SYMBIOSIS - AKHIR
Karya : Suhana Azman @ Suhana Mat Lazim
==============
Gesekan biola irama klasik Itali dari komposer terkenal Antonio Lucio Vivaldi bergema disetiap ruang bilik bawah tanah. Irama klasik itu datangnya dari handphone milik Isaac. Kelihatan Isaac sedang menggoyangkan kepalanya mengikut irama klasik itu. Tangannya juga turut dihayunkan mengikut irama tersebut lagak seperti seorang conductor muzik.
Fiona yang kelihatan lemah hanya memandang sepi tanpa mampu berkata apa-apa. Seluruh tubuhnya menjadi kebas disebabkan terlalu lama duduk di kerusi besi itu, malah dengan kehilangan darah yang banyak memburukkan lagi keadaannya. Dia sendiri tidak pasti apa yang menantinya selepas ini. Untuk mengangkat sedikit kepala pun dia tidak terdaya, inikan pula untuk cuba melarikan diri. Sungguh! Dia benar-benar tidak mampu! Kudratnya terlalu lemah untuk bergerak.
"Fiona! Jangan lelap!" Jerkah Isaac.
"Kenapa....? Aku sakit, aku tak mampu nak buka mata......" Nada suara Fiona semakin lemah. Cuba untuk dirinya menggagahkan diri untuk terus berjaga, namun tetap tidak mampu.
"Aku nak kau tunggu bekas kekasih kau datang! Aku nak bunuh kau depan mata dia! Aku nak kerat kepala kau dengan chainsaw ni di depan mata dia!" Terang Isaac dengan suara yang agak keras.
Gesekkan biola irama klasik Vivaldi masih lagi bergema di ruang bilik yang sempit itu. Isaac masih meneruskan hayunan tangannya bagai seorang conductor muzik. Matanya mula dipejamkan, penuh penghayatan. Fiona yang terduduk lesu di tepi dinding hanya dibiarkan. Langsung tidak dipedulikan.
Tiba-tiba saat dia sedang leka mendengar lantunan bunyi biola itu Isaac terdengar derapan tapak kaki seseorang seakan sedang menuruni anak tangga kayu bilik bawah tanah betul-betul terletak di belakangnya. Hanya berjarak dua meter di mana dia sedang berdiri.
Isaac menoleh! Dalam samar-samar suasana di dalam bilik bawah tanah itu terlihat seorang lelaki yang paling dinanti-nanti muncul di hadapannya.
"Detective Wyatt. Selamat datang....." Isaac tersenyum sinis. Kemudian dia menunduk seperti seorang penyanyi yang sudah menamatkan persembahan muziknya.
"Fiona, aku terpaksa berhentikan lagu klasik Antonio Lucio Vivaldi kegemaran kau ni! Memandangkan hero kesayangan kau dah sampai...." Lalu muzik di handphonenya terus dimatikan sambil matanya melirik je arah Fiona.
"Aku tak sangka Isaac! Kau rupa-rupanya Immortal Serial Killer tu! Tapi, aku tak faham! Kau selalu cerita mengenai mimpi mangsa-mangsa tu. Malah kau sendiri beritahu yang kau mimpikan Thomas yang akan menjadi mangsa seterusnya. Habis tu siapa lelaki yang bermata hijau yang kau nampak dalam mimpi tu? Bukankah kau kata dia adalah pembunuh bersiri tu?" Wyatt mula mempersoalkan atas kewajaran mimpi-mimpi yang Isaac alami.
Mendengar kata-kata dari Wyatt itu, Isaac tersenyum lagi. Kali ini senyumannya lebih kepada satu ejekan. Namun tanpa menyambut kembali kata-kata dari Wyatt itu, kedua-dua tangannya terus memegang kelopak matanya seperti ingin menanggalkan kanta lekap yang berada di retina matanya. Ya, Isaac benar-benar sedang menanggalkan kanta lekap coklat yang sedang dipakainya! Selepas kedua-dua kanta lekap coklat itu ditanggalkan maka terserlahlah warna mata Isaac yang sebenar.
"Jadi selama ni kau pakai kanta lekap?! Tak sangka aku! Sebenarnya aku dipermainkan kau!!" Wyatt terkejut saat Isaac menunjukkan warna sebenar matanya. Hijau!
"Terkejut! Tak apa lepas ni lebih banyak lagi kejutan yang akan kau tahu. Tapi sebenarnya aku nak kau tahu, kau sebenarnya dalam permainan ciptaan aku Wyatt. Sudah lama aku cipta permainan ni khas untuk kau. Bertahun aku rancang semua ni! Sebenarnya dalam pandai kau pun ada juga bodohnya! Engkau adalah serigala, tapi kau sendiri tak dapat hidu musuh di kau depan mata! Bukan ke bodoh namanya tu?! Apa gunanya kau jadi detective kalau pembunuh bersiri yang dicari-cari pun kau tak dapat tangkap! Hahahaha!!! Bodoh!!!" Jerkah Isaac sehingga terbeliak matanya memandang Wyatt seolah-olah menahan geram.
Gelak Isaac yang kuat itu menambahkan geram dihati Wyatt.
"Kalau kau benci sangat dengan aku, walaupun aku sendiri tak tahu apa sebenarnya salah aku, tapi aku mohon pada kau tolonglah lepaskan Fiona. Tolonglah. Dia tak bersalah..." Wyatt merayu bersungguh-sungguh minta Fiona dilepaskan. Walaupun dia sendiri tahu mungkin Isaac tidak akan melayan permintaannya itu.
Sebaik sahaja Wyatt bersuara, terus sahaja Isaac meluru ke arah meja berhampiran dengan tangga kayu. Satu fail kuning diambil di atas meja berkenaan. Lalu dicampak terus ke arah Wyatt. Sungguh pun begitu tidak sempat untuk Wyatt menyambut fail kuning itu sehingga berterabur beberapa helaian kertas di dalam fail kuning tersebut. Tetapi Wyatt tidak segera mahu mengambil kertas-kertas yang berterabur di hadapannya itu. Hanya dilihat dengan pandangan matanya sahaja.
"Kau nak tahu apa sebabnya! Betul kau nak tahu! Kau dan bapak kaulah pembunuh keluarga aku!" Bentak Isaac sambil menuduh Wyatt.
"Huh! Apa! Kau kata aku dan bapak aku bunuh keluarga kau! Apa yang kau mengarut ni! Bila masa pulak aku dan bapak aku jadi pembunuh?! Kertas di dalam fail yang kau lempar dekat aku ni, kertas apa?!" Marah Wyatt.
"Sebenarnya itulah bukti segala kerja kotor bapa kau pada bapa aku! Mereka pernah menjadi sahabat baik. Sahabat baik! Kau dengar betul-betul, SAHABAT BAIK!!! Pada tahun 2014 mereka telah menubuhkan satu syarikat bersama, dimana mereka menjadi rakan kongsi. Tetapi bapa aku sudah banyak melabur dalam syarikat tu. Banyak! Duit simpanan mommy dan dia habis dilaburkan untuk syarikat kecik tu! Dia menganggap syarikat tu seperti darah dagingnya sendiri. Tetapi disebabkan ketamakkan bapa kau, yang telah mempergunakan nama syarikat atas kepentingan sendiri! Melabur sana, melabur sini guna duit syarikat tanpa pengetahuan bapak aku! Bila dah labur, lepas tu rugi. Bila dah rugi, mulalah pinjam sana sini! Atas nama syarikat bapa kau guna! Sehingga duit modal pun bapa kau kikis! Joli dengan perempuan guna duit syarikat! Sampai bapa aku kena saman berjuta dolar disebabkan bapa kau telah memalsukan cek menggunakan tandangan bapa aku dan juga kerana gagal membayar hutang! Cuba kau lihat di bawah kaki kau tu, ada surat di dalam fail tu!" Jerkah Isaac dalam keadaan diri yang tidak tenang.
Lalu Wyatt mengambil surat yang berada dibawah kakinya. Dibuka dan dibaca. Pada setiap baris dan juga disetiap perenggan di dalam surat itu dibaca dengan penuh emosi. Ada sedikit genangan air jernih ditubir matanya. Namun sebaik habis membaca surat itu, Wyatt akur akan kebenaran kata-kata Isaac itu. Akur dengan setiap perkataan yang penuh emosi di dalam surat itu. Akur dengan sebuah kenyataan yang baru diketahui. Kekayaan bapanya adalah atas air mata insan lain.
"Bapa aku kecewa Wyatt! Dia benar-benar percaya dengan bapa kau! Sepanjang menjadi rakan kongsi, rupa-rupanya bapa kau sudah buka syarikat lain dalam bidang yang sama. Kebanyakkan pembekal semuanya pergi ke syarikat bapa kau. Ini bermakna bapa kau hanya menganggap syarikat usahasama antara dia dan bapa aku hanyalah topeng semata-mata. Bapa kau pergunakan bapa aku demi mengaut untung lebih! Dia pindahkan kebanyakkan kontrak syarikat bapa aku kepada syarikat yang baru ditubuhnya tanpa pengetahuan bapa aku! Kereta yang Bentley Continental GT3 keluaran tahun 2018 tu sepatutnya menjadi milik bapa aku! Itu adalah kereta idamannya yang pernah diberitahu pada aku. Dia kata, dia akan beri kereta tu pada aku bila aku dah besar......" nafas Isaac mula tersekat-sekat dan nada suaranya mendatar saat menceritakan semula kisah lalu. Peristiwa hitam hingga membuatnya menjadi kejam!
"Kau ingat lagi aku pernah beritahu kau yang aku mimpikan nenek aku dan ada sepucuk surat ditangannya. Ya, itulah suratnya. Surat yang kau baca tadi! Nenek aku dah tulis segala-galanya di dalam surat tu sebelum dia mati! Dari situlah bermulanya dendam aku! Kau dan keluarga kau bersenang lenang dengan hasil titik peluh bapa aku!"
Kemudian Isaac berjalan perlahan-lahan ke arah meja dimana chainsaw itu di letakkan. Lalu chainsaw itu diambil sambil membelek-belek bilahnya yang bergerigi tajam itu.
Wyatt mula mengundur sedikit ke belakang saat melihat Isaac sedang membelek gerigi chainsaw yang tajam itu. Sesekali matanya sempat melirik ke arah Fiona yang kelihatan seperti tidak bermaya. Lemah.
"SEBAB ITULAH MOMMY DAN ISSABELLE MATI DI BUNUH BAPA AKU!! KEMUDIAN BAPA AKU TEMBAK AKU DENGAN SENAPANG MILIKNYA! DAN AKHIRNYA DIA BUNUH DIRINYA SENDIRI BERSEBELAHAN DENGAN AKU! DIA TIDAK MAHU KAMI HIDUP SUSAH LAGI DI DUNIA NI! PADANYA MATI ADALAH LEBIH BAIK! ADILKAH BEGITU! ORANG LAIN YANG BUAT, KAMI YANG MENERIMA AKIBAT! KAU RASA TAK APA YANG AKU RASA WYATT!!! DISEBABKAN TEKANAN YANG BAPA AKU HADAPI, DIA TERPAKSA BUAT KEPUTUSAN NEKAD! KEPUTUSAN UNTUK BUNUH ANAK-ANAK DAN ISTERINYA! SEDANGKAN KAMI ADALAH KELUARGA BAHAGIA! TAPI DISEBABKAN BAPA KAU, KAMI MENERIMA AKIBATNYA!!!!"
Isaac menjerit bagaikan hilang punca di hadapan Wyatt. Fikirannya mula menggila kini.
"Disebabkan bapa kau dah mati, aku nak kau yang ganti. Kawan aku Balthazar dah lapar nak makan darah kau dan Fiona....." Isaac tersenyum sinis. Namun senyumannya ini lebih menakutkan.
"Balthazar....?" Soal Wyatt dalam sedikit hairan.
"Tu! Kat belakang kau....." sambil memuncungkan bibirnya menunjuk ke arah belakang tangga kayu itu.
Wyatt memaling kebelakang. Matanya tersorot disebalik tangga kayu itu. Samar. Dia cuba menajamkan lagi penglihatannya agar apa yang dilihatnya tidak tersilap pandang.
"Apa tu?!!"
Wyatt terperanjat! Terkejut yang teramat sangat! Seraya itu juga dia berundur setapak ke belakang lalu terjatuh hingga terduduk di atas lantai tanpa sengaja dek kerana tergamam melihat satu mahkluk yang tidak pernah dilihatnya. Menakutkan!
"Haaa, inilah salah satu kejutan yang aku nak cakap! Kenalkan, Balthazar....." Isaac tersenyum mengejek.
Berkepul-kepul mahkluk itu datang menghampiri Wyatt, makin lama semakin dekat. Wyatt mula mendongak kepalanya saat mahkluk itu semakin hampir dengannya. Ketinggian mahkluk itu melebihi dari ketinggiannya.
Sosok tegap mahkluk yang bernama Balthazar itu kini semakin jelas terlihat didepan mata. Mempunyai dua tanduk, matanya yang semerah saga serta gigi taringnya yang tajam meruncing mula menyeringai memandangnya dengan renungan yang tajam.
"Inilah mahkluk yang menumpang di dalam tubuh burung raven tu. Kini dia nak kembali kebentuk asal. Tetapi belum cukup syarat! Dia perlu menghirup darah dari leher sebanyak 45 orang! Kepala manusia yang baru lepas dipenggal! Segar! Setakat ini baru 44. Kalau campur dengan kepala Fiona, aku rasa cukuplah 45 orang! Lepas tu, tubuh kaulah yang jadi penggantinya! Itulah perjanjian yang aku dah buat dengan Balthazar selepas nenek aku mati dan meninggalkan sepucuk surat yang kau baca tu!"
Isaac merenung tepat ke mata Wyatt. Kini perasaan amarah yang tersimpan sekian lama semakin meluap-luap! Janjinya pada Balthazar perlu ditunaikan! Dia perlu melangsaikan dendam kesumatnya.
"Sampai hati kau bunuh Thomas. Bukan ke dia kawan kau. Dia percayakan kau sepenuhnya Isaac...." nada suara Wyatt semakin kendur. Bukan bermakna dia takut. Bukan juga bermakna dia mengalah tetapi kini dia sedang cuba berada di dalam situasi permainan ciptaan Isaac. Kekenduran suaranya itu sengaja dilakukan untuk mengaburi si pencipta permainan itu. Wyatt mahu Isaac merasakan dia sedang mengawalnya. Permainan psikologi sedang berjalan kini.
"Aku sengaja pergunakan dia! Memang aku bersalah padanya! Jangan kau nak ungkit lagi pasal Thomas! Sekarang aku nak kau tengok Fiona mati didepan kau!" Sambil Isaac bersiap sedia mahu menghidupkan chainsaw yang sudah tersedia ditangannya.
"Nanti! Nanti dulu! Bukan ke raven atau Balthazar tu hanya dalam mimpi kau. Bagaimana mahkluk itu boleh wujud?"
"Dia memang selalu muncul dalam mimpi aku! Sekarang dia nak darah! Bukan! Bukan! Semua mimpi-mimpi yang aku cerita tu semuanya rekaan aku! Aku saja reka, supaya kau percaya! Ya, ya, betul!" Isaac mencengkam rambutnya dengan sekuat hati seolah-olah keliru dengan jawapan yang diberi.
"Betul kau bunuh ke semua mangsa-mangsa tu dengan bantuan Balthazar?!!" Wyatt mula meninggikan suara. Kini dia dapat merasakan, permainan ciptaan Isaac sedang dalam kawalannya.
"Ya! Kenapa! Kau tak percaya? Kau tengoklah tu!!!" Isaac menunjuk ke arah dinding berhampiran tangga.
"Itu?! Cuba kau tengok betul-betul! Itu poster!! Kau tampal poster gambar syaitan merah bertanduk di dinding tu, lepas tu kau mengaku itu Balthazar! Wujud ke Balthazar tu Isaac?! Wujud ke?!!!"
Isaac terus menghempas chainsaw di tsngannya ke atas lantai sebaik mendengar kata-kata dari Wyatt itu! Otaknya semakin menggila saat mengimbas detik-detik kekejamannya terhadap mangsa-mangsa pembunuhannya.
"Isaac kau tak boleh lari lagi. Polis dan FBI sudah mengepung tempat ni. Serah diri. Sekali lagi aku pohon, serah diri!" Rayu Wyatt.
"Aku tahu. Memang ada polis berada di kawasan ni. Aku tahu, aku dah tak boleh lari lagi. Tapi, tak mengapalah! Sudah ku katakan pada Fiona tadi. Ini adalah perhitungan terakhir antara aku dan kau! Ini bermakna hanya seorang sahaja yang layak untuk hidup! Sama ada kau, ataupun aku!" Kata-kata Isaac itu umpama menyerah pada takdir.
Wyatt diam. Sesekali matanya mengerling ke arah tepi dinding itu. Bayangan Balthazar masih ada di situ. Wyatt sudah menduga. Saat Isaac sedang dalam kemarahan ataupun amarah dendamnya semakin meluap-luap, kepulan asap Balthazar semakin meninggi dan membesar. Namun apabila melihat ada sedikit kekenduran pada diri Isaac sebentar tadi, kepulan asap Balthazar itu mula mengecil. Sungguh pun mengecil tetapi ia sedikit pun tidak pecah ataupun hilang. Ia tetap terapung dan statik di situ. Ya, itulah permainan psikologi yang sedang Wyatt cuba lakukan tanpa Isaac sedari. Sengaja dia mengatakan kepulan asap Balthazar itu adalah poster! Cuba untuk menguji sebanyak mana kekuatan tenaga Balthazar yang berada dalam tubuh Isaac. Bagaimana untuk menghapuskan simbiosis yang semakin sukar untuk dipisahkan? Melainkan......
"Mati!" Bisik Wyatt.
Isaac mencapai chainsaw yang berada di lantai. Lalu chainsaw itu dihidupkan. Maka bunyian chainsaw itu memecah suasana didalam bilik bawah tanah itu. Sungguh membingitkan!
Fiona terjaga! Terkejut mendengar deruman enjin chainsaw itu. Tubuhnya dipaksa untuk bangun. Mendengar deruman enjin chainsaw itu sudah cukup menggentarkannya. Sungguh pun lemah, dia cuba untuk melonggarkan ikatan tali pada tangannya. Namun, tidak berjaya. Dia mula memandang Wyatt.
"Wyatt!!!"
Wyatt memberi isyarat senyap pada Fiona. Dia tidak mahu suara Fiona itu mengganggu tumpuan Isaac kepada Fiona pula. Memandangkan kini tumpuan Isaac adalah dirinya. Mata bilah chainsaw kini tepat ke arahnya. Hanya berada dua meter jaraknya.
Sementara di bahagian atas rumah, detective Paul, ejen Rolland, ejen Clara dan beberapa anggota polis sudah siap sedia untuk turun. Hanya menunggu isyarat dari Wyatt sahaja.
"Wyatt! Serah diri! Jangan paksa aku untuk melakukannya!" Jerit Wyatt. Pistol yang terselit di belakangnya diambil berhati-hati.
Deruman enjin chainsaw mula membingitkan suasana. Nyaring dan hingar!
"Isaac! Tolong letak chainsaw tu!!!" Jerit Wyatt lagi dalam nada memaksa.
Isaac menggeleng. Tanda tidak mahu mengalah. Dia mula memejam mata. Dia dapat merasakan riwayat hidupnya akan tamat pada hari itu. Berpantang maut sebelum ajal!
"Bunuh dia Isaac! Bunuh dia!" Suara Balthazar mula kedengaran di cuping telinganya. Memaksa dirinya membunuh Wyatt dengan segera.
Kepulan asap Balthazar mula berlingkar di sekeliling mereka. Seakan cuba untuk mengawal fikiran Isaac yang semakin bercelaru. Balthazar mulai risau apabila mendapati dirinya semakin mengecil.
"Bunuh dia Isaac! Jangan biar dia pengaruhi fikiran mu Isaac! Ingat apa yang bapanya pernah lakukan dulu! Ingat perjanjian kita!!!" Mahkluk bernama Balthazar itu semakin gelisah. Ia mula mengelilingi mereka dengan tidak tentu arah.
Lalu tanpa berfikir panjang dan juga atas hasutan serta bisikan dari kepulan asap Balthazar itu, Isaac terus meluru ke arah Wyatt dengan menghalakan chainsaw ke arah Wyatt.
"Wyatt.....!!!!" Fiona menjerit! Takut Wyatt terkena mata bilah chainsaw itu.
Hanya beberapa langkah sahaja lagi mata bilah chainsaw itu mengenai Wyatt, picu pistol ditangannya ditarik lalu tembakan dilepaskan tepat mengenai dahi Isaac. Percikkan darah mula kelihatan di merata lantai dan juga dinding.
Detective Paul, ejen Rolland dan ejen Clara yang mendengar bunyi tembakan itu terus meluru turun ke bilik bawah tanah.
Deruman enjin chainsaw masih lagi berbunyi, sungguh pun orang yang sedang memegang chainsaw itu sudah terbaring kaku. Mati dengan matanya yang masih terbuka. Darah mula keluar dengan banyak dari lubang tembakan tepat di dahinya. Detective Paul yang sudah berada di tempat kejadian dengan segera mencapai chainsaw itu lalu menutup bunyinya.
Wyatt menarik nafas lega. Matanya tertumpu pada kepulan asap hitam Balthazar yang sedari tadi berlingkar mengelilinginya mulai lenyap sedikit demi sedikit lalu terus hilang....
"Paul, kau nampak tak tadi?" Soal Wyatt.
"Nampak apa?"
"Kepulan asap hitam tadi...." jelas Wyatt.
"Tak, aku tak nampak apa-apa pun sejak tadi." Jawab Paul sambil meliar matanya memandang sekeliling bilik itu.
Fiona yang terlalu lemah telah dipapah oleh ejen Clara.
"Ejen Clara, tak apa. Rasanya dia tak mampu nak berjalan. Biar saya dukung dia...." Pinta Wyatt sambil merenung Fiona. Fiona yang semakin lemah terus di dukungnya dengan kudrat yang ada.
Mata Fiona mulai terbuka perlahan. Renungan matanya yang redup itu tepat memandang wajah bekas kekasihnya itu. Dia tersenyum. Rasa tenang dan damai saat berada dalam dakapan insan itu. Insan yang pernah bertahta di hatinya.
Sementara itu sempat Wyatt memandang Isaac yang terbaring kaku di lantai itu dengan pandangan sayu. Perasaan kesal mula tumbuh dihatinya. Perlukah? Sedangkan banyak korban yang telah menjadi mangsa kepada dendam kesumat Isaac?
Namun apa yang pasti kerana dendam menjadikan Isaac begitu. Kejam! Tiada perikemanusiaan! Iblis yang bernama Balthazar itu mula mengambil kesempatan atas kisah hitam yang Isaac lalui. Isaac dan mahkluk itu bergantung antara satu sama lain demi mencapai matlamat bersama demi kepuasan diri.
-TAMAT-
===============
Suntingan & Gambar: Kucing Kelabu
Karya adalah hak milik penulis dan Arkib Angker Negara.
Anda ada kisah seram, komedi-seram, misteri, thriller ataupun mind-blowing? Apa kata anda kongsikan kisah anda kepada kami.
Hantar kisah anda ke inbox Arkib Angker Negara atau emelkan ke aanrc2017@gmail.com
Nyatakan sekali nama akaun Facebook, blog, Instagram, Twitter atau webpage anda untuk pengkreditan
No comments:
Post a Comment