Wednesday, 13 December 2017

BERAKHIRNYA SEBUAH KEHIDUPAN (Episod 3) - Ariff Budiman


BERAKHIRNYA SEBUAH KEHIDUPAN (Episod 3)
Karya: Ariff Budiman
Suntingan Karya & Gambar: DeeFen DF

Keesokkan harinya, isteriku merasakan kakinya amat lenguh. Firasat aku mengatakan bahawa makhluk itu telah masuk kembali ke dalam badan isteriku. Menurut kata ustaz, lubang di dalam badannya sudah terbuka luas.
Aku dan isteri hanya mampu membaca al mathurat. Alhamdulillah tiada petanda yang isteriku mengantuk atau kepalanya terhoyong-hayang tatkala membaca al quran. Selalunya baru baca suku saja, dia dah jatuh ke lantai. Kali ini alhamdulillah al mathurat dapat dihabiskan. Cuma masalah batuk masih lagi menguasai isteriku.
Telefon berdering. Anak saudara kepada isteriku meminta izin kepada untuk membawa ustaznya melihat samada masih ada lagi atau tidak makhluk itu di dalam isteriku. Aku mengizinkan asalkan tidak bertentangan dengan syariat.
Gurunya merupakan seorang tarekat Shazaliah kalau tidak silap aku. Selepas asar mereka sampai. Aku melihat perubahan pada muka isteriku. Dadanya berombak kencang sehinggakan anak gadisku berkata, "Ayah, awat jantung mak bergerak laju?" Aku menjawab itu petanda makhluk itu ada lagi dalam badan mak.
Uztaz itu memulakan membaca ayat quran. Mukanya hanya tersenyum saja sambil memandang isteriku. Tiba-tiba isteriku jatuh pengsan. Sah memang betul tekaanku.
Kata ustaz, biarkan dia tidur sambil terus membaca sesuatu lalu menunjukkan tangannya ke arah isteriku. Tiba-tiba isteriku bangun kembali dan terbatuk dengan teruk sekali. Akhirnya terkeluar muntah yang selama ini membelenggu isteriku. Banyak sungguh. Ia seakan ketul-ketul daging yang hancur.
Ustaz berkata. "Tudia dahsyat sungguh. Depa hantar yang kuat.” Sambil membaca sesuatu, dia berkata, tak apa kita hantar balik kepada tuannya.
Kata anak saudara isteri, bagaimana kalau ianya di hantar balik. Kata ustaz, yang ni kita kena bagi buah keras. Setelah membuat air penawar, isteriku terus diberi minum airnya. Nampak alhamdulillah sebab muntah telah dikeluarkan.
Ustaz bertanya aku, jawatan apa yang kami pegang. Aku jawab yang aku adalah setiausaha surau manakala isteriku hanya ajk surau. Sambil menggelengkan kepalanya, ustaz berkata insyaallah dia akan buat air penawar untuk dibuat mandian.
Malam itu kami dapat mendengar benda berjalan di atas bumbung sambil kedengaran anjing menyalak mendayu-dayu di depan rumah. Aku tidak henti-henti memainkan cd bacaan ayat-ayat suci al quran. Suatu perkara yang aku amat bersyukur kepada Allah ialah tatkala isteriku ditimpa musibah, Allah pula menganugerahkan kepadaku kesihatan yang baik.
Kalau sebelum ini, selalunya akulah yang kerap sakit kaki dan isteriku akan memasak air panas untuk aku rendamkan kakiku ke dalamnya. Itulah rutinnya.
Aku pasti semua yang berlaku keatas kami bukan sia-sia. Sebenarnya setiap apa yang Allah bagi, akan ada kebaikannya kelak. Kebaikan yang aku dapati ialah ukhwah persahabatan dalam jemaah amat kuat. Ramai yang datang untuk membantu kami.
Sebenarnya inilah yang menguatkan semangat kami. Yang tak dapat datang akan menelefon memberi nasihat dan kata-kata semangat. Syukur kepada Allah. Pengajaran yang aku dapat ketika bersama dengan masyarakat ialah, jaga lidah, jaga perbuatan dan hormatilah mereka walaupun mereka tidak sama kefahaman seperti kita.
Ada yang berkata kepadaku. "Budiman, hangpa dapat apa bila pegang jawatan di surau? Hang tengok sendiri apa yang jadi dekat isteri hang.”
Aku berkata. "Sebenarnya kami pegang jawatan ini sebab itu adalah amanah dari Allah dan sekurang-kurang bila berada di depan Allah nanti, kami boleh menjawab.” Dalam hati aku berdoa kepada Allah dan aku amat yakin bahawa Allah tidak sesekali akan membiarkan orang yang membesarkan agamanya dianiayai. Apa yang Allah berikan ini akan ada penawarnya kelak, insya-Allah.
Sudah beberapa hari kami tinggal di rumah ibu bapa isteriku. Akhirnya atas permintaan isteriku, dia mengajak aku pulang ke rumah kami walaupun dia masih belum sihat sepenuhnya. Batuknya tidak 100% hilang.
Aku bertanya tok bomoh, kenapa ada yang mengatakan apa yang isteriku alami bukan santau sebab di kukunya tidak nampak warna biru. Kata tok bomoh, tahap itu dah merbahaya. Kini walaupun ia belum pulih sepenuhnya aku bersyukur isteriku tidak lagi meratap sakit dada.
Setelah 2 minggu kami pulang ke rumah, isteriku bersuara. "Bang… boleh bawa Siti ke tepi pantai?"
Sakit akibat santau amat menyeksanya. Darah sering keluar. Puas aku membawanya berubat di hospital dan perubatan islamik namun sakitnya masih tidak berkurangan. Ketika berada di pantai, aku melihat isteriku begitu tenang. Sesekali dia menggengam erat tanganku
"Bang..." Suaranya tersekat. Terus aku bertanya kenapa. Namun dia diam. Air matanya sudah membasahi pipi.
"Kalau Siti tak ada, abang kawinlah lain. Siti tak nak abang sunyi." Aku diam sebab sudah beberapa kali dia meluahkan ayat ini.
"Takpa la Siti. Yang penting kita berubat dulu. Abang hanya nak Siti di sisi abang saja. Abang tak nak berpisah dengan Siti." Aku juga sudah mula sebak.
Aku dapat merasai saat-saat aku akan kehilangan isteriku buat selama-lamanya. Aku sentiasa berdoa kepada Allah moga diberi kesempatan yang lebih lama untuk kami bersama.
"Abang janji bang... Siti cinta abang. Siti tak nak abang sunyi. Abang terlalu baik." Isteriku sudah mula menangis. Aku memeluknya dan kami menangis sepuasnya di pantai.
"Baiklah, abang janji apa yang Siti minta." Tersenyum isteriku sambil mengucap terima kasih. Aku mengajak isteriku pulang bila terdengar azan asar.
"Bang nanti boleh tak abang buatkan Siti nasi goreng kicap?" Pinta isteriku.
"Abang goreng bukannya sedap sangat. Siti goreng lagi sedap." Aku bergurau.
"Siti nak rasa buat kali yang terakhir air tangan abang." Tergamam aku mendengar. Apa lagi air mata aku terus jatuh tanpa dipaksa.
"Siti jangan sebut macam tu. Kita berikhtiar ye. Abang akan buat apa saja untuk Siti. Janji Siti jangan tinggalkan abang. Abang tak dapat hidup tanpa Siti." Tenang isteriku mendengar kata-kataku.
Bila sampai rumah, aku bantu isteriku mengambil wuduk dan duduk di sebelahnya sehingga selesai dia solat. Aku baringkannya di katil dan aku pula solat. Selepas solat terus aku ke dapur untuk membuat nasi goreng kicap.
Aku tahu dia memang suka kalau aku buat nasi goreng kicap. Katanya aku pandai masak. Itulah hikmahnya kalau kita rajin ke dapur. Bila siap terus aku bangunkan isteriku. Aku suap isteriku.
" Sedapnya bang nasi goreng ni. Mungkin ini yang terakhir Siti makan air tangan abang."
Ya Allah kau jangan pisahkan kami. Aku terlalu takut menghadapi saat itu. Di ambilnya camca lalu menyedok nasi dan disuapnya ke mulutku. Air mataku dah mula keguguran.
"Bang… Siti ucapkan terima kasih sebab abang terlalu banyak tolong Siti."
Diciumnya tanganku. Aku membalas ciumannya.
"Abang ingin meminta maaf pada Siti andaikata ada kesalahan yang buat Siti jauh hati. Minta maaf nasi goreng abang tak sedap," kataku. Isteriku terus menangis.
"Nasi goreng abang sedap sangat. Terima kasih abang." Aku terus menyapu darah yang keluar daripada mulutnya. Dia kelihatan penat.
“Insyaallah Siti, kita akan ke Kelantan untuk berubat. Abang akan buat apa saja untuk Siti.“
Tersenyum isteriku. Senyuman itu sangat manis walaupun dia sedang menanggung kesakitan.
-Bersambung jam 9.30pm-
Suntingan Karya & Gambar: DeeFen DF

Karya hakcipta penulis dan Arkib Angker Negara.
Anda ada kisah seram, misteri, thriller ataupun mind-blowing?
Ayuh kongsikan kisah anda kepada kami. Hantar kisah anda ke e-mel aanrc2017@gmail.com
Nyatakan sekali nama akaun Facebook, Instagram, Twitter, blog atau webpage anda untuk tujuan pengkreditan.

No comments: