diri. Mungkin tengah berfikir atau dia pun turut tenggelam punca mencari penyelesaian.

Seperti biasa, aku keluar ke pasar mencari bahan dapur. Tiba-tiba aku disapa seorang teman.

"Budiman, aku nak sembang dengan hang boleh dak?" Wajahnya kelihatan seperti mempunyai masalah. Terus aku mengajaknya keluar dari pasar. Bab bahan dapurku, aku tangguhkan dulu. Melihat kepada riak muka, ini lebih penting lagi.

"Ada apa Taib? Aku tengok hang macam ada masalah?" Airmatanya mula bergenang di kelopak.

"Hang boleh nampak benda halus kan?" Tanyanya. Aku mengiakan.

"Boleh tak hang tolong tengok anak aku? Dah seminggu dia murung. Asyik marah dan tengking. Dia juga menjerit sakit di perut. Mak dia dok risau." Cerita Taib dan aku mendengar dengan teliti. Aku telah berjanji selepas solat Asar aku akan ke rumahnya.

Seperti yang telah aku janjikan, selepas solat Asar aku ke rumah temanku. Aku dibawa masuk ke bilik anaknya. Anaknya sedang menjerit kesakitan sambil menekan perutnya.

"Hoiii! Keluar la!" Terus dibalingnya kami dengan buku yang berada di atas meja.

"Taib. Anak hang ni sebenaqnya dah kena sihir. Aku tengok ada makhluk hodoh sebelah dia." Beritahu aku cuma aku tidak perincikan wajahnya yang terlalu hodoh. Mukanya seperti ditoreh-toreh dengan benda tajam. Darah memenuhi pipinya. Matanya yang merah seperti marah dan menjeling tajam ke arah kami.

"Apa kita nak buat Budiman? Aku dah buntu ni." Tanya Taib.

"Takpa Taib. Aku cuba menghubungi sorang ustaz. Kalau ada rezeki dia datang." Aku terus menghubungi ustaz tapi agak malang sebab dia tidak dapat datang pada hari tersebut sebab sedang merawat satu kes. Katanya esok pagi dia boleh. Akhirnya Taib terpaksa akur ustaz akan datang merawat pada esok pagi.

"Pakjang. Sebelum pulang, pakjang buatlah dulu apa yang perlu." Kata ustaz kepadaku di hujung talian. Aku meminta sebotol air mineral lalu aku bacakan ayat suci Al Quran iaitu dari Al Mathurat. Aku meminta Taib menyembur di segenap rumahnya. Ia sebagai langkah untuk mendinding rumah dari terus di ceroboh makhluk lain.

Selepas Subuh, aku menelefon Taib bertanyakan anaknya. Kata Taib anaknya semalaman tidak tidur. Asyik bercakap seorang diri dan menangis sakit perut. Pukul 11 pagi, aku dan ustaz sudah berada di rumah Taib. Anak gadis Taib sudah mula gelisah dengan kedatangan ustaz. Dia mula memaki hamun ustaz.

"Ohh. Ni la binatang tu. Hang sial. Perosak rumahtangga aku." Kata Shidah lalu menyerang ustaz. Ustaz mengeluarkan kayu lalu memukul lantai. Shida terkulai layu jatuh.

"Biarkan dia tidur." Kata ustaz lalu membaca beberapa potong ayat-ayat suci Al Quran. Aku dapat menangkap. Ianya dari surah Al Baqarah dan surah Al Jinn. Ustaz menggelengkan kepalanya.

"Ni kes kena main dengan kawan." Kata ustaz dan Taib agak terkejut.

"Ada kawan memasukan sesuatu dalam minuman anak ni tanpa anak sedaq." Sambung ustaz lagi.

"Mesti dia tinggai ayaq tu dan pi mana-mana dulu." Kataku.

"Betoi Pakjang. Ni yang bahaya kita tak habiskan minuman kita sebelum ke tandas atau mana-mana saja. Zaman sekarang ni walaupun kawan baik, kita perlu ambik langkah berjaga-jaga. Kita habiskan air atau jangan sentuh air tu bila kita terlupa dan pergi ke mana-mana." Tambah ustaz

"Siapa kawan yang sihir anak saya tu?" Tanya Taib. Tersenyum ustaz memandang aku.

"Bab tu biaq pi lah. Takut fitnah pulak kalau kita bagitau nama dia. Yang penting kita pulihkan anak. Tu mustahak." Taib diam mendengar penjelasan dari ustaz.

"Ni kes dengki dekat kawan. Nak lawan secara baik tak boleh lalu buat secara jahat untuk menjatuhkan kawan. Inilah sifat orang kita. Secara depan anak abang ni adalah sahabat baik dia tapi belakang dia, anak abang merupakan musuh yang perlu dia jatuhkan. Kita terleka sikit, inilah padahnya." Kata ustaz.

"Sekarang ni saya nak keluarkan barang dari badan anak abang." Kata ustaz lalu ustaz membaca ayat suci al quran dan menarik keluar sesuatu.

"Pakjang, ni apa?" Tanya ustaz sambil menunjukan sesuatu di atas tapak tangannya.

"Buluh runcing ustaz." Balasku kepada ustaz. Kecil saja buluh tu. Ia dimasukan secara ghaib.

"Ni lah punca anak abang sakit perut. Ada lagi ni." Kata ustaz. Lalu ustaz menarik lagi. Sekali lagi ditunjuknya kepadaku apa yang di atas tapak tangan. Jin adalah entiti halus yang tak berjisim jadi dia boleh berubah bentuk dan saiz.

"Makhluk ni la yang saya nampak sebelah dia ustaz." Kataku kepada ustaz lalu ustaz memasukan jin itu di dalam botol. Ustaz terus scan badan anak Taib.

"Ada lagi ni. Tempat tersorok." Kata ustaz dan terus ustaz menggeletar tangan sambil menarik keluar. Sekali lagi ditunjuknya kepadaku.

"Pakjang, apa dia ni?" Risau juga aku bila ustaz asyik tanya apa yang aku nampak.

"Kaca dan gumpalan rambut." Jawabku.

"Depa letak dekat kemaluan dia." Kata ustaz sambil menggelengkan kepalanya. Sekali lagi tubuh Shidah di scan.

"Alhamdulillah. Dah clear semua." Kata ustaz dan anak Taib tersedar dari pengsan. Hairan dia.

"Pasai apa ni ayah? Apa yang tak kena ni?" Tanya Shidah.

"Tadi kamu pengsan. Ayah kamu panggil panggil saya." Jelas ustaz tanpa memberitahunya yang dia telah disihir.

"Kamu ingat tak apa yang terjadi sebelum kamu balik rumah sehari yang lepas?" Tanya ustaz kepada Shidah. Diam Shidah sambil memikirkan sesuatu.

"Yang saya ingat, saya dan rakan-rakan keluar makan. Sambil menanti minuman sampai, saya ke tandas dulu." Cerita Shidah.

"Hahhh. Di situlah bermulanya sihir tu. Time dia tak ada, sihir di lepaskan." Kata ustaz.

"Sapa yang buat benda tu ustaz?" Tanya Shidah.

"Tak payah la kita tahu sapa dia. Lain kali berhati-hatilah ketika keluar makan dengan kawan-kawan. Pastikan makanan atau minuman di habiskan dulu sebelum ke mana-mana. Baca doa. Baik macam mana sekalipun kawan kita, kita kena berjaga-jaga. Itu untuk diri kita." Ustaz menasihati. Shidah hanya mengangguk.

Sebelum pulang ustaz membuat air penawar kepada Shidah untuk memulihkan kembali tenaganya. Kepada pembaca semua. Tolong kongsikan kisah ini kepada anak-anak dan keluarga. Dunia sekarang susah untuk kita mempercayai satu sama lain.

Sebelum jamah apa makanan dan minuman jangan di lupa kalimah agung Bismillah sebab tanpa kalimah ini pasti ada yang mendahului makanan kita. Habiskan makanan dan minuman sebelum ke mana-mana. Andai terlupa jangan disentuh lagi. Lebih baik kita berwaspada. Bak kata pepatah rambut sama hitam tapi hati lain-lain.

===============================
Suntingan & Gambar: Dikmang
Karya ini adalah hakmilik penulis dan Arkib Angker Negara.
Anda ada kisah seram, komedi-seram, misteri, thriller ataupun mind-blowing? Apa kata anda kongsikan kisah anda kepada kami.
Hantar kisah anda ke inbox Arkib Angker Negara atau emelkan ke aanrc2017@gmail.com
Nyatakan sekali nama akaun Facebook, blog, Instagram, Twitter atau webpage anda untuk pengkreditan.

NASUHA SI JALANG - Gadis Virgo



NASUHA SI JALANG.

Nukilan : Gadis Virgo.

=================================

Disclaimer: Ada penggunaan kata dan plot yang dikategorikan sebagai (18SX) yang tidak keterlaluan diguna pakai. Ia menjurus kepada situasi dan olahan penceritaan. Bahan bacaan ini khusus kepada orang dewasa.

Karya ini merupakan kisah benar 100%. Ia dikongsi bertujuan untuk memberi iktibar dan pengajaran kepada pembaca. Semoga kalian berlapang dada dan memberi kebebasan minda untuk menerima dan berfikir melalui bahan bacaan ini.

Tidak dibenarkan sama sekali menggunakan kata-kata kesat dan penghinaan dalam komentar. Jika ada sebarang ketidakpuasan hati atau rasa kurang senang, sila PM kami di inbox. Terima kasih.

Selamat melayari kehidupan Gadis Virgo.

================================

Aku memandang sekeliling. Bebola mata mengembang. Suasana legap dan kelam. Tanpa cahaya. Tanganku merayap - rayap, meraba dinding yang mengelilingiku.

Sendirian. Ya, aku sendirian. Tanpa teman. Tanpa yang tersayang di sisi. Aku memilih jalan ini? Tidak. Kalian yang memilihnya bagi pihak aku. Kerana kata-kata nista yang dilemparkan. Kerana hukuman yang kalian jatuhkan. Aku mati sebelum datangnya ajal.

*******

Secebis Kronologi - Kisah Aku.

Datang dari sebuah keluarga yang aku kira tidak sempurna. Ya, benar. Memang tiada yang sempurna jika itu yang mahu dicari. Kesempurnaan itu milik Tuhan sedangkan aku hanya hamba yang penuh dosa.

-Baling belakang-

Aku tidak pernah menyalahkan ibu atau ayah. Mereka aku lihat sedaya upaya membesarkan aku dan saudara kandungku yang lain dengan pendidikan dari sekolah.

Aku mengenal abjad dan nombor dari cikgu. Aku mengenal alif ba ta dari arwah Makcik Fatimah. Aku belajar solat dari Arwah Ustaz Sahak. Tiada satu pun aku belajar dari rumah.

Sejak aku di Tabika sehingga aku di tingkatan 5, tidak pernah sekali pun ibu atau ayah bertanyakan tentang kerja sekolahku. Malah, mereka tidak pernah bertanya aku dapat nombor berapa di dalam kelas. Subjek apa aku dapat A. Subjek apa aku lulus. Tidak pernah.

Report card dihantar setelah aku meniru tandatangan ibu atau ayah. Bukan tidak pernah diberi kepada mereka. Bagaimana aku letakkan di atas meja, begitu jugalah letak duduknya report card itu. Tidak berganjak kerana tidak disentuh. Kecewa? Lebih daripada kecewa.

4 tahun berturut-turut menyandang title pelajar terbaik di sekolah agama. Di hari penyampaian hadiah, wajah ibu dan ayah tidak terlihat. Begitu juga di sekolah menengah. Mendapat tempat pertama di dalam kelas selama 3 tahun berturutan. Menyandang pelajar berbudi pekerti mulia dan pelajar harapan. Tetapi, wajah ibu dan ayah tidak pernah muncul meraikan apatah lagi memberi ucapan tahniah.

Aku nekad. Tidak mahu sambung belajar lagi. Tiada siapa yang peduli. Tidak memegang status anak kesayangan memang sentiasa menjadi anak yang terpinggir. Surat tawaran belajar, aku sorok. Ada yang aku koyakkan menjadi cebisan halus.

Di usia 18 tahun. Aku keluar dari rumah dengan izin barangkali. Kerana aku tidak dihalang. Aku berkelana, mencari kerja di negeri bukan tempat lahir. Jauh dari keluarga. Aku kerja. Mencari duit. Demi kelansungan hidup bergelar si perantau.

Di luar, hidup ini rupanya lebih mencabar. Bekerja tidak seenteng menjadi seorang pelajar. Sukar. Kau bilang, kerja apa yang tidak aku lakukan? Dari operator kilang, tukang cuci, jurujual, juruwang dan budak pejabat. Aku sudah rasa. Akhirnya, bertapak lama di sebuah pub kerana gajinya lebih lumayan.

Di dunia kelab malam ini, aku kenal pelbagai jenis manusia. Minda aku yang di bawah tempurung, aku buka gerbang seluas-luasnya. Bangsa dan warna kulit tidak ada beza. Jenis yang lurus dan bengkok bersatu. Halal dan haram bukan jadi soal. Semuanya bercanda tanpa menilai dan menghukum saiz keimanan.

Kerana masa lalu, aku tidak lagi percaya dengan kaum adam. Aku sering diambil kesempatan dalam kelamnya kisah lampau. Mereka mahu jadi pelindung tetapi dengan syarat tidak masuk akal. Aku bukan bahan uji kaji untuk dinikmati! Aku bukan barang yang mahu dibeli dengan wang ringgit untuk dinodai!

Maaf, aku tidak lagi percaya dengan sandangan tiket kawan baik, abang angkat atau bapa angkat. Cukuplah dengan apa yang pernah aku lalui. Mereka lebih hina dari binatang. Dan cuba membinatangkan aku.

Seorang suami yang mahu makan luar kerana servis isteri merudum. Layakkah untuk digelar bapa angkat?

Seorang kawan yang mengambil kesempatan ke atas sahabatnya yang sedang terhimpit. Adakah seks itu mampu meleraikan kekusutan?

Seorang abang angkat, layakkah digelar abang jika mahu melindungi seorang adik dengan sistem bata, seks sebagai tukaran.

Ya. Aku pangkah mereka kerana sudah hilang kepercayaan!

Aku memilih untuk percaya pada kaum sejenisku. Disayang dan ditatang dengan penuh kasih sayang. Malah, aku rasa kelompok ini lebih dekat dengan aku. Naluri aku berubah drastik. Aku heret diri dalam dunia baru. Aku gelarkan diri aku sebagai Lesbian. Mencintai kaum sejenis.

Masa berlari deras. 10 tahun berlalu. Bergelumang dalam nanar dan dosa. Ternyata, aku bisa tersenyum dikenderai dengan pelbagai kemanisan. Berselimut wang kertas yang membolehkan aku tidak gagal untuk bersuka ria setiap masa.

Tetapi, apalah ada pada bahagianya zahir jika batinku KOSONG. Masih aku ingat saat itu. Sedang aku dan yang lain-lain menikmati arak pelbagai rasa. Asap balutan terisi daun hijau berkepul-kepul. Tangan masing-masing utuh memegang kad judi. Selonggok wang taruhan di tengah lautan meja.

"Allahhu akbar Allahu akbar"

"Asyha du alla ila ha illallah"

Sayup kedengaran Azan Subuh berkumandang dari masjid terdekat. Saat itu aku tersentak. Bagaikan suatu kuasa yang menusuk di pundak hati. Sayu yang teramat sayu. Segala hingar bingar suara-suara temanku, bagaikan lenyap di pendengaran. Hanya suara muazzin yang melaungkan azan mendayu-dayu, bergema di cuping.

Sebak. Setitis demi setitis airmata aku mengalir. Bukan tidak pernah mendengarkan azan sebelum ini. Tetapi, kali ini lain sekali rasanya. Kesayuan yang tidak mampu aku ungkapkan dengan kata-kata. Tanpa berlengah, aku tinggalkan Restoran Bak Kut Teh dan terus pulang. Di rumah, aku lemparkan tas tangan di atas katil. Aku capai tuala. Aku ke kamar mandi.

Aku menangis. Teresak -esak. Persis anak kecil yang mengongoi pada si ibu. Dengan pancuran air, aku gosok sekuat hati tubuhku. Aku kotor! Kotor dengan dosa. Aku sental setiap inci kulit di tubuh hingga merah dan pedih.

Aku berlama di dalam kamar mandi hingga kulit di pangkal jari tangan dan kakiku - mengecut. Akhirnya, aku sudahi dengan mandian hadas dalam bacaan rumi. Aku juga berwudhuk buat sekian kalinya.

Lama aku diam. Cuba mengingatkan kembali tertib anggota yang perlu aku dahulukan. Ya. Aku malu. Berasa dungu dan bebal. Baru aku ingat. Aku sendiri hampir lupa bila kali terakhir aku melalukan air di setiap anggota wajib wudhuk. Solat, menghadap Tuhan apatah lagi. Sebak.

Benarlah, bahawa Allah itu tidak pernah sekali-kali lupa pada hambaNya. Yang seringkali lalai dan alpa itu adalah manusia itu sendiri. Mungkin hidayah telah menjentik hati yang hitam lendir ini.

Maka, dengan jiwa yang masih nanar dan rapuh, aku bangkit perlahan-lahan. Mencari Tuhan.

Natijahnya dari langkah yang aku ambil. Aku dibuang dan dipinggirkan mereka yang aku gelar sahabat. Kerana apa? Kerana aku tinggalkan kerjaanku di pub. Kerana aku tinggalkan arak. Kerana aku tinggalkan judi. Kerana aku tinggalkan dunia cinta kaum sejenis. Kerana aku tinggalkan lagha, maka aku disisih.

Tuhan. Hanya Tuhan yang tahu ketika itu. Aku merangkak sendirian. Cuba mencuci lumpur yang terpalit pada tubuh, zahir dan batin. Aku ajar diri aku untuk kuat di saat aku jatuh beberapa kali walhal baru di garisan mula.

Ya. Aku gagal. Kerapuhan hati membuat aku akhirnya tersungkur.

Sahabat-sahabat baru yang aku kenal sama sahaja dengan mereka yang sudah lama berlegar di sekeliling. Lantang menghukum aku kerana kisah silamku. Aku mahukan tangan yang membimbing, bukan kejian. Mereka dengan mudah menyedekahkan tali untuk aku menggantung diri.

Aku cuba! Aku abaikan semuanya. Aku yakin Tuhan ada dengan aku. Aku bangkit dari kejatuhan. Perlahan-lahan aku belajar menutup aurat. Aku mula tunaikan solat. Aku cuba ganti puasa yang aku abaikan selama ini. Tetapi, aku gagal satu hal. Aku terkulai dalam membendung emosi. Sakitnya mendengar cercaan!

Kalian menerakakan aku kerana dosa silamku. Sungguh. Aku lebih dari sedih. Sedikit demi sedikit, aku hancur dari dalam.

