3 IMPIAN TERAKHIR
Karya Oleh: Nadey
================================
### Aku nak minta tolong dengan sesiapa yang terbaca buku ini, tolong cari aku di alamat No. 92, Jalan 91, Taman Selaseh Fasa 2, 68100 Batu Caves. Aku minta maaf kalau ini menyusahkan kalian…. ###
****************
30 hari sebelumnya…
“Awak Auliya Nazirah?” Aku mengangguk, berdebar.
“Sudah berkahwin?” Aku menggeleng, Khaleed Amsyar baru sahaja melangsungkan perkahwinan dengan perempuan lain. Ditinggalnya aku bodoh-bodoh.
“Ibu bapa?” Aku menggeleng lagi. Aku anak yatim piatu, ermm bukan. Sebenarnya aku tak tahu siapa ibu bapa aku. Mereka buang aku, rumah pengasih yang pungut dan bela aku sampai jadi macam ni sekarang.
“Ok, maafkan saya. Dengar betul-betul yang saya cakapkan ini ya… Cik Nazirah, kita dah cuba semua kaedah biosi seperti ujian darah, X-ray, imbasan CT (CT Scan), Imbasan MRI (MRI Scan) dan Imbasan PET (PET Scan) dan keputusan pemeriksaan ini mengatakan Cik menghidap penyakit Kanser Limfoma Hodgkin tahap 4.
Dalam Sistem Limfa ada komponen lain iaitu Nodus Limfa dan Salur Limfa. Nodus Limfa ini fungsinya ialah menapis cecair Limfa daripada bakteria. Jadi, tempat ini juga adalah tempat penghasilan suatu sel darah putih yang bernama Limfosit. Dengan bantuan Limfosit, maka cecair Limfa akan melawan bakteria yang boleh memudaratkan badan.
Saya pendekkan, kanser Limfoma terjadi apabila sel darah putih Limfosit membahagi secara tidak terkawal melebihi fungsi normalnya. Sel ini menjadi tumor, seterusnya kanser dan berkumpul di Nodus Limfa dan akhirnya akan mengganggu sistem pertahanan tubuh seseorang itu dan mengganggu fungsi organ yang lain juga. Kanser Limfoma juga dipanggil sebagai Kanser Kelenjar.”
KANSER?!
Aku tercengang! Seperti sebuah bom jatuh pada bangunan hospital ini. Hancur, yang hancur itu jiwa aku. Tak tahu apa yang aku rasakan sekarang tapi aku sedar yang air mata mengalir laju. Aku tak tahu nak memberi respon apa pada doktor di hadapan aku ini. Aku juga tak ingin zahirkan emosi yang bergelodak ini tapi entah tak terkawal. Mungkin kanser ini pun sudah mengganggu sistem jiwa, otak dan.... seluruh badan. Aku akan mati tak lama lagi. Ya, aku akan mati. Tahap 4 kanser.
“Saya harap Cik tabah, jangan risau kita masih boleh berusaha untuk membuat rawatan kemoterapi, radioterapi atau gabungan kedua-duanya sekali. Tetapi jika keadaan Cik tidak bertindakbalas dengan rawatan jenis ini, pemindahan sel stem pula perlu dijalani. Ianya lebih lama daripada tempoh rawatan kemoterapi dan berfungsi untuk pengawalan.”
Panjang lebar cakap pun tak guna. Aku dah tak boleh mendengar sepatah pun apa yang diperkatakan oleh doktor. Mungkin ini pengakhiran hidup aku. Semuanya bersebab rupanya. Patutlah aku tak jadi kahwin, minggu lepas kena berhenti kerja serta-merta dan hari ini pula dapat kanser!
Rupanya, Tuhan telah mengatur hidup aku satu persatu begini. Aku ini bagaikan watak sampingan untuk melengkapi watak utama dalam dunia ini. Bila aku tak diperlukan, kanser inilah yang akan mematikan watak aku.
“Cik Auliya Nazirah…awak dengar tak apa yang saya cakapkan ini?” Aku tersentak dari mengulit rona nasib di dalam jiwa sendiri.
“Maafkan saya doktor, saya ada hal urgent! Maaf!” Aku terus berlari keluar dari bilik doktor.
Keluar sahaja dari bilik, terus telinga ini berdesing. Aku dapat rasakan seakan-akan dunia sekeliling yang bingit sudah tenggelam dengan bunyi desingan yang agak kuat, teeeettttt….
Tiada lagi campuran bunyi hingar-bingar di ruangan hospital ini. Rasa sungguh tidak selesa dengan bunyi bingit ini. Mereka tak dengar, hanya aku! Hanya aku! Aku menggonyoh-gonyoh lubang telinga dan memaksa menelan air liur berkali-kali dengan harapan pendengaran aku kembali normal. Aku cuba bertenang, mungkin bunyi ini akan reda nanti, bukan tak biasa dengan keadaan ini. Sejak kebelakangan ini, bunyi desingan ini agak kerap dan ianya sementara.
Aku keluar dari hiruk-piruk hospital dan memesan perkhidmatan GRAB untuk pulang ke rumah. Sementara duduk menunggu di perhentian bas dan teksi, aku mengeluarkan buku catatan aku.
Sebaknya melihat WISHLIST TAHUN 2018. Baru bulan Febuari, entah sempat atau tidak aku langsaikan impian aku tahun ini. Kemudian, aku memeriksa aplikasi catatan kewangan aku di telefon bimbit. Melihat jumlah simpanan terus mematikan niat aku untuk kesemuanya. Sudahlah miskin, entah apa lagi yang aku ada di dunia ini.
Sadisnya hidup aku ini? Kenapalah aku tak layak jadi heroin dalam cerita hidup aku sendiri? Kenapa aku hanya layak untuk lengkapkan cerita orang lain saja? Telinga masih berdesing, teguran mesra orang yang lalu-lalang pun aku hanya sambut dengan senyuman sahaja.
Pelik juga, kenapa lama sangat telinga aku begini kali ini? Mungkin kanser ini juga telah menarik nikmat pendengaran aku.
Siapa yang tak takut menghadap kematian? Aku yang dari tadi tak berhenti terketar-ketar, lemah lutut seperti kurang gula dalam darah. Perkataan kanser itu memenuhi ruang pemikiran. Mujur tiada apa lagi yang aku ada di dunia ini, lebih baik aku terima sahaja takdir ini. Lebih cepat, lebih bagus.
“Adik, kenapa adik menangis? Pakcik rasa adik baru dapat berita tak baik tentang kesihatan adik dari hospital tadi kan?” Pakcik di sebelah menegur. Aku cepat-cepat menyeka air mata, malu dilihat orang. Aku memandang pelik wajah tua itu. Sekali lagi dia bercakap namun tak jelas kedengaran, tenggelam timbul suaranya… “jangan menangis, pakcik ada ubat untuk kamu…”
Mungkin aku dapat menangkap sempurna percakapan pakcik ini. Aku hanya tersenyum. Tiba-tiba dia mengeluarkan sebuah buku dari beg galasnya yang agak lusuh. Aku memandangnya sekali lagi, hairan. Aku menolak secara baik. Segan, lagi pun aku tak kenal siapa pakcik ini. Takut juga nanti dijampi ke perangkap dadah ke. Ish aku! Bersangka buruk.
Bila kali kedua dihulurkan buku itu, aku terus menjauhkan diri dari pakcik. Bukan apa, serba salah lagipun bunyi berdesing ini membuatkan aku bertambah serabut. Mujur pemandu Grab sampai tempat waktunya, sempat aku memandang pakcik itu dari biasan tingkap kereta. Dia terus membuat signal tiga jari sambil mulutnya berkali-kali mengulang ayat yang sama, sepertinya “Tiga …..”, entah la ayat yang belakang itu.
Sebaik sampai sahaja di rumah, aku hanya duduk termenung kosong menghadap televisyen. Lama kemudian, bunyi kanak-kanak menangis dari rumah jiran sebelah menyedarkan aku dari lamunan. Aku mencari sesuatu tanpa niat. Alat kawalan televisyen saja yang aku nampak, dicapai dan punat ON ditekan.
Melihat iklan drama Dunia Batinku membuatkan aku tergelak, janggal. Aku penulis asal skrip cerita itu kot! Kenapa Yasmin sanggup buat aku begini? Mudahnya kau kata skrip itu hakmilik kau? Tiada siapa percayakan aku, malah fitnah aku macam-macam mengatakan skrip aku itu plagiat dari karya Yasmin.
Lima tahun aku bekerja keras dan akhirnya bodoh-bodoh aku dibuang kerja disebabkan khianat rakan baik sendiri. Aku mengeluh kasar…aku bangun menuju ke arah dapur, membuka peti sejuk. Tiada apa yang boleh dimakan. Kosong… Air pun tiada. Aku menyua mulut ke pili air untuk mengisi perut yang kosong.
Ya Allah, sadisnya hidup aku!
Semuanya tidak kena. Perasaan yang aku pendam sejak dari hospital tadi kini menyebu senak di dada. Air mata ini mengalir semula, kali ini aku meraung, lepaskan semua yang terbuku di dalam hati. Tiada siapa peduli bukan? Aku terlentang sambil menangis sepuas-puasnya.
……………………
Celik mata, keadaan rumah sudah gelap. Menggagau aku mencari suiz lampu untuk dipetik. Lihat jam sudah pukul 8 malam. Lima jam aku tertidur mati di tengah-tengah ruang tamu ini rupanya. Masih sempat untuk solat Maghrib, aku menuju ke bilik tiba-tiba…
Ting…tong~~
Siapa datang rumah aku ni? Ermm, rumah jiran kot.
“Assalamualaikum Cik Auliya! Cik Auliya!” Seru pemilik suara yang kedengaran seperti seorang lelaki. Lantas aku bergegas ke muka pintu dan sempat mengintai di cermin tepi. Aku lihat seorang lelaki berpakaian dengan lencana Poslaju. Aku membuka pintu…,”iya saya…kenapa ya?”
“Ada bungkusan untuk Cik Auliya Nazirah…” aku tersentak, “oh! Ok, terima kasih.” Lelaki itu menghulurkan satu bungkusan dan alat elektronik yang memerlukan tandatangan aku. “Oh ya! Penghantar barang ini juga memesan supaya Cik Auliya Nazirah menulis buku ini sebelum pukul 12 tengah malam ini tau!”
“Haa? Apa ni? Siapa pengirimnya? Tak ternyata di sini pun…”
“Cik Auliya tenang-tenang buka bungkusan ini ya. Saya terpaksa pergi ni, banyak lagi barang saya perlu hantar. Ingat tau! Before pukul 12 malam ni!”
Dalam keadaan kebingungan posmen itu meninggalkan aku sekelip mata. Aku membuka bungkusan dan ianya adalah sebuah buku. Agak meremang bila buku ini sekilas pandang sama seperti buku yang diberikan oleh pakcik di perhentian bas tadi.
Bila diselak setiap helaian, kosong! Aku membelek sekali lagi buku itu, tidak puas hati. Siapa penghantar pun aku tak tahu. Serabut untuk aku fikirkan, aku mencampak sahaja buku itu ke atas meja makan dan terus ke tandas mengejar Maghrib.
“Oh ya! Penghantar barang ini juga memesan supaya Cik Auliya Nazirah menulis buku ini sebelum pukul 12 tengah malam ini tau!”
Terngiang-ngiang pesanan posmen tadi.
Dari mandi, solat, kini di kedai makan pun aku masih terfikir mengenai buku pelik itu. Boleh jadi ini ‘prank’. Tapi siapa yang nak buat aku macam tu? Selama ini aku bagaikan halimunan di mata orang sekeliling. Teringat juga pakcik siang tadi dengan signal tiga jarinya. Tiga apa?
Sekembalinya aku di rumah lewat pukul 10 malam. Hati aku gelisah dengan pesanan posmen tadi. Lihat jam, masih ada dua jam. Arghhh! Aku membuka kembali buku tadi, ermm nak tulis apa ya? Lama aku termenung memikirkan, buku ini boleh dibuat seperti diari. Besarnya 5x7 inci sahaja. Akhirnya, aku menulis….
Tiga Impian Terakhir - , aku berniat untuk menulis sebuah cerita tentang diri aku dan tiga impian. Aku menulis tangan dengan hermat dan cantik-cantik. Mungkin kalau aku sudah mati nanti, orang yang menjumpai buku ini boleh menyambung cerita atau….atau buku ini akan jadi penghuni tong sampah saja. Tak apa lah, nukilan terakhir aku kan? Biarlah tiada siapa tahu, yang penting ini cerita tentang aku.
Tanpa sedar, helaian demi helaian sehingga lebih dari separuh buku itu aku penuhkan. Jam tangan berbunyi menandakan ia sudah pukul 12 malam. Aku tersenyum, menulis merupakan satu medium untuk aku luahkan segala yang terbuku isi hati.
Untuk kali pertamanya, aku merasa ringan! Puas yang amat sangat! Aku tekad untuk habiskan sisa hidup aku seperti dalam catatan Tiga Impian Terakhir.
Sudah penat duduk di bangku keras dan fokus menulis, cukuplah untuk hari ini. Aku bangun dan menuju ke katil, sambil membelek semula penulisan aku dari awal.
Air mata ini bertakung lagi tetapi kali ini kelihatan aku sudah menghampiri level redha, terima sahaja pengakhiran aku sebegini. Posisi berbaring ini menyebabkan air mata terus mengalir jatuh ke dalam telinga dan ttup! Telinga aku yang berdesing sejak pagi tadi kini sudah kembali normal. Terima kasih air mata!
Perkara yang kecil ini pun cukup membuatkan aku bersyukur. Sisa nyawa ini aku perlu hargai betul-betul. Bagai suatu aura positif meresap ke dalam jiwa. Aku mencapai telefon bimbit dan membuang kesemua kenangan aku bersama Khaleed Amsyar dan juga Yasmin.
Aku buang mereka ini dari hidup aku, esok aku akan mulakan azam baru seperti catatan aku dalam buku tadi.
“Auliya….Auliya sayang…. Bangun subuh…” aku terkejut, ini kali pertama aku bermimpi orang kejutkan bangun subuh. Tak pernah hayat aku mimpi indah sebegini. Aku celik mata, melihat seorang wanita yang agak berusia, jernih wajahnya apabila tersenyum. Automatik, “ini ibu kandung Auliya ke?” Wanita tadi mengangguk.
“Ayuh bangun subuh…”
Mimpi apa ini? Terasa realistik sangat. Mengambil wudhuk ini pun terasa sejuk air hingga ke tulang. Setiap sensasi deria diamati. Fuh! Mimpi kali ni…..
Sesudah lengkap bertelekung, aku menuju ke ruang tamu. Aku masih dalam keadaan bingung, kenapa mimpi kali ini pelik sangat? Ibu dan seorang lelaki mengimamkan kami. Lelaki itu menoleh dan tersenyum. Hati aku kuat mengatakan ini mungkin gambaran wajah ayah kandungku. Sepanjang solat itu aku berasa sebak yang amat, perasaan bahagia yang tak pernah aku rasakan sebelum ini. Begini ke rasanya mempunyai ibu dan ayah?
Aku teringat tentang buku catatan semalam. Aku mimpi ini mungkin kerana itu. “Bukan mimpi anakku…” ibu mengucup kedua-dua belah pipi aku. Menjalar kasih sayangnya itu aku dapat rasakan. Kalau ini mimpi, jangan biarkan aku terjaga, aku merayu Tuhan.
“Kamu ada tiga peluang, kenapa kamu memilih untuk berjumpa kami sayang?” Ayah mengusap perlahan kepala aku.
“Sebab saya tak pernah rasakan kasih sayang dari ibu dan ayah sepanjang hidup saya. Mungkin Tuhan beri peluang ini untuk kali terakhir… Walaupun diberi hanya sementara, walaupun ianya sebuah mimpi, ia sudah memadai.”
Aku terlampau emosi, setiap saat peluang yang diberi tidak aku sia-siakan. Aku menyatakan impian aku untuk mendapat pengalaman seperti sebuah keluarga yang sempurna. Kami ke pasar memberi barang dapur, berborak tanpa henti dan kenangan yang paling tidak boleh dilupakan adalah aku sendiri menyuap tangan nasi ke mulut ibu dan ayah. Suatu perasaan luar biasa hebat mengalir segenap ruang jasad ini. Betapa bersyukurnya aku waktu ini.
..............................
Celik sahaja mata, lihat kiri kanan keadaan seperti semalam. Baru aku sedar, mimpi tadi sudah berakhir. Apa yang berlaku semalam hilang sekelip mata. Walaupun ianya mimpi, ilusi itu terlalu realistik! Aku tersenyum. Jelas ingatan aku wajah ibu dan ayah. Aku masih terlentang merenung siling mengingati semula mimpi tadi.
Keadaan bilik masih gelap, mamai memikir adakah masih hari yang sama atau sudah berhari-hari aku pengsan di dalam bilik ini? Aku meraba bawah bantal mencari telefon bimbit, masih 4.30 pagi. Lebih kurang lima jam aku terlena dengan mimpi indah tadi.
Aku cuba lelapkan mata semula namun tak berjaya, aku bangun kemaskan cadar dan tiba-tiba aku terbatuk-batuk sehingga seketul darah beku terluah di atas cadar. Aku termenung kosong melihat darah beku yang sebesar tapak tangan itu. Ini sisa-sisa terakhir aku. Kanser tahap 4 kan, badan aku makin tenat mendadak. Bila-bila sahaja aku boleh pergi. Lama aku mencari redha, dan akhirnya terbit rasa bersyukur pada Tuhan memberi aku amaran kematian, tidak seperti orang lain, tiada amaran.
Terdetik hati ini untuk solat taubat. Rasanya sudah lama aku tidak solat, kali terakhir rasanya 10 tahun lalu selepas keluar dari rumah pengasih. Rasa bersalah menyelubungi, paling sebak bila aku merangkak untuk membaca surah lazim. Aku berhenti solat, aku mencari al Quran dan menyelak mukasurat untuk surah tiga Qul.
Aku solat sambil memandang bacaan dari Al Quran yang aku letak pada sisi katil. Aku akhiri doa solat taubat dengan tangisan yang penuh dengan keinsafan. Penyesalan menggunung, aku tak tahu kenapa aku tak solat walhal aku dididik sempurna dengan agama sejak dari kecil. Mungkin sejak dulu ramai mengatakan aku ini anak haram, maka aku jadikan alasan itu untuk aku haram juga untuk ke syurga.
*****************
“Flora! Jom ikut aku pergi alamat ni! Aku tak rasa penulis ni menipu tentang ceritanya. Mungkin Auliya ini betul-betul memerlukan bantuan kita!” Maryam takut untuk bergerak sendiri. Flora satu-satunya yang dia ada. Mujur kesayanganya itu berhati kental, ceritalah hantu apa pun dia tak penah nak takut.
“Kau sure ini bukan perangkap? Orang ni saja je trick kau suruh datang rumah dia then bunuh kau…” Flora berasa tak sedap hati kali ini. Dah la semalam mata kiri kerap berkerdip.
“Flora, aku tak tahu kenapa aku rasa penulis ini memang ceritakan kisah hidup dia dan kau tengok tarikhnya? Bulan lepas! Ok macam ni, kita just pergi je. Kalau suspicious sangat kita call polis. Ok?”
Flora tiada pilihan dengan sikap degil Maryam. Kekasihnya itu saja pengarang hati. Ego setinggi langit pun boleh mencairkannya dengan telatah Maryam. Kami berdua dari kecil bersama, sejak dari rumah anak yatim lagi. Mana mungkin kami berpisah.
Flora perasan yang Maryam tekun dari tadi membaca buku pelik yang dia jumpa dari rak buku jalanan di Titiwangsa tadi.
****************
Usai solat Subuh dan aku berniat untuk beriadah di Titiwangsa hari ini. Kondisi aku kini cepat benar letih, baru 5 minit berjalan aku sudah lelah. Aku berhenti di tepi tasik, sesekali batuk aku yang kuat itu dipandang pelik oleh orang ramai.
Aku malu diperlihat sebegitu, tak sepatutnya aku mengambil keputusan untuk ke sini. Patutnya sakit begini, rumah sahaja tempatnya dan menunggu mati. Aku mengumpul tenaga untuk bangun tiba-tiba dunia seperti berpusing, aku terduduk semula.
“Awak okay?” Aku mendongak. Ya Allah!
Khaleed Amsyar!
Ini mimpi lagi ke? Kerana terlalu terkejut aku berlari menuju ke perhentian bas. Beberapa kali aku melempang pipi ini untuk bangun. Perit habis kulit badan ini dicubit-cubit agar sedar dari mimpi.
“Auliya! Kenapa dengan awak? Kenapa lari ni sayang?” Khaleed Amsyar termengah-mengah semput. Aku betul-betul kaget. Tak senang duduk dibuatnya. Lelaki ini merupakan kekasih aku sejak 2 tahun yang lepas.
Tapi, tapi dia dah berkahwin dengan calon pilihan keluarganya bulan lepas. Kenapa dia masih mencari aku di sini?
Tak sempat nak memikir untuk memesan khidmat Grab, aku terlalu serabut melarikan diri dari lelaki itu dan mencari kelibat teksi. Dalam keadaan lelah aku memaksa diri lari menjauhi Khaleed Amsyar.
Akhirnya tangan aku ditarik.
“Awak kenapa lari dari saya? Marahkan saya?”
“Am, lepaskan saya. Tolonglah. Nanti isteri awak tahu macam mana? Saya tak nak kena pukul dengan mak awak lagi. Tolonglah!”
“Awak merepek apa ni? Awaklah isteri saya. Awak dah kenapa?”
Terkejut bukan kepalang dengan penyataan Khaleed Amsyar, terus aku teringat pada buku yang aku catat Tiga Impian Terakhir semalam.
Impian pertama, berjumpa ibu dan ayah walaupun sekejap. Impian kedua, menjadi isteri Khaleed Amsyar…..
Ini semua mimpi. Aku berlari sekali lagi, kali ini aku habiskan semua kederat tenaga badan sehinggalah dunia aku menjadi gelap dengan tiba-tiba...
“Auliya….Auliya sayang,” sekali lagi aku terdengar skrip yang sama namun suara individu berbeza. Lama aku menghadam. Mungkin tadi mimpi, semuanya salah buku itu. Setiap plot penulisan aku menjadi realiti. Namun aku tidak menyangka aku akan bermimpi Khaleed Amsyar tadi.
Sekali lagi nama aku diseru, pantas aku membuka mata. Di sisi aku kini adalah Khaleed Amsyar. Aku bangun tergesa-gesa. “Hey, slow-slow awak pengsan tadi tau. Dah la kat titiwangsa, ramai orang tengok tadi. Nasib saya larat angkat awak balik.” Khaleed Amsyar menghulur beberapa butir ubat dan segelas air.
Sambutan tak bersahut. Ditarik perlahan tangan aku untuk memegang gelas dan ubat. Dia menunggu untuk aku menelan ubat.
“Saya tahu awak sakit, kalau boleh diganti dengan nyawa saya sekalipun, saya sanggup.” Mulalah bergenang air mata ini. Entah berapa juta kali aku menangis. Aku kekok dan terus menelan ubat. Terasa biji-biji ubat tersekat-sekat melalui kerongkong. Terasa seperti laluan itu sudah menyempit, sukar sekali untuk aku menelan air apatah lagi makanan.
“Awak ada tiga peluang, kenapa awak memilih saya Auliya Nazirah?” Aku agak terkedu kerana soalan yang sama ditanya oleh ayah dalam mimpi semalam.
“Sebab awak anugerah terindah dalam hidup saya. Awak tahu kan saya siapa? Anak haram, tiada keluarga…” ayat aku tadi tersekat apabila Khaleed Amsyar terus memeluk kemas tubuh aku. Kali ini dia yang menangis.
“Tolonglah, kalau dapat awak tukar peluang itu. Tolonglah hidup dengan saya. Saya tak mampu fikir hidup saya selepas awak m…”
“Dah terlambat awak… Dapat mimpi sebegini pun cukuplah. Saya dah redha kalau saya pergi.”
*****************
“Apa impian terakhir perempuan tu sayang?” Soal Flora kepada Maryam. Mungkin dia teruja mendengar cerita dari isi buku yang pelik itu.
“Impiannya terakhir, supaya kita menolong dia untuk sempurnakan mayatnya di rumahnya nanti.” Kecut perut mereka berdua membaca isi yang terakhir.
Akhirnya, Maryam selesai membaca buku pelik itu. Tak pasti apa yang dia baca ini hanya sebuah cerita rekaan atau betul-betul wasiat. Hatinya kuat menyatakan ini kisah benar kerana penulis ini menulis tangan catatan Tiga Impian Terakhir ini, seperti ianya sebuah diari.
Flora tak sedap hati sebaik sahaja mereka sampai di deretan rumah teres itu. Mereka memberi salam namun dia siapa menyahut namun kedengaran bunyi televisyen hidup di rumah berkenaan. Lalu ditekan pula loceng jiran sebelah. Bila mereka berdua menceritakan segalanya, kecoh pula jiran-jiran sekeliling berkumpul.
“Eh betul juga, pakcik dah lama tak nampak dia keluar rumah. Dah berapa minggu dah. Kau tengok lah daun-daun kering depan rumah dia ni, berlonggok macam hutan dah. Apa kata kita cuba masuk je dalam rumah dia. Takut juga dia pengsan ke mati ke?” Dengan budi bicara Flora dan jiran, akhirnya polis sampai. Sama-sama mereka tadi yang berkumpul menolong pecahkan pintu rumah dan akhirnya……
Pintu bilik utama dikuak, bau busuk yang menusuk menujah anggota hidung masing-masing, bising dengan bunyi langau yang masih menghurung berlegar-legar pada sesuatu yang.....
Semua yang berada dalam rumah itu muntah, berpusu-pusu lari keluar. Maryam dan Flora masih kental di situ. Dia menyaksikan rangka mayat yang sedang mereput membusuk di atas katil. Daging lembut mayat itu telah mulai mengering menampakkan tulang-temulang.
Adakah ini mayat Auliya Nazirah?
Maryam dan Flora memberi kerjasama dengan pihak polis untuk memberi kenyataan dan polis hanya ketawa apabila Maryam menyebut perihal buku milik Auliya. Kata beberapa pegawai itu, buku itu berhantu. Sengaja mereka menakut-nakutkan gadis itu.
Setelah seminggu dari kejadian tersebut, pihak polis memaklumkan bahawa ujian dari pihak forensik telah mengesahkan bahawa mayat itu adalah Auliya Nazirah. Kini terjawab segala mengenai buku misteri itu. Mungkin Auliya sengaja meletakkan buku itu ditempat awam tapi…. Maryam menyelak kembali muka surat pertama buku itu.
### Aku nak minta tolong dengan sesiapa yang terbaca buku ini, tolong cari aku di alamat No. 92, Jalan 71, Taman Selaseh Fasa 2, 68100 Batu Caves. Aku minta maaf kalau ini menyusahkan kalian…. ###
Apa motifnya dia letak buku itu dan beri nota sebegini? Maryam merasakan buku ini mempunyai suatu aura yang luar biasa. Terasa pesonaliti Auliya Nazirah begitu dekat dengannya. Betul kata Auliya, bagaimana jika Tuhan menarik nyawa ini tanpa amaran? Maryam memandang Flora. Mereka sudah jauh tersesat. Mungkin ini yang hendak disampaikan oleh si mati.
-TAMAT-
Jangan lupa order Rona Sanguis hehehehe
===============
Gambar: Nadey
Karya adalah hak milik penulis dan Arkib Angker Negara.
Anda ada kisah seram, komedi-seram, misteri, thriller ataupun mind-blowing? Apa kata anda kongsikan kisah anda kepada kami.
Hantar kisah anda ke inbox Arkib Angker Negara atau emelkan ke aanrc2017@gmail.com
Nyatakan sekali nama akaun Facebook, blog, Instagram, Twitter atau webpage anda untuk pengkreditan
No comments:
Post a Comment