Sunday, 18 March 2018

KALUNG - Atikah Che Yasin


KALUNG
Nukilan: Ratika
============================


Derapan kaki sayup-sayup kedengaran di cuping telinga. Sesekali menggentarkan perasaan gadis itu. Sudah beberapa hari dia terkurung di bilik itu. Bilik sempit yang agak usang serta dipenuhi barang-barang lama.

Bilik yang agak asing itu langsung tidak dikenalinya walaupun dia cukup kenal dengan orang yang membawanya ke situ. Ya, dia cukup yakin sekali. Manusia itu dalangnya!

Derapan kaki tadi terhenti di hadapan pintu. Agak lama keadaan senyap sunyi. Setelah itu barulah kedengaran bunyi berkeriuk, tanda dibuka seseorang dari luar.

Si gadis yang lemah itu mendongakkan sedikit kepala. Insan di hadapannya sedang menatang dulang yang berisi makanan.

"Cik, makan ya." Ujar wanita yang bertubuh gempal itu.

"Kau pun bersekongkol dengan mereka Yati?" Si gadis bersuara geram. Getaran suara cuba dikawal.

"Maaf cik, saya terpaksa." Yati bersuara lirih sambil meletakkan makanan di meja sebelah si gadis. Langsung tidak dipandang gadis yang terikat di katil usang itu.

"Terpaksa? Sebab duit? Tak cukup ke gaji selama ini?" Si gadis meninggikan suara. Agak sebal dan kesal dengan peristiwa yang berlaku. Yati, pembantu yang dia percayai selama ini turut terlibat.

"Bukan sebab duit cik. Sebab maruah anak saya," kedengaran esak tangis Yati. Timbul pula perasaan kasihan dalam diri si gadis.

"Maksudnya apa?" Gadis tadi mula mengendurkan suaranya.

"Mereka ugut nak rosakkan anak saya. Mereka ada di mana-mana. Saya tak mampu nak buat apa-apa melainkan ikut sahaja kata mereka."

Yati menarik nafas. Perasaan sebak yang membuak-buak mengganggu pertuturannya.

"Target mereka cuma satu. Kalung pusaka yang..."

Bang!!

Yati terjelupuk ke lantai. Darah mulai membasahi lantai. Pekat dan likat darah keluar dari kepalanya. Tempat terbenamnya peluru tadi.

Si gadis tergamam. Pandangannya dikalihkan ke arah muka pintu. Di situ, terdapat seorang lelaki yang bertubuh tegap sedang memegang pistol.

"Woi!!! Apa kau dah buat hah?" Jerit si gadis. Lelaki itu hanya menjungkitkan bahu. Perlahan dia menapak ke arah jasad Yati.

"Manusia tak berguna macam ni memang kena hapuskan cepat-cepat." sinis kata-katanya sambil menguis-nguis jasad Yati yang sudah tidak bernyawa itu.

"Kau siapa?"

Lelaki itu berpaling ke arah Jasmin. Wajahnya tidak kelihatan memandangkan topeng muka menutupi wajahnya.

"Aku? Cuma golongan teraniaya yang ingin menuntut kembali hak aku."

"Lalu, kenapa dikaitkan dengan aku?"

"Itu, nanti kau akan tahu Jasmin."

"Kau cakap dengan aku! Berapa upah Salleh bagi kat kau untuk aniaya aku macam ni."

"Hehehe..Salleh ya. Dia dah mati lepas tangkap kau tempoh hari."

Jasmin sekali lagi tersentak.

"Kau bunuh dia?"

"Ya, aku akan bunuh orang yang aku rasakan tidak lagi berguna yang memungkinkan membawa masalah kepadaku nanti."

"Jadi, kau dalangnya? Kalau sebab harta kau buat begini, kau cakaplah berapa kau nak. Nanti aku bagi dan akan lupakan peristiwa ini."

"Janji? Huh! Sebab janjilah kau kena kurung di sini. Sebab bapak kau gagal melunasi janjinya.."

"Bapak aku?"

"Kau nak dengar cerita tak?" Lelaki itu memandang ke arah Jasmin. Jasmin tidak terkutik. Rasa takut menguasai dirinya.

"Kau nak dengar tak?" Garau suara lelaki itu menyergah Jasmin sambil bermain-main dengan picu pistolnya. Jasmin mengangguk-angguk.

"Good girl."

"Kisahnya bapak kau dengan aku.. Lebih kurang 20 tahun dahulu. Masa tu aku baru usia belasan tahun...."

*****
-20 tahun dahulu-

Remaja lelaki itu menangis teresak-esak. Dipeluknya frame gambar bersaiz A5 penuh perasaan. Peristiwa yang cukup memilukan hatinya tatkala ibu dan ayahnya terkorban dalam nahas jalan raya saat ingin menjemputnya pulang dari sekolah.

Mereka telah merancang untuk makan bersama-sama sempena meraikan kejayaannya yang menjadi juara debat peringkat negeri.

"Irman.."

Seorang lelaki berusia lingkungan 30-an masuk ke biliknya. Irman memandang lelaki itu dengan perasaan hiba.

"Abang Kamal, saya dah tak ada sesiapa lagi." Rintih Irman.

Kamal menghampiri Irman. Diraih bahunya dan dibawa Irman ke dalam pelukan. Irman menangis teresak-esak. Persis seorang adik mengadu kepada abang.

Kamal, telah dianggapnya sebagai abang sendiri. Satu-satunya jiran yang mengambil berat tentang dirinya. Kadangkala bila ibu bapanya tiada di rumah, Kamallah yang menemani.

"Irman, malam ni nak abang Kamal temankan tak? Kalau nak suruh abang teman, abang nak bagitau kak Fatin."

Irman sekadar mengangguk. Dia buntu. Tiada lagi tempat pergantungan.

Pukul 2 pagi, Irman terjaga. Lenanya agak terganggu. Ceramuk emosi menyebabkan dia tidak dapat tidur lena. Irman mendapati Kamal tiada di sebelahnya.

"Mungkin ke tandas." Getus hati Irman. Lalu, dia bangkit ke katil. Berkira- kira ingin ke bilik ibu bapanya untuk melepaskan rindu.

Telinga Irman menangkap bunyi sesuatu. Seolah- olah ada seseorang sedang menyelongkar bilik ibu bapanya. Pencurikah?

Irman melangkah hati-hati dan mengendap perlahan-lahan. Tiba- tiba dia terfikir sesuatu! Amat bahaya kalau dia bertindak semberono seperti itu. Lalu, dia ke dapur. Mencapai kayu yang terletak di penjuru dapur. Sengaja diletakkan kayu panjang di situ untuk kegunaan ketika darurat.

Irman kemudiannya menapak ke arah bilik tadi. Tiada lagi bunyi itu. Hatinya berdebar-debar. Kemungkinan pencuri tadi perasan kehadirannya.

Klap!

Irman memulas tombol pintu dan menolaknya perlahan-lahan. Senyap. Sunyi. Tiada tanda-tanda kehadiran manusia.

Suis lampu dipetik. Sekelip mata bilik berkeluasan sederhana besar itu terang-benderang. Matanya meliar meninjau sekeliling. Kayu panjang tadi digenggam erat. Bersedia menghadapi kemungkinan yang bakal terjadi.

Puas matanya melilau, tiada pun kelibat manusia. Dia melangkah masuk ke dalam dan menuju ke sebuah almari. Dibuka almari itu. Hatinya berdebar-debar tatkala terlihatkan pakaian di dalam almari itu bersepah. Seolah-olah diselongkar.

Irman membongkokkan badan dan memeriksa laci di bawahnya. Sebuah kotak antik berwarna coklat pekat diambil. Dibukanya dengan penuh hati-hati.

Gelang, cincin, serta perhiasan lain milik arwah ibunya ada. Dia tidak berpuas hati. Dibeleknya sekali lagi.

Kali ini barulah dia perasan sesuatu. Seutas kalung pusaka yang mempunyai loket bermotifkan bunga tujuh kelopak tiada di dalam kotak itu. Hilang!

Irman menyelongkar laci. Dialihnya barang-barang di dalamnya ke tepi. Dia menyedapkan hati bahawa kalung itu mungkin tercicir di dalamnya. Namun, dia hampa. Tiada tanda-tanda kalung itu terselit di mana-mana.

Irman menangis. Dia kesal tidak mampu menjaga amanah itu. Kalung itu, bukan kalung biasa. Andai jatuh ke tangan orang yang salah, alamatnya sia-sia. Pasti disalahgunakan.

Irman melangkah longlai ke biliknya. Di situ, dia terlihat Kamal sedang tidur dengan nyenyak. Tidak sampai hati Irman hendak mengejutkannya.

Dia merebahkan badannya. Mindanya menerawang, memikirkan kehilangan kalung pusaka itu. Akhirnya, dia terlelap tanpa sedar.

"Irman, bangun." Lembut suara Kamal mengejutkan Irman. Irman terpisat-pisat. Kamal tersenyum manis.

"Jomlah pergi sarapan sekali kat rumah abang." Ajak Kamal.

"Saya tak lapar."

"Makanlah sikit. Kak Fatin dah masak lebih."

Irman termenung lama sebelum mengangguk. Tuala dicapai dan dia berlalu ke bilik air. Di bawah pancuran itu, dia menyegarkan diri. Tanpa sedar, air matanya mengalir lagi. Sungguh, dia amat rindukan ibu bapanya.

"Tambahlah lagi nasi lemak tu, Irman," Fatin bersuara lembut sambil menyuakan nasi kepada Irman. Irman sekadar menggelengkan kepala.

Seleranya mati. Bukanlah kerana makanan itu tidak sedap. Sedap, cuma kesedihannya menutup seluruh seleranya. Dia makan kerana ingin menjaga hati Kamal dan Fatin.

"Minggu depan dah boleh ke sekolah. Nanti abang hantar."

"Saya pun dah mula kerja minggu depan bang," Fatin mencelah.

"La, Jasmin macam mana?" Soal Kamal.

"Saya dah jumpa pengasuh yang boleh jaga dia."

"Okeylah kalau macam tu. Kalau dekat dengan sekolah Irman, saya boleh hantarkan sekali."

Hari-hari begitu pantas berlalu. Sehinggalah Irman mendapat perkhabaran bahawa Kamal akan berpindah. Katanya sebab naik pangkat. Maka, perasaan hiba bertandang dalam diri Kamal.

Walaupun dia sudah besar, tetapi rasa sunyi pasti ada. Tambahan pula Kamal sekeluarga telah dianggapnya sebagai keluarga sendiri. Pasti cukup terasa.

Hari terakhir Kamal di rumah itu, Irman menolongnya mengangkat barang-barang. Berkotak-kotak barangan mereka sekeluarga.

Irman mengangkat kotak yang sederhana besar. Itu kotak terakhir. Tapi dia terasa beratnya lain macam.

'Buk.'
"Aduh!"

Irman mengusap kakinya. Sakitnya bukan kepalang tatkala kakinya tersadung. Habis berterabur isi dalam kotak itu.

Irman mengutip kembali barang-barang yang berterabur. Dimasukkan satu persatu ke dalam kotak.

Matanya tiba-tiba terpandang sesuatu. Seutas kalung yang hilang selama ini. Tangannya cuba mencapai kalung itu.

"Irman, rehatlah. Biar abang sambung."

"Taaa...pi bang."

"Dah pergi rehat. Irman penat sangat. Yang ni biar abang bawa," ujar Kamal sambil mengambil kalung itu dan memasukkan semula ke dalam kotak.

"Kalung tu abang punya?" Soal Irman. Dia cuba menahan perasaan.

"Bukan abang punya. Orang tua punya."

Irman terkesima.

"Orang tua abang punya?"

Belum sempat Kamal menjawab, Fatin datang. Irman tidak meneruskan pertanyaan. Dia berlalu pergi dari situ.

Perasaan curiga terhadap Kamal mulai terbit. Satu persatu persoalan timbul. Seribu satu anasir tidak baik mulai bertandang dalam fikirannya.

Tapi jauh di sudut hatinya masih menyimpan sedikit kepercayaan terhadap Kamal. Mungkin benar, kalung itu milik orang tua Kamal.

Urusan mengangkut barang sudah selesai. Kamal berjalan ke arah Irman yang sedang duduk di kerusi batu. Jauh anak muda itu termenung.

"Irman, kaki dah okey?"

Irman tersenyum nipis. Menyembunyikan kegalauan dan syak wasangka.

"Okey dah bang. Sikit je."

"Baguslah. Ni, abang nak pergi dah. Jaga diri baik-baik. Nanti abang jenguk-jengukkan Irman di sini."

Setelah bersalaman, Kamal sekeluarga berlalu pergi. Irman hanya memandang kenderaan mereka yang semakin lama semakin hilang dari pandangan.

*****

"Kau nak tuduh bapak aku yang ambil kalung kau ke hah?" Bentak Jasmin.

"Aku tak tuduh. Aku cakap betul. Bapak kau, Kamal tak guna tu gunakan kalung untuk majukan perniagaannya secara kotor."

"Kau jangan nak mengarut!"

"Aku tak mengarut. Aku pasti, kau mesti tahu betapa istimewanya kalung itu."

"Aku tak faham."

"Hahahahaha.. Si anak yang berpura-pura naif. Kalung tu boleh manipulasi masa dan dimensi. Kau boleh menembusi dimensi waktu dengannya."

"Sah kau gila!" Tempik Jasmin.

"Aku tak gilalah bodoh! Bapak kau gila. Gilakan harta. Dia berjanji nak jenguk aku tapi langsung tak datang. Aku nak pergi jumpa dia, kau tahu aku dapat apa? Aku kena halau dengan guard!"

"Habis, kenapa kau libatkan aku? Aku ni bukannya ada kalung tu."

"Kau berguna untuk menjadi kunci bapak kau ke sini."

Jasmin mendiamkan diri. Lelaki di hadapannya bukan boleh dijangka.

"Kau yakin bapa aku akan datang?"

"Aku cukup yakin, cuma tak tahu bila dia akan ke mari."

Irman berlalu pergi dan meninggalkan Jasmin. Jasmin longlai dan hanya merenung nasibnya sahaja. Jasad Yati yang kaku di lantai beserta darah yang mulai mengering dipandang sayu. Kerana khilaf bapanya, Yati terkorban.

"Jasmin."

Jasmin berpaling ke arah suara itu.

"Abah!" Jasmin separuh berbisik. Wajah Kamal tampak kusut. Mukanya agak gusar. Dia pantas mendekati anaknya. Dirungkaikan tali yang mengikat anaknya.

" Macam mana abah boleh masuk?"

Kamal menunjukkan kalung kepada Jasmin.

"Melalui kalung ini." Ujarnya ringkas.

"Jadi, benarlah abah menyalahgunakan kalung ini?"

Kamal menggelengkan kepala.

"Percayalah. Ia bukan seperti yang Jasmin sangka. Jom kita balik."

Kamal menarik pergelangan tangan anak gadisnya. Dia membelek loket yang bermotifkan kelopak bunga itu. Jarinya di daratkan ke kelopak ketujuh.

"Abang Kamal, lama tak jumpa."

Suara Irman mengejutkan mereka berdua. Irman tidak lagi memakai topeng muka. Kamal terkesima. Dia tidak sempat mengunci waktu.

"Irman, jangan salah faham. Bukan abang yang ambil kalung ni." Nafi Kamal.

"Sudah terang lagi bersuluh bang. Buktinya, abang sedang menggunakannya."

"Bukan. Bukan abang yang ambil."

'Bang!'

"Cakap banyak tak guna."

Tembakan singgah tepat ke paha Kamal. Kakinya longlai dan darah mulai menerjah keluar dari segenap daging yang dirobek peluru tadi. Jasmin meraung melihat bapanya bertarung nyawa. Diriba bapanya penuh kasih.

Kamal bernafas berat. Semakin lama nafasnya semakin pendek. Saat hampir putus hayatnya dia berkata;

"Percayalah, bukan aku yang ambil kalung ini tempoh hari. Aku harap kuasa kalung ini mampu merungkaikan kebenaran yang sepatutnya Irman tahu...."

Kalung itu digengamnya erat. Serta-merta bilik sempit itu berubah fizikal. Menjadi bilik yang agak luas dan dilengkapi perabot mahal. Irman mengenali bilik itu. Bilik arwah ibu bapanya.

"Mungkinkah kuasa kalung itu?" Irman meneka. Dia memandang Kamal. Sudah kaku. Nyawanya sudah terpisah dari jasad.

Dengan matanya sendiri, dia melihat seseorang sedang menyelinap masuk ke dalam bilik itu. Irman tergamam. Orang itu menyelongkar bilik. Dibuka semua almari menggunakan kunci.

Irman menyaksikan kalung pusaka diambil dari kotak. Orang itu bukan Kamal! Susuk tubuhnya sedikit rendah. Malah, jantinanya berbeza dari Kamal.

"Kak Fatin?"

Irman seolah-olah tidak percaya dengan apa yang dilihatnya. Kelihatan Fatin menyentuh kelopak ketujuh lalu dipusing loket boleh laras itu sebanyak satu pusingan. Maka, terhentilah masa.

Fatin keluar dari bilik. Irman menyaksikan dirinya yang sedang memegang kayu panjang kaku di luar bilik. Maksudnya masa terhenti tanpa dia sendiri sedari.

Keadaan bilik berubah kepada asal. Jasmin menangis. Sungguh hiba dia menyaksikan peristiwa tadi. Rupa-rupanynya ibunya yang bersalah.

"Puas hati kau sekarang?" Jasmin melepaskan amarahnya.

Irman tidak terkutik. Rasa bersalah menghantui dirinya. Dihampiri Kamal yang sudah tidak bernyawa. Dia melutut memandang jasad itu. Jasad yang pernah mengasihinya dulu.

"Kenapa abang tak pernah ceritakan kepada saya?" Rintih Irman. Diambil kalung itu. Digenggam sekuat hati. Air mata hibanya menitis.

Bilik itu berubah sekali lagi. Kali ini berlatarbelakangkan sebuah bilik yang langsung tidak dikenalinya. Cuma, dia kenal pasanga yang sedang bertelagah di dalam bilik.

"Abang jangan tuduh saya macam-macam." Fatin meninggikan suara.

"Bukan tuduh tapi abang tahu. Awak curi barang Irman kan?"

"Buat apa saya curi?"

"Sebab awak tamak. Saya tahu. Sebab tu saya ajak awak pindah. Tapi tak sangka awak dah curi barang itu awal-awal lagi."

"Abang jangan jadi bodohlah. Dengan kalung tu kita boleh buat apa sahaja."

"Tapi bukan hak kita. Menyesal saya percayakan awak tempoh hari. Awak kata kalung tu peninggalan orang tua awak."

"Dah kau bodoh! Padan muka." Fatin mengejek dan menapak keluar dari bilik itu. Pintu dihempas kasar.

Kamal mengurut dadanya. Terkejut dengan tindakan isterinya.

Irman termenung jauh. Kini dia kembali ke tempat tadi. Bilik usang yang menjadi saksi kematian Yati dan Kamal. Rupa-rupanya Fatin itu pesalah sebenar. Perwatakan Fatin berubah secara total. Irman seolah-olah tidak percaya.

"Jasmin, mak kau kat mana?" Soal Irman. Dendam perlu dilunasi. Jasmin yang sedang berteleku memandangnya kosong.

"Aku tak tahu."

"Kau jangan tipu aku. Takkan mak sendiri kau tak tahu."

"Aku cakap tak tahu, tak tahulah. Kau nak paksa-paksa aku buat apa?"

"Kau jangan biar aku..."

"Bunuh aku? Bunuhlah." Jasmin memotong percakapan Irman sebelum sempat Irman menghabiskan ayatnya. Matanya dijegilkan.

Irman mengeluh kecil. Dia berdiri dan menggenggam kalung itu erat. Cuba menembusi dimensi untuk mengesan keberadaan Fatin. Namun, dia gagal. Kemungkinannya satu, Fatin menuntut ilmu hitam.

"Jasmin, mak kau ada ilmu hitam?"
Jasmin tidak menjawab.
"Woi Jasmin! Jawab!"

Jasmin masih tidak menjawab. Matanya memandang ke arah belakang Irman. Mulutnya terkunci. Kepalanya digelengkan berulang kali.

Merasakan cukup pelik, Irman berpaling ke belakang.

"Nah kau!"

Irman terperosok ke depan. Sebilah pisau terbenam di lehernya. Kalung itu terlepas dari gengamannya. Terpelanting dan mendarat tepat di hadapan Jasmin.

"Kkkauuu..." Irman bersuara agak payah. Buntang matanya menahan azabnya tusukan pisau itu. Peluh memercik di segenap muka.

Jantungnya berdegup kencang. Hebat degupannya seolah-olah jantung menerjah dada. Darahnya membuak-buak keluar dari tempat tusukan itu. Dia rebah ke lantai.

Jasmin mengongoi. Tidak menyangka mamanya bertindak sekejam itu.

"Mama...."

Fatin tidak mengendahkan panggilan Jasmin. Dia tersenyum sinis melihat Irman yang sedang bertarung nyawa.

Dia tidak peduli. Kalung itu mesti dirampas kembali. Pantas dia berlari ke arah Jasmin. Jasmin pantas menyambar sebelum sempat mamanya mengambil kalung itu.

"Beri pada mama, Jasmin." Fatin mencerlung ke arah Jasmin. Jasmin menggeleng-gelengkan kepala. Air matanya semakin lebat.

"Berubahlah mama. Ini bukan hak kita."
"Aku buat semua ni untuk kebaikan kau."
"Tapi, salah mama. Jasmin tak kisah jika hidup kita sederhana."
"Ahhh. Kau jangan melawan Jasmin."

Jasmin berdiri. Dia kini berhadapan dengan mamanya sendiri. Raut muka mamanya agak bengis. Tiada lagi kelembutan seorang ibu terpancar di wajahnya.

"Jjjangan baa..gi kat dia..."Tersekat-sekat Irman bersuara.

"Kalau dah nak mampus, buat cara nak mampus!" Keras Fatin bersuara. Dia menyepak-nyepak badan Irman.

"Mama, cukup!" Jasmin menjerit. Dia tidak tahan lagi dengan kelakuan mamanya. Dia mendapatkan Irman yang dalam kesakitan.

Walaupun Irman telah membunuh bapanya, tetapi kata hatinya menyuruh dia menolong Irman. Dipangkunya Irman.

Jasmin menggenggam kalung itu erat-erat.

"Andai benarlah kalung ini boleh merentas dimensi, tolong bawa pemuda ini ke hospital."

Sekelip mata Jasmin dan Irman hilang dari pandangan. Fatin merengus kasar.

"Kau jaga! Aku takkan lepaskan kau!"

****
Jasmin tersedar. Matanya memandang sekeliling. Dia sedang terbaring di katil. Dia cuba bangkit tetapi badannya cukup lemah. Kepalanya pening.

Tangannya terasa pedih. Rupa-rupanya terdapat branula yang terpasang di tangannya. Terdapat sebotol drip yang tersambung dengan branula itu. Apakah yang terjadi?

Otaknya dikerah untuk mengingat kembali peristiwa yang berlaku. Kali terakhir dia ingat, dia memegang kalung itu.

"Nurse.."

Jururawat yang baru melintasi katilnya dipanggil.

"Nurse, saya kat mana?" Lemah Jasmin bersuara.

"Cik kat wad kecemasan. Tadi cik pengsan masa bawa kawan cik yang kena tikam."

"Kawan saya kat mana nurse?" Jasmin mulai risau dengan keadaan Irman. Terfikir andai mamanya dapat menjejaki Irman di sini.

"Sekarang pasukan perubatan sedang bertungkus lumus menyelamatkan kawan awak. Doakan dia ya. Dan, awak jangan risau. Mama awak takkan dapat jejak dia di sini."

Jasmin terpinga-pinga. Bagaimana jururawat itu boleh tahu perihal mamanya?

"Oh ya, kalung awak saya letak dalam poket seluar. Jaga kalung tu elok-elok."

Ujar jururawat itu lagi sambil berlalu pergi. Jasmin sekali lagi diselubungi rasa hairan. Ingin ditanya lebih lanjut, tidak sampai hati. Jururawat itu sedang sibuk dengan kerjanya.

Dia menyeluk poket seluarnya. Diperhatikan kalung yang ada loket itu. Fizikalnya seperti kalung biasa sahaja. Akan tetapi motif bunga tujuh kelopak pada loket agak unik. Setiap satu kelopaknya berbeza antara satu sama lain.

Setiap kelopak itu timbul dan boleh ditekan. Lagi istimewa, permukaan atas loket itu boleh dilaras dan dipusing. Pada pengamatan Jasmin, pereka loket itu miliki citarasa istimewa.

"Apakah maksud tujuh kelopak ini?" Jasmin berbisik sendiri. Persoalan itu dia sendiri tidak ketahui jawapannya.

Dia memasang tekad untuk mencari jawapan kepada semua persoalan yang hadir bertalu-talu menjengah mindanya saat ini.

Dalam hati, dia memanjatkan doa agar umur Irman masih dipanjangkan. Pasti Irman mempunyai jawapan terhadap persoalannya itu.

-TAMAT- 
================================
Suntingan : Dee Edot

Gambar :Dikmang
Anda ada kisah seram, komedi-seram, misteri, thriller ataupun mind-blowing? Apa kata anda kongsikan kisah anda kepada kami.
Hantar kisah anda ke inbox Arkib Angker Negara atau emelkan ke aanrc2017@gmail.com
Nyatakan sekali nama akaun Facebook, blog, Instagram, Twitter atau webpage anda untuk pengkreditan.

No comments: