Sunday, 4 March 2018

MENYOROK! - Affieyza Isahak


MENYOROK!
Nukilan : Affieyza Isahak
===========================


Pali menyikat rambut sambil tersenyum di hadapan cermin. Dia berpuas hati dengan penampilannya pada pagi ini. Hari ini dia akan memulakan tugas di tempat baru. Semuanya baru.

Baru tiga hari dia berpindah ke Negeri Jelapang Padi ini dan dia sudah mula merindui kampung halamannya di Selangor. Di sini dia menyewa bersama-sama dengan rakan sepupunya yang sebelum ini tinggal berseorangan. Dia bersyukur kerana semua urusannya ketika tiba di sini, dipermudahkan.

Pali melangkah dengan bersemangat menuju ke arah pintu utama stesen kereta api itu. Dia melihat kawasan di situ agak lenggang. Tidak ramai orang. Suasananya agak sunyi. Mungkin bukan waktu puncak untuk menaiki kereta api menuju ke destinasi pilihan.

*****

"Kita kerja di sini tak ada nak serabut sangat. Sini tak berapa sibuk. Dua tahun aku kerja di sini, alhamdulillah, tenang jiwa aku. Tak ada masalah." Faizol memberi Pali kata-kata semangat.


Pali mengangguk kepalanya. Lapang hatinya saat ini. Lega.

"Cuma.. "
Pali menoleh ke kiri. Rakan barunya yang bernama Bayong itu. Bayong kelihatan sedikit gelisah.
"Kenapa Bayong? " Pali bertanya perlahan. Faizol pula terus diam.
"Tempat ni, keras sikit! "
"Keras macam mana tu? "
"Tak la keras sangat. Lembut sikit daripada batu nisan ja!"

Giliran Pali pula terdiam. Bayong ni bergurau ke apa?
Kemudian kedengaran gelak tawa yang bergabung serentak. Pali tak berani nak tumpang ketawa.
"Kami melawak ja aehh. Hang ni punn..!" Ujar Faizol setelah ketawanya reda. Pali hanya tersengih.
"Tempat ni okey la?"

"Okey, cuma kadang tu, 'dia' saja nak usik kita. Hang buat tak tau jaa. Jangan takut. Kalau hang takut, lagi dia suka.." Bayong mempamerkan senyuman.

Pali mengangguk lagi. Aduh, baru hari pertama, sudah dengar cerita begini. Dia bukanlah seorang yang penakut tetapi berada di tempat baru ini membuatkan dia terkesan dengan apa yang disampaikan oleh rakan-rakan barunya itu.

"Ni, hang pi la menyorok dulu." Suruh Faizol sambil meneliti beberapa kertas di mejanya.

Pali terkejut. Dia suruh aku menyorok? Gila ke apa nak main sorok-sorok? Macam budak-budak!
"Kenapa?" Tanya Pali.

"Haa laa, satgi bos mai payah pulak. Baik hang pi menyorok siap-siap!" Jawab Bayong sebelum melangkah keluar dari bilik kawalan itu.

"Kalau menyorok, macam mana nak jumpa bos?" Pali menyoal lagi. Kepala yang tidak gatal digarunya.

"Adoi, hang ni laa.. Pi la menyorok cepat. Banyak songeh pulak!" Faizol menggeleng kepalanya. Suruh menyorok pun banyak bunyi, macam suruh dia bunuh diri!

"Err, nak menyorok kat mana?"

"Dekat-dekat sini dah laa. Nanti hang sesat, tak susah kami nak cari. Faizol melepaskan tawa.

Pali merasa pelik dengan sikap mereka berdua. Macam ada sesuatu yang disembunyikan.

"Okey." Pali berlalu pergi. Dia singgah membeli sebotol air mineral dan dua bungkus roti berperisa jagung. Buatnya kena menyorok lama, tak la dia kelaparan nanti. Pali tersenyum seorang diri.

*****
Bayong dan Faizol berpandangan sesama sendiri. Walaupun duduk di dalam bilik yang ada pendingin hawa, mereka tetap berpeluh.

Berhadapan dengan bos mereka, bukanlah sesuatu yang menarik! Melihat wajah tegang di hadapan mereka, semakin kecut perut mereka di buatnya!

"Mana budak baru tu? Dah lepas maghrib ni, masih tak muncul-muncul!" Tanya Yassrizal mendatar.

"Kami tak tau.. Pagi tadi kami suruh dia pi menyorok. Sampai la tak balik-balik!" Jawab Bayong dengan sekali nafas.

"Tak tengok ka dia menyorok kat mana? Sesat agaknya."

Faizol dan Bayong menggeleng serentak.

"Pi telefon dia cepat!"
"Hanset dia ada dengan kami. Dia tertinggai tadi." Keluh Faizol.
Yassrizal memicit dahi. Ini kejadian pertama pekerja baru hilang di hari pertama!
"Pi cari dia. Malam dah ni. Kalau jadi apa-apa kita yang susah!" Yassrizal memberi arahan.
Bayong dan Faizol beriringan keluar dari bilik itu.
"Cari pasai betoi laaa budak sekoq ni!" Faizol meluahkan rasa.
"Tak pasai-pasai kita kena cari dia pula!" Bayong pula merungut.

"Kita cari belah dalam dulu. Mana tau dia duduk kat mana-mana." Cadang Faizol lalu dipersetujui oleh Bayong.

*****
Pali menggosok matanya beberapa kali. Terkebil-kebil dia melihat sekelilingnya. Agak gelap. Hanya cahaya di bawah pintu yang dilihatnya masuk sedikit ke dalam.

Angin pula menerobos masuk melalui tingkap yang terbuka di kanan dinding. Samar-samar Pali melihat tingkap itu. Dia cuba mengingati apa yang telah berlaku.

'Aku menyorok di sini sampai tertidur?' Pali menelan air liur. Tubuhnya terasa melekit dan sudah berpeluh. Mujurlah tingkap terbuka, kalau tidak, sudah pasti dia pengsan di dalam stor ini!

Dia menjumpai stor itu setelah mencari tempat untuk menyorok. Pelik betul kerja di sini. Bos datang pun kena menyorok! Sepatutnya dia sebagai pekerja baru, diraikan. Ini tidak! Peraturan apa yang mereka amalkan?

Pali meraba di tepinya. Plastik rotinya sudah kosong manakala botol air mineral yang dibelinya pagi tadi sudah ringan. Habis.

Pali bangun dan mahu keluar dari stor itu namun langkahnya terhenti. Dia memicing pendengaran. Bunyi orang berjalan di luar pintu! Pali menelan air liur. Cerita Faizol dan Bayong pagi tadi mula terngiang-ngiang di telinganya. Dia kembali berpeluh.

Pali mendekatkan telinganya pada pintu. Mahu mendengar dengan lebih jelas.
Tok! Tok!
Pali terundur ke belakang secara mengejut.
Tok! Tok!

Pali mengunci mulut. Bimbang dia akan mengeluarkan suara tanpa sedar! 'Siapa pula yang ketuk-ketuk pintu ni!'
"Aku laa.. Bukalah pintu.." Suara gemersik kedengaran dari luar pintu.
Pali tergamam. Tubuhnya menggigil.

"Pali tak panas ke duduk dalam tu.." Suara tadi bertukar menjadi hilaian panjang.
Sumpah! Pali rasa nak menangis. Dia jatuh terduduk di atas lantai.
"Jangan kacau akuu!!!!" Jerit Pali bersama air mata yang sudah mengalir laju.

Pali mengangkat wajah apabila kemudiannya dia mendengar laungan azan juga dari luar pintu. Allahuakbar! Pali berasa lega kerana ada yang datang membantunya.
Suasana kembali sunyi namun Pali masih takut untuk membuka pintu. Bimbang makhluk itu masih berada di luar.

"Pali, bukak pintu!"
Pali bangun berdiri. Itu suara Bayong!
"Pali, hang ada kat dalam ka?"Tanya Faizol pula.
"Aku ada dalam ni!" Jerit Pali lalu bergegas membuka pintu.

Sebaik membuka pintu, Bayong dan Faizol terus membawa Pali ke bilik rehat. Pali kelihatan lemah.

Bayong dan Faizol berpandangan sesama sendiri. Apa yang Pali buat dalam stor lama tu? Dan sempat pula benda itu mengusik Pali! Mereka pasti hari ini merupakan hari pertama kerja yang paling teruk dalam hidup Pali!

*****
Hampir setengah jam berlalu. Pali sudah semakin baik. Semangatnya juga semakin pulih.

"Ini bos kita, Encik Yassrizal." Faizol memperkenalkan bos mereka kepada Pali.

Pali menghulurkan tangan untuk berjabat salam. 'Oh.. inilah dia bos aku. Yang aku kena menyorok pagi tadi. Sudahnya sampai aku jadi macam ni!' Pali membebel dalam hati.

"Sebenarnya kamu buat apa dalam stor lama tu? Macam mana kamu boleh buka pintu yang kami dah kunci bertahun tu?" Yassrizal mula bertanya.

Pali menggerutkan dahi.

"Kunci? Saya pergi situ pagi tadi, stor tu dah terbuka. Itu yang saya masuk menyorok di situ."
Giliran Yassrizal pula merasa pelik.

"Kenapa hang menyorok kat situ? Nak curi tulang ka?"

"Eh, mana ada. Tadi Bayong dengan Faizol suruh saya pergi menyorok sebelum bos datang! Saya pun menyorok la dalam stor tu.." Pali membela dirinya.

Tidak mahu di katakan curi tulang pada hari pertama bekerja! Tiga pasang mata memandang antara satu sama lain.. Muka masing-masing sudah bertukar rupa.

"Hahaha!!" Tiga suara bergabung ketawa. Semakin lama semakin kuat.

Pali terus membetulkan duduk. Dah kenapa pula semua ketawa ni? Pali mula tidak keruan.

"Hang tau dak, menyorok tu apa?" Dengan ketawa yang masih berbaki, Faizol bertanya. Pali menggaru kepala.

"Menyorok laa.. Sembunyi.."

Sekali lagi ketawa mereka bertiga bersambung. Sampaikan Bayong ketawa sambil menghentak kaki. Manakala Faizol pula menepuk-nepuk permukaan meja. Cuma Yassrizal ketawa sambil tunduk memegang lutut. Sudah lama dia tidak ketawa sepuas ini!

"Kenapa ni?" Pali menguatkan suaranya. Mahu mengatasi derai ketawa tiga manusia dia hadapannya itu.

"Awat laaa hang jadi lagu.. Aku ingat hang tau..!" Faizol sudah berhenti ketawa. Kesian pula dia dengan rakan setugasnya yang baru itu.

"Tau apa?"

Yassrizal duduk di sebelah Pali. "Macam ni, dekat sini, menyorok tu maksudnya sarapan.. hahaha." Yassrizal sambung ketawa. Air matanya meleleh perlahan. Bahunya bergegar kesan daripada ketawa yang maha dasyat.

"Sarapan?" Pali terkejut sehingga dia terbangun. Dia kemudian mengusap wajahnya. Lama.

"Pali?" Panggil tiga suara serentak. Risau pula melihat tingkah Pali yang berubah itu.

"Wey, hang pasai pa pulak ni? Takkan kena sampuk kot? Tadi 'dia' dah pi!" Faizol menepuk bahu Pali.

Tidak lama kemudian, Pali menurunkan tangannya. Mereka lihat, air matanya bergenang.

"Hang okey dak ni?" Bayong sudah mula cuak.

Pali akhirnya melepaskan tawa dan air mata serentak. Dia tak tahu samada dia ketika ini sedang menangis sedih atau menangis gembira. Nak berhenti tapi tak boleh...

Dan tiga pasang mata pula terlopong melihatnya!

Tamat.
===================================

Gambar & Suntingan : Dikmang
Karya adalah milik penulis dan Arkib Angker Negara.
Anda ada kisah seram, komedi-seram, misteri, thriller ataupun mind-blowing? Apa kata anda kongsikan kisah anda kepada kami.
Hantar kisah anda ke inbox Arkib Angker Negara atau emelkan ke aanrc2017@gmail.com
Nyatakan sekali nama akaun Facebook, blog, Instagram, Twitter atau webpage anda untuk pengkreditan.

No comments: