Sunday, 24 December 2017

LACI - Nil Kuhaku


LACI

KARYA: NIL KUHAKU

===========================
Hai, nama aku Roha.
Aku seorang introvert. Faham-faham sahajalah, bila aku kata introvert, aku kurang suka keluar bergaul. Jalan-jalan ke. Lepak dengan kawan-kawan. Bukan aku tak suka dia orang, tapi aku ada had aku. Lama-lama sangat, aku jadi penat. Mengantuk.
Jadi, dari kecil, aku banyak habiskan masa di bilik.
Ayah dan ibu aku, mereka berdua adalah peminat barang antik, terutamanya barang-barang dengan rona ‘English countryside.’ Yalah dua-dua interior designer. Jadi rumah kami, mereka hias dengan gaya ala-ala Inggeris. Kau bayang sahaja; cat putih, ros merah, ros merah jambu, perabot kayu, warna putih, kelabu dan coklat kayu menghiasi rumah kami.
Aku anak bongsu dari tiga adik beradik, juga satu-satunya anak tunggal perempuan. Mungkin teruja dengan gender aku, bilik aku sangat feminin. Warna merah jambu pucat dan putih menghiasi seluruh bilik aku. Aku tak kisah sangat, asal aku selesa, cukup. Ada katil, ada laptop, ada Wifi, dah. Aku dah boleh hidup. Anak millennial lah, katakan.
Tapi ada satu aku kurang berkenan.
Rak di sisi katil aku. Hmm.
Okay, rak ini biasa-biasa. Rak laci kayu, tiga aras, warna coklat. Aku tak tahu bila ibu aku beli ni. Atau ayah. Mana-mana satulah. Sebagai anak interior designer, engkau kena terima hakikat, balik sekolah je, kau nampak bilik kau dah berubah ‘design’. Redha je lah. Rasanya, dari aku mula-mula celik mata, rak ini dah wujud.

Rak laci kecil ini, warna coklat, dengan pemegangnya bercat emas. Cantik, kan. Tapi belakangnya, ada kesan-kesan terbakar. Malah ada sedikit kayu di belakangnya itu sudah kehitaman, sudah bertukar menjadi arang. Aku tak kisah sangat, aku agak ibu atau ayah beli di mana-mana ‘car boot sale’ dengan harga murah. Nampak sangat barang ‘second hand’.

Tapi rak ini, ada banyak kisahnya dengan aku.
Aku pernah simpan anak patung dalam rak ini waktu aku berumur enam tahun. Bila aku ambil balik, anak patung Barbie aku tu dah bercerai-berai. Macam mana tu?
Ada sekali tu, aku tersilap letak buku sekolah aku dalam laci tu. Bila aku buka, hilang! Dah hilang! Teruk aku kena marah dengan cikgu. Buku latihan kot!
Aku tuduh abang aku, Rahim. Yang nombor dua ni memang nakal, suka mengusik. Maklumlah ‘second child syndrome.’
“Abang Im ambil buku sekolah Roha ke?” Bentak aku pagi-pagi. Abang Im terpinga-pinga. Eleh! Buat-buat tak tahu!
“Mana ada. Dia salah letak, tuduh orang!” Jawab Abang Im. Aku mengerutkan muka.
“Tipu. Semalam kan, abang Im masuk bilik Roha.” Aku balas dengan muka cemberut.
“Abang Im masuk sebab Roha ambil earphone abang Im, lepas tu lupa nak pulang! Sumpah abang Im tak ambil pun. Rupa buku Roha pun abang Im tak tahu.” tegas abang Im.
“Apa bising-bising pagi-pagi ni, Roha? Im?” Ayah mengomel. Aku menggeleng kepala kepada ayah dengan muka berkerut. Abang Im mengangkat bahu.
“Entah Roha ni, tuduh Im ambil buku dia.”
“Betul ke kau ambil?”
“Tak. Rupa buku pun Im tak tahu.”
“Cari betul-betul, adik. Agaknya adik tersilap letak.” Ujar ayah acuh tak acuh sambil membelek surat khabar. Aku mengangguk, mengeluh kasar.
Seperti yang aku agak, aku dimarahi cikgu. Aku pulang dengan hati yang resah, Cikgu Zanariah tetap mahukan buku latih tubi Matematik tersebut esok. Mana aku nak cari? Mana aku nak cekau?
Aku ceritakan kepada ibu waktu dia mengambil aku pulang dari sekolah.
“Careless! Memang patut cikgu adik marah. Dalam bilik pun boleh hilang?” Bebel ibu. Mujurlah dia bersetuju membeli buku latihan baru. Terpaksalah. Dah la sudah pertengahan tahun, orang lain dah habis hampir separuh buku. Aku kena ulang dari awal!
Sekembalinya aku dari sekolah, aku membuat rutin harian seperti biasa. Aku suka menulis atas katil. Bukan tak ada meja, tapi entah. Aku suka meniarap. 

Lebih kurang selepas Asar, aku mula menyiapkan kerja-kerja rumah.

Klekuk!
Aku terperanjat. Aku menoleh kepada rak coklat tersebut, tiba-tiba sahaja ia berbunyi seperti diketuk. Aku duduk di atas katil, memerhati rak tersebut dengan wajah berkerut.
Aku hulurkan tangan. Laci atasnya ku buka. Aku menjerit kecil.
Buku latihan aku yang hilang! Tak cukup dengan itu, buku ini sedang terbakar!
Aku capai botol airku. Segera, aku jirus. Api tersebut berbunyi lirih sebelum padam. Asap berkepul-kepul memenuhi ruang bilik aku. Terbatuk-batuk, aku membuka tingkap bilik seluas mungkin.
“Roha bakar apa ni?” Tiba-tiba wajah abang sulungku, Rahman terjengul dari bilik. Dia mengibas-ngibas asap dengan muka berkerut.
“Bukan Roha buat. Tak tahu, tiba-tiba buku Roha terbakar.” Ujarku serba salah. Abang Man garu kepala.
“Jangan main api adik. Bahaya.” Gumamnya sebelum keluar dari bilikku.
Aku merenung buku latihan yang hangus. Sudah peroi dek mamahan api. Yang tinggal hanya abu.
Takkanlah masa awal-awal terbakar aku tak perasan? Bila aku buka laci baru asap berkepul-kepul keluar. Buku latihan ini bukan nipis. 500 muka surat!
Aku termenung hairan. Aku tak buka cerita pada ayah dan ibu. Nanti aku pula dituduh bermain api. Sudahnya, aku terpaksa mencuci rak dengan abu basah tersebut. 

Aku nekad, aku mahu alihkan rak ini ke tempat lain. Bukan di tepi kepala katilku lagi.

Kalian bayangkan macam ini sahaja, katil aku bujang. Di sisi katil aku, rak itu. Di sebelah rak, adalah meja belajar aku yang menghadap tingkap. Jadi selepas aku mengelap, membuang abu buku, aku mula mengangkat rak tersebut. Aku mahu alih ke sebelah pintu bilik air.
Berat!
Aku termengah-mengah. Sekuat mana aku tolak, aku angkat, aku tarik – rak kecil separas pinggang orang dewasa itu langsung tak bergerak! Tak logik. Rak ini rak kayu nipis. Bukan rak besi.
Aku mengalah akhirnya.
Malam itu, kucing aku, Mona Lisa –si diva berbulu hitam bertompok putih tidur di kakiku. Aku sedang berbaring dengan kaki berlunjur ke arah rak puaka tersebut. Aku sedang menonton video-video di Youtube, sebelum aku terperasan sesuatu.
Rak itu terbuka perlahan. Terbuka sendiri.
Aku ternganga. Aku tanggalkan ‘earphone’ milikku. Merenung lama. Perlahan, ada tangan menghulur keluar.

Aku terpempan. Tangan itu, hitam, hangus, bagai dimamah api. Bau daging masak semerbak memenuhi bilik. Aku masih mencari logik. Tak mungkin, rak laci itu kecil sahaja! Bagaimana seorang manusia boleh muat?

“Abang Im, jangan usikla!” Aku berkata dalam gementar.
Tangan itu menggapai birai katil. Si diva berkaki empat masih nyenyak tidur. Perlahan, aku seperti menyaksikan Doraemon keluar dari laci si Nobita, tetapi yang keluar ini bukan robot kucing ajaib – sebaliknya, jembalang yang muncul entah dari tingkat neraka ke berapa. tangan hitam hangus itu mengenggam birai katil, menariknya kuat, dan aku lihat bahu masak memerah. Perlahan, dari bahu, aku dengar suara mengerang kasar, dan bau hangit daging menyelubungi bilik.
Terpacul wajah – yang tiada bibir, tiada kelopak mata. Hangus. Hangit. Makhluk itu membuka mulut, mahu mengatakan sesuatu, tetapi yang keluar hanya asap. Aku umpama dipaku di katil. Tak mampu bergerak.
Si Mona Lisa akhirnya terbangun, mendesis garang. Puaka itu mencapai kaki si Mona Lisa, dan sentuhannya membakar! Aku dengar kucing kesayanganku mengiau kasar, sakit – sebelum kucing hitam putih itu melompat ke atas riba aku, dan aku bagai ditiup kekuatan. Aku rangkul si diva kecil, lantas bangun, mahu melarikan diri.
Pintu terkunci!
“Ibu! Ayah!” Aku melaung ketakutan. Pintu aku goncang menggila.
Puaka itu merangkak. Berbunyi jelik. Kini dadanya yang terjenguk keluar.
“Abang Man! Abang Im! Tolong adik!” Aku menjerit ketakutan. Asap menyelubungi bilik. Aku tendang-tendang pintu. Waktu itu, api muncul tiba-tiba, membakar katilku. Almari bajuku.
Jembalang itu meloloskan dirinya, merangkak, mengheret dirinya yang hangus. Isi-isi dagingnya terjatuh, terseret di lantai. Ia mencapai kakiku, menariknya dengan tangannya yang berlengas, berair dengan air isinya sendiri.
Aku terjelepuk jatuh dalam gementar. Wajahnya kian mendekat, dan dunia gelap.
Aku terjaga. Tercungap-cungap di atas katil. Aku memandang kiri dan kanan. Bilik aku masih utuh. Tiada kesan terbakar.
Mimpi?
Bukan. Ada bau asap! Aku meluru keluar dari bilik. Allah, dapurku terbakar!

“Ayah!!!” Aku menjerit. “Ayah! Dapur terbakar!” Aku memukul-mukul pintu bilik ibu dan ayah. Jeritanku mengejutkan Abang Im dan Abang Man, yang turut berlari keluar. Ayah mencapai alat pemadam api yang memang ayah beli dan sediakan di rumah, dan api itu terpadam.

“Allah, kasihan si Mona. Lihat ayahnya, kaki Mona terbakar.” Kata ibu, yang mendukung Mona. Kucing itu berlingkar dalam dakapan ibu, dengan kakinya – jelas kesan terbakar. Dia mengiau lirih.

Berbekas kesan tapak tangan, dengan lima jari seakan mencengkam. Aku menelan air liur.

“Tak apalah. Esok kita bawa Mona ke klinik.” Ujar ayah.
Malam itu aku tidur dengan ibu.
Esoknya, aku ke sekolah seperti biasa. Sekembalinya dari sekolah, aku lihat – rak itu telah tiada.
Aku tak bertanya ibu. Malahan, aku lega. Sangat lega. Hidup aku diteruskan seperti biasa selepas itu.
Hinggalah kini.

Aku sedang menyambung pelajaran di sebuah universiti tempatan. Kami diberi projek untuk menulis peristiwa yang pernah berlaku di kampung halaman kami.

Kampung aku bukan menarik sangat. Sewaktu aku sibuk membelek simpanan surat khabar lama di perpustakaan awam – ada yang lebih 30 tahun lamanya, ditemani ibu aku, satu peristiwa menarik perhatian aku.
‘RUMAH TERBAKAR – SEORANG WARGA TUA TERKORBAN.’
Aku terpegun. Ini adalah tapak lama rumah aku! Aku teruskan membaca surat khabar tersebut. Gambar-gambar kebakaran disertakan. Menurutnya, kebakaran itu –puncanya dari mangsa. Makna kata, diri mangsa yang terbakar dahulu.

Aku baca lagi, dan teka, apa gambar yang ada.

Gambar rak puaka tersebut. Walau gambar hitam putih, aku tak salah! Ini rak tersebut. Dengan mayat yang rentung terbakar,sedang memaut belakang rak. Hampir sahaja aku menjerit.
“Ibu, ibu tengok ni! Sama macam rak kat bilik adik dahulu kan?” Aku berkata.
Ibu aku menjenguk, dan mengerutkan muka.
“Mana ada dik. Ibu dan ayah tak pernah beli rak macam ni. Ini bukan gaya ibu atau ayah.” Ujarnya bersahaja.

Aku menelan air liur. Habis tu, rak yang berbelas tahun duduk di tepi katilku itu – apa?

-TAMAT-
===========================

Suntingan dan Gambar: Nil Kuhaku

Anda ada kisah seram, komedi-seram, misteri, thriller ataupun mind-blowing? Apa kata anda kongsikan kisah anda kepada kami.

Hantar kisah anda ke inbox Arkib Angker Negara atau emelkan ke aanrc2017@gmail.com
Nyatakan sekali nama akaun Facebook, blog, Instagram, Twitter atau webpage anda untuk pengkreditan.

1 comment:

Anonymous said...



best tapi kurang feel seram