Bangunan - Siri II
Pintu utama bangunan itu pintu jenis dua daun. Memang sah berkunci sebab ada rantai besi berserta mangga diikat pada bahagian pemegang pintu.
Jari jemari Firdaus meluruskan-luruskan klip kertas. Masa menyamun rumah orang, bab-bab buka benda berkunci memang kepakaran si Firdaus.. Idham dan Helmi pakar mencuri. Diana? Duduk menunggu dalam kereta, sebagai langkah berjaga-jaga. Takut-takut ada orang menyedari kegiatan samun mereka.
Firdaus membongkokkan badan, lalu memasukkan dan memusing-musing klip kertas dalam lubang mangga. Gelagatnya itu diperhati Helmi.
Diana berpeluk tubuh, menggesel-geselkan kedua-dua lengannya dengan tapak tangan. Mungkin sebab sejuk? Mungkin juga sebab takut.
Idham langsung tak nak tengok bangunan tu. Dia membelakangkan badan dari bangunan. Fikiran dia masih melayang-layang pasal pesanan Osman. Pesanan yang ada dua maksud tersirat. Pertama, bangunan tu memang ada sesuatu. Kedua, teori Helmi yang mengatakan bahawa Osman adalah penculik. Tak tahula mana satu yang betul. Bergantung nasib.
Tup.
Besi mangga tercabut.
"Mis..sion complete. " kata Firdaus dengan rasa bangga. Mangga dan rantai besi ditanggalkan dari pemegang pintu.
Idham memusingkan badan. Dia melihat Helmi betul-betul berdiri di tengah pintu. Kejap lagi, rahsia sebenar bangunan itu bakal terbongkar.
Tangan Helmi memegang pemegang pintu.
Nyetttt......
Pintu dah terbuka luas.
Tak nampak apapun dalam bangunan. Gelap.
Idham berjalan ke depan. Memintas Firdaus yang sedang mengelap cermin matanya pada baju.
"Helmi...." panggil Idham.
Helmi menoleh. Tangan Idham menghulurkan lampu suluh. Helmi tak banyak bunyi, dia terus mengambil lampu suluh itu.
Cahaya lampu suluh dihidupkan dan dipancar ke dalam bangunan. Ingat, mereka masih lagi berada di pintu.
Apa yang mereka nampak, 50 meter depan, ada pintu grill besi. Tak pasti berkunci ke tak sebab tiada rantai besi mahupun mangga. Di sebalik belakang tabir grill besi, nampak macam banyak pintu bilik di dinding kiri dan kanan. Cahaya lampu suluh tidak dapat mencapai penghujung bangunan. Maksudnya, bangunan itu masih lagi jauh ke dalam.
"Grill tu macam tak berkunci. Rasanya kat belakang tulah semua bilik tahanan." Firdaus bersuara.
"Apa? Tadi aku tanya korang, korang dua buat bodoh je. " rungut Diana.
"Tempat ni dulu kem tahanan Jepun. "
Firdaus dah mula seriau. Baik dia berterus terang. Mana tahu Helmi membatalkan niat untuk masuk ke dalam.
Diana terdiam. Cuba berlagak tenang walaupun adalah sikit rasa takut.
"Kali ni kita bukan nak menyamun, kita nak selamatkan orang. So, siapa nak stay sini? In case kalau kitaorang tak muncul semula dalam masa sejam atau terdengar apa-apa, call terus...''
Belum sempat Helmi menghabiskan ayat, Firdaus pantas mencelah,
"Aku."
Idham sempat menjeling Firdaus, tanda tak puas hati. Patutnya dia yang menunggu dekat luar. Dia yang berkeras taknak masuk awal-awal tadi. Nak buat macam mana, dah Helmi cakap okay. Okay jelah. Terpaksa akur. Nak dibantah, takut mengamuk pula si Helmi. Diana? No komen.
"Hati-hati geng. " pesan Firdaus.
Helmi, Idham dan Diana mula menjejakkan kaki ke dalam bangunan.
***
Idham dan Diana memasang mode flash light pada phone masing-masing.
Helmi menarik selak ke tepi, lalu ditolaknya perlahan pintu grill itu. Benar jangkaan Firdaus tadi. Tak berkunci pun.
Mereka bertiga melepasi pintu grill. Helmi depan sekali, Idham dan Diana mengekorinya dari belakang.
Pada dinding kiri dan kanan, setiap bilik mempunyai nombor dan ada lubang kecil berbentuk segi empat pada bahagian bawah pintu. Kalau dilihat betul-betul, lubang itu adalah lubang untuk memasukkan tray makanan.
Helmit cuba membuka pintu setiap bilik, tapi gagal, seperti dikunci dari dalam.
Mereka bertiga meneruskan langkah.
"Hello...! Hello...! Siapa yang menjerit tadi? Kitaorang ada kat sini! " Helmi berteriak mengejut, sampai bergema suaranya dalam tu.
Ketup.
Bunyi sesuatu terjatuh.
"Hahhhh! " Diana terkejut.
Helmi berpusing ke belakang. Tersuluh wajah Idham dengan tidak sengaja.
"Wei..silau..phone aku jatuhlah..." kata Idham sambil menutup kedua-dua matanya dengan tapak tangan. Phone dia terpelanting. Ini semua salah Helmi. Menjerit tak tentu pasal.
"Sorry. " ujar Helmi sepatah sebelum dia berpusing semula ke depan. Jeritannya tadi langsung tiada sahutan balas.
Diterangi cahaya lampu suluh, kelihatan di penghujung sekali bangunan, macam ada tangga, mungkin satu-satunya alternatif untuk naik ke tingkat atas.
Phone Idham masih lagi bercahaya di atas lantai. Kedudukan phone betul-betul berada di depan pintu bilik bernombor 28. Sedang Idham membongkokkan badan untuk cuba mencapai phone, pergelangan tangan kanannya tiba-tiba dipegang erat oleh satu tangan yang muncul tiba-tiba dari lubang pintu bilik itu.
"Arghhhhhhh!"
Helmi dalam posisi merangkak. Dia membuka penutup lubang pintu bilik 28, lalu menyuluh cahaya ke dalam. Mata dia melilau mencari sesuatu, tapi tak ada apa pun dalam bilik itu. Kosong belaka. Helmi kemudian memasukkan separuh tangan kanannya.
"Ada orang tak dalam? Kalau ada, sentuh tangan saya ni. Kita orang orang ni bukan nak buat jahat, tapi nak selamatkan orang" kata Helmi.
Idham menggigil ketakutan. Tangan siapalah yang menerkamnya tadi.
"Idham, awak betul-betul pasti ke tu tangan? Jangan-jangan tikus yang lalu?" Diana memberi andaian.
"Tikus apa bendanya...Buat apa aku nak menipu?" hujah si Idham.
Diana mengangkat kedua-dua bahu.
Seminit berlalu tanpa apa-apa kejadian, Helmi mengeluarkan semula tangannya dari lubang pintu. Dia bangun berdiri semula.
"Kau nak prank kitaorang ke apa. Nak keluar dari bangunan ni punya pasal?" ejek Helmi dengan pedas.
"Takkanla aku nak main-main. Sumpah!" Idham mempertahankan diri. Dia sendiri nampak bagaimana tangan manusia yang keluar dari lubang pintu bilik itu tadi menggenggam erat pergelangan tangannya.
"Nak keluar sekarang, keluarlah. Aku tak memerlukan orang yang pengecut macam kau" Sindir Helmi mendalam. Dia langsung tak percaya dengan cerita Idham.
"Helmi, apasal kau macam ni sangat?" pertikai Diana. Dia seakan sudah hilang sabar dengan sikap Helmi yang semakin melampau. Dia bersimpati dengan dengan Idham yang dari tadi menjadi mangsa provokasi Helmi.
Kalau dikenang balik, Helmi pernah mengalami trauma. Semasa kecil, Helmi pernah melihat sendiri bagaimana adiknya dirogol oleh bapa kandung mereka sendiri. Begitu juga teman wanitanya, pernah dirogol. Sebab itulah Helmi beria-ia nak menyelamatkan wanita yang menjerit tadi. Dia takkan sanggup membiarkan mana-mana wanita diperlakukan seperti seekor binatang di depan matanya sendiri.
"Bodoh. Kau nak keluar sekali dengan si pengecut ni dipersilakan!"tengking Helmi. Dia dah tak boleh nak kawal emosi dah.
Diana menarik muka. Saat penting begitu, dia perlu matang. Kalau semua nak jadi api, makin maraklah api.
"Tolong!"
Suara wanita misteri menjerit kembali kedengaran.
Kepala Idham dan Diana berpusing-pusing mencari arah suara itu. Lain pula dengan si Helmi, dengar saja jeritan itu, Helmi berlari menuju ke arah tangga yang mereka lihat tadi. Dia yakin wanita misteiri itu berada di tingkat atas.
Idham masih berbelah bagi, nak ikut ke tak.
Diana memimpin tangan Idham.
"Id, lupakan dulu semua ni ok . Helmi tetap kawan kita. " kata Diana. Mereka tak boleh membiarkan Helmi keseorangan.
Idham mendiamkan diri. Sementara itu, Helmi sudah pun menaiki tangga.
"Okay. " jawab Idham.
Demi sebuah persahabatan, mereka berdua berlari mengejar Helmi.
***
Firdaus duduk bersila di luar pintu utama bangunan sambil menghisap rokok. Dengan isyarat phone langsung tak ada, apa yang dia boleh buat untuk menghilangkan rasa bosannya ialah membelek-belek gambar dalam galeri phone.
Ditatapnya satu persatu gambar. Macam-macam gambar. Gambar keluarga, gambar awek.
"Harghhh. " Mulut Firdaus menguap sambil menutup mulut.
"Daus.."
Satu suara halus dari dalam bangunan.
Firdaus tersentak.
"Daus..."
Rokok pada mulut terus dibuang. Suara itu macam dia kenal. Dia menoleh ke belakang dan bangun berdiri. Mode flash light phone terus dipasang.
Cahaya lampu disuluh ke dalam bangunan.
Nampaknya, Diana sedang berdiri tegak di depan pintu grill besi. Dengan bibir pucat, mata lebam dan rambut kusut menampakkan Diana seperti dalam keadaan yang tidak terurus. Mukanya pula seolah-olah dalam kesedihan. Seperti sesuatu yang buruk baru saja berlaku.
"Diana?" bisik Firdaus dalam hati.
"Diana, kau okay tak? Apa yang dah berlaku? Helmi, Id, mana?"
asak Firdaus bertubi-tubi. Dia berasa bingung melihat keadaan Diana.
Diana tak menjawab. Diam sahaja.
Firdaus makin hairan. Tak pernah pula dia tengok Diana berperangai pelik sampai macam itu sekali.
"Haaa, korang nak prank aku eh.." agak Firdaus sambil senyum dengan terpaksa.
Air mata Diana kelihatan mula mengalir. Dia menunjukkan jari telunjuk tangan kiri ke arah dalam bangunan. Entah apalah yang ditunjuknya itu.
"Apa tu...?" tanya Firdaus yang langsung tak mengerti apa yang Diana cuba sampaikan.
Kelakuan Diana itu semakin menggusarkan Firdaus. Firdaus berjalan masuk ke dalam bangunan.
Apabila Firdaus kian menghampiri Diana, Diana berpusing dan berjalan ke dalam.
"Diana, siapa yang buat kau macam ni? Helmi ngan Id okay tak? Kalau ada apa-apa bagitau cepat. Jangan diam macam ni. Aku risau tahu tak" soal Firdaus.
Cahaya lampu fokus pada belakang badan Diana.
Pintu grill besi dilepasi Helmi. Dia melihat begitu banyak pintu bilik tahanan. Sama seperti yang dilakukan Helmi, Firdaus cuba membuka setiap pintu bilik. Tapi, semua pintu berkunci. Dia kembali mengekori Diana.
"Diana! Helmi dengan Id mana?" tanya Firdaus sekali lagi. Dia dah mula berasa tak sedap hati.
Diana masih tidak menjawab. Dia berjalan tanpa menoleh Firdaus pun.
Rasa ingin tahu Firdaus semakin membuak-buak. Dia cuba memintas pergerakan Diana. Belum sempat dia berbuat sedemikian, langkah Diana semakin laju.
"Diana!" panggil Firdaus lagi.
Dia mengejar langkah Diana. Namun, langkah Diana terhenti di depan salah satu pintu bilik. Melihat Diana berhenti di situ, Firdaus pun turut berhenti. Dia memandang pintu bilik bernombor 33. Dalam fikirannya sekarang, mungkin Helmi dan Idham berada dalam bilik itu.
Saat itu, barulah Diana menjeling ke arah Firdaus dengan muka tersenyum. Pintu bilik nombor 33 terus terbuka dengan sendiri.
Nyettt....
Firdaus tergamam. Cahaya lampu cuba disuluh ke dalam bilik.
"Erk...Erk...Erk..."
Kedengaran bunyi suara dari dalam bilik itu. Kalau tadi suara wanita, kali ini suara lelaki.
Cahaya lampu tak jadi dihala ke dalam bilik dan berpatah balik ke arah Diana.
Pelik, kelibat Diana dah tak ada! Hilang! Mana perginya Diana?
Firdaus mula risau. Cahaya lampu disuluh ke sana-sini. Tangan dia terketar-ketar.
"Diana, please... Jangan prank aku macam ni" rayu Firdaus dengan begitu ketakutan.
"Erk...Erk..."
Firdaus memberanikan diri untuk menyuluh semula cahaya lampu ke dalam bilik.
Cahaya lampu menerangi dalam bilik nombor 33. Apa yang Firdaus lihat sekarang, manusia berkepala botak sedang memerhatikan dirinya. Manusia itu bukan macam manusia biasa.
Ia tidak memakai baju, tapi memakai seluar pendek paras paha berwarna putih. Kedua-dua mata putih, tiada anak mata hitam. Hidung kemek, tak ada telinga dan bibirnya nampak seperti dijahit. Kaki kanan manusia itu tak lurus, sebalikmya membengkok ke kanan. Kaki kirinya pula dirantai dengan rantai besi. Manusia hodoh, rasanya itulah ungkapan paling sesuai untuk manusia aneh itu.
Teng...teng...
Manusia itu mula bergerak diiringi dengan bunyi heretan rantai besi pada kakinya. Ia berjalan terhincut-hincut.
Firdaus mengundurkan badan dengan perlahan. Lidah dia terkelu. Manusia makhluk jenis apakah yang berdiri depan dia sekarang.
"Makkkkk!!!!!"
jerit Firdaus dengan sekuat hati dan segera melarikan diri.
Firdaus menoleh belakang beberapa kali. Risau manusia hodoh itu terus mengejar.
Sedang Firdaus berlari, muncul satu tangan dari salah satu lubang pintu bilik lain. Tangan itu pantas mencakar kaki Firdaus. Firdaus jatuh tersungkur secara meniarap. Phone terlepas dari genggaman. Kaca matanya tertanggal.
"Argh...aduh...mak..." Firdaus mengerang kesakitan.
Pandangan Firdaus kabur. Dahlah dalam bangunan itu memang gelap gelita. Terasa kaki kirinya dibasahi darah. Dia cuba bangun, tapi tak boleh. Sakit yang teramat sangat.
"Heh...tolong...!tolong...!Helmi..Id..” rintih Firdaus dengan sengsara.
Tangan dia merayap-rayap mencari phone dan kaca matanya. Dia berpusing ke belakang. Macam ada satu cahaya. Ya, cahaya lampu phone. Dengan badannya yang masih meniarap, Firdaus bergerak ke arah cahaya itu.
Teng...teng...teng...
"Harghh..." Firdaus kembali diselubungi rasa ketakutan. Dia mempercepatkan pergerakannya.
Teng...teng...teng...
Bunyi heretan rantai besi semakin dekat dengan Firdaus.
Firdaus berjaya mencapai phone.
Tapi tangannya seperti dipijak sesuatu, tak lain tak bukan kaki manusia hodoh tadi.
"Arghhhh...! Mak...!" Firdaus meronta-ronta kesakitan seperti dihempap batu besar.
Tangan manusia hodoh itu menutup mulut Firdaus sekejap. Kemudian, mulut Firdaus ditarik ke atas hingga ternganga luas.
Arrrr.... Arrrr....Arrr... Krek...
***
Helmi, Idham dan Diana meneruskan pencarian suara wanita misteri di tingkat atas.
Keadaan tingkat atas bangunan itu sama saja seperti di tingkat bawah. Dipenuhi dengan bilik tahanan.
"Awak! Kita orang ada kat atas ni." jerit Idham. Dia berharap wanita misteri akan menyahut.
Sama saja seperti sebelumnya, langsung senyap. Tiada sebarang sahutan balas.
"Awak, jawablah!" jerit Helmi lagi.
"Sini."
Akhirnya, muncul juga suara wanita misteri.
Helmi menyuluh sana sini tercari-cari suara wanita itu. Begitu juga dengan Idham dan Diana.
"Sini" laung wanita misteri lagi. Arah suaranya kedengaran seperti dari depan mereka.
Helmi melajukan pergerakan. Terang, ada sebuah bilik besar di hujung sekali bangunan. Pintu jenis dua daun. Jauh beza sekali dengan bilik yang lain. Wanita misteri mungkin berada di dalam bilik itu.
Helmi apa lagi, terus memecut lari ke arah bilik besar itu sambil diekori oleh Idham dan Diana.
"Awak! Saya dah sampai ni" kata Helmi sebaik saja dia sampai di depan bilik besar. Pintu bilik terus diketuk berkali-kali.
"Saya ada dalam ni. Cepat. " balas wanita misteri.
Helmi cuba membuka pintu bilik. Nyata, pintu itu tidak berkunci. Tanpa berlengah, Helmi terus masuk ke dalam.
Melihat tingkah laku Helmi, Idham memegang erat pergelangan tangan Diana. Dia berbuat sedemikian untuk menghalang Diana berjalan ke depan.
Diana kehairanan dan memandang wajah Idham. Wajah rakannya itu seperti sedang memikirkan sesuatu.
"Kalau bilik lain berkunci, kenapa bilik sebesar ni langsung tak?" cetus Idham dengan nada halus.
Diana mengerutkan dahi. Apa yang diperkatakan Idham sememangnya agak logik. Hatta, kalau betul ada wanita yang diculik dan dikurung dalam bilik itu sekalipun, kenapa pintunya tidak berkunci?
Benda pertama yang Helmi lihat dalam bilik itu ialah seorang wanita yang berpakaian serba keputihan sedang duduk di atas sebuah kerusi dengan keadaan diikat dengan tali. Mungkin wanita itulah wanita misteri yang menjerit dari tadi. Baju yang dipakainya seperti baju seorang banduan. Rambutnya berwarna hitam pekat serta mencapai ke paras pinggang. Tak dapat dinafikan, muka wanita misteri itu agak cantik.
"Awak selamat dah, jangan risau ye. " kata Helmi sambil mengusap-ngusap rambut wanita misteri itu. Helmi kemudian cuba membuka ikatan tali.
Idham dan Diana menghampiri bilik. Mereka berdua berdiri berdekatan dengan pintu dan segera menyuluh cahaya lampu phone ke dalam.
Menyedari dirinya disuluh, Helmi menoleh ke belakang.
"Korang dua berdiri tercegat kat situ dah kenapa? Tolong aku cepat!" arah Helmi kemarahan.
"Tolong apa?" soal Diana yang semakin berdebar-debar. Benarlah kata Idham tadi. Bilik itu bukan bilik biasa.
"Buta ke apa! Tak nampak ke perempuan ni diikat. Bodoh. " tengking Helmi.
Diana dan Idham berpaling muka antara satu sama lain. Lepas itu, kedua-dua mereka mengundur dengan perlahan.
Gerak geri rakannya itu membuatkan bulu roma Helmi meremang secara mendadak. Dia tiba-tiba berasa ganjil melihat kelakuan Diana dan Idham.
"Kenapa?" tanya Helmi dengan perlahan.
"Helmi, tiada siapa kat kerusi tu. Keluar Helmi..keluar. " jelas Diana.
Muka Helmi terus berubah. Dari muka seorang berani, berubah menjadi muka seorang penakut.
Perlahan-lahan, dia memalingkan semula mukanya ke arah belakang untuk melihat kembali wajah wanita misteri tadi .
Apa yang Helmi lihat, wajah cantik wanita misteri tadi sudah bertukar menjadi wajah yang hodoh. Muka wanita itu sangat cengkung hingga menampakkan segala tulang tengkorak. Dahi dan pipinya berlubang sana sini, menjadi sarang puluhan ekor ulat.
Helmi mula ketakutan, lalu cuba melarikan diri. Namun belum sempat dia keluar, pintu bilik tertutup dengan sendiri.
Melihat keadaan itu, Idham dan Diana panik. Mereka berdua cuba membuka pintu bilik itu semula, tapi gagal.
"Tolong aku wei..tolong..aku nyesal wei..tolong!"
teriak Helmi sambil mengetuk-ngetuk pintu dari dalam.
"Helmi! Wu..wu...wu.." tangisan Diana mula kedengaran. Dia berusaha sedaya upaya yang mungkin untuk membuka pintu bilik.
Idham pula nampak buntu. Dia tak tahu nak buat apa dah. Benarlah segala pesanan Osman, jangan masuk ke dalam bangunan itu walau apapun sekali bunyi.
Kira-kira seminit selepas itu, suara Helmi tidak lagi kedengaran.
"Helmi...!" rintih Diana sekuat hati sambil mengetuk-ngetuk pintu bilik.
"Kalau nak selamat, kita kena keluar cepat! "
kata Idham untuk meyakinkan Diana yang mereka berdua masih sempat keluar dari bangunan itu dengan hidup-hidup.
"Helmi macam mana Id...tolonglah. " rayu Diana. Dia tak boleh tinggalkan Helmi begitu saja.
"Kita keluar dulu, pastu kita call polis okay? " pujuk Idham lagi. Dia lekas menarik tangan Diana.
Diana akur dengan pujukan Helmi.
Mereka berdua berlari menuju ke arah tangga semula.
Tangga yang dicari sudah kelihatan.
Sedang mereka berdua menuruni anak tangga, tiba-tiba tangan Diana terlepas dari genggaman Idham. Nampaknya Diana ditarik oleh seseorang. Dia diheret menuju ke tingkat atas semula.
"Id..! Tolong aku Id..!Id.. " jerit Diana meminta pertolongan.
Orang yang mengheret Diana itu memakai topi dan berpakaian seperti tentera Jepun dahulu kala.
Idham memberanikan diri untuk mengejar Diana. Diana diheret semakin laju.
Tak lama kemudian, tentera Jepun tiba-tiba berhenti mengheret Diana.
Melihat tentera Jepun itu berhenti, Idham pun berhenti sama.
Tentera Jepun melepaskan tangannya dari badan Diana. Dia memijak muka Diana dengan tapak kasut.
Diana meronta kesakitan. Dia menumbuk-numbuk kaki tentera Jepun, namun tumbukannya itu sikit pun tidak mampu mengalihkan kaki tentera Jepun itu.
Muka dan mata tentera Jepun memang persis orang Jepun sebenar.
Tentera Jepun merenung muka Idham. Dia mengukirkan satu senyuman sebelum mengeluarkan pedangnya dari sarung yang diselit pada bahagian pinggang.
Pedang yang dihunus oeleh tentera Jepun bersedia untuk dihayunkan.
Mata Idham terbeliak. Dia boleh mengagak apa yang hendak dilakukan oleh tentera Jepun.
"Tidak!" jerit Idham dan cuba meluru ke arah tentera Jepun.
Belum sempat Idham menghalang, dalam sekelip mata sahaja tentera Jepun menikam tepat jantung Diana dengan pedangnya. Mulut Diana memancutkan darah. Terus lagi tidak bernafas selepas itu.
"Tidak..!" teriak Idham. Dia cuba untuk menerkam tentera Jepun.
Bezupppp...
Phone Idham berterbangan.
Ketuppp...
Jatuh terhempas ke lantai. Cahaya lampu phone menerangi kepala Idham yang telah dipenggal.
***
Jam 7 pagi.
Terk terk terk...
Enjin motorsikal dimatikan dan diletakkan bersebelahan motorsikal milik Idham.
Osman sampai tepat pada masanya. Dia menurunkan tongkat motorsikal dan bergegas menuju ke dalam pondok. Hati Osman tidak tenteram semalaman memikirkan bagaimana nasib Idham yang baru memulakan tugasnya semalam. Dapatkah dia melihat wajah Idham semula pada pagi itu. Kalau anak muda itu mendengar nasihatnya, syukurlah.
Tapi, Osman juga tertanya-tanya kereta milik siapakah yang dilihatnya di luar pagar tadi.
Dia mendapati, kelibat Idham langsung tidak kelihatan dalam pondok. Puas Osman mencari di kawasan sekeliling, namun hampa. Hatinya mula berasa gusar.
Satu lagi saja tempat. Tempat itulah bakal menjadi jawapan kepada segalannya.
Osman menggagahkan dirinya menuju ke pintu utama bangunan.
Dari jauh, Osman dapat melihat tiada lagi rantai besi pada pemegang pintu.
Langkah Osman tiba-tiba menjadi longlai. Dia terus jatuh terduduk secara melutut. Air matanya mula menitis, tidak dapat menahan rasa sebak.
Dia tahu, sesiapapun yang masuk ke dalam bangunan itu pada waktu malam, tidak sesekali akan pernah berjaya keluar.
-Tamat-
Karya: Mat Lester
Suntingan: Nil Kuhaku
Gambar suntingan: Shizu
Follow penulis di: https://www.facebook.com/profile.php?id=100011592818290
Anda ada kisah seram, misteri, thriller ataupun mind-blowing?
Apa kata anda kongsikan kisah anda kepada kami.
Hantar kisah anda ke inbox Arkib Angker Negara atau emelkan ke aanrc2017@gmail.com
Nyatakan sekali nama akaun Facebook, blog atau page anda untuk pengkreditan.
No comments:
Post a Comment