Sunday, 4 February 2018

PADAH JARI BERBICARA - Ratika


PADAH JARI BERBICARA
karya Nukilan : Ratika

===============

‘Seorang Pelajar Tingkatan 6 ditemui mati tergantung di dalam stor asrama.’

Tajuk berita itu agak menarik perhatiannya. Lantas dia terus ke ruangan komen.

‘Tap..tap..tap..’

Jarinya pantas menekan huruf-huruf di skrin. Isi beritanya langsung tidak dibaca. Melihatkan komen-komen orang lain yang berbaur negatif, dia merasakan tidak salah untuknya ikut serta.

“Dah tak ada iman agaknya. Mak bapak hantar pergi sekolah, sibuk bercinta! Putus cinta, bunuh diri!”

‘Ting!’
‘Ting!’
‘Ting!

Lelaki itu tersenyum. Komennya mendapat banyak likes. Malah, ramai yang menyokong pendapatnya. Berbondong-bondong yang komen mengecam tindakan si mati.

Akan tetapi, tiada pula yang menyatakan simpati. Andai ada pun, cuma seorang dua. Dan seorang dua itu dikecam beramai-ramai.

‘Bunuh diri, nerakalah tempatnya woii!!’

‘Kau tak payahlah membela perbuatan terkutuk begitu!’

Lelaki itu menyilangkan kaki. Rokok disedut penuh nikmat. Dihembus asapnya dengan suatu perasaan yang sukar digambarkan. Selesa dia duduk di bangku itu, menikmati suasana malam di taman tasik.

Ramai remaja sedang melepak di taman tasik itu. Masing-masing punya aktiviti sendiri. Akan tetapi, gelagat mereka langsung tidak menarik perhatian lelaki itu. Komen-komen netizen di alam maya lagi menarik perhatiannya.

“Bang, nak tumpang duduk sini boleh?”

Tumpuan lelaki itu agak terganggu. Seorang remaja lelaki sedang tersengih memandangnya. Dia sekadar mengangguk. Lalu remaja itu duduk di sebelahnya.

“Abang buat apa kat sini?”

Lelaki itu rasa tidak selesa. Dia bukannya suka sangat bertegur sapa dengan orang asing. Lalu dibiarkan sahaja soalan remaja itu. Dia sambung membaca komen-komen tadi.

“Mesti kecoh kan. Budak lelaki yang gantung diri tu.”

Remaja itu bersuara lagi. Pandangannya terarah ke tasik di hadapannya.

“Ehh, macam mana kau tahu?" Pelik dengan pertanyaan remaja itu.

“Alah bang. Benda macam ni memang akan heboh. Saya sekolah di situ jugak. Saya tahu lah. Oh ya bang. Nama saya Habil. Nama abang siapa?”

“Nama aku Syah.”
“Oh, saya panggil bang Syah lah."
"Ikut suka kaulah!"

"Bercakap soal ini, sebenarnya masyarakat kita ni terlalu cepat sangat menjatuhkan hukum tanpa usul periksa.”

“Arghh. Kau nak menidakkan hukum Tuhan pula ke budak?” Syah agak bengang.

“Mana ada bang. Saya cakap je. Sebab saya kenal budak tu. Hik.hikkk..”

“Kau gelak apahal budak?"

“Okay bang. Jangan marah. Nanti cepat tua.”

Menggelegak hati Syah. Budak itu entah datang dari mana, tiba-tiba boleh selamba bergurau dengannya.

“Kau cakap dengan aku. Dia gantung diri sebab apa? Aku berani kerat kuku lah. Standard budak-budak sekolah. Kalau tak sebab putus cinta, mesti sebab stress dengan pelajaran. Ahh, manja. Aku dulu pun sekolah juga. Elok je hidup.”

“Bang, kadang-kadang masalah kecil bagi kita, boleh jadi ia besar bagi orang yang hadap. Sama macam kes pelajar tu. Dia bukan mati sebab putus cinta atau pelajaran. Dia budak bijak bang. SPM dulu dia dapat Straight A’s. Dia sambung STPM di sekolah tu.”

“Habis tu, kalau dah bijak sangat banyak A, apa punya bodoh pergi gantung diri? Tak fikir masa depan.”

Habil melepaskan keluhan kecil. Pandangannya dilontarkan ke arah tasik. Jauh dia termenung. Sukar untuk menjelaskan, tapi dia nekad untuk memberitahu hal sebenar.

“Dia dianiaya orang bang.”
“Maksud kau?”

“Yang tu saya tak boleh bagitahu. Kalau abang nak tahu jugak, abang kena ikut saya.”

Syah mula tertarik untuk mengetahuinya.

“Hmm.. kalau aku buat FB live pasal ni, mesti famous aku.” Hati Syah berkata-kata.

Otaknya mula membayangkan idea untuk menghangatkan lagi berita yang sedang hangat itu. Mungkin ia boleh jadi viral, dan dia akan popular. Lantas dia bersetuju untuk mengikut Habil.

“Tapi, kena ikut jalan tikus.”
“Kenapa pulak?”
“Kawasan asrama. Orang luar mana boleh masuk.”

“Eh, kau budak asrama? Berani kau keluar malam-malam. Tak takut warden ke? Lagi satu, kau tak takut aku ke? Entah-entah aku ni penculik ke apa.”

“Hahaha.. Lawak lah abang ni. Penculik takkan mengaku dia penculik. Lagipun saya dah biasa fly lah.”

Syah tersenyum sendiri. Dia berkira-kira ingin membuat ‘live’ Facebook nanti. Dia tidak kisah andai video itu menjatuhkan maruah sekolah sekalipun. Yang penting, viral. Banyak likes dan shares.

*********

Habil dan Syah hanya berjalan kaki menuju ke sekolah itu. Benarlah kata Habil. Jarak sekolah itu tidaklah jauh sangat. Cuma pada pengamatan Syah, asrama itu kelihatan agak usang.

“Buruknya asrama kau.”
“Buruk tak penting bang. Yang penting ada pengisian di dalamnya. Hahaha.”
Syah mengetapkan bibir. Geram pula dengan Habil.

“Okey, abang kena ikut saya dulu. Masuk ikut lubang tikus.”
“Ye la, aku ikut kau. Kalau aku tertangkap, aku salahkan kau.”

Syah membontoti Habil. Dalam kesamaran malam, dia melihat Habil terjun ke dalam longkang. Agak terkejut Syah melihat tindakan Habil.

“Cepatlah bang.”

Syah teragak-agak. Risau andai bajunya kotor. Tak macho nanti. 

Akan tetapi bila memikirkan bahawa kebenaran perihal budak mati itu bakal menjadi topik hangat dan dia sebagai orang pertama yang berjaya membongkarkannya, dia turutkan saja.


Syah turun ke dalam longkang itu dengan berhati-hati. Aroma longkang yang agak busuk meloyakan anak tekaknya. Mahu atau tidak, dia terpaksa menahan rasa tidak selesa itu.

Hakikatnya, hidung dia sudah kembang kempis menahan bauan yang tidak ubah seperti bau bangkai. Mereka berdua, merangkak menelusuri longkang itu. Terpaksa. Ini sahaja jalannya.

Menurut Habil, kebiasaannya pelajar asrama akan melalui jalan itu bilamana mereka hendak melepak di tengah malam. Setelah berhempas pulas, akhirnya mereka berjaya melepasi pagar besi yang memisahkan kawasan luar dan kawasan dalam asrama.

Kini mereka tiba di belakang asrama. Sunyi. Sepi. Cuma ditemani bunyi cengkerik. Mungkin penghuni lain sudah tidur.

“Sejak kes itu, pelajar diberi kelonggaran untuk pulang. Hanya pelajar yang betul-betul jauh sahaja yang tinggal di asrama bang.”

“Sebenarnya, apa masalah budak tu? Maksud aku, kalau di sekolah bijak, tak perlu fikir apa-apa lagi. Dah tentu disayangi. Apa singkat sangat akal tu?”

“Nampaknya abang masih prejudis. Mari ikut saya.”

Habil menapak dan menyelinap masuk ke sebuah stor. Terdapat garisan larangan polis di sekeliling stor.

"Ehh, boleh masuk ke ni?" Syah teragak-agak. Habil memgangguk dan memberikan isyarat kepadanya untuk masuk.

Mereka berdua kini sudha berada didalam. Mata Syah melilau memerhatikan sekeliling stor itu. Di dalamnya, tiada apa-apa yang pelik. Hanya longgokan kerusi serta barang-barang perhiasan yang agak lusuh sahaja. Mungkin tidak digunakan lagi barangkali.

“Abang Syah, kita tunggu kat belah sini ya.”
“Tunggu apa?”
“Abang tunggu je lah.” Tegas Habil.

Syah memandang kejap wajah Habil. Pelik, tetapi dia akur. Menuruti sahaja langkah Habil. Mereka bersembunyi di sebalik kerusi-kerusi yang disusun tinggi, terletak betul-betul di sudut belakang stor.

‘Dush! Dush!’

Telinga Syah menangkap sesuatu. Riuh rendah seperti orang sedang bergaduh di luar! Makin lama bunyi riyh itu makin kuat dan dekat. Mereka sedang menuju ke arah pintu masuk stor.

Syah mendiamkan diri. Risau juga andai keberadaannya dihidu. Cahaya lampu di stor itu tidaklah terlalu terang. Hanya mentol bulat bercahayakan rona jingga.

“Tak guna kau! Kau ingat kau hebat ya?”

Seorang pelajar lelaki yang tinggi lampai menumbuk seseorang. Tiga lagi rakannya turut melempiaskan kemarahan masing-masing. Longlai insan malang itu dikerjakan mereka.

“ Woii Khai! Kau ingat kau hebat bila jadi balaci. Dasar mulut puaka!”

“Tolong lepaskan aku. Kamal, apa salah aku pada kau? Apa yang buat kau tak puas hati?" Rayu Khai bersama persoalan yang tersarang di benaknya.

“Kau tanya apa salah kau? Ehh celaka, sebab mulut kau aku yang busuk hati ni, aku kena hukuman. Kau yang mengadu dengan cikgu aku merokok dalam tandas kan!”

"Aku cuma jalankan tanggungjawab aku Mal. Aku takda niat lain. Cikgu tanya, aku jawab. Aku sayangkan kau sebagai sahabat. Demi masa depan kau Mal.”

“Ahh.. Persetan dengan sayang kau tu. Kau dah busukkan rekod aku. Memang jahanam kau ni Khai!"

"Tapi..."

"Arghh, diam Khai!! Akim, Izzat. Kau orang bagi lunyai si bodoh ni! Biar puas hati aku."

"Baik!" Jawab mereka serentak.

Akim menyumbat segumpal kain ke dalam mulut Khai sebelum Izzat menutupnya dengan tap membaluti mulut Khai.

‘Prapp.. prapp..’

Bunyi itu mengilukan. Khai menjerit, namun suaranya tersekat. Berkerut muka Khai menahan setiap pukulan. Tubir matanya menghambur air jernih. Mereka tidak peduli. Kamal tiada rasa belas waimah sedikit pun.

"Lagi! Kasi lagi. Belum cukup!"

Bagai hilang pedoman, mereka rakus mematahkan tulang belulang Khai. Dipulas tangan dan kaki Khai sekuat hati. Maka, berderaian jatuh airmata Khai. Kesakitan yang teramat dirasainya.

Syah yang sedari tadi mengintai perbuatan mereka, mengeluarkan telefon bimbitnya. Terus dia melayari akaun Facebook palsunya. Ditekan butang ‘live’.

Ditulis caption:
“Budak-budak bergaduh berebut awek”

Syah tidak mempedulikan Habil di sebelah. Hilang terus niatnya ke situ untuk mengetahui punca kematian budak tempoh hari. Kerakusan budak-budak di hadapannya lebih menarik perhatian.

Kamal mengeluarkan sesuatu dari koceknya. Sejenis serbuk putih yang dipek dalam plastik kecil. Serbuk itu dicampurkan bersama minuman dalam tin. Tap yang membalutu mulut Khai ditarik kasar. Gumpalan kain ditarik keluar.

Kamal mencengkam rahang Khai Memaksa Khai membuka mulut. Hidung Khai dipicit kuat hingga Khai sukar bernafas. Memaksa Khai menelan air minuman yang dituang oleh Kamal. Selesai. Tubuh Khai yang sudah longlai ditolak kasar hingga dia terjatuh.

“Tol...ong…”
“Hahahahaha…”

Gelak tawa Kamal dan kawan-kawannya memenuhi ruangan itu. Syah yang menyaksikan peristiwa itu langsung tidak merasa kasihan. Malah dia semakin galak merakam ‘live’ peristiwa itu.

“To...long… a..ku...”

Khai bersuara lemah. Spontan, dia berpaling ke arah Syah yang sedang mengintai dan merakam sedari tadi. Pandangan Khai penuh harap dan belas dari Syah.

Wajah itu!! Terpelanting telefon Syah jatuh ke lantai. Hampir gugur jantungnya. Mustahil! Habil di sebelahnya ditoleh. Wajah Habil ditenung kejap. Baru kini dia perasan, wajah Habil dan Khai saling tidak tumpah. Sama! Kembar ke?

“Habil.” Panggil Syah dalam nada berbisik. Habil diam. Matanya tidak berkalih. Pandangannya masih tertancap ke arah empat sosok di hadapan. Sesekali, dia menguis-nguis kakinya ke lantai.

“Habil…” sekali lag
“Ya, bang Syah. Kenapa? Dah siap rakam? Dah dapat banyak like?"
"Aku..."

"Tengok tu bang apa mereka buat. Abang nak tahu sangatkan? Abang kan suka. Teruskanlah merakam."

Syah diam. Tiada jawab balas. Dia menyorot pandang ke hadapan. Terlihat, tubuh Khai yang diseret oleh Kamal. Kelihatan, Khai sudah layu. Kudratnya total sifar.

"Akim, cepat pasang!"

Akim mengangguk laju. Dia memanjat sebuah kerusi. Tali ditangannya disangkut dan diikat di pangkal kipas syiling yang tidak lagi berfungsi itu.

"Izzat, kau tolong aku angkat celaka ni!"

Pantas Izzat mengikut arahan. Tubuh Khai diusung, kemudian bersusah payah mereka menegakkan tubuh Khai di atas kerusi. Tali yang tergantung kemas di pangkal kipas tadi diikat ke leher Khai. Ketat.

"Kau tahan kejap badan dia. Aku kira sampai 3, kau Izzat lepaskan badan dia. Kau Akim, sepak kerusi yg dia pijak. Faham!"

Angguk tanda faham.
"1....2........3!!"
"Papp!"
"Gedegangg!!!!’

Menggelitik tubuh Khai dalam longlai. Nafasnya terdengar geruh. Panjang dan kemudiannya senyap. Bagaikan satu kejayaan, tiga manusia itu bersorak tanda kemenangan. Binatang!

Ditumbuk jasad Khai yang tergantung itu tak ubah seperti punching bag. Syah yang melihat kejadian itu, terkedu. Terbit rasa simpatinya terhadap lelaki yang bernama Khai itu.

“Abang nak tahu tak? Sebenarnya semua ni sebab abang.”

Habil bersuara tanpa memandang wajah Syah. Dia yang tadinya berdiri, kini duduk mencangkung.

“Ehh, kenapa aku pulak?” Syah menempelak.

“Sebab budak-budak tu ambil stok dari abang. Mereka hilang kawalan sebab najis dadah yang abang jual tu.”

Merah padam muka Syah.

“Hei budak, kau jangan nak tuduh aku macam-macam! Kau tak kenal aku pun!"

“Saya tak tuduh tapi saya yakin. Saya tahu, abanglah yang jadi pengedar dadah pada budak-budak sekolah ni termasuk mereka bertiga.”

"Kau! Siapa kau ha? Kau intip aku!"

‘Tap..tapp..tapp..’

Syah terdengar bunyi sesuatu. Seolah-olah ada air yang menitik jatuh. Dia memandang ke arah siling. Tiada.

"Abang cari apa tu? Cari bunyi ini ke?"

Khai mendongak memandang wajah Syah. Syah terperanjat hingga tubuhnya bergerak ke belakang. Bunyi titikan yang dia cari tadi adalah titikan darah dari wajah Habil yang jatuh menitik ke permukaan simen.

"Siapa kau? Siapa kau?"

Habil memandang wajah Syah kejap. Kini, air matanya mula mengalir deras. Airmatanya tidak jernih tetapi ia airmata darah. Jatuh laju, menitik-nitik ke baju berona putih yang disarungnya. Setitik demi setitik sehingga baju yang membalut tubuhnya dibasahi darah.

Syah tergamam. Bau hanyir menerobos ke deria baunya. Tajam menyengat hidung.

“Nama saya Khairul Habil bang."

“Dia yang abang lihat tadi tu, Khai. Dia adalah saya, Habil.”

Syah kaku. Mustahil. Dia menyorot pandangan mencari kelibat Kamal, Izzat, Akim dan Khai yang tergantung tadi. Hilang? Arghh... apa ni?

Peluh mula memercik di muka Syah. Muka Habil yang dipenuhi darah itu buat dia kecut perut. Kalau benar, Habil adalah Khai maksudnya.... di hadapannya kini adalah hantu? Gentayangan?

"Apa kau nak dari aku?"
“Saya nak abang tebus balik kesalahan abang.”
"Tebus? Maksud kau?"
"Tolong saya."
“Tolong kau macam mana?”

“Tolong longgarkan tali yang terikat di leher saya tu. Turunkan saya ke bawah.” Jari telunjuk Habil diangkat ke udara, menunjuk ke arah hadapan.

Syah mengikut arah yang ditunjuk Habil. Dia tergamam. Tubuh Khai yang hilang bersama 3 budak lelaki tadi, kini terzahir semula di depan matanya. Dia menggosok kelopak matanya berulang kali.

"Abang boleh tolong saya kan?

“Tapi kenapa?”

“Sebab tali tulah orang salah faham terhadap kematian saya. Semua orang fikir saya bunuh diri.”

“Kalau aku taknak buat? Apa kau nak hairan, kau kan dah mati. Mayat kau pun dah ditanam."

“Betul abang tak nak tolong? Kalau begitu, abang kene bersiap sedia."

"Siap sedia untuk apa?" Dahi Syah berkerut.

"Untuk ditangkap. Saya pasti, pihak polis sangat mengalu-alukan abang untuk dibawa ke muka pengadilan. Abang lupa ke? Abang kan pengedar!"

Wajah Syah berubah reaksi. Kelat. Pucat. Dia andaikan ugutan Habil bukan mainan. Perlahan-lahan dia mengangguk setuju

Dia membuka langkah, mendekati tubuh Khai yang masih tergantung di bawah kipas siling. Dia memanjat kerusi. Tubuh Khai dipeluk erat. Tali yang mengikat lehernya, dibuka perlahan.

‘Buk!’

Spontan, tubuh Khai menghempapnya hingga dia jatuh diatas lantai. Syah cuba menolak tubuh Khai untuk mengalihkannya. Tetapi tidak berjaya. Jasad Khai terlalu berat. Hal itu membuatkan Syah merasa lemas ditindih.

Tanpa disedari, perlakuan Syah sedang disaksikan oleh ribuan netizen yang mengikuti live Facebooknya. Telefonnya yang terpelanting sebentar tadi terletak elok menghadapnya. Semuanya terakam jelas.

‘Plap!!’

Bebola mata Khai yang menindihnya tiba-tiba tergolek jatuh.

“Arghhhh!!!!!”

Syah terkejut. Entah dari mana datang kudratnya, dia menolak tubuh Khai dengan sekuat hati. Tubuh Khai, bergolek dan terhumban ke atas lantai.

Dalam keadaan takut yang menyelubungi, Syah dengan pantas naik dan berdiri di atas kerusi tadi. Dia takut kalau-kalau Khai bangkit dan mencekiknya. Dalam keadaan otaknya menerawang, tanpa sedar Syah telah mencapai tali yang masih tergantung itu.

Tiba-tiba, kaki kerusi tempat dia berdiri bergegar. Seolah-olah ada tangan yang menggoncang laju. Terumbang- ambing tubuh Syah di atas kerusi itu. Dia cuba menyeimbangkan diri tetapi gagal.

Tangannya yang memaut tali tadi terleas. Dengan pantas, dia mencapai tali itu semula.

"Pakkkk!!!!"
"Bamm!!!"

Kerusi itu terbalik seperti disepak deras. Dalam kelam-kabut, tali yang dicapai tadi tersarung sendiri di lehernya.

‘Zrappp!!!!!’
Tali itu menjerut leher Syah. Menggelitik tubuhnya. Kedua tangannya dibawa ke leher. Cuba untuk melepaskan jerutan tali itu. Kakinya yang tergantung, terkapai-kapai di udara.

Nafas Syah menggeruh kasar! Dia meronta-ronta tidak henti. Airmatanya mula mengalir laju. Wajahnya kian pucat.

"Erghhhhhh!!! Erghhhhhhh!"

Setelah bergelut lama, rontaan tubuh Syah terhenti. Lidahnya terjelir keluar. Matanya terbuntang.

Habil merenung wajah Syah. Tersungging senyuman dibibirnya.

“Abang Syah, kenapa abang bodoh sangat nak bunuh diri? Hihihihihi..”

Dari tersenyum, kini Habil ketawa terbahak-bahak. Dia begitu teruja dan bersorak kerana melihatkan Syah terkulai bersaksikan ribuan mata netizen. Syah menggantung diri secara live. Menarik bukan?

Like meningkat sekelip mata. Komen-komen berbaur negatif bertalu-talu, memenuhi ruangan komentar. Syah dikecam, dihina! Sama seperti lontaran kata-kata kesatnya saat menerima berita tentang kematian Khairul Habil.

Ironinya, netizen tidak nampak pun Khai ataupun Habil tergantung. Melainkan mereka hanya melihat Syah yang menjerut lehernya sendiri.

Malah, saat mula-mula Syah merakamkan video live itu, mereka hanya mendengar suara Syah membebel sendirian. Mereka turut mendengar pengakuan Syah sebagai pengedar dadah.

Jasad Syah kini, tergantung di situ. Di tempat yang sama, dimana Khairul Habil ditemui mati tergantung sebelumnya. Pertemuan dan pengakhiran yang indah bukan?

-TAMAT- 
===================================
Suntingan : Dee Edot
Gambar : Dikmang

Karya asal merupakan hak cipta penulis dan karya siap sunting adalah milik bersama Page Arkib Angker Negara.
Anda ada kisah seram, komedi-seram, misteri, thriller ataupun mind-blowing? Apa kata anda kongsikan kisah anda kepada kami.
Hantar kisah anda ke inbox Arkib Angker Negara atau emelkan ke aanrc2017@gmail.com
Nyatakan sekali nama akaun Facebook, blog, Instagram, Twitter atau webpage anda untuk pengkreditan.

No comments: