SYMBIOSIS - Part III
==============
PRAKKK....!!!
PRAKKK.....!!!
Lelaki itu berjalan laju menuju ke parkir kereta sehingga terpijak ranting kayu sebesar jari telunjuk. Terasa dirinya seperti diekori seseorang dari belakang. Sungguh pun begitu dia tetap tidak dapat melihat kelibat seseorang yang mengekorinya sedari tadi memandangkan suasana di sekitar kawasan parkir itu agak gelap dan hanya berpandukan cahaya bulan sahaja.
Berpeluh-peluh lelaki itu mencari kunci kereta dengan menyeluk poket dibahagian kanan. Sedang dia cuba untuk menarik kunci kereta dari poket seluar tiba-tiba kunci keretanya terlepas dari genggaman dan terjatuh ke tanah dek kerana tangannya yang mengeletar kerana ketakutan.
KTIIIGGGG.......!!!!!
Lelaki itu terperanjat! Derdengar sesuatu benda jatuh dari belakangnya. Bunyinya jauh,tetapi cukup membuat dirinya terperanjat. Dia segera menoleh! Tiada. Namun begitu, apa yang menyebabkan ia berbunyi?
Lelaki itu semakin berdebar-debar. Matanya meliar memandang sekeliling. Cuba mencari kelibat seseorang yang mengekorinya sedari tadi. Peluh dingin mula merembes di dahi. Namun begitu dengan suasana yang agak gelap di kawasan itu telah membataskan penglihatannya. Dalam pada itu, pintu kereta segera dibuka. Tanpa berlengah, seperti biasa terus sahaja dia duduk di bahagian pemandu.
"Fuhh!" Dia menarik nafas lega. Terasa selamat apabila sudah berada di dalam kereta.
Sungguh pun begitu, perasaan takut tetap menguasai dirinya. Saat ini difikirannya mula terbayangkan pembunuh bersiri yang masih bebas di Immortal City. Dia mula terbayangkan yang bukan-bukan. Bagaimana kalau The Immortal Serial Killer itu akan muncul dihadapannya kelak, beserta dengan sebilah pisau ataupun kapak ditangannya? Apa tindakan yang perlu dilakukannya? Lari? Atau, melawan?
Lalu enjin kereta dihidupkan. Kedengaran deruman enjin keretanya memecah kesunyian malam itu. Namun belum sempat dia berbuat apa-apa, tiba-tiba....
"ARGGHH......!!" lelaki itu menjerit!
ZZAPPP!!!
Muncul tangan seseorang secara mengejut dari arah tempat duduk belakang, lalu terus sahaja merentap rambut lelaki itu ke belakang dengan kasar. Kemudian sepantas angin leher lelaki itu dikelar secara melintang dengan sebilah pisau tajam. Sehingga mengelepar tubuhnya diperlakukan begitu! Darah pekat mula mengalir dan membasahi ke seluruh tubuh lelaki tersebut. Dalam kesakitan saat nyawa dicabut si pembunuh itu, sempat lelaki itu memegang lemah lehernya yang telah terbelah dan dibasahi dengan darahnya. Akhirnya mata lelaki itu mula tertutup secara perlahan-lahan. Tangan lelaki itu mula jatuh terkulai dan kepalanya terdongak ke belakang. Baju yang dipakainya serta kerusi pemandu yang didudukinya habis lenjun dibasahi darahnya sendiri. Namun ia tidak berakhir disitu, sekali lagi leher lelaki tersebut dihiris-hiris dengan pisau dari belakang oleh si pembunuh terbabit sehingga memotong hampir habis sebahagian leher lelaki itu. Ya, itulah tujuan pembunuh tersebut, potong habis kepala mangsa-mangsanya!
Namun, sedang ralit si pembunuh itu cuba untuk menghabiskan kerja pemotongan leher lelaki itu dengan pisaunya, tiba-tiba....
BAMMM!!!
Entah dari mana datangnya, muncul seekor burung raven terbang meluru dengan laju ke arah kereta lelaki itu! Lalu terus melanggar cermin hadapan kereta lelaki itu dengan kuat! Secara sengaja! Berulang-ulang kali raven itu melakukannya! Tindakan burung itu bagaikan ingin menyerang si pembunuh terbabit. Raven itu terbang dan cuba menghempas tubuhnya dihadapan cermin itu lagi. Namun si pembunuh itu tetap meneruskan tindakannya memotong batang leher lelaki terbabit tanpa menghiraukan kelakuan burung raven tersebut. Dalam pada itu si pembunuh hanya memandang burung raven itu dengan pandangan tajam seolah-olah marah dengan kehadiran burung itu. Mata si pembunuh dan mata hitam burung raven itu mula bertembung. Sungguh pun begitu burung raven itu masih tetap melakukan aksi terbang dan menghempas tubuhnya ke cermin hadapan kereta lelaki itu lagi dan lagi. Kali ini tindakan burung raven itu bukan untuk menghalang si pembunuh tersebut tetapi cuba untuk menyedarkan kembali mayat lelaki yang sudah tidak bernyawa itu! Ya, itulah tujuan burung raven tersebut. Cuba membangkitkan semula mayat lelaki itu! Anehnya, walaupun sudah berkali-kali burung itu terbang dan menghempas tubuhnya di cermin hadapan, namun tiada langsung kecederaan atau patah pada tubuh badan dan sayap burung raven itu.
Akhirnya dengan tindakan berkali-kali burung raven itu cuba melanggar cermin hadapan kereta lelaki tersebut sehingga hampir meretakkan sebahagian cermin, secara tiba-tiba mata mayat lelaki itu terbuka luas! Ya, terbuka luas! Sambil matanya memandang tepat ke arah burung raven itu!
PLAPP!
Isaac terjaga! Terjaga dari mimpi ngerinya. Isaac berdebar-debar! Dadanya mula terasa sesak! Sehingga terbatuk-batuk tatkala cuba menarik nafas. Kemudian nafasnya ditarik perlahan-lahan, lalu dihembus melalui mulutnya.
"Fuuhhh......."
Teknik itu dilakukannya berulang kali. Dia tidak belajar daripada sesiapa, hanya inisiatifnya sendiri untuk menghilangkan ketegangan saat bangun dari mimpi-mimpi ngeri itu. Sungguh! Mimpi itu benar-benar menakutkannya!
Isaac meraup wajah, lalu lehernya diusap perlahan. Darah di kelaran pada leher lelaki itu masih terbayang-bayang difikirannya. Sadis!
Isaac mengintai ranting pokok di luar bersebelahan tingkap biliknya dengan dengan ekor mata. Ya, kelibat burung raven itu memang ada disitu. Burung raven itu duduk tercangak mengadap tingkap biliknya sambil merenungnya kembali. Ia bertenggek betul-betul di atas ranting pokok bersebelahan dengan tingkap biliknya. Sungguh pun begitu Isaac hanya membiarkan sahaja. Faham benar dirinya dengan perlakuan burung itu. Begitulah selalunya jika dia mendapat mimpi seumpama itu, burung raven itu akan tetap setia duduk diranting hingga ke pagi. Kemudian ghaib entah kemana selepas matahari mula meninggi.
Isaac menangis! Tangan kanannya digenggam kuat lalu menumbuk dinding biliknya dengan sekuat hati.
DUMMM!!!
"Aduh!" Isaac mengaduh sakit. Tangannya yang sakit itu diusap perlahan dan dihembus agar terasa lega.
Sungguh dia tidak percaya, mimpi itu datang lagi padanya. Tetapi kelibat si pembunuh itu sukar untuk di lihat dengan jelas kerana suasana gelap di bahagian tempat duduk belakang. Malah sedikit lagi wajah pembunuh itu akan terlihat dalam mimpinya. Sedikit sahaja lagi! Itupun saat di dalam mimpi itu tadi, mata si pembunuh itu dapat dilihatnya melalui pandangan mata burung raven tersebut. Jadi, dalam waktu yang sama ketika dia berada di dalam mimpinya itu tadi, dia bukan sahaja menjadi si mangsa tetapi dia juga adalah burung raven tersebut. Menjadi dua nyawa dalam satu mimpi.
Isaac menggaru kepala yang tidak gatal. Kali ini dia benar-benar tidak mengerti. Pelik sungguh mimpinya kali ini. Semenjak mimpikan wajah-wajah mangsa kepada pembunuh bersiri The Immortal Serial Killer itu, tidak pernah sekali pun kelibat atau bayang pembunuh bersiri itu kelihatan. Hanya wajah-wajah mangsa sahaja yang terlihat. Saat mangsa-mangsa masih bernyawa hinggalah nyawa mereka dicabut oleh pembunuh itu ketika di dalam mimpi. Walaupun hanya mata pembunuh itu yang kelihatan, tetapi ia satu petanda yang baik padanya. Mungkin itu boleh dijadikan petunjuk untuk detective Wyatt nanti. Bahkan bukan sahaja mimpinya kali ini kelibat pembunuh itu semakin menghampiri, tetapi dia bermimpi menjadi burung raven pula! Saat mata burung itu merenung mata si pembunuh, seolah-olah matanya sendiri yang sedang merenung pembunuh itu. Selalunya dia hanyalah mangsa dalam mimpi ngerinya itu!
Dalam keadaan tangannya yang masih mengeletar dek terkesan dengan mimpi ngeri itu tadi, pensil dan sketch booknya yang terletak di atas meja segera dicapai. Lalu dia cuba melakar kembali mimpi itu di dalam sketch book. Wajah mangsa yang mati di dalam kereta di lukis kemas pada setiap reaksi dan tingkah laku. Agar tidak terlihat cacat cela pada mimpi yang terlakar di atas kertas lukisan tersebut. Dan juga, saat rambut lelaki itu direntap dan saat lehernya dikelar pembunuh telah diperincikan pada setiap sudut di atas kertas lukisannya. Begitu juga dengan kawasan tempat parkir, dimana kereta lelaki itu telah di letakkan. Di lukis dengan teliti dan kemas agar laluan dan detik-detik terakhir lelaki itu dapat di potretkan semula di atas kertas lukisan. Memudahkannya untuk mengingati tempat kejadian.
Isaac termenung, cuba memejam kembali matanya dalam beberapa saat. Cuba untuk mengimbas kembali detik-detik itu lagi. Lalu matanya yang terpejam itu kembali dibuka, renungan mata mayat lelaki itu yang tiba-tiba terbuka ketika raven itu terbang dan menghempaskan dirinya pada cermin hadapan kereta mulai terbayang di ruangan mata. Bukan itu sahaja, renungan mata si pembunuh itu juga turut berlegar-legar di kotak fikirannya. Saling bertindih!
Isaac memotret pula mata si pembunuh itu. Kali ini dengan pensil warna. Warna hijau diletakkan pada anak mata si pembunuh itu, kerana itu adalah warna anak mata si pembunuh yang dilihatnya ketika di dalam mimpinya sebentar tadi. Lalu tarikh dan waktu mimpinya itu tadi ditulis dihujung kedua-dua lakaran lukisan itu. Lukisan si mangsa dan juga lakaran pada mata si pembunuh itu.
Jam loceng di atas meja dikerling. Sudah menunjukkan ke pukul 3.00 pagi. Lalu handphone di atas meja terus dicapai. Tanpa membuang masa Wyatt terus dihubungi.
Tut tut, tut tut, tut tut
Isaac masih menunggu talian disambut.
"Hello!"
Isaac berasa lega. Akhirnya panggilannya dijawab Wyatt.
"Hello! Wyatt! Aku ni Isaac!"
"Ya, aku tahu! Kenapa? Ada perkara penting ke?" Soal Wyatt.
"Wyatt! Ada benda penting aku nak beritahu! Baru tadi aku dapat mimpi lagi. Tapi, kita tak boleh cakap di dalam handphone! Aku perlu tunjukkan lukisan aku ni. Kau mesti tengok!" Terang Isaac lagi.
"Ok. Kalau macam tu. Kau datang balai. Aku tunggu!" Balas Wyatt.
"Ok,ok. Kau tunggu aku!"
...............................................
Isaac memakir keretanya di hadapan balai polis Immortal City. Keluar sahaja dari perut kereta terus dia berlari masuk ke dalam balai polis tersebut. Terkocoh-kocoh anak tangga didaki sehingga ke pintu balai.
Terdapat seorang polis perempuan berada dihadapan kaunter. Lalu, tanpa berlengah Isaac terus menghampiri polis wanita itu.
"Detective Wyatt ada?"
"Ada. Oh! Encik mesti Isaac Manson kan? Detective Wyatt ada di dalam. Dia sedang menanti encik." Jawab polis wanita itu.
"Terima kasih...."
Kemudian Isaac masuk ke bahagian dalam balai tersebut. Kelihatan beberapa orang pegawai polis berada di dalamnya. Masing-masing seakan sibuk dengan tugasan sendiri. Isaac menjengah lagi, cuba mencari kelibat Wyatt.
"Sini!" Wyatt melambai ke arah Isaac didalam pejabatnya.
Melihat kelibat Wyatt sedang memanggilnya, terus sahaja Isaac berjalan menuju ke arah pejabat Wyatt. Isaac memandang Wyatt dalam keadaan cemas. Ada sesuatu perkara penting yang Wyatt perlu tahu! Ia tidak boleh dilengah-lengahkan lagi. Isaac tidak mahu ada mangsa ke lima pula.
"Bertenang Isaac. Kau duduk dulu. Ada kau bawa sketch book kau?" Wyatt meminta sketch book yang dibawa Isaac.
Lalu sketch book ditangannya terus dihulur kepada Wyatt. Isaac mengelap peluh yang mula merembes di dahinya. Tubuhnya mula terasa hangat dan dadanya mula berdebar-debar saat membawa sketch book itu kepada Wyatt. Mengharapkan agar Wyatt mempercayai akan mimpi dan lakaran lukisannya itu. Dia juga berharap agar bantuannya ini kepada pihak polis Immortal City dapat menyelamatkan satu lagi nyawa dari tangan pembunuh bersiri itu.
Sketch book Isaac dibuka. Wyatt melihat lakaran lukisan yang baru dilukis Isaac sebentar tadi. Terbeliak matanya saat melihat lukisan si mangsa itu. Sungguh! Dia benar-benar tidak percaya dengan hasil lukisan yang dilihatnya! Matanya tertumpu pada lakaran wajah mangsa itu tanpa kerdipan. Wajah Isaac direnungnya pula. Kemudian menatap kembali lakaran lukisan wajah si mangsa itu lagi. Wyatt menggeleng. Sukar untuk percaya!
"Kau pasti?!" Isaac di soal untuk kepastian.
"Ya, aku pasti! Sebab itu aku tunjuk dekat kau. Kita perlu selamatkan dia." Isaac masih yakin dengan mimpi yang dilihatnya itu.
"Ini mata siapa?" soal Wyatt lagi.
"Inilah mata pembunuh tu. Aku hanya dapat lihat mata saja. Entahlah, aku harap itu dapat membantu!"
"Tapi, lakaran mata saja tidak banyak membantu. Sebab ramai penduduk di Immortal City ni yang punyai warna mata macam ni." Jelas Wyatt lagi.
"Tak apalah! Lupakan pasal pembunuh tu dulu. Sekarang kita perlu selamatkan dia. Thomas dalam bahaya sekarang! Kita hanya ada satu hari saja untuk selamatkan dia. Itu saja peluang yang kita ada!" Tegas Isaac dalam nada suara yang sedikit meninggi. Lalu dia berdiri dan cuba berjalan beberapa langkah di dalam pejabat Wyatt. Perasaan gelisah mula menguasai dirinya! Sekejap dia berjalan ke kiri, kemudian berjalan ke kanan. Dia gagal selindungkan perasaan gelisahnya itu. Fikirannya mula berkecamuk!
"Isaac! Cuba bawa bertenang! Aku dan rakan setugas aku akan selamatkan dia. Thomas pun kawan aku jugak! Takpe aku nak telefon Paul dulu." Wyatt cuba mententeramkan Isaac yang kelihatan semakin gelisah.
"Ok. Aku cuba telefon Thomas dulu." Isaac bersuara dalam nada sedikit tenang walaupun perasaan gelisah itu sukar di buang jauh.
Tutt tutt, tutt tutt, tutt tutt, tutt.......
Tiada jawapan. Tiada balasan di hujung talian.
Thomas cuba dihubungi lagi. Masih menanti, namun tetap tiada balasan di hujung talian. Langsung tiada tanda-tanda handphonenya akan berjawab. Thomas gagal dihubungi.
Tuuuttttt..............
-BERSAMBUNG-
===============
Suntingan & Gambar: Kucing Kelabu
Karya adalah hak milik penulis dan Arkib Angker Negara.
Anda ada kisah seram, komedi-seram, misteri, thriller ataupun mind-blowing? Apa kata anda kongsikan kisah anda kepada kami.
Hantar kisah anda ke inbox Arkib Angker Negara atau emelkan ke aanrc2017@gmail.com
Nyatakan sekali nama akaun Facebook, blog, Instagram, Twitter atau webpage anda untuk pengkreditan
No comments:
Post a Comment