Saturday 2 December 2017

HOMO-CANIS - Ahmad Rusydi


HOMO-CANIS
karya: Ahmad Rusydi


======================
1995
Keadaan Kampung Alor malam itu kelihatan sedikit lain berbanding biasa. Jam sudah menunjukkan pukul dua pagi ketika semua perhatian tertumpu pada rumah kayu usang di tengah kampung itu. Kerlipan terang-benderang cahaya biru dan merah berganti-ganti menyinari dinding papannya. Garisan kuning polis kelihatan janggal ditampal pada ruang bukaan pintu.
Wajah jurugambar polis yang melangkah keluar dari rumah itu kelihatan sugul. Langsung tidak mendongak memandang sekeliling. Dia mengeluh perlahan, menggeleng-geleng. 15 tahun pengalamannya sebagai seorang jurugambar polis, belum pernah dia melihat mayat manusia diratah sebegitu. Tekaknya terasa kembang.
Beberapa orang anggota polis muda kelihatan sedang berdiri di hadapan muka pintu rumah. Mata masing-masing liar memerhati sekeliling. Seakan penyebab segala kekalutan malam itu masih berada di sekitar mereka. Dan perkara itu membuatkan mereka gerun.
Di dalam rumah kayu itu pula kelihatan tiga orang anggota beruniform sedang melaporkan beberapa perkara kepada seorang lelaki berjaket kulit yang berdiri lebih tinggi berbanding yang lain. Lelaki berjaket kulit itu mengetap giginya tanpa sedar. Bukan kerana geram. Cuma berharap agar kejadian yang berlaku di hadapannya itu sekadar mimpi ngeri. Mimpi ngeri orang lain, kalau boleh.
"Kesan gigitannya... secara kasar, macam apa?" Lelaki berjaket kulit itu berpeluk tubuh. Pandangannya bersilih ganti ke arah ketiga-tiga lelaki di hadapannya. Namun ketiga-tiganya kelihatan sedikit terganggu. "Macam apa?" Ulang lelaki berjaket kulit itu lagi. Sedikit keras berbanding tadi.
"Manusia, tuan," jawab seorang anggota polis bermisai lebat. Lelaki berjaket kulit itu diam, mengangguk kecil. Berlagak biasa mendengar kenyataan itu. Dia sudah melihat sendiri kesan pada leher kedua pasangan suami isteri itu tadi. Memang kelihatan jelas kesan gigitan manusia pada hujung robekan.
"Tapi... terlalu kecil, kan?" Lelaki itu cuba untuk tidak membayangkan sesuatu yang terlalu sukar untuk diterima mindanya. "Mungkin juga beruk... atau mawas?"
Anggota polis bermisai lebat itu diam. "Mawas..." gumamnya sendiri. Dia mengangguk faham.
"Budak kecil tadi mana?" Teringat, lelaki berjaket kulit tadi lantas berpaling ke arah pintu bilik tidur yang terkuak luas. Warna merah pekat menyambut pandangannya. Dia sendiri sudah tidak pasti apakah sebenarnya warna cadar katil yang menjadi tempat beradu terakhir pasangan itu sebelum kejadian.
"Dalam van paramedik, tuan."
"Berapa umurnya?"
"Berdasarkan sijil lahir yang kita jumpa, lima tahun."
"Lima tahun... giginya penuh?"
Ketiga-tiga anggota polis tadi terdiam. Tidak mahu menjawab, kalau boleh. Namun salah seorang dari mereka mengangguk kecil.
"Dalam mulut dia... ada ke?" Tanya lelaki berjaket kulit tadi.
"Ada, tuan? Ada apa?"
"Cebisan..." kata-katanya terhenti seketika. "tak apalah. Tak ada apa-apa."
Lelaki itu diam. Pandangannya kini tertumpu pada van paramedik yang diparkir di luar rumah. Kelihatan beberapa orang ahli paramedik sedang menenangkan seorang kanak-kanak lelaki yang sedang duduk bersimpuh di belakang van. Apa yang mengganggu fikiran Detektif Inspektor itu adalah, kanak-kanak itu kelihatan luar biasa tenangnya. Matanya kelihatan kosong merenung kaki sendiri. Dari hujung rambut sehingga hujung kakinya berlumuran darah. Yang pasti, bukan darahnya sendiri.
Dia langsung tidak cedera.
Detektif Inspektor itu melangkah keluar, menghampiri kanak-kanak lelaki tadi. Tersedar seseorang sedang memerhatikannya, kanak-kanak itu berpaling perlahan. Langkah Detektif Inspektor itu terhenti mendadak. Keningnya berkerut. Entah mengapa timbul perasaan gerun sebaik sahaja matanya bertentang dengan mata kanak-kanak itu. Sudah lama dia tidak melihat mata yang mampu merenung setajam itu."
"Adik okay?"
Kanak-kanak lelaki tadi mengangguk. Wajahnya tampak senang. Tidak sedikit pun kelihatan riak ketakuan, atau sekurang-kurangnya, kekeliruan.
"Adik ingat tak apa yang jadi dekat mak dan ayah adik?"
Kanak-kanak lelaki itu menggeleng jujur. Sekeliling mulutnya dibasahi darah segar. Sejenak kemudian, dia mengukir senyuman. Baris-baris giginya diselaputi darah pekat yang hampir kehitaman.
Detektif Inspektor mengangguk faham. Namun matanya tidak putus-putus mengamati setiap butir gigi kecil kanak-kanak tadi. Kemudian dia menggeleng. Tak mungkin.
"Adik Ashraff, kan?" Tanya Detektif Inspektor itu, sengaja mahu mendengar kanak-kanak itu bersuara.
Ashraff mengangguk.
"Umur berapa?"
"Lima..." jawab Ashraff sambil menunjukkan membuka telapak tangan kanannya ke arah lelaki itu. Suara kanak-kanak itu kedengaran serak basah. Lebih dewasa berbanding usianya.
Detektif Inspektor itu diam sejenak. Tidak perlu menjadi Sherlock Holmes untuk dia tahu apa yang berlaku sebenarnya.
Di belakangnya, dua beg mayat hitam sedang diusung keluar dari dalam rumah. Sengaja Detektif Inspektor itu berdiri membelakangi pintu rumah, betul-betul di hadapan kanak-kanak tadi. Khuatir jika dia bertanya. Terlalu berat jawapannya untuk budak seusia itu.
Kepala kanak-kanak itu dimerengkan, meninjau di sebalik tubuh tinggi lampai lelaki di hadapannya. Wajahnya tampak berminat. Tampak teringin. Cukup teringin. Kembang-kempis hidungnya memerhatikan mayat ibu bapanya diusung masuk ke dalam van polis. Sebaik sahaja pintu van ditutup, perhatiannya kembali kepada Detektif Inspektor. Wajah lelaki itu kelihatan lebih sugul berbanding tadi. Dia merenung kanak-kanak lelaki itu tidak percaya.
"Khalid!" Panggilnya deras tanpa mengalihkan pandangannya. Berlari seorang konstabel muda yang sedang berdiri di hadapan pintu tadi, menghampiri lelaki itu. "Mawas..."
"Mawas, tuan?"
"Ya, aku nampak mawas tadi. Di belakang tu," Detektif Inspektor menuding ke arah kaki hutan di belakang rumah kayu usang itu. "Sekumpulan... besar-besar semuanya."
"Allahu, tuan, kenapa tuan tak cakap awal-awal?"
Detektif Inspektor menjeling marah ke arah si konstabel. "Pergi sajalah buat laporan. Memang mawas. Panggil jabatan perhilitan saja. Saya nak kes ni selesai menjelang pagi!"
Konstabel itu mengangguk, kemudian berlalu pergi. Mata kanak-kanak tadi mengekori langkah si konstabel. Sebaik sahaja kelibat lelaki itu hilang dari pandangan, dia kembali memandang Detektif Inspektor itu. "Mawas tu apa, uncle?"
"Ah, tak ada apa-apa sayang. Malam ni Ashraff tidur di hospital, ya? Nanti uncle suruh kawan-kawan uncle temankan Ashraff. Diorang ada pistol, tau!"
Bersinar mata kanak-kanak lelaki itu mendengarkan perkataan pistol. Memang itulah yang selalu Detektif Inspektor itu gunakan bagi menarik perhatian kanak-kanak lelaki yang terlibat dalam kes-kes begitu. Namun kali ini dia terasa seperti sedang menggalakkan sesuatu yang dahsyat. Cepat-cepat dia mengubah topik perbualan, "nanti bila semua dah okay, Ashraff ikut uncle balik. Ya?" Tangannya menggosok lembut kepala kanak-kanak itu. Ashraff mengangguk faham.
2017
"Ashraff tak sakit apa-apa, uncle! Uncle saja yang paranoid! Rimas, tahu tak?! Ergh!" Ashraff menepis Detektif Inspektor itu. Bekas. Bekas Detektif Inspektor. Sudah hampir tiga tahun dia bersara. Tidak pernah berkahwin. Sejak malam kejadian 22 tahun lepas, dia banyak menumpukan perhatiannya kepada Ashraff. Kanak-kanak lelaki yang diambilnya sebagai anak angkat. Atas dasar apa?
"Memanglah Ashraff tak sakit, nak. Ubat-ubat ni cuma untuk pencegahan. Ayah... uncle risau kalau-kalau..."
"Kalau-kalau apa, uncle?"
Lelaki (kini pertengahan usia) itu diam. Tidak tergamak untuk meneruskan kata-katanya.
"Serius Ashraff tak faham kenapa Ashraff kena makan ubat-ubat ni! Tak pernah habis!"
Lelaki itu tersenyum pahit. Beberapa biji pil dan kapsul di dalam tangannya dilepaskan bertaburan di atas meja. Ya, mungkin betul kata anak angkatnya itu. Sudah 22 tahun berlalu sejak kejadian malam itu. Tidak mustahil jika naluri itu sudah mati. Ashraff memandang wajah bapa angkatnya itu dengan penuh rasa bersalah.
"Uncle... Ashraff minta maaf. Ashraff... Ashraff stress kebelakangan ni. Hal kerja, hal duit. Macam-macam," dia memegang bahu lelaki separuh umur di hadapannya itu. Lelaki itu sekadar menunduk, tidak mengangkat kepala. "Ashraff keluar sekejap jer. Ambil angin. Dah letih nanti Ashraff balik," pujuk Ashraff lembut. "I need this, uncle. I need to clear my mind off things," katanya sambil mencapai botol airnya dari atas meja.
Bapa angkatnya mengangguk faham, "yalah. Baik-baik keluar tu. Jangan balik lewat sangat."
"Ashraff dah 27, ayah. Bukan lima tahun macam ayah jumpa Ashraff dulu," Ashraff tersenyum mesra. Tersentuh hati lelaki separuh umur itu mendengarkan panggilan 'ayah' digunakan oleh Ashraff. Bukan tidak pernah berlaku, cuma jarang. Cukup jarang. Dia mengangguk, mengiyakan. Ashraff merenung sejenak ke dalam mata bapa angkatnya itu, kemudian melangkah pergi.
"Ah, Ashraff! Tunggu!"
Langkah Ashraff terhenti di muka pintu. "Ya, ayah?" Dia berpaling semula memandang bapa angkatnya itu.
"Ingat, kalau ada orang cedera atau luka, Ashraff jangan tolong! Cepat-cepat balik, ya?"
Ashraff tersenyum. "Ya, ayah. Setiap kali nak keluar, ayah pesan benda yang sama. Ashraff ingat." Dia tersenyum lembut, cuba untuk meyakinkan hati lelaki itu.
Parti malam itu berakhir agak lewat. Entah rumah siapa, makanannya halal atau tidak, Ashraff langsung tidak ambil tahu. Yang dia tahu, apa sahaja yang mampu membuatkan dia khayal, itulah yang akan menjadi pilihannya tadi. Dia seorang lelaki gagah yang cukup sukar untuk terkesan dengan sesuatu. Biarpun ganja, arak, atau ecstasy sekalipun, dia perlu ambil berkali ganda lebih banyak berbanding orang lain. Semata-mata untuk memendamkan nalurinya. Naluri yang dia sendiri tidak faham. Ketajaman deria penglihatan, bau dan pendengarannya kian hari kian menyiksa dirinya sendiri. Deria-derianya semakin kuat. Semakin mengganggu. Treshold tubuhnya semakin tinggi. Otot-otot pada tubuhnya pula membesar tanpa dipaksa-paksa. Di mula sedar akan perkara itu sebaik sahaja tamat persekolahan. Sepuluh tahun lepas.
Ya, oleh kerana perkara itu dia menjadi kegilaan para gadis. Wajahnya yang berjambang lebat, tinggi lampai dan bertubuh sasa. Layak seorang pelakon Hollywood yang berkulit coklat Melayu. Namun dia kurang tertarik akan gadis-gadis manusia ini. Dia lebih tertarik kepada haiwan. Sejak dari dahulu begitu. Ashraff masih ingat ketika pertama kali dia sedar akan nalurinya itu. Waktu itu dia masih belajar dalam darjah lima. Mimpi basah pertama yang dialaminya berkisarkan tentang dirinya dengan beberapa ekor serigala betina. Dia masih takut untuk bercerita tentang perkara itu kepada sesiapa pun. Terlalu luar tabi'i, baginya. Terlalu gelap.
Selesai bersalaman dengan para lelaki dan berpeluk cium dengan para wanita, Ashraff meminta diri. Dia melangkah masuk ke dalam perut Myvi merah miliknya. Tingkap bahagian pemandu sengaja diturunkan untuk dia melayan angin malam. Sebelum gear memandu dimasukkan, sempat Ashraff membakar sebatang rokok Winston filter yang tersisip kemas pada bibirnya.
Perjalanan turun dari Bukit Tunku memang sedia bersimpang-siur, ditambah lagi dengan kesan samar-samar minuman keras yang entah berapa botol diteguknya tadi, membuatkan kepalanya terasa bingung. Putung rokokya tadi dijentik ke luar tingkap. Di kiri dan kanannya semak tebal. Lampu jalan hanya muncul setiap beberapa ratus meter. Ashraff mencapai kotak rokoknya dari atas tempat duduk penumpang. Sebatang lagi dikeluarkan.
Baru sahaja dia hendak memetik pemetik api, hidungnya menangkap bau yang cukup manis. Terlalu manis. Seakan-akan kemanisan udang segar yang dipanggang menggunakan kayu pohon epal. Tanpa berfikir, Ashraff deras memijak pedal brek. Keretanya diberhentikan di bahu jalan. Lampu hazard dihidupkan. Kembang-kempis hidungnya mengamati bau tadi. Datangnya dari luar tingkap. Dia kenal akan bau itu. Cuma tidak ingat dari mana.
Mengikut kata hatinya, Ashraff melangkah keluar dari kereta. Enjin kereta dimatikan. Pandangannya tertumpu ke arah semak samun di hadapannya. Dia berdiri sejenak, memerhati, sebelum melangkah perlahan meredah pohon-pohon renek, mengekori bau tadi. Terlalu ingin Ashraff mencari puncanya.
Semakin jauh dia melangkah masuk ke dalam kawasan semak itu, bau manis tadi semakin menusuk rongga hidungnya. Fikirannya pula semakin kosong. Dia langsung tidak teringat akan keretanya yang dibiarkan tidak berkunci di kaki semak tadi. Langsung tidak teringat akan parti liar yang dihadirinya tadi. Langsung tidak teringat akan ubat yang ditinggalkan bapa angkatnya di atas meja makan awal malam tadi. Sehinggalah seluruh tubuhnya tersengguk tiba-tiba. Dia rebah ke hadapan. Wajahnya terhentak pada akar pohon besar yang terbonjol keluar dari dalam tanah. Darah pekat mengalir membasahi hidung dan bibirnya. Serta-merta dia hilang pertimbangan. Nafasnya menderu kuat. Lehernya terasa tegang. Mulutnya tidak bisa dikatup rapat. Gusinya terasa gatal menahan lapar. Dia bangkit melangkah lebih laju, mengekori bau manis yang kini terhidu pekat sehingga ke kerongkongnya.
Langkah Ashraff terhenti di tengah sebuah kawasan yang ditumbuhi pohon-pohon besar. Di celah-celah selirat akar besar di hadapannya terbaring sekujur tubuh lelaki berlumuran darah. Jelas tidak bernyawa. Ya, bau manis itu datang dari mayat lelaki itu. Ashraff tersenyum lebar. Matanya tidak lagi seperti tadi. Anak matanya berubah tirus. Sekeliling matanya bertukar kekelabuan. Otot-ototnya terasa bergetar menahan keinginan. Tanpa sedar lututnya dibengkokkan, bersedia untuk menujah ke hadapan.
Belum sempat Ashraff membaham mayat di hadapannya itu,
BLAMM!
Bergema bunyi das tembakan senapang patah bapa angkatnya. Ashraff berpaling. Bapa angkatnya sedang berdiri tercungap-cungap di belakangnya. Hujung senapang patah lelaki separuh umur itu dihalakan ke arah Ashraff. Ashraff tidak kelihatan gentar.
"Aku dah ingat semuanya!" Bentak Ashraff.
"Bagus," balas si bapa angkat, "sebab tu kau kena makan ubat-ubat ni." Lelaki itu mengeluarkan segumpal kertas tisu dari dalam koceknya. Dalam gumpalan kertas tisu itu kelihatan beberapa biji pil dan kapsul pelbagai warna.
Ashraff menggeleng. "Aku suka macam ni," senyuman Ashraff semakin lebar, menampakkan gigi-giginya yang kini kelihatan lebih besar berbanding tadi. "Aku suka macam ni," ulangnya tanpa sedar.
"Kau akan menyesal, Ashraff. Jangan diikutkan nafsu!"
Ashraff berpaling memandang mayat tadi, kemudian ke arah bapa angkatnya semula. Dia melangkah perlahan ke arah lelaki itu. Faham akan keadaannya, lelaki itu mengacukan kembali senapang patahnya ke arah Ashraff.
"Kenapa kau kutip aku dulu, orang tua?"
"Sebab kau sama macam aku," jawab lelaki tua itu tanpa teragak-agak. Seakan jawapan itu sudah bermain-main di dalam fikirannya selama ini. Cuma menanti masa untuk Ashraff sedar dan bertanya. "Aku mahu kau sembuh macam aku! Aku mahu kau jadi manusia normal. Aku mahu orang-orang macam kita..."
"Normal? Apa maksud normal? Atau itu cuma perkataan yang manusia reka untuk menggalakkan diskriminasi?!"
"Ashraff, fikiran kau tak stabil. Cuba kosongkan fikiran kau."
"Tak stabil?! Heh, aku tak pernah rasa sehebat ni! Mental dan fizikal. Yang aku perlukan sekarang cuma makanan."
"Ya, dekat rumah ada banyak makanan. Kau nak makan apa? Ayah... uncle sediakan."
Ashraff tidak menjawab. Dia kembali berpaling ke arah mayat tadi. Air liurnya meleleh tanpa sedar. Bapa angkatnya itu mengeluh kecewa, "baiklah. Mari, ikut aku. Takkan kau mahu makan mayat tu? Banyak penyakit."
Ashraff tergamam mendengar kata-kata bapa angkatnya itu. Keningnya terangkat, menanti penjelasan seterusnya.
"Mari..." senapang patahnya diturunkan, "aku ajar kau cara memburu yang betul. Kau akan dapat daging segar," dia menjenguk ke arah mayat berlumuran darah di belakang Ashraff dengan riak jijik, "bukan macam tu."
Ashraff diam merenung bapa angkatnya. Lelaki separuh umur itu tidak lagi kelihatan gerun. Kini wajahnya lebih kelihatan kecewa. Ashraff menderam keras. Bapa angkatnya berpaling lalu melangkah ke arah jalan besar. Ashraff mengekor dari belakang.
"Kalau kau tipu aku, nahas kau, orang tua!" Bentak Ashraff dari belakang. Sekali-sekala dia menoleh ke arah kawasan di mana mayat tadi berada. Namun apabila terdengar akan daging segar, bau mayat itu dirasakan kurang manisnya berbanding tadi.
"Kenapa aku nak tipu kau? Kau anak aku. Aku pun..." kata-katanya terhenti sejenak. Dia menelan air liur, "aku pun dah lama tak dapat daging segar."
Sebaik sahaja mereka berdua sampai ke jalan besar, kelihatan kereta bapa angkatnya diletakkan di belakang keretanya.
"Macam mana kau tahu aku dekat sini?"
"Alat pengesan," lelaki itu menuding ke bahagian bawah kereta MyVi merah di bahu jalan itu.
"Kau!"
"Kau anak aku, Ashraff! Aku yang jaga kau sejak kecil! Aku ada hak."
Ashraff diam.
"Baik, sekarang kita balik dulu. Kita ambil apa yang patut, kemudian kita keluar berburu. Aku nak call polis tentang..." lelaki separuh umur itu merenung Ashraff, menduga-duga. "Kau tak bunuh lelaki tu, kan?"
Ashraff menggeleng. Lelaki separuh umur itu kemudian mengeluarkan telefon bimbit dari dalam koceknya. Ashraff menanti tidak sabar.
"Code Seven, Homo-Canis. Kilometer 16, Bukit Tunku," kata bapa angkatnya itu kepada seseorang di hujung talian.
"Kod apa tu?" Soal Ashraff curiga.
"Itu kod polis. Maksudnya, ada mayat ditemui," jawab bapa angkatnya itu tanpa memandang wajah Ashraff. "Kau sabar, Ashraff. Tahan naluri kau. Sampai polis selesai, kemudian kita makan."
Ashraff diam mengangguk. Jantungnya dirasakan berdegup lebih kencang berbanding tadi. Urat-urat leher dan lengannya semakin menegang. Sesekali dia mengesat hidungnya yang masih berdarah. Bau manis darahnya sendiri membuatkan dia semakin lapar. Dia gelisah. Pintu keretanya dibuka kasar. Kotak rokok tadi dicapainya. Dia menghulurkan sebatang kepada bapa angkatnya. Lelaki itu mencapai selamba. Mereka berdua duduk di atas hood kereta Volvo hitam milik bekas Detektif Inspektor itu. Bau asap rokok yang menari-nari dalam sinar berbalam-balam lampu jalan meredamkan sedikit rasa lapar Ashraff.
Beberapa minit berlalu tanpa sepatah kata. Banyak yang mahu ditanyakan kepada bapa angkatnya itu, namun entah kenapa lelaki itu asyik berdiam diri selepas panggilan telefon tadi. Ashraff mencuri pandang ke arah telefon bimbit di dalam tangan bapa angkatnya itu. Itu bukan telefon bimbit yang biasa lelaki itu gunakan.
"Homo-Canis..." Ashraff menggumam perlahan. Wajah bapa angkatnya berubah sedikit. Dia mengalihkan pandangannya dari Ashraff. Ashraff pula merenung bapa angkatnya itu dalam-dalam. "Uncle bukan polis lagi. Kenapa uncle tak payah kenalkan diri masa buat panggilan tadi?"
Bapa angkatnya menghenjut bahu, "entah. Diorang masih simpan nombor telefon aku. Aku selalu call diorang tentang hal-hal biasa."
Ashraff langsung tidak mengalihkan pandangannya. Wajahnya kelihatan tidak berpuas hati. Dadanya terasa berbahang tiba-tiba. Hatinya panas. "Homo-Canis," gumamnya lagi. "Homo, manusia. Canis, anjing... atau serigala." Dia bangkit dari duduknya. Otot lehernya diregang lenturkan. "Kau cari nahas, orang tua." Mata kelabunya kelihatan bersinar di dalam gelap. Serta-merta lelaki separuh umur itu menjeling ke arah senapang patah yang disandarkan pada pintu kereta. Ashraff menjeling ke arah yang sama. Namun ternyata pergerakan Ashraff lebih tangkas. Tangannya pantas mencapai senapang patah itu. Dengan mudah dia membengkokkan senapang itu dengan lututnya. Lelaki separuh umur itu tergamam.
"Kau khianat aku!" Ashraff menghempas senapang patah tadi ke atas jalan. "Kau khianat anak kau sendiri!"
Bapa angkatnya itu diam. Bersedia. Namun selepas merenung tajam ke arah lelaki itu buat sejenak, Ashraff berlalu pergi tanpa sebarang kata. Dia melangkah pantas, kembali meredah semak-samun tadi. Bukan untuk mencari mayat tadi, sekadar memendam rasa kecewa. Dia tahu sebentar lagi pihak polis atau apa sahaja pihak yang berkaitan akan tiba. Dia tidak berminat untuk mengapa-apakan sesiapa. Dia cuma mahukan penjelasan. Dan bapa angkatnya itu ternyata tidak jujur memberikan penjelasan.
Lelaki separuh umur itu masih tercegat di hadapan kereta Volvonya. Dia langsung tidak berpaling ke arah semak-samun yang diredah Ashraff. Dia lebih berasa kecewa dengan dirinya sendiri. Anak angkatnya itu masih muda. Masih belum berpengalaman menahan nalurinya sendiri. Matanya tertumpu pada telefon bimbit di dalam tangannya. Jam detik pada skrin telefon menunjukkan angka 05:32:02. Lima minit lagi sebelum pihak berkuasa tiba. Dia mendial semula nombor tadi.
"Homo-Canis in Bukit Tunku was a false alarm. My mistake. Sorry." Talian dimatikan. Dia mencapai selamba kotak rokok yang ditinggalkan Ashraff atas hood keretanya.
Sebatang rokok ditarik keluar. Dengan tenang di membakar rokok itu. Tangannya langsung tidak menggeletar. Asapnya ditarik dalam-dalam, membuatkan bara di hujung batang rokok itu menyala terang. Dia menjeling ke arah senapang patahnya yang tergeletak hodoh di atas jalan. Dia tidak perlukan senjata itu. Matanya dipejamkan.
Rokoknya tadi tersisip kemas di sisi bibir. Nafasnya ditarik sedalam mungkin. Dia dapat merasakan sesuatu bergerak-gerak di dalam dadanya. Sesuatu yang sentiasa ada di situ, cuma tidak dibangunkan. Dengan satu hembusan nafas panjang yang menderu kuat, mata putihnya berubah kelabu. Anak matanya pula semakin mengecil sehingga tinggal hanya satu bintik hitam kecil di tengah-tengah. Cukup berbeza dengan mata Ashraff, namun serupa peliknya. Nafasnya bergetar. Otot-otot tubuhnya mengeras pelik. Urat-urat yang berselirat di leher dan lengannya semakin kelihatan.
Tidak seperti Ashraff, dia kekal tenang. Jika tidak kerana matanya, orang mungkin akan menganggap bahawa dia hanyalah seorang lelaki separuh usia yang bertubuh tegap. Asap rokoknya dihembus lembut ke udara. Otot rahangnya bergerak-gerak setiap kali dia membuka mulut. Sudah lama dia tidak berubah bentuk.
Sekali lagi lelaki separuh umur itu menarik nafasnya sedalam mungkin. Serta-merta bau Ashraff menusuk ke dalam hidungnya. 350 meter, arah selatan. Tangannya pantas mencapai kotak rokok tadi. Sebatang lagi dibakar. Langkahnya dimulakan dengan satu tujahan kuat ke atas tanah. Langkah yang seterusnya diserahkan kepada momentum. Dia sudah berpengalaman mengawal tubuh Homo-Canisnya itu. Setiap pergerakan ototnya dikawal rapi dan teratur bagi menjimatkan tenaga. Bau manis mayat tadi ditinggalkan jauh ke belakang. Kini hanya tinggal bau Ashraff yang menjadi fokusnya.
300 meter... 250 meter... 100 meter... derianya mengesan bau lain...
Langkahnya terhenti 30 meter dari Ashraff. Bau Ashraff berhenti bergerak. Ada sesuatu yang tidak kena. Hidungnya kembang kempis mengamati partikel-partikel di dalam udara. Tidak salah lagi, dia terhidu bau Homo-Canis lain berhampiran Ashraff. Langkahnya dibuka seperlahan mungkin. Jika benar terdapat dua lagi Homo-Canis di hadapannya, risikonya untuk dikesan adalah sangat tinggi.
Memang seorang Homo-Canis yang sedang keliru akan sentiasa tertarik untuk menghampiri Homo-Canis yang lain secara naluri. Namun tak sangka ada seorang lagi seperti dirinya dan Ashraff di dalam hutan itu. 20 meter... bau Homo-Canis tadi semakin hampir dengan Ashraff. Dia menggenggam penumbuk, bersedia untuk menyerang sekiranya Homo-Canis tersebut bertindak ganas. Bukan semua Homo-Canis mampu mengawal naluri seperti dirinya. Bisa sahaja mereka berbunuhan antara satu sama lain.
Kelihatan Ashraff sedang menunduk tercungap-cungap. Tidak hairanlah. Dia berlari terlalu laju untuk kali pertama dalam hidupnya. Mata lelaki separuh umur itu liar memerhati sekeliling. Dia tahu Ashraff sedar akan kehadirannya. Namun terlalu letih untuk berkata-kata.
"Kau terlalu laju, Ashraff. Ini kali pertama kau berubah bentuk. Kau perlukan latihan," kata lelaki itu.
Ashraff diam, pura-pura tidak mendengar.
"Ada Homo-Canis lain dekat sini," katanya lagi.
Ashraff mengangguk pendek. "Ya, aku perasan tu," suara Ashraff kedengaran serak.
Mereka berpaling serentak ke arah kawasan berpohon renek yang terletak beberapa meter dari situ. Kelihatan daun pohon-pohon renek di kawasan itu bergerak-gerak. Telinga Ashraff ternaik sedikit, mengamati sebarang bunyi yang terhasil. Kedengaran deruan nafas lemah seseorang di sebalik kersikan daun-daun itu.
Ashraff berdiri gagah. Baru sahaja dia hendak membuka langkah sebelum dihalang bapa angkatnya. Lelaki separuh umur itu menggeleng. Ashraff diam menurut. Namun matanya tajam memerhati setiap pergerakan dedaunan tadi.
Sesaat kemudian, muncul seorang lelaki berbadan tegap dan berjambang melangkah keluar dari jajaran pohon renek itu. Tiada sehelai benang pun di atas tubuh lelaki itu. Bebola matanya berwarna kelabu gelap. Anak matanya pula berbentuk tirus seperti Ashraff. Lelaki itu jelas kelihatan takut dan keliru. Dia memandang Ashraff dan bapa angkatnya bersilih ganti sebelum giginya ditayang garang. Nafasnya deras bergetar. Deraman garau lelaki itu memecah kesunyian. Ashraff dan bapa angkatnya saling berpandangan. Bapa angkatnya menggeleng. Ashraff menurut. Mereka berdua berundur sedikit. Ashraff tidak pasti kenapa. Dia cuma mengikut nalurinya. Sebaik sahaja mereka berundur setapak, serta-merta suara deraman lelaki tadi diperlahankan. Namun baris giginya masih ditayangkan.
"Tenang, kawan. Kami sama seperti kau!" Ujar lelaki separuh umur itu.
"Sama apa? Apa maksud kau?!" Soal lelaki itu kuat. Suara garaunya seakan mampu menggetarkan embun-embun di atas dedaunan pohon hutan itu.
"Lihat saja diri kau, kawan. Kau bukan manusia biasa."
Ashraff mengangguk, bersetuju dengan kata-kata bapa angkatnya itu. Lelaki tadi memandang Ashraff atas bawah. Tubuh Ashraff memang tegap, namun tidak setegap dirinya. Lelaki separuh usia di hadapannya pula tampak tenang. Tidak menerbitkan aura ancaman. Dia meredamkan suara bertarungnya.
"Macamlah aku tak tahu yang aku bukan manusia biasa. Korang siapa?" Tanya lelaki itu jujur. Suaranya kedengaran lain berbanding tadi. Lebih seperti seorang manusia.
"Tak ada siapa-siapa. Cuma kita sama species. Itu sahaja."
"Kau datang dari mana?" Tanya Ashraff pula. Lelaki itu menjeling ke arah Ashraff, berkira-kira untuk menjawab.
"Dari atas sana. Aku... aku terbau sesuatu yang manis. Tapi aku tak jumpa puncanya," lelaki itu menuding ke arah puncak Bukit Tunku, di mana terletaknya rumah yang menganjurkan parti yang Ashraff hadiri tadi.
"Tak mungkin kau boleh hidu bau mayat tu dari atas sana..." bapa angkat Ashraff mengangkat keningnya. Lelaki bertubuh tegap tadi mengangkat bahunya. "Kau terhidu bau kami tak?" Tanya bapa angkat Ashraff lagi.
"Ya, cuma aku tak pasti bau apa. Terlalu banyak bau baru yang tak pernah aku hidu sebelum ni."
Bapa angkat Ashraff meraba-raba kocek seluarnya. Kotak rokok Winston filter Ashraff tadi dikeluarkannya lalu dihulurkan kepada lelaki itu. "Ini dapat meredamkan sedikit naluri kau," katanya.
Lelaki itu diam. Dalam keadaan teragak-agak dia mencapai kotak rokok dari dalam tangan bapa angkat Ashraff. Lelaki separuh umur itu sekadar mengangguk, menggalakkan. Sebatang rokok dikeluarkan lalu diselitkan di celah bibirnya. Bapa angkat Ashraff memetik pemetik api, membakar hujung rokok itu. Lelaki berbadan tegap itu menarik nafasnya dalam-dalam. Urat-urat yang timbul di atas dahinya kelihatan semakin kurang ketara. Wajahnya kelihatan sedikit tenang berbanding tadi. Asap rokoknya dihembus deras ke sisi. Dia mengangguk berterima kasih.
"Macam mana rasanya?"
"Semuanya masih jelas. Cuma... cuma tidak terlalu berserabut. Lebih tersusun, mungkin."
"Asap rokok mengandungi toksin yang mampu meredamkan deria haiwan. Namun tidak terlalu kuat sehingga mampu meredamkan sepenuhnya deria Homo-Canis. Kau akan berasa lebih tenang nanti."
Ashraff mencapai kotak rokok tadi dari dalam tangan bapa angkatnya. Sebatang dihulurkan kepada lelaki separuh umur itu. Sebatang lagi diselitkan di celah bibirnya. Belum semput dia memetik pemetik api, kedengaran jelas salakan anjing dari arah jalan besar. Ketiga-tiganya berdiri tegak, mengamati bunyi salakan itu. Memang terhidu jelas bau beberapa ekor anjing bersama manusia. Anjing pengesan!
"Uncle... unit yang uncle panggil tadi!" ujar Ashraff gabra.
"Aku dah batalkan. Tak mungkin diorang..." lelaki separuh usia itu kemudian berpaling ke arah lelaki berbadan tegap tadi. "Kau... kenapa kau berbogel? Mana baju kau?"
"Aku... aku memang hidup macam ni."
Kening Ashraff terangkat mendengarkan kata-kata lelaki itu. "Kau hidup dalam zoo ke, tak pakai baju?"
"Kau jangan kurang ajar!"
"Diam!" Bentak bapa angkat Ashraff. Mereka berdua menurut. "Sekali lagi aku tanya, kau dari mana?"
"Dari atas sana. Aku dah cakap, kan."
"Ada apa di atas sana?"
Lelaki itu diam. Hidung bapa angkat Ashraff kembang kempis mengesan bau dari tubuh lelaki itu. Kemudian dia mencampak putung rokoknya ke atas tanah.
"Kau dari makmal, kan?!" Jerkah bapa angkat Ashraff. Lelaki itu mengangguk mengiyakan. "Bodoh!" Jerkah lelaki separuh usia itu lagi, "kenapa kau lari dari makmal?!"
"Makmal apa ni?!" Soal Ashraff keliru.
"Manalah aku tahu makmal apa! Patutlah aku terhidu bau bahan kimia pada badan dia."
Lelaki itu kelihatan serba-salah menggaru kepalanya. Bunyi salakan anjing-anjing tadi kedengaran semakin hampir.
"Jadi, dia ni bahan ujikaji?" Soal Ashraff.
"Sekarang bukan masanya untuk bincang tentang benda ni. Aku cukup pasti, siapa saja yang bawa anjing-anjing tu, pasti bersenjata. Kita kena bergerak sekarang!" Lelaki separuh umur itu memandang kedua lelaki di hadapannya bersilih ganti, "korang larat nak lari?"
Kedua-duanya mengangguk mengiyakan.
"Bagus," ujarnya ringkas, "ikut aku!" Langkahnya dimulakan dengan tujahan kuat seperti tadi. Tidak sampai beberapa saat, mereka bertiga kini sedang berlari meredah hutan tebal. Sekali-sekala haluan mereka terpisah bagi mengelak dari terlanggar pohon-pohon besar.
"Gunakan berat badan sendiri untuk momentum!" Arah bapa angkat Ashraff sebaik sahaja laluan mereka kembali bertemu. Ashraff dan lelaki berbadan tegap tadi mengangguk faham. Mereka dapat mendengar derapan kaki beberapa ekor haiwan liar berlari bertempiaran menjauhi laluan mereka. Semakin jauh mereka masuk ke dalam hutan itu, keadaan sekeliling mereka menjadi semakin gelap.
"Suasana semakin gelap. Fokuskan minda pada deria penglihatan. Jangan tersadung akar pokok!"
"Baik, ayah!" Ujar Ashraff spontan. Bapa angkatnya tidak berpaling, namun tersenyum.
Lelaki berbadan tegap tadi pula jelas kelihatan gabra. "Aku tak nak balik makmal tu lagi!" Laungnya tiba-tiba. Langkahnya dibuka lebih luas. Tujahan kakinya membawa lelaki itu ke hadapan lebih laju berbanding dua orang rakannya itu.
"Hoi! Tunggu!" Laung Ashraff ke arah lelaki itu. Serentak itu juga kaki lelaki itu tersadung akar pokok besar yang berselirat di atas tanah. Jauh lelaki itu terhumban ke hadapan. Bergegar tanah di bawah kaki mereka menerima hentaman tubuhnya yang besar. "Bodoh!" Jerkah Ashraff.
Seperti dirancang-rancang, Ashraff mencengkam lengan kanan lelaki itu, manakala bapa tirinya pula mencengkam lengan sebelah kiri. Tubuh lelaki itu terangkat, lalu diseret ke hadapan oleh kedua-duanya. Tanpa memberhentikan langkahnya, bapa angkat Ashraff menolak belakang lelaki itu agar dia kembali berdiri. Sebaik sahaja imbangan tubuhnya kembali, lelaki itu membuka langkahnya semula. Namun kali ini lebih teratur. Dia berlari sedikit perlahan berbanding tadi. Jelas kakinya tercedera.
"Ayah, Ashraff dah tak dengar bunyi anjing-anjing tu."
"Ya, aku perasan jugak. Tak apa, 100 meter lagi, kemudian kita berhenti rehat," kata bapa angkat Ashraff termengah-mengah, "aku nak periksa kaki dia."
Seperti yang dikatakan, langkah ketiga-tiganya terhenti di sebuah kawasan lapang. Kelihatan jelas tiga pasang kesan seretan kaki di atas tanah tempat mereka berhenti mendadak. "Kita rehat di sini dulu," ujar lelaki separuh umur itu. Ashraff mengangguk faham.
Tanpa berkata apa-apa, lelaki tadi terus berbaring tercungap-cungap. Wajah dan jambangnya dibasahi peluh. Dia mengerang kesakitan apabila telapak tangan bapa angkat Ashraff menyentuh pergelangan kakinya. Terdapat bengkak kemerahan sebesar bola tenis pada bukulali kaki kanannya. "Kau cedera. Kalau kita teruskan, aku risau otot kau terkoyak."
Ashraff berjalan mundar-mandir di sekeliling kawasan itu sementara bapa angkatnya cuba membalut kaki lelaki tadi. Sekali-sekala hidungnya diangkat tinggi, cuba untuk mengesan sebarang bau yang mencurigakan. Nafasnya tersekat-sekat menahan senak pada perutnya. Otot perutnya dirasakan keras. Mungkin kerana larian tadi.
"Aku... ergh... aku tak mampu teruskan. Kalau korang nak lari, lari saja. Tinggalkan aku... ergh... tinggalkan aku dekat sini," kata lelaki itu separuh mengerang.
"Tak boleh. Kau seorang Homo-Canis, sama macam kami. Aku takkan buat macam tu dekat kau."
"Homo-Canis... aku tak pernah tahu pun itu nama species macam kita ni. Mereka... ergh... mereka dekat makmal anggap aku macam haiwan! Aku hanya boleh... ergh... aku hanya dibenarkan keluar untuk memburu ayam atau kambing yang dilepaskan dalam sangkar. Selain... ergh... selain dari tu, aku hidup dalam kurungan. Dipaksa berlatih mengangkat beban-beban berat."
"Berlatih angkat beban-beban berat?" Bapa angkat Ashraff menjeling ke arah bahu dan lengan lelaki itu. Tidak hairanlah jika tubuhnya menjadi sesasa itu. "Untuk apa?"
"Aku tak tahu... ergh!"
"Sabar. Sikit saja lagi," carikan kain baju yang digunakan untuk membalut kaki lelaki itu diikat kemas. "Baik, sudah. Sekarang, cuba kau bangun."
Lelaki itu cuba untuk berdiri dengan bantuan bapa angkat Ashraff. Dia mengangguk-angguk, cuba untuk meyakinkan dirinya sendiri. Dia boleh berdiri seperti biasa sekiranya tumpuannya dialihkan dari bengkak pada kakinya itu. "Rokok... aku perlukan rokok," pintanya lemah.
Ashraff meraba-raba kocek seluarnya mencapai kotak rokoknya tadi. Kotak rokok dibuka. Riak wajahnya berubah serta-merta, "maaf, kawan. Rokok dah habis."
"Ah, tak apalah."
"Aku rasa kita dah selamat. Tak ada dah bau anjing-anjing tu," kata bapa angkat Ashraff. "Kalau kau dah boleh berjalan, baguslah. Sekurang-kurangnya kita boleh bergerak kalau keadaan memaksa. Tapi buat masa sekarang, kita bersembunyi di sini dulu."
Ashraff menjeling jam tangannya. Subuh hampir tiba. Dia merebahkan punggungnya. Belakang badannya disandarkan pada sebatang pokok besar. Bapa angkatnya pula sekadar berdiri sambil berpeluk tubuh. Matanya ditumpukan ke arah dari mana mereka datang tadi. Jelas sedang berjaga-jaga. Fizikal Ashraff terasa terlalu letih. Dia melelapkan matanya, cuba untuk menghadam setiap perkara yang berlaku malam itu.
"Malik," lelaki berbadan tegap tadi bersuara tiba-tiba. Ashraff membuka separuh mata, memandangnya. "Nama aku Malik," ulang lelaki itu.
"Aku Ashraff," ujar Ashraff selamba.
Bapa Ashraff diam sejenak. Namun dia seakan dapat merasakan Malik sedang merenungnya. "Panggil aku Jalal," katanya tanpa berpaling. Ashraff menjeling ke arah bapa angkatnya. Jarang lelaki itu memperkenalkan dirinya kepada orang luar. Mungkin kerana terbiasa hidup dalam kerahsiaan kerja.
Malik mengangguk perlahan. Dia berbaring semula. Lengannya diletakkan ke atas dahi. Dadanya masih berombak. Sekali-sekala derapan ranting yang jatuh membuatkan dia tersentak. Setiap kali itu juga dia berasa begitu berterima kasih kepada Jalal dan Ashraff kerana membantunya. Ashraff nampaknya sudah terlena manakala Jalal masih berdiri di tempatnya. Mata Malik terasa berat. Degupan jantungnya semakin perlahan. Tidak sederas tadi.

"Bangun, Ashraff! Malik!" Teriak Jalal tiba-tiba. Ashraff tersentak terjaga. Angin bertiup kencang. Terlalu kencang. Kelihatan jalur jingga dari ufuk timur. Matahari hampir terbit. Malik bingkas bangun. Lupa akan kecederaan pada kakinya.
"Ayah, kenapa?" Ashraff menggosok-gosok matanya yang kini sudah kembali seperti sediakala. Dia menjeling ke arah Malik. Mata lelaki itu juga kelihatan normal. Cuma mata bapa angkatnya yang masih kelabu.
Jalal menuding ke arah utara. Kelihatan sebiji helikopter hitam menderu menghampiri mereka. Lampu limpah dari helikopter itu masih disuluh ke merata arah. Itu bermakna mereka belum ditemui. Kepala Ashraff terasa bingung mendengarkan bunyi deruan kipas helikopter itu.
"Kita... kita nak buat apa?" Soal Malik sedikit gugup.
"Kita tinggalkan kawasan lapang ni. Masuk lebih dalam," ujar bapa Ashraff, menuding ke arah pohon-pohon besar arah selatan mereka. Ashraff dan Malik mengangguk. Kemudian, bagaikan ditampar realiti, mereka berdua saling berpandangan. Mereka tidak tahu bagaimana hendak berubah bentuk secara rela.
"Kau... macam mana kau berubah bentuk?" Ashraff mengangkat keningnya ke arah Malik.
"Diorang inject aku dengan... aku tak tahu apa."
Perhatian Jalal masih pada helikopter tadi. Sinaran lampu limpahnya dihalakan dari kiri ke kanan, kemudian ke kiri semula.
"Ayah..."
Tanpa perlu penjelasan dari Ashraff, bapa angkatnya menggigit lengannya sendiri. Sebahagian kecil dari dagingnya tercarik. Cebisan daging kecil itu diludahkan ke atas tanah. Ternyata cebisan itu cukup menarik perhatian dua orang pemuda tadi.
"Tumpukan perhatian pada daging aku tu. Tarik nafas dalam-dalam. Ingat, kau berdua Homo-Canis. Sekaranglah masanya untuk kau gunakan kelebihan itu," Jalal memberi arahan.
Tanpa mempedulikan bau hapak tanah hutan yang lembap itu, Ashraff menarik nafasnya dalam-dalam. Bau manis daging di hadapannya itu membuatkan dadanya terasa panas. Seakan ada satu hidupan lain di dalamnya. Terjaga dari tidur dan bersedia untuk santapan.
Tanpa sedar, kini anak matanya berubah kekelabuan. Otot-ototnya menegang. Urat-urat lengan dan lehernya yang sedia timbul kini kelihatan lebih ketara. Namun mindanya masih waras. Tidak seliar tadi.
Ashraff berpaling ke arah kiri. Anak mata Malik dilihatnya masih putih kemerahan. Lelaki itu jelas sedang mencuba sedaya-upayanya, namun tiada apa yang berubah tentangnya selain riak kecewa. Dia menoleh memandang Ashraff, memohon sokongan. Ashraff pula berpaling ke arah bapa angkatnya. Jelas tidak tahu apa yang perlu dilakukan untuk membantu.
"Ayah," panggilnya perlahan. Jalal berpaling ke arah mereka, kemudian ke arah helikopter tadi semula.
"Dah tak sempat," kata lelaki separuh umur itu. "Ashraff, fokuskan tenaga pada seluruh kaki, mata dan bahu kau."
"Bahu?" Ashraff terpinga-pinga.
"Ya. Tak ada jalan lain. Kita terpaksa pikul dia," kata Jalal tanpa memandang dua orang pemuda itu.
Ashraff merenung sejenak ke arah Malik. Ego lelaki itu jelas tercalar. Namun dia sekadar mengangguk, membenarkan. Dia menghampiri Ashraff. Teragak-agak, dia merangkul leher Ashraff dari belakang. Ashraff kelihatan sedikit kekok memikul seorang lelaki yang bertubuh tegap seperti Malik. Terasa setiap inci bahagian hadapan tubuh Malik menekan belakangnya. Wajah Ashraff menggerenyet sedikit. Namun seperti yang dikatakan oleh bapa angkatnya awal tadi, keadaan sedang memaksa.
"Dah sedia?" Tanya Jalal. Dua orang pemuda itu mengangguk serentak. "Kalau kau tak larat, bagitahu aku. Kita pikul Malik berganti-ganti," ayat itu ditamatkan dengan satu tujahan kuat ke atas tanah.
Ashraff membengkokkan lututnya. Otot pahanya terasa tegang apabila dia berbuat begitu. Dengan satu tujahan yang tidak kurang kuatnya, Ashraff menyaingi kelajuan Jalal. Kini mereka berlari seiringan. Ashraff cukup pasti bahawa bapa angkatnya itu sengaja memperlahankan langkahnya.
"Jangan terpisah!" Kata lelaki separuh umur itu dengan nafas tertahan-tahan. "Tapi kalau terpisah, teruskan saja ke arah selatan!"
"Ya, ayah! Dah bagitahu tadi, kan? Lari saja!" Betah Ashraff.
"Jalal! Kalau aku lari sendiri tak boleh ke?" Tanya Malik jujur.
"Heh... kau akan ketinggalan jauh, kawan. Kau akan tidur dalam makmal semula," jawab Jalal sinis. Malik diam. Rangkulannya pada leher Ashraff diperketatkan.
Bunyi deruan kipas helikopter tadi masih jelas kedengaran. Ashraff tidak pasti sama ada kerana deria Homo-Canisnya, atau memang helikopter tadi semakin menghampiri mereka. Bapa angkatnya pula mempercepatkan sedikit langkah setiap beberapa ratus meter. Lutut Ashraff terasa kebas. Seluruh kakinya kini dirasakannya cukup asing. Di hadapan mereka, hutan semakin tebal. Laluan pula semakin sempit. Matanya ligat memerhati setiap selirat urat di atas lantai hutan. Dia tahu, jika terleka buat sejenak, nasibnya akan sama seperti Malik tadi.
Serentak itu juga lampu limpah helikopter tadi menyuluh ke arah mereka. Jantung Ashraff terasa terhenti buat sesaat. Dia merenung belakang bapa angkatnya, menantikan arahan dari lelaki itu. Namun lelaki separuh umur itu masih tetap berlari tanpa mempedulikan lampu limpah tadi.
"Berhenti! Atas nama Kementerian Pertahanan, berhenti!" Seru suara seorang lelaki dari helikopter tersebut (jelas menggunakan speaker).
"Memang tidaklah, sial!" Jerkah Malik tiba-tiba. Tangannya dihayunkan deras, menunjukkan isyarat lucah ke arah helikopter tadi. Ashraff tersentak sedikit. Langkahnya terhuyung-hayang mencari semula rentak larian. Namun lututnya kini dirasakan seakan lumpuh. Dia tidak mampu lagi mengawal langkahnya. Dengan satu dentuman kuat, tubuh Ashraff menghentam sebatang pokok besar. Bersepai serpihan batang pokok itu, mengenai Jalal yang turut berhenti mendadak. Ashraff tidak sedarkan diri, manakala Malik terhumban jauh ke hadapan. Helikopter tadi diterbangkan rendah di atas kepala mereka. Hujung pohon-pohon hutan itu menari-nari melawan deruan angin dari bilah-bilah kipas gergasi itu. Sinaran cahaya lampu limpah tadi menyilaukan mata Jalal.
"Atas nama Kementerian Pertahanan, jangan bergerak!" Laung seseorang dari speaker helikopter tadi. Dua orang lelaki bermesingan menjenguk keluar dari kedua belah perut helikopter itu.
"Melutut! Tangan di atas kepala!"
Lelaki separuh umur itu akur. Dia melutut. Matanya liar mencari kelibat Malik, namun tidak kelihatan. Ashraff dilihatnya masih tidak sedarkan diri. Wajahnya bercalar-balar dengan beberapa kesan torehan pada dahi dan hidungnya. Pakaiannya pula koyak-rabak. Selain dari itu, Ashraff kelihatan tidak cedera teruk. Mungkin tadi kakinya sempat menahan langkah tanpa sedar.
"Kami akan turun ke bawah! Jika anda melawan, sarapan pagi anda adalah peluru mesingan!"
"Turun sajalah!" Laung Jalal marah.
Tiga orang lelaki berpakaian serba hitam, lengkap dengan vest kalis peluru dan senjata berat melurut turun menggunakan tali yang dicampak dari helikopter tadi. Sebaik sahaja kaki mereka menjejak tanah, hujung senjata ketiga-tiganya dihalakan ke arah Jalal dan Ashraff bersilih ganti. Apabila mereka dapati Ashraff tidak sedarkan diri, dua orang dari mereka bergegas menolak tubuh Jalal ke atas tanah. Jalal dapat merasakan lutut salah seorang dari mereka menekan kuat belakang badannya. Tangannya diikat ke belakang dengan rantai halus yang bergemerincing pelik. Rantai besi itu terasa seakan membakar pergelangan tangannya. Jelas bukan besi biasa. Serentak itu juga dia berubah menjadi manusia biasa semula. Jika tidak kerana keadaannya, sudah tentu Jalal akan berminat untuk bertanya tentang besi yang mereka gunakan itu. Dia cuba untuk melawan, namun tidak berdaya.
Tiba-tiba sebelah kiri kepala Jalal dihentak dengan belakang senjata berat tadi. Berpinar pandangan matanya. Dia sempat menjeling ke arah Ashraff sebelum matanya terpejam rapat. Tangan Ashraff turut diikat dengan rantai yang sama. Serta-merta tubuh Ashraff berubah seperti manusia biasa semula. Rantai besi halus berwarna kebiruan. "Mungkinkah itu material... yang... yang aku cari selama..." Jalal rebah tidak sedarkan diri.
Bau hancing menusuk sehingga ke kerongkong Jalal. Terbatuk-batuk, dia tersedar dari tidur yang langsung tidak selesa. Lantai simen kelabu menyakitkan tubuhnya. Kepalanya terasa bingung. Dia meraba-raba bahagian kiri pelipisnya. Bengkak teruk. Teringat apa yang berlaku, dia bingkas bangun, berpaling ke kiri dan kanan, mencari Ashraff. Namun tidak kelihatan kelibat anak angkatnya itu. Yang ada di dalam ruang kecil itu hanyalah beberapa bekas besi berwarna keperakan. Di hadapannya, jeriji besi seakan-akan kandang haiwan. Terasa seperti melawat pusat perlindungan haiwan, namun kali ini dia yang berada di dalam kandang itu. Dia menoleh semula ke arah bekas-bekas besi tadi. Tidak perlu dia meninjau untuk mengagak apakah isinya. Baunya saja sudah memeritkan tekak.
"Ashraff!" Laung Jalal. Namun tiada sahutan. Yang memecahkan kesunyian sejak dari tadi cuma bunyi decitan tikus. Mata Jalal liar mencari sebarang bukaan. Di sebalik jeriji besi itu kelihatan beberapa lagi sel dengan keluasan yang sama, namun kosong. "Ashraff!" Laungnya lagi.
"Diam!" Jerkah seseorang dari hujung lorong sel itu. Namun kelibatnya tidak kelihatan.
"Hoi! Tempat apa kau bawa aku ni? Kau ingat aku binatang?!"
"Diaaaam! Anjing kurap!"
"Celaka!" Jalal mengetap giginya.
"Ayah?" Suara Ashraff kedengaran lemah, namun jelas datang dari sel sebelah kanannya.
"Ashraff? Kau ok, nak?" Jalal cuba untuk menjengukkan kepalanya keluar dari jeriji sejuk itu, namun kepalanya ternyata terlalu besar.
"Ok. Aduh... apa dah jadi, ayah?" Bisik Ashraff.
Jalal menerangkan tentang apa yang berlaku kepada Ashraff. Bagaimana helikopter itu dapat menjejak mereka, bagaimana rantai yang mereka gunakan mampu untuk meredamkan naluri Homo-Canis mereka dan bagaimana Malik berjaya melepaskan diri. Namun dia tidak pasti sama ada semua itu berlaku semalam atau baru tadi.
"Cuba check phone kau, nak. Phone aku entah mana."
"Tak ada juga, ayah. Kocek Ashraff kosong."
"Cari apa?" Seorang lelaki botak beruniform tentera tiba-tiba muncul entah dari mana, meninjau ke dalam kandang Jalal. Suara lelaki itulah yang memanggilnya anjing kurap tadi. Jalal menderu ke arah jeriji besi, cuba untuk menerkam lelaki itu. Namun pergerakan lelaki itu ternyata pantas. Jalal kemudian teringat, dia kini hanya manusia biasa. Gelang besi kebiruan masih diikat pada lengan kanannya. Kecil sedikit berbanding yang digunakan untuk mengikat lengannya sebelum ini. Dia menarik-narik gelang itu, namun rantaiannya tetap utuh mengelilingi lengannya.
"Apa benda ni?" Tanya Jalal kasar. Lelaki tadi menjeling ke arah gelang itu.
"Gelang Perak Purba. Berkesan untuk mengawal anjing-anjing macam kau."
"Gelang Perak Purba? Maksud kau, Vateris-argentum?"
Lelaki botak tadi mengangkat keningnya, "hmm... tak sangka. Anjing yang bijak."
"Aku cadangkan kau berhenti panggil ayah aku anjing!" kedengaran suara Ashraff menengking dari sel sebelah.
"Oh, anak-beranak rupanya. Tapi pelik. DNA tak sama. Anak angkat?"
"Bukan urusan kau!" Kata Jalal garang. "Kau nak apa dari kami?"
"Kami tak mahu kau, atau anak kau. Kami cuma mahu anjing kami. Mana dia?" Soal lelaki botak itu tenang. Matanya jelas sedang menilai setiap perubahan riak wajah Jalal.
"Aku tak faham maksud kau."
"Anjing... maksud aku, lelaki yang anak kau pikul semalam. Mana dia?"
"Kami tak tahu," jawab Jalal selamba. Lelaki botak tadi mengangguk sabar. Dia mengeluh pendek.
"Aku ulang sekali lagi... MANA DIA?!"
Jalal terdiam. Jelas bahawa Malik begitu penting bagi mereka. Dia dan Ashraff juga Homo-Canis. Tapi kenapa mereka tetap mahukan Malik?
"Aku tak tahu. Aku tak kenal dia pun. Kami terserempak dalam hutan."
"Heh... terserempak macam tu saja? Kau ingat aku bodoh?"
Jalal diam sejenak. Kalaulah dia boleh berubah menjadi Homo-Canis sekarang. "Ini makmal Kementerian Pertahanan, kan? Takkan kau tak buat apa-apa kajian tentang naluri Homo-Canis? Setiap Homo-Canis yang keliru atau tersesat akan sentiasa tertarik dengan Homo-Canis lain secara naluri."
"Tak payah ber-Homo-Canis dengan akulah. Sebut anjing saja!"
"Kurang ajar!" Bentak Ashraff. Namun lelaki botak itu ternyata tidak berminat dengannya. Dia sekadar tersenyum memandang Jalal.
"Ghafar! Bawa dua lelaki tu ke bilik soal siasat. Aku nak berborak dengan mereka tentang kawan Homo-Dirus mereka. Over." Kedengaran suara seorang lelaki dari walkie-talkie lelaki botak tadi. Lelaki itu tidak mengendahkan arahan itu. Dia masih tersenyum memandang Jalal.
"Homo-Dirus..." gumam Jalal.
"Kau ingat kau dah cukup bijak? Kau dah tertipu dengan kawan Homo-Dirus kau tu, anjing bodoh!" Lelaki botak itu ketawa menghina. Dia mencapai walkie-talkie di atas dadanya, "baik, tuan!"
Selepas memberi arahan kepada beberapa orang tentera, pintu sel Jalal dan Ashraff dibuka. Namun ternyata mereka tidak berpeluang untuk meloloskan diri. Enam orang tentera bersenjata berat mengawal langkah mereka berdua. Langkah mereka diketuai oleh lelaki botak tadi. Sepanjang perjalanan melalui sel-sel kosong hapak itu, mata Jalal liar memerhati sekeliling, mencari apa sahaja klu yang boleh ditafsir. Selain dari kelibat beberapa ekor tikus yang menyelinap ke celah-celah jeriji sel, ruang itu hanya kelihatan seperti sebuah penjara yang kotor. Ashraff pula sedari tadi diam tidak bersuara. Sesekali dia menjeling marah ke arah lelaki botak yang berjalan di hadapan sekali.
"Malik tipu kita?" Bisik Ashraff. Jalal menghenjut bahu. Jelas tidak mahu dipukul lagi dengan senjata para tentera itu.
Mereka berjalan sepanjang koridor yang menempatkan beberapa buah makmal sebelum diarah masuk ke dalam dua buah bilik kecil yang berasingan. Setiap bilik menempatkan sebuah meja besi yang dipasak pada lantai. Pada satu belah meja itu diletakkan sebuah kerusi besi (yang diduduki oleh Jalal). Berhadapan dengan kerusi itu pula diletakkan dua buah lagi kerusi yang serupa. Keadaan bilik itu kelihatan bersih dan terang-benderang.
Buat beberapa ketika, Jalal sekadar duduk bodoh, memerhati sekeliling. Tiada orang lain di dalam bilik itu. Di bilik sebelahnya (di mana Ashraff berada) juga begitu. Namun mental Ashraff jelas lebih tegang berbanding Jalal. Jalal kelihatan tenang.
Sejenak kemudian, masuk seorang lelaki berusia awal 40-an, bermisai lebat ke dalam bilik itu. Seperti lelaki botak tadi, lelaki itu juga beruniform tentera. Lelaki itu tersenyum mesra ke arah Jalal. Jalal tidak mengendahkan senyumannya. Lelaki itu melangkah perlahan, menyapa Jalal dengan panggil 'encik', kemudian duduk di kerusi bertentangan dengan Jalal.
"Macam mana keadaan tempat tidur encik?"
"Heh," Jalal menjeling, "tak payahlah kau nak psiko aku. Tanya saja apa kau nak tanya!"
"Jangan macam tu. Kita berbual dulu," ujar lelaki bermisai lebat itu mesra.
"Kau nak berbual? Baik, kita berbual. Homo-Dirus tu apa?"
Lelaki tadi diam. Dia memandang ke dalam mata Jalal. Kemudian bibirnya mengukir senyuman sinis, "mutasi genetik manusia. Evolusi jangka-pendek. Panggil saja apa kau nak panggil. Macam kau juga, cuma lebih bijak. Jauh lebih bijak. Lebih besar. Lebih kuat juga."
"Heh, kalau macam tu, lelaki kau cari tu bukan Homo-Dirus," ujar Jalal yakin.
Lelaki bermisai lebat itu mendengus pelik, seakan apa yang dikatakan oleh Jalal itu cukup menghiburkannya. "Apa yang membuatkan kau cukup yakin?"
"Besar, ya. Tapi lebih bijak dari aku?" Jalal menggeleng. "Aku tak rasa macam tu."
Lelaki tadi tersenyum, "kau menilai menggunakan mata kasar. Dia yang mahu kau lihat dia macam tu. Nampak naif dan bodoh, kan? Kau dan anak kau dah dipermainkan."
Jalal diam merenung permukaan meja yang kosong itu. Dia cuba mengingat semula setiap perkara yang berlaku sebelum itu.
"Aku percaya yang sebelum ni kau tak kenal dia. Macam mana kau boleh bertembung dengan dia?" Tanya lelaki tadi. Jelas lelaki itu lebih bijak menilai cerita benar berbanding penipuan.
Jalal menceritakan bagaimana malam itu Ashraff enggan mengambil ubatnya. Juga bagaimana Ashraff yang dalam perjalan pulang dari sebuah parti di puncak Bukit Tunku tertarik dengan bau mayat di dalam hutan. Sampai sahaja bahagian di mana mereka bertembung dengan Malik dia dalam hutan itu, lelaki tadi mengangkat tangannya, meminta Jalal berhenti.
"Parti siapa?" Soalnya penuh minat.
"Parti siapa?" Jalal mengangkat keningnya. "Penting ke?"
Lelaki itu diam, jelas sedang berfikir. Kemudian dia melangkah keluar dari bilik itu, meninggalkan Jalal yang terpinga-pinga. Selang dua minit kemudian, lelaki tadi kembali semula. Kali ini bersama Ashraff di sebelahnya.
"Duduk, Ashraff," arah lelaki itu. Ashraff menurut. Dia menjeling ke arah bapa angkatnya, kemudian ke arah lelaki bermisai lebat tadi semula.
"Kau nak apa?" Tanya Ashraff kasar.
"Parti yang kau pergi malam tu. Parti siapa?"
Wajah Ashraff kelihatan berfikir-fikir. Kemudian dia menghenjut bahunya. "Entah. Aku tak tahu."
"Macam mana kau dapat jemputan untuk ke parti tu?"
"Aplikasi telefon bimbit. E-Party. Orang tua macam kau mungkin tak pernah dengar," kata Ashraff, sengaja menghina.
Lelaki bermisai lebat itu mengangguk faham. Dia tersenyum mesra ke arah Ashraff. Jalal pula memandang mereka berdua bersilih ganti. Jelas tidak faham. Kemudian lelaki tadi mengeluarkan telefon bimbit Ashraff dari dalam koceknya. Peranti itu dihulurkan kepada Ashraff. Ashraff terdiam, memandang lelaki itu. Teragak-agak, dia mencapai telefon bimbitnya. Lelaki itu mengangguk menggalakkan.
"Kenapa?" Tanya Ashraff hairan.
"Buka aplikasi tu. Mesti ada rekod parti terakhir yang kau hadiri, kan? Aku nak tengok."
Ashraff menurut. Jarinya deras menari-nari di atas skrin telefon bimbitnya itu. Wajahnya berubah serta-merta. Langsung tiada sebarang jemputan yang diterimanya malam itu. Parti terakhir yang dihadirinya adalah pada malam sabtu lepas. Lokasi di Bangsar Baru. Bukannya Bukit Tunku.
"Dah tak ada," ujar Ashraff sedikit hairan, "rekod parti malam tu dah tak ada. Mungkin ada orang padam."
Lelaki tadi tersenyum penuh makna, "antara kebolehan Homo-Dirus adalah mengumpan Homo-Canis yang lemah melalui manipulasi minda. Macam kisah Kitsune dalam dongeng Jepun."
"Kitsune musang, kan? Kami..." Jalal kelihatan teragak-agak untuk menyebut perkataan 'anjing' di hadapan Ashraff.
"Macam saja, encik Jalal. Macam. Kualiti mental dan fizikal Homo-Dirus lebih seperti seekor Dire Wolf berbanding anjing atau serigala biasa," lelaki itu diam sejenak, jelas sedang menyusun ayat paling mudah untuk difahami oleh dua beranak itu, "Homo-Dirus yang terlepas tu satu-satunya Homo-Dirus yang kami dapat kesan di Malaysia. Dia spesimen berharga..."
"Spesimen?! Kami manusia!" Ashraff memotong kasar kata-kata lelaki tadi. Namun lelaki itu kekal tenang.
"Ya, kau manusia. Bapa kau juga manusia. Kami tak berminat dengan Homo-Canis. Kita sedang bercerita tentang Homo-Dirus. Kau tak sedar lagi apa yang dia dah buat pada kau?"
Ashraff diam sejenak, memandang bapa angkatnya, kemudian menggeleng. Wajahnya merah berbirat. Luka pada hidung dan dahinya kembali berdarah.
"Sebaik sahaja dia dapat lepas dari sangkar Vateris-argentum kami, dia terus mengesan Homo-Canis yang paling hampir dengannya. Dan aku agak pasti waktu tu kau berada berhampiran Bukit Tunku, kan?"
Ashraff kelihatan berfikir-fikir. Dia cuba mengingat kembali setiap butiran yang berlaku pada malam itu. Pada awalnya, bertengkar dengan bapanya itu kerana ubat. Dia berkeras tidak mahu makan. Kemudian dia pujuk bapa angkatnya itu semula.
- "Ashraff keluar sekejap jer. Ambil angin. Dah letih nanti Ashraff balik," pujuk Ashraff lembut. "I need this, uncle. I need to clear my mind off things," katanya sambil mencapai botol airnya dari atas meja.
Botol air? Kenapa dia bawa botol air malam tu? Takkan pergi parti bawa bekal air? Tak mungkin mindanya dipermainkan. Dia benar-benar hadiri parti tu. Dia ingat lagi, dekat parti tu dia... tak ada. Langsung tak ada memori tentang parti tu lepas dia berubah menjadi Homo-Canis.
"Awalnya ayah ingat Ashraff pergi ambil angin malam tu. Jogging?"
Ashraff tersentak mendengar kata-kata bapa angkatnya itu. Ya! Dia bukan hendak ke parti malam itu. Dia berasa lesu selepas pulang dari kerja. Kelesuan itulah yang membuatkan dia terasa mahu naik ke Bukit Tunku untuk berjogging sambil mengambil angin malam.
"Ya," buntang mata Ashraff memandang lelaki bermisai lebat di hadapannya itu, "aku... aku tak hadiri mana-mana parti. Aku masih ingat, malam tu malam Rabu. Mana ada orang anjurkan parti malam Rabu. Siapa nak datang?"
Lelaki bermisai lebat tadi tersenyum mengangguk-angguk. "Dan mayat yang kau jumpa tu, tak mustahil Homo-Dirus tu yang bunuh. Dah ramai aset kami yang jadi mangsa helahnya."
Jalal dan Ashraff terdiam. Tanpa sedar Jalal meraba-raba gelang besi kebiruan yang melingkari pergelangan tangannya.
"Macam inilah, aku cadangkan supaya kita bekerjsama untuk..." baru sahaja lelaki bermisai lebat itu hendak menghabiskan ayatnya, tiba-tiba kedengaran dentuman kuat dari tingkat atas mereka. Ketiga-tiganya mendongak memandang siling.
"DAMMM!"
Sekali lagi kedengaran bunyi dentuman kuat. Habuk-habuk dari siling bertaburan ke atas meja.
"Homo-Dirus tu!"
"Sekejap. Buat apa dia datang semula?" Soal Jalal hairan. Lelaki tadi bingkas bangun, memandang Jalal dan Ashraff bersilih ganti, kemudian berlalu keluar dari bilik itu tanpa berkata apa-apa. Jalal dan Ashraff termanggu memandang sesama sendiri.
"Kita nak buat apa, ayah?"
"Kita jangan masuk campur. Kita cari jalan untuk tanggalkan gelang ni, kemudian kita pergi dari sini."
Ashraff mengangguk faham. Baru sahaja mereka hendak bangun, kedengaran berdas-das tembakan senjata berat di luar pintu bilik soal siasat itu. Ashraff memandang bapa angkatnya, jelas kelihatan gerun. Jalal berlagak tenang. Dia menghampiri pintu. Kunci pada tombol pintu itu ditekan, macamlah itu dapat melindungi mereka dari seekor makhluk yang mampu memecah masuk sebuah makmal tentera.
Mata Jalal tertancap pada telefon bimbit Ashraff yang tergeletak di atas meja. Dia deras mencapai telefon bimbit itu. Ashraff membiarkan. Dia sekadar memerhati setiap pergerakan bapa angkatnya itu.
"Ah, tak ada line pulak!"
"Tak ada line? Call 999 tak ada line pun boleh, kan?"
"Buat apa nak call 999? Kita dekat makmal tentera ni! Aku cuma nak tahu lokasi kita."
"BAMM!" Pintu bilik soal siasat itu dihentak dari luar.
"Ashraff! Jalal! Jangan risau, aku datang untuk selamatkan korang!" Terdengar laungan Malik dari balik pintu. Jalal melangkah ke belakang sedikit. Melihat reaksi bapa angkatnya itu, Ashraff menjadi semakin gabra.
"Macam mana ni, ayah?" Matanya buntang memandang Jalal. Jalal menggeleng. Matanya tidak putus-putus memandang pintu itu yang bergegar dari setiap hentaman Malik.
Selepas hentaman kelima, pintu itu berdentum tertanggal dari engselnya. Kelihatan Malik yang masih berbogel, sedang tercungap-cungap memandang mereka. Bebola mata Malik berwarna kelabu pekat. Anak matanya pula kelihatan tirus. Dia sudah berubah menjadi Homo-Canis. Atau seperti yang diterangkan oleh lelaki bermisai lebat tadi, Homo-Dirus. Malik tersengih menampakkan baris-baris giginya yang kini bertaring.
"Kau tipu kami!" Jerkah Ashraff. Jalal menggeleng-geleng memandang Ashraff.
"Tipu? Tipu apa?" Wajah Malik jelas kehairanan.
"Kau bukan Homo-Canis! Kau Homo-Dirus! Kau umpan aku! Kau yang letak mayat tu dalam hutan tu, kan? Kami dah tahu semuanya!"
Terpinga-pinga Malik mendengarkan kata-kata Ashraff itu. "Kau sendiri kata aku sama macam kau. Homo... Homo-Canis? Homo-Tirus tu apa benda pulak?"
Jalal yang berpengalaman membaca riak wajah seseorang mengangkat keningnya. Dia kini keliru. "Kau jadikan kami sebagai 'decoy' untuk kau larikan diri, kan?" Soalnya kepada Malik.
"Decoy? Eh, kalau aku jadikan korang decoy, buat apa aku datang balik ke sini?" Wajah Malik jelas kelihatan terluka mendengarkan tuduhan itu.
"Tapi... tapi malam tu aku bukan nak pergi parti. Kau yang manipulasikan fikiran aku!"
"Hah? Kau cakap apa ni, Ashraff?" Malik menggaru kepalanya. "Kau terhantuk kuat sangat ke sampai kau merapu ni?"
Ashraff dan Jalal saling berpandangan. Serentak itu juga kedengaran dentuman pintu dari hujung kanan tingkat itu. Derapan puluhan pasang kaki berbut sedang menghampiri mereka. Malik menjenguk ke luar pintu, kemudian ke arah mereka semula. "Kawan-kawan, aku rasa kali ni aku perlukan bantuan korang. Sekarang masa yang terbaik untuk korang bertukar."
"Kami... tak boleh," Jalal menayangkan gelang besi kebiruannya ke arah Malik.
Malik menepuk dahinya, "ah, dah tentulah! Tak apa. Aku cuba halang mereka. Korang cari jalan untuk tanggalkan gelang tu!" Ujar Malik sambil bergegas keluar dari bilik itu. Kedengaran derapan langkah Malik menjauhi mereka.
"Aduh. Mana satu yang betul ni? Malik ke, pakcik tu?" Ashraff menarik-narik gelang pada pergelangan tangannya, sekadar untuk berbuat sesuatu.
"Itu kita tak payah fikir. Kita selamatkan diri dulu," ujar Jalal nekad. "Dalam perjalanan ke sini tadi kita ada lalu depan makmal geologi. Kita kena ke situ."
"Buat apa?"
Jalal mengangkat tangannya, menayangkan gelang biru itu. Ashraff mengangguk faham.
"Untuk hancurkan Vateris-argentum, kita perlukan larutan lonsdaleite. Lonsdaleite berasal dari batu meteor. Bahan paling keras..."
"Dah, ayah. Lain kali ayah terangkan. Jom ke sana sekarang," Ashraff memotong penerangan bapa angkatnya.
"Ah, yalah..." Jalal melangkah perlahan menghampiri lohong yang tidak berpintu bilik itu. Kepalanya dijengukkan sedikit. Kedengaran suara raungan beberapa orang tentera yang diredamkan oleh deraman garau Malik. Kelibat mereka tidak kelihatan. Namun dengungan beberapa das tembakan meyakinkan Jalal bahawa Malik sedang bertarung dengan para tentera itu di bahagian tangga bangunan. "Clear. Jom!"
Ashraff menurut. Didahului oleh Jalal, mereka berjalan terjongkok-jongkok keluar dari bilik itu lalu menyusuri dinding, melintasi beberapa buah pintu sehinggalah tiba di hadapan sebuah bilik yang tertulis 'Department of Geology' pada plaknya. Tangan Jalal mencapai tombol. Nafasnya ditarik dalam. "Janganlah berkunci pula," katanya dalam hati. Tombol dipulas deras. Lega hati Jalal. Mereka menyusup masuk ke dalam bilik itu. Pintunya ditutup rapat dan dikunci.
Tidak seperti sebuah bilik yang dijangka oleh Ashraff, bilik yang mereka masuki itu lebih kelihatan seperti sebuah bangunan lain dengan konsep yang cukup berbeza. Dinding dan lantainya berwarna kelabu gelap, manakala di kiri dan kanannya tersusun berpuluh-puluh rak yang menempatkan balang-balang berisi tanah dan pasir. Terdapat juga rak-rak yang menempatkan berpuluh-puluh buah peti besi, yang pada pendapat Ashraff, menyimpan apa sahaja material yang disebut oleh bapa angkatnya tadi.
"Mesti mereka simpan dalam peti besi," ujar Ashraff yakin.
"Tak. Larutan lonsdeleite taklah begitu bernilai. Bukan macam batunya. Ini dalam bentuk cecair," Jalal menuding ke arah sebuah pintu yang pada plaknya tertulis, 'Liquidified Materials'. "Aku rasa dekat dalam bilik tu."
Ashraff mengangguk faham. Mereka bergegas menghampiri bilik itu. Bau bahan kimia yang digunakan untuk melarutkan batu-batuan dapat dihidu oleh mereka walaupun pintu itu belum dibuka. Jalal menolak daun pintu kayu itu, mendedahkan sebuah bilik bersaiz sederhana yang keliahatan suram. Seperti juga bahagian-bahagian lain di dalam bangunan itu, bilik itu tidak bertingkap. Lampu silingnya pula berkelip-kelip malap. Rak-rak di dalam bilik itu lebih kecil, manakala balang-balangnya pula berisi cecair. Tiada peti besi di dalam bilik itu.
"L!" Ujar Jalal sambil mengamati kertas senarai yang ditampal pada hujung setiap rak itu, "cari huruf L. Lonsdeleite Solution."
"Warna?"
"Hitam keemasan."
"Yalah," Ashraff menghayun langkahnya sambil memerhati setiap pelekat nama yang ditampal pada balang-balang tadi. Sekali-sekala terdengar bunyi das-das tembakan dari kejauhan. Namun Ashraff cuba untuk tidak memikirkan akan apa yang terjadi kepada Malik saat itu. Dia semakin hampir dengan huruf 'L'. "H, J, K... L!" "L.O.N.S... dah jumpa!" Ashraff nendapai sebuah balang lutsinar yang berisi cecair berwarna hitam keemasan. Tidak seperti air, cecair itu kelihatan pekat. Lebih seperti gam yang hampir kering.
"Mari! Bawa ke sini." Sebuah meja yang menempatkan beberapa unit teleskop dan nota catatan dikosongkan oleh Jalal dengan satu hayunan tangan. "Hulur tangan kau!"
Ashraff meletakkan lengannya ke atas meja. Gelang besi kebiruan itu kelihatan menyala lemah di dalam sinar cahaya lampu berkelip-kelip tadi. Jalal mencapai sebuah bikar kecil. Penutup balang tadi dibuka kasar. Sedikit larutan lonsdeleite dituangkan ke dalam bikar kecil itu. Ashraff mengangkat keningnya. Larutan itu langsung tidak kelihatan berbahaya atau menghakis. Cuma warnanya sahaja yang kelihatan sedikit pelik.
"Ayah pasti ke benda ni boleh hancurkan gelang kita?"
"Ya, aku pasti," jawab Jalal acuh tidak acuh. "Baik, sekarang angkat sikit lengan kau. Aku nak tuang sikit benda ni atas gelang tu."
Sebaik sahaja larutan tadi mengenai gelang Ashraff, gelang itu menyala terang, menerbitkan cahaya kebiruan, diiringi oleh bunyi mendesis yang kuat dan bau hangit yang memeningkan. Perlahan-lahan larutan yang tersisa pada gelang itu bertukar warna. Tidak lagi keemasan, tetapi berwarna hitam pekat. Kelihatan buih-buih kecil terbit dari permukaannya, seolah-olah larutan itu bernafas. Dengan satu bunyi dentingan kecil, gelang itu tertanggal dari lengan Ashraff. Serta-merta Ashraff berubah bentuk. Kagum Jalal melihat anak angkatnya sudah mampu untuk mengawal naluri Homo-Canisnya. Mungkin keadaan berbahaya di luar yang membuatkan anak angkatnya itu mudah berubah.
Kini giliran Ashraff pula membantu bapa angkatnya. Dengan reaksi yang sama dari kedua-dua larutan lonsdeleite dan rantai vateris-argentum itu, kini pergelangan tangan Jalal bebas dari belenggu kebiruan itu. Dengan satu hembusan nafas lembut, warna mata Jalal bertukar kelabu. Derianya bertambah berpuluh kali ganda.
"Malik dalam bahaya!" Ujar Ashraff.
"Aku tahu. Biarkan. Kita lepaskan diri dulu."
Ashraff terdiam mendengarkan kata-kata bapa angkatnya itu. Dia dapat mengesan bau Malik yang kini sedang berhadapan dengan dua dozen tentera bersenjata berat. Setiap das tembakan tidak mengenai sasaran. Jika terkena, pasti Ashraff akan dapat mengesan bau darah lelaki itu.
"Macam mana pun, kita kena ikut tangga, kan? Malik masih dekat tangga."
Jalal diam, memikirkan langkah seterusnya. "Ya, kita ke arah di mana Malik berada."
"Kita tolong dia sekali!"
"Tengok keadaan," Jalal menujah kakinya, melompat dari satu meja ke meja yang lain, ke arah pintu keluar dari makmal geologi itu. Ashraff menyusul di belakangnya.
Koridor tadi masih kosong. Mungkin semua aset dikerah untuk membendung pergerakan Malik. Di dalam benaknya Jalal masih menimbang kira, sama ada lelaki bermisai lebat tadi berkata benar, atau Malik memang hanya seekor Homo-Dirus naif yang tidak sedar akan kebolehan dirinya.
Bunyi das-das tembakan kini membingitkan telinga mereka berdua. Jalal dan Ashraff segera menumpukan fokus mereka kepada deria bau dan penglihatan. Mereka meloncat menuruni anak tangga, melangkah mayat-mayat tentera yang sudah dirobek, kebanyakannya di bahagian leher dan bahu. Dua belas anak tangga sekali tujahan, sehingga akhirnya belakang tubuh Malik bertemu mereka. Di hadapan Malik kelihatan sedozen lagi lelaki beruniform tentera yang dilengkapi senjata berat. Setiap das tembakan dapat dielak oleh Malik. Tergamam mereka berdua melihat kelincahan pergerakan tubuh lelaki berbadan sasa itu.
"Malik! Kami datang untuk bantu kau!" Laung Ashraff. Jalal menahan langkah anak angkatnya itu. Malik berpaling serta-merta. Wajahnya kini kelihatan cukup berbeza berbanding sebelumnya. Tiada lagi riak kemanusiaan. Mulut dan hidungnya kini bermuncung. Air liur kemerahan mengalir dari celahan taring-taring panjang. Cebisan-cebisan daging bersemburan apabila Malik menderam ganas ke arah Jalal dan Ashraff. Dia kemudian tersenyum melihat wajah gerun dua orang lelaki itu.
"Encik! Berundur! Tutup pintu tangga tu! Jangan hampiri dia!" Laung salah seorang dari tentera tadi.
Ashraff tergamam. Mata Malik kini hitam semuanya, seakan seekor serigala sebenar. Jalal menarik lengan Ashraff, menjauhi makhluk itu.
"Kau tak perlu apa-apakan kami. Kita kawan, kan?"
"Kawan? Heh! Aku tak kenal kau, anjing kurap! Aku tak perlukan kau lagi. Aku dah dapat apa yang aku mahukan," Malik menayangkan sebuah balang berisi cecair hijau pekat. "Terima kasih kerana alih perhatian mereka semua!" Malik ketawa mengekeh.
"Sialan kau! Apa bendanya tu?"
"Proxima-Dirus!"
"Kau!" Jalal melangkah sedikit ke hadapan, "kenapa kau nak jadi macam ni?! Untuk apa?"
"Heh. Terdapat lebih dari sejuta orang Homo-Canis dan beratus orang Homo-Dirus dalam dunia ni. Sekarang akulah yang paling berkuasa!
Das-das tembakan dilepaskan lagi. Ternyata setiap peluru mengenai belakang badan Malik, namun lelaki itu tidak cedera. Peluru-peluru tadi terpantul semula. Malik melangkah perlahan ke arah Jalal dan Ashraff. Dua orang lelaki itu pula melangkah mengundur. Jalal meraba-raba koceknya. Dengan beralaskan sapu tangan, Jalal mengeluarkan gelang vateris-argetumnya yang hanya tinggal separuh tadi lalu ditayangkan ke arah Malik.
"Sial!" Langkah Malik terhenti.
"Vateris-argentum! Takkan korang tak ada senjata berpelurukan vateris-argentum?!"
"Vateris... apa? Kami tentera simpanan. Aset asal semuanya dah terbunuh!" Beritahu tentera yang mengarahkan mereka untuk berundur tadi.
"Ah," Ashraff menepuk dahinya. "Ayah, dekat dalam makmal tadi ada berbalang-balang material ni, kan?"
"Ya. Tapi dalam bentuk batuan kecil. Kita perlukan rantai yang dapat membelenggu makhluk tu, atau peluru yang mampu menembusi tubuhnya."
Ashraff diam. Para tentera tadi masih melepaskan das-das tembakannya ke arah Malik. Namun ternyata sia-sia. Malik teragak-agak untuk melangkah setiap kali Jalal menggoyang-goyangkan rantai di dalam tangannya itu. Ashraff menjeling ke arah bapanya, kemudian ke arah Malik. Tangannya pantas merampas cebisan gelang vateris-argentum itu dari dalam tangan ayahnya. Kaki ditujah kuat ke lantai, membuatkan dia melambung hampir mencecah siling. Ashraff menerkam Malik, membenamkan gigi tumpulnya ke leher lelaki itu. Malik melolong kesakitan. Para tentera tadi berhenti menyerang. Jalal menyusul serta-merta. Dia berpaut pada belakang badan Malik, membuatkan lelaki itu terhuyung-hayang mengimbangi tubuhnya. Dengan satu tujahan kaki Jalal ke tulang belakang yang kelihatan ketara, Malik rebah menyembah lantai. Namun lengan Malik melibas pantas. Ashraff terhumban ke dinding. Cebisan gelang tadi terlepas dari genggamannya. Kini Malik kembali berdiri. Tubuh Jalal berada di bawah tapak kakinya.
"Mana gelang ajaib kau, anjing tua?! Hahaha!"
Jalal merenung ke dalam mata Malik. Tidak terlihat sedikit pun riak ketakutan pada wajah lelaki itu.
"Ayah!" Laung Ashraff, cuba untuk berdiri. Namun hentakan tubuhnya pada dinding tadi nampaknya telah mematahkan beberapa batang tulang rusuknya. Dia rebah semula.
"Ashraff... jaga diri," kata-kata Jalal itu mengakhiri segala kata-katanya selama ini. Perut Jalal dirobek oleh Malik. Ashraff yang tidak mampu berdiri sekadar meraung seperti seorang hilang akal melihat bapa angkatnya dibunuh di depan mata. Para tentera tadi mula melepaskan tembakan semula. Perlahan-lahan mata Jalal berubah seperti sediakala, sebelum sinarnya hilang bersama nafasnya.
"Tidaaaaaaaaaaak! Malik! Celaka kau!"
Perhatian Malik kini tertumpu ke arah Ashraff. Giginya sengaja ditayangkan, namun Ashraff tidak kelihatan gentar. Dia membenarkan Malik menghampiri dirinya. Dalam keadaan terbaring mengerekot, Ashraff memaki hamun Malik.
"Kalau kau diam, aku akan robek perut kau perlahan-lahan. Atau itu akan lebih menyakitkan?" Malik tersengih sinis.
"Kau... kau pergunakan kami macam haiwan!"
"Apa salahnya dengan haiwan? Kenapa? Hina?!" Malik membenamkan tangannya ke dalam perut Ashraff. Segala isi perutnya ditarik keluar. Dinding yang sudah sedia bertompok-tompok merah kini seperti disimbah cat. Darah tersembur dari mulut Ashraff. Malik langsung tidak mengalihkan perhatiannya dari mata Ashraff. Dia merenung mata kelabu lelaki itu berubah putih, kemudian seperti bapa angkatnya, kehilangan sinar.
***
Ashraff tersedar tiba-tiba. Bau manis dari arah hutan tadi semakin kuat memanggil-manggilnya untuk melangkah keluar dari kereta.
Dia segera menaikkan tingkapnya.
Ashraff memandang ke dalam cermin pandang belakang kereta Myvi-nya. Bebola matanya masih berwarna putih, namun sudah kelihatan lingkaran kekelabuan. Anak matanya pula kini semakin meruncing tirus.
Dia membuka sedikit tingkap keretanya. Nafasnya ditarik sedalam mungkin. Memang terdapat sesuatu yang bukan manusia di dalam hutan itu.
Menanti dirinya masuk ke dalam jerat.
Segumpal tisu dikeluarkan dari koceknya. Dengan cermat dia membuka gumpalan itu, mendedahkan beberapa biji pil dan kapsul pelbagai warna. Dia mencapai botol air yang dibawanya dari rumah tadi.
"Homo-Dirus..." gumamnya sebelum memasukkan ubat-ubat tadi ke dalam mulut. Botol air tadi diteguk gelojoh. "Jangan harap kau dapat permainkan aku."
Kereta Myvi hitam itu berlalu pergi, meninggalkan bau manis mayat tadi di belakangnya. Masih menarik sesiapa sahaja yang mempunyai genetik istimewa itu. Di sebalik pohon-pohon renek itu, Malik mengetap-ngetap giginya. Mencari mangsa untuk dijadikan batu loncatan baginya mencapai impiannya.
"Proxima-Dirus..." gumamnya perlahan, "apa yang aku perlukan hanyalah decoy untuk mengalih perhatian semua aset dalam bangunan tu," dia menoleh ke arah sebuah bangunan berbentuk kubah betul-betul di puncak Bukit Tunku.
Dari jauh kedengaran bunyi decitan tayar beberapa kenderaan tentera. Malik menarik nafasnya dalam-dalam. Bau anjing-anjing pengesan menusuk ke dalam hidungnya.
"Sial!"
- Tamat -
======================
© HOMO-CANIS
karya: Ahmad Rusydi
Suntingan: Ahmad Rusydi
Gambar: Wan SC
Anda ada kisah seram, komedi-seram, misteri, thriller ataupun mind-blowing? Apa kata anda kongsikan kisah anda kepada kami.
Hantar kisah anda ke inbox Arkib Angker Negara atau emelkan ke aanrc2017@gmail.com
Nyatakan sekali nama akaun Facebook, blog, Instagram, Twitter atau webpage anda untuk pengkreditan.

1 comment:

Anonymous said...


teruja giler baca cerita ni..best sgt best