Tajuk: MH635 Tanjung Kupang, Gelang Patah, Johor
Karya: Nadey.K
====================
Ya Allah bosannya minggu ni! Nak buat Grab malas walaupun dah digesa oleh Deefen dan Didie tapi aku masih rasa tak puas nak berehat! Selepas beberapa kali aku berkaroke di Smule dan borak kosong dengan famili AAN tetiba…
Ting!
Nizam: Mno?
Nadey: ?
Nizam: ??
Nadey: Apo?
Nizam: tak dok gpo. Pre-order bukak lagi? Mata kau macam mana?
Nadey: Aik? Mana ko tau pasai mata aku?
Aku dah pelik. Yang tahu kes mata aku tahun lepas hanya rakan-rakan Facebook batch awal-awal dulu. Aku syak dia follower AAN dari awal lagi.
Nadey: Mata aku Alhamdulillah, walaupon doktor beritahu possibility untuk buta masa tu tinggi, sebabnya 90% selaput kornea aku rosak tapi Allah bagi lagi peluang kedua. Kau nak tau tak apa tips dia?
Nizam: Alhamdulillah… Apa tips dia?
Nadey: Tips dia kena tengok lelaki handsome! In sha Allah mata kau sihat! Jom la ikut aku pergi dive!
Nizam: Aku tak lasak macam kau. Aku suka mengail je…
Dang! Dia buka topik kegemaran aku. Terus rancak kami berborak sehinggalah terbuka topik mengenai Tanjung Kupang, Gelang Patah, Johor.
Nizam: Kau tau tentang kapal terbang MAS terhempas kat situ?
Serius sepanjang hidup aku tak pernah dengar kisah ini. Aku membaca bebelan Nizam sambil membuka laman sesawang Google. Aku terkejut beruk.
‘Tapak pesawat Penerbangan Malaysia MH635 yang terhempas di Tanjung Kupang, Gelang Patah, Johor pada 4 Disember 1977 kini hanyalah sebuah belukar tinggal. Ia menyembunyikan 1,001 misteri yang belum sempurna terjawab.’
Aku agak terpempan membaca beberapa artikel sambil melayan mesej bebelan dari Nizam. Ada sesuatu yang membuatkan aku meremang. Rasa ingin tahu membuak-buak. Untuk memudahkan penceritaan, aku akan membuatkan situasi cerita ini aku sebagai Nizam. Harap kalian semua terhibur ya.
==============================
Aku bukan nak cerita pasal konspirasi kapal terbang yang kena hijack tu! Itu kau baca sendiri. Aku hanya nak bercerita beberapa pengalaman aku mengenai kesan tapak kapal terbang tu terhempas. 41 tahun dah kes berlalu tapi tempat tu masih ‘panas’ sampai sekarang.
Aku dah kerja area sini lebih kurang 10 tahun. Masa awal-awal aku dapat posting di sini, aku tak pernah tahu tentang kes ni. Ya lah, aku lahir pun tahun 80-an.
Sehinggalah satu hari ini, sambil lepak layan rokok surya dan kopi-O panas ada seorang pakcik tua agak berusia ini buka topik tentang cerita hantu di sekitar beberapa kawasan di Gelang Patah ni.
Malam itu malam yang tak pernah dia lupakan. Bila kapal terbang tu terhempas, bergegar satu kampung nelayan ini. Orang sekeliling menyerbu di tempat kejadian untuk membantu kerana ada juga beberapa rumah yang terkena serpihan dan terbakar.
Malam itu tempat kejadian seperti kawasan peperangan, sana sini terbakar, serpihan rangka besi badan kapal terbang dan mayat…. Mayat berkecai, serpihan anggota seperti tangan, kaki, kepala merata-rata.
Terlalu mengerikan. Tiada satu pun mayat sempurna lengkap satu badan dijumpai. Begitu dahsyat ledakan letupan kapal terbang itu terhempas. Rangka pesawat yang berlepas dari Lapangan Terbang Antarabangsa Pulau Pinang itu berkecai dan terbakar hingga terkesan seluas kira-kira dua kilometer persegi.
Kawasan kejadian itu berhampiran dengan paya bakau, ada juga saksi mengatakan serpihan daging mayat merata-rata dan ada isi perut mayat yang terburai tersangkut pada ranting-ranting, dahan pokok bakau di sekitar itu.
Ada saksi-saksi kejadian lari dari kawasan itu kerana ketakutan tapi ada juga segelintir saksi-saksi yang berani mengambil kesempatan mengutip wang kertas. Duit kertas berselerak macam daun pokok getah, ada not Ringgit Malaysia, Yen Jepun, Dolar Amerika dan banyak lagi sehinggakan ada yang dapat mengutip berguni-guni. Bayangkan. Gelap hati masa tu.
Bukan duit kertas saja yang dijumpai, malah beg pakaian, barangan kemas dan banyak lagi dikutip oleh penduduk kampung setempat sebelum tibanya pihak berkuasa. Paling dasyat perangai orang yang gelap hati ni sanggup ambil cincin dari serpihan anggota seperti kepala tangan mangsa.
Tapi menurut pakcik itu, kesemua pencuri duit dan barang-barang tersebut mati dengan misteri. Ada yang kecoh waktu itu, duit yang mereka curi bertukar menjadi daun kering.
Yang mengambil kasut kulit dari serpihan kaki mayat mangsa dikatakan setiap malam diganggu didatangi kelibat hitam yang menindihnya sehingga dia terpaksa memulangkan semula ke tempat kejadian. Yang mengambil cincin mangsa diganggu sehingga sasau dirasuk, katanya roh pramugari menghantuinya.
Rentetan kejadian itu berturut-turut pula mendapat perkhabaran yang tidak enak berlaku pada orang kampung nelayan ini. Serentak ramai yang sakit tak sembuh-sembuh, ada yang meracau-racau dan ada yang gila. Mungkin terkena badi mayat, sehingga kecoh beberapa perawat datang membantu.
Cuba bayangkan, waktu itu seluruh penduduk kampung ini berasa tidak aman. Baik dari nelayan sehingga ke peniaga runcit ini terganggu sehinggakan terbantut prestasi aktiviti ekonomi di kampung ini. Duit yang mereka gunapakai bagaikan hampir kesemuanya berbau darah.
Sejak dari awal kejadian, kes ini mendapat liputan menyeluruh pada anggota polis, askar, pasukan keselamatan dan pihak media sosial. Ini kerana kes ini boleh dikategorikan sebagai kes kelas elit kerana penumpang kapal itu bukan orang sebarangan menyebabkan mereka terpaksa berbulan-bulan berkampung di situ menyiasat.
Namun mereka masih tidak dapat membuat pembersihan sempurna, aroma serpihan mayat di kawasan itu semakin membusuk dan meloyakan. Angin dari pantai membawa aroma hanyir hamis itu tersebar keseluruhan kampung nelayan itu.
Bau hamis darah itu bukan bau seperti sampah biasa, ia juga seolah-olah menerbitkan satu perasaan atau aura negatif yang membuatkan penduduk di sekitar tidak selesa malahan ada yang terpaksa berpindah disebabkan trauma dan ketakutan yang melampau. Mereka seolah-olah dihantui dengan mendengar dentuman yang dahsyat itu setiap hari sehingga takut untuk tidur lena waktu malam.
Sehingga kini, Kampung Tanjung Kupang terutama di kawasan tragedi berhantu. Semua orang kampung di sini takut untuk melalui jalan laluan itu. Habis je secawan kopi-O pakcik itu menyengih pandang aku.
“Kau jaga-jaga la nak duduk sini jaga perangai, tingkah laku, jangan buat maksiat, jangan cakap sebarangan.” Aku mengiyakan je, cerita tentang kapal terhempas ini membuatkan aku agak terkejut.
Tak habis lagi cerita dari mulut pakcik tu, ada seorang lagi pakcik menyampuk. Dari uniformnya gaya seperti pemandu teksi.
“Aku pernah hantar seorang perempuan ni, aku tanya alamat, dia kata tak tahu. Tapi dia kata dia akan tunjukkan jalan. Aku ikutkan je sebab dah malam kan. Tapi bila masuk simpang ke jalan seram tu aku dah mula tak sedap hati. Aku tanya lagi kat mana nak berhenti, sekali dia suruh aku berhenti betul-betul kat kawasan kapal terbang terhempas tu dan suruh cari tangan dia! Nak tercabut jantung waktu tu dan aku terus pengsan, esok pagi aku bangun-bangun sedar-sedar dah tersadai dalam kereta di tengah jalan tu.”
“Bang, tolong cari tangan saya yang putus bang…” ulang lagi pakcik teksi tu untuk menakut-nakutkan aku lagi. Lihat reaksi aku, berdekah-dekah ketawa dia.
“Bukan sekali tu je! Ada banyak kali aku bawa pramugari cantik tapi bila dah dalam perjalanan terus ghaib. Meremang juga la aku. Sejak tu aku kurang la bawa teksi sampai lewat malam.” Sambungnya lagi.
Tak sangka perkara dasyat macam ni berlaku di sini. Tapi cerita orang kampung kan, biasalah kampung mana ada hiburan sangat, cerita hantulah hiburan mereka.
Aku rasa cerita hantu itu macam ditokok tambah untuk tujuan sebagai peringatan kepada aku dan orang kampung, supaya tak buat onar kat tempat ini. Susah aku nak percaya bulat-bulat lagipun cerita ini dari mulut ke mulut.
Namun, cerita di kedai makan itu melekat kat kepala sehingga aku berasa sedikit sebanyak memberi kesan pada aku. Beberapa minggu selepas itu, aku dan beberapa rakan terpaksa bertugas dan semestinya kami akan melalui tempat itu.
Mulanya aku rasa biasa je, tapi petang tu aku terdetik rasa teruja. Entah lah macam ada suara hati berbisik,
“kita tengok betul ke jalan tu berhantu sepertimana yang diceritakan oleh pakcik tu.”
Waktu itu pula menghampiri senja, sampai satu jalan kecik, kami menjumpai pagar kerana tempat itu sudah menjadi milik Pelabuhan Tanjung Pelepas (PTP).
Masuk sahaja melalui jalan yang sempit itu, kami berempat terdengar suara perempuan meminta tolong. Kami berhentikan motor. Mungkin ada yang betul-betul memerlukan bantuan. Tapi makin lama diamati, suara itu semakin mendayu-dayu.
Mulanya bunyi macam jauh, tapi lama-lama bersahut-sahutan seperti benda tu mengelilingi motor kami. Suara itu sungguh menyedihkan, merintih-rintih tapi bagi aku waktu itu dengan suasana kelam, perasaan takut itu menenggelamkan perasaan sedih.
“Tolong, tolong……..”
Ingatkan suara solo perempuan tadi tu je. Kali ini bersahutan pula seperti suara beberapa orang yang terperangkap dalam kebakaran meminta tolong. Waktu ini kami dah tak keruan.
Sumpah seriau! Pertama kali seumur hidup aku diganggu sebegini, tak pernah-pernah rokok surya aku berpeluh sekali masa itu. Disebabkan tuntutan amanah kerja, kami teruskan juga perjalanan. Angin petang tu agak kuat sehingga pokok-pokok sekeliling bagaikan menari-nari menyambut kedatangan kami. Suara tadi masih kedengaran, tiba-tiba bau bangkai pula menerjah hidung aku.
Aku sabar je nak tegur kawan-kawan aku. Makin lama atas motor tu makin kuat bau, bau hamis darah. Teringat cerita pakcik tadi, memang betul lah kawasan ini keras menganggu orang yang lalu lalang di situ.
Bila dah terkena baru aku rasa pakcik tadi tak menipu. Menurut rakan aku, waktu itu juga dia ternampak kelibat putih bergentayangan di kawasan memorial kubur mangsa itu. Nak menegur tapi tak terluah waktu itu.
Tak sangka dah 10 tahun aku bekerja kat sini.
Biasanya aku nak mengail mesti lalu jalan itu juga dan semestinya aku akan pergi siang bukan malam. Kalau tiba waktu aku dan rakan bertugas pun kami akan ronda dan lalu kawasan tu memang aku akan stand by je apa yang akan berlaku. Pagar diri siap-siap. Gangguan pasti akan ada tapi kami macam dah lali.
Mujur setakat ini aku tak pernah lagi jumpa seketul-seketul jasad hantu tu depan mata tapi gangguan bunyi-bunyi, sentuh-sentuh tu biasa la. Hantu pramugari biasanya sukakan lelaki kacak. Aku faham je kenapa dia kacau aku. Hehe
Nizam: Weh, bila tarikh tutup Rona Sanguis?
Nadey: 15hb Mac extend tarikh, cepatlah order.
Nizam: Ok done!
===========================
Sebenarnya Nizam ni ada dua cerita seram untuk dikongsi mungkin kalau aku ada masa terluang aku akan ceritakan semua. Kawan-kawan boleh la google tentang kejadian kemalangan pertama pesawat MAS di Malaysia.
100 orang korban nahas termasuk kru kapal, mayat mereka berkecai hancur, dagingnya pasti sudah dimamah bumi jadi baja pokok bakau kat situ. Mesti kalian yang merokok tu dapat temBAKAU dari Tanjung Kupang. Haha sedut banyak-banyak!
Jika kawan-kawan ada pengalaman yang sama di tempat kejadian tolongkan kongsikan di ruangan komen ya. In sha Allah saya dan Nizam baca satu persatu.
-TAMAT-
===================================
Gambar: Nadey
Karya adalah hak milik penulis dan Arkib Angker Negara.
Anda ada kisah seram, komedi-seram, misteri, thriller ataupun mind-blowing? Apa kata anda kongsikan kisah anda kepada kami.
Hantar kisah anda ke inbox Arkib Angker Negara atau emelkan ke aanrc2017@gmail.com
Nyatakan sekali nama akaun Facebook, blog, Instagram, Twitter atau webpage anda untuk pengkreditan.
No comments:
Post a Comment