Wednesday, 14 March 2018

SYMBIOSIS Part II - Suhana Azman


SYMBIOSIS - Part II
Karya : Suhana Azman @ Suhana Mat Lazim

==============

"ISAAC DEAN MANSON....?"

Wyatt menyebut kembali nama itu.

"Ya. Isaac Dean Manson. Dia seorang pelukis. Lukisannya ada terpamer di galeri ni." Terang Thomas lagi.

"Ya, aku tahu. Isaac tu pelukis."

"Kau kenal dia?" Thomas menyoal kembali Wyatt.

"Tak. Aku tak kenal. Tapi, muka dia ada dekat dalam majalah dan surat khabar, pasal pameran lukisan dia nilah!" Terang Wyat

"Jadi, kau ajak aku ke sini untuk apa? Hanya sekadar untuk melihat lukisan yang terpamer di galeri ni? Lagipun apa kena-mengena aku dengan pelukis tu?" Sambung Wyatt lagi dalam nada sedikit pelik. Dalam masa yang sama, cuba hendak menduga maksud sebenar Thomas membawa dirinya ke galeri ini.

"Tak ada masalah kalau kau nak tengok lukisan dekat galeri ni, silakan. Tapi janganlah terlalu bersikap cynical terhadap orang yang cuba nak bantu kau. Cuba buang sedikit egoistik kau tu. Bosan tau! Sebab itulah kau tak ramai kawan dan tak ramai yang nak berkawan dengan kau! Sebab sifat skeptical kau tulah! Dan ya aku faham, memang tak ada kena-mengena dengan kau tapi mungkin boleh membantu sedikit sebanyak dalam kes ni. Lagipun kes ni dah jadi kes berprofile tinggi. Kau nak aku dan Isaac tolong atau tak?" Thomas mula muak dengan sikap tidak professionalisma yang ditunjukkan oleh Wyatt itu. Sifat mementingkan diri sendiri seakan sudah sebati dalam diri Wyatt.

Wyatt merenung Thomas dengan pandangan tajam. Kata-kata Thomas itu ibarat belati tajam, menusuk terus ke jiwanya. Sakit! Satu pengakuan dari Thomas yang sungguh menyakitkan!
"Hhmmm....." Wyatt melepaskan keluhan berat.
"Baik. Kenalkan aku dengannya...."
...............................................

Setiap lukisan yang tergantung dilihat penuh penghayatan. Dia benar-benar kagum dengan si pelukis tersebut. Pandai bermain dengan ilusi warna. Terdapat pelbagai element dimasukkan pada kanvas lukisan yang dipamerkan di setiap ruangan dinding pameran. Paling jelas yang dapat dilihat pada setiap lukisan si pelukis itu adalah burung raven.

"Kenapa raven?" Bisiknya.

Wyatt cuba mentafsir erti sebenar burung raven berterbangan didada kanvas si pelukis. Kenapa terlalu penting burung raven itu kepadanya? Kenapa burung raven dijadikan subjek utama di setiap lukisannya? Apa yang pasti jawapan itu ada pada si pelukis tersebut atau itu hanya bentuk identiti yang cuba dicari oleh pelukis tersebut. Seorang pelukis sudah tentu pandai menghargai kanvas dihadapannya malah disetiap ruangan kanvas dipergunakan sebaik mungkin agar putih di kanvas dapat dilitupi dengan warna-warna yang indah dihujung berus lukisan.

Wyatt terkesima dengan hasil lukisan burung raven tersebut. Mengkagumkan!

"Wyatt!"

Wyatt tersentak! Terkejut apabila namanya disapa dari belakang. Dia menoleh.

"Ini aku kenalkan, Isaac Dean Manson. Pelukis yang terkenal dengan lukisan 'The Raven Flying On The Moon'...." Thomas memperkenalkan Isaac kepada Wyatt.

Wyatt memandang Isaac. Lelaki itu hampir sebaya dengannya. Terlihat rambutnya disisir kemas. Berkemeja biru berlengan panjang serta berseluar slack. Langsung tidak menampakkan dirinya seperti seorang pelukis. Parut dikelopak mata Isaac itu dilihat dengan ekor mata sahaja. Sempat Wyatt mengerling ke arah sketch book yang dipegang kemas Isaac. Seolah-olah sketch book yang dipegangnya itu seakan lebih berharga dari lukisan yang terpamer di galeri itu. Wyatt mengerut dahi cuba untuk memahami dari pelbagai sudut. Namun bukan itu persoalannya sekarang. Persoalannya apa perkaitan dirinya dengan pelukis itu? Sungguh pun begitu, Wyatt tetap tersenyum. Lalu tangan dihulur tanda permulaan pada sebuah perkenalan.

"Ini detective Wyatt Bardolph Green, yang menyiasat kes The Immortal serial killer tu...." Thomas memperkenalkan pula Wyatt kepada Isaac.

Wyatt menjeling ke arah Thomas. Seperti ada sesuatu yang membuatnya tidak berpuas hati.

"Thomas, boleh tak jangan sebut nama tengah aku! Aku tak suka!" Tegas Wyatt.

"Wyatt Bardolph Green. Kenapa tak boleh sebut Bardolph pulak? Bukan ke itu nama kau. Salah ke?" Thomas membalas pandangannya kepada Wyatt.

"Tak salah pun. Tapi....., aku memang tak suka. Aku tak suka nama tengah aku. Aku benci! Lagipun aku pelik, kenapa bapak aku boleh letak nama Bardolph tu!" Herdik Wyatt.

"Maaf mencelah, mari kita ke ruangan tempat duduk sana. Kita boleh duduk sambil berbual. Tuan punya galeri ni tak ada, jadi saya diminta untuk menjaga galerinya sekejap. Silakan kita ke sana...." ujar Isaac, cuba memintas kata-kata Wyatt itu agar ketegangan yang dirasainya itu dapat dikendurkan olehnya.

Lalu ketiga-tiga mereka berjalan menuju ke arah ruangan tempat duduk. Hanya terdapat satu set sofa sahaja di ruangan itu beserta meja kopi dan juga beberapa majalah dihadapannya. Sememangnya ruangan itu untuk pengunjung yang hadir di pameran seni. Untuk melegakan kaki yang berdiri tat kala melihat hasil seni atau urusan jual beli lukisan yang dipamerkan di situ. Semuanya terpulang pada pengunjung. Khas untuk mereka yang cintakan seni.

"Tuan detective tahu tak maksud nama tengah tuan tu apa? Maksud saya, nama Bardolph tu?" Dengan tidak membuang masa seraya itu juga Isaac memulakan bicara setelah ketiga-tiga mereka melabuhkan punggung di atas sofa.

"Tak." Jawab Wyatt ringkas.

"Serigala. Bardolph maksudnya serigala. Jarang orang sekarang letak nama anak-anak mereka dengan nama tu. Selalunya orang dulu-dulu yang pakai nama tu. Nama klasik orang-orang Amerika. Bagus nama tu...." Isaac tersenyum tatkala menceritakan maksud disebalik nama tengah Wyatt itu.

"Apa yang bagusnya. Hanya serigala. Kalau aku dianggap serigala, sudah tentu aku akan dapat menghidu pada setiap tindakan jenayah yang dilakukan oleh The Immortal Serial Killer tu." sangkal Wyatt.

"Itu kata-kata orang yang dah putus asa. Kalau rasa tak mampu. Letak jawatan. Senang!" Isaac membalas kembali kata-kata Wyatt dengan hujah yang pedas.

"Kalau aku berputus asa, sudah tentu aku tak akan datang kemari menerima pelawaan Thomas untuk berjumpa dengan encik Isaac!" Wyatt mula rasa kepanasan. Walaupun suhu dingin didalam galeri itu sejuk namun tidak langsung membantu menyejukkan hatinya mendengar hujah pedas dari si pelukis itu.

"Jangan berencik-encik dengan saya. Cukup sekadar Isaac sahaja. Saya hanya sekadar memberi tahu maksud nama tuan detective, itu sahaja. Lagipun, nama tu istimewa. Sebab mempunyai maksud yang mendalam. Seorang pemburu, sama seperti seekor serigala. Serigala amat melindungi koloninya, sama seperti tuan. Menjaga dan melindungi kami sebagai masyarakat di bandaraya Immortal City. Seorang yang berjiwa keras dalamannya. Memang sesuai nama tu dengan tuan detective." Terang Isaac dengan panjang lebar.

"Hmmm...." Wyatt mengeluh berat. Suaranya seakan tersekat untuk menyampaikan hujahnya pula. Kali ini dia betul-betul terkena. Padu. Jawapan yang diberi Isaac itu sungguh realistik. Benar-benar mengenai sasaran. Ada sekelumit perasaan bangga dalam dirinya. Bangga dengan pekerjaan yang sedang dilakukannya sekarang.

Wyatt memandang kembali Isaac. Dia mula tersenyum dalam hati. Mula rasa kagum dengan si pelukis muda itu. Bukan sahaja tangannya berseni, malah setiap tutur katanya juga turut berseni.

"Terima kasih. Saya menganggap itu satu bentuk penghargaan. Lagipun sebagai polis, itu sudah jadi tanggungjawab saya untuk melindungi masyarakat setempat. Lagi satu, jangan bertuan-tuan dengan saya. Cukup sekadar Wyatt sahaja...." balas Wyatt kembali. Namun kali ini nada suaranya kelihatan lebih mesra dari permulaan perbualan mereka tadi.

"Kau tau tak Wyatt. William Shakespeare pernah menggunakan nama Bardolph tu dalam watak ciptaannya." Thomas mula bersuara memandangkan sedari tadi dia hanya terdiam dek kerana hanya mendengar Isaac dan Wyatt berbalas hujah.

"Wow! Tak tahu pulak aku. Watak apa tu?" Terbeliak mata Wyatt mendengar nama William Shakespeare terkeluar dari mulut Thomas.

"Watak sebagai pencuri!" Jawab Thomas bersahaja sambil tersenyum meleret ke arah Wyatt.

Wyatt hanya terdiam. Tiada sebarang jawapan yang diberi. Walaupun diriaknya tidak menunjukkan reaksi ketawa, tetapi dia tahu sahabatnya itu hanya sekadar bergurau.

"Baiklah, cukuplah cerita pasal nama tengah aku tu. Sekarang beritahu pada aku, apa fungsi sebenar aku dekat sini?" Wyatt memulakan langkah ingin mengetahui maksud sebenar pertemuan mereka pada petang itu.

"Cuba lihat lukisan dalam sketch book saya ni. Ada lakaran lukisan yang saya lukis beserta dengan keratan akhbar mengenai kesemua mangsa yang telah saya gunting untuk bahan rujukan saya terutamanya tarikh mimpi-mimpi saya, tarikh kejadian dan waktu kejadian...." Isaac menghulurkan sketch book ditangannya kepada Wyatt.

Lalu sketch book itu dibuka. Setiap helaian sketch book itu diselak satu persatu. Beberapa lakaran lukisan pensel terdapat didalamnya. Wyatt mengerut dahi apabila melihat setiap lakaran di sketch book itu. Bukan sahaja lakaran lukisan wajah-wajah mangsa terdapat didalamnya malah beberapa
keratan akhbar mengenai mangsa-mangsa juga telah ditampal bersebelahan dengan lakaran lukisan tersebut.


"Kau lukis gambar mangsa pertama tengah berlari. Dikejar oleh siapa? Macam mana kau boleh lukis semua lakaran-lakaran lukisan ni? Gambar mangsa-mangsa yang lain pun ada jugak. Tapi, masing-masing kelihatan sedang cuba melarikan diri dari seseorang. Tapi, siapa?" Soal Wyatt.

Pelbagai terjahan soalan yang dilontarkan oleh Wyatt kepada Isaac. Setiap lakaran pensel yang dilihatnya sungguh kemas dan teliti hasilnya. Wajah-wajah seperti William Smith, Anastasia Bloom, Mike Downey dan Suzanne Doyle sungguh serupa, sama seperti wajah sebenar mangsa-mangsa tersebut walaupun hanya sekadar lakaran lukisan pensel.

"Itu adalah hasil lakaran selepas aku mendapat mimpi-mimpi ngeri mengenai kesemua mangsa. Mereka berlari bagaikan dikejar sesuatu. Berlari untuk menyelamatkan diri dari pemangsa. Anehnya, aku langsung tak nampak siapa yang mengejar mereka. Aku hanya nampak mangsa saja." Jelas Isaac.

Wyatt menggeleng kepala. Dia mula tertawa sinis sambil matanya tepat memandang Isaac.

"Apa yang anehnya? Lukisan macam ni, boleh di tiru dimana-mana. Dekat surat khabar melambak gambar mangsa-mangsa ni! Seperti keratan akhbar yang kau tampal nilah!" Wyatt mencampak sketch book itu di atas meja yang berada dihadapannya. Terasa dirinya bagai ditipu. Sungguh tidak logik, fikirnya.

"Tak, kau tak faham....." Thomas cuba untuk menerangkan keadaan sebenar, tetapi.....

"Apa! Apa yang aku tak faham!" Wyatt telah memintas kembali kata-kata Thomas itu.

Isaac bingkas bangun! Terasa dirinya ditertawakan. Bukan kehendaknya untuk mendapat keistimewaan pelik seperti ini. Sungguh! Itu bukan pintanya. Dalam masa yang sama dia tidak sanggup untuk berhadapan dengan orang sombong seperti Wyatt. Terlalu angkuh! Lalu sketch book di atas meja diambil semula.

"Patutlah...." ringkas sahaja ungkapan dari Isaac. Kali ini dia ingin memulangkan semula paku buah keras kepada Wyatt. Biar detective sombong itu kenal siapa dirinya.

"Patutlah apa?" Wyatt mengulang semula perkataan yang disebut Isaac itu.

"Patutlah kes yang kau sedang siasat ni berpanjangan. Makin lama semakin ramai mangsa yang akan mati! Sebab sikap sombong detective macam kau ni! Angkuh! Memang patut pun ejen persekutuan ambil alih kes ni, memandangkan polis macam kau tak buat kerja!" Isaac meninggikan suara. Namun perasaan amarah itu dapat dikawalnya sedaya mungkin. Isaac tersenyum sinis. Ada terasa puas dihatinya. Matanya tersorot pada wajah angkuh Wyatt itu. Lalu Isaac menghampiri semula Wyatt.....

"Boleh tak jangan campak sketch book aku ni macam tu saja. Dengar dulu apa yang aku nak beritahu ni. Cuba kau lihat pada tarikh lakaran lukisan mangsa pertama, William Smith dalam sketch book ni, tarikh 16 Disember 2031 yang aku lukis. Dalam keratan surat khabar yang aku tampal ni ada tertulis mangsa telah dibunuh 18 Disember 2031. Jadi, dua hari sebelum dia dibunuh, aku telah mendapat mimpi iaitu pada malam bertarikh 16 Disember 2031. Aku mimpikan dia. Dia sedang berlari ke dalam hutan. Apa yang buat aku terasa pelik dengan mimpi tu, seolah-olah aku adalah mangsa tu. Tetapi bukan dengan wajah aku, tapi dengan wajah William Smith. Ketika tu aku langsung tak kenal lelaki yang sedang lari dalam mimpi tu. Hinggalah wajah William Smith terpampang di hadapan surat khabar dua hari selepas tu. Cuba kau tengok pula lakaran mangsa yang kedua, Anastasia Bloom. Dalam keratan surat khabar ni tertulis, dia dibunuh 18 Febuari 2032. Aku dapat mimpi pada malam bertarikh 16 Febuari 2032. Ada aku tulis tarikh waktu aku mimpi di lukisan gambar mangsa tu. Begitu jugalah dengan mangsa-mangsa seterusnya. Aku akan dapat mimpi dua hari lebih awal sebelum mereka semua dibunuh oleh The Immortal Serial Killer tu....." jelas Isaac lagi dengan panjang lebar sambil menyelak-nyelak sketch book dan beberapa keratan akhbar dihadapan Wyatt.

"Jadi apa yang kau nak beritahu ni, kau ada kuasa istimewa? Kau boleh melihat kematian seseorang sebelum dia mati. Walaupun orang yang tidak kau kenal?" Wyatt mulai membuat spekulasinya sendiri sebelum Isaac menerangkan keadaannya dengan lebih terperinci.

"Entahlah. Itu aku tak ada jawapannya. Kau boleh nilai sendiri nanti setelah kau mengenali aku dengan lebih lama lagi. Sebenarnya, apa yang ada pada aku tidak datang secara baik. Ia juga tidak datang secara semula jadi. Ia datang selepas aku menerima satu peristiwa tragik dalam hidup aku pada 15 tahun yang lalu. Semuanya bermula semasa di taman permainan. Pada petang tu ada seekor burung raven hinggap di pokok tua. Entah kenapa burung raven tu menyerang muka aku. Sejak dari itu pelbagai peristiwa pelik yang aku alami. Sudah tentu ia bermula dengan keluarga aku dahulu. Mommy, daddy dan adik perempuan aku mati dibunuh pada malam itu." Terang Isaac

"Sebelum kejadian tu, aku tidur di bilik sebab rasa tak sihat tapi aku telah mengalami mimpi yang aneh pada malam tu. Ya, disitulah mimpi itu bermula. Aku mimpi kesemua keluarga aku ditembak satu persatu di hadapan aku. Kemudian, aku ternampak burung raven terus terbang ke arah aku. Betul-betul terbang disebelah orang yang tembak keluarga aku tu. Apabila burung raven tu semakin menghampiri aku, terus sahaja aku tersedar. Tapi masa tu aku langsung tak tahu rupanya penjenayah tu sudah berada dalam bilik aku. Masa itu jugalah penjenayah tu telah menembak aku. Nasib aku baik, umur masih panjang. Hmmm..." Sambung Isaac. Terdengar sedikit keluhan kesal dihujung ceritanya.

Isaac kembali terdiam. Terlalu perit apabila menceritakan semula peristiwa hitam itu. Pahit untuk ditelan. Wyatt dan Thomas hanya berpandangan sesama sendiri. Terbit rasa simpati dihati mereka.

"Selepas kejadian tu kau tinggal dengan siapa?" Wyatt menyoal.

"Selepas kejadian tu aku tinggal dengan nenek sebelah mommy. Sekarang nenek dah tak ada. Meninggal dua tahun lepas sebab astma. Dua hari sebelum nenek aku meninggal, aku ada bermimpi dia berdiri di hadapan aku. Ditangannya ada sepucuk surat, dia cuba menghulur surat tu pada aku tapi secara tiba-tiba, dia mengalami sesak nafas dalam mimpi tu dan terus rebah! Masa tu aku ingatkan itu cuma mimpi biasa. Aku abaikan. Dua hari semasa dia terkena serangan astma yang teruk, baru aku terfikir pasal mimpi tu. Sebagai manusia sudah tentu kita akan fikir, bukan ke kematian tu sesuatu yang tidak boleh dielakkan? Sebab tu aku tak ambil kisah sangat mimpi sebelum ni. Tetapi selepas beberapa kali aku dapat mimpi demi mimpi seperti jiran aku mati kemalangan, kawan satu kolej bunuh diri dan kes pembunuhan pelajar perempuan di Orchids Garden beberapa tahun yang lalu. Dimana ke semua mereka berada dalam mimpi aku sebelum mereka ditimpa musibah dan juga beberapa kejadian lain yang aku sendiri tak ingat! Tapi apa yang pasti kesemua mimpi-mimpi yang aku alami tu pasti akan ada burung raven tu." Isaac kembali bercerita. Kelihatan tangannya menggosok lehernya yang sedikit kekeringan. Lalu dia menyambung kembali ceritanya.

"Ya, baru aku teringat! Burung tu akan sentiasa ada setiap kali aku alami mimpi-mimpi yang pelik. Termasuklah aku mimpikan kesemua mangsa-mangsa tu. Lagi satu sebelum aku mendapat mimpi pada malam tu, akan ada seekor burung raven hinggap di ranting pokok bersebelahan dengan tingkap bilik aku. Dia pasti akan muncul! Itu aku pasti! Salah satu petanda aku akan mendapat mimpi yang pelik pada malam itu. Oh! Tuhan! Kenapa aku tak terfikir langsung akan hal tu? Sekarang baru aku fikir semua segala logik yang ada! Raven itulah puncanya aku jadi begini!"
Isaac meraup mukanya kemudian terus memandang ke arah Wyatt dan Thomas. Seakan tidak percaya bahawa dirinya baru mendapat jawapan cepumas selepas menerima pelbagai persoalan sejak sekian lama. Namun apa yang pasti, dia perlu mencari dahulu dua persoalan yang masih belum terjawab. Kenapa raven itu memilihnya dan siapa pembunuh keluarganya?

"Jadi, kau rasa burung raven tu yang bagi kau kuasa. Persoalannya, burung tu kawan atau lawan?" Wyatt menyoal kembali Isaac.

Namun dihati Wyatt, mula terbit perasaan percaya kepada Isaac sedikit demi sedikit. Walaupun pada awal perkenalan tadi timbul perasaan ragu-ragu. Hakikatnya yang sebenar Wyatt bukanlah orang yang mudah percaya secara serius perihal kisah alam mistik terutama dari orang yang baru dikenalinya. Namun atas percaya kepada sahabatnya Thomas, semua perasaan ego itu di buang ke tepi. Dia juga inginkan jawapan, siapa The Immortal Serial Killer yang menjadi musuh kepada polis dan juga penduduk Immortal City.

"Kalau begitu, sudah pasti kita boleh menyelamatkan satu nyawa lagi dari tangan pembunuh bersiri tu. Kamu berdua ingat lagi tak kisah zaman dulu, Jack the ripper?" Thomas mula bersuara.

Wyatt dan Isaac hanya mengangguk tanda masih mengingati kisah pembunuh bersiri yang kejam itu.
"Sampai sekarang, masih tidak ketahui siapa identiti pembunuh tu. Cuma, dalam tahun 2017 ada seorang lelaki mengaku, moyang dia adalah Jack the ripper tu. Itu pun ramai yang tak percaya sangat sebab tak banyak bukti yang dia tunjuk." jelas Thomas lagi bercerita mengenai pembunuh bersiri sepanjang zaman itu.

"Aku yakin kali ni pasti pembunuh tu akan membunuh lagi. Kau rasa dengan mimpi kau tu boleh menyelamatkan satu lagi nyawa?"

Wyatt memandang tepat ke arah Isaac dengan soalan yang sukar untuk dijawab. Namun begitu Wyatt tetap mengharapkan satu jawapan realistik dari Isaac.

Isaac mengetap bibir. Sempat mengerling ke arah satu lukisan burung ravennya yang tergantung di ruang pameran lukisan. Lukisan Raven Flying On The Moon.....

-BERSAMBUNG-
===============
Suntingan & Gambar: Kucing Kelabu
Karya adalah hak milik penulis dan Arkib Angker Negara.
Anda ada kisah seram, komedi-seram, misteri, thriller ataupun mind-blowing? Apa kata anda kongsikan kisah anda kepada kami.
Hantar kisah anda ke inbox Arkib Angker Negara atau emelkan ke aanrc2017@gmail.com
Nyatakan sekali nama akaun Facebook, blog, Instagram, Twitter atau webpage anda untuk pengkreditan

No comments: