Monday, 23 April 2018

DAERAH MAHTI Part 2 - FateStayNite



DAERAH MAHTI (bahagian 2)

Karya: Penulis MrHuzaifah



================================

Sedang aku menanti jawapan dari mulut Saiful, tiba-tiba muncul seorang gadis cantik. Wajahnya lembut, rambutnya kekuningan paras bahu. Gadis itu memakai pakaian seperti kebaya, tetapi dia memegang busur.


"Adakah ini puak Anjika?" Aku bertanya, untuk mendapatkan kepastian. Kerana aku teringat sewaktu dikejar Borigowo. Panah yang hadir dalam kegelapan itu dikatakan milik puak Anjika yang memburu Borigowo.

"Benar!" balas Saiful.

Gadis dari puak itu melemparkan senyuman, sungguh manis dan memikat. Tetapi dengan pantas Saiful merenjiskan air ke muka aku.

"Eh, kenapa?" tanya aku pelik, dan hidung aku terhidu sesuatu wangian.

"Demi keselamatan kamu!" Balas Saiful ringkas.

Aku mengelap muka aku yang terkena air itu dengan tangan. Baru aku tahu, wangian itu datang dari air yang direnjis oleh Saiful. Wangian ini seperti pernah aku hidu. Tapi aku terlupa.

"Air apa ini?" Aku bertanya sambil memandang Saiful.

"Air untuk mengelakkan kamu gila,” balas Saiful tenang.

"Maksud kau?" Aku mula curiga.

Soalan aku tidak dijawab, malah Saiful terus berdiri dan kedua-dua orang kerdil itu turut berdiri mengikut lagak Saiful. Gadis dari puak Anjika pula hanya berdiri dalam keadaan bersiap siaga.

"Aku tahu macam mana hendak bawa kamu pulang!" Ujar Saiful sambil melihat ke langit.

"Bagaimana?" Aku mula bersemangat dan berharap dapat kembali ke dunia aku.

"Di hujung daerah ini terdapat sebuah rumah besar. Di sana kita boleh membuka pintu alam. Tetapi, kawasan itu dikuasai oleh puak Borigowo," Saiful menerangkan.

"Aku sanggup!" Jawabku penuh semangat.

"Bukan sanggup menjadi ukuran, tetapi kekuatan kita untuk melepasinya," balas Saiful tenang.

"Siapa mahu ikut?” Tanya Saiful lagi, sambil melihat ke arah dua orang kerdil tadi.

Dua orang kerdil itu melonjak-lonjak sambil mengangkat-angkat tangan mereka, manakala gadis dari puak Anjika itu mengangguk tanda setuju. Sepertinya semua bersetuju untuk ikut bersama.

"Ini soal hidup dan mati kalian. Aku tidak memaksa,” kata Saiful lagi.

Namun mereka semua diam membisu. Dari raut wajah mereka kelihatan mereka turut bersedia.

"Matikk kami untuk TUHAN!" si kerdil yang bersenjata menjawab.

"Iyaaaa! Kan Saiful ajar, mati kerana Tuhan. Aku berkorban untuk kehidupan manusia ini," balas si kerdil satu lagi.

"Selepas solat subuh, kita bergerak!" Kata Saiful penuh semangat.

Selesai solat subuh, aku, Saiful, dua orang kerdil dan seorang dari puak Anjika memulakan perjalanan menuju ke hujung daerah, yang dikuasai oleh puak Borigowo iaitu antara puak dari dunia kegelapan. Mereka hanya mempunyai sifat membunuh. Namun bersama Saiful dan aku ada pahlawan yang ditakuti oleh puak Borigowo iaitu puak Anjika. Puak Anjika turut serta dalam pengembaraan pendek ini. Mereka sebenarnya ramai dan mahir dalam bergerak secara diam dan memanah. Puak orang kerdil pula hanya ada dua orang yang bersama saiful. Itu sudah cukup membuatkan aku rasa berani dan bersemangat.

Dari satu lembah ke satu lembah, sehinggalah tiba di satu kawasan yang agak lapang. Saiful memberhentikan langkahnya lalu melihat jauh ke arah seberang kawasan lapang itu. Aku juga turut memberhentikan langkah.

"Kita sudah tidak jauh lagi. Di seberang sanalah tempat terletaknya hujung daerah ini," beritahu Saiful sambil menunjuk ke arah seberang kawasan lapang itu.

"Kita sudah sampai?" Tanya aku dengan nada gembira.

"Hampir," balas Saiful, membetulkan tanggapan aku.

Hampir 20 minit Saiful hanya berdiri melihat kawasan lapang itu. Dia seperti teringatkan sesuatu. Renungan matanya jelas melambangkan kesedihan.


Zupppp....zupppp...zuppppppp, beberapa anak panah tepat kena di kepala Agoro, lalu mati lenyap bagaikan kepulan asap, kelihatan seorang berbaju labuh menutup segala tubuhnya dengan pakaian seperti jubah keluar dari belukar dan menghampiri rumah agam besar itu, perlahan-lahan tangannya membuka tombol pintu dan akhirnya terbuka.


"Balkiss?!” Saiful bertanya, tetapi terhenti apabila melihat tiada sesiapa di situ, hanya kelihatan rantai Balkis di tanah, lalu Saiful mengambil sambil dan melihat penuh tanda tanya pada rantai itu. Dia tidak tahu mengapa Balkis tiada di situ dan siapa yang telah membuka pintu rumah agam itu. 
Dian berlari keluar, namun langkahnya juga terhenti apabila melihat sekeliling dipenuhi belukar hitam kegelapan,dan tanah yang berbau busuk hanyir.

"Dian, lari ke sana! Kita kena keluar melalui cahaya tu!" Saiful menjerit sambil menunjuk ke arah cahaya yang semakin mengecil. Cahaya itu agak jauh, dalam lingkungan 100 meter.

Saiful berlari menarik tangan Dian. Dian hanya terpaku mengikut bagai dipukau. sampai sahaja di cahaya itu Saiful mengarahkan Dian masuk ke dalam cahaya itu kerana cahaya itu dalah pintu kembali ke alam nyata.

"Kamu..?!" Dian bertanya kepada Saiful apabila melihat Saiful masih tercegat melihat ke belakang.
"Saya nak cari Balkis,” kata Saiful sambil mengenggam erat rantai Balkis.

Dian melangkah melalui cahaya itu. Namun baru separuh badannya masuk ke dalam cahaya itu, terdengar saiful menjerit memanggil namanya, sambil melontarkan rantai itu kepada Dian. "Jaga rantai ni baik-baik!" Jerit Saiful mengingatkan Dian.


Air mata Saiful mengalir perlahan membasahi pipinya. Kenangan silam yang tidak akan dilupakannya. Dia sendiri tidak tahu sudah berapa lama dia berada di daerah Mahti itu.


"Kamu menangis?" Tiba-tiba satu tuara yang sangat merdu dan lembut menyapa Saiful.

Aku turut tergamam mendengar suara itu, pantas aku menoleh ke belakang. Puak Anjika sedang turut menangis. Dan suara itu adalah miliknya.

"Mengapa kau menangis?" Tanya aku kepada Puak Anjika.

"Kerana Saiful sedang menangis," balasnya lembut. Suara gadis puak Anjika itu sangat menawan, sehingga membuatkan aku jatuh cinta.

Aku menjadi bingung. Apakah hubungan gadis itu dengan Saiful? Mengapa Saiful menangis? Semua itu hanya menjadi persoalan yang tidak berjawapan. 

"Sampai bila kita mahu berdiri sahaja di sini?" Aku semakin tidak sabar untuk pulang ke dunia nyata.
"Kita kena bersiap sedia. Di seberang sana mempunyai satu puak kegelapan yang digelar Agoro,” Saiful memberitahu risiko yang sedang menanti mereka.

Mendengar nama Agoro, dua orang kerdil tadi berlari ke belakang kaki Saiful. Gadis Anjika itu pula tenang dengan busurnya, kelihatan dia sudah bersiap sedia untuk bertempur atau dikuburkan.

Mulut Saiful terkumat-kamit membaca sesuatu, lalu tangannya diletakkan ke permukaan tanah. Hampir tiga minit dia merasa permukaan tanah itu, barulahkakinya melangkah masuk ke kawasan lapang. Jika dilihat dari tempat mereka berdiri, kawasan seberang itu sama sahaja tiada beza pun dengan kawasan mereka berada sebelum ini.

Setelah makin hampir dengan hujung daerah itu, kelihatan suasana semakin suram. Aku melihat ke arah belakang. Terang! Berbeza dengan apa yang berada di hadapan aku dan paling pelik, tadi aku lihat kawasan ini sama sahaja. Kini semakin hampir semakin suram dan gelap. Bau udara di kawasan itu juga berbeza. Seperti bau hanyir bangkai.

Suasana sangat berbeza dengan kawasan mereka tinggal sebelum ini. Keadaan hutan di situ gelap seperti suasana maghrib. Aku lihat Saiful melangkah tenang menuju ke suatu arah yang aku sendiri tidak tahu. Setiap langkahnya penuh berhati-hati. Dua orang kerdil itu duduk di atas bahu Saiful. Sebenarnya mereka takut.

Kini di hadapan aku terdapat sebuah rumah agam besar. Rumah itu tampak suram dan menyeramkan.
"Kena tunggu di sini. Pada waktu pertukaran siang dan malam, Pintu alam akan terbuka sekejap. Waktu itu kau hanya perlu lari ke arah cahaya yang muncul di situ," kata Saiful sambil menunjuk ke satu kawasan yang tidak jauh dari aku dan mereka berdiri.

"Tapi… sebelum sampai waktu itu kita kena bersembunyi. Kerana Agoro sangat banyak berkeliaran di kawasan ini,” ujar Saiful lagi.

Saat yang ditunggu-tunggu pun tiba. Saiful menjeling ke arah aku. Dia memberikan isyarat mata untuk bersedia. Sedikit cahaya telah muncul. Puak Anjika dan dua orang kerdil pula masing-masing hanya berdiam diri di tempat persembunyian.

Apabila melihat cahaya itu sudah besar, aku terus berlari keluar dari tempat persembunyian dan menuju kearah cahaya itu. Waktu yang sama juga, aku dengar dengusan Agoro dan derapan tapak kaki makhluk itu menghampiri aku. Sedikit pun aku tidak menoleh, kerana dalam perancangan Saiful aku hanya terus berlari dan mereka akan bantu menghalang Agoro dari menyerang aku.

Baru sahaja kaki aku melangkah ke cahaya itu, tiba-tiba kaki sebelah aku telah diterkam Agoro. Namun dengan pantas beberapa batang anak panah melayah menembusi kepala Agoro. Pertama kali itulah aku melihat makhluk bernama Agoro dengan lebih jelas dan dekat.

"Cepaatttt!!" Jerit Saiful.

Aku menoleh ke belakang. Kelihatan Saiful sedang bertungkus-lumus berlawan dengan Agoro. Si dua orang kerdil yang bersenjata sedang memanjat badan Agoro dan menikam kepala Agoro. Gadis Puak Anjika pula tidak kelihatan, tetapi hanya anak panah bertaburan menyerang mangsa-mangsanya. Si kerdil lagi satu aku lihat sudah berada di dalam cengkaman Agoro. Sewaktu aku melihat kali terakhir itu, kepala si kerdil itu dikokak rakus oleh Agoro. Darah bersemburan ke atas tanah Daerah Mahti. 

"Cepaaat!” Saiful menjerit sekali lagi apabila melihat aku masih terhenti di pintu alam itu.

Aku melihat semuanya bergerak dalam keadaan perlahan. Saat-saat akhir mereka dengan aku itu bagaikan memori yang sangat indah. Kami kenal tidak lama, tetapi mereka sanggup bekorban untuk aku. Aku melangkah perlahan dan terdengar sayup-sayup suara Saiful menjerit, "jangan lupa!” Lalu semuanya menjadi putih dan akhirnya mata aku terbuka. Aku berada di hospital? Tapi ini di mana?! Siapa aku? Semua yang mengelilingi aku menjadi keliru apabila aku mengatakan aku tidak kenal siapa diri aku sendiri. Dalam pemeriksaan doktor, aku disahkan sihat dan normal. Doktor menyatakan mungkin disebabkan kesan dari koma. Aku dikatakan koma selama seminggu dan dikatakan hanya keajaiban yang mampu mengubah nasib aku. Tetapi mereka tidak tahu, ada keajaiban lain yang lebih indah di luar sana. Ia ada bersama.


Tamat
==========================

Suntingan Karya: Ahmad Rusydi

Karya merupakan hakcipta penulis dan Arkib Angker Negara.
Anda ada kisah seram, misteri, thriller ataupun mind-blowing?
Ayuh kongsikan kisah anda kepada kami. Hantar kisah anda ke e-mel aanrc2017@gmail.com
Nyatakan sekali nama akaun Facebook, Instagram, Twitter, blog atau webpage anda untuk tujuan pengkreditan.

No comments: