SUHANA
=======================
Bab 5:
Kampung Tanah Periuk, 1974.
Bunyi parang terbang saling bertingkah, denting besi yang memangkah terkadang memercikkan percikan api yang sungguh mengujakan.
Zakaria bergolek ke tepi setelah rusuknya ditendang oleh Rustam. Ibrahim pula masih kejap memasang kekuda. Matanya meliar melihat kiri dan kanan, risau Razman timbul dari kegelapan Malam. Khadijah dan Kamsiah masih setia memerhati. Mengharapkan tiada siapa yang terbunuh pada malam ini. Mereka seperguruan yang saling memasang angan yang sungguh tinggi.
Wak Kardi berpeluk tubuh memerhati anak-anak muridnya. Malam ini mereka akan menghabisi pengajian persilatan mereka. Tiga tahun merupakan tempoh yang cukup lama. Dia berbangga, ilmu persilatan yang dianutinya daripada Laut Sunda dapat diajarkan kepada temurun yang baru. Sesekali dia membaca jampi serapah.
"Wewenang alunasi jonji Sunda Bumi,
Kuponang wakih yong tanpo menyuidahi,
Kupojo kusoroh alu wak dimana waqih dipulangi,
Ikat sampai kumis nadi mati."
Dia melirikkan pandangannya, terlihat langsuir belaanya di balik pokok jati. Beruk sunda juga setia memerhati. Mereka bakal diserahkan kepada tuan baru.
Penghulu Kampung Tanah Periuk meraut-raut janggutnya. Dia turut bersama melihat keampuhan jagoan yang akan menjadi kebanggaan desa ini. Dia kagum dengan kelincahan anaknya, Razman.
"Hiakkk." Ibrahim menolak deras bahu Zakaria. Aura yang dikeluarkan dari ilmunya membuatkan Zakaria muntah darah. Dia mengelap darah yang mengalir lalu menggenggam tanah.
Ayat halimunan dibacanya lalu bergerak dalam kegelapan malam. Dia menghampiri Razman. Hendak memukul curi, namun langkah yang terburu-buru menyebabkan gerakannya disedari. Razman memusingkan badannya lalu mencengkam tengkuk Zakaria.
Dihentak kepala Zakaria sebelum memukul belakang badan Rustam.
Wak Kardi menepuk tanah, semua muridnya terpelanting menyembah bumi.
"Bagus anak muridku. Aku sudah tamatkan pengajian kamu. Kamu akan menjadi pemuda dan pemudi hebat. Kamu akan penjadi pejuang kepada bangsa dan negara ini. Setelah kuamat-amat, Ibrahim menjadi juara pada malam ini." Umum Wak Kardi di tengah keramaian manusia.
Semua hadirin bertepuk tangan. Sungguh, keampuhan Ibrahim sukar digugat oleh keempat-empat tokoh besar pesilat Kampung Tanah Periuk. Rustam, Razman dan Zakaria memeluk Ibrahim lalu mengucapkan tahniah.
Penghulu Tanah Periuk memeluk anaknya Razman dan anak jagaannya Zakaria. "Tahniah. Bapa bangga. Bersiaplah. Dalam seminggu dua, kamu berdua akan dihantar ke pondok pula. Pondak Dala, pondok ulama’ besar dari Tanah Keramat Pattani. Kamu perlu mengaji ilmu ketuhanan pula. Agar nanti kamu menjadi Ugamawan besar yang bakal memandu masyarakat. Menjadi ulama’ tersohor yang ampuh. Nama Penghulu Deraman akan disebut-sebut kerana melahirkan pahlawan dan ulama’."
Penghulu menepuk-nepuk bahu anaknya sambil menggungkapkan perasaannya yang cukup bangga.
"Abah, sebelum saya ke Pattani, boleh bapa nikahkan saya dengan Jah? Ada jugalah yang akan menjaga saya di sana nanti. Saya sudah lama terpikat dengan keayuaannya. Bapanya juga penghulu desa sebelah." Razman terus menambah.
Zakaria di sebelah sedih mendengarkan ulah Razman. Jah wanita idamannya. Kerana dia hanya menumpang. Dia hanya mampu berdiam. Dia tiada pusaka, tiada keluarga yang bisa membantunya di Kampung ini. Hatinya bertukar galau.
Jah terpaksa menerima pinangan Razman walaupun dia sebenarnya kekasih Ibrahim. Mereka sudah berjanji sehidup semati. Malah mereka pernah berkasih hingga terlanjur melakukan maksiat. Hanya kerana kuasa dan harta, bapanya menerima pinangan Penghulu Deraman. Dia mula berdendam. Razman yang meminang tanpa persetujuannya akan merana seumur hidup.
Malam itu, dia dan Ibrahim telah sepakat. Mereka perlu segera mengikat janji. Dalam kelelahan mendaki bukit Harimau. Jah dan Ibrahim tetap menemui Wak Kardi. Mereka perlu segera sebelum semuanya terlambat.
“Kuperturunkan ilmu dan peliharaanku kepada mu”. Sebut Wak Kardi.
“Aku terima”. Sahut Ibrahim.
Teratak Wak Kardi mula Bergoncang. Bau busuk mula menerpa memenuhi ruang rumahnya. Wak Kardi terjerit nyaring. Tubuhnya mengecil dan mengecut menjadi jenglot. Jah yang ketakutan lari meninggalkan Ibrahim sendirian.
Ibrahim mematuhi pesan gurunya, kakinya dihulur kepada jenglot, tengkoknya dibiarkan terdedah tanpa sebarang kain. Lalu jenglot pun menghisap darah dari kakinya, manakala beruk belaan Wak Kardi menggigit tengkuk Ibrahim. Ibrahim kelelahan lalu pengsan. Syaitan yang ketawa mulaa menari-nari sambil bersiul menghina anak adam yang menyembahnya.
Bab 6:
Serbannya dibuka, air tadahan masjid dan tanah di depan rumahnya diletakkan sebaris. Razman mula membaca ruqyah diselangi dengan solat hajat. Dia khusyuk dalam ibadahnya kepada Allah. Kepada Allah sahajalah dia berserah. Selesai dia berdoa. Diambil tanah lalu dikepal-kepal menjadi bebola kecil. "Allahhuakbar." Haji Razman melaung lalu melemparkan bebola tanah keluar melalui jendela rumahnya.
"Su, sabar ya. Pemergian mak bukanlah segala-galanya. Kan Su masih ada abang." Aiman memujuk kegalauan hati Suhana.
Suhana, semakin tenang. Dari tadi dia lebih banyak termenung mengenang malapetaka yang menimpa keluarganya.
Tiba-tiba, guruh mula berdentum. Aiman mula keresahan. Dahinya berpeluh. Dia kepanasan. Bajunya ditanggalkan lalu terjun ke dalam tasik.
"Su, lari Su. Ayah Su nak balas dendam." Aiman melaung.
Suhana meraung meminta tolong. "Tak guna si Tua Keparat. Dulu kau pisahkan kami, sekarang kau cuba hancurkan kekasih aku." Suhana meraung di tepi tasik.
Peluru tanah yang dilemparkan oleh Haji Razman tepat mengenai dahi Aiman. Aiman terbakar hingga hangus. Sejuk air tasik tidak dapat menyelamatkannya. Tubuhnya yang rentung terapung di tengah tasik. Suhana menangis teresak-esak. Kekasihnya sejak kecil mati dibunuh ayahnya sendiri. Dendam lamanya semakin membara.
Wak Kardi yang berdiri di tepi tasik bertepuk tangan kegirangan. Seorang lagi manusia sesat terjun ke neraka.
Suhana menarik mayat Aiman ke atas jeti. Dia memeluk mayat kekasihnya. Hatinya remuk. Dia sungguh pilu. Amarah dan dendam mula bersatu. "Kau akan kulanasi, orang tua celaka." Mayat Aiman dibawa masuk ke dalam kereta lalu dibawa pulang ke rumah Mak Kamsiah.
Mak Kamsiah meraung menangisi kehilangan anaknya. Satu-satunya anaknya yang tinggal hasil perkahwinan dengan Rustam. Dia sungguh sedih. Dia meraung sambil menepuk-nepuk dadanya. "Kau celaka. Aku akan hapuskan kau."
Suhana memegang bahu Mak Siah, dia mengalirkan dendamnya kepada Mak Siah. "Kita selesaikan semuanya malam ini ya mak? Kita tuntut bela untuk abang Am." Syaitan yang memenuhi hatinya semakin rancak menaburkan amarah. Serakah mula bermaharajalela
Bunyi ketukan pintu menghilangkan tumpuan Suhana dan Mak Siah. Lebai Ibrahim mengetuk pintu rumahnya.
"Siah, kau dah siap? Suhana, kau sanggup?" Soal Lebai Ibrahim.
"Tengok, sebab kamu berlengah anak kau dah mati. Dari dulu aku cakap, hapuskan Razman awal-awal. Tapi kau degil. Kau sayangkan sangat kekasih lama kau tu. Kau was-was Siah. Kau pula Suhana. Dendam kau belum cukup kuat tengok sekarang apa yang dah jadi." Lebai Ibrahim mula menghasut. Kerja terlaknat mesti diteruskan. Dia waris Wak Kardi, dukun Jawa yang menuntut ilmu Sunda. Semakin ramai yang menyembahnya, semakin ampuh ilmunya.
Bab 7: Kematian Haji Razman
Haji Zakaria mencicip lembut air kopi yang dihidangkan kepadanya. Dia mengeluh. "Berat permintaan kau abang Haji. Aku tak boleh. Kita boleh hapuskan mereka." Bantah Haji Zakaria.
"Zakaria, kita dah lama bersahabat. Aku tak sanggup. Anak aku juga terlibat. Kalau aku lawan. Anak aku yang terkorban. Biarkan aku sahaja yang mati. Jah tengah tunggu aku. Aku sudah tak sanggup menanggung dosa ini." Haji Razman membalas lembut. Sesekali diseka air mata yang mengalir.
"Abang Haji, aku tak berani janji. Aku nampak Wak Kardi di tepi tasik. Dia dah mati 30 tahun lepas. Saka dia terlepas. Kalau kita biarkan, porak peranda kampung kita ni."
Haji Razman terdiam, dia mengeluh. "Allah. Beratnya ujian kali ini."
Malam;
Selesai bersolat isyak, Haji Razman memanggil semua anaknya. Dia membahagikan pusakanya kepada semua yang berhak mengikut ilmu faraid yang telah dipelajarinya dahulu. Dia berpesan supaya anak-anaknya sentiasa menjenguk kuburan mereka setelah dia tiada. Sentiasa takutkan allah dan sentiasa berusaha melakukan kebaikan.
Anak-anaknya turut mengalirkan air mata seolah-olah malam ini merupakan hari terakhir mereka akan bersama dengan ayahnya.
Suhana turut menangis. Jiwanya goyah.
"Jangan was-was Suhana, dia bunuh ibu kau, dia bunuh kekasih kau." Suara Lebai Ibrahim jelas kedengaran.
Malam itu terasa cukup panjang. Dahinya terasa peluh. Ajal terasa dekat di kerongkongnya.Selesai membaca isti’azah dan doa sebelum tidur, dia mengucapkan dua kalimah syahadah. Dia telah bersedia.
Di balik pintu, Suhana membaca Jampi. Mak Siah pula berada di bawah rumah. Dia meletakkan tempurung berisi darah mayat Rustam betul-betul di bawah katil Haji Razman. Suhana pula masih memuja syaitan terlaknat.
"Asalmu pulang membawa diri,
Kuseru dari penjuru hutan untuk melunasi,
Janji lama kuingat semula. Wewengan koporo satupo alunasi.
Kupujo-pujo daromu kuhittung nyaomu."
Selesai membaca mantera, dia menghembus ke arah bilik ayahnya.
Haji Razman mula menggeliat, perutnya terasa panas. Dia bangun, melihat kearah pintu. Sama ada melawan atau menyerah kalah. Nyawa anaknya jadi taruhan.
Tiba dia tertolak ke belakang seperti ada angin pusat yang menolaknya jatuh terbaring. Badannya terangkat. Perutnya bergerak-gerak. Pelesit yang dipasung bersama mayat Rustam mula dahagakan darah.
Razman merengus kemarahan, imanya mula hilang. Syaitan sudah bersarang di hatinya, perutnya pecah terburai. Perutnya yang terbuka mengeluarkan lidah yang besar dan panjang. Lidah itu bergerak mencari darah yang dijampi di bawah rumah Razman.
Razman meraung kesakitan. Jeritannya mengejutkan anak-anaknya yang lain. Suhana juga berpura-pura terkejut. Suhaila mengetuk pintu ayahnya. "Ayah, ayah, buka pintu ayah." Suhaila memegang tombol pintu, lalu menjerit kepanasan. Wak Kardi sudah menghalang sesiapa sahaja daripada memasuki bilik Razman.
Jeritan haji Razman juga didengari haji Zakaria. Dia bingkas mengenakan jubah dan serbannya sebelum melangkah ke rumah sahabatnya.
Dia memang sudah bersedia sejak petang tadi lagi. Cuma Razman sahaja yang menghalang.
Dia beristighfar sebaik sahaja melihat Mak Kamsiah sedang bersujud menyembah tempurung berisi tanah. Lidah pelesit yang panjang menjulur ke bawah rumah sedang leka menghisap darah.
Raungan Haji Razman terus kedengaran. Mak Siah bertindak pantas. Keris Sunda Wak Kardi dikeluarkan lalu memotong lidah pelesit yang sedang menjilat darah mayat suaminya.
Haji Razman menggelupur lalu menghembuskan nafas yang terakhir. Haji Zakaria mengucapkan innalillah. Dia tahu, sahabatnya sudah tiada. Malam ini, dia akan menghapuskan kekufuran yang melanda desa ini.
Diambilnya peluru tanah yang dibekalkan oleh Razman lalu dilempar ke arah Mak Siah. Mak Siah menerima nasib seperti anaknya. Rentung terbakar di bawah pangkin rumah Haji Razman. Menemui Allah dalam keadaan sakaratul maut.
Zakaria menapak menaiki tangga rumah Razman dan memberikan lafaz kemulian assalamualikum. Jali membuka pintu rumahnya. Jelas kerisauan di wajahnya.
Rumah Razman terasa membahang. Lalu dia mengumandangkan azan. Sebaik sahaja lafaz Allahuakbar Allahuakbar disebut, Suhana rebah menyebah lantai. Zakaria membaca ayat kursi dan ayat ruqyah lalu dihembuskan ke ubun-ubun Suhana.
Suhana menggelupur kepanasan, menjerit dan meraung kesakitan. Ruqyah terus dibaca. Raungan Suhana tidak diendahkan. Ruqyah dibaca bagi menyingkirkan sihir Wak Kardi yang bersarang di tubuhnya. Air penawar yang ditinggalkan oleh Razman disimbah ke atas Suhana. Dia menggeletik dan menggigil sebelum tidak sedarkan diri.
Suhaila memeluk anak-anaknya. Dia berduka atas malapetaka yang datang bertimpa-timpa keatas keluarganya.
Haji Zakaria beralih ke arah bilik Haji Razman dan membaca ayat Kursi. Pintu bilik itu terbuka. Suhaila meraung histeria melihat keadaan ayahnya. Darah terpalit menyimbah memenuhi katil ayahnya. Jali memegang adiknya daripada rebah ke lantai.
"Allah. Allah. Allah." Lafaz itu diulang-ulang. Haji Zakaria sedih melihat pengakhiran sahabat baiknya itu.
Jali bawa Suhaila dan anak-anak kamu ke rumah pak cik. Biar pak cik yang selesaikan jenazah almarhum ayah kamu ni. Jali mengganguk dan mengerti. Sebaik sahaja, Jali dan adik-adiknya keluar Haji Zakaria tertawa mengekek. Padan Muka.
Bab 8: Penutup
Azan Subuh pagi itu sungguh syahdu. Lebai Ibrahim mengalunkan azan dalam tangisan yang bersendu-sendu. Dia mengelap hingusnya yang meleleh menggunakan hujung baju Melayu. Lakonannya betul-betul mantap.
Jali menitiskan air mata. Hiba rasanya apabila mengenangkan nasib ibu dan ayahnya. Pergi dalam keadaan yang cukup mengerikan. Kini dia menjadi ketua keluarga menggantikan ayahnya. Siapakah yang sungguh kejam hingga sanggup melakukan perkara terkutuk kepada dia sekeluarga? Dia memandang tajam kepada setiap penduduk kampung. Dia mula berdendam. Dendam yang semakin marak akan memusnahkan seluruh buana. Syaitan terus berbisik, “engkau perlu menuntut bela’’
Pagi itu juga terasa suatu kelainan, Haji Zakaria menjadi imam baru menggantikan Haji Razman. Dia bangga, tempat imam berjaya dimilikinya.
Selepas subuh, ramai Jemaah yang berziarah ke rumahnya. Kematian Imam Kampung Tanah Periuk sudah tersebar ke seluruh pelusuk desa. Sanak saudara juga turut berziarah menyampaikan takziah. Bapanya tokoh tersohor di desa ini.
Selepas selesai pengubumian, Haji Zakaria menuju ke rumah Lebai Ibrahim.Dia berhajat untuk membentuk struktur organisasi masjid yang baru. Salamnya tidak bersahut. Dia menapak menaiki tangga. Sebaik sahaja pintu kayu rumah Lebai Ibrahim ditolak. Bau setanggi dan dupa kemenyan menyelubungi segenap isi rumahnya. Ini bau bunga melur. Suara mantera jawa yang bersilih ganti dengan dengung Melayu dan Sunda mula bergetar. Bau busuk mula menggantikan bauan kemenyan.
"Allah." Haji Zakaria meraung sakit. Tubuhnya ditolak dengan suatu jurus yang tidak terlihat. Tubuhnya terasa sungguh perit.
Wak Kardi muncul dari balik pintu, "kau nak melawan aku budak kecil." Sindir Wak Kardi.
"Kau iblis terlaknat." Tingkah Haji Zakaria.
"Hei Budak Kecil, aku sudah lama hidup. Susur galur aku hidup sejak ratusan tahun. Aku berpindah dari tubuh ke tubuh yang lain. Aku sudah menguasai Lebai Ibrahim. Kini engkau pula akan menjadi mangsa." Beruk belaanya melompat-lompat sambil menghentak-hentak lantai rumah Lebai Ibrahim.
Matanya berpinar, Allah Allah Allah. Haji Zakaria terus berzikir mengharapkan bantuan Allah. Dia kelelahan. Kudratnya diragut sihir yang mencelakakan. Bauan setanggi seolah-olah memasung tubuhnya pada lantai rumah Lebai Ibrahim.
Jenazah Rustam menindih tubuhnya, dia muntah darah. Rustam melompat-lompat menghentak perutnya. Lidahnya yang panjang menjilat-jilat darah Zakaria yang tersembur. Rustam kekenyangan. Lebai Ibrahim menyelak langsir rumahnya. Dia muncul dan mengejek.
"Kau tertipu Zakaria, aku menghasut anak cucu Razman. Aku bunuh Rustam, Aku hantar Siah dan anaknya ke neraka. Aku benci kamu semua. Aku pendendam. Kamu menghinaku kerana aku tiada harta, tiada waris. Aku sihir Jah hingga dia tergilakan aku. Selepas ini, aku bunuh kau. Aku jamu seluruh belaanku. Aku jadi imam. Aku hasut dan buat seluruh desa ini ke neraka."
Keris sunda dihunus, jampi dibaca. belaanya semakin galak tertawa. Hilaian tawa syaitan saling bersahutan.
"Asalmu pulang membawa diri,
Kuseru dari penjuru hutan untuk melunasi,
Janji lama kuingat semula. Wewengan koporo satupo alunasi.
Kupujo-pujo daromu kuhittung nyaomu."
Dia menikam jasad zakaria. Nyawanya tersekat-tersekat. Air liurnya bercapur darah. Pekat dan ngilu sungguh terasa. Allah, Allah, Allah. Zakaria terus menyebut nama Allah mengakhiri nyawanya. Keris sunda dipulas lalu ditarik hingga mengeluarkan usus. Darah yang mengalir dijilat dan dihirup sepuasnya. Dia mengelar jantung Zakaria lalu dimakan.
Aku berkuasa. Wak Kardi ketawa mengekek, iblis mula bergentayangan. Dia puas, semua musuhnya tumpas ditangannya.
Sejak itu, Lebai Ibrahim menjadi imam dan menyebarkan kekufuran. Kampung Tanah Periuk menjadi desa terlaknat.
31 Ogos 2030,
Sekumpulan pengkaji menemui sebuah desa yang dipenuhi dengan mayat yang sudah mereput. Ada yang berkafan ada yang tidak.
Di balik pokok jati, Lebai Ibrahim sedang memerhati. Dia sudah terlalu kurus. Matanya membuktikan kelelahan yang teramat sangat. Jenglot dan Beruk belaanya menjadikan dirinya sebagai makanan. Dia tersenyum, "ada makanan baru. Heheheh."
TAMAT
===============
Suntingan & Gambar: Nadey
Karya adalah hak milik penulis dan Arkib Angker Negara.
Anda ada kisah seram, komedi-seram, misteri, thriller ataupun mind-blowing? Apa kata anda kongsikan kisah anda kepada kami.
Hantar kisah anda ke inbox Arkib Angker Negara atau emelkan ke aanrc2017@gmail.com
Nyatakan sekali nama akaun Facebook, blog, Instagram, Twitter atau webpage anda untuk pengkreditan
No comments:
Post a Comment