Thursday, 7 December 2017

JAMBATAN - Leena Oh Leena


JAMBATAN
Leena Oh Leena

=============================
Peristiwa ini berlaku semasa aku masih kecil lagi. Ketika itu, Atuk masih punya daya untuk berkerja. Emak dan ayah aku kerap pulang ke kampung untuk menziarahi Atuk.
Aku ambil kesempatan ini sebaik mungkin. Aku punya satu perangai, iaitu suka mendengar kisah-kisah orang lama. Lebih- lebih lagi, mendengar kisah dari Atuk aku sendiri.
Umurku, 12 tahun.
Banyak kisah yang Atuk perihalkan pada aku. Namun, ada satu kisah yang paling menarik minat aku. Kisah apa? Ya, jambatan.
Menurut Atuk, ada sebuah jambatan baru yang hendak dibina di hujung kampung. Ketika itu, Atuk berkerja di sebuah kilang papan. Untuk ke tempat kerjanya, Atuk perlu melalui kawasan tapak jambatan yang ketika itu masih baru dipacak tiang sahaja.
Pada suatu hari,
Atuk keluar rumah seperti biasa. Seawal subuh pagi,Atuk mengayuh basikal tuanya. Di pertengahan jalan, entah kenapa apa, Atuk merasa sakit di pangkal betis. Sakitnya hingga Atuk tidak mampu meneruskan kayuhannya.
Jadi, Atuk turun dari basikal. Dia nekad untuk menolak sahaja basikalnya sambil berjalan perlahan-lahan. Dia agak pelik dan memikirkan punca sakit di betisnya. Hendak kata kerana mengayuh, mustahil. Itu sudah menjadi rutinnya bertahun-tahun.
Ketika dia melalui hadapan tapak jambatan, tiba-tiba.....
"Uwekkk...uwekk...."
Atuk terpempan. Dalam hati berkata-kata.
"Ehh. Bunyi macam suara bayi. Anak siapa pula yang menangis dekat tapak jambatan ni? Nak kata rumah orang, memang tiada di kawasan ini. Jarak paling dekat pun 3 batu."
"Uwekkk....uwekkkk...uwekkk.."
Suara bayi masih lantang kedengaran. Jiwa Atuk tidak keruan. Dia perlu cari tahu. Takut-takut kalau ada yang tidak berhati perut membuat angkara. Berbekalkan lampu suluh yang terikat di pinggang, Atuk menyuluh kawasan keliling.
Suluhan dibawa ke semak samun, tanah belukar hinggalah ke tanah merah yang menjadi laluan jalannya. Hampa.Tiada susuk bayi yang ditemukan. Hingga terdetik dihatinya, mungkin dia salah dengar barangkali. Dan....
"Uwekkkk...Uwekkkk..."
Nyaring tangisan bayi mematahkan prasangka Atuk tadinya. Dia memasang telinga. Bunyi itu jelas datangnya dari tapak binaan jambatan. Pantas Atuk mendekati kawasan itu.
Dia limpahkan cahaya dari lampu suluh ke serata kawasan binaan. Namun kelibat bayi tidak juga ditemukan. Cuma suara tangisannya sahaja tidak henti-henti.
Melintasi satu tiang, suara tangisan bayi semakin kuat dan jelas. Seolah-olah tembus tiada tapisan ke cupingnya. Atuk memicingkan matanya pada tiang tersebut. Lalu, mendekatkan telinganya di permukaan tiang batu itu.
"Uwekkkkk....uwekkkk."
Hah? Tak mungkin bayi itu berada di dalam tiang. Atuk mengetuk-ngetuk permukaan tiang. Bunyi yang terzahir menandakan tiang itu kosong, belum dituang simen. Eh. Boleh jadi juga bayinya dalam ni. Ujar Atuk dalam hati.
Atuk terpandang sebuah tangga kayu yang bersandar disisi tiang. Tanpa lengah, Atuk ambil tangga tersebut lalu memanjatnya. Namun, tiang itu terlalu tinggi. Atuk tidak mampu untuk menyuluh ruang di dalamnya. Buntu.
Suara bayi masih kedengaran. Akhirnya Atuk tekad untuk menunggu sahaja di situ sehingga pekerja-pekerja tapak binaan datang.
8.30 pagi.
Atuk yang menanti kedatangan mereka, tidak sedar entah bila dia terlelap. Namun, dia tersedar apabila terasa bahunya ditepuk. Pantas, dia membuka mata.
"Pakcik, buat apa di sini?" Tegur seorang pemuda berkulit hitam manis.
"Pakcik tunggu kamu semua datang. Ni ha, dalam tiang ini ada bayi!"
"Bayi? Ermm, Pakcik. Saya rasa Pakcik tersilap barangkali. Ini kawasan larangan. Kami nak mulakan kerja. Harap Pakcik boleh beredar.".

Atuk tetap berkeras, menerangkan perihal yang sama berulang kali. Namun, lelaki itu tetap menidakkan. Malah, datang pula beberapa orang pekerja lain. Mereka juga seperti lelaki berkulit hitam manis itu. Tidak mempercayai kata-kata Atuk.

Akhirnya, Atuk pulang ke rumah dengan perasaan sebal. Namun, bagaikan terngiang-ngiang suara tangisan bayi itu. Atuk nekad. Maka, tengahari berikutnya Atuk kembali ke tapak binaan.
Dari jauh, Atuk sudah nampak kelibat lelaki tadi. Pantas atuk mendekat lantas lengan lelaki itu ditarik kasar.
"Hei, dengar sini. Aku belum pekak lagi! Dalam tiang tu ada bayi. Aku yakin, ada bayi!"
"Pakcik!! Jangan buat kacau dekat sini. Saya sudah cakap baik-baik, tapu Pakcik berkasar dengan saya."
"Aku nak kau tengok dalam tiang tu. Kalau kau tak nak, bagi aku yang tengok sendiri."
"Kalau ada pun, biar saja. Pakcik jangan ganggu kerja orang. Nanti Pakcik sendiri dapat susah."
"Maksud kau apa?"
"Pakcik, saya ni kerja makan gaji. Ada perkara yang saya tak perlu ambil tahu dan campur tangan. Saya tak mahu dipecat! Tolong pergi dari sini!"
"Uwekkk...uwekkk...."
Suara tangisan bayi menangkap cuping telinga Atuk. Atuk berkeras hendak menyelamatkan bayi itu. Belum sempat Atuk melangkah, tubuhnya terlebih dahulu dihalang. Atuk dihalau. Tubuhnya diheret secara paksa.
Dari kejauhan, Atuk dapat melihat sesuatu yang tidak disangka-sangka berlaku. Dia melihat, pekerja-pekerja binaan mengisi simen ke dalam tiang itu. Ya, tiang di mana suara bayi itu kedengaran.
"Allahu. Celaka kau orang! Celaka!!"
Atuk terduduk. Terasa dirinya tiada daya. Rasa bersalah menggunung di relung hati. Dia gagal menyelamatkan bayi itu.
"Woii!! Aku tak akan diam. Aku akan report polis. Aku akan jaja pada orang kampung. Biar kau orang semua ditangkap!" Atuk menjerit.
"Haha..Report lah orang tua. Kau ingat kami takut. Kau belum kenal siapa bos aku. Dia orang berpengaruh. Kau ingat polis dan orang lain nak percayakan kau. Silap-silap, kau yang ke dalam. Lebih baik kau tutup mulut. Kalau tidak, aku tak jamin nasib kau."
"Ingat orang tua. Jangan kau yang berkubur dalam tiang tu pula!"
Atuk terdiam. Dia merenung lelaki hitam manis itu dan beberapa orang lelaki bertopi putih dan berkemeja disisinya. Berdekah-dekah mereka mentertawakan Atuk.
Hari itu...
Atuk pulang bersama kekecewaan. Tanpa sedar, Atuk menangis.
**************************************
Hari berlalu. Hendak atau tidak, Atuk perlu melalui jalan yang sama untuk ke kilang. Dan setiap kali Atuk melalui tapak binaan jambatan, pasti Atuk akan terkenangkan perihal itu. Suara tangisan itu. Anak siapa? Apa jantinanya? Bagaimana orang tuan bayi itu? Arghh, pelbagai perkara yang terlintas di minda.
5.00 pagi
Hari ini, Atuk perlu berada di kilang lebih awal. Orang besar kilang mahu turun. Jadi, Atuk yang tinggal jauh terpaksa keluar sebelum subuh. Solatnya di kilang sahaja nanti.
Atuk mengayuh basikal seperti biasa. Usai tiba di hadapan tapak binaan, tiba-tiba Atuk ditegur.
"Awal Atuk hari ini?"
Kayuhan Atuk terhenti. Dia menoleh ke kiri dan kanan. Tiada. Maka, Atuk menoleh pula ke belakang.
"Anak ini siapa? Buat apa gelap-gelap begini?"
Gadi berbaju kurung kapas itu tersenyum.
"Atuk tak takut lalu sini seorang diri?"
"Atuk rasa, soalan itu lebih baik Atuk tujukan pada kamu. Kamu anak gadis. Berpagi hari disini. Gelap. Bahaya. Baliklah."
"Atuk, saya nak balik. Saya rindukan ibu dan ayah saya."

"Kenapa tak pulang ke rumah saja? Anak ini sesatkah?"

"Tak mengapalah Atuk. Nanti kita jumpa lagi. Banyak yang mahu saya bualkan dengan Atuk. Pergilah, nanti Atuk lewat."
"Baiklah. Kamu pulang ya. Jangan risaukan hati orang tuamu. Atuk jalan dulu."
Atuk berpergian meninggalkan gadis itu. Walaupun Atuk risau, tetapi dia harus ke kilang dengan segera. Periuk nasinya harus dijaga.
===================================
9.00 malam.
Beberapa hari berlalu. Kelibat gadis itu tidak kelihatan. Atuk jadi bimbang.Hari ini hari akhir berkerja.Esok cuti. Usai solat isyak, Atuk tergerak hati untuk melalui jalannya ke tempat kerja.
Dengan niat, untuk mencari kalau-kalau ada gadis itu. Atuk yakin, ada sesuatu yang gadis itu sembunyikan dari pengetahuannya. Mungkin malam ini gadis itu ada. Kata hatinya kuat mengiyakan.
Tiba di kawasan tapak binaan.
Dengan bantuan lampu suluh, mata Atuk melilau mencari kelibat gadis itu. Hampa. Beberapa ketika berlalu.
"Cing..cing..cing..."
Kedengaran gemerincing halus bunyi loceng. Atuk memerhati sekeliling. Nah, Atuk melihat gadis itu berdiri tidak jauh darinya. Bunyi loceng itu datangnya dari gelang kaki yang dipakainya barangkali.
Gadis itu menghampiri Atuk.
"Atuk cari Siti?"
"Ohh. Nama kamu Siti. Ya, Atuk datang cari kamu nak. Lama Atuk tak nampak kamu sejak dari hari itu."
"Saya tidak kemana-mana Atuk. Saya memang ada sahaja disini. Sampai bila-bila akan tetap disini. Setiap hari saya melihat Atuk mengayuh basikal."
"Apa maksud kamu nak? Kamu tinggal disini? Kamu anak siapa? Atuk kenal ke dengan orang tuamu?"
"Tidak Atuk. Saya bukan orang kampung ini. Saya orang luar. "
"Jadi, kenapa Siti ada disini. Tengah malam begini. Tak elok untuk anak gadis Siti."
Siti terdiam kemudian menunduk. Ada esak tangis kedengaran.
"Nak, kenapa menangis? Kamu ada masalah? Beritahu Atuk."
"Baiklah Atuk. Siti akan ceritakan pada Atuk apa yang terjadi."
KISAH AKU : SITI
2 bulan yang lalu.
Aku datang ke kampung ini untuk bertemu dengan seseorang. Namanya Zul. Aku hadir ke sini kerana diminta olehnya. Kata Zul, dia agak sibuk di tapak binaan hingga tiada masa bertemuku. Oh ya, Zul adalah buah hatiku. Dia merupakan penyelia projek.
Hubungan kami masih baru sahaja bertunas. Kami masih dalam sesi suai kenal hati budi. Tapi, bagi aku Zul seorang lelaki yang baik.Dia sangat menghormatiku dan tidak pernah mengambil kesempatan.
Aku tiba di tapak binaan pada petang hari. Ketika itu, terlihat pekerja-pekerja masih giat melakukan kerja masing-masing. Zul menyambutku. Malah dia menempatkan aku di dalam pejabat sementaranya. Dia minta aku menunggunya di situ.
Selepas beberapa jam menanti, aku rasa tidak betah. Zul langsung tidak datang menemuiku. Akhirnya, aku keluar dari situ. Ingin mencari Zul. Namun aku terperanjat.
Di luar, ada lebih kurang 10 orang pekerja binaan berkumpul. Termasuk Zul. Mereka semua memandangku tajam.
"Hai Siti. Lama tunggu Zul?"
"Ermmm...Zul. Hantar Siti balik. Dah lewat ni."
"Kenapa nak balik awal sayang. Malam masih muda. Heheheh."
"Zul. Hantar Siti balik. Kalau tidak, biar Siti balik sendiri."
"Dah terlambat Siti!"
"Apa maksud awak Zul?!"
"Kau, kau. Tangkap dia. Ikat dia kat dalam. Lepas aku, baru korang! Hahah!"
Pantas mereka yang diberi arahan menerpaku. Aku diheret masuk ke dalam. Mulutku disumbat kain. Kaki dan tanganku diikat. Dan, aku diperkosa oleh Zul. Sesudah dia, pekerja-pekerja mengambil giliran kecuali seorang pekerja Indonesia.
Dia mengambil giliran terakhir. Tetapi bukan dengan niat memperkosa aku. Dia mahu menyelamatkan aku. Dia membuka ikatan kaki dan tangan. Kain yang merenyuk mulutku, di keluarkan. Aku menangis teresak-esak.
"Bang!!!"
Pintu ditolak keras.
"Kau buat apa ni Parjo? Ohhh nak jadi hero ya?"Jerkah Zul.
Tanpa berlengah, tubuh Parjo ditendang sekuat hati. Terperosok dia disudut meja. Malah Parjo diarah untuk dipukul oleh 9 orang lagi pekerja oleh Zul. Mereka menurut. Ada yang menggunakan batang besi. Penukul juga diguna pakai. Kejam.
Lunyai. Muka Parjo bengkang bengkil, darahnya menyembur laju. Akhirnya, tubuh Parjo tidak lagi bergerak. Dia mati dihadapanku.
"Kau, kerat tubuh Parjo. Masuk ke dalam tiang kosong. Timbus dengan simen sebelum balik."
"Perempuan ni bos?"
"Buat yang sama!"
"Tapi, dia belum mati."
"Itu, biar aku yang uruskan."
Bersama senyuman yang tersungging di bibir, Zul mendekati aku. Perutku dirodok dengan pisau belati. Berkali-kali. Hingga tubuhku longlai menyembah bumi. Nyawaku berakhir di situ.
===================================
"Allahhu. Jadi anak ni bukan manusia? Siti dah mati. Kamu gentayangan nak."
"Ya Atuk. Bukan Siti sahaja. Mereka juga sama."
Atuk memandang ke arah yang yang ditunjukkan Siti. Tekejut Atuk. Ada beberapa orang lagi yang sedang berdiri tidak jauh darinya. Mereka semua memandang Atuk. Kaku.
"Mereka juga seperti Siti. Dibunuh dengan kejam dan tertanam di tiang jambatan. Kami dijadikan tumbal Atuk. Untuk mengukuhkan jambatan, ia perlukan korban. Dan korbannya, adalah kami!"
"Ada diantara mereka yang ditipu. Dijanjikan kerja dengan bayaran yang tinggi. Rupanya, mereka dijadikan mangsa jambatan."
"Walaupun, ada pekerja yang tahu dan tidak bersetuju. Mereka tidak mampu berbuat apa. Jalan akhir, antara tidak ambil tahu atau bersekongkol. Ada juga yang lari dari bekerja disini. Tetapi mereka tetap tidak membuka mulut membela kami. Kami bagaikan tidak ada nilai di mata mereka. Mereka kejam Tuk."
"Allahuakbar. Jadi telahan Atuk tentang bayi itu benar. Maafkan Atuk kerana tidak dapat menolong Siti dan yang lain."
"Atuk, bantu kami Tuk. Bantu kami."
"Atuk...Atukk.. "
"Siti. Atuk tahu kamu semua terseksa, tetapi apa daya Atuk nak. Siapa yang mahu mendengar si tua ini. Atuk pernah diugut Siti. Maafkan Atuk nak.."
"Aku bersumpah! Selama mana wujudnya jambatan ini, aku akan menuntut bela! Seluruh keturunan mereka tidak akan aman! Hahahhahaha!!!!"
Lantas, ulah Siti bertukar.
Dari wajah yang sempurna menjadi buruk. Dedaging wajahnya mulai luruh. Ulat berkutik-kutik di setiap rongga. Busuk! Baunya menusuk. loya.
Dan, Siti serta mereka hilang begitu sahaja. Atuk terpempan. Kelu lidahnya.
===================================
1bulan berlalu.
Atuk tidak lagi terserempak dengan Siti. Walaupun Atuk seakan-akan merasai akan kehadiran gadis itu saat melalui jalan ke kilang. Bunyi loceng dan bau busuk sering sahaja menyapa Atuk. Tetapi, Atuk tidak pernah diapa-apakan.
Malam Jumaat.
Usai solat isyak, Atuk mengadakan tahlil khas buat mereka, tumbal jambatan. Sejak pertemuannya dengan Siti, Atuk tidak pernah lupa untuk menghadiahkan Al-Fatihah dan bacaan Al-quran buat mereka. Hanya itu sahaja yang mampu Atuk lakukan.
********
8 bulan berlalu,
Jambatan siap sepenuhnya.Terngiang-ngiang dicupingnya akan sumpahan Siti. Adakah, Siti akan melunaskan dendamnya?
Pesan Atuk pada aku,
"Biar hidup miskin hina sekalipun, cari segalanya dari sumber yang halal. Jangan hidup kaya tetapi dari hasil yang keji sehingga sanggup meratah nyawa dan berpaksikan iblis."
"Jadilah hamba Allah yang baik. Jangan bernafsukan wang dan melakukan perbuatan terkutuk hanya kerana inginkan kesenangan. Carilah rezeki yang berkah, tidak kufur nikmat Allah. Jangan sesekali menyekutukan Allah swt. Ingat, azab api neraka itu sangat pedih. Setiap perbuatan pasti ada balasannya kelak."
-Tamat-
Guys, soalnya jambatan tu kat mana?
Jaga-jaga, jangan terserempak dengan siti!

=====================================
Suntingan Karya : TheFlash 555 + Dee Edot
Gambar: Azman Zainordin

Anda ada kisah seram, misteri, thriller ataupun mind-blowing?
Ayuh kongsikan kisah anda kepada kami. Hantar kisah anda ke e-mel aanrc2017@gmail.com
Nyatakan sekali nama akaun Facebook, Instagram, Twitter, blog atau webpage anda untuk tujuan pengkreditan.

No comments: