ULANG
Kau membuka mata. Kau bangun dari tidur dengan badan yang lemah, letih lesu. Mimpi malam tadi bagaikan kejadian yang nyata buat kau. Kau usap leher kiri, bermain-main dengan cuping telinga. Sekadar untuk mendapatkan kepastian. Kau selak selimut, duduk di sisi katil. Hari ini, kau dalam dilema. Pergi ke kerja, atau pulang ke kampung halaman? Kau sudah hantar permohonan untuk pulang, dengan alasan ibu sakit di kampung. Kau bukan tidak mahu balik, kau terfikirkan mimpi malam tadi.
“Alah, mainan mimpi saja tu. Ibu sakit, takkan aku tak balik.” Kau bermonolog sendirian, meyakinkan diri. Kau melangkah ke bilik mandi, terus memandang ke cermin. Kau dapat lihat, jelas kesan lebam di leher kiri. Kesan gigitan. Benarkah mimpi kau tadi?
Kau tidak pedulikan semua itu. Terus mengambil ubat gigi untuk disapukan ke berus gigi. Sudah habis. Ubat gigi sudah habis. Kau menyumpah, membebel sendirian. Pagi yang tidak kena buat kau hari ini. Kau terus mandi, tanpa memberus gigi.
Kau mengambil seluar jeans dan baju jersi Manchester United di ampaian balkoni. Masuk semula ke bilik, menyarung set pakaian itu. Beg untuk dibawa pulang sepanjang tempoh berada di kampung halaman, telah kau siapkan malam tadi. Kau ke dapur, membancuh kopi tiga dalam satu Nescafe Latte yang kau gemari. Mug kaca diletakkan di meja dapur, lalu kau pergi menghidupkan enjin kereta. Kereta MyVi maroon, yang dipadankan rim emas. Kau peminat Iron Man. Sampaikan kereta juga bertemakan adiwira itu.
Telefon bimbit kau berbunyi. Panggilan daripada boss, sebelum sempat kau memandu keluar dari perkarangan rumah. Kau berasa pelik. Selalunya, boss kau akan menghantar pesanan ringkas ataupun mesej di Whatsapp, tetapi berbeza kali ini. Kau menjangkakan panggilan kecemasan daripadanya.
“Hallo, Syafiq. Sorry ah, I call you. Boleh cancel ka itu cuti?” Kedengar suara boss kau di panggilan. Kau mengeluh pendek, sudah mengagak yang Mr Tan, boss kau, akan minta kau batalkan perjalanan pulang ke kampung.
“Ada apa, boss? Itu proposal I sudah letak atas meja you,” balas kau. Mengharapkan tiada lagi masalah pada tugasan yang diberikan.
“I tahu. Tapi ini client, dia mahu kita revise harga total tender kita. Dia kata, kalau tak tukar, kita kalah maa.” Pagi yang tidak baik untuk kau. Kau mula mengetuk-ngetuk stering kereta. Abaikan, atau pergi juga kerja hari ini?
“Baik, boss. I datang. You jangan kira I datang lambat harini. Dah pukul 10 pagi ni.”
“Takda hal. I bagi you cuti satu hari tambah, harini tak kira. Boleh, ha? Sorry Syafiq.” Kau mematikan panggilan tanpa jawapan. Memecut pergi selepas pintu pagar ditutup.
*********
6 petang. Kau baru selesai kerja harini. Kepala kau ligat memikirkan sama ada mahu pulang ke rumah, atau terus ke Kedah. Jumaat malam Sabtu. Kemungkinan jalan raya sesak juga ada. Kau memilih untuk terus ke kampung halaman. Ibu dalam koma, walaupun terselamat dalam kemalangan jalan raya tempoh hari. Kau bukan tidak sayangkan ibu, tetapi kekangan masa menyukarkan keadaan. Jika kau berlengah lagi, ahli keluarga kau pasti akan bermasam muka.
Kau memandu melewati tol Seremban, menuju ke utara. Bercadang untuk berhenti di hentian rehat dan rawat di Dengkil, atau di Sungai Buloh sahaja. Kau berniat musafir pada malam itu.
********
Berpeluh. Kau merasakan yang kau sudah mengelak bayangan putih di laluan yang kau lalui sebentar tadi. Kereta diberhentikan di lorong kecemasan. Kau melihat pada jam tangan, sebaik sahaja keluar daripada kereta. 12:30 tengah malam. Tiada apa-apa keanehan dilihat pada kereta kau. Kau juga memandang sekeliling. Kau berasa aneh. Kenapa setiap kereta yang berlalu akan memberi isyarat high beam kepada kau?
Kau masuk ke dalam kereta, cuba menurunkan brek tangan. Sekilas mata kau memandang ke arah cermin pantul ke belakang. Makhluk bertaring, berbaju jubah putih. Sekelip mata, kau diserang. Digigit di leher belah kiri. Belum sempat kau memberi sebarang respon, kau disajikan dengan kata-kata di telinga.
Ulang!
Ulang!
********
Kau membuka mata. Kau bangun dari tidur dengan badan yang lemah, letih lesu. Mimpi malam tadi bagaikan kejadian yang nyata buat kau. Kau usap leher kiri, bermain-main dengan cuping telinga. Sekadar untuk mendapatkan kepastian. Kau selak selimut, duduk di sisi katil. Hari ini, kau dalam dilema. Pergi ke kerja, atau pulang ke kampung halaman? Kau sudah hantar permohonan untuk pulang, dengan alasan ibu sakit di kampung. Kau bukan tidak mahu balik, kau terfikirkan mimpi malam tadi.
“Alah, mainan mimpi saja tu. Ibu sakit, takkan aku tak balik.” Kau bermonolog sendirian, meyakinkan diri. Kau melangkah ke bilik mandi, terus memandang ke cermin. Kau dapat lihat, jelas kesan lebam di leher kiri. Kesan gigitan. Benarkah mimpi kau tadi? Kau rasakan seperti pernah lalui semua ini. Dejavu?
Kau tidak pedulikan semua itu. Terus mengambil ubat gigi untuk disapukan ke berus gigi. Sudah habis. Ubat gigi sudah habis. Kau tidak menyumpah, tidak juga membebel sendirian. Pagi yang tidak kena buat kau hari ini. Kau tidak terus mandi, kau keluar semula dari bilik mandi. Mencari ubat gigi baru di dalam laci barangan di sebelah almari pakaian. Ubat gigi dicapai, lalu kau masuk semula ke dalam bilik mandi.
Selesai mandi, kau mengambil seluar jeans dan baju jersi Manchester United di ampaian balkoni. Masuk semula ke bilik, menyarung set pakaian itu. Beg untuk dibawa pulang sepanjang tempoh berada di kampung halaman, telah kau siapkan malam tadi. Kau ke dapur, mahu membancuh kopi tiga dalam satu Nescafe Latte yang kau gemari. Perasaan dejavu kuat dalam hati kau. Kau batalkan niat, mug kaca diletakkan semula di tepi singki. Kau pergi menghidupkan enjin kereta. Kereta MyVi maroon, yang dipadankan rim emas. Kau peminat Iron Man. Sampaikan kereta juga bertemakan adiwira itu.
Telefon bimbit kau berbunyi. Panggilan daripada boss, sebelum sempat kau memandu keluar dari perkarangan rumah. Kau berasa pelik. Selalunya, boss kau akan menghantar pesanan ringkas ataupun mesej di Whatsapp, tetapi berbeza kali ini. Kau menjangkakan panggilan kecemasan daripadanya. Seperti dalam mimpi kau, kau menjangkakan dia akan meminta kau untuk batalkan hasrat bercuti.
“Hallo, Syafiq. Sorry ah, I call you. Boleh cancel ka itu cuti?” Kedengar suara boss kau di panggilan. Kau tidak mengeluh, sudah mengagak yang Mr Tan, boss kau, akan minta kau batalkan perjalanan pulang ke kampung. Kau tidak syak lagi, kau sudah mimpikan hal ini.
“Ada apa, boss? Itu proposal I sudah letak atas meja you,” balas kau. Meneruskan perbualan yang sama, walaupun kau tahu apa jawapannya.
“I tahu. Tapi ini client, dia mahu kita revise harga total tender kita. Dia kata, kalau tak tukar, kita kalah maa.” Kau mula mengetuk-ngetuk stering kereta. Abaikan, atau pergi juga kerja hari ini?
“Tapi boss, I sudah di jauh ni boss. Dah lepas Sungai Buloh,” bohong kau. Mengambil keputusan untuk terus sahaja pulang ke Kedah. Kau tidak mahu ahli keluarga lain bermasam muka dengan kau, disebabkan lewat melawat ibu. Ibu kau selamat daripada kemalangan jalan raya, tetapi masih di ICU, dalam keadaan koma.
“Haiya, ya ka? Okay, okay. Nanti kalau you sempat, tengok-tengok sama emel. I tolong you hantar itu attachment dari komputer. You tolong potong kos mana yang boleh potong. Boleh, ah?”
“Baik, boss. Tapi I tak janji boss. I try my best curi-curi masa.” Kau mematikan panggilan tanpa menunggu jawapan. Memecut pergi selepas pintu pagar ditutup.
********
Jam 10:30 pagi. Kau berhenti di Restoren Jejantas Sungai Buloh. Perut kau sudah meminta untuk diisikan. Kau berpusing dua kali untuk mencari parkir. Ada keanehan pada salah satu gazebo di tengah-tengah kawasan parkir itu. Mata kau menangkap penampakan pontianak di sebalik rimbunan pokok berdekatan gazebo. Kau berasa aneh. Kau meremang bulu roma. Ternyata, pontianak itu juga berpusing menghadap kau di atas pokok itu setiap kali kau melakukan pusingan mencari tempat parkir. Kau tidak sedap hati.
Kau biarkan sahaja penampakan itu. Pengunjung-pengunjung lain tidak dapat melihatnya. Kau dapat pastikan itu, kerana seorang pak cik yang sedang merokok berdekatan gazebo itu memandang ke atas pokok, tetapi tidak memberi reaksi yang pelik, seperti ternampak apa-apa keanehan.
Kau makan di A&W. Sengaja kau ambil tempat dalam-dalam. Mahu mengelak daripada terus melihat pontianak itu. Kau menyumpah dalam hati. Tengah hari buta diganggu dengan makhluk tidak diundang sebegitu.
Sangkaan kau meleset. Pontianak itu meninjau kau di hadapan kedai. Betul-betul merenung kau yang sedang menghadap ke luar. Semakin lama kau di dalam, semakin melentok kepalanya ke kiri. Kau hilang selera. Mahu keluar juga berasa ragu-ragu. Kau gagahkan kaki, melangkah keluar juga dari kedai rangkaian A&W itu. Di telinga kiri, kau dengar bisikan.
Ulang!
Ulang!
Ulang!
Kau berlari, memecut langkah seribu menuju ke kereta. Pengunjung-pengunjung lain pelik melihat keanehan tingkah laku kau. Kau abaikan mata-mata yang memandang. Bagi kau, apa sangat pandangan mata mereka. Pandangan mata merah yang sepasang itu lebih menakutkan.
“Kau memandu keluar daripada kawasan restoren jejantas itu. Sebelum masuk ke jalan raya besar, kau cuba melihat cermin sisi. Tidak dilupakan cermin pantul belakang sebagai langkah berjaga-jaga. Tiba-tiba, penglihatan kau terganggu di cermin pantul belakang. Pontianak itu, telah sedia menerjah leher kau. Kau menjerit, cuba mengelak. Tangan di stering turut sama memusing ke kanan.
POMMM!
Kelam. Lori dari arah belakang kanan merempuh kereta kau. Terseret di sepanjang jalan itu.
********
Kau membuka mata. Kau bangun dari tidur dengan badan yang lemah, letih lesu. Mimpi malam tadi bagaikan kejadian yang nyata buat kau. Kau usap leher kiri, bermain-main dengan cuping telinga. Sekadar untuk mendapatkan kepastian. Kau selak selimut, duduk di sisi katil. Hari ini, kau dalam dilema. Pergi ke kerja, atau pulang ke kampung halaman? Kau sudah hantar permohonan untuk pulang, dengan alasan ibu sakit di kampung. Kau bukan tidak mahu balik, kau terfikirkan mimpi malam tadi.
Kau baring semula, menarik selimut untuk menyambung tidur. Persetankan semua. Persetankan.
KAU MAHU ULANG BERAPA KALI?
********
Suntingan Gambar: Azman Zainordin
Anda ada kisah seram, komedi-seram, misteri, thriller ataupun mind-blowing? Apa kata anda kongsikan kisah anda kepada kami.
Hantar kisah anda ke inbox Arkib Angker Negara atau emelkan ke
aanrc2017@gmail.com
Nyatakan sekali nama akaun Facebook, blog, Instagram, Twitter atau webpage anda untuk pengkreditan
No comments:
Post a Comment