KALUNG
Bahagian 2
=====================
Wardah berjalan kluar dari pantri. Langkahnya pantas menuju ke arah wad. Nampaknya gadis tadi sudah sedikit stabil.
"Nurse, kawan saya tu selamat ke?"
Soalan Jasmin yang entah sekalian kali cuma dibalas dengan sennyuman. Kegusaran hati gadis itu jelas terpancar di muka. Wardah tahu, Jasmin juga hairan dengan tindak tanduknya. Jelas kedengaran suara hati Jasmin yang terntanya-tanya dengan perilakunya itu.
"Ya dik, alhamdulillah. Dia selamat walaupun keadaan sangat kritikal tadi. Cuma, dia perlu dirawat di unit pemerhatian rapi. Harap-harap Fatin tak jumpa kawan awak kat sini."
"Tt..tapi... Macam mana nurse tahu nama mama saya?"
"Maaf dik. Saya tengah kerja. Cuma kalung itu mungkin dapat beri sedikit gambaran untuk jawapan yang awak cari."
Wardah berlalu pergi dari situ. Kemasukan pesakit yang bertali arus sudah tentu tidak memungkinkannya untuk berbual-bual. Kerja hakiki harus diutamakan.
Dalam kesibukan menguruskan pesakit- pesakit, Wardah terasa badannya lemah. Degup jantungnya berdetak pantas. Tidak terhitung hebatnya, debaran yang dirasai tatkala peluh mula merembes keluar.
Suhu penghawa dingin di dalam wad pemerhatian itu terasa berbahang. Kepalanya terasa berpusing-pusing. Kepalanya berpinar-pinar. Dia longlai dan sebelum dia tidak sedarkan diri, telinganya menangkap suara rakan-rakannya menjerit memangil namanya.
*****
Wardah membuka matanya perlahan. Dia mendapati badannya terikat. Ketat ikatan itu, menyesakkan nafasnya. Habis kotor seragam putihnya akibat diikat sedemikian rupa menggunakan tali yang kotor.
"Wardah, Wardah. Kau ingat kau boleh kunci penglihatan aku dengan ilmu kau yang tidak seberapa itu?" Fatin senyum menyeringai memandang Wardah.
Wardah memandang sekeliling. Terdapat darah di merata-rata tempat. Insan yang dia kenali terbujur kaku berlumuran darah.
"Kau tak guna! Kenapa kau bunuh kawan-kawan aku yang tak bersalah?"
"Ops, aku tak sengaja sebab mereka bising sangat tadi."
Wardah mulai sebal. Perasaannya bercampur baur. Fatin sungguh tidak berperikemanusiaan.
Tiba-tiba Wardah teringatkan Jasmin. Risau juga kalau Fatin mengapa-apakan gadis itu.
"Kau beritahu aku, di mana Irman dengan Jasmin! Kalau tak aku bunuh orang yang kau sayang pula." Ugut Fatin.
Wardah menggelengkan kepala. Berjuraian air matanya dek tidak dapat membendung perasaan hiba melihat rakan-rakan dibunuh Fatin.
"Baik kau beritahu aku!" Tempik Fatin. Gema suaranya menggegarkan bangunan itu. Habis pecah cermin-cermin serta lampu di dalam wad.
Wardah makin longlai. Kudratnya kini hampir mencapai tahap sifar.
"Aaku...takkan biarkan kau kuasai semua elemen itu." Lemah Wardah bersuara sebelum dia tidak sedarkan diri buat kali kedua.
Fatin melaraskan pistolnya. Dihalakan muncung pistol itu ke arah Wardah. Picu ditarik....
'Bang!!!'
Tembakannya tersasar. Mengenai lantai berjubin. Habis retak lantai itu akibat penangan sang peluru. Fatin berpaling ke arah penghalangnya menembak Wardah.
Di sudut wad, kelihatan Jasmin berdiri dengan kalung di tangannya. Dia menggunakan keupayaannya untuk mengunci masa bagi menghalang peluru itu terbenam ke dalam daging Wardah.
Cuma, kudrat yang lemah serta ilmu hitam Fatin membantutkan sedikit keupayaaan Jasmin.
"Serahkan kalung itu!"
"Tidak!"
"Serahkan!"
Jasmin menggeleng. Diputar kalung itu dan dikunci masa sekali lagi. Langkahnya dipercepat dan menuju ke arah Jasmin yang terbaring ke lantai.
Dengan bersusah-payah dia mengendong Wardah. Derapan kakinya kadang terhenti dek mengelakkan terpijak kaca serpihan yang bertaburan.
Jasmin mengendong Wardah menaiki tangga. Semua lif telah rosak. Suasana hospital itu suram. Tiada lagi kesibukan kakitangan ke hulu ke hilir. Semuanya terpaku dan terkunci. Ada yang terbeliak mata dan terlopong menyaksikan kaca pecah secara tiba-tiba. Jasmin tidak peduli semua itu. Dia hanya ingin membawa Irman serta Wardah lari dari Fatin.
Jasmin kini tiba di hadapan unit pemerhatian rapi. Masalahnya pintu terkunci secara automatik. Langkahnya terbantut. Hatinya menerbitkan kerisauan. Andai Fatin menjumpainya di situ, teruklah keadaannya nanti. Silap-silap mereka semua dibunuh.
"Kamu mau masuk ka?" Kedengaran suara gadis berloghat Sabah menegur Jasmin.
Jasmin sekadar mengangguk. Walaupun dia sebenarnya pelik.
"Gadis ini tidak terkunci ke?" Detik hati Jasmin kehairanan.
Gadis yang kecil molek berkemeja dan berseluar slack panjang itu menolak pintu berkunci itu dengan mudah.
Saat pintu terbuka, Jasmin berlari dan menerpa ke arah katil Irman. Kebanyakan pesakit di situ masih selamat. Tidak terjejas dengan laungan suara Fatin tadi. Keadaan Irman tampak teruk. Berselirat wayar serta ubat-ubatan terpasang pada badannya.
Jasmin tidak mempunyai pilihan lain. Tubuh Wardah yang terkulai terpaksa diletakkan ke lantai. Saat dia menggenggam kalung, gadis kecil tadi memegang pergelangan tangannya.
"Aku mahu ikut kamu."
"Eisyh, tepilah. Aku tak kenal kau!" Tempelak Jasmin. Tangan gadis itu ditepis. Dia tidak akan mudah percayakan sesiapa. Mungkin gadis itu orang mamanya.
"Percayalah, kita sama." Gadis itu bersuara lembut sambil menunjukkan kalung yang tidak ubah seperti miliknya Jasmin.
Jasmin memiringkan kepala. Hatinya berbelah bahagi. Sinar mata gadis didepannya penuh pengharapan. Dengan sedikit ragu, dia mengangguk kepala tanda membenarkan gadis itu mengikuti mereka. Kalung miliknya digenggam erat sepenuh hati.
"Selamatkanlah kami. Bawalah kami ke tempat yang tidak memungkinkan kami untuk ditemui."
Penuh pengharapan Jasmin menuturkan kata-kata itu.
Usai melafazkan kata-kata itu, kelihatan sebuah lohong bercahaya jernih muncul di depan mereka. Gadis tadi pantas menolak katil Irman ke arah lohong itu.
Jasmin terkulat-kulat. Wardah masih tidak sedarkan diri. Dia tidak mampu lagi until mengendong Wardah.
"Cepatlah!"
"Aku tak boleh tinggalkan dia ni!"
Gadis kecil molek tadi berpatah balik dan mendapatkan Wardah. Buat seketika, tangannya diletakkan di kepala Wardah. Diusap perlahan-lahan kepala Wardah sehinggalah Wardah tersedar.
"Dah jom! Jangan lengah-lengah lagi. Dia dah boleh berjalan."
"Kau pasti?"
"Cik nurse dah boleh jalan kan?" Wardah sekadar mengangguk. Dia berdiri. Comot dan kotornya seragam tidak dipeduli.
"Cepat tolak katil ni." Desak gadis tadi. Jasmin hanya menuruti sahaja arahan itu. Sedikit keyakinan telah berputik dalam dirinya.
"Nak tolak ke mana? Nanti dia mati!"Tegas Wardah.
"Percaya padaku. Dia tidak perlukan semua ubat ini lagi." Gadis itu cuba meyakinkan. Kepala Irman disentuh buat seketika. Tangannya seterusnya dialihkan ke dada Irman.
Oksigen yang terpasang pada Irman ditutup.
"Kau nak bunuh dia ke?" Bentak Wardah. Merah padam mukanya menahan marah melihat tindakan gadis yang tidak dikenali itu bertindak semberono terhadap pesakit.
"Cuba tengok SPO2 dengan nadi dia. Normalkan?"
Wardah melihat skrin yang memantau keadaan Irman. Segalanya normal walaupun gadis tadi membuang segala peralatan yang terpasang pada badan Irman.
Sekuat tenaga mereka bertiga dikerah dan menolak katil itu ke arah lohong bercahaya tadi. Irman masih tidak membuka matanya.
"Arghhhh......"
Jeritan mereka bertiga bergema saat melangkah masuk ke dalam lohong itu. Silaunya cahaya memedihkan mata. Tiada apa yang terzahir di mata mereka melainkan cahaya semata-mata.
Badan mereka seolah- olah tertarik ke dalam lohong itu. Semakin lama semakin ke dalam. Sehinggakan mereka sendiri tidak mampu melawan. Hanya berserah sahaja kepada takdir.
****
Mereka berempat terdampar di suatu tempat yang asing. Sebuah padang luas dan tandus berpasir. Sepertinya tiada sesiapa di situ melainkan mereka.
Jasmin bangkit perlahan-lahan. Debuan pasir yang terlekat di pakaiannya disapu. Kelihatan Wardah, Irman serta gadis tadi terdampar di pasir.
"Kita di mana?" Soal Wardah. Jasmin sekadar menjungkitkan bahu.
"Kau tahu kita kat mana? Kau yang beria nak masuk tadi." Jasmin berpaling ke arah gadis kecil molek tadi.
"Ndak tahu." Jawabnya ringkas.
"Eh, kau cakap bahasa yang kami faham boleh gak? Oh ya, nama kau siapa? Kalung kau tu sama macam aku punya."
"Nama aku Magnolia." Ujar gadis itu ringkas. Tangannya menyeluk kocek dan mengeluarkan kalung.
"Kalung ini...."
"Bukan kalung biasa." Wardah memotong bicara Magnolia.
"Saya tahu. Ia istimewa. Tapi mengapa nurse tahu tentangnya?" Jasmin masih lagi mempunyai seribu tanda tanya terhadap jururawat muda itu.
"Panggil saya Wardah. Cuba lihat kelopak ketujuh itu. Kelopak apa yang terzahir di situ?"
Jasmin mengerling ke arah loket istimewa di tangannya. Sekilas, dia tahu jawapan kepada soalan Wardah.
"Bunga melati." Ujar Jasmin penuh yakin. Ya, dia pasti tentang itu sebab dia sukakan bunga-bungaan. Hampir setiap spesies bunga dia kenal.
"Jadi, saya pasti awak tahu kaitan kelopak itu dengan diri awak. Ada sebab awak dinamakan Jasmin." Wardah tersenyum menuturkan kata-kata itu. Namun berbeza dengan Jasmin.
Jelas kelihatan dia cuba menghadamkan kata-kata Wardah. Berkali-kali dia mengerutkan dahi. Tapi, dia gagal mendapatkan jawapannya.
"Kelopak melati? Jasmin? Apa kaitannya?"
"Okey, awak cuba tengok kalung milik Magnolia. Kelopak apa yang timbul dari ketujuh-tujuh kelopak itu?"
Tanpa diminta, Magnolia menyerahkan kalungnya. Jasmin mengamati loket kalung itu. Tiada beza dengan miliknya kecuali fizikal kelopak ketiga. Sedikit timbul.
"Kelopak bunga cempaka." Ujar Jasmin hairan.
"Awak masih tak faham?"
Jasmin menggelengkan kepala.
"Jasmin, maksudnya melati. Cempaka pula ada kaitan dengan Magnolia. Species M.champaca, genusnya Magnolia."
"Jadi maksudnya?"
"Maksudnya, pemilik kalung punya nama sama seperti kalung miliknya."
"Tapi, ini bukan saya punya. Ni kalung pusaka milik orang tua Irman."
"Tak, milik awak sebenarnya. Orang tua Irman cuma menjaga amanah sebab mereka sudah tahu niat songsang mama awak." Panjang lebar Wardah menjelaskan.
"Jadi, aku dah tak diperlukan di sini ya." Kedengaran suara lelaki mencelah perbualan mereka.
Ketiga-tiga gadis itu berpaling ke arah lelaki yang masih memakai baju hospital. Aneh. Dia tampak sihat walaupun tadi keadaannya tampak teruk.
"Irman, pasal mama aku.. Aku mintak maaf." Ujar Jasmin.
"Aku bersalah dengan abang Kamal. Harap-harap dia maafkan sebelum dia menghembuskan nafas terakhir tempoh hari." Lirih suara Irman menuturkan ayat itu.
Tanpa disedari air mata bergenang di pelupuk mata.
"Kenapa kau tidak biarkan aku mati. Kenapa?" Irman terduduk. Dia menumbuk-numbuk tanah pasir itu. Merah dan sakit tangannya tidak dipeduli. Dia kesal dengan perbuatannya sendiri.
"Irman, jangan meratap macam ni. Kita memang kena lari dari Fatin tu." Wardah cuba menenangkan Irman.
"Saya tak faham, terlalu banyak yang Wardah tahu." Jasmin mencelah.
Wardah tersenyum. Ketiga-tiga pasang mata di depannya sedang memerhatikannya.
"Saya, Wardah. Maksud nama saya adalah mawar. Saya pemilik kalung kelopak pertama, bunga mawar." Ujarnya sambil menyuakan kalung miliknya kepada mereka bertiga.
Kesemua mereka terkejut dengan kenyataan Wardah. Memang benar, kelopak pertama adalah bunga mawar.
"Maksudnya kalung ini ada tujuh?" Soal Irman.
"Ya, tujuh. Cuma saya tak pasti di tangan siapakah ia berada. Kalau di tangan pemilik sebenar, tiada apa yang perlu dirisaukan. Andai jatuh ke tangan orang salah alamatnya bala."
"Macam Fatin?"
"Fatin tu salah satu orangnya. Yang pasti kita kena lari dulu."
"Apa yang dia nak sangat dengan kalung ni?" Jasmin bertanya lagi. Dia masih tidak faham.
"Awak punya boleh manipulasi masa dan dimensi, saya punya boleh mengunci penglihatan serta membaca hati dan Magnolia punya.."
"Aku dapat menyembuhkan." Pintas Magnolia.
"Sekarang kita ada tiga. Yang empat lagi entah hidup atau mati.."
"Dari mana asalnya kalung ini?" Irman semakin tertarik dengan kalung itu.
"Dari kerajaan yang hilang. Dicipta oleh Puteri Ratna semasa dikurung di bawah tanah. Setiap kelopak yang ada terhasil dari serpihan tiaranya. Dia ada kuasa melenturkan barang perhiasan."
"Aku pernah dengar. Kerajaan ini bukan hilang. Ia terkunci saja. Tidak terlihat selagi bunga-bunga Puteri Ratna tidak kembali ke tempatnya." Panjang lebar Magnolia berceloteh.
"Dah, dah.. Jom kita berjalan. Mana tahu jumpa manusia. Saya rimas pakai uniform ni di tengah-tengah padang tandus." Bebel Wardah. Walhal dia sendiri tak pasti ke manakah arah tujuan mereka. Hatta tempat itu sekalipun tidak dia kenali.
"Eh, jam aku sudah rosak." Magnolia bersuara tiba-tiba. Jasmin turut mengerling ke arah jam tangannya. Sudah mati. Jarumnya tidak bergerak.
"Samalah. Rosak jugak." Luah Jasmin.
Menyedari hal itu, Wardah mengeluarkan telefon bimbitnya. Tiada isyarat yang kelihatan. Hatta waktu yang pada skrin telefonnya nampaknya tidak berfungsi.
"Waktu sedang terkunci. Nampaknya kita memang jauh dari Fatin sekarang ni." Wardah cuba meneka.
"Kita kat mana sebenarnya?"
"Saya pun tak tahu. Tapi, rasanya hampir tiba masanya 'bunga-bunga' Puteri Ratna kembali semula ke tempatnya."
"Kita sekarang tercampak ke dimensi kerajaan yang hilang itu?" Irman bersuara agak kasar. Fikirannya sudah kusut. Terlalu banyak peristiwa yang tidak dapat dihadamkan logik akalnya.
"Rasanya itu yang kita kena cari. Jom." Magnolia tampak bersemangat.
"Kau serius? Bahayalah." Jasmin agak risau dengan cadangan Magnolia.
"Jangan risau, Irman ada. Dia lelaki." Magnolia cuba meyakinkan Jasmin. Irman sekadar mengangguk.
"Baik kita cari. Mungkin dengan cara itu kita tidak lagi diburu dan dapat keluar dari sini." Cadang Irman.
Kesemua mengangguk faham. Maka, berjalanlah mereka menuju ke destinasi yang mereka tidak ketahui. Cuma tekad di hati masing-masing cuma satu. Kerajaan yang hilang itu perlu dicari.
-TAMAT Bahagian 2-
============
Gambar: Dikmang
Suntingan: Ratika
Karya adalah hak milik penulis dan Arkib Angker Negara.
Anda ada kisah seram, komedi-seram, misteri, thriller ataupun mind-blowing? Apa kata anda kongsikan kisah anda kepada kami.
Hantar kisah anda ke inbox Arkib Angker Negara atau emelkan ke aanrc2017@gmail.com
Nyatakan sekali nama akaun Facebook, blog, Instagram, Twitter atau webpage anda untuk pengkreditan.
No comments:
Post a Comment