OBSESI
====================
Mira mendekatkan wajah pada cermin solek. Dia menilik setiap inci kulit wajahnya. Sudah hampir setengah jam dia begitu. Selepas berpuas hati dengan kemulusan kulitnya, Mira tersenyum bahagia. Jemarinya yang bulat pendek mengusap-ngusap pipinya yang gebu. Persis kulit bayi. Namun ketika dia melihat jemarinya yang gemuk, senyuman di bibir mati secara tiba-tiba.
Dari jari, mata Mira memandang badannya. Tidak ada langsung lekuk-lekuk yang menggiurkan. Perutnya berlipat-lipat. Dia kelihatan tidak ubah seperti donut yang disusun berlapis. Mira menghempaskan badannya di atas katil. Dia menangis mengenang nasibnya. Dengan ketinggian 152cm dan berat 98kg, Mira sedar dia takkan mungkin dapat memikat mana-mana lelaki.
Puas menangis, Mira mencapai frame gambar jejaka pujaan hatinya yang diletak di atas bantal sebelah bantalnya. Mira memandang seraut wajah yang sungguh kacak pada pandangan mata. Jejaka berkumis nipis, berkulit cerah itu sedang tersenyum memandangnya.
“Oh, abang Fattah. Mira betul-betul cintakan abang.” Gambar Fattah Aman yang digunting dari Majalah Mempelam diletakkan di dadanya.
“Kalaulah abang Fattah jadi suami Mira.” Mira memejam mata sambil membayangkan Fattah Aman sedang mengejarnya di pantai sambil menyanyikan lagu
“Baby Shark Doo Doo Doo.”
Ditemani gambar Fattah Aman, Mira tertidur tanpa menutup lampu. Ketika Mira berkalih ke kanan, tiba-tiba langsir berbunga di hujung katilnya bergerak-gerak seolah-olah ditiup angin sedangkan tingkap tertutup rapat. Mira merasa tidak selesa di dalam tidurnya. Dia merasa kedingingan seperti berada di dalam peti ais.
Ketika dia berkalih tadi dia terasa seperti menindih sesuatu yang menggerutu. Dalam keadaan mata tertutup dia meraba-raba di bawah badannya. Ketika jemarinya tersentuh benda yang menggerutu itu, Mira terlompat bangun. Hampir-hampir dia menjerit. Bulat mata Mira merenung remote aircond di tempat tidurnya. Kus semangat. Ingatkan apa bendalah tadi.
Gambar Fattah Aman yang tercampak ke lantai diambilnya semula. Dicium-cium gambar itu semahunya.
“Kesian abang Fattah, jatuh katil. Sakit tak?”
Mira meletakkan kembali gambar kesayangannya di atas bantal. Dia berlalu ke bilik air. Kedengaran suara seiras Sujat sedang menyanyikan lagu bernada tinggi
“I Will Always Love You.”
Esok dia akan berjumpa dengan ayahnya. Ada sesuatu yang ingin dilakukan dan dia memerlukan bantuan ayahnya.
******************
“Nek, tolong saya nek. Apa yang perlu saya buat untuk dapatkannya.”
“Cu, syarat nenek tak susah cu. Bawakan nenek uri bayi perempuan sulung yang mati malam Jumaat Keliwon.” perempuan tua itu tersengih menampakkan barisan gigi yang kehitaman.
Di belakang perempuan tua itu bergantungan tengkorak-tengkorak binatang. Suasana kelam dan suram di rumah perempuan tua itu memaksa Mira mencapai remote TV lalu ditukarkan saluran ke Discovery Channel.
“Apa pasal la aku tengok cerita hantu malam-malam macam ni.”
Jam menunjukkan malam semakin tua. Mira bingkas bangun menuju ke dapur. Segelas air putih dipicit keluar dari mesin penapis air jenama COMAY. Dingin air mengalir laju membasahi tekaknya. Mira menutup lampu dapur selepas mencuci gelas.
Ketika dia keluar dari dapur, satu banyangan putih melintas di belakang. Langkah Mira terhenti. Terasa bulu roma di tengkuknya meremang. Ah sudah. Dia main melintas-lintas pulak dekat belakang. Mira teringat filem ‘Munafiknya Engkau’ yang ditonton lima bulan yang lepas. Walaupun tajuknya agak kelakar tetapi ceritanya seram yang amat. Salah satu adegan berdiri bulu roma di dalam filem itu serupa dengan apa yang dialaminya sekarang. Sekali lagi bayangan tersebut melintas. Tapi kali ini betul-betul di hadapan Mira.
“Maaakkkk!!!” Sepantas kilat Mira berlari memanjat tangga sambil menjerit memanggil emaknya yang berada di kampung.
Belum sempat dia sampai di pintu biliknya, Mira merasa seperti ada tangan menyauk kakinya. Mira tersembam ke lantai. Lampu tiba-tiba berkelip-kelip. Tidak ubah seperti dalam filem horor Indonesia.
Mira berusaha sedaya upaya untuk bangun. Dalam kepayahan itu telinganya menangkap bunyi gemerincing loceng gelang kaki di tingkat bawah. Dahi Mira ditumbuhi bintil-bintil peluh. Jantungnya berdegup laju. Belakangnya terasa panas dan kepalanya mengembang dihambat ketakutan. Lututnya menggeletar. Apa benda pulak tu.
Akibat kepala lutut yang terasa longgar, Mira masih gagal untuk berdiri. Setelah beberapa kali mencuba, akhirnya Mira mengambil keputusan untuk mengengsot sahaja ke biliknya.
Pemilik gelang kaki sedang memanjat tangga. Setiap kali bunyi gelang kaki kedengaran setiap kali itulah Mira mengengsot. Matanya tidak lepas dari memandang tangga. Ketika badannya tertampan pintu bilik, Mira cepat-cepat memulas tombol pintu. Bagai seorang ninja Mira bergolek masuk ke dalam bilik seraya menghempas pintu dan menguncinya. Bajunya basah dek peluh. Nafasnya menderu laju.
“Maakk!!” Sekali lagi Mira menjerit memanggil emaknya ketika melihat satu makhluk aneh mencangkung di atas katil.
Tubuhnya kurus cengkung, kepalanya botak dan kulitnya putih pucat persis mahkluk bernama Gulam dalam filem adaptasi ’Lord of the Ring’.
Tubuh Mira menggeletar. Dia berusaha memeluk lututnya ketika makhluk itu merangkak turun dari katil. Dalam kesamaran malam, wajah mahkluk itu kelihatan sungguh menakutkan. Kedua matanya kosong. Hidungnya rompong dan mulutnya terkoyak sampai ke telinga. Darah menitis-nitis dari mulutnya yang menyeringai. Baunya busuk dan memualkan. Makhluk itu semakin mendekat dan berhenti kira-kira sekaki daripada Mira.
Mira menutup mata serapat-rapatnya. Dia cuba mengingati surah-surah yang selalu dibaca untuk menghalau hantu syaitan. Namun ketakutan yang dialami membuatkan otaknya seolah-olah terbejat.
“Abang Fattah,tolong Mira.”
Entahkan mimpi atau apa, Mira terdengar raungan makhluk aneh itu disusuli tumbukan dan sepakan yang bertubi-tubi. Mira memincingkan mata. Dia melihat sesusuk tubuh yang tegap sedang membelasah makhluk berkulit putih pucat itu. Tak ubah seperti seorang hero filem tamil. Di saat makhluk hodoh itu sudah kehilangan upaya, satu tendangan padu dilayangkan ke perutnya dan membuatkan tubuh kurus cengkung itu tercampak ke dinding sebelum terhempas ke lantai. Satu jeritan nyaring yang panjang kedengaran di luar bilik. Rupanya pemilik gelang kaki masih berada di luar. Mira segera mengengsot menjauhi pintu biliknya.
“Mira jangan takut. Abang ada kat sini.”
Tubuh Mira tenggelam dalam pelukan lelaki sasa itu. Mira mendongak memandang wajah heronya.
“A... abang Fattah? Biar betik.” Mira menggosok-gosok mata seolah-olah tidak percaya. Mulutnya terlopong memandang wajah kacak Fattah Aman yang begitu dekat dengan wajahnya.
“Lepas segalanya selesai, nanti abang bawak Mira pergi pantai. Abang nyanyikan lagu terbaru abang ya.” Fattah Aman tersenyum menggoda. Mira tersipu malu.
Bunyi hentakkan kaki di luar bilik semakin rancak berselang seli dengan bunyi gemerincing gelang kaki. Cakaran-cakaran kasar di pintu menimbulkan rasa ngilu. Mira semakin erat memeluk jejaka penyelamatnya.
“Mira tunggu sini. Biar abang hapuskan pengacau hidup Mira.” Fattah Aman berdiri gagah.
Pintu bilik Mira berdentum ditendang dari luar. Daun pintu terkopak. Mira menjerit ketakutan. Berdiri di luar bilik seekor binatang seperti ular tetapi mempunyai tangan dan kaki. Mira teringat watak Randall dalam cerita Monster Inc. Saling tak tumpah seperti makhluk yang sedang berdiri di hadapannya. Cuma yang membezakan mahluk yang dilihatnya sekarang sangat hodoh. Sebelah kakinya terlilit seutas gelang kaki yang bergemerincing setiap kali dia bergerak. Tangannya panjang dan kuku-kukunya seperti bilah pisau yang tajam. Kulitnya menggerutu kehijauan. Mahkluk itu masuk ke dalam bilik. Matanya yang kemerahan tajam merenung Mira. Lidahnya terjelir-jelir seperti lidah biawak.
Fattah Aman berdiri di antara Mira dan makhluk itu. Bajunya di buka menampakkan susuk badannya yang berotot. Mira menelan air liur. Sexynya.
“Serahkan perempuan itu. Tuan aku mahukannya.”
“Jangan kau harap. Mira milik aku.”
Makhluk itu mula menyerang. Fattah Aman mengelak sambil melepaskan beberapa tumbukan dan tendangan padu ke badan makhluk itu. Langsung tidak kelihatan kayu. Mira menyorok di belakang kerusi rias. Hatinya bersorak riang setiap kali Fattah Aman berjaya menyakitkan makhluk itu. Keasyikkannya menyaksikan pertarungan antara jejaka pujaan hatinya dan mahkluk hodoh itu membuatkan Mira terleka. Dia tidak menyedari makhluk berkulit putih pucat yang pengsan dibelasah tadi telah sedar dan berdiri di belakangnya.
Mira terperanjat apabila tubuhnya tiba-tiba di peluk erat. Mira menjerit dan meronta-ronta. Dia berusaha melepaskan diri namun pelukan makhluk itu terlalu kuat. Tingkap bilik Mira yang tertutup tiba-tiba terbuka.
“Abang Fattah, tolong Mira!!!”
Fattah Aman berpaling dan kesempatan itu digunakan sebaik-baiknya oleh makhluk hodoh seperti ular itu. Kukunya yang tajam seperti pisau menyauk perut Fattah Aman hingga tembus ke belakang.
“Arghhhh!!!!”
“Abaaannnggg!!!”
Makhluk bertubuh cengkung mengangkat Mira. Dicubanya beberapa kali namun gagal. Mira terlalu berat untuk diangkat sementelah pula dia asyik meronta-ronta. Akibat rontaan yang terlalu kuat, Mira terlepas dari pelukan makhluk berkulit putih pucat itu. Segera dia berlari mendapatkan Fattah Aman yang terbaring tidak berdaya. Malangnya dalam keadaan lantai yang berselerak, kaki Mira tersadung kabel lampu. Tubuh montelnya melayang lalu menghempap Fattah Aman.
CUTTTT!!!
Paramedik berkejar mendapatkan Fattah Aman. Penggambaran terpaksa ditangguhkan akibat kecederaan yang dialami pelakon lelaki utama.
“Kesian Fattah bos. Dah takde pelakon perempuan lain ke bos sampai bos ambik anak gajah tu jadi heroin? Dahlah skrip pun tak masuk akal.” pembantu pengarah meluahkan rasa tidak puas hati.
“Apa boleh buat Mir, dah bapak dia penerbit. Terpaksalah.”
Mira mendengus di sebalik dinding. Sakit hatinya mendengar kata-kata penolong pengarah sebentar tadi. Dikeluarkan telefon bimbit lalu mendail satu nombor.
“Emma, aku ada mangsa baru untuk kau.”
-TAMAT-
Anda ada kisah seram, komedi-seram, misteri, thriller ataupun mind-blowing? Apa kata anda kongsikan kisah anda kepada kami.
Hantar kisah anda ke inbox Arkib Angker Negara atau emelkan ke aanrc2017@gmail.com
Nyatakan sekali nama akaun Facebook, blog, Instagram, Twitter atau webpage anda untuk pengkreditan.
No comments:
Post a Comment