Showing posts with label BERAKHIRNYA SEBUAH KEHIDUPAN. Show all posts
Showing posts with label BERAKHIRNYA SEBUAH KEHIDUPAN. Show all posts

Wednesday, 13 December 2017

BERAKHIRNYA SEBUAH KEHIDUPAN (Episod 4 - Finale) - Ariff Budiman


BERAKHIRNYA SEBUAH KEHIDUPAN (Episod 4 - Finale)
Karya: Ariff Budiman
Suntingan Karya & Gambar: DeeFen DF

Masanya telah tiba untuk kami terbang ke Kelantan. Sepanjang berada di dalam kapal terbang, isteriku kelihatan gembira melihat pandangan di luar. Di genggamnya tangan aku.
“Bang...Siti gembira sangat. Terima kasih abang sanggup jaga Siti,“ ujar isteriku.
“Itu dah jadi tanggungjawab abang. Abang tak sanggup tengok Siti sakit. Biar abang yang sakit asalkan jangan Siti yang sakit.“ Diam sahaja isteriku.
Akhirnya penerbangan Firefly mendarat di Kota Bharu. Adikku sudah berada di sana untuk menjemput kami. Selepas solat maghrib kami berbual di luar rumah. Tiba-tiba isteriku menangis.
“Pasai apa Siti menangis? Siti tak suka dok sini ka?“ Aku bertanya. Terdiam isteriku.
“Bang...Siti rindu anak kita Siti Zinnirah. Siti tak nak ganggu dia yang sedang ambil periksa,“ kata isteriku. Akhirnya aku menelefon anakku lalu membiarkan mereka berbual melepaskan rindu.
Sepanjang berada di Kelantan, isteriku hanya terperap di dalam bilik kerana badan begitu letih akibat kehilangan berat badan yang mendadak. Di Kelantan memang ramai bomoh, hanya rezeki kita yang akan dapat yang betul-betul berkesan.
Aku membawa isteriku bertemu dengan seorang bomoh. Aku tak berapa berkenan sebab tok bomoh tu bermulut celupar sedikit walaupun agak ramai yang datang untuk berubat.
Ketika berubat, tiba-tiba saja dia menarik tudung isteriku. Betapa malunya isteriku sambil menutup cebisan rambut yang terkeluar dari anak tudung.
Akhirnya aku batalkan sesi rawatan sebab tidak bersetuju dengan kaedah rawatannya. Aku di perkenalkan pula dengan seorang tua. Cara dia berubat agak sama dengan tok bomoh sebelum ini yang mengatakan bahawa isteriku telah disantau baru setakat dada. Beliau terus memberi minum air jampi. Katanya ini hanya keracunan makanan.
Malamnya apabila masuk saja waktu Maghrib, isteriku mulalah mengalami sakit dada, perut dan kepala. Semalaman kami tidak tidur. Aku menyuruh anak lelakiku yang turut serta buat solat hajat untuk ibunya. Itulah saja senjata orang mukmin iaitu doa.
Aku mengambil kesempatan pada waktu yang hening memohon doa kepada Allah agar diringankan sedikit bebanan dugaan terhadap isteriku. Alhamdulillah selesai saja memberi salam isteriku telah nyenyak tidur.
Keesokkan harinya aku membawa isteriku berubat. Kata tok bomoh, isteri disantau dari kaedah Siam. Beliau terus menjampi agar benda itu pulang kembali ke tempat asalnya. Setelah kami sampai di rumah isteriku hanya diam tidak bersuara. Hanya matanya liar memerhatikan sekeliling.
Aku dapat merasai bahawa ia sedang bertembung dengan benda yang berada di dalam badan. Kata-kata tok bomoh, orang yang melakukan kerja ini nak supaya isteriku hilang akal. Patutlah kadang-kadang dia bertanya kami berada di mana. Aku terus berdoa moga Allah lindungilah kami dari gangguan iblis dan syaitan serta hasad dengki manusia.
Tiba-tiba isteriku mula meracau dan mengadu sakit dada. Darah banyak keluar dari mulutnya.
“Abang… Siti sakit dada,“ katanya sambil terbatuk-batuk. Serta merta gugur air mataku. Aku tidak sanggup melihat dia menderita sakit. Terus aku menelefon ustaz yang mengubat santau.
Kata ustaz, kejap lagi dia akan menelefon kembali. Beberapa minit kemudian aku menerima panggilan dari ustaz.
“Ya Allah Budiman. Depa kuatkan lagi serangan. Depa guna kaedah patung yang dicucuk jarum. Saya dah hancurkan patung tu,“ kata ustaz. Aku melihat isteriku sudah tidak mengadu sakit dada tapi dia amat keletihan.
“Siti... Esok kita akan pulang ke Penang. Abang nak bawa Siti berjumpa ustaz,” kataku kepada isteriku setelah 3 hari berada di bumi Kelantan. Semalaman aku tidak tidur sebab asyik mengurut badan isteriku yang kesakitan. Itulah saja ubat untuk membuat isteriku lelap.
Syukur dia tidak mengadu sakit malam itu. Biar aku tidak tidur asalkan aku dapat menjaga isteriku.
Aku bangun agak awal untuk bersiap pulang ke Penang. Aku melihat isteriku masih terkial-kial tak tahu apa yang patut dia lakukan. Aku memapahnya ke bilik air dan membiarkannya di dalam. Tak lama kemudian aku mendengar isteriku memanggilku.
“Abang... Siti tak boleh bangun. Siti tak larat bang.”
Aku meluru ke bilik air tapi ianya terkunci dari dalam. Nasib baik adik iparku ada kunci pendua yang boleh dibuka dari luar. Bila aku masuk aku lihat isteriku hanya sekadar terduduk. Aku menangis lalu memeluknya. Sedih aku melihat orang yang terlalu banyak menolong aku dalam berkeadaan sedemikian.
Aku memapah isteriku masuk ke dalam bilik. Aku kemas kesemua bajunya dan segera memasukkan ke dalam beg. Selalunya dialah yang kemaskan segalanya untuk aku kalau pergi ke mana-mana. Yang menyedihkan aku ialah bila melihat dia tidak tahu bagaimana hendak memakai tudung. Aku menolong isteriku memakaikan tudung dan kami keluar menuju ke lapangan terbang Kota Bharu.
Firefly meluncur laju meninggalkan bumi Kelantan. Isteriku hanya diam sambil meletakkan kepalanya di bahuku. Aku menatap wajahnya. Inilah orang yang banyak membantu aku ketika aku sakit. Kini dia pula di uji. Aku terlalu rindukan senyumannya.
Tidak putus-putus aku berdoa agar kami dapat terus bersama. Akhirnya pesawat Firefly mendarat bumi Pulau Pinang. Setelah semua penumpang lain turun, baru isteriku diizinkan menuruni anak tangga. Terketar-ketar kakinya melangkah anak tangga.
Akhirnya pekerja Firefly meminta izin aku untuk mendukung isteriku. Aku izinkan lalu dia diletakkan di atas kereta tolak. Bila tiba di rumah, ibunya menangis melihat keadaan anaknya yang seolah-olah tidak mengenali sesiapa lagi.
“Ya Allah! Aishah... Awat jadi lagu ni?” Tanya ibunya. Sudah kering air mataku. Aku terus membawa isteriku berjumpa ustaz.
“Budiman... Apa yang Allah kurniakan kelebihan kepada saya, saya telah saya gunakan segalanya untuk isteri Budiman. Mungkin ini adalah kesan dari serangan. Budiman bawalah ke hospital.“
Aku mendengar nasihat ustaz lalu membawa isteriku ke hospital.
Aku bergegas membawa isteriku ke hospital Pantai Mutiara. Kedengaran azan Maghrib berkumandang. Selesai aku mengerjakan solat maghrib, jururawat telah menolak isteriku masuk kedalam ICU.
Setelah segala kelengkapan dipasang, aku dibenarkan masuk. Aku menangis teresak-esak melihatnya. Badan dipenuhi dengan wayar. Dia nampak penat. Sempat juga dia mencium tanganku sambil menunjuk isyarat agar aku berdoa. Aku hanya mampu mengangguk dan aku terus memeluknya sambil menangis. Aku amat merinduinya.
"Kenapa orang sanggup buat begini kepada kita Siti?" Sambil memeluknya aku menangis. Namun isteriku tetap mengusap kepalaku tandanya suruh bersabar di atas ketentuan Allah. Aku melihat air mata mengalir dipipinya.
Aku menyuruh anak lelakiku masuk. Sebentar kemudian dia keluar sambil menangis. Katanya emak suruh berdoa. Bagaimana aku harus memberitahu anak gadisku yang sedang mengambil peperiksaan semesternya. Aku bingung memikirkannya.
Berita isteriku sakit telah tersebar luas. Kelihatan ramai orang datang untuk menziarahinya. Doktor memarahi jururawat dan mengarahkan agar tidak membenarkan sesiapa melawat. Takut jangkitan kuman kata doktor. Tiba-tiba aku di sapa oleh seorang rakan.
“Budiman... Hang mau tak aku bawa jumpa guru tahfiz? Dia pandai pindah penyakit dari badan pesakit dan buang. Aku dah cuba dekat isteri dan alhamdulillah berjaya.”
Aku setuju. Malam itu, aku, anak lelakiku dan rakanku bertolak ke pusat pengajian tahfiz. Setelah lama menanti akhirnya aku di panggil.
“Abang, betul ka abang nak berubat untuk isteri abang?“
Aku mengiyakan pertanyaan guru tahfiz itu.
“Macam ni bang. Kaedah ni amat bahaya. Saya akan tarik segala penyakit yang ada dalam badan kakak dan pindah ke badan abang. Dari badan abang saya akan buang tapi tak semuanya dapat keluar. Itu kita akan buat kemudian,“ kata guru tahfiz dan aku setuju. Aku berjumpa anakku. Sebak aku berbicara ketika itu
“Hermawan... Kalau ayah ditakdirkan meninggal, Hermawan jagalah emak. Jangan buat emak menangis. Ini saja cara ayah nak tolong emak.“ Akhirnya kami berpelukan. Aku terus berjumpa guru tahfiz dan telah bersedia.
“Ok bang. Tolong bagi nama isteri abang dan emaknya.“ Aku beri dan melihat guru tahfiz menggelengkan kepalanya.

“Jahatnya depa bang. Lani doktor dok kelam kabut bang. Isteri abang kena serangan jantung. Ada dua makhluk di sebelah kiri dan kanan. Saya dah hancurkan.“
Dalam hati aku berdoa. “Ya Allah engkau berikanlah kesempatan untuk aku membantunya buat kali yang terakhir.“
“Ok abang kalau dah ready. Abang bayangkan muka isteri abang dan baca Al Fatihah. Ketika itulah saya akan menarik penyakitnya ke badan abang. Akhirnya aku dapat merasai kesakitan di badanku dan bila ianya ditarik keluar melalui hujung ibu jari kakiku, aku berasa begitu sakit sekali.
Selesai guru tahfiz menarik keluar penyakit, dia pun berkata. “Bang... Balik la. Isteri abang dah nazak sekarang. Ini saja yang mampu kita ikhtiarkan,“ kata guru tahfiz.
Aku menangis di dalam kereta. Kemudian aku mendapat panggilan telefon dari pihak hospital mengatakan isteriku dalam kritikal sekarang ini.
Bila aku tiba di hospital, terus aku berjumpa doktor. Doktor mengatakan bahawa buah pinggang isteriku rosak. Hati rosak. Limpa rosak. Sebelah paru-paru tidak berfungsi. Ya Allah, mengapa manusia sanggup melakukan perbuatan yang terkutuk ini?
Doktor mengatakan bahawa peluang untuk hidup amat tipis sekali. Isteriku tidak lagi sedarkan diri. Dia berada dalam keadaan koma. Mendengar perkataan doktor membuatkan aku hampir terjatuh sebab aku tahu bahawa bila-bila masa saja isteriku akan meninggalkan aku buat selama-lamanya. Aku takut menghadapi saat itu.
Ya Allah. Ya Rahman. Ya Rahim. Kau berikanlah ruang sedikit masa lagi untuk aku bersama isteri tercinta. Aku begitu merinduinya. Sudah lama aku tidak melihat akan senyuman isteriku.
Anak gadisku sampai setelah selesai peperiksaan. Menangis ia sebab terlalu sayangkan ibunya. Namun ibunya sudah tidak mampu lagi bersuara atau membuka mata. Dirangkul ibunya.
"Emak, kakak minta maaf dekat mak. Kakak lewat sampai. Ayah...siapa yang buat emak sampai macam ni? Mak tak pernah bergaduh pun." Aku hanya mampu menangis ketika itu.

"Sudahlah kakak. Inilah masanya kita sedekahkan ayat suci al-quran pada emak. Ini yang emak perlukan dari kita." Aku menenangkan anak gadisku padahal aku amat terseksa sekali ketika itu.
6.00 petang - Kami dibenarkan untuk membaca yasin di depannya. Aku mengambil peluang ini untuk mengucapkan kalimah syahadah. Kaum keluarga dibenarkan untuk bersama. Di depannya aku tak henti berdoa.
"Berat hati abang untuk berpisah dengan Siti. Kalau itu merupakan ketentuan Allah untuk kita Siti, pergilah dengan tenang. Jangan risau tempat Siti adalah di syurga. Abang redha dan abang ampunkan segala dosa Siti. Terima kasih kerana menjaga abang dan anak-anak. Kita akan bertemu di akhirat kelak. Kita akan menuntut keadilan di sana."
Aku tidak dapat lagi mengawal perasaan yang selama ini aku pendam sehingga ditenteramkan oleh kaum keluarga.
7.20 petang - Aku melihat tekanan pernafasan digital yang di pakai isteriku semakin menurun. 20,19,18.......4,3,2,1........Tatkala azan maghrib berkumandang isteriku telah meninggalkan kami buat selama-lamanya.
"Inna lillahi wainna ilai hirojiun."
Walaupun aku sudah bersedia menghadapinya, namun aku tidak dapat menerima kenyataan yang isteriku telah pergi meninggalkan kami semua. Masih terngiang-ngiang janjiku padanya. "Siti, kita akan pergi umrah dan haji bersama."
Esak tangis dari kaum keluarga tidak dapat dihalang lagi. Jenazah dibawa pulang ke perumahan kami. Setelah dilakukan pembersihan, jenazah isteriku kelihatan tersenyum dan itulah senyuman yang aku rindukan. Manis sungguh senyumannya.
MasyaAllah air mataku berlinangan. Dalam hati aku berkata. "Siti bahagialah hidupmu. Engkaulah telah mendapat Bihusnil Khatimah seperti yang diidamkan oleh semua orang."
Berita kematiannya membuatkan begitu ramai sekali rakan-rakan dan sanak saudara yang datang melawat.
19 December 2008 - Jenazah isteriku telah siap dikafankan. Sebelum dibawa ke masjid, kaum keluarga diizinkan mengucup untuk kali yang terakhir. Seorang demi seorang datang mengucup.
Akhirnya tiba giliran aku sebelum jenazah isteriku di tutup kembali. Aku mengambil peluang ini untuk menatap wajahnya yang terakhir. Aku memeluk isteriku berulang-ulang kali. Begitu juga aku mengucupnya berulang kali. Terdengar esak tangis kaum keluarga, jiran tetangga dan sahabat handai. Selepas solat jumaat dan jenazah isteriku dibawa ke perkuburan sambil dilindungi oleh awan.
Ramai yang menyedarinya. Ada yang berkata tentu mayat ini seorang yang baik sehingga awan melindunginya. Selesai upacara pengkebumian, semua orang pulang. Ramai yang datang untuk menenangkan aku dan berpesan agar bersabar dan menrima dugaan ini dengan tenang.
Tapi Siti, abang amat rindu padamu. Macam mana abang nak melalui hidup ini tanpa Siti. Ke mana saja abang pergi, wajah siti mesti dapat dilihat. Walaupun mungkin abang nampak tenang, namun di dalam hati hanya Allah saja yang tahu.
Betapa sunyinya hidup ini tanpa isteri tersayang. Abang dan anak-anak akan meneruskan kehidupan ini tanpa Siti di sisi.
Hanya memori indah yang masih tersemat di lubuk hati dan ia tidak akan hilang hinggalah aku sendiri yang ditakdirkan pergi menyusul.
-TAMAT-
Suntingan Karya & Gambar: DeeFen DF

Karya hakcipta penulis dan Arkib Angker Negara.
Anda ada kisah seram, misteri, thriller ataupun mind-blowing?
Ayuh kongsikan kisah anda kepada kami. Hantar kisah anda ke e-mel aanrc2017@gmail.com
Nyatakan sekali nama akaun Facebook, Instagram, Twitter, blog atau webpage anda untuk tujuan pengkreditan.

BERAKHIRNYA SEBUAH KEHIDUPAN (Episod 3) - Ariff Budiman


BERAKHIRNYA SEBUAH KEHIDUPAN (Episod 3)
Karya: Ariff Budiman
Suntingan Karya & Gambar: DeeFen DF

Keesokkan harinya, isteriku merasakan kakinya amat lenguh. Firasat aku mengatakan bahawa makhluk itu telah masuk kembali ke dalam badan isteriku. Menurut kata ustaz, lubang di dalam badannya sudah terbuka luas.
Aku dan isteri hanya mampu membaca al mathurat. Alhamdulillah tiada petanda yang isteriku mengantuk atau kepalanya terhoyong-hayang tatkala membaca al quran. Selalunya baru baca suku saja, dia dah jatuh ke lantai. Kali ini alhamdulillah al mathurat dapat dihabiskan. Cuma masalah batuk masih lagi menguasai isteriku.
Telefon berdering. Anak saudara kepada isteriku meminta izin kepada untuk membawa ustaznya melihat samada masih ada lagi atau tidak makhluk itu di dalam isteriku. Aku mengizinkan asalkan tidak bertentangan dengan syariat.
Gurunya merupakan seorang tarekat Shazaliah kalau tidak silap aku. Selepas asar mereka sampai. Aku melihat perubahan pada muka isteriku. Dadanya berombak kencang sehinggakan anak gadisku berkata, "Ayah, awat jantung mak bergerak laju?" Aku menjawab itu petanda makhluk itu ada lagi dalam badan mak.
Uztaz itu memulakan membaca ayat quran. Mukanya hanya tersenyum saja sambil memandang isteriku. Tiba-tiba isteriku jatuh pengsan. Sah memang betul tekaanku.
Kata ustaz, biarkan dia tidur sambil terus membaca sesuatu lalu menunjukkan tangannya ke arah isteriku. Tiba-tiba isteriku bangun kembali dan terbatuk dengan teruk sekali. Akhirnya terkeluar muntah yang selama ini membelenggu isteriku. Banyak sungguh. Ia seakan ketul-ketul daging yang hancur.
Ustaz berkata. "Tudia dahsyat sungguh. Depa hantar yang kuat.” Sambil membaca sesuatu, dia berkata, tak apa kita hantar balik kepada tuannya.
Kata anak saudara isteri, bagaimana kalau ianya di hantar balik. Kata ustaz, yang ni kita kena bagi buah keras. Setelah membuat air penawar, isteriku terus diberi minum airnya. Nampak alhamdulillah sebab muntah telah dikeluarkan.
Ustaz bertanya aku, jawatan apa yang kami pegang. Aku jawab yang aku adalah setiausaha surau manakala isteriku hanya ajk surau. Sambil menggelengkan kepalanya, ustaz berkata insyaallah dia akan buat air penawar untuk dibuat mandian.
Malam itu kami dapat mendengar benda berjalan di atas bumbung sambil kedengaran anjing menyalak mendayu-dayu di depan rumah. Aku tidak henti-henti memainkan cd bacaan ayat-ayat suci al quran. Suatu perkara yang aku amat bersyukur kepada Allah ialah tatkala isteriku ditimpa musibah, Allah pula menganugerahkan kepadaku kesihatan yang baik.
Kalau sebelum ini, selalunya akulah yang kerap sakit kaki dan isteriku akan memasak air panas untuk aku rendamkan kakiku ke dalamnya. Itulah rutinnya.
Aku pasti semua yang berlaku keatas kami bukan sia-sia. Sebenarnya setiap apa yang Allah bagi, akan ada kebaikannya kelak. Kebaikan yang aku dapati ialah ukhwah persahabatan dalam jemaah amat kuat. Ramai yang datang untuk membantu kami.
Sebenarnya inilah yang menguatkan semangat kami. Yang tak dapat datang akan menelefon memberi nasihat dan kata-kata semangat. Syukur kepada Allah. Pengajaran yang aku dapat ketika bersama dengan masyarakat ialah, jaga lidah, jaga perbuatan dan hormatilah mereka walaupun mereka tidak sama kefahaman seperti kita.
Ada yang berkata kepadaku. "Budiman, hangpa dapat apa bila pegang jawatan di surau? Hang tengok sendiri apa yang jadi dekat isteri hang.”
Aku berkata. "Sebenarnya kami pegang jawatan ini sebab itu adalah amanah dari Allah dan sekurang-kurang bila berada di depan Allah nanti, kami boleh menjawab.” Dalam hati aku berdoa kepada Allah dan aku amat yakin bahawa Allah tidak sesekali akan membiarkan orang yang membesarkan agamanya dianiayai. Apa yang Allah berikan ini akan ada penawarnya kelak, insya-Allah.
Sudah beberapa hari kami tinggal di rumah ibu bapa isteriku. Akhirnya atas permintaan isteriku, dia mengajak aku pulang ke rumah kami walaupun dia masih belum sihat sepenuhnya. Batuknya tidak 100% hilang.
Aku bertanya tok bomoh, kenapa ada yang mengatakan apa yang isteriku alami bukan santau sebab di kukunya tidak nampak warna biru. Kata tok bomoh, tahap itu dah merbahaya. Kini walaupun ia belum pulih sepenuhnya aku bersyukur isteriku tidak lagi meratap sakit dada.
Setelah 2 minggu kami pulang ke rumah, isteriku bersuara. "Bang… boleh bawa Siti ke tepi pantai?"
Sakit akibat santau amat menyeksanya. Darah sering keluar. Puas aku membawanya berubat di hospital dan perubatan islamik namun sakitnya masih tidak berkurangan. Ketika berada di pantai, aku melihat isteriku begitu tenang. Sesekali dia menggengam erat tanganku
"Bang..." Suaranya tersekat. Terus aku bertanya kenapa. Namun dia diam. Air matanya sudah membasahi pipi.
"Kalau Siti tak ada, abang kawinlah lain. Siti tak nak abang sunyi." Aku diam sebab sudah beberapa kali dia meluahkan ayat ini.
"Takpa la Siti. Yang penting kita berubat dulu. Abang hanya nak Siti di sisi abang saja. Abang tak nak berpisah dengan Siti." Aku juga sudah mula sebak.
Aku dapat merasai saat-saat aku akan kehilangan isteriku buat selama-lamanya. Aku sentiasa berdoa kepada Allah moga diberi kesempatan yang lebih lama untuk kami bersama.
"Abang janji bang... Siti cinta abang. Siti tak nak abang sunyi. Abang terlalu baik." Isteriku sudah mula menangis. Aku memeluknya dan kami menangis sepuasnya di pantai.
"Baiklah, abang janji apa yang Siti minta." Tersenyum isteriku sambil mengucap terima kasih. Aku mengajak isteriku pulang bila terdengar azan asar.
"Bang nanti boleh tak abang buatkan Siti nasi goreng kicap?" Pinta isteriku.
"Abang goreng bukannya sedap sangat. Siti goreng lagi sedap." Aku bergurau.
"Siti nak rasa buat kali yang terakhir air tangan abang." Tergamam aku mendengar. Apa lagi air mata aku terus jatuh tanpa dipaksa.
"Siti jangan sebut macam tu. Kita berikhtiar ye. Abang akan buat apa saja untuk Siti. Janji Siti jangan tinggalkan abang. Abang tak dapat hidup tanpa Siti." Tenang isteriku mendengar kata-kataku.
Bila sampai rumah, aku bantu isteriku mengambil wuduk dan duduk di sebelahnya sehingga selesai dia solat. Aku baringkannya di katil dan aku pula solat. Selepas solat terus aku ke dapur untuk membuat nasi goreng kicap.
Aku tahu dia memang suka kalau aku buat nasi goreng kicap. Katanya aku pandai masak. Itulah hikmahnya kalau kita rajin ke dapur. Bila siap terus aku bangunkan isteriku. Aku suap isteriku.
" Sedapnya bang nasi goreng ni. Mungkin ini yang terakhir Siti makan air tangan abang."
Ya Allah kau jangan pisahkan kami. Aku terlalu takut menghadapi saat itu. Di ambilnya camca lalu menyedok nasi dan disuapnya ke mulutku. Air mataku dah mula keguguran.
"Bang… Siti ucapkan terima kasih sebab abang terlalu banyak tolong Siti."
Diciumnya tanganku. Aku membalas ciumannya.
"Abang ingin meminta maaf pada Siti andaikata ada kesalahan yang buat Siti jauh hati. Minta maaf nasi goreng abang tak sedap," kataku. Isteriku terus menangis.
"Nasi goreng abang sedap sangat. Terima kasih abang." Aku terus menyapu darah yang keluar daripada mulutnya. Dia kelihatan penat.
“Insyaallah Siti, kita akan ke Kelantan untuk berubat. Abang akan buat apa saja untuk Siti.“
Tersenyum isteriku. Senyuman itu sangat manis walaupun dia sedang menanggung kesakitan.
-Bersambung jam 9.30pm-
Suntingan Karya & Gambar: DeeFen DF

Karya hakcipta penulis dan Arkib Angker Negara.
Anda ada kisah seram, misteri, thriller ataupun mind-blowing?
Ayuh kongsikan kisah anda kepada kami. Hantar kisah anda ke e-mel aanrc2017@gmail.com
Nyatakan sekali nama akaun Facebook, Instagram, Twitter, blog atau webpage anda untuk tujuan pengkreditan.

BERAKHIRNYA SEBUAH KEHIDUPAN (Episod 2) - Ariff Budiman


BERAKHIRNYA SEBUAH KEHIDUPAN (Episod 2)
Karya: Ariff Budiman
Suntingan Karya & Gambar: DeeFen DF

Aku telah mendapat undangan untuk menjadi DJ di sebuah rumah yang mengadakan kenduri. Masa aku menerimanya, isteriku masih lagi sihat. DJ merupakan kerja sambilanku. Aku telah berjanji dengan tuan rumah kenduri sebelum isteriku menerima dugaan Allah. Berat rasaya hati untuk membiarkan dirinya yang mengharapkan aku berada di sampingnya. Program bermula jam 11 pagi hingga 5 petang.
“Abang pergilah. Kalau kita dah berjanji tak baik memungkirinya. Abang jangan risaukan Siti sangat sebab Allah ada bersama.”
Aku melangkah longlai dan tidak ceria memikirkan keadaan isteri. Aku tidak banyak bercakap sewaktu di rumah kenduri. Dengan hanya memasang lagu-lagu nasyid, aku terus buntu mencari idea.
Kemudian anakku menghantar SMS mengatakan emak muntah darah. Ya Allah kau percepatkanlah masa sampai jam 5 petang. Aku terpaksa menelefon bertanyakan khabar, tapi kata isteriku, tak apa dia boleh bertahan lagi.
Alhamdulillah jam dah pukul 5 petang selepas aku bereskan kerjaku. Aku bergegas pulang. Ku lihat isteriku sedang menangis menahan kesakitan. Kakinya terasa lemah dan tidak bermaya. Aku mengajaknya keluar untuk mengambil angin.
Aku hanya mengambil jalan-jalan yang mudah untuk pulang ke rumah. Aku tidak berani membawanya ke pantai. Kami melalui masjid. Terdengar bacaan ayat suci Al Quran surah Yasin yang menandakan ada kematian. Apalagi isteriku menangis bila mendengarnya. Katanya mungkin suatu hari bacaan Al Quran ini adalah untuk dirinya.
Air mata tidak mampu ku bendung lagi. Sambil memandu air mata berlinangan mengenangkan percakapan isteriku tempuh hari. Katanya. "Kalau Siti pergi abang redholah pemergian ni. Sedekahlah ayat-ayat Al Quran untuk Siti. Abang kahwinlah lain. Siti tak mau abang sunyi.”
Apalagi aku pun menangis dalam kereta. Aku berhenti di depan masjid dan terus berkata kepada isteriku. "Kita jangan mudah putus asa. Rasulullah telah diuji dengan lebih dasyat lagi. Mungkin mereka yang melakukan ini mahukan kita berputus asa." Isteriku hanya mendiamkan diri.
Keesokkan harinya jiranku telah membawa seorang pengamal perubatan untuk membantu. Aku terima saja demi isteriku asalkan ianya tidak menyeleweng. Aku tidak mahu ia berkecil hati.
Kata tok bomoh itu, dia hanya mampu menghalau keluar saja. Tapi kalau datang balik, dia tak dapat buat apa-apa ibarat menghalau anak ayam daripada memakan makanan.
Kata tok bomoh, benda yang berada di dalam badan isteriku amat kuat dan pandai. Bila dibacanya ayat, ia akan pura-pura tidur. Begitu juga kalau kami sekeluarga berhimpun untuk membaca Yasin. Bila sebut saja ayat Yasin, dia terus tertidur. Selesai membaca dia akan bangun semula.
Kata tok bomoh, kalau nak pendinding dia ada tapi kena bayar sedikit iaitu sebanyak RM 140. Ia berbentuk tangkal dan perlu digantung di leher. Aku menolaknya secara baik. Aku tidak mahu bergantung harap kepada azimat tangkal. Itu dah syirik namanya.
Sambil tersenyum, tok bomoh berkata ini semua sebab terlampau aktiflah. Ada yang cemburu dan hasad. Aku tahu, kalau di surau andai ada apa-apa hal, jemaah disuruh pergi tanya dengan Budiman dan Aishah. Orang yang hantar benda ke isteriku marah sebab ia kata Aishah suka menonjolkan diri.
Subhanallah, yang aku tahu isteriku bukanlah jenis yang suka menunjuk-nunjuk. Tidak pernah isteriku bermusuh dengan sesiapa. Cuma makcik-makcik memang mengharapkan setiap program, Aishah mesti ada sebab dia yang paling muda. Kalau tak ada Aishah, kata mereka, mereka tidak boleh bekerja.
Badanku isteriku semakin panas. Bila dia batuk berketul-ketul darah akan keluar daripada mulutnya. Aku dah mula panik.
“Bang…Siti sakit bang.”
Aku mengelap darah yang keluar dari mulutnya. Berketul-ketul melekat di tuala kecil. 
Telah beberapa hari isteriku demam. Berapa biji panadol telah ditelan. Hilang peluh, panas timbul kembali.