"Alah, kau ingat kau confirm masuk syurga bila bertudung?"

"Hahah. Budak jahat nak jadi baik? Wei, Allah terima ke solat kau tu?"

"Ermm. Kau mandi satu laut masin pun, dosa kau belum tentu diampun. Buang karen je woih!"

Dan...

Sekali lagi aku mahu diheret menjadi pemuas nafsu. Sedangkan aku hanya mahukan seorang kawan. Kenapa? Kenapa aku dihina seperti ini. Jika pelacur itu dianggap sundal kerana pekerjaannya. Aku ini lebih hina dan jalang dari pelacurkah? Begitu?

"Sudahlah tu. Esok-esoklah baru bertaubat. Jadi perempuan simpanan saya."

"Tudung tu, aurat tu takpe kalau nak tutup untuk orang lain. Dengan saya, biarkan telanjang. Saya bayar awak untuk tubuh awak."

"Jom buat seks. Suka sama suka. Teman tapi mesra?"

Allahhu. Jalang ke aku yang mahu berubah menjadi hamba yang baik? Dihina dina oleh mereka yang aku gelar sahabat. Aku diam tanpa kata. Aku dibawa terbang bagai debu melata di udara. Sungguh aku hilang punca.

*****

Kini.

Saat ini, aku menyendiri. Terasing dari semua yang ada. Tangisan menjadi teman. Hati aku nanar. Setiap saat, aku dibelenggu oleh memori silam yang hadir satu persatu.

Dadaku debar. Tanganku berpeluh dan menggigil teruk. Aku menangis tidak pandai henti. Aku membenci diri sendiri. Aku berkurung diri. Aku hanyut dalam astral.

Bila aku sedar, dahiku sudah bengkak bengkil. Pehaku sudah luka dikelar dengan pisau. Pisau yang aku genggam di tanganku sendiri. Entah bila aku ambil, aku sendiri tidak pasti.

Pernah. Aku berdiri di tingkat atas bangunan. Aku memandang objek di bawah, saiznya sebesar semut. Tinggi.

Syukur.Kegilaanku dipukul dengan laungan azan. Ya, Allah selamatkan aku untuk sekian kalinya lagi.

Gila? Bukan. Tetapi aku tidak sedar. Bila aku melakukan setiap perkara itu. Aku bagai di awang-awangan. Sakit? Aku sudah lupa akan ertinya kesakitan bila aku sering disakiti dengan kata-kata nista yang setajam belati dari mulut-mulut mereka.


**********

Rentetan kisah silam.

-Baling belakang-

Hidup aku tidak seperti kanak-kanak lain. Aku hanya tahu, pergi sekolah dan balik sekolah. Hendak keluar bermain dengan kawan-kawan, memang sangat sukar. Kalau aku peroleh peluang tersebut, itu tandanya mood ibu aku baik.

Kalau aku curi-curi keluar, maka padahlah badan. Berapa kali aku dipukul teruk depan kawan-kawanku. Jiran-jiran juga tahu, tetapi mereka hanya mampu melihat. Tidak ikut campur. Kadang aku tertanya,

"Ibu apa salah aku?"

Hanger, kepala tali pinggang, batang mop, hos getah dan sepak terajang? Aku sudah terjal! Setiap hari aku dipukul. Aku ulang, setiap hari aku dipukul waima kesalahan itu bukan berpunca dari aku.

Kambing hitamkah aku ini?

Aku pernah beberapa kali dipanggil guru di sekolah. Semuanya kerana kesan-kesan lebam dan bengkak di bahagian muka dan tangan yang tidak mampu aku selindung. Walaupun ibu aku garang, tapi aku tidak tergamak memberitahu guru yang aku didera olehnya.

Perwatakan ibu berlainan dengan ayah. Ayah seorang yang penyayang. Aku dan saudara kandungku tidak pernah dijentik pun. Cuma ayah jarang berada di rumah. Ayah banyak bekerja di luar kawasan. Kalau tidak bekerja di luar, ayah tetap jarang aku nampak depan mata.

Ayah pergi kerja seawal pagi. Baliknya waktu aku sudah tidur. Maka waktu aku bersama ayah sangat terhad. Hendak dibawa berjalan ke sana sini pun tidak merasa. Aku tidak salahkan ayah kerana tiada masa denganku. Aku faham, dia mencari nafkah.

Ayah selalu berpesan.

"Jangan pernah benci ibu. Dia pukul kerana mahu mengajar."

Ya. Aku tidak benci ibu. Itu yang aku tanam dalam hati. Kata ayah, Ibu anak yatim piatu. Dibesarkan oleh mereka yang hilang kemanusiaan. Dididik dengan pukulan demi pukulan. Dipaksa menjadi peminta sedekah dan bekerja di rumah orang saat dia seusia denganku.

Kejam? Iya, mereka yang kejam tetapi tidak ibu. Salahnya ibu kerana tidak mengenal erti kasih sayang. Maka, aku mengerti jika cara didikannya itu dipraktikkan kepada aku. Aku redha walaupun aku sedar, telah wujud satu tembok penghalang antara aku dan ibu. Ya, bermula detik itu.

*****

Tahun 1992
==========

Aku berjiran dengan Mak Nab (kini sudah arwah). Beliau punya anak seramai 9 orang. Anak sulong beliau, aku panggil Abang Man. Ketika itu dia berusia lingkungan awal 20-an. Manakala aku baru berusia 8 tahun.

Aku tidak tahu kenapa Abang Man selalu memerhatikan aku. Aku pernah diintai ketika mandi. Ya aku tahu abang Man yang intai. Sebabnya? Aku pernah nampak. Dia juga pernah beritahu, aku pakai seluar dalam warna apa. Dia cakap aku cantik dalam keadaan tanpa seurat benang.

Aku masih ingat kejadian ketika aku tinggal berseorangan di rumah. Ibu ke pasar. Abang Man ada datang ke rumah. Dia bagi aku gula-gula dan coklat duit warna gold sebesar syiling 50 sen lama.

Dia tarik aku masuk ke dalam bilik. Dia suruh aku diam. Katanya, dia mahu ajak aku bermain sesuatu. Aku teruja. Berpadananlah dengan umur aku ketika itu. Permainan bermula. Dia tanggalkan baju dan seluar aku. Seluar dalam aku pun dia tanggalkan juga.

Dia pegang alat sulit aku. Aku tanya,

"Abang Man buat apa?"

Dia jawab, nak ajar aku permainan baru. Dia suruh aku pegang alat sulit dia. Yang ketika itu aku tidak tahu pun apa benda yang aku pegang.

Sebab, itu kali pertama aku lihat rupa alat sulit lelaki. Dia tarik aku duduk atas dia. Makin lama, tubuh aku digoncang dan dipeluk erat. Kemudian, dia berdiri. Dia masukkan benda tu dalam mulut aku.

Dia sentuh seluruh tubuh aku. Aku dengar Abang Man terjerit kecil. Tiba-tiba, ada air likat yang keluar dari benda itu. Basah muka dan badan aku. Permainan baru ini tidak terhenti. Hampir setahun. Ia berulang beberapa kali sehinggalah Abang Man berhijrah ke negeri lain.

Ya. Aku tidak pernah beritahu Ibu sebab aku takut. Semua kerana tembok yang Ibu bina. Kami jarang bercakap.

Tahun 1993
===========

Umur aku menjejak 9 tahun. Suatu hari, Ibu suruh aku cari abang aku. Abang keluar dari pagi tak balik-balik. Di pertengahan jalan, aku jumpa kawan abang. Nama dia Abang Zul. Aku tanya,

"Nampak abang saya tak?"

Dia angguk. Abang Zul ajak aku tunggu abang aku di rumah dia. Aku ikut tanpa banyak soal.

Sampai di rumah dia, aku tengok tak ada orang. Hanya kami berdua. Abang Zul cakap,

"Sambil tunggu abang datang, jom kita main sesuatu."

Seperti Abang Man, Abang Zul juga tanggalkan seluar aku. Cuma Abang Zul lebih advance.

Dia tak masukkan benda dia dalam mulut aku, tapi dekat kemaluan aku. Masa ni aku menjerit. Aku betul-betul tak tahan. Aku rasa sakit sangat. Aku menangis, teresak-esak.

Dia tekup mulut aku. Dia cakap sekejap je. Tahan dan jangan menangis.

"Nanti Abang bagi duit beli jajan ya."

Dalam sedu, aku angguk. Selalunya, bila kena pukul dengan Ibu, aku tidak pernah dipujuk walaupun sakit. Tapi Abang Zul pujuk aku. Jadi, aku diam.

Abang Zul berhenti sakitkan aku selepas benda Abang Zul keluarkan air likat sama macam Abang Man. Dia sarungkan semula seluar aku.

Dia bagi aku RM5. Dia pesan;

"Jangan bagitau sesiapa."

Aku angguk. Aku balik rumah. Sumpah. Masa ni aku betul-betul tak tahan sakit. Aku masuk bilik air. Aku tengok seluar dalam aku ada tompok darah. Aku jadi lagi takut.

Berhari - hari aku nangis. Sendirian. Paling menyakitkan saat aku hendak kencing. Pedih.. Aku meraung dalam hati.

"Ibu... ayah...aku sakit."

Aku nekad. Aku tak mahu main lagi  permainan ini. Sejak hari itu, setiapkali aku nampak kelibat Abang Zul, aku terus lari dan menyorok walaupun aku pernah dikejar oleh dia.

Tahun demi tahun aku lalui. Aku menginjak remaja. Terlalu banyak yang aku alami. Pelbagai jenis manusia aku temui. Cukup untuk meletakkan aku dalam hidup yang kelam. Aku terus-terusan menjadi mangsa buli dan dianiaya oleh rakan baik sendiri.

Pedih. Jiwa aku mati sudah terlalu lama.


******

Tuhan. Bantu aku mencari Engkau. Pelihara aku. Aku tidak mahu ajalku dijemput dalam kekufuran. Aku tidak mahu menghuni neraka. Izinkan aku merasai syurgaMu. Tuhan. Hadirkanlah  buatku seseorang yang mampu menarikku keluar dari lembah kelam ini. Aku ingin sekali melihat indahnya agamaMu.

Bantu AKU,
Si Penghidap Depressi dan Anxiety

*********

'AKU' dalam kisah ini merupakan mangsa Pedofilia (seksual terhadap kanak-kanak), penderaan mental dan fizikal, kurang didikan agama dari rumah, kurang perhatian ibu bapa serta salah memilih kelompok kawan-kawan di sekelilingnya.

Percayalah, wujud ramai lagi yang senasib dengan 'Aku' di luar sana. Bantulah mereka. Jangan sisihkan mereka. Jalankan tanggungjawab kita sebagai ibu bapa, saudara mara dan sahabat yang perihatin.

Jangan menghukum bunuh mereka ini kerana kisah silamnya.

================================

Suntingan:

Gambar:

Karya ini adalah hakmilik penulis dan Arkib Angker Negara.

Anda ada kisah seram, komedi-seram, misteri, thriller ataupun mind-blowing? Apa kata anda kongsikan kisah anda kepada kami.

Hantar kisah anda ke inbox Arkib Angker Negara atau emelkan ke aanrc2017@gmail.com

Nyatakan sekali nama akaun Facebook, blog, Instagram, Twitter atau webpage anda untuk pengkreditan.