ASRAMA
Oleh Gongpal Topek
Semester dua. Berlainan dengan semester asal, pembahagian asrama dilakukan secara random kepada pelajar baharu. Bagi semester kedua, pelajar dibenarkan untuk memilih rakan secara berpasangan untuk tinggal di asrama. Peruntukan untuk pelajar tinggal di asrama pula terhad hanya kepada dua semester sahaja. Selepas itu, kaedah merit diadakan untuk memberi kelebihan kepada pelajar lama yang aktif dalam ko-kurikulum dan akademik yang baik untuk mendapatkan tempat di asrama.
Aku (Topek) telah berpakat dengan rakan satu batch yang karib denganku, Dat, untuk berada dalam bilik asrama yang sama. Begitu juga Usop dan Afiq, dua lagi rakan karib kami, berbuat demikian. Satu bilik di asrama boleh menempatkan empat pelajar. Kami menambah permintaan untuk diletakkan berempat pada satu bilik yang sama. Syukur, permintaan diterima. Syukur itu hanya sampai di situ sahaja. Kenapa? Kerana itulah permulaan kepada pengalaman gangguan masing-masing. Walaupun ada yang menakutkan, ada yang hanya ‘sapaan’ manja, tetap membuatkan kami berasa kurang senang.
Pada suatu malam, kami berempat mengambil keputusan untuk membeli burger sahaja di sebelah stesen minyak di Simpang Ampat, Melaka. Kedai kegemaran, jika burger yang kami idamkan. Ketika itu dalam pukul 10 malam. Kami memberi tempahan empat burger mengikut selera masing-masing kepada pakcik dan makcik yang menjual di kedai itu. Ramah orangnya.
Sedang duduk dan bersembang sesama kami, datang seorang pemuda, dalam 30an, turun dari motosikalnya, lalu cuba membisik kepada pak cik tersebut. Walaupun berbisik, suaranya agak jelas pada pendengaran kami.
“Pak cik, saya mahu belajar ilmu ni. Pak cik free tak bila-bila?”
“Pak cik dah tak buat dah semua benda tu. Janganlah cari kami kat sini. Dah, dah. Balik. Kalau tak nak burger, pak cik tak ada benda nak diberi kepada kamu.”
Kami semua berpandangan antara satu sama lain. Memang pernah didengari sebelum ini, ura-ura bahawa pak cik dan mak cik itu ada ilmu perubatan membuang makhluk-makhluk halus. Cumanya, khabar angin sahaja. Selepas mendengar permintaan daripada orang itu, semakin yakinlah bahawa ilmu yang dikatakan sebentar tadi, berkenaan ilmu ghostbuster.
Pak cik tersebut melihat kepada kami, usai pemuda tadi berlalu pergi. Tersenyum, tahu akan kegalauan masing-masing.
“Kenapa? Tak percaya, eh?” Kami pun turut sama ketawa, mendengar kata-kata pak cik itu.
“Ilmu apa pak cik? Ilmu ‘itu’ ke?” Tanya aku sambil menunjukkan burger yang sedang dibungkus. Tahu, sekadar berseloroh.
“Haah, ilmu bungkus benda tak nampak. Ada ke depan rezeki minta tapau ‘ilmu’ tu. Gila betul.” Kami tersenyum lagi. Bermulalah perbualan kami, berkenaan makhluk halus dengan pak cik dan mak cik itu.
“Kamu, student ADTEC ke?” Tanya mak cik tersebut. Kami seirama menggeleng.
“Depan ADTEC, mak cik. Itu universiti kami,” balas Usop. Mereka berdua senyum serentak. Bagaikan tahu sesuatu.
“Kamu semua jangan pandai-pandai panjat bukit di universiti kamu tu. Tengah-tengah tu. Situ tempat orang buang. Dah jadi perkampungan, macam istana pun ada situ.” Ya, universiti kami melingkari bukit yang dikatakan. Tiada laluan pun untuk ke atas. Juga ada diceritakan oleh seseorang, walaupun bukit itu nampak curam, ada ruang di dalamnya yang pernah dijejaki oleh pelajar. Kawasan datar, tanah rata. Rumput tersusun rapi, bagai dijaga. Bukit itu paling dekat dengan kawasan asrama lelaki. Paling seronoknya, mengikut lokasi, bilik kami tinggal untuk semester dua ini, adalah bilik paling dekat dengan bukit tersebut. Hanya bertentang dengan tingkap bilik kami.
“Kami pun ada cerita masing-masing, pak cik. Mahu dengar?” Pak cik dan mak cik tersebut menganggukkan kepala, sambil-sambil menyiapkan burger pelanggannya.
********
Kisah Dat (Aku, sebagai Dat)
Kisah aku bukanlah merujuk kepada asrama itu sendiri. Lebih kepada apa yang aku lihat berlaku kepada Topek dalam dua tiga kali kejadian di asrama itu. Aku hanya boleh beri kesimpulan bahawa, mungkin Topek yang bermasalah, atau bilik asrama itu yang memang ada masalahnya. Topek paling banyak diganggu, terutamanya melalui mimpi. Budak ini, dah macam magnet. Cuma yang bagusnya, dia sendiri bukanlah jenis yang lemah semangat. Buat-buat berani, atau memang berani, wallahuaklam.
Semasa semester pertama, aku tinggal satu blok asrama dengan Topek, tetapi berlainan bilik. Dia rapat dengan aku, kerana kami mempunyai minat yang sama. Dota dan bola keranjang. Cerita pertama tidaklah seram pun. Malam, dalam pukul 11. Aku lepak di bilik Topek, sambil bersembang dengan rakan-rakan sebilik dengannya. Dia tidur di katilnya, manakala aku duduk di hujung katil Topek. Salah seorang daripada rakan bilik Topek, Amir, sedang membuat kerja di laptopnya, dan sedang bingung bagaimana untuk membuat suatu format di words.
“Weh, nak setting indent ni aku lupa lah macam mana. Siapa tahu?” Tanya Amir. Aku baru sahaja mahu menjawab, sekali Topek dah bangun dari katil. Berjalan ke arah Amir di mejanya, mengambil alih penggunaan mouse, lalu diselesaikan masalah Amir. Kami berempat di situ tercengang. Habis sahaja selesai, Topek berjalan balik ke katil, sambung tidur. Macam tiada apa-apa yang berlaku. Aku diam, semua diam. Apa dah berlaku? Aku terus minta diri, melihatkan semua terdiam begitu sahaja. Aku sempat tampar kepala Topek, untuk memastikan yang dia tidur mati. Sah, memang tidur. Esoknya, aku bertanyakan kepadanya berkenaan hal itu. Dia tidak tahu menahu apa-apa. Sedap tidur, katanya. Memang sedap. Orang lain yang tidak sedap. Tidak sedap hati.
Kes kedua pula, juga berkenaan Topek. Kali ini melibatkan tidur dan mimpi. Hari itu hujan, jadi kami tidak dapat bermain bola keranjang. Topek mengambil keputusan untuk tidur sahaja. Manakala aku melayari Internet di komputerku. Usop dan Afiq masih belum pulang daripada urusan masing-masing.
Dalam dengkuran Topek di katil berdekatan pintu itu, tiba-tiba dia seperti hilang nafas. Cuba menyebut sesuatu, tetapi tidak keluar. Aku kaget. Dalam bunyi bising hujan itu, bilik agak samar-samar dengan kegelapan. Sengaja langsir ditutup penuh, dan pintu sahaja dibuka sebagai punca cahaya. Aku dapat lihat seperti bayang kabur putih lutsinar di atas Topek. Bukan menindih, tetapi mencekiknya. Aku bagaikan dipaku. Hanya melihat tanpa buat apa-apa. Takut? Sudah pasti.
Topek sedar sendiri. Rupa-rupanya dia cuba menjerit Allahuakbar. Dengar kebar-kebar sahaja. Dia ceritakan kepadaku bahawa dia bermimpi. Lelaki muda 13 orang, termasuk dirinya. Bertarung dengan makhluk berapi yang bengis di tengah-tengah. Bacaannya di dalam mimpi disekat, juga kerana dicekik oleh makhluk di dalam mimpi itu.
Jadi, itulah kesimpulan aku. Topek ni, magnet ‘benda’ tidak nampak. Cerita nampak hujung kain putih terbang masa bawa motosikal di dalam kampus, bau wangi tiba-tiba di perkarangan asrama, mamat ni jerlah conquer semua. Bagusnya dia tidak kena rasuk apa bagai yang sewaktu dengannya. Susah kami bertiga nanti. Dahlah saiz sebesar paus.
********
Kisah Usop (Aku, sebagai Usop)
Keluarga aku memang ada sejarah diganggu buatan orang, tetapi sudah baik semuanya. Cuma, deria aku ada kesannya selepas itu. Mata aku jenis yang tajam juga. Dan kisah aku di asrama ini, biasa-biasa sahaja. Mungkin untuk orang lain, tetapi bagi aku, aku tidak kisah semua itu. Asalkan aku tidak diganggu dengan ‘benda’ itu, aku memang tidak akan ambil kisah.
Kisahnya bermula ketika kami ada event yang perlu dikelola. Keempat-empat kami turut serta dalam Talk with Deputy Minister of Science, Techonology and Innovation (MOSTI). Aku ditugaskan untuk menyediakan peralatan-peralatan untuk digunakan dalam majlis itu. Sekali pandang macam semua sudah selesai. Rupa-rupanya, alas meja makan untuk santapan tengah hari tidak cukup. Aku perlu cepat mendapatkan solusi sebelum sampai tentative makan-makan nanti.
Aku akhirnya mengambil keputusan untuk menggunakan langsir di asrama sebagai ganti kepada alas meja. Dengan menaiki kereta, aku bergerak ke asrama. Parkir di ruang parker antara blok bangunan asrama dan bukit. Perasaan sudah lain. Ramai yang tiada di asrama kerana waktu kelas. Aku tidak mengendahkan perasaan itu.
Aku mencari bilik yang tidak berkunci, atau kosong untuk ‘meminjam’ langsir-langsir maroon yang ada. Rupanya, lebih mudah untuk mengambil langsir dari luar tingkap yang terbuka. Aku mula melaksanakan tugas aku. Bilik yang diambil langsir itu, tingkapnya menghadap ke tingkap bilik di blok hadapannya. Aku mencapai cangkuk-cangkuk untuk dileraikan, tanpa melihat. Kepala menghadap ke arah bangunan luar. Ketika itulah mata aku tertancap pada kelibat sesuatu. Makhluk berbungkus putih itu, sedang berdiri di dalam salah sebuah bilik di blok hadapan. Melihat ke luar tingkap, ke arah aku.
Aku kaget. Aku cuba turun dari tingkap, dan melepaskan pegangan pada langsir. Lalu, aku pandang semula ke tingkap adanya makhluk tersebut. Hilang. Memandangkan benda itu sudah hilang, aku pun menyambung tugasan semula. Memanjat, dan meleraikan cakuk langsir. Tiba-tiba, makhluk itu muncul lagi di tingkap yang sama, melihat aku. Aku mula tidak sedap hati. Aku bereksperimen, dilepaskan langsir itu, hilang lagi. Dipegang semula, ada kembali. Ah, sudah. Kacau plan.
Setelah berfikir panjang, aku mengambil keputusan untuk tetap menggunakan langsir tersebut. Aku ambil, tanpa melihat lagi ke arah tingkap itu. Lantaklah apa yang berlaku. Yang penting, kerja aku selesai. Lagipun, benda itu tetap di situ, tidak mengganggu. Hanya ‘bergurau’ senda dengan aku. Selesai projek, aku terus ke kereta dan meninggalkan tempat perkarangan asrama itu. Majlis berjalan dengan lancar. Tiada apa lagi gangguan berlaku. Ketika memulangkan langsir tersebut, tiada juga gangguan berlaku terhadap aku. Syukur.
********
Kisah Afiq (Aku, sebagai Afiq)
Petang Rabu, adalah petang yang dikosongkan khas untuk pelajar menyiapkan tesis (pelajar tahun akhir), atau pelajar-pelajar baru menyertai aktiviti-aktiviti badan beruniform untuk melengkapkan jam kredit tahun pertama. Inisiatif daripada dekan kami yang baru.
Aku mengambil keputusan untuk menyambung bacaan subjek Biologi aku di bilik sahaja. Perpustakaan sudah tentu penuh pada waktu ini. Tiada sesiapa di bilik, usai aku membuka pintu. Tenang sahaja petang itu. Angin sepoi-sepoi bahasa. Aku biarkan tingkap dibuka. Membiarkan angin masuk sebagai pengudaraan tambahan.
Bilik kami berempat berada di kedudukan paling hujung, dan di luar bangunan asrama ada sebuah pokok tinggi. Dahannya ada yang hampir menjangkau tingkap bilik kami, di tingkat tiga ini. Kami berempat pernah berbual tentang pokok ini. Pagi dan petang, pokok ini kelihatan jarang-jarang daunnya. Keadaan itu berubah apabila malam menjelma. Dari jauh, akan kelihatan pokok ini sangat lebat, dan keseraman dapat dirasa. Tambah pula berdekatan dengan bukit yang diperkatakan sebelum ini.
Aku membuka bungkusan plastic roti bun 6 ruas yang dibeli sebentar tadi. Niat untuk menelaah sambil makan. Aku mulakan bacaan, lalu mencapai ruas roti yang pertama. Tanpa melihat kepada roti itu. Habis sahaja yang pertama, aku mencapai ruas kedua, bahagian tepi yang telah aku makan. Digagau-gagau tanpa melihat. Aneh, sudah tiada. Aku yakin, aku baru makan sekali sahaja. Aku pandang ke roti itu. Memang sudah tiada.
Aku tidak mengendahkan perkara itu. Lalu, aku ambillah makan roti yang seterusnya, barisan kedua. Enak sekali. Sambil membaca lagi, aku cuba mencapai yang seterusnya. Sekali lagi, hilang! Sudah meremang bulu roma aku. Apa pula bahana yang ada di sini. Petang-petang pun jadi.
“Sesiapa saja tu, aku nak cakap. Jangan kacau aku. Kau nak makan, ha makanlah baki yang ada,” kataku sambil menolak roti ke hujung meja. Aku pun sudah hilang selera. Aku cuba untuk menyambung semula bacaan, tetapi sudah tidak fokus. Aku pandang semula ke hujung meja. Ya, baki roti sudah hilang. Tidak syak lagi, ‘sesuatu’ itu adalah pencopet makanan yang hebat. Aku tutup laptop, terus bergerak mengambil barang mandian. Memberi ruang kepada diri sendiri, agar tiada apa-apa berlaku lagi. ‘Benda’ itu menurut kata, hanya makan. Tidak diganggu lagi aku petang itu.
********
Kisah Aku (Topek)
Kawan-kawan aku semuanya diganggu di waktu petang. Aku pula berbeza. Waktu malamlah yang menjadi masalah bagi aku. Masalah gangguan yang selalu aku hadapi adalah dengan cara yang sama. Sama ada mimpi, atau pintu. Cuma, gangguan yang satu ini sahaja benar-benar mencabar keberanian aku untuk tidak tidur malam di bilik itu.
Aku tidur dalam pukul 11 malam, lebih awal daripada rakan-rakan yang lain. Mungkin kepenatan bermain bola keranjang, tambahan pula aku tiada tugasan atau ulangkaji yang perlu dibuat. Dalam tidur, aku bermimpi. Aku dikejar sesuatu, berupa rakan yang lain. Mulanya aku berada di hadapan pintu bilik kami. Manakala, ‘sesuatu’ yang menyerupai rakan aku itu berada di hujung bertentangan blok asrama yang sama. Terdapat dalam 4 bilik jaraknya daripada aku dengan dia. Setiap kali aku mengelip mata, ‘rakan’ aku itu mendekati aku. Dari satu pintu bilik ke satu pintu bilik, mendekati. Bagai sekelip mata pantasnya. Selepas dua kali aku mengelip mata, kelibatnya semakin dekat.
Aku mengambil keputusan untuk membuka pintu, dan lari masuk ke dalam. Aku menghumbankan badan ke atas katil, dan menutup mukaku dengan bantal, terlentang. Aku seolah-olah menjangkakan bahawa entiti itu akan turut masuk, mengikut aku. Kedengaran tiga ketukan perlahan di pintu, seolah-olah mempermainkan aku.
Tok…Tok…Tok
Aku dapat rasakan sesuatu sedang menaiki katil aku. Aku pasrah? Sudah tentu tidak. Bukan begitu caranya yang selalu aku lakukan apabila berhadapan dengan situasi itu. Daripada aku berasa terkejut akan sergahannya nanti, biar aku yang takutkan benda itu.
Yahhhh!
Aku bingkas bangunkan atas badan aku, sambil mengalihkan bantal, dengan niat untuk menyergah entity itu. Kosong. Tiada apa-apa. Aku sudah bangun dari tidur. Jam menunjukkan pukul 3 setengah pagi. Angin bertiup kuat di luar. Tingkap tidak ditutup, menampakkan dahan pokok di luar yang berjuntaian.
Aku mengambil keputusan untuk tutup tingkap itu. Dari luar, kedengar bunyi sesuatu sedang ketawa, geli hati. Meremang bulu roma aku. Aku tidak mengendahkannya, hanya menutup tingkap. Kemudian terus baring di katil. Tidak dapat tidur semula.
********
“Macam itulah sedikit sebanyak gangguan yang kami hadapi pak cik, mak cik,” ujarku seraya mengakhiri penceritaan kami. Mereka berdua menganggukkan kepala.
“Nah, burger kamu semua. Nak bayar asing-asing ke, sekali?” Tanya pak cik itu.
“Asing-asing, pak cik. Nah duitnya, terima kasih,” ujar Usop. Kami juga turut sama bayar, satu persatu. Kemudian, kami pun beransur pergi. Kisah yang dilalui tidaklah seseram mana, jadi kami bersetuju untuk teruskan sahaja menetap di situ untuk satu semester. Bagi aku, mana-mana bilik pun, aku tetap akan bermimpi pelik-pelik. Jadinya, biarkan sahaja tinggal di situ.
*********
“Mah. Nah, simpan elok-elok. Jangan buka pula. Dah elok abang ‘bungkuskan’.” Pak cik menyerahkan bungkusan membalut burger, sedikit kecil daripada saiz burger biasa.
“Ni nak buang kat mana ni, bang?”
“Mana lagi. Atas bukit itulah.”
Ha, kan dah cakap. Tempat buangan kan situ?
=================================================
Karya: Gongpal Topek
Anda ada kisah seram, misteri, thriller ataupun mind-blowing?
Apa kata anda kongsikan kisah anda kepada kami.
Hantar kisah anda ke inbox Arkib Angker Negara atau emelkan ke aanrc2017@gmail.com
Nyatakan sekali nama akaun Facebook, blog atau page anda untuk pengkreditan.
No comments:
Post a Comment