Monday, 5 March 2018

APABILA ATUK BERCERITA - Suhana Azman


APABILA ATUK BERCERITA
Karya : Suhana Azman @ Suhana Mat Lazim

===============

Kisah ini berlatar belakang tahun 70an, di zaman abah sedang meningkat remaja. Harap sudilah membaca kisah abah dan arwah atuk. Ada satu kisah yang arwah atuk pernah ceritakan pada abah. Bukan kisah seram, mungkin satu kisah misteri. Jadi..., mari menyelusuri kisah itu dan ini kisahnya.....

*****
Abah meletakkan basikal di bawah rumah. Lalu terus naik ke atas rumah sambil memberi salam.

"Assalamualaikum....."

Masuk sahaja kedalam rumah, arwah atuk sudah menanti sambil menggulung lenteng.

"Waalaikumsalam.... Lambat balik...?" Arwah atuk menjawab salam abah.

"Tak tidur lagi pak....?" Abah bertanya, ada sedikit kerisauan di hatinya, takut-takut arwah atuk marah.

"Tak mengantuk. Tengah tunggu kau le Jai. Risau pulak bapak dah malam-malam buta ni kau tak balik lagi...." sedikit perasaan bimbang yang menerjah di hatinya apabila memikirkan anak nombor duanya itu belum lagi pulang.

"Apa yang bapak nak risaukan. Insyaa Allah...., Jai boleh jaga diri. Apa gunanya ilmu persilatan yang Jai pelajari, kalau Jai tak boleh jaga diri..." Abah cuba untuk menenangkan perasaan risau arwah atuk.

"Itulah yang bapak risaukan. Sifat terlalu yakin itulah yang boleh memakan diri..." padu jawapan dari arwah atuk.

Abah...?

Hanya menggaru kepala yang tidak gatal. Tidak mampu untuk membalas kata-kata arwah atuk. Difikiran abah saat itu, siapalah dia untuk membalas kata-kata arwah bapanya. Lebih baik dia diam daripada terus menjawab atau membalas kata kerana abah akan selalu kalah kalau di ajak "berdebat" dengan arwah atuk. Mungkin disebabkan arwah atuk bijak saat melontarkan ayat disaat anak nombor duanya itu selalu mempunyai sifat memprotes atau membangkang sesuatu perkara.

"Mengantuklah...." bilang abah pada arwah atuk.

"Dah solat Isyak....?" Soalan cepumas dari arwah atuk untuk anak kesayangannya.

"Sudah..., kat surau dengan Kassim tadi..." Alhamdulillah..., jawapan selamat dari abah.

"Sebelum tidur, jangan lupa pergi minum air masak dulu...." pesan arwah atuk.

"Tak haus. Malas nak minum..." abah menjawab ringkas.

"Bapak pesan ni, apa salahnya kau ikut je. Bukannya kena duit pun. Tuang sajalah air dekat dapur tu, lepas tu minum..." volum nada suara arwah atuk semakin meninggi.

"Ya, ya... Nanti Jai minum...." suara abah sedikit kendur seakan mengalah apabila arwah atuk mula menggunakan kuasa vetonya.

"Bapak sebelum tidur pun minum jugak. Bukan apa cuma teringat kisah Wak Borhan dulu....." arwah atuk tersenyum kelat.

"Kenapa dengan Wak Borhan dulu......?" Abah mula menghampiri arwah atuk, seakan berminat ingin ambil tahu kisah Wak Borhan.

"Kisah ni semasa bapak remaja dulu. Walaupun bapak sudah beberapa kali khatam al Quran, bapak masih lagi mengaji dengan Imam Idris. Sebab tak sekolah, itu sajalah yang arwah nenek termampu nak hantar...." Arwah atuk memulakan kisah.

"Ada satu malam tu, masa sedang mengaji kat rumah Imam Idris dengan beberapa orang kawan, tiba-tiba isteri Wak Borhan datang rumah Imam. Dia beritahu pada Imam, Wak Borhan dari maghrib lagi tak bangun- bangun dari tidur. Sampailah ke Isyak. Sudah di kejut banyak kali tapi keadaan dia masih juga sama. Langsung tak bangun. Macam pengsan tapi jirus muka dengan air tetap juga tidak bangun. Itu yang isteri wak Borhan buat keputusan datang ke rumah Imam Idris...."

Sambil bercerita sempat arwah atuk menyedut lenteng yang digulungnya tadi.

"Lepas tu.....?" Abah semakin berminat untuk mengetahui lebih lanjut kisah Wak Borhan.

"Lepas tu..., Imam Idris, bapak dan beberapa orang kawan datang ke rumah Wak Borhan pada malam itu jugak. Sampai sahaja di rumah dia, bapak tengok dia terbaring kat tilam dalam bilik. Bila Imam Idris periksa nadi dia, masih ada lagi. Dalam tidur tu badan dia habis lenjun basah, mungkin sebab berpeluh banyak agaknya. Kemudian Imam baca beberapa ayat hembus dalam air kemudian sapu dekat muka dia, tetap juga sama keadaan dia. Tak bangun-bangun....!!"

"Nadi dia masih ada tapi tak bangun-bangun. Kalau pengsan, jirus air mesti sedar. Dia terkena buatan orang ke...?" Abah seakan tidak percaya dengan apa yang didengarnya. Mati bukan, pengsan pun bukan.

"Tak ada sesiapa pun kenakan dia. Mungkin atas kesilapan dia sendiri..." jawapan dari arwah atuk.

"Kesilapan diri dia sendiri...?" Abah semakin pelik dengan jawapan atuk.

"Ya... Tapi lepas itu Imam Idris pegang dahi Wak Borhan. Lama jugak dia pegang. Kemudian dia tanya dengan isteri Wak Borhan, sama ada dengar atau tidak. Isterinya cakaplah tak dengar bunyi apa-apa pun. Bapak dengan kawan-kawan pun tak dengar bunyi apa-apa. Mungkin hanya Imam Idris saja yang dengar. Lepas tu, Imam tanya dengan isteri Wak sama ada dalam rumahnya ada tempayan atau tidak, dia kata ada. Kemudian Imam Idris suruh bapak pergi dekat tempayan tu. Nampak sahaja sesuatu dalam tempayan yang berisi air tu terus ambil dan beri pada dia. Jadi...., bapak ikut sajalah apa yang Imam Idris tu suruh buat. Isteri Wak Borhan tunjukkan tempayan tu. Memang ada air dalam tempayan tu. Bapak hanya nampak seekor belalang tenggelam timbul dalam tempayan tu. Bapak pun terus ambillah belalang yang hampir lemas tu. Sebab belalang tu yang bapak jumpa dulu dan terus bapak bagi pada Imam Idris. Kemudian belalang tu terus sahaja Imam letak pada dahi Wak Borhan. Selepas Imam baca beberapa potong ayat dan surah, belalang yang berada di atas dahi Wak Borhan tu terus ghaib masa tu juga. Terkejut bapak dengan kawan-kawan tengok. Selepas itu Wak Borhan terus buka mata dalam keadaan termengah- mengah..."

Panjang lebar arwah atuk menyambung ceritanya.

"Ada Wak Borhan cerita kat Imam Idris kenapa dia jadi macam tu...?" Abah mengajukan soalan bak wartawan Mastika.

"Ada... Dia kata lepas dia solat maghrib dia baring dekat tilam dulu sebab mengantuk sangat di tambah dengan badannya yang letih sebab ambil upah menebas rumput dekat kebun orang petang tadi. Tetapi, dalam masa yang sama tekak dia betul-betul kering. Dia terasa haus tapi malas nak bangun minum sebab mengantuk sangat. Lepas tu dia terus tidur dalam kehausan. Masa dalam tidur tu dia bermimpi, dia masih lagi rasa haus tapi puas dia cari air dalam rumah tapi tak jumpa. Kemudian dia ternampak ada tempayan kat dapur rumah dia, terus sahaja dia menuju ke tempayan. Tapi, masa dia nak capai air dalam tempayan tu terasa jauh sangat. Tangan dah habis di julur ke dalam tapi tetap tak boleh nak capai air tu. Dalam Wak Borhan sedang nak mencapai air tu, tiba-tiba terus dia termasuk dalam tempayan tu. Terkapai- kapai dia minta tolong tapi seorang pun tak dengar. Itu yang bapak ternampak ada belalang dalam tempayan macam nak mati lemas tu. Macam tulah ceritanya..."

Begitulah arwah atuk mengakhiri ceritanya sehingga menganga abah mendengar kisah yang baru pertama kali di dengarnya.

"Ini kisah betul ke bapak?" Abah masih lagi belum berpuas hati akan kesahihan cerita tersebut.

"Ya... betul. Terpulang kau nak percaya Jai. Sebab mata kepala bapak yang menyaksikan semua tu...." arwah atuk tetap dengan pendiriannya.

"Habis tu Imam Idris dengar apa masa dia pegang dahi wak Borhan tu?"

"Imam tu cerita dia terdengar suara minta tolong. TOLONG... AKU NAK LEMAS, TOLONG... AKU NAK LEMAS.... Beberapa kali. Itu yang Imam Idris syak ada kena mengena dengan air."

"Risau pulak tidur dalam kehausan. Habis tu bulan puasa kalau kita nak tidur macam mana...? Dah letih puasa mesti tidur waktu siang...?" Abah bertanya lagi sambil tergelak kecil.

"Pernah dengar tak orang yang sedang tidur ketika sedang berpuasa di bulan Ramadhan juga satu ibadah?"

Pap...!!!

Bagai satu tamparan bila abah terdengar ayat itu. Bukankah sudah dibilang. Abah pasti akan kalah apabila " berdebat" dengan bapaknya.

Alhamdulillah... Sampai sini kisah abah. Ambil yang positif sahaja apabila membaca kisah ini. Kisah anak dan bapak yang suka bercerita. Sehinggalah sampai ke cucu-cucunya.

-TAMAT-
===============
Suntingan & Gambar: Kucing Kelabu
Karya adalah hak milik penulis dan Arkib Angker Negara.
Anda ada kisah seram, komedi-seram, misteri, thriller ataupun mind-blowing? Apa kata anda kongsikan kisah anda kepada kami.
Hantar kisah anda ke inbox Arkib Angker Negara atau emelkan ke aanrc2017@gmail.com
Nyatakan sekali nama akaun Facebook, blog, Instagram, Twitter atau webpage anda untuk pengkreditan

No comments: