TAJUK:- BIRTHDAY 29 FEBRUARY.
GENRE:- SERAM
KARYA: - G_YUSE P.H
= = = = = = = = = = =
-TAHUN 2004-
-28 FEBRUARI 2004.
Embun dara pagi masih malu-malu menghulur rupa. Sembunyi di sebalik kabus jejak sahaya. Berkicauan unggas dan burung, terbang kesana sini mencari tujuan masing-masing. Angin pagi itu cukup menyejukkan, ditambah kabus pagi yang memutih bagaikan salji. Dari jauh dapat dengar bunyi kereta api. Kenal bila kereta api lalu meredah lorong relnya di dalam hutan, burung-burung yang bertenggek atas dahan pokok atau tunggul-tunggul kayu habis berterbangan. Bunyinya cukup menghiburkan.
Dari atas nun jauh di pucuk pokok hutan yang rimbun, nampak bumbung kereta api dari atas berjalan mengikut lorong relnya. Macam ular lagaknya, panjangnya, satu persatu gerabaknya masuk di dalam terowong. Terowong yang agak panjang dan gelap. Kelihatan raut wajah seorang gadis, memakai headphone di telinganya. Kecil molek, genik...tetapi rugged. Macam ratu rock kita, Ella. Pakaiannya, t-shirt hitam gambar kumpulan Bulldozer, seluarnya ketat warna hitam koyak di lutut dan kasutnya, safety boot Black Hammer. Keretapi terus hilang ditelan terowong gelap.
= = = = = = = = = = = = = = = = = = =
-DUA PULUH TAHUN DAHULU-
-DI SEBUAH PERKAMPUNGAN KECIL-
-KAMPUNG TOK TUKANG, KEDAH-
-TAHUN 1984-
Nyamuk banyak berterbangan di atas kepala Natikah. Dia tidak peduli, bajunya yang baru terkena kuah cucur udang dengan ais sirap tadi dilapnya dengan daun kopi. Dia menyorok di balik semak hutan pokok kopi. Natikah tidak mahu bergaduh dengan budak-budak kampung yang lain, nanti kesian nenek. Orang kampung selalu datang rumah, marah-marah nenek tiap kali dia balas balik apa yang budak-budak kampung buat dekat dia.
Natikah tidak mahu menangis lagi. Hari-hari dia dicaci, dihina dan diludah. Dia tidak tahu mana hala hendak dituju lagi. Bukan setakat dengan budak-budak yang sebaya dengannya, tapi dengan orang-orang tua pun dia dimaki. Kadang-kadang, dia tidak tahu puncanya apabila tiba-tiba penampar hinggap di pipinya.
Lima belas minit yang lepas, sebelum Natikah berlari sekuat hati masuk bersembunyi di dalam semak hutan pokok kopi. Budak-budak kampung yang sebaya dengannya telah mengejarnya dengan kayu, pelepah pinang, batang pokok keladi, dan macam-macam lagi. Ada dua kali Natikah kena libas dengan pelepah pinang di belakang badannya. Sedang lari sekuat hati sambil menjerit menangis, dia berselisih dengan Budin yang baru balik dari beli cucur udang dengan ais sirap.
“Abang Budinnnnnn...abang Budinnnnnn! Tolong Tikaaaaaa...” Natikah berlari sambi menangis dan menjerit minta tolong pada Budin yang sedang mengayuh basikal.
“Sini...sini...mai sini cepat...” pekik Budin sambil menggamit tangan pada Natikah.
“Abang Budinnnnnnn......” Natikah berlari sekuat hati sambil menangis menuju ke arah Budin.
Pangggg!!!...satu penampar hinggap di pipi gebu yang sudah kotor dengan pasir dan tanah. Berdesing telinga Natikah bila tapak tangan Budin hinggap melekat di pipinya dekat dengan telinganya. Natikah terduduk ke tanah disebabkan terlalu kuat penampar Budin. Dia meraung sekuat hati sambil menggosok-gosok pipinya yang semakin kelihatan merahnya. Tidak cukup dengan penampar, Budin mencurah pula kuah cucur udang ke atas kepala Natikah. Ditambah dengan tuangan air sirap sebagai susulan. Budak-budak yang mengejarnya tadi berkumpul mengepung Natikah sambil ketawa terbahak-bahak melihat keadaan Natikah. Budin pun turut ketawa dan terus pergi tinggalkan Natikah yang sedang dipukul oleh budak-budak kampung. Sambil memukul, mereka semua berteriak dan mengejek Natikah.
“Tulang! Tulang! Tulang! Muka macam belalang!” Teriak budak-budak kampung kepada Natikah.
“Aku Natikah! bukan Tulang!” jerit Natikah.
“Tulang! Tulang! Tulang! Muka belalang, bapak jembalang!” Budak-budak kampung terus mengejek Natikah.
Habis calar balar badan Natikah. Dia tidak berani keluar dari hutan pokok kopi tersebut. Biarlah dia digigit nyamuk pun tidak mengapa. Masih terngiang-ngiang dalam telinganya suara budak-budak kampung yang mengejeknya. Natikah tidak sedar, ada sepasang mata sedang memerhatinya dari celah-celah semak hutan pokok kopi tersebut.
= = = = = = = = = = = = = = = = = = =
-LAPAN TAHUN DAHULU-
-NATIKAH BARU DILAHIRKAN-
-TAHUN 1976-
Siapa tidak kenal dengan Asan Naga? Kaki pukul, kaki peras ugut, kaki perosak harta benda orang. Di mana ada Asan Naga, di situ pasti terjadi kekecohan. Sudah berapa orang tumbang dan tersungkur ke tanah bila kena penumbuknya. Tiap-tiap hari, pasti ada yang menjadi mangsa peras ugutnya, orang-orang kampung di situ. Barang-barang jualan orang kampung diambilnya sesuka hati.
Tidak kira tua atau muda, kecil atau besar, kalau melawan, penyakit pasti dapat. Sebut sahaja nama Asan Naga, ramai yang kecut perut. Hidup Asan Naga selalu ditakuti orang. Ramai juga yang bercadang hendak tumbangkan Asan Naga, tetapi tiada sesiapa yang berani. Din Boyan pernah sekali bawa geng dari kongsi Indon, berselerak habis Madura dekat tebing parit di belakang rumahnya. Din Boyan sendiri masuk ICU dekat sebulan. Hendak buat aduan dekat polis? Polis tidak dapat buat apa-apa, Asan Naga licik dan pandai memutar belit fakta.
Sepandai-pandai tupai melompat, akhirnya jatuh ke tanah juga. Mayat Asan Naga ditemui di dalam loji kumuhan. Mayatnya dibiarkan di situ hingga reput. Akhirnya, pihak polis yang uruskan semua urusan pengebumian jenazah Asan Naga. Kematian Asan Naga selepas sebulan isterinya melahirkan Natikah pada 29 Februari 1976.
= = = = = = =
-TAHUN 1984-
-KAMPUNG TOK TUKANG, KEDAH-
Sudah seminggu kecoh dengan kehilangan Natikah dan kematian Budin di dalam kebun getah Pak Ndak Ad. Mayat Budin dijumpai dalam keadaan ngeri, perutnya tercucuk dengan tunggul pokok getah dan dahan di tunggul tersebut tercucuk masuk ke batang lehernya. Biji mata arwah Budin hilang kedua-dua belah. Kedua-dua belah tangan Budin hanya tinggal tulang, isi dan kulitnya seperti dibaham dengan binatang buas.
Penghulu kampung Tok Tukang pening kepala. Sebelum kejadian Natikah hilang dan Budin mati, sudah ada dua tiga kejadian yang melibatkan budak-budak kampung kehilangan nyawa. Sham, umur 6 tahun, dijumpai mati lemas dalam perigi rumah Non. Perut budak 6 tahun itu tercucuk pada besi yang ada di dalam perigi tersebut. Alisa, umur 5 tahun, mati dihempap pokok getah. Muka hancur tercucuk dahan pokok getah yang tumbang itu. Karlia, umur 7 tahun, mati diseret lori simen ketika balik dari sekolah. Badannya hanya tinggal tulang, isi dan kulit hancur dan bertaburan atas jalan. Apa yang peliknya, budak-budak yang sudah menemui ajal itu, semuanya di lahirkan pada 28 Februari. Sama juga dengan Budin, tarikh lahir pada 28 Februari juga.
-KEDAI KOPI TUKANG-
-28 FEBRUARI 1984-
Sani menepuk-nepuk meja beberapa kali. Marah betul dia disebabkan kematian kawan rapatnya, si Budin. Habis dimaki hamunnya, tumpah air di atas meja. Masing-masing ada tuduh menuduh. Namun, tidak seorang pun yang perasan ada sepasang mata yang memerhati mereka.
“Kurang ajaq betoi la setan tu! Dapat kat aku...aku cincang lumat-lumat,” kata Sani dengan marah.
“Hang nak cincang sapa Sani? kita bukan tau sapa buat,” Samad bersuara sambil mengunyah karipap.
“Hangpa semua penakut! Pi balik gantung benda tu dalam almari la!” Marah Sani.
“Hang tok sah sombong sangat Sani. Budin baru pi ja, hang nak ikut dia ka?” usik Seleman.
“Hang kurang ajaq dengan aku Seleman! Hang nak mampus dengan aku ka apa!?” Marah Sani sambil terus menerkam ke arah Seleman.
Nasib baik dua tiga orang lagi dalam kedai itu ada untuk meleraikan pergaduhan. Sepasang mata yang asyik memandang gelagat mereka dekat kedai kopi itu dari tadi, sudah mula nampak gigi. Dia macam tersenyum puas.
“Kat sini ada jual mi goreng tak?” Tanya seorang perempuan yang sedang berdiri di tepi motor Sani.
“Ada... ada...” cepat sahaja Sani menjawab.
Semua mata tertumpu pada perempuan cantik berbaju kurung warna merah berbunga kecil-kecil warna hitam. Semua mata tidak mahu lepas dari terus memandang perempuan itu.
“Jangan la semua tengok saya macam tu... malu la.” Kata perempuan itu sambil tersenyum.
“Awak duduk kat mana? Saya tak pernah nampak awak pun.” Sani mula masuk umpan.
“Saya dari KL, datang sini rumah mak cik,” jawab perempuan itu sambil tersenyum.
“Ohooo... orang KL la ni. Bagusnya, datang melawat makcik.” Sani tambah sikit lagi penyedap.
“Esok abang semua datang la rumah makcik saya. Esok hari jadi saya tau.” perempuan itu terus tersenyum.
“Wahhh... makan sedap la kami esok. Awak yang masak ke?” tanya Samad.
“Mesti la saya masak. Sup tulang ada… daging kisar pun ada. Saya masak lemak berkrim,” kata perempuan itu sambil tersenyum.
“Pukul berapa?” Tanya Sani.
“Datang la malam. Sejuk sikit... abang boleh tolong hantar saya tak?” Perempuan tu bersuara manja.
“Bolehhhhhhhhhh... ” jawab Sani.
= = = = = = = =
-TAHUN 2004-
-DI DALAM KERETAPI-
-28 FEBRUARI 2004-
Gadis manis kecil molek, rugged masih tidak peduli tentang orang sekeliling. Masih dengan headphone di telinga. Orang yang lalu lalang kadang-kadang mencebek bibir melihat gadis rugged itu terangguk-angguk kepala mengikut rentak muzik yang dia dengar. Keretapi terus meluncur laju di dalam terowong gelap. Waktu itu hanya dapat lihat cahaya malap dari lampu kecemasan.
“Dah jumpa ke orang tu?” Mulut gadis tu bergerak macam bertanya pada seseorang.
“Dia ada, tapi biarkan dulu,” tiba-tiba ada seorang lagi yang sama macam dia menjawab. Duduk di hadapannya.
“Nanti lambat terlepas.” Mulutnya bergerak-gerak sambil tersenyum.
= = = = = = = =
-TAHUN 1984-
-MALAM HARI LAHIR-
-29 FEBRUARI 1984-
“Jangan risau... perempuan tu mesti masak lebih,” kata Seleman.
“Sampai-sampai tinggal bekas, baru padan muka,” kata Samad pula.
“Hang ada nampak Sani tak?” Tanya Seleman.
“Aku rasa dia dah pi dulu la. Kelmarin kan dia yang pi hantaq perempuan tu,” jawab Samad.
“Takut kita tumpang kacau perempuan tu la kot,” kata Nayan yang dari tadi diam di belakang.
“Awat tak sampai lagi ni? Rasanya perempuan tu habaq kelmarin, dekat-dekat sini ja,” kata Samad.
“Wey... Wey… tengok tu.” Suara Seleman macam menahan ketakutan.
= = = = = = = = =
-TAHUN 2004-
-DALAM KERETA API-
-28 FEBRUARI 2004-
“Nak tengok apa? Kau nak tunggu dulu kan?” Tanya gadis manis rugged itu.
“Benda ni tak boleh kelam kabut. Bertenang...” kata gadis yang serupa dengannya.
“Nak tunggu apa lagi? Peluang dah ada depan mata.”
Sekelip mata, terdengar suara satu keluarga yang duduk di kerusi sebelah gadis manis rugged itu menjerit. Kereta api terus laju meluncur di atas relnya keluar dari terowong gelap. Keadaan sudah cerah. Tapi suasana dalam kereta api menjadi kecoh.
Tiga gerabak kelas ekonomi menjadi kecoh serentak. Ada orang terjerit-jerit, yang berlari ke sana sini pun ramai. Kakitangan KTM yang bertugas di dalam keretapi masa itu jadi kelam-kabut. Gadis manis rugged itu masih terangguk-angguk kepalanya mendengar lagu dengan headphone. Dia tidak mahu ambil peduli apa yang sedang berlaku. Seorang lelaki di satu gerabak dengan gadis tersebut telah tercucuk garfu di lehernya, dua biji matanya hilang dicungkil oleh sesuatu. Darah merah pekat kehitaman penuh di keliling tempat lelaki itu duduk. Suara lelaki itu macam sudah hilang, sebab kuat meraung kesakitan. Isi dan kulit di betisnya hilang, yang tinggal cuma nampak tulang sahaja. Ada sepasang mata merenung tajam melihat kejadian tersebut sambil nampak giginya yang menyeringai.
Di gerabak yang lain, mata itu terus menyaksikan kenikmatan jiwanya bila ada seorang perempuan sedang mengelupur macam ayam yang disembelih. Wajah perempuan itu sudah separuh biru. Tidak ada seorang pun yang nampak seorang gadis cantik sedang meramas-ramas batang leher perempuan tersebut. Perempuan itu tidak dapat bernafas terus. Kedua-dua belah kakinya nampak isi dan kulit hilang. Seperti dibaham sesuatu. Tidak ada seorang pun yang nampak ada makhluk hodoh sedang menyangkung di celah kelangkang perempuan tersebut sambil mengoyak isi dan kulit kaki perempuan tersebut dan meratah dengan pelahap. Jeritan dan raungan mengerikan semua penumpang keretapi tersebut.
“Dah ke? Berapa orang yang dapat?” kepalanya terus terangguk-angguk.
“Tiga orang. Kena cari lagi dua.” jawabnya pendek sambil duduk tertunduk.
“Nenek mana?” matanya terus terpejam sambil mendengar lagu.
“Makan.” kepalanya terus tertunduk.
Gerabak yang satu lagi, seorang lelaki sudah kaku satu badan. Mulutnya berbuih bercampur dengan darah. Lidahnya terjulur keluar panjang dengan membengkak. Penumpang di gerabak tersebut berkerumun melihat kejadian ngeri yang tidak di sangka-sangka berlaku di depan mata. Keretapi hampir tiba di stesen berikutnya. Suasana kecoh masih berlaku di dalam keretapi yang sedang meluncur laju. Jam sudah menunjuk ke pukul 10.30 pagi. Tidak ada siapa-siapa yang sedar makhluk puaka itu masih enak menyedut darah yang keluar dari mulut lelaki tersebut. Lidah lelaki tersebut sudah kelihatan hancur di mamah lumat oleh makhluk tersebut.
= = = = = = = = =
-TAHUN 1984-
-MALAM HARI LAHIR-
-29 FEBRUARI 1984-
Seleman sudah mengeletar, badan menggigil sampai terkencing. Samad, Nayan dan dua orang lagi kawan mereka terpinga-pinga tidak tahu apa yang Seleman nampak. Seleman sudah terduduk ke tanah. Mukanya berpeluh-peluh, baju basah lencun dengan peluh. Ada dua biji mata merah sedang merenung ke arah mereka berlima.
“Wey... aku nak balik wey... jom la patah balik,” kata Seleman.
“Awat dengan hang ni, Seleman? Hang nampak apa?” tanya Nayan yang tidak berpuas hati sebab Seleman ajak patah balik.
“Kita dah nak sampai ni... hang pi balik sorang! Kami nak pi makan masakan perempuan tu,” kata Samad.
“Jangan cari penyakit wey... jom balik la.” kata Seleman lagi.
Seleman terus pusing ke belakang hendak lari patah balik. Belum sempat hendak susun langkah pertama, satu batang buluh runcing sebesar lengan tangan telah melayang menikam leher Seleman dari belakang. Seleman jatuh tersungkur dan mukanya tersembam ke tunggul kayu. Muka Seleman hancur. Samad, Nayan dan dua orang lagi kawan mereka mula kecut perut. Mereka tercari-cari dari mana datangnya buluh runcing tadi. Tiba-tiba satu benda melayang dari atas pokok jatuh betul-betul depan mereka. Rupanya mayat si Sani, muka sudah hilang isi dan kulit sebelah. Badan sudah hancur, tinggal tulang. Tinggal mereka berempat di situ dalam ketakutan. Mereka berempat dengan pantas berpecah melarikan diri.
Samad lari ke arah paya kampung Tok Tukang. Dalam ketakutan Samad menjerit meminta tolong, tetapi tidak ada sesiapa yang mendengar. Masa itu baru dia dapat rasa perasaan Natikah bila dikejar orang, takut kena pukul. Tapi masa Natikah sedang dikejar dengan budak-budak kampung, Samad tengok sahaja sambil ketawa berdekah-dekah. Malam itu masa dia pula, tapi dia tidak sempat lari jauh... kakinya tersadung akar pokok dan dia terhoyong-hayang kemudian kepalanya menjulur masuk di celah-celah pokok yang bercabang. Lehernya terhentak di celah-celah pokok tersebut... lidah terkeluar. Ada mata yang sedang menyaksikan kejadian itu. Dia tersenyum dan terus ketawa mengilai.
Nayan lari ke arah loji kumuhan. Dia pun pernah nampak Natikah dikejar oleh budak-budak kampung, dia cuma tengok dan ketawa bila Natikah dilibas dengan pelepah pinang di belakang. Baru dia tahu perasaan Natikah masa itu. Dia berlari sekuat hati sambil meminta tolong, suara ketawa mengilai makin dekat di atas kepalanya. Dia pusing toleh ke belakang, nampak mahkluk hodoh menyeramkan melayang di atas kepalanya sambil ketawa mengilai. Nayan ketakutan sampai tidak sedar dia berlari melintas jalan besar. Sebuah lori membawa simen konkrit telah merempuh Nayan. Nayan terpelanting dan terperosok di rumpun buluh. Belakangnya tertikam dengan buluh. Lehernya pun tertikam dengan buluh, darah merah pekat tersembur penuh di batang buluh. Kemudian nampak ada makhluk menyangkung dekat dengan mayat Nayan, dengan berselera dia meratah daging Nayan.
Lagi dua orang, Elias dan Samsir berlari menuju ke arah rumah pam. Tenaga sudah makin letih, masing-masing termengah-mengah. Bunyi ketawa mengilai makin dekat. Mereka berdua terus berlari selaju yang boleh. Tapi makin lama mereka berdua sudah hilang daya. Elias dengan Samsir keletihan dan terus duduk di sebatang pokok. Tiba-tiba mereka berdua terasa pedih di leher, belum sempat berbuat apa-apa kepala mereka jatuh tergolek ke tanah. Kemudian dengar suara ketawa mengilai yang panjang. Sepasang mata yang merah nampak melayang ke atas pucuk pokok langsat sambil bibirnya mengukir senyuman yang puas.
= = = = = = = = =
-TAHUN 2004-
-MALAM HARI LAHIR-
-29 FEBRUARI 2004-
Malam yang indah sekali, angin bertiup berlagu gembira. Bulan terang bagai tumpang gembira dengan majlis sambutan hari lahir anak Dato' Kadamaswi. Perhiasan yang cantik-cantik dapat dilihat digantung dan ditampal di rumah banglo mewah itu. Lampu-lampu semua terpasang indah. Ramai tetamu di jemput, tidak kira yang berpangkat atau tidak, yang berpengaruh atau tidak. Dato' dan Datin, datuk dan nenek semua dijemput untuk meraikan Majlis Hari Lahir Puteri Mustieka.
Beraneka juadah yang enak-enak telah tersedia, cuma tunggu tetamu datang sahaja. Pentas pun telah di sediakan pada siapa-siapa yang berminat untuk menyanyi. Di dalam bilik nampak Puteri Mustieka sedang bersiap dengan baju kurung merah bercorak bunga hitam. Dia tidak suka berdandan lebih-lebih. Wajahnya pun disolek cuma ala kadar. Ibunya Datin Sabarina sekejap-sekejap mengetuk pintu bilik.
“Puteriiiiiiiii... dah siap ke belum?” Tanya Datin Sabarina.
“Belum buuu... kejap ye,” jawab Puteri Mustieka.
“Tetamu dah nak sampai tu. Cepat sikit Puteriii...” Datin Sabarina bersuara lagi.
“Ya buuuu...kejappp,” jawab Puteri Mustieka.
Di halaman rumah banglo tersebut tetamu sudah mula penuh. Berbagai bentuk hadiah dibawa mereka. Bunyi nyanyian lagu 'HAPPY BIRTHDAY' datang dari atas pentas, seorang penyanyi perempuan sedang menari dan menyanyi. Di tempat duduk mula dipenuhi tetamu. Di buffet pun budak-budak catering mula sibuk kesana kesini melayan tetamu Dato' Kadamaswi.
Kek lima tingkat dikeluarkan, pelahan-lahan ditolak keluar oleh seorang gadis cantik bergaun putih... persis seorang puteri. Kek yang dilapis dengan puluhan perisa aiskrim menjadi tumpuan semua tetamu. Begitu juga dengan paras rupa gadis kek tersebut. Semua mata pemuda di majlis itu tidak mahu lepaskan peluang untuk melekat di seluruh tubuh mongel gadis kek tersebut.
Lima belas minit kemudian, nampak Puteri Mustieka keluar hanya berbaju kurung. Semua tetamu terkejut, tetapi nyanyian lagu 'HAPPY BIRTHDAY' sekali lagi dinyanyikan beramai-ramai. Habis lagu dinyanyikan, semua tetamu bertepuk tangan. Tetamu semua mula sambung menjamu selera. Sepasang mata merah mula merenung tajam pada tetamu.
Tiba-tiba, ada benda jatuh dari tingkat atas banglo Dato' Kadamaswi. Benda itu jatuh di atas kek, berterabur habis kek. Tetamu yang sedang menjamu selera bertempiaran lari. Rupanya kepala seorang lelaki, dengan lidah terjelir keluar nampak di dalam kek. Belum sempat untuk berbuat sesuatu, sekali lagi ada benda jatuh. Lagi besar, rupanya badan tanpa kepala.
Tetamu Dato' Kadamaswi habis lari bertempiaran, juadah semua berterabur. Bunyi jeritan tetamu-tetamu tidak terkawal. Gadis yang berpakaian gaun putih tadi hilang tidak tahu kemana. Puteri Mustieka lari masuk dalam bilik, matanya tajam merenung t-shirt yang dipakainya kelmarin. T-Shirt hitam bergambar kumpulan rock Bulldozer masih tergantung di almari.
“Kenapa? Kau menyesal ke tolong aku?” Tanya gadis gaun putih.
“Kau pun banyak tolong aku,” jawab Puteri.
“Habis tu, sekarang macam mana? Nenek tu cuma nak tolong kita,” kata gadis gaun putih.
“Aku tau, kita sama-sama rasa keperitan tu. Dari kecil maruah aku di pijak-pijak,” kata Puteri.
“Habis tu? Kau tak setuju dengan apa yang kita buat selama ni?” Tanya gadis gaun putih.
“Kau pun tau kan dulu bertapa peritnya hidup aku. Sampailah nenek yang kutip aku dari dalam semak hutan pokok kopi kampung Tok Tukang. Kau pun ada dengan nenek masa tu,” cerita Puteri.
“Aku tau semua tu Tika. Semua orang panggil kau Tulang. Aku yang selalu nampak kau masa tu,” balas gadis gaun putih.
“Tapi, kenapa nenek serahkan aku kat Dato' Kadamaswi?” Natikah(Puteri) bersuara sayu.
“Sebab nenek tak nak hidup kau menderita lagi. Dato' Kadamaswi tu sendiri yang minta kau dari nenek. Dia suka kau sebab kau lahir pada 29 Februari. Sama dengan dia, sama juga dengan Datin Sabarina,” jawab gadis gaun putih.
“Habis, pembunuhan yang kita tolong nenek selama ni?” tanya Natikah.
“Sebenarnya, semua ini perancangan Dato' dengan Datin sendiri. Mereka cukup benci pada mereka yang lahir pada 28 Februari dengan yang lahir pada 1 Mac. Sebab mereka-mereka ini pernah memperolokkan orang yang lahir pada 29 Februari,” cerita gadis gaun putih.
“Aku tak faham la,” kata Natikah.
“Dengar sini, aku nak bagi kau faham. 28 Februari tiap-tiap tahun ada dalam kalendar, jadi orang yang lahir pada 28 Februari dapat sambut hari jadi tiap-tiap tahun. 29 Februari ada dalam kalendar hanya empat tahun sekali, jadi mereka yang lahir pada 29 Februari hanya dapat sambut hari jadi empat tahun sekali sahaja.” cerita gadis gaun putih.
“Yang lahir pada 1 Mac pulak?” tanya Natikah.
“Mereka yang lahir pada 1 Mac akan sambut hari jadi cepat satu hari tiap-tiap tiga tahun.” cerita gadis gaun putih sambil tersenyum pada Natikah.
“Kenapa Dato' dengan Datin marah sangat sampai membunuh?” tanya Natikah.
“Pada zaman Dato' dengan Datin kecil-kecil dulu, orang-orang tua dulu menganggap 29 Februari ni tarikh tidak menguntungkan. Jadi anak-anak yang dilahirkan pada tarikh tersebut dianggap sial oleh sesetengah orang kampung. Jadi, dalam proses diorang membesar... mereka rasa terhina bila dianggap sial. Kawan-kawan sebaya selalu mengejek diorang. Macam yang kau kena masa kecil-kecil dulu,” cerita gadis gaun putih.
“Macam mana kau tau semua cerita pasal Dato' dengan Datin?” Tanya Natikah.
“Kalau kau nak tau sangat... aku dengan nenek ni sebenarnya Saka keturunan Dato' Kadamaswi.” Gadis gaun putih tersenyum.
“Betul ke ni?” Natikah bertanya lagi. Tapi gadis gaun putih itu hilang tiba-tiba.
-TAMAT-
Suntingan: Gongpal Topek
Karya adalah hakcipta penulis dan Arkib Angker Negara. Sebarang perbuatan plagiat adalah dikecam.
Sekiranya anda ada karya yang ingin dikongsi, emailkan kepada kami dalam bentuk Microsoft Word di:
aanrc2017@gmail.com
Kami akan menyunting karya anda untuk siaran di Arkib Angker Negara. Sila nyatakan pautan profil FB, Blog atau lain-lain sosial media anda untuk tujuan pengkreditan.
No comments:
Post a Comment