AHLI JAWATANKUASA KAMPUNG ALOR
Karya: Ahmad Rusydi
================================
Boleh dikatakan hujan yang turun selepas subuh tadi membuatkan suasana pagi Kampung Alor pada hari itu sedikit muram. Semuanya seakan bergerak sedikit lambat. Jemaah-jemaah surau pula ternyata lebih rindukan bantal mereka berbanding kopi warung pasar.
Kosong warung Samad pagi itu kalau tak kerana Pak Ngah dan Lebai Omar yang memang tak pernah terlepas bersarapan di situ setiap hari (nasib baik bulan puasa tak buka).
Melihatkan Lebai Omar yang dari tadi sedang asyik menelaah surat khabar, Pak Ngah sengaja mencari perkara yang boleh diborakkan. Cermin matanya ditanggalkan. Dengan gaya seorang guru besar pencen dia mengelap kanta cermin matanya dengan sapu tangan. "Dah kau buat, Omar?" Tanyanya dalam nada macam tak ada apa-apa.
"Apa Ngah?"
"Alah, group wasap tu... dah kau buat?"
Omar diam. Surat khabar dalam tangannya diperkemas. Muka Pak Ngah si ketua kampung dijeling pendek, takut-takut orang tua itu nampak. "Wasap, wasap... Whatsapp lah Ngah..." tegurnya sambil mencapai cawan kopi yang masih berasap.
"Ah, tak kiralah. Wasap ke, wasep ke, yang penting aku nak semua AJK ada dalam tu. Mudah. Tak payah aku nak hantar si Razak tu ke rumah diorang tiap kali nak mesyuarat."
"Tapi Ngah... AJK kampung kita ni ramai orang tua-tua. Diorang tu ada ke whatsapp dekat telefon? Macam Pak Usu tu... aku rasa dia nak buka tutup telefon pun tak reti."
Pak Ngah tenung wajah Lebai Omar dalam-dalam. Tergetik-getik hujung mulutnya, ringan ingin menjawab kasar. Namun membayangkan yang si Omar ni sahaja yang paling boleh diharapkannya, dia diam. Ada betulnya juga kata si Omar. Pak Usu tu saja umurnya dah hampir 80. Itu belum masuk Pak Anjang, Murad Askar dengan bapak si Sahak Baja tu lagi. Rasa-rasa Pak Ngah, bapak si Sahak Baja tu umurnya kurang-kurang pun dah 92, tapi masih nak jadi AJK. Dah yang muda tak mahu. Dari dibiarkan kosong, baik berisi jawatan tu. Pak Ngah mengangguk lambat. Cermin matanya disarungkan semula.
"Tapi kalau Ngah nak saya buatkan juga, saya boleh buatkan. Cuma kena terangkan dekat diorang macam mana nak guna whatsapp ni. Payah juga kalau tak reti."
"Semua benda payah kalau tak reti, Omar. Kalau ikutkan kata kau saja, dengan Kampung Alor ni sekali tak wujud. Buat ajalah. Pandai ke tak pandai guna tu nombor dua. Siapa telefon tak ada whatsapp, pasanglah whatsapp. Suruh anak cucu buatkan. Mana ada lagi orang pakai telefon skrin hitam putih," Pak Ngah mengeluarkan telefon bimbit model keluaran tahun 2010-nya. Skrin telefon bimbit itu dilapnya dengan sapu tangan tadi. Pemberian anak.
"Pasang whatsapp?" Bisik Omar seperlahan mungkin. "Yalah, Ngah. Nanti siang sikit saya buatkan group tu. Siapa nak dimasukkan?"
"Alah, yang penting-penting aja. Aku, kau, Pak Usu, Pak Anjang, Murad Askar... bapak si Sahak Baja tu siapa dah namanya?"
"Sahaklah namanya. Dia yang buat baja tu. Anak dia tolong jual aja."
"Ah, tak kisahlah Sahak ke, bapak dia ke, asalkan AJK. Dengan yang muda-muda tu kau masukkan sekali. Kawan-kawan si Razak tu."
"Kalau nak masukkan semua..." Omar membilang-bilang jari tangannya, "ada 12 orang Ngah. Boleh?"
Pak Ngah mengangguk pendek sambil mencapai surat khabar dari hadapan Omar. Surat khabar itu dibukanya lembut. "Apalah cerita cucu arwah Mustafa tu? Aku dengar kes dia bunuh anak-anak dia tu dah selesai. Itu yang sampai helikopter polis masuk ke sini bulan lepas."
"Eh, itu cerita lain Ngah. Tak keluar lagi. Diam dulu."
"Ah... yalah," Pak Ngah mendongak sekejap melihat cuaca, kemudian sambung membaca surat khabar yang entah milik siapa itu. "Kalau ada group whatsapp dari dulu, mesti benda-benda macam ni kita boleh duga." Sambung Pak Ngah perlahan. Ketika itu sudah kelihatan sejalur cahaya jingga di ufuk timur hutan Kuala Langat, menandakan matahari hampir terbit.
-----
"Dah, Ngah. Aku dah jumpa sorang-sorang waktu Zuhur tadi. Siapa tak ada whatsapp tu aku dah install-kan. Yang mana tak ada internet tu, aku dah langgankan pelan data. Sekarang apa-apa kita whatsapp dalam group saja," jelas Omar sambil menayangkan group whatsapp AAJK Kampung Alor ke hadapan muka Pak Ngah.
Pak Ngah mencapai lembut telefon bimbit dari dalam tangan Lebai Omar. Lentik-lentik jari-jemari Pak Ngah memeriksa apa yang patut dalam group tu. "Bukan main lagi gambar Pak Usu kau ni," ujarnya selamba.
"Orang pernah muda, Ngah. Bukan macam kau."
"Apa?"
"Ah, tak. Pak Usu memang perasan muda. Dia paling semangat tadi bila saya kata kita nak buat group whatsapp."
"Yalah... Pak Usu kau memang macam tu," Pak Ngah hulurkan kembali telefon bimbit tadi kepada Lebai Omar. "Tapi kenapa AAJK? AJK dahlah."
Lebai Omar diam sejenak, terkebil-kebil. "Kan ahli-ahli jawatankuasa?" Katanya keliru. Pak Ngah menepuk dahi, tak kuasa.
-----
Malam itu selepas makan, Pak Ngah duduk mengunjur di atas anak tangga rumah. Dalam tangannya tergenggam erat telefon bimbit tahun 2010 yang dari petang tadi asyik berdenting-denting. Mesej group masuk tak putus-putus. Lepas seorang, seorang. Ada yang hantar gambar-gambar lucu, ada pula yang asyik hantar himpunan kata-kata hikmat. Yang paling membuatkan kening Pak Ngah terangkat adalah apabila Pak Usu tersilap hantar gambar swafoto dirinya sendiri ke dalam group. Tanpa baju. Mengucap panjang Pak Ngah.
"Awak buat apa, orang tua?" Tanya Mak Ngah, melirik dari muka pintu. Sanggul putihnya kelihatan tidak kemas, jelas sudah mahu masuk tidur.
"Ah, tak ada apa-apa. Kalau mengantuk, awak masuklah dulu," balas Pak Ngah tanpa menoleh.
Buat seketika Mak Ngah berdiri di belakang Pak Ngah, menantikan lelaki tua itu memandang ke arahnya. Namun Pak Ngah masih tertunduk, sibuk membalas "hahaha" ke dalam group selepas Jani Mudim menghantar video seorang lelaki berkebaya merah sedang menuruni eskalator. "Kasihan pula aku tengok," balas Pak Ngah lagi.
"Kalaulah ada orang perempuan dalam group ni... bagus juga..." Pak Ngah dah mula termenung.
-----
Seminggu kemudian...
Malam itu, dua belas orang ahli-ahli jawatankuasa sedang duduk mengelilingi meja mesyuarat panjang di dalam balairaya Kampung Alor. Lampu kalimantang kuning yang mengeluarkan bunyi desingan aneh menerangi ruang itu. Kipas siling lama berwarna gangsa berpusing lemah, hanya mampu menggerakkan benang-benang pada hujung langsir. Di bahagian hujung meja, Pak Ngah dan Lebai Omar kelihatan sedang membelek-belek helaian-helaian kertas A4 lusuh. Sepuluh orang lelaki lain memerhatikan mereka.
"Ini ada satu lagi, Lebai," Razak yang duduk paling hampir dengan Lebai Omar menghulurkan sehelai lagi kertas A4 lusuh dari dalam fail hitam, kepadanya. Lebai Omar mengangguk-angguk mencapai.
Dalam masa sejam tu dah hampir sepuluh kali Pak Ngah menanggal pakai cermin matanya. Manik-manik peluh pada dahinya sudah beberapa kali disejat udara. Namun pandangannya masih tetap pada helaian-helaian kertas tadi. Bau rokok yang dihisap Pak Usu sesekali membuatkan orang tua itu terbatuk gatal.
"Berapa lama lagi, Ngah? Aku ada janji dengan orang lagi ni," Pak Usu bersuara tidak puas hati. Dah kering tekaknya asyik melayan rokok sedari tadi. Biasalah mesyuarat mengejut malam-malam macam tu, memang tak sempat Samad Warung nak sediakan jamuan.
"Sabarlah, Usu! Bukan aku saja-saja panggil korang. Ini melibatkan kita semua!" Bentak Pak Ngah separuh sedar tanpa mengalihkan pandangannya dari helaian-helaian tadi.
"Melibatkan kita semua apa bendanya? Aku tak pernah nampak pun perempuan tu. Kau sorang aja. Yang aku nampak, dia asyik join group, left group hari-hari. Itu pun nombor tak keluar. Private. Macamlah ada orang nak kenen dia."
"Entah Ngah. Entah-entah Bangladesh salah group. Dahlah tu... aku esok nak bangun pagi, ada training," keluh Murad Askar pula, membuatkan Pak Ngah menghembus nafas hilang sabar.
"Kau training apa, bang Murad? Kau dah dekat 80 dah. Duduk rumah ajalah!"
"Eh, kau jangan kurang ajar, Ngah. Ketua tak ketua. Aku cepuk nanti!"
"Eh, dah! Dah! Astaghfirullah. Dah tua-tua pun nak bercepuk-cepuk," Razak, antara ahli termuda AJK Kampung Alor cuba meredakan keadaan. Namun ternyata usahanya itu hanya membuatkan mata-mata tua tadi merenung marah ke arahnya pula. "Fuhh... panas betul malam ni."
Pak Ngah kini merenung kosong permukaan meja mesyuarat di hadapannya. Sekali lagi dia menghembuskan nafas berat. Lebai Omar yang duduk di sebelahnya jelas simpati melihat keadaan lelaki tua itu. Bahu Pak Ngah ditepuk perlahan.
"Kesuma..." keluh Pak Ngah perlahan, namun jelas didengari oleh semua. "Kesuma Dharma. Tak pernah aku dengar nama sesedap tu..."
Di hujung satu lagi Pak Usu menunjukkan riak wajah meluat, membuatkan beberapa orang lelaki lain tergelak kecil.
"Ah, kau orang tak tahu apa yang aku rasa. Semua dah tua-tua bangka..." kata-kata Pak Ngah terhenti apabila dia terpandang Razak dan rakan-rakannya. Pak Ngah mengeluh lagi. Sudah macam orang tak keruan.
"Pak Ngah... kalau ya pun nama tu muncul dalam group whatsapp kita, tapi dia tak pernah hantar apa-apa mesej, kan? Mungkin tersilap masuk. Kita semua admin. Mungkin salah sorang dari kita termasukkan kawan dalam group tu."
Pak Ngah tersentak, duduk tegak tiba-tiba. "Baik, dalam kertas rekod ni tak ada seorang pun yang namanya Kesuma Dharma. Jadi aku syak dia bukan orang kampung kita. Cuba ingat... ada tak sesiapa yang ada kawan bernama Kesuma Dharma?"
"Tak adaaaa..." jawab semuanya, malas. "Nama macam orang dulu-dulu aja," sambung Sahak Baja dalam nada tuanya yang terketar-ketar.
"Itulah..." Pak Ngah menanggalkan sekali lagi cermin matanya, kali ini dengan lagak orang putus cinta. "Klasik dan asli..."
"Tak, Ngah... aku cakap ni betul. Nama macam orang dulu-dulu. Rekod nama yang kau rujuk tu, dari tahun berapa?"
Razak yang dari tadi memegang fail hitam rekod nama itu membelek-belek kulitnya. "Dari tahun merdeka, Tok Sahak," beritahu Razak.
Sahak Baja mengangguk perlahan. Jari-jemarinya mengetuk-ngetuk perlahan permukaan meja. "Aku rasa semua sedia maklum... aku antara yang paling tua dalam kampung ni. Aku ingat lagi zaman orang putih sama Jepun dulu... kampung kita ni ditinggalkan tanpa ada apa-apa rekod bertulis selain dokumen-dokumen yang diorang jumpa dalam rumah besar hujung kampung tu. Itu pun semuanya rekod-rekod perniagaan sama pemilikan tanah. Boleh jadi... Kesuma Dharma ni pernah hidup dalam kampung ni lama dulu."
"Hish, orang tua ni! Kau nak kata Kesuma ni hantu ke?"
"Dah tu? Kalau bukan hantu? Mana dia? Apa pasal kau seorang aja yang pernah nampak dia dalam group tu?"
Pak Ngah mencapai telefon bimbitnya. Senarai nama dua belas orang ahli group whatsapp itu dibeleknya buat kali keseratus pada hari itu. Nama Kesuma Dharma masih tiada. Seakan tidak dapat Pak Ngah lupakan perasaannya ketika kali pertama dia terlihat gambar dan nama wanita itu tersenarai dalam group whatsapp AAJK Kampung Alor. Hatinya melonjak riang, seakan hajatnya tercapai malam itu.
Selepas malam pertama Kesuma Dharma muncul, pantang ada waktu lepa, Pak Ngah kerjanya asyik-asyik buka gambar profil wanita itu. Wajah Kesuma Dharma cukup bersifat keMelayuan. Kulitnya hitam manis, bibirnya penuh. Alis matanya pula lentik bagai bumbung Minang. Walaupun tidak bertudung, namun Kesuma tampak cukup sopan dan rapi pekertinya. Persis wanita Melayu lama.
Namun profil Kesuma hanya akan muncul pada malam hari. Siangnya, Kesuma akan left group. Itulah yang membuatkan Pak Ngah bingung. Asal muncul aja Kesuma, dia akan hantar mesej dalam group. Tapi tak ada sesiapa yang buka, kecuali Kesuma. Ternyata semua orang dah tidur setiap kali Kesuma buka mesejnya. Tak adalah Pak Ngah hantar mesej pelik-pelik. Biasanya sekadar bertanya, "dah tidur ke?" Atau, "korang semua buat apa tu?" Macam tu. Setiap kali tu juga Pak Ngah akan terlihat makluman bahawa "Kesuma sedang menaip" di bahagian atas group whatsapp itu. Tapi tak pernah sekalipun mesejnya masuk ke dalam group tersebut. Geram juga Pak Ngah.
Biasanya Kesuma akan left group AAJK Kampung Alor tersebut sejam sebelum subuh. Jadi dalam seminggu munculnya Kesuma ni, mata Pak Ngah dah macam panda. Asyik ber-chatting seorang-seorang, semata-mata nak tengok makluman "Kesuma sedang menaip".
Atas arahan Pak Ngah, semua yang ada dalam mesyuarat tu wajib simpan nombor Kesuma jika wanita itu muncul lagi dalam group malam ini. Pak Ngah dah beberapa kali simpan nombor tu. Tapi macam yang dikatakan Pak Usu tadi, nombor yang digunakan Kesuma bukan sahaja private, malah jika cuba dihubungi, langsung tidak wujud dalam talian.
"Kita sama-sama cari. InshaAllah semuanya akan baik-baik sahaja," kata Pak Ngah dalam nada serius, membuatkan beberap orang lelaki tua dalam balairaya itu menggeleng-geleng. Yang muda pula menggaru-garu kepala, tak sangka ketua kampung mereka itu boleh tahan angaunya.
-----
Jam sudah menunjukkan pukul satu setengah pagi. Mak Ngah dah lima kali menguap sejak siaran drama ulangan dekat TV bermula setengah jam lepas. Pak Ngah pula asyik jeling Mak Ngah, resah. Telefon bimbit dalam kocek baju Melayunya dirasakan semakin berat memanggil-manggilnya. Sekali lagi Pak Ngah tenung jam dinding, sengaja nak beri isyarat agar Mak Ngah sedar hari sudah lewat.
"Eh, eh... dah pukul satu setengah? Saya ingat baru pukul 12."
Pak Ngan sengih tak ikhlas.
"Saya masuk dululah, bang. Nanti sendal pintu tu. Jangan lupa."
"Yalah... awak masuk ajalah tidur. Tahulah saya nanti..."
Mak Ngah tutup saja pintu bilik tidur, melompat Pan Ngah ke atas anak tangga rumah. Macam malam-malam sebelum ni, dia duduk berlunjur sambil matanya asyik pada skrin telefon bimbit. Nama Kesuma Dharma ditatapnya.
Kesuma Dharma, Joined 00:30, 30/03/2018.
Pak Ngah lihat dah berjela-jela mesej dari rakan-rakannya yang lain masuk sejak dari jam 12:30 tengah malam tadi.
Ada yang tengah cuba berbual dengan Kesuma. Ada pula yang marah-marah, kata Kesuma menyusahkan. Pak Ngah baca satu-satu. Namun seperti yang Pak Ngah jangka, tak ada satu pun yang dibalas Kesuma. Asyik-asyik keluar makluman bahawa Kesuma sedang menaip. Namun tidak juga muncul mesej dari wanita itu.
Razak Sabuddin
Akak Kesuma ni memang pandai menaip aje ke? Tak pandai send?
Me
Hahahaha. Itulah. Marilah berborak dengan kami.
Lebai Omar 017
Abang Omar rasa, Kesuma jangan layanlah diorang ni. Bukannya betul pun semua.
Me
Eh, kau jangan lebih-lebih Omar. Aku cepuk nanti.
Lebai Omar 017
Ha, Kesuma tengok tu. Ada ke cakap dengan kawan-kawan macam tu?
Murad Askar
Tidurlah, oi. Esok aku ada training jogging satu kampung.
Me
Kau jangan nak menipu, bang Murad. Kau semayang dekat surau pun duduk atas kerusi.
Belum sempat Pak Ngah tergelak dengan lawaknya sendiri, tiba-tiba telefon bimbitnya berdenting menandakan ada mesej yang masuk. Pak Ngah keluar dari aplikasi whatsapp lalu terus ke aplikasi mesej.
Private Number
Buka TV. Tengok drama tu sampai habis. Kesuma.
Meremang-remang bulu roma Pak Ngah sebaik terbaca mesej yang diterimanya. Hampir tergelincir Pak Ngah meluru ke arah ruang tamu. Suis TV dipetiknya. Drama yang ditonton Mak Ngah tadi kembali bersiaran. Pak Ngah menjeling ke arah pintu bilik tidurnya, kemudian ke arah TV semula. Drama yang sedang ditanyangkan Pak Ngah tonton penuh minat. Dialog-dialognya Pak Ngah fahami satu-persatu. Dah lama benar rasanya dia tak tengok TV.
"Tapi kan dia cuma kawan kau?" Kata watak seorang wanita berpakaian moden kepada rakannya yang berperwatakan sedikit kekampungan.
"Kawan tak kawan. Dia buat salah pada aku. Dia terimalah akibatnya!"
"Kau tak boleh macam ni Kesuma!"
Pak Ngah tergamam. Telefon bimbitnya jatuh ke atas lantai. Kedengaran bunyi keriut pintu bilik tidurnya dibuka. Perlahan-lahan Pak Ngah menoleh ke arah Mak Ngah yang sedang tersenyum sinis. Sebelah tangan wanita separuh usia itu sedang menggenggam telefon bimbit manakal sebelah lagi tangannya sedang mencekak pinggang. Sanggul putih wanita itu kelihatan luar biasa tingginya berbanding sebelum ini.
"Kalau abang nak hidup, leave group tu sekarang jugak. Tak payah ada group-group whatsapp! Nasib baik si Omar tu kasi tahu sama saya. Kalau tidak, entah group mana lagi kau join kan, orang tua? Bigo Live kau tak nak main? Meh aku install-kan."
"Celaka punya Omar..."
Tamat.
P/s: kali ni kita cerita santai, sebab ada sesuatu yang tragis menanti para penduduk Kampung Alor minggu hadapan. Nantikan.
Suntingan Karya: Ahmad Rusydi
Gambar: Ahmad Rusydi
Karya merupakan hakcipta penulis dan Arkib Angker Negara.
Anda ada kisah seram, misteri, thriller ataupun mind-blowing?
Ayuh kongsikan kisah anda kepada kami. Hantar kisah anda ke e-mel aanrc2017@gmail.com
Nyatakan sekali nama akaun Facebook, Instagram, Twitter, blog atau webpage anda untuk tujuan pengkreditan.
No comments:
Post a Comment