Aku tidak sampai hati membiarkan insan yang menjagaku ketika aku pernah terlantar di hospital. Insan inilah yang berjalan kaki dari rumah ke hospital. Sampai saja di hospital baju dah berpeluh. Pernah seketika ia terlelap akibat keletihan.
Insan ini juga yang menyambutku ketika aku pulang dari tempat kerja dalam keadaan pelik. Insan inilah juga yang memasak makanan untukku dan anak-anak. Insan inilah juga yang menenangkan aku tatkala dalam keadaan marah. Insan inilah juga yang sauna aku bila aku keletihan selepas pulang dari tempat kerja.
Aku tidak sampai hati melihat badannya yang begitu panas sehinggakan bila duduk berhampiran pun terasa bahangnya. Aku terus ke klinik panel untuk mendapatkan surat rujukan yang akan aku gunakan semasa pendaftaran di hospital.
Sesampai saja di hospital, isteriku terus dibawa ke Bilik Kecemasan. Aku diberitahu oleh doktor bahawa demam isteriku terlalu panas.
Semasa menanti isteri, aku mengelamun memikirkan aktiviti yang pernah kami lalui. Insan inilah yang bertungkus-lumus menyiapkan makanan untuk hari keluarga walaupun telah dinasihat untuk berehat.
Atas dasar amanah yang diterima dia berkata. "Hari ini kita tolong orang, suatu hari nanti Allah akan tolong kita.” Semasa orang lain menolak tugasan ini, beliau bersama ibunya membalut ketupat, membuat serunding, nasi himpit dan kuah kacang.
Keesokan harinya kami terus menghantar makanan ke tempat hari keluarga yang telah diadakan. Isteriku tidak menjamah langsung makanan sebab tidak berselera. Selesai hari keluarga dia terus mengajak aku pulang sebab terlalu letih. Badannya terlalu panas.
Lamunanku terhenti apabila namaku dipanggil untuk membawa isteriku masuk ke dalam wad. Doktor suspek bermacam-macam jenis penyakit yang membuatkan dirinya tidak dapat mengawal perasaan. Aku terpaksa menenangkan perasaannya walaupun aku sendiri tahu memang ketika ini memang berat bagiuntuk sesiapa yang mengalaminya.
Lama kelamaan berita yang kami terima sedikit sebanyak melegakan hati kami. Namun panasnya masih belum hilang. Akhirnya doktor mengesahkan bahawa isteriku negatif dari penyakit TB dan dibenarkan keluar.
Keesokkan harinya isteriku batuk dan keluar darah yang banyak. Dia menangis kesakitan.
Datang seorang jiran lalu berkata. “Budiman....Bini hang ni kena santau.”
Ya Allah tiba-tiba aku seperti tersedar dari mimpi. Entah kenapa aku tak dapat kenal pasti padahal aku pun dah tahu tanda-tanda awal santau.
“Depa tutup hijab hati hang Budiman. Hang bawa jumpa ustaz,” kKata jiran lalu memberi nombor telefon. Aku terus menghubungi ustaz dan mendapat kebenaran untuk membawa isteriku ke sana. Sepanjang perjalanan kami ke sana, isteriku asyik muntah darah. Darah telah memenuhi di atas kerusinya.
Bila sampai terus ustaz membaca sesuatu. “Budiman, isteri kamu ni kena santau tuju. Ia dituju khas ke isteri kamu.”
Jatuh air mataku mendengar kata-kata ustaz. Sampai hati orang yang melakukan sihir ini. Apa salah isteriku?
Akhirnya ustaz mengeluarkan santau yang merupakan kaca-kaca halus yang keluar dari hujung kaki isteriku. Menjerit kesakitan isteriku sewaktu santau dikeluarkan daripada ibu jari kakinya.
“Alhamdulillah Budiman. Saya dah keluarkan kesemua santau daripada tubuh isteri kamu dan saya dah block orang yang buat kerja ni,” kata ustaz yang membuatkan kami rasa cukup gembira.
Selepas santau berjaya dikeluarkan, aku melihat isteriku dah tersenyum walaupun keletihan.
“Siti jom kita ke Kelantan dengan flight. Kita berehat dan sambil mencari ustaz yang pandai di sana.” Isteriku hanya mengikut saja kata-kataku.
“ Bang... Siti tak sabar nak jalan-jalan. Dah lama kita tak pi berjalan.”
Terus aku menghubungi adikku yang menetap di Kelantan…
-Bersambung jam 9.00pm-
Suntingan Karya & Gambar: DeeFen DF

Karya hakcipta penulis dan Arkib Angker Negara.
Anda ada kisah seram, misteri, thriller ataupun mind-blowing?
Ayuh kongsikan kisah anda kepada kami. Hantar kisah anda ke e-mel aanrc2017@gmail.com
Nyatakan sekali nama akaun Facebook, Instagram, Twitter, blog atau webpage anda untuk tujuan pengkreditan.

BERAKHIRNYA SEBUAH KEHIDUPAN (Episod 1) - Ariff Budiman


BERAKHIRNYA SEBUAH KEHIDUPAN (Episod 1)
Karya: Ariff Budiman
Suntingan Karya & Gambar: DeeFen DF

Namaku Ariff Budiman. Aku ingin kongsikan kisah bagaimana isteriku telah disantau. Ianya terlalu perit bagi sesiapa yang menghadapinya.
Inilah kisahku...
Aku berkahwin dengan seorang gadis yang manis bernama Siti Aishah. Keesokkan harinya aku membawanya pulang ke rumahku di kampung dengan motosikal sahaja. Ada rakan-rakan yang tertawakan aku sebab membawa pulang isteri dengan motosikal dan bukannya dengan kereta. Buat apa aku nak tipu diri sendiri. Ketika itu hanya motosikal saja yang mampu aku miliki.
“Siti....Buat masa ni kita tumpang rumah emak dan ayah memandangkan abang tak mampu nak menyewa,” kataku kepada isteri.
“Tak apa bang. Siti ikut saja dan Siti akan berhenti kerja,” jawab isteriku yang membuatkan aku merasa cukup lega ketika itu. Bukan aku nak melepas tanggungjawab untuk menyediakan rumah tapi memang aku tidak mampu ketika itu dan syukur isteriku menerimaku tanpa mempersoalkan kewanganku.
Dialah yang banyak membantu ibuku dan ternyata ibuku amat menyayangi isteriku. Isteriku pandai berjimat dan mencari rezeki. Keistimewaannya ialah menjahit baju. Duit yang diperolehi akan di kumpulnya.
Akhirnya kami telah ditawarkan seunit rumah kos rendah 3 bilik berharga RM25,000. Isteriku merupakan orang yang paling gembira mendapat berita ini.
“Syukur bang. Akhirnya kita dapat beli juga sebuah rumah,” kata isteriku.
“Abang minta maaf sebab hanya rumah kos rendah saja yang mampu abang sediakan untuk Siti dan anak-anak,” kataku pendek.
“Ini pun dah bersyukur. Rumah kos rendah pun rumah kita bang. Siti tak sabar nak hidup berdikari bang.”
Akhirnya kami berpindah ke rumah baru tanpa kami sedari ia bakal menjadi detik-detik perpisahan kami. Di sebabkan kepandaian isteriku menjahit baju, maka dia telah menerima banyak tempahan dan pendapatan yang diperolehi itulah dia membantu menampung kehidupan kami.
Kami rajin juga membantu pihak surau andai ada majlis yang di buat. Isteriku minat dalam masakan. Akhirnya kami dilantik menjadi jawatankuasa surau.
Isteriku jenis yang suka bertanya dan manis mulutnya. Sebab itu dia disukai golongan yang lebih tua terutama makcik-makcik. Akhirnya seorang makcik telah menurunkan ilmu masakannya kepada isteriku.
Suatu hari makcik telah membuat pengumuman di surau...
“Makcik dah perturun ilmu masakkan dekat Aishah. Sekarang dia jadi ketua masakan. Ada apa-apa masalah tentang masakan boleh bertanya Aishah,” kata makcik.
Bermula saat itu sudah kedengaran bunyi dari belakang kami yang kurang enak.
“Aku duduk di sini dah lama. Dia baru datang sini dah jadi ketua.” Itulah ayat yang telah disampaikan kepada kami tapi kami mengambil sikap berdiam diri. Jauh di sudut hati kami bukanlah niat ingin menonjolkan diri tapi kami cuma ingin bermasyarakat.
Selang beberapa bulan, isteriku mula menunjukkan tanda-tanda kurang sihat. Dia mula batuk-batuk. Aku membawanya ke klinik dan doktor memberinya ubat batuk.
Lama kelamaan isteriku mula demam. Batuknya semakin kuat. Bila aku duduk bersebelahannya terasa bahang kepanasan. Aku basahkan tuala lalu letak di dahinya. Badannya mula berbau tapi aku hanya diamkan diri.
Jiran datang berjumpa mencadangkan agar aku mencari pakar rawatan Islam. Aku membawa isteriku berjumpa dengan seorang ustaz di USM. Bila ustaz membaca ayat quran tiba-tiba isteriku terus tidur seolah-olah tidak mahu mendengar ayat-ayat Allah.
“Tengok Encik. Dia pandai dan tak mau dengar ayat Allah. Terus dia tidur dan tutupkan telinga,” jelas ustaz kepadaku. Bila selesai, isteriku terjaga daripada tidur dan terus senyum.
Bila dia hendak solat aku akan menemaninya ke tandas dan membantu isteriku mengambil wuduk. Bila dia sedang solat, aku dan anak-anak akan duduk disebelahnya. Sebaik saja dia memberi salam, terus dia akan jatuh. Pernah terjadi bila dia beri salam terus dia jatuh dan kepalanya terkena pada tembok dan membuatkan dahi isteriku luka.
Isteriku tidak pernah mengeluh kesakitan. Semenjak hari itu setiap kali solat kami akan berada di sebelah kiri dan kanannya sehingga selesai. Nasiblah dia hendak jatuh sebelah kanan atau kiri. Janji kami sedia menanti dan menyambutnya. Selepas menyambutnya barulah dia akan tersedar dan bertanya. Kemudian kami semua akan tertawa lucu.
Ketika itu aku melihat senyum isteriku amat manis sekali. Lama-kelamaan sakit isteriku semakin melarat. Aku telah membuat keputusan membawanya ke hospital. Memandangkan kedua-dua anakku berada di asrama, jadi hospital telah menjadi rumah keduaku. Di situlah aku bermalam dan berbual dengan isteriku. Di atas sofa adalah tempat aku melelapkan mataku di waktu malam.
Pihak hospital mulanya mengesyaki isteriku menghidap penyakit tibi sebab batuknya yang berselang-seli dengan darah. Nmun hasil daripada pemeriksaan isteriku di dapati negatif dari penyakit tibi. Akhirnya dia diberi sejenis mentol untuk menghidu bila terasa hendak batuk. Setelah berada di hospital selama 9 hari, akhirnya isteriku dibenarkan pulang.
Namun demam panas masih lagi menguasai badan. Panadol, ubat hospital dan klinik ternyata tidak memberi kesan. Hari-hari pasti demam panas. Aku pening memikirkan perkara ini sehinggakan aku terlupa dengan tugas seharianku. Di surau, ramai jemaah yang bertanya ke mana menghilangnya Budiman. Kenduri dijemput tapi aku lupa untuk hadir. Sedar-sedar kenduri dah selesai. Terpaksa berjumpa tuan rumah memohon maaf.
Yang menghairankan aku, apabila menjelang Maghrib isteriku mula merasa menggigil kesejukan dan diikuti dengan badan yang panas. Apabila waktu nak mengambil air sembahyang mulalah batuk menyerang tidak henti- henti. Ini membuatkan badan bertambah sakit.
Aku mula terasa kepelikan dan mula tersedar kemungkinan ada benda lain yang mengganggu di dalam tubuh isteriku. Aku membaca Al-Mathurat didepan isteriku. Tiba-tiba ayatnya hilang di depan mata. Setelah beristighfar beberapa kali barulah penglihatanku kembali pulih.
Aku menyuruh anakku membaca surah Yasin. Tiba-tiba dibalingnya kelambu membuatkan wajah anakku pucat. Isteriku hanya tersenyum melihatnya. Aku dah semakin syak isteriku diganggu makhluk halus.
Aku mengajak isteriku turun ke bawah. Sambil bergurau kepada ipar dan anak saudara, aku berkata. "Kawan pakcik kata pakcik ni boleh berubat tapi tak yakin. Sekarang mari kita berkumpul sambil lutut bertemu lutut dan pak cik akan ubati makcik.” Isteri menjeling tajam kearahku. Aku tahu yang ia dah mula merasainya.
Aku meminta anak saudara membacakan ayat Al-Quran di depan isteriku sebab aku nak lihat reaksinya. Ternyata dia bertindakbalas. Aku melihat isteriku menggenggam tangan menahan sesuatu. Aku mendekati isteriku dalam keadaan bergurau namun di dalam hati, aku membaca ayat-ayat suci.
Bila sampai saja aku di depan isteri, aku terus meletakkan telapak tangan di dahi isteriku. Apa lagi, dia menjerit, tertawa dan mengilai. Terkejut dengan peristiwa ini, ipar dan anak saudara melarikan diri. Cuma tinggal aku dan anakku.
Aku beritahu kepada anakku jangan takut dan tolong bantu ayah memulihkan kembali emak. Aku menyuruh dia mengikuti bacaan ayat kursi. Dia membaca amat pelahan, tapi bila disuruh baca dengan kuat suaranya bertukar garau. Aku membaca ayat-ayat suci Al Quran sehinggakan membuatkan isteriku longlai tak bermaya.
Aku sendiri pun tak tahu bagaimana aku lakukan semua ini. Aku hanya ingat aku pegang di tempat tertentu sambil membaca ayat Quran. Aku menyuruh anakku menelefon abangku dan beritahu keadaan mak dan katakan ayah tak mampu nak buat seorang diri.
Isteriku ternyata letih dan tidak bermaya. Beliau berkata hendak tidur. Aku tahu bukan dia yang nak tidur tapi benda yang berada di dalam badannya.
Tiba-tiba telefonku berbunyi. Anakku memberitahu Pak Ngah sedang menuju ke rumah kami. Bila terdengar suara abangku dari dalam telefon matanya mula tidak tentu arah.
Apabila terdengar saja salam dari abangku, dia terus bingkas bangun sambil ketawa geram. Apa lagi abangku tak bagi peluang langsung. Terus dimintanya air lalu membacakan sesuatu dan ditepuk ke kepala isteriku sebanyak 3 kali. Terus longlai dan akhirnya ia keluar daripada badan isteriku.
Aku dapat merasai yang benda itu hanya keluar seketika sahaja. Sebelum ini bila aku suruh isteriku senyum sebab aku hendak uji, ternyata senyuman memang meremangkan bulu roma. Tetapi setelah kena tepuk dari abangku, dia tidak berani senyum.
Setelah keadaan tenang, abangku pun pulang kerumah. Aku sengaja uji kembali senyuman isteriku. Kini senyumannya kembali menakutkan dengan ketawa sinis.
Bila aku pulang dari tempat kerja jam 12 malam, sebelum aku masuk ke dalam rumah, aku membaca ayat kursi dan dapat merasai bahawa benda itu masih lagi berlegar di dalam rumah. Seorang bomoh tradisional datang untuk merawat isteriku dan ternyata memang ada benda di dalam tubuh isteriku.
Sewaktu kami semua tidur, aku terdengar orang berjalan. Seluruh isi rumah semalaman tidak dapat melelapkan mata sebab diganggu.
Aku mebuat solat hajat memohon kepada Allah semoga kami semua dipelihara dari gangguan iblis dan syaitan terutama sekali isteriku. Alhamdulillah isteriku dapat tidur dengan tenang walaupun aku sendiri tidak dapat tidur sebab diganggu oleh makhluk halus yang ingin masuk kembali kedalam badan isteriku.
Aku dapat merasai ia mencuit belakangku, ia mengetuk dan menolak pintu. Ada seketika ia berlari di atas bumbung. Aku hanya berzikir dan membaca Al Mathurat. Hanya kepada Allah-lah kami semua meminta pertolongan di samping berikhtiar.
-Bersambung jam 8.30pm-
Suntingan Karya & Gambar: DeeFen DF

Karya hakcipta penulis dan Arkib Angker Negara.
Anda ada kisah seram, misteri, thriller ataupun mind-blowing?
Ayuh kongsikan kisah anda kepada kami. Hantar kisah anda ke e-mel aanrc2017@gmail.com
Nyatakan sekali nama akaun Facebook, Instagram, Twitter, blog atau webpage anda untuk tujuan pengkreditan.