KURUNG
“Jufri…!!!!!!!!” Laungan Dato Hamzah dari ruangan masuk ke dapur mengejutkan Jufri. Tidak disangka papanya pulang seawal itu. Baru pukul 6 petang.
Anak kecil itu terketar-ketar membayangkan nasibnya nanti. Angin papanya itu bukannya boleh diduga. Kadang disapa angin lembut bayu laut, akan tetapi sekelip mata boleh berubah menjadi angin musim tengkujuh. Redup, suram serta menakutkan. Baki jeruk mangga yang baru dijamah disembunyikan di belakang.
“ Jufri…!!!!!! Kau pekak ke? Tak dengar aku panggil?” Tempik Dato Hamzah. Jufri hanya memejamkan mata. Dia tidak mampu ke mana-mana. Menunggu sahaja habuan yang bakal diterimanya nanti. Pekerja dalam rumah itu pula tidak mampu membuat apa-apa. Mereka tahu majikan mereka sedang menggila.
“ Kau nak suruh aku buat apa biar kau faham hah?” herdik Dato Hamzah. Jufri menggeleng-geleng kepala. Takutnya bukan kepalang berhadapan dengan papanya yang sedang menyinga. Dato Hamzah tidak berpuas hati dengan jawapan Jufri. Baginya, Jufri biadap.
“ Kau ni memang kurang ajar!”
Dahi Jufri ditunjal-tunjal. Diramas rambut Jufri dan kepala anak kecil itu dihentakkan ke dinding. Menyeringai Jufri menahan kesakitan.
“ Sakit pa, tolong pa. Jufri tak buat lagi,” rayu Jufri. Namun Dato Hamzah tidak mempedulikan rayuan Jufri.
“ Aku pulang awal hari ini sebab nak tengok kau belajar atau tidak. Oh, kau ponteng ye, curi-curi makan kat dapur. Kau makan jeruk, macam mana otak nak pandai?”
Amuk Dato Hamzah lagi. Tubuh kecil Jufri dipukul bertubi-tubi. Tidak cukup dengan tangan, Dato Hamzah merungkaikan tali pinggangnya.
Jufri meneguk air liur tatkala melihat papanya menggenggam erat tali pinggang. Dia menggeleng-geleng kepala.
“ Pa, tolong pa. Jangan pa..” rayu Jufri. Air matanya berjuraian. Amat berharap papanya menghentikan perbuatan itu. Rayuannya itu cuma dipandang sepi.
' Zappp!!! Zappp!!!! Zapppp!!!!!!'
Bidasan tali pinggang bertubi-tubi singgah di belakang Jufri. Daya anak kecil itu semakin hilang. Suara raungannya tadi semakin lama semakin tenggelam. Dia tidak mampu untuk melawan.
Rasa sakit menyengat segenap sensori kesakitannya tatkala bidasan kencang tali pinggang itu singgah di tempat yang sama berkali-kali. Pedih. Mungkin akan meninggalkan kesan berbirat.
Setelah dirasakan segala amarahnya dilempiaskan, Dato Hamzah menghentikan perbuatannya. Jufri menangis teresak-esak menahan azabnya dipukul papanya itu.
“Dah, pergi mandi. Pukul 7.30 kau makan. Lepas tu pastikan pukul 8 kau dah mula belajar. Ingat!! Ponteng lagi siap kau!” Dato Hamzah memberi amaran. Jufri yang terkulai di lantai hanya mengangguk lemah. Tidak mampu untuk berbuat apa-apa melainkan hanya mengikuti sahaja arahan itu.
**********
Di meja belajar, dengan susah payah Jufri menelaah bukunya. Badannya sakit-sakit. Pedihnya mulai singgah di segenap belakang badannya. Kepala terbuai rasa pening yang berterusan. Mindanya seolah-olah melayang. Tidak mampu menghadamkan isi kandungan buku. Kalau itu yang terjadi alamatnya habislah dia. Pasti Dato Hamzah mengamuk jika bab yang ditelaah tidak dikuasai.
Dato Hamzah seorang yang mementingkan pelajaran dan kesempurnaan. Jufri perlu belajar setiap hari mengikut jadual yang diaturkan oleh seorang guru peribadi. Guru itu akan menilai Jufri setiap hari dan melaporkan kepada Dato Hamzah setiap perkembangan Jufri. Andai perkembangan Jufri tidak memberangsangkan maka Dato Hamzah akan mengarahkan Jufri untuk membuat latih tubi secara berganda.
'Kreekkk...'
Pintu biliknya dibuka. Terpacul seorang pembantu rumah membawa ubat.
Jufri melihat jam. Pukul 10 malam. Patutlah pembantu rumah datang. Masa untuk tidur. Bosan. Waktu tidur pun diselia. Pembantu itu merapati Jufri. Diselak baju Jufri dan mendedahkan bahagian belakang yang berbirat dan lebam.
“ Arghh.. sakit…” Jufri menahan sakit tatkala ubat itu disapu ke badannya. Ubat disapu pembantu rumah tanpa sepatah kata. Jufri rasa tertekan. Semua pekerja dalam rumahnya seakan-akan tidak bernyawa. Tiada sapaan yang menghiburkan hati. Mereka bercakap bila perlu sahaja. Terkadang Jufri merasakan hidupnya seperti robot.
Balik dari sekolah, makan tengahhari, belajar, makan malam, belajar dan tidur. Begitulah rutinnya setiap hari. Tiada masa bermain seperti kanak-kanak lain. Usianya baru 12 tahun tetapi hidupnya terseksa sebegitu rupanya. Disebabkan itulah, dia banyak mendiamkan diri ketika di sekolah. Tidak ada kawan walaupun selalu muncul pelajar terbaik setiap kali peperiksaan.
"Dah. Tidur," ujar pembantu rumah itu sebaik sahaja selesai menyapu ubat.
********
Jufri membuka matanya. Badannya tidak dapat bergerak. Sakitnya bukan kepalang. Terasa pijar di seluruh urat sarafnya. Pembantu rumah datang untuk menyiapkan dia ke sekolah.
“Mak cik, badan saya sakit sangat ni. Tak dapat bergerak,” lemah suara Jufri. Pembantu rumah itu hanya mengangguk dan keluar. Tidak lama kemudian, muncul Dato Hamzah dengan wajah yang bengis.
“Hei, kau ni saja cari alasan ke hah?” Tempik Dato Hamzah. Jufri hanya menadah telinga. Dia pasrah andai sepak terajang bakal singgah ke badannya lagi. Rasa sakitnya tidak dapat dibendung. Bukan sengaja dia ingin ponteng sekolah.
“Pa, tolong pa. Jufri tidak dapat bergerak langsung ni,” rayu Jufri. Air matanya bergenang. Berharap dirinya akan dikasihani kali ini walaupun agak mustahil.
Kelihatan Dato Hamzah mengeluarkan telefon bimbit dan menelefon seseorang. Jufri tidak dapat menangkap butir bicara Dato Hamzah. Dia hanya memikirkan nasibnya sahaja.
“Lepas ni kau tak payah pergi ke sekolah. Nanti aku uruskan proses itu. Kau belajar je kat bilik ni. Aku dah telefon pihak sekolah. Kau datang untuk peperiksaan je. Lepas ini tak ada lagi alasan untuk kau ponteng,” jelas Dato Hamzah. Seraya itu dia meninggalkan bilik Jufri. Meninggalkan Jufri sendiri.
Air mata Jufri tidak dapat dibendung lagi. Dia sedih. Sekarang, tertutup sudah peluang untuk melihat dunia luar. Kalau di sekolah, sekurang-kurangnya dia tidak terkurung begini. Ada juga masa untuk beriadah walaupun hanya kelas pendidikan jasmani sahaja. Dia teringatkan arwah mamanya. Andai mamanya ada, sudah tentu nasibnya tidak begini. Jufri pantas menyeka air mata. Cepat-cepat dia memujuk diri. Andai mamanya masih hidup, sudah tentu ayahnya akan menyeksa mamanya. Dia tidak sanggup melihat mamanya terseksa.
***********
Jufri tidak dapat tidur. Terkadang dia terdengar suara di sebalik dinding biliknya. Dia mengabaikan suara itu. Semenjak dia terkurung di rumah itu sebulan yang lalu, hidupnya terasa amat kosong. Hanya belajar sahaja tanpa memikirkan urusan lain. Rehatnya hanya waktu makan. Mandi? Kadang dia lupa untuk mandi. Tidur pula tidak lagi menjadi sebahagian daripada waktu rehatnya memandangkan dia ada masalah untuk tidur. Pembantu rumah pun tidak datang untuk memantaunya tidur. Jadi sebetulnya dia sudah lupa sudah berapa hari dia tidak tidur.
' Zzzzzrrrrr…Zzzzzrrrr……..'
Kedengaran bunyi cakaran.
Jufri tidak pedulikan bunyi itu. Matanya merenung siling. Berharap matanya akan terlelap nanti.
' Zzzzzrrrr….Zzzzzrrrr……..'
Bunyi itu kedengaran lagi. Kali ini lebih nyaring. Gigi Jufri terasa ngilu. Mungkin kerana bunyi cakaran itu agak tajam. Jufri mengetap giginya. Tidak tahan dengan bunyi itu, dia bangkit daripada katil. Niatnya ingin memeriksa dinding kerana bunyi itu datang dari situ.
“ Tak ada apa-apa pun,” detik hatinya. Lalu dengan rasa penat dia menghayunkan langkah untuk kembali ke katil.
' Zzzzrrrr…Zzzrrrrr…….'
Sekali lagi. Bunyi itu menyapanya.
Jufri menggaru-garu kepala. Pelik. Takut? Mungkin tidak. Dia lebih takutkan Dato Hamzah. Layanan Dato Hamzah terhadapnya membentuk peribadinya kini. Berhati kental, matang dan berdikari.
Dia meraba-raba dinding biliknya. Tiada apa-apa kesan. Dia merapatkan telinganya ke dinding. Cuba untuk meneliti kalau-kalau terdapat sebarang bunyi. Setahunya bilik sebelah kosong.
Aneh. Tiada pula bunyi. Walaupun Jufri masih kanak-kanak tetapi naluri ingin tahunya kuat. Hendak melangkah keluar bilik, risau pula terserempak dengan Dato Hamzah ataupun pembantu rumah yang lain. Lalu dengan perasaan kecewa dia menghempas malas badannya ke katil.
' Zzzzzrrrr…Zzzzzrrrr…..'
Bunyi itu bertandang lagi. Jufri mulai geram. Segera dia melompat dari katil. Terus ke dinding berhampiran meja belajarnya. Di dekatkan lagi telinganya ke situ. Agak mustahil jika bunyi datang dari arah itu. Tetapi kata hatinya membuatkan dia bertindak begitu.
'Zzzzrrrr…Zzzzrrrrr….'
Bunyi itu kembali. Jufri membuka lampu di meja belajarnya untuk melihat dengan jelas. Barulah dia perasan sesuatu. Dinding biliknya yang berhampiran dengan meja belajarnya itu diperbuat daripada kayu. Hiasan kertas dinding yang sama di segenap bilik mengaburi matanya selama ini.
Dia cuba menolak dinding kayu itu.
‘ Klapp !!’
Terbuka sedikit. Kelihatan satu jaringan ruang yang kecil terbuka di tempat yang ditolak tadi.
“ Dinding ini mungkin menghubungkan ke bilik sebelah. Agaknya ini salah satu cara papa nak mengintip aku,” bisik hati Jufri. Perasaan takut ditolak ke tepi. Dia ingin tahu benda yang mencakar dinding itu tadi.
Dia cuba menolak lagi.
‘Kreeekkkkk…..’
Dinding itu terkuak agak luas. Memuatkan badan kecil Jufri untuk menyusup ke dalamnya. Jufri teragak-agak sama ada ingin meneruskan ataupun tidak. Akan tetapi ada sesuatu yang menggamitnya untuk masuk. Dengan langkah yang penuh berhati-hati dia masuk.
Gelap. Hatinya dicekalkan. Dia yakin bilik itu kosong. Sudah lama bilik pembantu ini tidak berpenghuni.
“ Alang-alang dah masuk, teruskan sahaja,” bisik hatinya. Di bilik pembantu itu, matanya liar mencari sumber cahaya yang memungkinkan dia meneroka bilik dengan lebih jelas. Tiada lagi bayangan bengis Dato Hamzah di fikirannya ketika itu. Dalam kesamaran itu, matanya menangkap satu lampu tidur. Pantas langkahnya menuju ke arah itu.
'Plapp!!'
Suis lampu tidur dihidupkan. Dia agak terkejut melihat bilik itu tidak seperti yang dibayangkan. Bilik itu aneh. Terdapat balang di suatu sudut bilik itu. Tersusun elok di dalam sebuah kabinet kaca. Bukan satu dua tetapi lebih kurang berpuluh-puluh kesemuanya.
Jufri merapati kabinet itu. Kesemua balang di situ berwarna gelap. Bersaiz sederhana. Ada sesuatu tertulis di setiap balang tersebut. Jufri mencapai salah satu balang dan cuba membaca tulisan yang tertera.
‘ Manisah Aulia- 2008 ’
Itu nama mamanya!! Dia membuka balang itu. Terdapat organ yang agak mengecut di dalam balang itu. Kemungkinan hati. Timbul perasaan yang aneh dalam diri Jufri. Dia memeriksa balang yang lain.
‘ Othman Yusuf - 2008’
‘ Maimunah -2010 ’
‘Khalid Mansur - 2013’
Hati Jufri semakin berdebar-debar. Kesemua nama yang tertera di balang-balang itu dikenalinya. Pekerja papanya dahulu.
Dia mulai menangis. Membayangkan papanya sedang menyembunyikan sesuatu. Persoalan perlu dirungkai. Andai selama ini papanya melakukan jenayah, maka dia tidak boleh mendiamkan dia. Mata Jufri liar memeriksa setiap balang itu. Sehinggalah dia menemui;
‘ Jufri al-Hazmi - 2017 ’
Itu namanya. Tapi? Mengapa? Dia membuka balang itu.
Penuh ragu-ragu dia membukanya.
‘ Klakk!! ’
Penutup balang itu berjaya dibuka. Dia menjenguk ke dalamnya. Agak samar-samar tetapi dia mulai mengerti sesuatu. Air matanya mulai terbit di tubir matanya.Teresak-esak dia menangis.
Di dalam balang itu ada otak bersaiz agak kecil bersama sejenis cecair formalin. Patutlah dia tidak ingat kematiannya sendiri. Otaknya sudah ditempatkan di dalam balang itu. Mungkin Dato Hamzah sengaja. Ingin membiarkan dia terus terkurung di situ. Jufri mengongoi. Memeluk balang itu sambil mengingati hari kematiannya. Sebulan yang lalu.
*********
Sebulan sebelumnya….
Rasa sakit makin menjalar ke seluruh badan Jufri. Dia teramat lemah. Hendak mengangkat tangannya pun tidak terdaya. Namun sedaya-upaya dia cuba bangun dari katil. Tadi Dato Hamzah sudah mengeluarkan arahan supaya dia tetap belajar walaupun tidak ke sekolah.
Baru sahaja hendak melangkah ke meja belajar, dia terjelupuk ke lantai. Seluruh badannya terasa lumpuh. Pandangannya berpinar-pinar. Dia pengsan di situ.
Ketika sedar dari pengsan, dia melihat Dato Hamzah sedang menyusun balang-balang di atas kabinet. Bilik itu agak asing baginya. Kusam dan aneh.
“ Kau ni lemah!!” Dato Hamzah bersuara kasar.
Jufri diselubungi tanda tanya. Dato Hamzah di hadapannya ini agak pelik kelakuannya. Kelihatan kusut dan berpakaian selekeh. Tidak berpakaian kemas seperti biasa.
“ Kau tahu tak? Kau dilarang untuk sakit. Kau sakit, kau tak boleh belajar. Rugi!! Nanti jadi bodoh!!” Dato Hamzah bersuara agak keras. Menggentarkan hati Jufri.
Dato Hamzah mendekati Jufri yang sedang terbaring di katil. Wajahnya yang bengis meningkatkan adrenaline Jufri. Jantungnya dipam laju. Degupannya begitu kuat hingga terasa hendak terkeluar jantung. Peluh Jufri mulai terbit di dahi.
“Daripada aku lihat kau jadi bodoh, lebih baik aku kurung je kau. Tak ada lah memalukan aku!”
Dato Hamzah menarik Jufri dan menghentakkan kepala Jufri ke dinding. Jufri merayu supaya dilepaskan namun sia-sia. Papanya seolah-olah dirasuk.
‘ Zzzzrrrrr… Zzzzrrrrr…’
Jufri mencakar-cakar dinding kayu bilik itu. Mengoyakkan sebahagian kertas hiasan dinding. Dia berbuat demikian kerana tidak tahan dengan kesakitan akibat perbuatan papanya sendiri.
‘ Bukk!!!!!!!’
Tumbukan keras Dato Hamzah mengenai tepat ke muka Jufri. Satu tumbukan itu sudah cukup untuk membuatkan Jufri pengsan.
Sewaktu Jufri pengsan, Dato Hamzah menakik kepala Jufri hidup-hidup. Kemudian, otaknya dikeluarkan dan diletakkan ke dalam balang. Di tulis;
‘ Jufri al- Hazmi - 2017 ’
Dia tersenyum puas. Kemudian dia melihat jasad Jufri yang sudah tidak bernyawa. Wajahnya tiba-tiba berubah. Dia mengelus lembut wajah anaknya.
“ Papa sayang Jufri. Papa akan sentiasa jaga Jufri, jangan tinggalkan papa,” Dato Hamzah mengongoi sambil memeluk jasad Jufri yang berlumuran darah. Dia mengelap air mata yang tersisa di mata anaknya.
“ Jangan risau. Papa akan biarkan Jufri tinggal di bilik Jufri. Jufri belajar macam biasa ya,” rintih Dato Hamzah. Dia kemudiannya bangkit dan meletakkan balang yang berisi otak Jufri di sudut bilik pembantu itu. Ditatap balang-balang yang tersusun itu dengan penuh kasih sayang.
“ Aku sayang kamu semua. Sebab itu aku simpan kamu semua di sini,” Dato Hamzah bersuara lirih. Membayangkan wajah-wajah insan dan pekerja yang disayanginya.
Dato Hamzah mengendong jasad Jufri ke biliknya. Dibiarkan Jufri di katilnya. Dengan harapan, Jufri akan terus belajar di biliknya. Langsung tidak dia sedari. Perbuatan sadisnya itu mengurung anaknya. Selama-lamanya!!!
- Tamat -
Suntingan Gambar: Gongpal Topek
Karya hakcipta penulis dan Arkib Angker Negara.
Anda ada kisah seram, misteri, thriller ataupun mind blowing?
Ayuh kongsikan kisah anda kepada kami. Hantar kisah anda ke emel
aanrc2017@gmail.com
Nyatakan sekali nama akaun Facebook, Instagram, Twitter, blog, atau webpage anda untuk tujuan pengkreditan.
No comments:
Post a Comment