Wednesday, 14 February 2018

KOTAK - Xander Xavier


KOTAK

=============================

KC : Bulan depan hari jadi nenek. Kau dah fikir nak bagi hadiah apa? Aku nak bagi baju yang aku beli dekat Milan tu lah… Nenek mesti suka!
Mel : Alaa… Aku tak tahulah nak bagi nenek apa…
KC : Kau jangan tiru aku pula ea…

Mel mencampakkan telefon pintarnya ke atas katil. Dia berbaring di sisi telefon yang dicampak tadi. Sungguh dia binggung hadiah apa yang harus diberikan untuk neneknya. Kalau tak bagi hadiah, pasti dia akan disindir oleh sepupu-sepupunya yang lain. Pesanan Whatsapp yang diterimanya daripada KC tadi pun sudah cukup menjengkelkan.

Mel mencapai kembali telefon pintar berjenama Sony itu. Dia melayari laman sesawang e-Bay, manalah tahu boleh terjumpa sesuatu yang menarik buat dijadikan hadiah kepada nenek. Baju? KC dah beli. Kasut? Nenek dah banyak kasut. Beg tangan? Mesti ada sepupunya yang lain telah ‘cop’ dulu.

Dalam mencari dan mencari, Mel terpandang satu kotak yang kelihatan antik. Ya! Inilah dia. Nenek memang suka barangan antik. Harga yang ditawarkan juga amat berpatutan. $40 sahaja. Hanya ada satu deskripsi yang disediakan oleh penjual.

“This box was from someone who escaped the Holocaust. It is very old, yet very strong”

“Takkan tak ada orang beli kotak antik ni. Cantik kot… Aku jelah yang beli,” tanpa ragu-ragu Mel menekan butang ‘buy’ yang terpapar. Setelah memasukkan segala maklumat Paypal, dia hanya perlu menunggu beberapa minggu sebelum pesanan miliknya sampai.

10 hari kemudian, kotak FedEx sampai di hadapan pintu rumah Mel. Lebih cepat daripada kebiasaannya. Keterujaan tak tergambar, walaupun hadiah itu untuk nenek, namun ada sesuatu yang membuat Mel gembira. Dia takkan kalah dengan KC yang berlagak itu.

Mel tak sabar untuk melihat kotak yang dibeli itu. Dia membuka pembungkus yang melindungi kotaknya. Sekali lagi dia amat kagum melihat ukiran-ukiran di sekililing kotak itu. Ukiran yang bermotif bungaan dan haiwan itu amat menarik. Sama seperti gambar yang dipaparkan di dalam laman sesawang.

Mel membuka bahagian dalam kotak tersebut. Dia hairan. Masakan tidak, di dalam kotak yang cantik ada benda-benda yang agak pelik. Mel mengangkat satu persatu benda yang ada di dalam kotak itu termasuklah seikat rambut perang, seikat rambut hitam, lilin yang telah digunakan, sehelai kelopak bunga mawar yang masih segar dan patung yang diperbuat daripada jerami untuk dibuang ke dalam tong sampah.

Namun, Mel agak tertarik dengan kelopak mawar yang masih segar itu. Ia seperti hidup dan tidak layu. Lalu Mel menyimpannya di dalam buku dan kotak yang telah bersih itu diletakkan di atas rak.

Sejak hari itu dia mulai merasakan ada sesuatu yang menganggu hidupnya. Setiap malam dia akan bermimpi. Mimpi seolah-olah dia sedang melarikan diri daripada sesuatu dan di penghujung mimpi pasti dia dikejutkan dengan wajah lunyai menakutkan yang datang entah dari mana. Rumahnya pula akan dipenuhi dengan haruman bunga jasmine yang sangat kuat sehinggakan jiran di sebelah juga boleh mencium haruman terbabit.

Kemuncak segalanya adalah pada malam itu, Mel pulang lewat dari tempat kerja kerana banyak tugasan yang perlu diselesaikan. Dia masuk ke bilik dan langsung ke bilik air untuk membersihkan diri.

Semasa dia sedang memberus gigi, kedengaran ketukan pintu yang datang dari luar bilik. Mel mendiamkannya sahaja. Mungkin itu adik bongsunya yang ingin tahu hadiah apa yang akan diberikan kepada nenek kerana besok ialah hari jadi nenek. Namun, ketukan itu kedengaran sekali lagi dan kali ini lebih deras dan keras.

“Hish, budak ni tak tidur lagi, kacau orang pula,” Mel segera berjalan mendekati pintu. Nasib baik, dia masih berpakaian.

Mel menarik pintunya. Tiada…

Tiba-tiba dia terdengar suara wanita tertawa kecil. Dia menoleh ke bahagian katil. Kelihatan sesuatu atau lebih tepat lagi ‘seseorang’ sedang merangkak ke bawah katilnya. Berdesup!

“Budak ni nak main sorok-sorok pulak. Nak mainkan? Akak kejar ni,” Mel bergerak menghampiri katil.

Dia juga turut merangkak dan menyusup ke bawah katil.

Tapi…
Sekali lagi tiada sesiapa. Pada saat dia memandang ke bahagian ke luar katil, dia terlihat wajah yang sama persis dalam mimpinya. Wajah wanita yang lunyai sedang berbaring menghadap muka Mel!

“Argh !!!!” Dia merangkak keluar dari katil.

Mel mengesot ke sudut biliknya dan melihat sekeliling. Kiri, kanan, kiri, kanan dan apabila dia mengarahkan pandangan ke kiri…

“Argh !!!!” Mel berlari ke tingkat bawah dan terus keluar daripada rumahnya.

Dia kelelahan. Nafasnya tercungap-cungap. Apa yang dilihatnya tadi adalah wanita dengan wajah lunyai itu berdiri atau lebih tepat lagi terapung-apung di sebelah kotak antik yang dibelinya itu.

Telefon pintar di kocek seluarnya berdering ringkas.

Whatsapp Family Yes
Adik : Akak, kitorang takde kat rumah tau. Kitorang pergi teman papa ada annual dinner.
Mama : Jaga rumah baik-baik.
Papa : Jangan keluar dah lewat malam..

“Tapi kalau rumahnya dah macam ni, memang taklah aku terus berada di sini,” Mel masuk ke dalam kereta dan memandu ke rumah kawan baiknnya.

Keesokkannya, Mel pulang untuk mengambil kotak terbabit dan terus bergerak ke rumah nenek. Tiada apa-apa yang berlaku. Semuanya berjalan lancar. Nenek Mel juga sangat gembira dengan kotak yang dihadiahkan itu. Malah lebih gembira daripada saat KC memberikan hadiah kain Milannya itu.

Sejak kotak itu tiada di rumah Mel, segala gangguan yang dialaminya sebelum ini pun hilang. Hal ini termasuklah mimpi buruk dan bauan bunga jasmine yang sangat kuat itu. Perkara ini menimbulkan kebimbangan kepada diri Mel. Macam mana kalau perkara yang dia alami sebelum ini berpindah kepada neneknya pula? Dia tidak boleh berdiam diri.

Segala maklumat pembelian digeledah dan hasil pencariannya membawa kepada pemilik asal kotak terbabit. Mel juga dapat mencari alamat e-mel dan nombor telefon si penjual yang menetap di Amerika itu. Setelah segala proses dilalui, si penjual bersetuju untuk ‘berbual’ sebentar dengan Mel melalui aplikasi Skype.

“Good morning ma’am. My name is Mel and I’m from Malaysia. I want to ask something about the box that you put on sale in e-Bay. Ken said that I can ask anything about that box to you,” perbualan telah dimulakan. Wanita tua di hadapannya mengerutkan dahi.

“I’m sorry young lady. What box?” Suara wanita itu agak tenggelam timbul kerana usianya yang mungkin sudah melebihi 60 tahun.

“You know, the beautiful box that made from a strong wood and have a beautiful flowers carving around it. Your grandson, he put it on sale on e-Bay,” Mel cuba mendeskripsikan.

Muka nenek tadi berubah menjadi marah. Dia merengus kasar lalu memanggil cucunya. Talian belum dimatikan pada saat nenek itu memarahi cucunya dan Mel dapat mendengar segala-galanya.

“Ken, Ken! Did you put my box on sale! Do you know how dangerous that box is? My ancestors had been keeping that box since Holocaust,” nenek itu menarik-menarik baju cucunya.

“Stop it grandma! I don’t want you to suffer anymore. You became sick after you keep that damn box from great grandpa. That box is haunted, we should not keep it!” Si cucu, Ken, membalas amarah nenek terbabit.

Nenek itu menghadap semula kepada Mel. Dia ingin mengatakan sesuatu. Suaranya agak tersekat-sekat.

“Child, you must throw that box away or maybe just bury it anyway. You must stay away from that box!” Si nenek memberi amaran.

“But the box is not with me. I gave that box to my grandma,” Mel mulai cemas.

“And go safe your grandma!” Itulah ayat terakhir daripada nenek terbabit sebelum Skype dimatikan oleh Ken secara paksa.

Nenek itu pasti ada beberapa perkara lagi yang ingin disampaikan. Mel risau. Dia dapat menangkap perkataan-perkataan yang boleh membuatkan jantungnya terberhenti seketika.

‘Dangerous’ ? ‘Haunted’?!

Mel segera bangkit dari tempat duduk dan pergi mendapatkan keretanya. Semasa dalam perjalanan ke rumah nenek, telefon pintar milik Mel berdering ringkas menandakan ada pesanan Whatsapp yang baru masuk.

KC : Nenek kena serangan jantung! Maid nampak dia buka kotak kau, lepas tu terus collapse!
KC : Kau letak apa dalam kotak tu sampai nenek kena serangan jantung.
KC : Kau nak santau nenek ea?
KC : Apa ni? Rambut perang, rambut hitam, patung hodoh, lilin. Kau amalkan ilmu hitam apa?
KC : Wei, sejahat-jahat aku, aku tak buat benda terkutuk nilah!

Mel menekan pedal brek sekuat hatinya. Nasib baik jalanan kosong pada malam itu. Apa yang telah berlaku? Mel menangis semahu-mahunya. Bukankah dia telah buang semua benda itu ke dalam tong sampah? Bagaimana barang-barang itu boleh kembali ke dalamnya? Dan yang paling penting, kotak apakah itu?

P/S : Tiada yang berkuasa selain Allah S.W.T. Ambil yang jernih, buang yang keruh. Jangan sampai terpengaruh dalam kehidupan sebenar. Chill!

==============================
-TAMAT-
Suntingan Karya & Gambar: KamenRider
Anda ada kisah seram, misteri, thriller ataupun mind-blowing?
Ayuh kongsikan kisah anda kepada kami. Hantar kisah anda ke e-mel aanrc2017@gmail.com
Nyatakan sekali nama akaun Facebook, Instagram, Twitter, blog atau webpage anda untuk tujuan pengkreditan.

No comments: