GUNUNG LEDANG
=========================
Hujan yang tadinya renyai kini semakin lebat manakala aku, Zafrul dan Sham sudah setengah jalan mendaki gunung ledang yang terkenal dengan cerita mistik dan dongengnya. Aku bukanlah seorang yang terlalu mudah mempercayai cerita-cerita orang dahulu kala tetapi aku masih ada sifat berjaga-jaga dan mengambil pengajaran disetiap cerita yang dikatakan oleh orang-orang tua dahulu.
"Wei geng, kita lepak sini dululah berteduh kejap, lebat sangat dah ni!" Sham terus berlari ke arah sebuah pokok yang sangat rimbun.
"Okay gak." zafrul bersetuju mana kala aku hanya sekadar mengikut sahaja.
Aku turut mengikut jejak langkah Zafrul berlari anak ke arah Sham yang sudah sedia berteduh. Aku melihat Sham dan Zafrul masing-masing duduk mengigil kesejukan, basah kuyup kami kerana bermandi hujan. Sangkaan kami hujan akan berhenti tetapi sebaliknya pula terjadi. Mata aku melilau melihat keindahan alam yang dibasahi hujan, bau tanah menyegarkan aku membuatkan aku berasa rindu pada suasana kampung.
"Ehh Cendawan emas!" membuatkan Sham dan Zafrul melihat aku kerana kata-kata aku.
"Mana?" sham cuba mencari sambil mata dan kepalanya liar kekiri dan kanan.
"Tu haa" aku menunjukkan ke arah cendawan yang aku nampak.
"Eh, ya la! Cantik!" Zafrul seakan teruja dengan keindahan alam, dengan pantas dia cuba menghampiri cendawan emas itu.
"Wei, jangan usik! Biar je." Aku cuba memberi amaran kerana aku ingat akan pesan orang-orang tua tentang pantang larang ketika naik ke Gunung Ledang.
"Eh, kenapa?!" Zafrul terus melihat ke arah aku sambil memberhentikan langkahnya. Sham pula hanya melihat tingkah laku aku dengan Zafrul.
"Kita tak tahu pokok tu beracun atau tidak, jangan pakai sentuh je. Biar jelah kat situ janji kita dapat tengok keindahannya." aku cuba menyelindungkan sebab utama aku melarang.
Zafrul akur dengan pesanan aku dan kembali ke tempat duduknya, "Eh..!" tiba-tiba aku terhidu sesuatu yang agak wangi, baunya semerbak bunga tetapi bukan bunga yang biasa aku hidu dikampung-kampung atau taman bunga. Aku cuba mencari-cari jika ada pokok bunga berhampiran aku, tetapi carian aku hanya hampa.
Hujan semakin reda. Aku, Zafrul dan Sham menyambung kembali pendakian. Motif kami adalah ingin bermalam di Kolam Puteri untuk semalaman dan telah dimaklumkan kepada pihak tertentu. Sebelum sampai di tangga seterusnya, aku dikejutkan dengan kelibat sesuatu sedang berlari dan turut disedari oleh kawan-kawan aku, tetapi kami meneruskan perjalanan kerana waktu tidak menunggu kami. Setelah hampir 1 jam akhirnya kami sampai di kolam puteri, Zafrul dengan pantas menanggalkan beg galas dan pakaiannya lalu terjun kedalam kolam. Aku dan Sham cuba mengemas tempat untuk kami bermalam dahulu, bimbang jika hujan lebat kembali.
Selesai menyiapkan tapak kemah dan kemas barang, Aku dan Sham terus terjun ke dalam Kolam Puteri. Di Kolam Puteri itu terdapat satu bongkah batu besar yang boleh Aku duduk diatasnya dan berehat, kaki aku julurkan kedalam air sambil baring, Nikmat! tenang! Itulah yang aku rasa saat itu ditambah dengan bunyi deru air dan bunyi riang-riang menyanyi membuatkan aku terlena seketika
"Faizz...ohhh Faizz..." suara sayup memanggil aku, membuatkan aku terjaga dari tidur dan melihat senja sudahpun tiba manakala Sham serta Zafrul sudah tiada bersama aku, mereka mungkin sudah berada di kemah, dalam ketakutan aku terus meloncat ke dalam air untuk pergi ke tebing, kerana aku berada dibongkah batu besar yang terletak hampir di tengah kolam puteri itu.
Sewaktu hampir ditebing untuk naik ke darat tiba-tiba kaki aku bagai ditarik saat itu jantung aku bagai disentap laju, takut, panik mula menguasai diri. Aku cuba meronta tetapi semakin kuat rontaan aku semakin kuat tarikan makhluk dari dalam air itu. Bunyi kocakan air atas sebab pergelutan aku cuba untuk menyelamatkan diri kedengaran jelas menguasai ruang alam di kolam itu saat ini.
"Shamm..!! Zafrul.!...TOLONGGGGG!" jeritan aku memecah kesunyian alam dan menyebabkan bunyi riang-riang turut terhenti.
Segala usaha aku nampaknya sia-sia, tiada langsung kelibat Sham dan Zafrul muncul untuk membantu. Tarikan makhluk yang berada dibawah air itu semakin kuat. Aku tidak tahu makhluk apakah yang sedang cuba membunuh aku ketika itu. Aku cuba untuk berlawan dengan kudrat akhir aku, tidak aku aku sia-siakan kehidupan aku selama ini dengan mati semudah itu.
Aku mengonjak tubuh aku dengan kuat ketebing dan tangan aku cuba mencengkam segala apa yang ada dihadapan aku, tidak kisah la batu ataupun tanah asalkan aku mampu bertahan dan cuba untuk naik kedarat. Aku tidak pasti berapa lama aku bergelut dengan makhluk itu sebelum akhirnya kaki aku dilepaskan dan dengan gelabah aku naik kedarat terus melihat kaki aku. Tiada langsung bekas diikat atau digengam hanya kelihatan jari-jati kaki aku yang mula mengecut kerana kesejukan berendam didalam air.
Aku terus menuju ke khemah dan ingin sahaja aku kemas untuk terus pulang, Sham dan Zafrul tiada didalam khemah, aku tidak tahu kemana mereka pergi dengan waktu yang semakin gelap mereka masih tidak pulang. Aku menukar pakaian dan menyiapkan apa yang patut, aku sedar ketika itu jantung aku masih berdegup kencang, tangan aku mengigil seperti ketakutan, otak aku tidak mampu fokus pada kerja yang aku lakukan. Aku duduk termenung sambil ditangan memegang beberapa kayu yang aku sendiri tidak tahu untuk apa aku memegang kayu itu.
"Eh Faiz, dah bangun ye!" tiba-tiba suatu suara dari belakang menegur aku, dan aku sangat kenal suara itu milik Zafrul.
"Apa benda la kau buat termenung sensorang ni? ha..ha..ha kau ingat kau dapat jumpa puteri Gunung Ledang ke kalau duduk termenung?" Sham berjenaka sambil melemparkan kayu-kayu yang dipikulnya ketanah.
"Woi! faiz kau dengar tak kita orang cakap?" Zafrul sengaja menjerit apabila melihat aku masih diam melihat ke arah yang aku sendiri tidak tahu.
"Arghhh sudah...jangan kene rasuk pula." Sham mencelah.
"Ehh mulut kau Sham!" Zafrul menegur agar berhati-hati dalam percakapan.
"Aku dengarlah, cuma penat...korang tak kejut aku pun tadi." aku cuba mengungkit tentang meninggalkan aku tidur seorang diri diatas bongkah batu.
"Laa.. kau tak suruh pun kita orang kejut, kita orang dah siap mandi terus cari kayu untuk persediaan apa-apa kemungkinan" Kata Sham sambil menyusun kayu yang di kutipnya tadi.
"Yelaa.." aku mengalah dengan dengan jawapan Sham kerana apa yang dikatakan itu benar.
Zafrul sibuk mengemas barang-barangnya, Aku pula masih termenung ingin sahaja aku ceritakan kejadian tadi tapi bimbang ditertawakan kerana mereka juga seperti aku tidak mempercayai benda-benda mistik yang tak nampak dimata kasar.
Malam begitu pantas menyapa, kini sudah pukul 10.00 malam tetapi keadaan dihutan itu seakan sudah pukul 2 pagi, sejuk dan hanya bunyi air terjun jelas kedengaran memecah kesunyian malam itu. Sham sudah terbongkang tidur, Zafrul pula sedang sibuk berSMS dengan kekasih hati manakala aku pula hanya duduk merenung ke arah Kolam puteri, " Apa benda yang menyerang aku petang itu!" soalan itu bermain dibenak fikiran aku. Kejadian itu sangat menganggu fikiran dan jiwa aku, hampir sahaja aku terbunuh tadi jika tidak mampu berlawan tadi.
"Faiz..." suara memanggil aku menyebabkan aku terkejut dari lamunan. Pantas aku menoleh ke arah Zafrul kerana hanya dia yang masih belum tidur tadi.
"Faiz!" suara itu memanggil lagi dan aku tahu itu bukan Zafrul kerana aku lihat Zafrul sudah tertidur dan suara itu datang dari arah luar.
"Bismillah.............." aku membaca surah Al-Fatihah apabila aku merasakan ini bukanlah suatu perkara biasa, dan lebih malangnya kini hanya aku yang masih belum tidur.
Mulut aku terkumat kamit berzikir, ketakutan mula menghantui dan jari-jari tangan aku sudah mula mengigil, aku tidak pernah melalui keadaan sebegini.
Tidak jauh dari khemah tempat aku baring aku mampu melihat satu susuk tubuh berbaju putih dan susuk tubuh itu seakan seorang lelaki yang sedang memandang ke arah khemah kami. Tanpa berfikir panjang aku terus buat-buat tidur dan seakan tidak perasan akan kehadiran lembaga itu.
"Eeggghhhhh...eggghhhhhh" bunyi sesuatu mengerang berhampiran khemah kami dan bunyi itu jelas ditelinga aku. Dari bunyi itu aku dapat mengagak jarak bunyi itu dengan kami sangatlah dekat. Perlahan-lahan tangan aku mengenggam parang yang memang aku sentiasa sematkan di sisi. Mudah jika berlaku sesuatu yang tidak dijangka.
Prakkk... prakkkk...prakkkk bunyi tapak kaki memijak daun dan ranting kecil, seakan yang memijak itu mempunyai tubuh yang besar dan berat. Aku memberanikan diri membuka mata untuk melihat apakah yang sedang menghampir khemah kami.
"Allaahh!" hanya itu yang mampu aku katakan ketika itu apabila melihat seorang lelaki berjubah putih berbadan besar, tinggi dua kali ganda manusia dan membawa seekor harimau disisinya. Wajahnya tidak dapat aku lihat dengan jelas kerana kegelapan malam menutup wajahnya.
Harimau disisinya berwarna putih tetapi tidak mempunyai belang, dan besarnya lebih tinggi dari aku, aku yakin jika aku lawan pun nescaya aku tewas. Dalam keadaan duduk sambil tangan memegang parang yang tidak mampu aku gunakan, aku berserah kepada Allah tentang nasib aku ketika itu.
Apa yang aku harapkan di makbulkan oleh Allah, Makhluk itu tiba-tiba ghaib bagaikan kabus, jantung aku ketika itu bagaikan terhenti dan baru berdenyut kembali. Aku tidak mampu tidur selepas kejadian itu kerana jantung aku tidak dapat berdegup dengan normal, bunyi nafas harimau itu masih jelas ditelinga aku, dan wajah bengis harimau itu masih pekat diingatan aku. Trauma dengan apa yang aku lihat kerana itu adalah kali pertama aku melalui perkara mistik.
"Faizzz....ohh Faizz bagun-bagun!" Suara sham mengejut aku dari tidur.
"Arrgghhhhh"...aku mengeliat dan menguap. "Eh..aku mimpi ke?" hati aku tertanya sendiri. Kerana aku masih belum tidur selepas kejadian malam tadi dan aku masih berjaga sehingga waktu subuh. "Astagfirullahh..." itulah ucapan aku selepas aku rasa apa yang aku lalui semalam hanya mimpi.
Seperti biasa sebelum berangkat pulang kami kemas tapak perkhemahan kami kerana itu adalah syarat yang ditetapkan untuk sesiapa yang ingin berkhemah disitu, Sempat kami bermandi manda pagi itu menyegarkan tubuh badan dan kemudian beransur pulang. saat turun dari Gunung itu aku seakan rasa bagai diperhatikan tetapi aku menganggap itu semua hanyalah mainan perasaan kerana mungkin trauma dengan mimpi semalam. Sepanjang dalam perjalanan pulang kerumah tiada apa yang menghalang kami, perjalanan kami sangat mudah malah seperti lapang.
"Macam mana bermalam di Gunung Ledang?" ibu aku bertanya sambil duduk dikerusi ruang tamu, dia seorang ibu yang sangat mengetahui sifat anaknya yang suka bercerita.
Maka aku ceritakanlah segala keseronokan, ketenangan, keindahan dan cabaran sewaktu mendaki diwaktu hujan. Tetpai aku tidak menceritakan tentang kejadian kaki aku disentap dan kehadiran lelaki besar itu. Bimbang jika ibu aku tidak akan membenarkan lagi untuk aku naik ke gunung.
Malam itu aku tidur diatas tilam empuk, terasa bersyukur dengan nikmat yang Allah beri pada aku ketika itu. Sambil bergolek -golek diatas tilam tiba-tiba terdengar suara sayu memangil "Faiz..." suara itu suara perempuan, dan suara itu datang dari tingkap bilik aku. Aku terus melihat ke arah tingkap tetapi tiada apa-apa yang kelihatan. Hanya kegelapan malam sahaja yang kelihatan.
Semenjak dari peristiwa itu, aku selalu bermimpi benda-benda pelik dan selalu bermimpi harimau tetapi hanya bahagian kepala sahaja yang nampak, besar kepala harimau itu hampir sebesar tingkap belakang kereta kancil. Dan kejadian itu tidak pernah aku ceritakan kepada sesiapa sehinggalah detik ini.
-Tamat-
=========================
GUNUNG LEDANG
© Akio Akiyama
Editor: Wan SC
Sertai LUMBA TULIS CERPEN anjuran Arkib Angker Negara. Hantarkan kisah seram anda ke aanrc2017@gmail.com sebelum 20 Januari 2018 dan sertakan #lumbatuliscerpenaaa pada tajuk emel. Tiga cerpen terbaik akan dibukukan bersama-sama barisan penulis novel seram handalan. Hadiah misteri juga menanti anda!
No comments:
Post a Comment