Monday, 26 March 2018

MAKTAB TEKNIK PDRM MUAR II - FateStayNite



MAKTAB TEKNIK PDRM MUAR II

============================

Hari ini adalah hari kedua aku bekerja, dan aku berharap semangat aku masih kuat untuk mengharungi segala cerita yang sedang bermain di minda aku. Kejadian semalam aku jadikan iktibar, dan aku beranggapan itu hanyalah ilusi atau sebuah karya ghaib yang dicipta oleh minda aku sendiri. Mana mungkin semudah itu untuk aku melihat mereka.

Seperti semalam, aku masuk kerja seperti biasa. Menulis report dan menghidupkan api, begitulah rutin harian yang bakal aku lalui setiap hari.

"Hasrul, kau rasa semalam yang kita nampak tu apa?" Aku membuka peristiwa semalam.

"Hurmm, entahlah. Kenapa?"

"Tak ada apalah, aku macam tak percayalah." Ujar aku sambil melabuhkan punggung di kerusi kayu yang terdapat di dalam pondok.

"Tak payah percayalah! Kita buat je kerja kita..." balas Hasrul sambil menulis report.

Aku termenung melihat semak samun di hadapan pondok. Kadang-kadang aku terfikir juga tentang haiwan berbisa yang mungkin boleh merbahayakan kami di pondok kawalan.

Waktu rondaan pertama dan kedua, kami dapat lakukan dengan baik. Pada rondaan waktu ketiga yang akan menjadi masalah kerana pada waktu itu adalah jam 12:00 pagi. Dan waktu itu sangat sinonim dengan kemunculan-kemunculan makhluk ghaib.

Detik yang dinanti-nantikan pun tiba. Motor dihidupkan, mulut aku terkumat kamit membaca surah yang aku hafal. Bersedia menghadapi segala kemungkinan, atau aku bakal meletakkan jawatan aku pada esok harinya.

Kerja yang nampak mudah sebelum ini, kini aku rasa begitu susah. Bukan kerja itu berat tetapi keadaan yang menjadikan kerja itu susah. Bunyi engin motor memecah kesunyian, aku memandu perlahan motorku sesekali mata aku mengerling ke arah semak samun dan paling aku takut adalah ular tedung. Kehadiran makhluk berbisa itu sangat aku takuti, walaupun belum pernah lagi aku terserempak.

Sepanjang perjalanan sehingga habis di bahagian tangki air atas bukit, suasana nampak tenang. Tiada langsung aku diganggu oleh makhluk-makhluk halus. Sampai sahaja di pondok kawalan, aku menulis laporan seperti biasa.

"Wei, kau nak tahu satu cerita tak?" Tiba-tiba Hasrul memulakan perbualan.

"Cerita apa?" Tanyaku sambil menulis laporan.

Bunyi cengkerik dan burung cabak saling berlawan, Hasrul membakar rokok sambil duduk bersandar menghadap unggun api. "Ceritanya macam ni!" Hasrul memulakan cerita sambil menghembuskan asap rokok.

Hasrul menceritakan bahawa kawasan tempat pondok kami duduk itu adalah kawasan jin, dan pondok kami memang dibina betul-betul di bawah pokok besar dan rendang. Lihat pada pokok pun sudah menyeramkan, tetapi makhluk situ dikatakan tidak menganggu manusia.

"Dah-dah, kau tak payah nak merepek!" Sengaja aku memotong cerita Hasrul. Bukan aku takut, cuma aku malas nak mendengar, aku lebih suka jika aku melihatnya sendiri macam yang aku lalui semalam.

Jam sudah menunjukkan pukul 2:00 pagi, aku mencapai kunci motor lalu menghidupkan engin untuk melakukan rondaan, Hasrul terus mencapai barang-barang untuk clocking. Angin malam itu terasa sangat sejuk, mungkin disebabkan bercampur dengan embun. Hasrul nampak tenang sahaja, manakala aku mengigil kesejukan.

Sedang aku memandu itu tiba-tiba mata aku ditegur dengan satu lembaga seakan berbungkus disebalik semak samun, "Astagfirullah..." bisik hatiku. Aku yakin Hasrul tidak menyedarinya, dan aku menganggap itu hanyalah biasan cahaya pada batang pokok.

Sedang aku melalui kawasan chek point pertama iaitu di hujung kawasan pembinaan, tiba-tiba bunyi hentakkan pintu kuat kedengaran. Yelah rumah belum siap, bila bunyi pintu ditutup kuat mesti bergema. Bunyi hentakkan itu serba sedikit membuatkan semangat aku terperanjat. Jantung aku berdegup kencang. Kalimah Allah terus bermain di bibirku.

"Wei Hasrul cepatlah!" Jerit aku kepada Hasrul yang sedang mengunci. Wahal jarak kami hanya beberapa meter sahaja.

"Kejaplah!" Balas Hasrul.

Selesai dia melakukan Clocking aku terus memulas minyak motor dan selepas itulah, "dummmmmmm, duummmmmmm.." bunyi pintu dihentak kuat mengikut setiap rumah yang kami lalui.


"Hasrul, kau okay?" Aku cuba berbual, untuk menghilangkan sedikit rasa takut.

"Okay je, jalan je..." jawab Hasrul, dia tahu apa yang aku maksudkan.

Aku meneruskan kerja dengan tenang, walaupun perasaan takut mula bermain di dalam jiwa aku. Sampai sahaja di bangunan tadika, aku memberhentikan motor. Hasrul pantas menuju ke arah peti clocking, baru sahaja tangannya memegang kunci, tiba-tiba "Krreeeeeuuuuukkkkkkk~~, Kreeeukkkkk~" bunyi buai berayun. "Allah Hu Akhbarrrr!" kalimah suci itu aku lafazkan.

Hasrul memandang aku dengan 1001 persoalan, dan aku memandangnya. Kami ada dua pilihan, lari atau meneruskan clocking. Tetapi aku lihat Hasrul masih meneruskan clocking. Mata aku melilau ke kiri dan kanan, bulu roma aku mula berdiri.

"Arghh, dia dah datang!" Bisik hati aku.

"Weehhh Hasrul, cepatlah!" Aku mula rasa tidak sedap hati.

"Kejap, sangkut pula kunci ni!" Balas Hasrul, nada suaranya aku tahu dia juga seperti aku dalam kebimbangan.

Setelah direntap beberapa kali, akhirnya dapat juga dibuka. Hasrul dan aku terus menuju ke point seterusnya, alhamdulillah di tangki air kami tidak diganggu. Namun di point terakhir iaitu di kolam renang, aku memberhentikan motor dan kami terpaksa berjalan sedikit ke arah kunci. Di dalam hati aku sentiasa berdoa semoga tiadalah gangguan yang menganggu kami.

"Blussssshhhhhhhh!" Bunyi air seakan orang terjun ke dalam kolam, aku memandang ke arah kolam. Airnya tenang tiada berkocak, aku memandang ke arah Hasrul. Namun Hasrul meneruskan langkah, dan aku juga mengikut.

"Blusshhhhhh!" Lagi sekali bunyi orang terjun ke dalam kolam, membuatkan jantung aku berdegup kencang.


Hasrul mula menghentikan langkah, manakala aku dari tadi langkah sudah terhenti. Mata aku tajam melihat ke arah kolam, kosong dan tenang airnya. 

Tanpa aku sedari Hasrul sudahpun melakukan clocking, baru sahaja kaki kami ingin melangkah ke motor, tiba-tiba suara bayi menangis memecah kesunyian waktu itu. Aku terus melihat ke arah kolam dan waktu itulah aku nampak satu tubuh berbaju putih sedang berdiri di atas papan anjal kolam. Tanpa berfikir panjang aku terus berlari ke arah motor. Hasrul pula sudah lebih awal sampai di motor.


Aku memulas minyak sehabisnya, suara sayup bayi menangis masih bermain di telinga aku!

"Weiiiii! dia ada atas kita!" Hasrul menjerit kuat. Aku melihat mengunakan anak mata sambil memandang keatas sedikit, kelihatan kain putih mengibas-ngibas di atas.

"Allahhh Hu Akhbarrrr...." aku menjerit, tetapi seakan tidak kedengaran suara aku.

Segala lubang, segala kayu dan segala batu habis semua aku langgar. Aku tidak fikir tentang keselamatan ketika itu, tetapi aku hanya memikirkan tentang makhluk yang sedang ikut kami. Sehinggalah sampai di pondok kawalan, makhluk itu sudah tiada. Aku menarik nafas lega walaupun sebenarnya aku seperti sudah tidak bernafas.

Hasrul terduduk di kerusi, wajahnya pucat begitu juga aku.

"Haaa! sekarang kau percaya?" Tanya Hasrul seakan marah.

"Percaya!" tapi!.
"Tapi apa lagi?"


"Hahaha tak ada apalah, ko tengok rim motor tu..." balas aku sambil mejuir bibir ke arah motor.

"Wahahahaahahahha..." kami gelak bersama apabila melihat rim sudah bengkok. Ketakutan tadi hilang seketika.

Aku ambil jam loceng yang memang sudah sedia ada di atas meja, lalu menguncinya pada pukul 4:00am.

"Hasrul, aku nak lelapkan mata kejap..." pesan aku pada Hasrul.
"Eh aku pun sama, kunci la jam!" Ujar Hasrul pula.
"Dah!" jawab aku ringkas. Lalu kami melelapkan mata seketika.


==========================

Ktinggggg, ktinggggg ... bunyi pagar besar yang diperbuat daripada besi itu diketuk kuat. Aku terjaga dari tidur lalu melihat ke arah pagar hanya ada satu lubang kecil untuk melihat tetamu di luar. Tanpa berfikir panjang atau mungkin sebenarnya aku sedang mamai. Aku bangun lalu menghampiri pagar, dan melihat disebalik lubang seorang wanita umur lebih kurang 20an sedang berdiri di luar dan meminta kebenaran untuk masuk. Aku bagaikan dipukau, tanpa banyak bicara aku terus ke pondok untuk mengambil kunci pagar kemudian membuka untuk gadis itu masuk.

"Terima kasih bang~" kata gadis itu apabila sudah masuk, dia memaki baju kebaya dan kain batik menutup kepalannya.

"Eh!" Dia nak kemana? Tiba-tiba aku mula sedar bahawa dia seorang wanita dan pada waktu begini dia hendak kemana.

Pantas aku memusingkan badan untuk melihat gadis itu, namun dia sudah tiada. Aku berlari ke arah pondok dan mengejutkan Hasrul dari tidur.

Aku menceritakan kepada Hasrul apa yang aku lihat, namun cerita aku tidak diendahkan. Aku lihat jam sudah menunjukkan pukul 3:50am, "siapa gadis tadi?" Hati aku berbisik sendirian. Aku masih tertanya-tanya bagaimana aku boleh membenarkan dia masuk dan lebih membuatkan aku tertanya adalah tentang pakaiannya. Tetapi kisah itu hanya aku dan Hasrul sahaja yang tahu, kerana Hasrul sedar ketika aku bangun buka pagar.

Pada keesokan harinya aku ceritakan kepada Pak Ahat, namun cerita aku hanya dibalas dengan senyuman. Baru aku faham perasaan jika kita menceritakan sesuatu itu tetapi orang hanya tersenyum tanpa memberikan apa-apa reaksi.

Kisah yang aku ceritakan ini baru secebis pengalaman aku. Selepas beberapa bulan aku bekerja akhirnya tambah lagi seorang pekerja. Tetapi malang baginya apabila tidak lama dia bekerja dia telah diganggu dengan kehadiran makhluk tidak berkepala sedang berjalan di tangki air. Selepas itu pekerja itu ditukar kepada shif siang.

Dan sebulan selepas itu kami dapat seorang lagi pekerja. Dia agak lurus bendul, bagus budaknya kerana mendengar setiap kata-kata. Tetapi sayangnya dia ditukarkan kepada pos lain juga setelah dia lari meninggalkan Hasrul di bangunan tadika.

Waktu itu mereka diganggu dengan hilaian tawa wanita. Kerana takut dan terkejut pekerja baru itu lari mengunakan motor meninggalkan Hasrul seorang diri. Kejadian-kejadian aneh itu berlarutan sehinggalah akhirnya aku menjadi salah seorang sahabat mereka. Sehinggalah aku tahu tempat-tempat makhluk itu duduk. Dan di mana tempat mereka. Sememangnya tidak semua Jin itu Jahat dan kita harus berhati-hati dengan tipu daya iblis dan syaitan serta jin.

Yang turut bekerja sehingga habis kontrak disitu adalah Aszuan, Syarafuddin , Hasrul manakala Khairul pula berhenti atas sebab menyambung pelajarannya.

Maaf jika cerita saya ada meyinggung perasaan mana-mana pihak, Kejadian ini berlaku sewaktu perumahan untuk anggota di Maktab PDRM dibina. Dan aku salah seorang yang bertugas menjaga kawasan sana sehinggalah kontrak kami tamat. Sehingga kini aku masih mendengar kisah di kolam dan beberapa tempat yang aku pernah lalui.

Terima kasih kepada sahabat-sahabat yang pernah terlibat Aszuan, Syarafuddin , Hasrul, Kahirul, Pak din, Tulang, Pak Ahat.

===========================

Suntingan & gambar: Nadey
Anda ada kisah seram, komedi-seram, misteri, thriller ataupun mind-blowing? Apa kata anda kongsikan kisah anda kepada kami.
Hantar kisah anda ke inbox Arkib Angker Negara atau emelkan ke aanrc2017@gmail.com
Nyatakan sekali nama akaun Facebook, blog, Instagram, Twitter atau webpage anda untuk pengkreditan.

No comments: