Monday, 25 December 2017

LANA - Azman Zainordin


LANA

*sambungan dari SELAMAT HARI LAHIR

==========================
"Sabarlah Mimi. Tuhan lebih sayangkan dia." Lana memujuk sepupunya. Sesekali bahu Mimi dipeluknya.
Sudah 2 hari Mimi murung. Kadangkala menangis. Mana tidaknya. Dia kehilangan sahabat baiknya, Ramona. Baginya, kematian Mona sangat misteri. Mana mungkin dia mahu membunuh diri pada sambutan hari lahirnya sendiri.
Mimi sendiri melihat Mona menikam perutnya sendiri dengan menggunakan parang. Semua itu memang tak masuk akal!
"Tak apalah Mimi. Kalau kau nak cerita apa-apa, kau cerita kat aku. Aku dengar. Sementara aku ada seminggu lagi sebelum aku balik ke kolej." Lana bersuara sekali lagi. Mimi hanya mendiamkan diri sambil duduk memeluk lutut melihat ke luar tingkap.
*******
"Tolong.. Tolong jangan bunuh aku.. Tolong.." seorang remaja lelaki bersandar pada sebatang pokok sambil merayu ketakutan. Di hadapannya berdiri seorang remaja perempuan bersama satu makhluk memakai tengkorak bertanduk setinggi 7 kaki. Pada badanya terlilit kemas seutas rantai besi yang besar. Tangan kirinya menggenggam parang.
"Maafkan aku.. Maafkan aku..." remaja lelaki itu masih merayu.
"Dah terlambat." Remaja perempuan itu menjawab pendek sebelum makhluk di sisinya menangkat tinggi parang dan berkali-kali menusuk kepala remaja lelaki tadi.
Mimi terjaga dari mimpi. Dia melihat jam loceng diatas meja sebelah.
Pukul 3:25 pagi.
Otaknya ligat memikirkan mimpi tadi. Siapa lelaki tu? Siapa perempuan tu? Makhluk apakah tu?
"Suara perempuan tadi, aku rasa macam pernah dengar..." Mimi bermonolog. Walaupun Mimi tak dapat melihat wajah perempuan tadi, tapi seakan dia tahu suaranya.
Ditolehnya ke arah Lana. Sepupunya sedang lena diulit mimpi. Mimi bangun meninggalkan katil, menapak ke tingkap bilik. Daun tingkap ditolak dari dalam, membenarkan angin yang sedikit dingin menerpa masuk ke biliknya. Pada waktu ini, dia merasa sangat tenang. Tenang tanpa bunyi-bunyian.
Ketika dia asyik menikmati suasana itu, ekor matanya menangkap sesuatu di halaman rumah. Dengan bantuan dari cahaya bulan, Mimi dapat melihat makhluk itu walaupun samar-samar. Makhluk itu berdiri tegak memerhatikan Mimi. Disamping makhluk itu berdiri seorang lelaki tua.
Mimi menggosok kedua matanya. Hilang! Mereka berdua telah hilang. Mimi kehairanan. Tiba-tiba seekor burung besar berwarna hitam terbang melintasi tingkap biliknya. Mimi terkejut. Hampir saja dia menjerit. Tapi tangannya pantas menekup mulut. Tanpa berlengah dia segera menutup tingkap dan menguncinya.
Mimi kembali ke tempat tidurnya. Memejamkan mata sambil Cuba menyambung kembali tidur yang terganggu tadi. Selepas 10 minit, Mimi terlelap.
*******
Sudah masuk hari keempat, tetapi kelakuan Mimi tetap sama. Masih mendiamkan diri. Ibu bapanya bersimpati dengan anak tunggal mereka. Jauh disudut hati, mereka berdoa dan berharap agar anak mereka kembali ceria seperti dulu.
"Kring kring. Kring kringggg..." telefon bimbit Mimi berbunyi. Tetapi dibiarkan saja. Sejak tadi lagi berbunyi. Lana yang dari tadi melayari laman web dilaptopnya seaman sedikit terganggu.
"Weh. Apasal kau tak jawab phone? Dari tadi lagi berbunyi." Tanya Lana sambil matanya menatap skrin laptop. Namun seperti biasa, segala soalan tidal dijawab oleh Mimi.
"Kringg kringggg.." Sekali lagi telefon Mimi berbunyi. Lana bingkas bangun mencapai telefon bimbit Mimi. 'Bos' tertera diskrin.
"Weh, bos kau call ni. Kau taknak jawab ke?" Lana menyoal sekali lagi. Mimi hanya menggelengkan kepala sambil memerhati ke arah luar tingkap. Lana meletak kembali telefon di atas meja.
"Kalau ada masalah, luah kat aku. Jangan simpan sorang-sorang. Aku sepupu kau. Aku taknak la tengok kau macam ni. Walaupun aku ni bukan dari darah daging kau, aku taknak tengok kau murung macam ni." Lana melabuhkan punggungnya di sebelah Mimi.
Lana adalah anak yatim piatu. Makcik Mimi mengambil Lana dari rumah anak yatim semasa dia berumur 9 tahun. Oleh kerana kasih sayang yang mendalam, Lana dianggap sebagai darah daging mereka sendiri. Dia muda setahun dari Mimi. Sesekali datang menziarah Mimi sekeluarga.
"Lana..." Mimi bersuara akhirnya. Lana menoleh ke arah sepupunya.
"Dah 4 malam aku dapat mimpi yang sama." Mimi bersuara perlahan. Matanya tak lepas dari menatap ke luar tingkap.
"Mimpi? Mimpi apa?" Lana bertanya dengan penuh minat. Berubah posisi duduk, menghadap Mimi.
Mimi menghela berat nafas. Lutut dipeluk erat.
"Aku mimpi satu makhluk. Makhluk pelik. Tubuhnya macam manusia, tetapi tinggi dia aku kira dalam 7 kaki. Aku tak nampak mukanya, sebab dia pakai tengkorak binatang bertanduk. Tanduk tu panjang. Dia asyik pegang parang berkarat. Kat badan dia ada rantai besi panjang. Meleret ketanah." Mimi menghentikan cerita.
"Dia buat apa kat kau?" Lana bertanya lagi setelah Mimi mendiamkan diri agak lama.
"Dia tak buat apa-apa kat aku. Dia cuma..." Percakapan Mimi seolah terhenti.
"Cuma apa? Dia buat apa?" Sekali lagi Lana menyoal.
"Dia bunuh orang. Orang yang aku tak kenal. Cara dia bunuh tu kejam." Mimi menutup muka dengan kedua tapak tangannya.
"Dia tu, Sang Korok." Lana kembali bersandar di dinding.
"Sang Korok? Mana kau tahu? Kau pernah jumpa dia ke?" Mimi pula yang mengubah posisi duduk menghadap Lana. Matanya dijegil luas-luas.
"Aku tak pernah jumpa. Aku cuma baca kat internet. Dari blog-blog. Orang cakap Sang Korok ni cerita mitos. Ada yang cakap Sang Korok ni wujud. Penjaga Rimba Hitam." Lana menjawab tenang.
"Pada kau, Sang Korok tu wujud tak?" Mimi masih lagi menyoal.
"Pada aku, dia cuma rekaan. Dia tak wujud pun." Jawapan yang pendek dari Lana.
"Kadang-kadang aku macam ternampak dia kat halaman rumah, kat dalam cermin." Mimi seakan tidak berpuas hati.
"Mungkin tu hanya bayangan kau. Kau terlalu sangat fikir pasal mimpi kau sampai terbawa-bawa ke alam realiti." Lana memadam keraguan Mimi.
***********
"Jangan tertinggal apa-apa pulak. Check betul-betul." Mimi berpesan sambil mengeringkan rambutnya menggunakan hair dryer. Lana hanya tersenyum sementara tangannya ligat melipat pakaian untuk dimasukkam kedalam beg yang bersaiz sederhana besar. Cuti seminggu langsung tidak dirasa.
"Mimi! Lana! Buat apa tu? Mari turun makan malam!" Kedengaran suara Puan Hana, ibu Mimi memanggil dari tingkat bawah.
"Jom." Mimi melangkah laju. Lana bangun mengikut dari belakang. Tanpa Mimi sedar, ada sepasang mata sedang memerhati mereka berdua dari luar tingkap. Lana menoleh kearah mata itu, membalas dengan pandangan yang tajam.
******************
"Kau percaya tak cerita dia tadi? Aku tak percaya langsung. Merepek je semua tu." Suara seorang remaja lelaki memecah hening malam. Lampu di tangannya disuluh merata, dibantu sikit dengan sinaran cahaya bulan. Suasana didalam hutan pada ketika itu sedikit pelik. Langsung tiada sebarang bunyi, mahupun bunyi serangga. Yang ada hanyalah bunyi tapak kaki mereka berdua dan juga bunyi percakapan yang sesekali disulami dengan gelak ketawa di tapak perkhemahan tidak jauh dari mereka berdua.
"Ben. Kau pergi buang air kat semak sana. Aku tunggu sini. Cepat sikit." Arahnya. Kawannya yang bernama Ben itu bergegas ke tempat yang ditunjukan untuk melepaskan hajat.
"Kau jangan tinggal aku pulak Zack!" Ben bersuara disebalik semak.
"Aku tak tinggal la. Aduh kau ni." Zack menjawab. Leceh. Tak pasal-pasal dia pulak yang kena jadi peneman.
5 minit berlalu, Ben masih belum menunjukkan tanda-tanda sudah selesai.
"Ben! Lama lagi ke? Nyamuk banyak ni. Cepat sikit boleh tak?" Zack sedikit marah sambil menampar lengannya sendiri akibat digigit nyamuk.
"Weh Ben! Lama lagi ke? Kalau ye pun jawab la. Jangan sampai aku..." Belum sempat Zack menghabiskan ayat, kepala Ben tergolek perlahan keluar dari semak menuju ke kaki Zack.
"BEENNNNN!!" Zack menjerit. Belum sempat dia bergerak, muncul satu makhluk setinggi 7 kaki disebalik semak di hadapannya. Mulut Zack seakan dikunci. Kakinya bagai terlekat di tanah.
Makhluk itu semakin hampir dengan Zack. Parang di tangan kirinya diangkat dan ditujah ke perut Zack.
Mimi tersedar dari tidur. Peluh membasahi dahinya. Lana sedang nyenyak tidur di sebelah. Tiba-tiba almari pakaiannya bergoyang dengan kuat. Sesekali terdengar bunyi cakaran dari dalam almari. Mimi menarik selimut.
Ketika dia sedang berkira-kira apa yang akan berlaku sebentar nanti, selimutnya direntap kuat dan dibuang ke lantai. Mimi tersentak. Segera dia cuba mengejutkan Lana yang sedang tidur di sebelahnya.
Jelas Sang Korok sedang berdiri di hadapannya. Mimi sedaya upaya mengejutkan Lana dari tidur. Lana tersedar dalam keadaan kelam kabut.
"Apasal ni Mimi?" Tanya Lana sambil menggosok kedua matanya.
Mimi tidak menjawab, sebaliknya dia menunjuk ke arah Sang Korok yang berdiri di hadapan mereka. Lana kaget.
Sang Korok semakin menghampiri katil mereka. Terdengar bunyi seretan rantai besi di lantai bilik. Tangannya memegang kemas parang.
"Pergi kejutkan ibu. Pergi." Akhirnya Mimi bersuara. Cemas sekali. Tetapi Lana tidak berganjak. Tidak walau seinci pun.
"Eh kau dengar tak ni Lana? Pergi panggil ibu cepat!!" Mimi meninggikan suara.
"Kenapa kena panggil ibu? Bukankah ini momen yang dinantikan? Momen yang indah untuk kita nikmati?" Lana tersenyum sinis.
"Kau dah gila ke? Apa kena dengan kau ni??" Mimi mulai geram.
"Maaf Mimi. Seperti kita, Sang Korok pun kena makan jugak. Tapi dia tak makan banyak. Kau jangan risau. Dia cuma makan jantung saja." Jawab Lana sambil bangun berdiri di sebelah Sang Korok.
"Apa maksud kau???" Mimi pantas meninggalkan katil, bergerak ke pintu bilik. Tetapi Lana lebih pantas. Dia segera menahan kaki Mimi sehingga Mimi jatuh. Rambut Mimi dipegang kemas.
"Apa semua ni Lana? Kau nak bunuh aku ke? Kau sanggup bunuh sepupu kau sendiri??" Mimi mula menangis.
"Kenapa pula tak sanggup? Kau bukan darah daging aku." Lana menjawab perlahan sambil menjilat pipi Mimi.
"Sang Korok. Aku serahkan dia kepada kau. Tapi tunggu aku datang balik." Lana menolak Mimi kearah Sang Korok sebelum dia keluar dari bilik.
Tak lama kemudian, Lana datang semula sambil menangis. Puan Hana mengikut dari belakang. Riah wajahnya cemas.
"Ibuuuu!!! Tolonggg!!!! La..." Sang Korok menekup mulut Mimi.
"Makcik! Apa kita nak buat ni??" Lana berpura-pura cemas sambil memegang lengan puan Hana.
"Tolong. Jangan bunuh anak aku. Ambillah aku sebagai pengganti. Tolong." Puan Hana merayu sambil menangis. Dia cuba menerpa ke arah Mimi tapi dihalang oleh Lana.
"Emphhh emphhhh..." Mimi cuba memberitahu puan Hana sesuatu tetapi mulutnya telah ditekup.
"Tolonglah. Jangan bunuh dia. Dia satu-satunya yang aku ada. Tolonglah." Puan Hana merayu lagi. Namun rayuannya hanyalah sia-sia.
Tanpa pengetahuan puan Hana, Lana menganggukkan kepalanya perlahan ke arah Sang Korok. Seakan mengerti, parang yang sejak tadi dipegang terus merobek dada Mimi dari belakang. Mata Mimi terbeliak. Air matanya laju mencurah. Begitu jugak darah merah pekat.
Puan Hana hanya mampu menutup mata sambil meraung. Setelah tugasnya selesai, Sang Korok menghilangkan diri, meninggalkan puan Hana yang sedang memeluk erat tubuh Mimi sambil disaksikan oleh Lana yang menyimpan seribu satu rahsia.
TAMAT
==================================
Suntingan: Kamenrider
Gambar: Azman Zainordin

Anda ada kisah seram, komedi-seram, misteri, thriller ataupun mind-blowing? Apa kata anda kongsikan kisah anda kepada kami.
Hantar kisah anda ke inbox Arkib Angker Negara atau emelkan ke aanrc2017@gmail.com
Nyatakan sekali nama akaun Facebook, blog, Instagram, Twitter atau webpage anda untuk pengkreditan.

No comments: