Tuesday, 31 October 2017

KULTUS - Nil Kuhaku


KULTUS
Karya: Nil Kuhaku

=================
Ting!
Bunyi mesej masuk. Wanita itu membelek telefon. Oh, mesej di laman Facebook miliknya. 'Page' Kelab Tingkap Rumah itu sudah mencecah hampir satu juta 'likers'.
Dia mencapai laptop. Mahu membaca mesej yang dihantar. Mungkin admin lain sudah baca 'confession' ini, tetapi ada sesuatu menarik minatnya.
Jam hampir pukul 11 pm.
'Page' dibuka. Lantas, mesej yang dihantar tadi dibaca. Pemilik 'confession' itu berpurdah, kalau dilihat pada gambar 'profile' Facebook beliau.
"Assalamualaikum sis. Minta 'hide' 'profile' saya. Saya buntu sekarang ni."
Wanita itu mengeluh. 'Confession' tipikal. Dia meneruskan bacaan.
"Nama saya Mawaddah... Orang panggil Addah. Saya berumur 21 tahun. Saya baru kematian anak."
Wanita itu menggeleng kepala. Kasihan. Dia meraba perut sendiri, yang mana kandungan keduanya - baru berusia 12 minggu.
"Saya dari kecil belajar di sekolah pondok. Saya tak pernah didedahkan dengan dunia luar. Seumur hidup saya adalah pada rumah dan madrasah sahaja. Rumah saya ada televisyen, tapi jarang kami pasang. Telefon bimbit, komputer, internet semua lagilah kami adik beradik ditegah. Kami tak pernah guna. Tak pernah pakai.
Bila saya habis belajar, abi tunangkan saya dengan seorang lelaki yang saya tidak kenal. Menurut abi, lelaki ini kenalannya. Baik. Beriman. Hormati orang tua. Dia berkerja menjual makanan sunnah di pasar-pasar malam. Saya menurut sahaja. Saya tak kisah walau umurnya 38 tahun, 20 tahun berbeza dengan saya. Asalkan itu yang abi dan umi saya suruh, saya ikut."
Terbuntang mata wanita itu. 20 tahun beza?
"Majlis kahwin kami kecil tapi meriah. Tak ada sanding. Saya menangis kerana terpaksa tinggalkan abi dan umi. Tapi apakan daya bila sudah bergelar isteri. Kemahuan suami saya turutkan. Saya mengikut pindah ke rumah suami yang terletak berhampiran dengan sebuah sekolah. Kata suami rumah itu milik rakan baiknya dan sewa rumah itu murah dari kebanyakan harga rumah sewa di kawasan perumahan di situ.
Suami saya bernama Abdul Muhaimin. Dia memang lelaki yang baik. Awal perkahwinan kami, seperti perempuan lain, saya dambakan anak. Saya memang sukakan budak. Tapi tak ada rezeki. Selepas setahun, saya mulai bosan duduk di rumah.
Saya beranikan diri minta izin dengan suami; saya mahu berkerja. Saya merancang nak buat peniagaan kecil-kecilan saja dari rumah, bisnes online. Namun tak menyangka suami memberi cadangan supaya saya mengajar di tadika Islam berdekatan rumah kami. Dia tahu saya sangat sukakan budak-budak. Kebetulan Mudir, pengetua sekolah/madrasah itu merupakan kenalan rapat suami. Seronok yang amat, selama ini hidup saya dikongkong keluarga, kini suami saya memberi izin untuk saya bergaul dengan orang luar.
Untuk pengetahuan sis, tadika Islam dibuka di dalam sebuah sekolah, sekolah menengah dan rendah mempunyai satu sesi sahaja iaitu sesi pagi. Tadika Islam ini memenuhi sesi petang. Kemasukan pelajar ke sekolah ini sangat ketat, suami saya cerita. Mereka ambil yang benar-benar layak sahaja. Menurut suami, sekolah ini berprestij. Golongan elit dan artis pun ada yang hantar anak-anak mereka ke sekolah itu.
Saya 'nervous' juga mendengar cerita suami; takut budak-budak tak faham saya mengajar nanti. Saya mana ada pengalaman mengajar sebelum ini. Namun saya cekalkan diri, saya pergi juga meminta kerja. Seperti yang dijangka, disebabkan Mudir itu mengenali suami saya, saya diterima masuk.
Pada awalnya sis, semua elok. Semua okay. Saya seronok bergaul dengan ustazah-ustazah lain. Budak-budak pun baik, sangat mendengar kata.
Sampailah saya sertai usrah mereka.
Tiap pagi Jumaat, akan ada usrah. Biasanya saya dan beberapa ustazah yang lain tidak sertai bersama sebab kami terpaksa menjaga budak-budak yang mak ayah hantar awal. Kebetulan rezeki saya sertai usrah mereka buat pertama kali setelah beberapa bulan mengajar di tadika tersebut.
Ini bukan kali pertama sertai usrah, sis. Tapi dalam banyak-banyak usrah yang saya pergi ini usrah yang paling pelik.
Usrah di sini tidak macam usrah-usrah lain. Usrah ini bercampur lelaki dan perempuan duduk sebelah menyebelah dan mereka menceritakan kebesaran Tok Haniff.
Permulaan dia macam ni..
Saya masuk ke sebuah dewan. Dewan itu sama macam dewan-dewan sekolah lain. Kalau sis arif dengan dunia sekolah maahad bukan kerajaan, dewan ini dikira sangat mewah. Kami duduk bercampur lelaki perempuan. Tidak asing seperti yang biasa kita syariatkan.
Majlis dimulakan dengan kami mengaji. Yang menghairankan saya, bacaan basmalah mereka... Lain.
"Bismillah hinnurun haniffurrahim."
Saya tergamam. Maksud basmalah ini adalah; "Dengan nama Allah, cahaya Hanif yang maha penyayang."
Saya terkulat-kulat. Sudahlah kena duduk bercampur bukan mahram. Basmalah mereka pun berlainan.
Selepas membaca al-Mathurat sughra dan surah as-Sajadah, kami didatangi seorang lelaki di atas dewan. Kiraan saya, dia sebaya suami. Badannya tegap dengan rambut memutih, lebat. Sekali pandang, wajahnya bersih. Berserban dan menyarungkan jubah."
==================
Wanita itu berhenti membaca. Dia menelan air liur. Apa ini? Agama sesat?
Skrin laptopnya berkelip-kelip. Dia menarik nafas, menyambung bacaan.
==================
"Sewaktu dia naik ke atas pentas; Mudir, para ustaz dan juga ustazah di atas dewan berebut-rebut mahu bersalaman dengannya. Saya cuma mampu melihat semua itu, tergamam. Situasi sebegini asing bagi saya.
Bila dia mula memberi ceramah, lagilah saya hairan. Isi ceramah adalah mengenai Nur Hanif - kebesaran dirinya - yang mengaku mengatakan yang dia digelar Tuan Hanif, adalah ulama yang dipilih bangsa Jin, dan mereka harus menyiapkan diri untuk kiamat yang bakal menjelang.
Sudah tentu, saya memberontak dengan pernyataan ini. Namun disebabkan saya diajar untuk malu dengan lelaki, apatah lagi di hadapan orang ramai di dewan itu, saya diam.
Sekembalinya petang itu saya pulang ke rumah, saya mengadu pada suami. Alangkah terkejutnya saya, apabila suami pun merupakan pengikut Tuan Hanif.
Disebabkan ini, saya bergaduh dengan suami. Sifat suami saya yang lemah lembut, penyayang itu tiba-tiba hilang. Dia mengugut menceraikan saya sekiranya saya menceritakan hal ini pada sesiapa.
Saya tahu, tatkala saya menghantar mesej ini pada sis, sudah jatuh talak kepada saya. Tak apa. Saya tak kisah."
===================
Wanita itu tergamam. Angin sepoi-sepoi meniup langsir walaupun tingkap tertutup. Wanita itu masih membaca. Tidak perasan.
===================
"Suami membawa saya pergi ke majlis Tuan Hanif. Dia paksa saya menjadi pengikutnya. Sebelum saya layak menjadi 'jemaah', kami disuruh membawa baju serba hitam. Tasbih hitam. Kemenyan, sehelai kain kuning dan seekor ayam. Oleh kerana ayam tiada, suami menangkap seekor kucing.
Saya dipakaikan baju serba hitam oleh jemaah wanita. Didudukkan di hadapan Tuan Hanif. Disuruh berzikir menyebut 'nuurun hanif' berulang kali. Kemenyan di bakar. Tuan Hanif membacakan sesuatu berserta nama saya yang dibintikan kepada nama ibu.
Saya dengar, samar-samar bacaannya;
"Gempa ali gempa gempita
Dang sari gajah berlenggang
Sah aku..."

Ia bercampur-baur dengan bahasa Arab. Waktu itu, angin seakan bertiup kencang, namun kami di tengah-tengah bulatan tenang. Hanya di sekeliling kami sahaja.
Habis sahaja bacaan itu, dunia seakan berpusing. Saya nampak samar-samar kucing itu disembelih, darahnya ditadah. Tuan Hanif mencelup darah kucing tersebut, dan dia menulis sesuatu pada kain kuning itu. Kemudian, bagaikan magis, kain kuning itu lenyap.
Lenyapnya kain itu, saya seakan hanyut. Bagi saya, Tuan Hanif waktu itu bagaikan Tuhan. Saya terus sujud di hadapannya, mencium kaki Tuan Hanif.
Selepas itu, saya dibawa menyaksikan 'keajaiban' Tuan Hanif. Daging lembu yang dihirisnya muncul kalimah Allah di urat-urat daging. Orang lumpuh boleh berjalan kembali. Sekali itu seorang jemaah mengadu ada masalah kewangan, Tuan Hanif membacakan sesuatu dan jemaah itu muntah batu permata.
Ini semua benar. Terjadi di hadapan saya. Saya saksikan dengan mata sendiri. Lama kelamaan, pengikut Tuan Hanif bertambah."
==================
Wanita itu terdiam. Laptop ditutup pantas. Entah kenapa, rasa ngeri menyelubungi dirinya. Terasa menguit-nguit janinnya, bergerak.
Lantas, dia memegang perut. Tak mungkin. Kandungannya baru sahaja 12 minggu. Perlahan dia menggosok perutnya, bimbang. Nyilu terasa.
Dia menyandar. Menarik nafas dalam. Bahagian abdomennya sakit menggila.
Ting!
Bunyi mesej masuk. Mesej ke 'page' nya.
Mawaddah: “Sis, sakitkan?"
Wanita itu tergamam.
Mawaddah:"Sis kena habiskan baca."
Wanita itu menggeleng kepala. Kakinya bagai dipaku ke lantai.
Ting!
Mawaddah: "Habiskan baca."
Wanita itu cuba menjerit memanggil suaminya. Gagal. Mulutnya seakan dijahit. Bibirnya bercantum. Tidak boleh dibuka!
Dengan tangan menggeletar, wanita itu membuka laptop.
"Saya suarakan pada Tuan Hanif mengenai masalah saya dan suami. Saya mahu mengandung. Tetapi gagal.
Tuan Hanif kata, untuk dapatkan zuriat, saya perlu datang berseorangan ke rumahnya.
Sis agaklah, apa yang berlaku selepas itu."
Sakit yang menggila tadi tiba-tiba hilang. Wanita itu, dalam linangan air mata ketakutan, meneruskan bacaan.
"Tapi waktu itu saya tak kisah, sis. Saya beritahu pada suami. Dia berbangga saya digauli Tuan Hanif. Beberapa bulan kemudian, saya disahkan mengandung.
Semuanya berubah apabila umi dan abi saya tiba-tiba datang melawat. Sebelum ini kalau saya menangis-nangis rindukan umi dan abi mahu sangat berjumpa namun kini berubah. Saya maki-hamun umi dan abi. Orang yang bukan 'jemaah' - bukannya keluarga bagi saya."
Suami wanita itu masuk kedalam bilik. Kunci kereta dicapai.
"Sayang, Abang nak keluar jumpa kawan kejap. Ya?“
Bagai dikawal, perempuan itu mengangguk. Badannya tidak menurut arahannya. Bertindak sendiri!
"Nak pesan apa-apa tak?" Suaminya bertanya.
"Tak ada. Abang keluarlah. Jaga diri." Wanita itu mendengar mulutnya berkata sendiri. Bukan itu yang mahu dia cakap!
"Abang, tolong! Tolong sayang!" Getus hatinya.
"Okay. Abang keluar dulu." Suaminya tersenyum. Melangkah keluar dari bilik.
Air matanya berlinangan makin deras waktu dia mendengar bunyi pintu rumahnya dikatup. Bacaan terpaksa disambung.
"Saya halau umi dan abi. Menangis umi. Sayu wajah abi memandang saya. Mereka datang kerana teruja mendengar saya mengandung. Maklumlah, cucu sulung. Tapi sumpah sis, semua kelakuan saya adalah dalam keadaan tidak sedar waktu itu.
Kandungan semakin membesar, tiba masa waktu untuk bersalin. Saya tidak dibawa ke hospital. Menurut Tuan Hanif, hospital itu agenda Zionist. Vaksin, ubat-ubatan hospital itu najis. Saya turutkan semua.
Siksa sakit bersalin saya sangat lama. Terlalu lama. Hampir 15 jam saya menderita di rumah. Mungkin atas sebab naluri seorang ibu, umi dan abi saya datang. Menangis-nangis dia meminta saya dihantar ke hospital. Suami saya turutkan selepas dipujuk abi.
Sampai di hospital, doktor dapati kandungan saya sudah tiada. Bayi lemas dalam kandungan. 
Luruh hati saya apabila melihat jasad anak saya itu cacat! Matanya satu. Kakinya bersambung seperti ikan duyung.

Apabila saya balik ke rumah, Tuan Hanif sangat marah. Katanya apabila saya ke hospital, saya bukan lagi 'jemaah'. Dia menghalau saya dan suami dari rumah kami.
Masalah sekarang, sis, Tuan Hanif sebenarnya bukan hikmat, bukan ulama. Dia adalah pengamal ilmu hitam, sis. Dan korban kepada ilmu itu makin meningkat.
Awalnya sekadar seekor ayam. Bertambah kepada kambing. Lembu.
Kini, khadamnya meminta korban manusia. Spesifiknya, ibu dan anak yang meninggal bersalin.
Saya terlepas. Tuan Hanif mengugut mengapa-apakan umi dan abi saya. Paling membimbangkan, adik saya yang sedang mengandung kini. Saya tak mahu, sis. Saya sayangkan keluarga saya."
Wanita itu menelan air liur.
"Mantera yang dibaca sis tadi adalah mantera persetujuan untuk menjadi korban."
Terbeliak matanya!
“Boleh kan sis. Sis pun selalu kongsikan info-info salah. Saya ada baca 'page' sis sebelum saya hantar mantera ini. Sis bukan kisah pun kesihatan ibu mengandung macam mana. Asal rating sis naik."
Kain langsir berkibaran. Ada bayang-bayang seorang lelaki, berdiri di luar tingkap.
"Terima kasih sis kerana baca kisah saya. Terima kasih sis kerana sudi menjadi korban pengganti."
Laptop berkelip-kelip. Terpadam.
Dari skrin laptop yang legap, terpandang satu susuk lembaga berdiri di belakangnya, menyeringai.
Wanita itu menjerit. Dia berpaling ke belakang.
Tiada sesiapa.
Laptop terbuka kembali, memaparkan mesej yang sudah kosong.
Wanita itu tergamam. Perutnya dipegang dalam esak tangisannya yang menggila.
Ini semua... Satu khayalan, bukan?
-tamat-
Suntingan: #kamenrider
Gambar: Nil Kuhaku

Anda ada kisah seram, komedi-seram, misteri, thriller ataupun mind-blowing? Apa kata anda kongsikan kisah anda kepada kami.
Hantar kisah anda ke inbox Arkib Angker Negara atau emelkan ke aanrc2017@gmail.com
Nyatakan sekali nama akaun Facebook, blog, Instagram, Twitter atau webpage anda untuk pengkreditan.

No comments: