Thursday, 22 March 2018

SELAMAT PENGANTIN BARU - The Flash


SELAMAT PENGANTIN BARU
Karya Oleh: Faizal

===========================
Nota kaki- Cerita di bawah berdasarkan kisah benar. Ya, ianya betul-betul berlaku. Nama, tempat dan latar adalah rekaan semata-mata.
===========================
Pengantin bersanding di atas pelamin bersatu
Diraikan sekalian para tetamu
Kompang di palu bertalu talu
Air mawar di renjis harum berbau

Bukan lancang,sebarang lancang
Lancang menempuh lautan biru
Bukan ku datang sebarang datang
Datang menyambut pengantin baru!


Lagu nyanyian M. Daud Kilau bertajuk Pengantin Bersanding memecah kesunyian Kampung Banjar,Teluk Anson. Gegak gempita perkarangan rumah Mahmud. Mana taknya, anak sulungnya, Ismail sudah naik pelamin.

Ismail, sementara itu sedang bersiap di dalam biliknya. Sebentar sahaja lagi dia akan dinikahkan. Ikutkan hati tunangnya, Zarina, dia mahu menjalankan akad di masjid kampungnya semalam. Tapi Ismail berkeras mahu bernikah pada hari Sabtu, pagi sebelum majlis resepsi. Katanya mudah. Padahal Zarina tahu, tunangnya itu hendak menunjuk pada orang kampung. Bukan dia tak tahu perangai membangga diri si Ismail!

Ismail ada memberitahu, kawan-kawannya mengejek mengatakan Ismail akan beberapa kali ‘tersangkut’ sewaktu akad nikah! Dia memang pantang dicabar. Zarina malas ambil pusing, dia sendiri juga agak gementar untuk bergelar seorang isteri sebentar lagi.

Mahmud menunggu di hujung simpang jalan, takut-takut Tok Kadi tak jumpa jalan ke rumah. Maklumlah, rumahnya jauh ke dalam sedikit. Dari jauh kelihatan Tok Kadi datang dengan keretanya. Di bahagian penumpang adalah saksi-saksinya.

“Jam 11 pagi ya Tok...” ujar Mahmud kepada Tok Kadi sejurus dia tiba di perkarangan rumah. Mahmud menjamu Tok Kadi dengan kuih tepung beras dan bubur gandum berserta air kopi pekat. Bukan main suka mereka menjamah.

Tepat jam 11 pagi, semuanya sudah bersedia. Zarina mengambil tempat di atas pelamin dan Ismail sudah duduk empuk di atas bantal sofa. Suasana menjadi sunyi ketika Tok Kadi membacakan khutbah nikah. Orang ramai mula membanjiri ruang tamu rumah si Mahmud.

Ramai yang sebenarnya berkenan hendak jadikan Ismail sebagai menantu, yelah, kerjanya sebagai guru, ada kereta, ada rumah dan mukanya boleh tahan. Sudahnya Ismail berkenankan jiran sebelah rumahnya!

Tok Kadi menanyakan beberapa soalan kepada Ismail. Soalan lazim. Apa rukun nikah? Apa rukun Islam dan sebagainya. Lancar sahaja mulut Ismail menjawab.

Dari sudut hujung di tepi pelamin, berdirinya satu susuk tubuh sedang menyorot tajam ke muka Ismail. Mulutnya terkumat kamit membaca sesuatu. Usai membacanya, dia tersenyum sinis.

“Ok, dah bersedia ya?" Tanya Tok Kadi kepada Ismail dan dia hanya mengganguk faham.

“Aku nikahkan dikau, Ismail bin Mahmud dengan Zarina binti Ahmad dengan mas kahwinnya RM100, tunai...” sambil Tok Kadi terus mengoncang tangan Ismail erat.

Suasana ketika itu diam. Sunyi sepi. Untuk pengetahuan, audio lagu di luar dihentikan sementara demi memberi laluan kepada upacara akad nikah ini.

“ Er...ahhh..Aku...er...” tergagap gagap Ismail.

“Ah, sekali lagi ya. Bawa bertenang ya pengantin lakinya...” ujar Tok Kadi.

Kedengaran beberapa orang ketawa. Ada juga kedengaran yang menempelak Ismail kerana terlalu angkuh. Zarina di atas pelamin mula terbit peluh di dahi.

Cubaan kali kedua, gagal! Kali ketiga pun gagal! Hinggalah kali ke sepuluh! Gagal! Ismail gagal melafazkan akad dengan sempurna. Tergagap gagap, bila di dengar macam orang mamai!

‘Itulah, berlagak sangat! Padan muka!’
‘Muka saja lawa tapi penakut
‘Pengantin laki cikgu ke? Macam tak reti bercakap saja!’


Cakap cakap orang sekeliling hinggap di telinga Zarina dan Mahmud.

“Kita berehat dulu ya...” Ujar Tok Kadi. Ketika itu orang yang hadir untuk melihat upacara itu tidak berganjak. Mereka ingin lebih tahu apa yang akan berlaku. Mahmud menghulur segelas air kepada anaknya.


“Kenapa kau ni?” Bentak Mahmud.

“Tak tahu ayah, tiba-tiba rasa macam nak pitam, macam nak muntah pun ada.”


Majlis akad nikah disambung semula. Ismail gagal lagi! Perlahan-lahan Tok Kadi datang rapat kepada Ismail, dan bisikkan sesuatu padanya.

“Cuba kau tunjukkan lidah kau...” bisik Tok Kadi.

Imran perlahan membuka mulutnya dan mengeluarkan sedikit hujung lidahnya.


“Allahuakbar!“ Tok Kadi tiba-tiba bertakbir sejurus melihat lidah Ismail hitam.

“Ok begini, saya mohon Tuan Rumah sediakan kami satu bilik untuk majlis akad, dalam bilik itu, saya, saksi dan ibu bapa pengantin sahaja...” ujar Tok Kadi dengan nada suara yang agak kuat.

Suasana agak kelam kabut sejurus Tok Kadi bercakap demikian. Orang ramai mula berspekulasi sesama sendiri ( baca-membawang)

Kesemua ahli yang sepatutnya ada, sudah berada di dalam bilik. Ajaib, dengan sekali lafaz, Zarina sah menjadi isteri Ismail! Tanpa gagap. Kata Ismail, selepas berpindah di dalam bilik,dia dapat rasakan bahu dan kepalanya tidak ‘ditekan’ dari arah atas.

“Hati hati,banyak banyakkan selawat,” pesan Tok Kadi kepada Ismail sebelum dia keluar dari bilik.

Bersorak orang di luar bila Ismail senyum sambil menunjukkan jempul jari tanda OK!

Selepas mereka semua turun dari rumah menuju ke ruang makan beradab. Ismail yang hendak makan dahulu sebelum bersanding. Memang selalunya pengantin akan bersanding dahulu, baru makan.

“Abang kenapa?” Tanya Zarina pada suaminya.Ismail hanya mengatakan dia gementar,lalu mereka pun tersenyum gembira. Cinta yang disulam 2 tahun akhirnya ke jinjang pelamin, sambil mereka berdua memotong kek hari bahagia mereka.

Dari atas rumah, Tok Kadi melihat ke lantai rumah.Dia perhatikan setiap bucu permaidani yang dibentang. Matanya tertumpu pada satu bucu permaidani, hujungnya dilipat ke dalam!

Segera Tok Kadi bergegas ke arah karpet itu. Perlahan-lahan dia menyelak bucu permaidani, tiada apa-apa yang tersembunyi, dia duduk bersila dan mulutnya terkumat-kamit. Ada beberapa orang yang kelihatan aneh dengan tindak tanduk Tok Kadi.

Perlahan lahan tapak tangannya diletakkan di bucu permaidani. Setelah tangannya diangkat,di tapak tangannya kelihatan secebis kain kuning. Tok Kadi mengelengkan kepala. Dia bangun dan meminta salah seorang saksinya kotak mancis (saksinya itu penghisap rokok) lalu dibakar cebisan kain itu. Yang lain tidak bersuara. Hanya diam.

“Dah jom balik...” ujar Tok Kadi.Mahmud sebelum itu ada menjemputnya untuk turun makan sekali, tetapi terpaksa ditolak dek kerana dia harus menikahkan dua pasangan lagi pada hari itu.

Dari jauh ada mata yang memerhati keberangkatan Tok Kadi dari majlis, sekali lagi dia tersenyum.


“Eh Mastura, tolong aku angkat hidang ni kat khemah pengantin!” Sapa kawannya dari belakang.

Cepat cepat Mastura memotong angannya itu. Dalam hatinya menyumpah seranah kawannya itu, ganggu lamunannya. Sewaktu Mastura mencapai lauk rendang masak dinding yang ingin diletakkan ke meja pengantin, dia segera mengeluarkan bungkusan di celah lipatan kain batik kebaya lepasnya. Bungkusan santau! Miang rebung, serbuk lipan dan beberapa adunan sial telah diramu rapi oleh Mastura.

Sesudah menabur ke dalam juadah itu, dia segera menghantarnya ke khemah pengantin. Dari jauh dia melihat Zarina mencedukkan lauk itu ke dalam pinggan Ismail. Lebih menyeronokkan, Ismail, Zarina serta Mahmud menjamu lauk daging santaunya itu!

Mesti ada yang tertanya, kenapa Mastura bencikan Ismail? Untuk pengetahuan, Ismail pernah berjanji untuk memperisterikan dirinya. Tapi sewaktu tarikh yang telah dijanjikan untuk bertunang, Ismail menarik diri saat akhir, katanya dia tak yakin dengan keadaan Mastura.

Mana taknya, ketika itu Mastura menampung hidupnya dengan menjual lauk-pauk di gerai usang milik arwah bapanya. Walau begitu, makan minum mak dan adik adiknya terjaga rapi. Tak pernah pun Mastura gagal memberi makan dan minum pada mereka. Kata Ismail, pipit sama pipit, enggang sama enggang.

Zarina hanyalah anak dara yang duduk di rumah dan menunggu ehsan keluarganya yang kaya. Senang cakap, duduk di rumah, malas bekerja, hendak wang, minta ayah atau ibunya. Hal ini membuatkan Mastura berang. Tapi apa yang dibuat hari ini tidak lagi selesai.

Selesai upacara makan beradab, pengantin baru akan disandingkan. Mereka berdua naik ke atas rumah untuk bersanding. Ketika itu ada pertunjukkan silat berlaku di hadapan pengantin. Mastura ketika itu duduk di sudut hujung rumah. Ismail memang tak perasan kehadirannya. Kenapa? Sebab Ismail pernah dua tiga kali ditangkap olehnya curang. Mana mungkin dia ingat kesemua bekas kekasihnya??!

Tiba upacara merenjis tepung tawar. Sekali lagi Mastura tersenyum. Air mawar sudah diganti dengan air mandian mayat! Susah payah bukan main dia mencari air mandian mayat untuk mengenakan Ismail. Mujur dia ada kawan yang bekerja di hospital, dapatlah juga segayung air mandian mayat. Sempat dia menukar air mawar dengan air mandian mayat itu sewaktu pagi tadi, dan bekas bunga rampai, sudah dicampur dengan kemenyan hitam dan setitik darah haidnya sendiri!

Apa yang akan jadi? Hidup suami isteri ini akan melarat, tak tenteram. Itu yang apa Mastura mahukan. Dia ketawa kecil melihat tetamu yang datang merenjis dan menabur bunga rampai ke atas Ismail dan isteri.

Seminggu selepas majlis, Kampung Banjar gempar! Ismail menceraikan Zarina dengan talak tiga! Cerita rumah tangga mereka berdua ini habis dijaja sesetengah orang hingga ke pekan Teluk Anson mengetahui tragedi kahwin seminggu sudahnya ditalak tiga.

Mastura hanya ketawa mendengar cerita itu. Dia dapat tahu pun sewaktu dia sibuk menghidangkan air di gerai usangnya. Zarina dikatakan separuh gila selepas diceraikan sebegitu oleh Ismail. Kata Zarina, dia tak tahan tinggal di rumah suaminya itu, ada sahaja tak kena. Dengar cerita selepas dicerai, keluarga Zarina membawanya ke Ipoh untuk berubat. Zarina katanya muntah darah tak henti-henti selepas diceraikan.

Lagi menarik, keluarga Zarina menyerang rumah Mahmud, malam anak mereka diceraikan, kampung sekali lagi gempar! Ayah si Zarina dan Mahmud bersilat di depan rumah, dek kerana marah. Keluarga Zarina menuduh Ismail buat benda tak elok pada anak mereka.

Mastura yang dari tadi sibuk di dapur gerai, ketawa tak sudah mendengar perbualan orang kampung yang singgah di gerainya. Dia hanya ketawa dan ketawa lagi. Dendamnya berbalas.

Sebulan selepas kejadian itu, giliran Mahmud pula menceraikan isterinya! Sekali lagi Mastura gembira dengan khabar berita itu.

Suatu hari, dia terserempak dengan Ismail di pasar sewaktu dia mahu membeli lauk-pauk untuk gerainya.Ismail sememangnya tidak mengenalinya langsung.Memang tak terurus. Muka Ismail penuh dengan jambang dan misai.Geli. Sekali pandang macam orang gila! Puas hati Mastura.


Keesokkan paginya, gerainya itu disinggahi oleh Tok Kadi, dia datang ke kampung ini setelah terdengar kisah Ismail dan keluarganya. Dia datang untuk mengesahkan kejadian. Kata Tok Kadi, dia tak sangka yang akan ada orang sanggup memporak-perandakan keluarga Ismail sedemikian rupa.

Mastura tersenyum sambil mempelawa Tok Kadi untuk mencuba lepat pisangnya semasa menjamu Tok Kadi. Di dalam hati Mastura, dia lega kerana tiada siapa yang mengesyakinya.

Selang beberapa hari selepas itu, Ismail meragut nyawanya sendiri. Mayatnya di temui di dalam bilik rumahnya,tergantung. Ketika itu ayahnya, Mahmud baru pulang dari kebun terperanjat melihat keadaan anaknya itu. Sudahlah baru bercerai, kini anaknya pula membunuh diri! Dek kejadian itu, Mahmud dimasukkan hospital kerana serangan jantung.

Kini, tiada apa lagi yang perlu digusarkan oleh Mastura. Dendamnya berbalas dan bulan depan, ada rombongan memasuk meminang dirinya. Dia puas semuanya telah selesai.

Sewaktu dia hendak menutup gerainya, dia didatangi oleh seorang wanita berkebaya ketat, menaiki kereta Proton Saga berwarna biru.

“Berkesan tak?” Sapa wanita berkebaya ketat itu.

Mastura mengangguk dan menyerahkan sejumlah wang pada wanita berkenaan.


“Jangan biar diri kita dipijak ye dengan kaum lelaki...” wanita itu berpesan pada Mastura.

Dia hanya angguk.

Mastura puas. Dendamnya berbalas. Sambil itu wanita itu menuju ke keretanya, dan berlalu pergi.


Di dalam hati Mastura berkata,
‘Tak sia-sia aku berjumpa dengan wanita tu!’

Tak perlulah aku sebutkan nama, kamu semua tahu siapa dia !


---tamat--
Suntingan & Gambar: Nadey
Karya adalah hak milik penulis dan Arkib Angker Negara.
Anda ada kisah seram, komedi-seram, misteri, thriller ataupun mind-blowing? Apa kata anda kongsikan kisah anda kepada kami.
Hantar kisah anda ke inbox Arkib Angker Negara atau emelkan ke aanrc2017@gmail.com
Nyatakan sekali nama akaun Facebook, blog, Instagram, Twitter atau webpage anda untuk pengkreditan.

No comments: