Thursday, 16 November 2017

INDAH - Daliana Zainal Abidin


INDAH
SEKOLAH MENENGAH PEREMPUAN, JALAN CONLAY
Indah, merupakan seorang gadis pendiam dan tidak mempunyai kawan rapat. Dia tidak pandai bergaul dengan rakan sekolahnya. Rutin hariannya cuma ke sekolah, apabila tamat sesi persekolahan Indah akan terus pulang ke rumah.
Bila berada di rumah, Indah lebih banyak menghabiskan masa di dalam bilik. Keluar cuma untuk makan dan mandi sahaja. Dia hanya duduk berdua bersama dengan ibunya.
Di sekolah, meja Indah berkedudukan yang paling belakang dan hujung sekali. Meskipun Indah pendiam tetapi dia merupakan seorang pelajar yang pintar. Keputusan yang diperolehi setiap tahun adalah cemerlang.
Indah sering dinobatkan sebagai pelajar terbaik. Ramai rakan sekolah yang mencemburui kejayaan Indah, lebih-lebih lagi Kaisara. Walaupun Indah mendapat gelaran pelajar terbaik, namun ibunya tidak pernah menghargai dirinya. Sudahlah di sekolah dia dipulaukan, dianggap pula gadis pelik dan sering menjadi bahan ejekan. Indah sering berasa kecewa dan tertekan.
Indah lebih gemar bersendirian dan suka membuat hal sendiri. Jika malas untuk pulang awal, Indah akan duduk berteleku di perpustakaan sehinggalah lewat petang. Jam enam baharulah dia akan berjalan kaki pulang ke rumah.
Terkadang dia rasa seperti tidak mahu pulang ke rumah, dia ingin bebas ke mana-mana. Tetapi niatnya itu tersimpan di dalam hatinya sahaja. Jika dia didapati berpeleseran di mana-mana, belakang badannya akan berbirat akibat dibelasah ibunya sendiri. Kemudian dia akan dikunci di dalam stor kecilnya di bawah tangga tanpa diberi makan dan minum untuk seharian.
Indah tidak pernah merasai dan mengetahui apa erti itu kasih dan sayang. Sebab itu, dia lebih banyak menghabiskan masa di perpustakaan ataupu di biliknya.
“Hoi! Indah! Kau ni, aku tengok pelik dan menakutkan pun ada. Muka tu jangan buat orang takut boleh tak? Dengan rambut kusut masai. Bersih dan kemaskanlah diri tu sikit. Ini tidak, serupa orang gila aku tengok!” Melengking suara Kaisara terhadapnya. Indah ketakutan. Kaisara selalu bersikap kasar terhadap dirinya. Ada sahaja perkara yang ingin dijadikan dirinya mangsa usikkan. Ataupun lebih dikenali, membuli.
Marina sekadar memerhati. Dia tiba-tiba sahaja berasa kasihan dengan Indah selepas insiden yang berlaku di bilik persalinan sekolah mereka. Kaisara dirasakan terlalu melampaui batas. Marina, pada mulanya bersuhabat sama dengan membaling tampon dan tuala wanita kepada Indah, namun dia berhenti dari berbuat begitu secara tiba-tiba.
Marina jatuh kasihan melihat riak wajah Indah yang benar-benar ketakutan. Seolah-olah dia memahami apa yang Indah rasa ketika ini. Ketakutan dan benar-benar memerlukan pertolongan.
“Tolong! Tolong! Saya akan mati. Tengok darah banyak keluar!” Rayu Indah dalam esakkan yang panjang.
Namun dia diperlekehkan dan kejadian berikut telah dirakam oleh Kaisara sebagai bahan ejekan. Indah terus-terusan dibaling dengan tampon dan tuala wanita di mana bagi mereka Indah merupakan bahan hiburan. Lama-kelamaan Marina menjadi sakit hati melihat adegan yang begitu memeritkan hari. Marina menjerit.
“Berhenti!”
Marina meluru mendapatkan Indah yang sudah terduduk lemah. Dipapahnya Indah menuju ke bilik air. Darah tidak berhenti keluar, Indah hanya menangis. Kaisara dan rakan-rakannya terkejut melihat perubahan Marina.
Jikalau dahulu, Marina seangkatan dengannya membuli Indah sesuka hati, tetapi hari ini tidak lagi. Malah dia hairan melihat Marina membantu Indah, si gadis pelik.
“Marina, apa yang kau buat ni! Darah haid tu kotor okay! Kau tak geli ke? Budak Indah ni, sudahlah pelik, pengotor dan bodoh pulak tu. Takkan tak tahu itu darah haid? Belum ada orang mati kerana turun darah haid!” Marah Kaisara. Marina berpaling dan matanya mencerlung tajam.
“Aku kalau berada di tempat dia, aku sendiri akan rasa takut dan malu. Sudahlah dibaling dengan tuala wanita kemudian video diambil pula. Cuba kau sendiri jadi diri Indah, apa yang kau akan rasa? Bangga?”
Kaisara menghentakkan kaki. Rakan-rakan yang lain terdiam melihat perbalahan dua rakan baik ini.
“Kita putus kawan!”
Kaisara berlalu pergi. Rakan-rakannya mengikuti. Tinggallah Indah dan Marina di dalam bilik persalinan. Indah masih lagi begitu, mengonggoi.
***
RUMAH IBU, TAMAN DAHLIA
Indah masuk ke rumah dan terus berlari menuju ke biliknya. Seperti biasa, ibunya yang bernama Fatimah, hanya sekadar memerhati dan seperti biasa akan menyambung tugasannya menjahit pakaian dobi yang terkoyak. Tidak cukup masa untuk menjahit di kedai dobi. Ini adalah salah satu perkhidmatan yang disediakan oleh majikannya. Mujur Fatimah memang tahu menjahit.
Jam hampir menunjukkan ke angka lima petang. Fatimah bangkit menuju ke dapur. Dia harus memasak untuk bekalan ke tempat kerja. Minggu ini merupakan minggu yang dia harus bertukar syif di waktu malam. Dobi majikannya beroperasi dan dibuka selama 24 jam.
“Indah!” Jerit Fatimah dari rung dapur. Geram dan marah.
Indah tidak keluar daripada bilik semenjak dia pulang dari sekolah tengah hari tadi. Entah apa anak gadisnya itu buat di dalam bilik lama-lama. Segala kerja rumah terpaksa Fatimah uruskan sendiri. Indah tidak tahu apa-apa dan tidak pandai untuk menolong menguruskan rumah. Fatimah penat berkeadaan begitu.
Panggilan Fatimah tidak bersahut. Ditutupnya api dapur gas takut terlupa, makanan yang dimasak pasti akan hangus. Bergegas dia menuju ke bilik Indah. Pintu bilik diketuk bertalu-talu. Tiada jawapan.
Fatimah berlari semula turun ke tingkat bawah untuk mengambil kunci bilik. Kunci yang tergantung diambilnya pantas. Berlari semula ke tingkat atas menuju ke bilik anak gadisnya. Terkocoh-kocoh kunci dimasukkan. Pintu berjaya dibuka.
Indah dilihat berlumuran dengan darah di pangkal pehanya. Fatimah terkejut dan dia naik berang.
“Indah! Bangun! Kau tidur dengan darah haid penuh di atas tilam ini kenapa! Pengotor betul kau ni!”
Indah terpisat-pisat bangun. Tuala wanitanya yang dipakai pagi tadi, dia tidak tukarkan langsung. Kebocoran berlaku. Indah tidak tahu apa yang perlu dia lakukan, ini kerana pertama kali dia turun darah haid. Ibunya sendiri tidak pernah mengajar dan mengambil tahu akan perihalnya.
“Indah... Indah... tak tahu nak buat apa, ibu. Indah tak pandai...”
Fatimah semakin bertambah berang. Pelajar pintar di sekolah tetapi tersangat bodoh dalam hal-hal kemandirian diri.
“Kau ni, kenapa bebal sangat! Takkan tak tahu itu darah kotor? Cikgu sekolah kau tak ajar ke benda-benda macam ini? Nak aku jugak yang mengajarnya? Baik kau tak payah pergi sekolah, Indah! Kau masuk bilik stor sekarang!”
Fatimah menarik rambut Indah. Mengerang Indah dibuatnya. Diheret menuruni anak tangga dan dia ditolak kasar, dipaksa masuk ke dalam bilik stor kecil yang berada di bawah tangga itu.
Sejak dia kecil sehinggalah remaja, seringkali dia diperlakukan sebegitu. Indah mengetuk-ngetuk pintu stor dengan kasar. Fatimah buat tak tahu. Sakit hatinya bukan kepalang.
Indah masih menjerit-jerit. Pintu stor itu dicakar-cakarnya sehingga berdarah jarinya. Kukunya luka. Di luar, Fatimah menyambung tugasannya yang terhenti kerana Indah. Dibiarkan sahaja Indah terjerit dan menangis di dalam bilik kecil yang gelap itu.
Usai masak, Fatimah siap-siap untuk keluar bekerja. Indah dibiarkan sahaja dikurung. Lauk pauk habis ditapau. Tiada sedikit pun ditinggalkan untuk anak gadisnya. Itu hukuman buat Indah pada fikirannya.
Rumah tersangat sunyi dan sepi. Tiada lagi esakkan dan ketukkan daripada Indah. Dia tertidur dalam tangisan. Namun...
***
INDAH YANG BAHARU
Pagi ini, tubuh Indah terasa lebih segar. Dia memerhati tubuhnya dengan senyuman yang meleret. Wajah Indah lebih berseri dan ceria daripada semalam. Indah menyikat rambutnya yang ikal itu sambil bernyanyi riang.
Selepas dia dikeluarkan dari bilik stor, terus menuku ke bilik air. Fatimah buat tak tahu seperti biasa. Cuma dia berasa pelik melihat reaksi Indah, senyum meleret dan tidak lagi menangis seperti selalu selepas keluar dari bilik stor itu. Indah pula kelihatan biasa seperti tiada apa-apa yang berlaku.
Disebalik kejadian ini, ada sesuatu yang berlaku di dalam bilik stor itu sekitar pukul tiga pagi tadi. Hanya Indah sahaja yang tahu. Rahsia tetap tersimpan kemas. Itu janji Indah.
Indah menatap wajahnya kembali. Bibirnya dioles dengan lip balm. Rambutnya dibiarkan lepas. Selalunya diikat dengan tocang dua. Keningnya diukir kemas. Bulu matanya dipakaikan mascara berwarna coklat gelap, tampak lebih seksi!
Wajah Indah nampak memukau pada pandangan matanya. Diharapkan begitu juga dengan orang-orang sekeliling. Tepat jam tujuh pagi, Indah sudah keluar dari rumah menuju ke sekolah. Pesanan terakhir Indah membuatkan Fatimah tertanya-tanya.
“Ibu... pintu stor jangan dibuka ya. Biar Indah yang buka balik sekolah nanti. Kalau ibu buka, keselamatan ibu tiada dalam jaminan Indah. Lepas ni, ibu tak perlu heret dan tarik rambut Indah, stor tu tempat Indah sekarang. Indah sendiri akan masuk dalam bilik stor kecil itu. Ibu faham kan?”
Fatimah terpinga-pinga. Indah tersenyum dan melambai ke arahnya. Fatimah terasa gatal tangan untuk melihat keadaan di dalam stor tersebut. Hati berbolak-balik dengan pesanan yang Indah perkatakan tadi.
“Apa yang ada dalam stor tu? Eh, ini rumah aku. Suka hati aku nak buka atau tidak!”
Fatimah meluru membuka pintu stor dan matanya terbelalak.
Darah memercik di dalam ruang stor itu.
“Indah dah pesan ibu...”
Indah ketawa riang.
***
DEWAN SEKOLAH
Ramai pelajar terkejut melihat perubahan Indah yang mendadak. Mereka tidak menyangka bahawa Indah itu cantik sebenarnya. Sebelum ini, dia kelihatan sebagai gadis biasa dan tidak pandai merias muka. Tetapi tidak pada hari ini. Indah senantiasa tersenyum. Marina mendekati, Kaisara sakit hati.
“Hi, Indah. Awak nampak lain hari ini.”
Indah sekadar mengangguk. Dia berterima kasih kepada Marina kerana membantunya dalam kejadian tempoh hari. Kaisara datang menjerkah dan Indah terasa geram. Dia tidak takut lagi seperti sebelum ini. Marahnya menebal di dalam hati.
“Marina! Kenapa kau tiba-tiba baik sangat dengan budak jelik ni?”
Marina berpaling dan terus Kaisara didekati dengan jarak yang begitu hampir bertembung muka.
“Kau, bukan lagi kawan aku. Kau yang putuskan untuk tidak lagi berkawan dengan aku. Indah dah ganti tempat kau. Kadang-kadang aku rasa tak ramai kawan pun takpe. Bahagia juga hidup.”
Kaisara bengang. Marina berubah secara mendadak.
“Sampai hati kau! Kita kawan dari sekolah rendah lagi. Pasal si gila dan pelik ini kau sanggup tinggalkan aku! Indah, kau tunggu!”
Marina buat tak tahu seperti sebelum ini. Indah hanya tersenyum sinis.
“Kau kacau Indah, merana hidup kau nanti!”
Tiba-tiba satu suara berbisik di telinga Kaisara. Dia terpempan. Indah dan Marina berlalu pergi. Kaisara jatuh terduduk dan pengsan apabila makhluk itu menampakkan dirinya.
Rakan-rakan yang lain kecoh bersuara di dalam dewan sekolah itu. Latihan bola jaring dihentikan untuk seketika. Cikgu Jamilah yang kebetulan baru tiba, terus mendapatkan Kaisara yang tidak sedarkan diri.
“Indah, sekarang Marina dah jadi kawan kau. Macam yang kau minta dari aku sebelum ini. Jangan lupa perjanjian kita.”
Suara berbisik perlahan di telinga Indah dan dia angguk perlahan. Marina akan menjadi mangsa yang seterusnya dalam perjanjian Indah dan makhluk itu. Makhluk yang mendiami di dalam stor kecil itu menghulurkan bantuan ketika Indah dalam kemurungan dan kesedihan. Hanya makhluk itu yang layak menjadi kawannya ketika ini.
Di sebelah kanan, Marina menemani. Di sebelah kirinya pula, makhluk yang hitam tubuh badannya dan merah matanya setia mendampingi.
Di rumah pula, Fatimah menjadi mangsa perjanjian antara Indah dan makhluk itu. Indah benci pada ibunya. Maka, dia serahkan makhluk itu berbuat sesuka hati kepada ibunya. Giliran Marina pasti akan tiba. Kaisara pula akan menjadi buruan.
-Tamat-
Karya : Daliana Zainal Abidin
Suntingan Karya & Gambar : DeeFen DF

Anda ada kisah seram, misteri, thriller ataupun mind-blowing?
Ayuh kongsikan kisah anda kepada kami. Hantar kisah anda ke inbox Arkib Angker Negara atau e-melkan ke aanrc2017@gmail.com

Nyatakan sekali nama akaun Facebook, Instagram, Twitter, blog atau webpage anda untuk tujuan pengkreditan.

No comments: