Sunday, 18 February 2018

JAMBAK - Affieyza Isahak


JAMBAK
Nukilan : Affieyza Isahak
==================
Keadaan sekeliling diperhatikan dengan penuh minat. Sesekali kicauan burung yang berada berdekatan, membelai jiwanya. Rumah kosong di hadapannya itu dipandang dengan penuh kagum. Kawasannya yang lapang dan sedikit jauh dari rumah yang lain membuatkan Nain berpuas hati.


“Macam mana? Cha setuju tak, kita pindah sini?” Nain berpaling ke arah isterinya di sisi.
“Ikut abang laa.” Cha tersenyum ke arah suaminya.

“Sayang suka tak, kita duduk sini?” Cha bertanya pada anaknya yang berumur empat tahun itu sambil mengacahnya dalam dukungan. Yuyu tersengih-sengih sambil mengangguk. Yuyu baru pulih daripada demam jadi masih merengek tidak mahu berenggang dengan uminya.

Nain menggeleng kepala melihat tingkah isteri dan anaknya itu. Dia menarik nafas panjang sebelum dilepaskan perlahan.

“Pak cik..”
“Kamu dengar tak?”
Kata-kata Nain dipintas laju. Jambak menundingkan jari telunjuk ke arah telinganya.

“Dengar apa?” Serentak Nain dan Cha bertanya dengan dahi berkerut.
“Syhh... cuba dengar.” Jari telunjuk Jambak sudah beralih ke bibirnya pula.
Nain dan Cha mendiamkan diri. Telinga masing-masing cuba menangkap bunyi yang dikatakan oleh tuan rumah itu.

“Bunyi macam...”
“Kereta api! Betul kan, pak cik?” 
Nain bertanya dengan teruja. Seronok pula apabila dia mendahului tekaan.


Jambak tersenyum nipis. Hatinya kembang malah lebih kembang dari bunga di taman. Dia mengusap dagunya berulang kali.

“Betul. Ada landasan kereta api dekat tepi rumah ni. Balik hutan sana tu tapi sayup-sayup sajalah bunyinya. Cuma bila tengah malam, bunyinya agak kuat sedikit sebab sunyi. Harap tak menganggu kamu sekeluarga tidurlah.”

Mata Cha memandang ke arah hutan di sebalah kiri rumah. Jaraknya dengan rumah ini agak jauh, wajarlah bunyi kereta api yang kuat itu kedengaran sayup-sayup di telinganya.

“Ada ke penyewa sebelum ni, tak tahan disebabkan bunyi kereta api?” Nain cuba mencungkil rahsia.

"Hmm.. adalah dulu. Budak-budak praktikal. Menganggu kata mereka..." Jambak meleretkan suaranya menandakan dia agak kecewa dengan penyewa sebelum ini.

"Huh! budak-budak mentah! Mengada!" Nain mengomel.

Terangguk-angguk kepala Jambak dengan bibir mengukir senyuman sinis sebaik saja mendengar omelan Nain. Kemudian dia membawa tiga beranak itu meninjau keadaan di dalam rumah pula. Sebaik mungkin dia menerangkan tentang rumah itu untuk menarik minat keluarga itu supaya bersetuju untuk berpindah masuk ke rumahmya.

Nain dan Cha masih meneliti keadaan rumah itu. Lengkap dengan perabot antik.

"Macam mana? Jadi ke kamu nak menyewa? Kalau jadi, sewanya pak cik kurangkan."

Cha terkejut mendengar perkataan ‘kurangkan’ itu. Hatinya menjerit gembira. "Biar betul pak cik? Barang lengkap pula tu?"

Jambak mengangguk.

“Asalkan rumah ni tidak kosong tetapi berhabuklah sikit!” Dia senyum lagi.

Mata Cha dan Nain bersinar gembira. Baiknya pak cik ni!

"Barang-barang dalam rumah ni, kamu jagalah seperti barang kamu sendiri. Semua ni barang-barang dari rumah lama pak cik yang telah dirobohkan."

Nain berpuas hati.

"In Shaa Allah, pak cik. Kami setuju!" Dengan itu kunci rumah bertukar tangan. Esok pagi Jambak mahu ke rumah anaknya di Ipoh, jadi dia memberi terus kunci rumah kepada keluarga kecil itu.

“Isteri kamu ni, mengandung ke?"
Nain dan Cha tersentak. Masing-masing berpandangan. Mungkin pak cik itu melihat perut Cha yang sedang membesar.

"Baru nak masuk tiga bulan, pak cik!" Nain tersenyum bahagia.
"Rezeki kitalah ya!" Jambak ketawa kecil.
"Yelah kan, rezeki saya nak terima orang baru. Rezeki pak cik pula dapat penyewa!"
Dia terus mengangguk mengiakan kata-kata Nain itu.

'Tapi rezeki aku lebih bermakna!' Bisik hati Jambak.
Ketika Nain dan Cha berkira-kira mahu masuk ke dalam perut kereta, Jambak menahan, Dia hampir-hampir terlupa!

“Kenapa pak cik? Nain keluar semula mendapatkan lelaki tua itu.

“Err, rumah ni pak cik dah azankan semalam. Jadi kamu tak payahlah azan lagi. Pak cik bukannya apa, nak permudahkan urusan kamu. Bimbang kamu terlupa, macam-macam pula akan terjadi!”

Nain dihurung terharu dengan kebaikan pak cik ini. 
“Terima kasih banyak-banyak pak cik!” Dia berjabat tangan buat kali terakhir sebelum meninggalkan kawasan rumah sewa itu.


Bibir Jambak tersenget-senget menahan senyum taktala kereta Nain mula meninggalkan kawasan itu. Tidak menyangka semudah itu dia dapat memperdayakan orang. Songkok di kepala diperbetulkan.

‘Songkok tuah!’ Dia menyeringai seorang diri.

***

Dari jauh bunyi enjin kereta api mula kedengaran. Bibir Jambak mula tersenyum gembira. Dia berdiri di hadapan rumah sewanya dan menghadap ke arah hutan kecil di sebelah kiri. Lampu tinggi berkelip-kelip mula kelihatan.

Samar-samar bayangan keretapi mula kelihatan. Kepala kereta api keluar dari hutan dan bergerak perlahan dengan bunyi yang uzur. Bunyi berkarat yang menggerunkan.

Suara raungan turut kedengaran. Jambak hanya melihat keretapi di sebelah kirinya itu berlalu dengan menyeringai lebar. Hatinya bersorak gembira taktala melihat wajah-wajah yang sedang memandangnya dengan mata yang terbeliak serta raut wajah yang menakutkan. Dia langsung tidak berperasaan melihat apa yang menjamah matanya. Suara raungan semakin mendayu-dayu dan akhirnya lenyap pergi bersama kereta api yang semakin hilang dek hutan yang kian kembali gelap dan sunyi.

‘Tak apa.. Lepas ni kamu akan dapat sesuatu yang istimewa! Raungan kamu akan bertukar dengan gelak ketawa yang maha hebat nanti!’ Hati Jambak berkata jahat.

*** 

"Tidurlah.. Tidurlahh.. Tidur la.. Tidur la..” Cha menyanyi sambil mengusik anaknya. Jam sudah lewat malam tetapi mata anaknya masih segar. Sudahnya anak kecilnya itu ketawa terkekek-kekek.


Suka benar apabila dia menyanyi lagu itu dalam nada gurauan.
“Tak tidur lagi si kecik ni?” Tegur Nain yang baru keluar dari bilik tidur.
“Yuyu, mai dekat walid,” Panggil Nain sambil cuba mendapatkan anaknya.

Yuyu cepat-cepat menjarakkan diri agar walidnya tidak dapat mencapai tubuhnya. Kemudian dia kembali ketawa. Makin lama makin galak pulak ketawanya. Nain dan Cha berpandangan sesama mereka dengan kerutan di dahi. Ketawa yang berlainan dari suara anak mereka. Cha menelan liur dan segera mengesot merapati suaminya.

“Yuyu.. mai dekat walid,” Pujuk Nain lagi.

Yuyu masih ketawa malah dia berguling di tikar buluh pula sambil ketawa yang tidak henti. Sesekali kedengaran seperti dia menderam.

“Allah! Kenapa ni, walid? Yuyu kenapa ni?” Cha berkata perlahan. Sebak mula mendatangi. Tangannya kejap memegang hujung baju melayu yang dipakai oleh suaminya.

Ketawa Yuyu mati tiba-tiba apabila mendengar kalimah suci itu. Dia berpaling dan matanya tepat menikam ke mata uminya. Cha berdebar-debar melihat pandangan tajam dari anaknya malah lebih menakutkan apabila tubuh kecil itu bangun perlahan-lahan menghampirinya. Hendak menjerit, suaranya tersangkut, menggigil tubuhnya saat berkalih ke arah suaminya, mengharap sesuatu. Nain mengambil langkah berjaga-jaga. Duduknya diperkemaskan.

“Au'zubillahiminassyaitonirrajim!” 
Suara Nain yang kuat menyentakkan isteri dan anaknya. Tidak semena-mena Yuyu rebah ke dalam pelukkan uminya.


Nain mengucap syukur dalam hati. Dia bangun dan menuju ke dapur lalu kembali ke sisi isterinya bersama segelas air di tangan.

“Bismillahirrahmanirrahim..” Nain menyapu air yang dituang sedikit ke telapak tangannya ke seluruh wajah anak kecilnya. Berharap anaknya itu pulih dengan izin-Nya.

Berulang kali Nain menyapu air bacaan surah yasin itu dan dengan izin-Nya anak kecilnya membuka perlahan kelopak matanya.

“Umi..” Yuyu memanggil dengan suara yang sedikit serak.
“Ya sayang..” Cha menarik. nafas. lega. Mujurlah suaminya ada di saat dia memerlukan.

Setengah jam berlalu, Yuyu sudah tidur dengan nyenyak. Cha menjenguk wajah suaminya yang sedang merenung atap rumah. Dia masih tertanya-tanya, apa yang sebenarnya berlaku ke atas anaknya tadi?

“Tadi tuu, Yuyu kenapa?”
Nain menoleh ke arah isterinya. Dia menjawab setelah lama diam.
“Nantilah kita bincang hal ni. Tengah malam dah, tidurlah..”
Meskipun sedikit hampa, Cha terus memejamkan mata. Menghormati keputusan suaminya.

*** 

Setelah memilih barang yang diperlukan, Nain menghampiri kaunter untuk membuat pembayaran. Elok saja dia meletakkan semua barang di atas kuanter, pekerja di situ mahu mengira barang pembeli di belakangnya.


“Adik, kira barang abang dulu, boleh? Abang nak cepat ni.” 
Nain membuka mulut. Sekadar menjadi ramah sekejap. Nain mengeluarkan dompet dari dalam poket seluar.


Nain berpaling apabila barangannya tidak dikira dan pekerja itu terus mengira barangan seorang mak cik di belakangnya! Nain jadi malu sendiri padahal dia yang beratur dulu!

“Err, adik..” panggil Nain tetapi panggilannya tidak diendahkan.

Dia memandang pekerja dan juga mak cik di belakangnya, rancak berbual tanpa memperdulikan kehadirannya. Bagi menutup malu apabila dirinya tidak dilayan, dia segera meninggalkan kedai runcit itu. Barang-barang yang diambilnya tadi, ditinggalkan begitu saja.

‘Sombongnya!’ Nain terus menghidupkan enjin kereta dan meninggalkan perkarangan kedai runcit itu. Dia memandu membelah kepekatan malam menuju ke pekan pula.

***

Cha membawa segelas milo panas bersama sepeket biskut ke ruang tamu, dia duduk di sebelah anaknya yang sedang bermain di dalam khemah permainannya. Anaknya itu sudah diberi minum sebotol susu dan matanya kembali segar untuk bermain. Semenjak dia berbadan dua ini, seleranya semakin bertambah, hendak mengunyah saja. Biarlah badannya berisi asalkan anak di dalam kandungannya cukup makan dan sihat.

“Yuyu nak biskut?” Cha menjengukkan kepala ke dalam khemah bercorak Frozen itu.

Wajah Cha berubah. Yuyu tiada di dalam khemah! Mana Yuyu? Bukankah sebentar tadi dia melihat anaknya itu bermain di situ? Cha mula gelisah. Dia bangun dan segera memeriksa sekeliling khemah. Dia menjenguk ke serata rumah malah di tingkat atas pun, anaknya tiada! Air mata Cha sudah mengalir laju, diseka kasar.

Telefon bimbit yang terletak di atas meja kopi, dicapai pantas. Kalut jemarinya mencari nama suaminya. Jemarinya menggigil kuat, dia masih mencari nama suaminya. Inilah padahnya jika nombor suami sendiri tidak ingat! Perutnya yang mula terasa ngilu, tidak dipedulikan.

“Mana pulak nii!!” Cha sudah mengongoi di tepi meja kopi itu.
“Umii...”

Tangisan Cha berhenti mengejut. Telefon bimbit terlepas dari tangannya. Suara itu dari arah belakangnya.

“Umi.. Umi cari Yuyu..?” Suara itu masih dalam nada yang sama. Mendayu.

Cha terus berpaling. Tubuhnya menggeletar kuat. Anaknya sedang berdiri dengan sebilah pisau di tangan! Cha memerhatikan raut wajah anaknya. 

Comot! Tiba-tiba Cha bangun dan berundur beberapa langkah ke belakang. Anaknya itu sedang mara ke arahnya sambil menyeringai!


Tok! Tok! Tok!
Bunyi ketukan yang agak kuat telah memaksa Cha membuka kelopak matanya. Dalam keadaan mamai, mata Cha terpaku pada pintu rumah. Dia seperti mendengar pintu ruahnya diketuk tetapi sudah senyap. Cha meraup wajahnya, peristiwa tadi terbayang di matanya.

“Fuhh, mimpi rupanya!” Cha mula menarik nafas lega.
“Mimpi apa, umi...?” Suara lembut tiba-tiba menyentuh gegendang telinganya.
“Umi mimpi....” Cha menoleh.

“Allahuakbar!” Wajah Yuyu berlumuran darah! Tangan kecil itu mengenggam sebilah pisau dan pisau itu dibawa ke lehernya! Ini bukan mimpi!
“Jangan!!” Cha menjerit kuat.

Tok! Tok! Tok!
“Cha! Nain! Buka pintu ni!”
“Cha! Nain!” Suara itu berselang-seli dengan ketukan kuat di pintu rumah.

Kelopak mata Cha terbuka luas. Dia tercungap-cungap mencari nafas. Tapak tangannya dilekapkan pada perutnya. Dia menggosok matanya beberapa kali. Dari baring, dia bangun dan duduk bersandar di kerusi.

‘Apa yang berlaku ni?” Kepalanya dipegang. Terasa pening.

“Cha! Nain! Buka pintu, pak cik datang,” panggil Jambak dari luar rumah. Nadanya ditegaskan. Cha terkejut mendengar suara Jambak.

“Sekejap pak cik!” Laung Cha dari dalam rumah. Dia bergegas menuju ke bilik dan mencapai selendang lalu disarungkan di kepala.

Ketika melalui khemah permainan anaknya, Cha berdebar sendiri. Dia sempat mengintai dari sisi dan dia melafaz syukur kerana anaknya sedang tidur lena dalam khemah itu.

“Maaf pak cik, Cha tertidur rasanya tadi, itu yang tak dengar pak cik panggil,” Ujar Cha sebaik pintu dibuka. Dia melihat Pak Cik Jambak sudah duduk di atas pangkin tepi rumah.

“Rasanya?” Jambak mengangkat sebelah keningnya. ‘Itu baru sikit..’ Senyuman sinis disembunyikan apabila melihat wanita di depannya itu seperti keliru.

“Suami kamu mana?” Jambak memerhatikan wanita muda itu yang tegak berdiri di tepi pintu.

“Keluar beli barang.. Bila pak cik balik?” Cha mengukir senyum.

“Err, maaflah tak dapat ajak pak cik masuk,” sambung Cha sekadar berbasa-basi.

Jambak mengangguk. “Siang tadi. Tak apa, pak cik faham. Pak cik datang ni nak bagi buah tangan yang pak cik beli di rumah anak pak cik,” Jambak menghulurkan plastik berisi limau bali kepada Cha. Cha menyambutnya dengan berterima kasih kerana mengingati mereka sekeluarga.

“Anak kamu mana? Sudah tidur?”
“Ya, baru tidur..”
‘Baru tidur ye? Hmm, Kesiannn...’ Jambak gelak jahat dalam hati.
“Macam mana duduk di sini?”
“Alhamdulillah pak cik.”
“Pak cik nak pesan kepada kamu dan suami kamu ni.” Cha terdiam.
“Pesan apa pak cik?” Jambak senyum lebar.

*** 

Nain menarik nafas lega apabila selesai membeli barangan dapur di pasaraya mini di Pekan Ijok. Dia mengambil keputusan untuk singgah di sebuah warung berhampiran bagi membasahkan tekaknya.


Sebuah kerusi ditarik keluar dan Nain duduk di salah satu meja yang kosong. Dia memutarkan pandangan, tidak ramai pelanggan waktu ini, maklumlah masih pagi. Hanya beberapa orang lelaki yang muda dan berumur sedang rancak berbual. Nain tidak mahu mendengar perbualan itu kerana tidak mahu di katakan menjaga tepi kain orang.

Di seberang jalan, terdapat sebuah gerai menjual buah-buahan yang turut menjual pelbagai jenis jeruk. Malam-malam pun mereka masih berniaga. Di sebelahnya pula ada gerai menjual kacang rebus. Tumpuan Nain lebih kepada gerai yang menjual jeruk. Ini kalau isterinya nampak.

Nain menelan liur. ‘Sedapnya jeruk kelubi!’ Semenjak isterinya disahkan hamil, Nain pula yang mengidam makanan yang masam-masam. Dia berniat mahu membeli sedikit sebelum pulang nanti.

***

Nain menjamah mee goreng basahnya dengan berselera. ‘Sedap!’ Dia memuji dalam hati. Milo ais disisip sedikit. Lega air sejuk itu membasahi tekaknya,

“Kamu ada dengar cerita, Kimi, Naim?” Tanya Wan Stylo dengan nada berbisik.
“Cerita apa, Pak Wan?” Kimi Honda Petak kembali bertanya.
Naim Motor tidak mahu ketinggalan. Dia turut berbisik di antara mereka bertiga.
“Apa hal ni?” Sesudu nasi lemak disuap ke mulut.

Wan Stylo melipat akhbar yang dibacanya sedari tadi. Dia memandang sekeliling.
“Aku dengar, ada orang nampak Jambak dalam kampung!”
“Dalam kampung Talang Masin ke?” Naim Motor berbisik lagi.
Wan Stylo mengangguk. Dia meneguk kopinya sehingga habis.
Nain tak jadi mahu mahu meneruskan suapan.. ‘Aku duduk di situlah!’


“Dia.. dia dah kembali ke?” Teragak-agak Kimi Honda Petak bertanya. Dia tahu siapa Jambak di Kampung Talang Masin itu.

“Mungkin...”
Nain berfikir seseuatu. ‘Mungkin Pak Cik Jambak sudah pulang dari rumah anaknya.’ Dia segera menghabiskan baki mee goreng basah serta milo aisnya. Dia mahu berbual dengan mereka yang duduk di sebelah mejanya. Nain bangun dari kerusi. 

“Assalamualaikum...”
Nain terduduk kembali. Wajahnya pucat!

Weena yang memerhati tingkah pelanggannya segera menghampiri.

“Err, abang okey ke?”
“Mana.. mana mereka?” Jari telunjuk Nain tepat menghala ke arah meja sebelah.

Weena menggerutkan dahi.
“Mereka? Siapa?”

“Tadi.., yang duduk di meja ni.”

Giliran Weena pula memandang kiri dan kanan. Lehernya terasa kembang tiba-tiba. Serba-salah untuk menjawab.

“Sejak abang datang tadi, abang pelanggan terakhir kami! Tak ada orang lain lagi selain abang!”
Nain beristighfar berulang kali.

“Yang saya nampak tu, sapa?”
Soalan Nain menyentakkan Weena. Wajahnya berubah terus. 
Weena menggeleng laju.


“Saya belanja abang malam ni, kami nak tutup kedai dah..” Weena berbasa-basi dengan pelanggan mereka. Sungguh dia rasa lemah ketika itu. Lututnya terasa menggigil!

Nain berlalu dengan ucapan terima kasih. Dia memandang sekitarnya perlahan-lahan. Nain mengecilkan matanya, nun di hujung kedai, dia melihat seperti bayangan tiga orang sedang berjalan lalu menghilang di sebalik deretan kedai.

Nain terpaku lama sebelum angin kasar menampar wajahnya. Dia meraup wajah dan beristighfar. Kakinya melangkah laju ke arah kereta dan dia tidak menunggu lama untuk meninggalkan pekan itu. Perasaannya berbaur. Jeruk kelubi juga sudah hilang dalam fikirannya!

*** 

Mendengar deruman enjin kereta milik suaminya, Cha cepat-cepat membuka pintu untuk menyambut kepulangan suaminya.


“Assalamualaikum..”
“Wa’alaikumussaam..” Jawab Cha sambil mengambil plastik dari tangan suaminya. Nain menutup pintu rumah dan duduk di kerusi rotan. Tidak lama kemudian, Cha kembali dengan secawan teh o panas. Dia duduk bersebelahan dengan suaminya. Nain menghirup seteguk.

“Orang kampung sini, sombong.” Luah Nain tiba-tiba. 
Terangkat bahu Cha yang tidak tahu cerita itu.


“Kenapa?”
Nain menceritakan kejadian di kedai runcit itu. Dia kecewa kerana dia bukanlah jenis sombong dengan orang.

“Patulahh...” Suara Cha kedengaran meleret.
“Patutlah apa?” Nain bertanya sebelum menyisip kembali teh panas yang disediakan oleh isterinya.

“Tadi, Pak Cik Jambak ada datang, dia ada pesan..”
“Pak Cik Jambak? Bila dia datang? Pesan apa?”
Cha jadi serba-salah apabila diasak soalan bertubi-tubi. Bagitahu salah, tak bagi tahu pun salah!

“Pak Cik Jambak habaq, jangan bergaul sangat dengan orang kampung sini. Mereka tak mesra masyarakat! Sombong!”

“Hahh, memang betullah tu! Macam walid kena tadi. Sepatutnya duduk di kampung macam ni, kena bergaul antara satu sama lain, apa-apa terjadi, senang. Ini tak, sombong tak tentu pasal.” Nain mengeluh kasar.

“Tadi masa kat pekan, walid..” kata-kata Nain terhenti di situ. Ingin diceritakan apa yang berlaku di gerai makan itu namun memandangkan isterinya itu seorang yang penakut, Nain membatalkan hasratnya. Tidak mahu isterinya berasa takut setelah duduk menyewa di sini.

“Haa..haa..haaa....” Tiba-tiba Cha mendengar suaminya ketawa.
“Sengaulah abang gelak!” Cha turut ketawa.
“Bila masa abang gelak?” Nada Nain berbunyi keras, separuh berbisik.
Terus terhenti ketawa Cha.


“Haa..haa..haaa...”
Suara itu kedengaran lagi. Cha menghimpit suaminya dari sisi. Dia mula berasa takut, tubuhnya menggigil tanpa sedar.

“Su.. suara.. sapa tu?” Cha berbisik betul-betul di cuping telinga suaminya.
“Syhhh..” Nain meminta isterinya supaya berdiam diri.
“Haa...haa...haaa..”

Masing-masing masih diam memasang telinga. Nain yang berkira-kira mahu bangun menjenguk ke tingkat atas, terus tidak jadi bangun. Dahinya berkerut, wajahnya tegang. Cha yang duduk di sebelah suaminya semakin dihimpit ketakutan. Kelopak mata mereka tidak berkelip melihat ke arah tingkap di sebelah kiri rumah. Bunyi yang aneh mula kedengaran.

Cha menggosok telinga yang terasa ngilu tiba-tiba itu.
‘Apa pulak nii!’ Desis Nain dalam hati. Dia sendiri merasa berdebar.


Jam kayu yang disangkut pada dinding sudah berdenting sebanyak dua belas kali. Mata Puan Zera masih tertancap pada televisyen di hadapannya. Hatinya semenjak lepas Isyak tadi berasa tidak tenang. Seperti akan berlaku sesuatu yang buruk.

Pada siapa dia tidak tahu cuma dia terlebih berasa risau pada anak sulungnya yang sedang berbadan dua itu. Tambahan pula anaknya sekeluarga telah berpindah ke rumah baru.

Jemarinya dibawa ke dahi lalu dipicit perlahan. Dia merebahkan tubuhnya di atas sofa. Selesa berbaring di situ, perasaannya kembali berasa gundah. Berulang kali Puan Zera beristighfar untuk menenangkan hatinya.

Lama dia dalam keadaan begitu sehinggalah dia mulai rasa mengantuk. Dari luar hujan mula turun rintik-tintik kemudian laju mencurah-curah. Lebat diiringi deruan angin yang kuat sehinggakan langsir tingkapnya berkibar kuat.

Puan Zera bangun dan memasuki biliknya. Gementar pula mahu duduk seorang diri di ruang tamu waktu itu. Ditambah pula dengan hujan yang begitu lebat di luar. Puan Zera membaringkan tubuhnya di sebelah suaminya yang sudah lama dibuai mimpi itu.

Kadang-kadang timbul rasa cemburu memandangkan suaminya itu seorang yang mudah tidur, tidak seperti dirinya. Disebabkan hari sudah lewat malam, dia benar-benar dikuasai rasa mengantuk.

Selesai membaca doa tidur, tiga Qul serta Surah Qursi, dia mula pejamkan mata. Tidak sampai sepuluh minit dia sudah di alam mimpi.

***

Bunyi bising secara mengejut itu menyentakkan Puan Zera yang sedang mengelamun seorang diri. Dia yang terkejut segera melihat sekeliling.

‘Aku dekat mana ni?’
Puan Zera mula berasa takut, perutnya terasa sebu. Di sekelilingnya dipenuhi semak-samun! Puan Zera memutarkan pandangannya dengan tajam. Dia memperhati setiap yang berdekatan dengannya. Tiada orang di situ. Hanya dia!

Kakinya diatur ke depan beberapa langkah untuk memastikan telahannya benar. Lututnya terasa goyang. Dalam keadaan yang kurang pengcahayaan, Puan Zera terlopong melihat apa yang ditunjukkan oleh matanya. Landasan kereta api?

Bunyi bising itu kembali kedengaran. Laju Puan Zera menoleh ke kanan, arah bunyi itu datang. Dari jauh dia melihat cahaya lampu yang berkelip-kelip. Suasana di situ agak kelam kerana tidak semua tiang lampu bercahaya ketika itu.

Bunyi kuat kembali kedengaran. Bunyi yang semakin membingitkan telinga, Terus dia memandang tidak berkelip. Merasakan ada sesuatu di sebelahnya, laju dia menoleh. Puan Zera tergamam melihat susuk tubuh seseorang berdiri di sebelahnya.

Rambut panjang yang terurai menyukarkan dia melihat wajah orang di sebelahnya. Dia mengendong sesuatu. Pakaiannya dipenuhi tompokkan darah dan bau hanyir mula menusuk rongga Puan Zera. Dia menonyoh hidungnya dengan jari telunjuk beberapa kali.

“Cha busuk ke mak...?” Suara yang sayu itu menjentik telinga Puan Zera.

Mata Puan Zera terbuntang. Itu suara anaknya! Dia pejamkan mata seketika sebelum membukanya semula. Berharap semua ini hanya mimpi! Namun sebaik matanya dibuka, perempuan itu masih berdiri di sebelahnya.

“Si.. siapa kau?”

“Ni Cha, mak.. Mak tak kenal Cha? Ni cucu mak..!”

Puan Zera melihat wajah pucat itu. Dia melihat apa yang dikendong anaknya itu. Bayi yang berlumuran darah!

“Cha dah bersalin?” Dahi Puan Zera berkerut seribu.

“Ni cucu mak!”

Serentak dengan itu, bayi yang berlumuran darah itu dicampak ke tengah landasan. Diikuti oleh Cha. Suara kereta api semakin mendekat. Jantung Puan Zera lari dari denyutan asal.

“Poonnnn!!”
“Chaaaaa!” Jeritan nyaring Puan Zera seakan menandingi kuatnya bunyi enjin keretapi.

‘Ra! Bangun!” Panggil Encik Zul kuat. Sudah lima kali dia mengejutkan isterinya yang mengigau itu. Puan Zera bingkas bangun dari pembaringan dan terus menangis teresak-esak.

“Cha, abang! Ra mimpi Cha!”
Encik Zul mengurut dadanya yang sakit tiba-tiba.
“Kenapa dengan Cha?”
Air mata Puan Zera mengiringi ceritanya..

***

Cha terbaring lemah di atas katil. Dia diserang demam panas lewat malam tadi. Selepas kejadian malam tadi, dia nekad untuk berpindah dari situ!

Sesuatu yang tidak di duga oleh dia dan suaminya. Malam tadi mereka alami sesuatu yang tidak dapat dilihat dengan mata kasar. Yang akhirnya membuatkan Cha tidak sedarkan diri.

Akibat bunyi aneh dari luar tingkap, mereka berdua menjenguk ke luar tingkap. Dari jauh lampu berkelip-kelip kian menghampiri. Bunyi semakin kuat dan menggilukan telinga. Geseran besi karat membingit halwa telinga.

Tanpa di duga, Nain dan Cha melihat kereta api jenis lama keluar dari kawasan hutan dan jelas kelihatan ketika melalui tepi rumah mereka. Meskipun agak jauh jaraknya tetapi mereka boleh melihat apa yang ada di dalam kereta api! Seolah-olah penglihatan mereka ditajamkan. 
Kedua-duanya saling memaut pinggang masing-masing. Tubuh Cha paling kuat menggigil. Dia menekup mulut.


“Chaaa...”
“Chaaa..”

Air matanya Cha mengalir laju. Suara memanggil namanya sayup-sayup di telinganya. Ngilu di telinganya semakin terasa.

Mata Cha masih terpaku pada keretapi yang sudah berhenti itu! Betul-betul bertentangan dengan mereka dari sisi! Bau tengik mula berterbangan dalam rumah mereka.

“Walid...”

Cha cuba memanggil suaminya, Di dalam kereta api, dia melihat sejumlah makhluk yang menakutkan. Wajah yang menggerikan, pakaian yang bertompokkan darah kering. Mereka sedang memandang dan melambai ke arahnya!

“Abang...” Cha sedaya-upaya cuba menoleh meskipun lehernya terasa berat hendak berkalih.

“Allah!”

Pautan dipinggang suaminya terlepas, Cha terus melurut jatuh dan tidak sedarkan diri. Sebelum jatuh, dia melihat wajah suaminya bertukar ngeri dengan mata putih tersembul dan bibir yang terbuka luas bersama air liur darah yang berjejeran!

***

"Assalamualaikum!"

Seseorang memberi salam dan menepuk perlahan bahu Nain yang mahu melangkah keluar dari pintu masjid. Dia berhenti di masjid di pekan itu setelah pulang dari tempat kerja. Hendak berjemaah di surau di kampung itu, dia berasa dirinya tidak diperlukan di situ.

Kaki Nain berhenti melangkah. Dia menoleh ke kanannya. Segera romannya dimaniskan.

“Wa'alaikumussalam..”
“Orang baru ke?” Haji Daud duduk di sudut beranda masjid. Nain turut duduk di situ.
“Ya, saya baru berpindah hampir sebulan di sini.” Sopan Nain menjawab.

Dia berasa lega kerana ada orang ingin berbual dengannya. Mata Nain tertancap pada tiga susuk tubuh di luar masjid. Dia kenal mereka!

“Pak cik kenal tak, mereka tu?” Nain berpaling semula ke arah luar masjid. Ketiga-tiganya sudah tiada!

“Siapa yang kamu nampak?” Haji Daud bertanya perlahan. Nain menggeleng.

“Kamu tinggal di mana?”
“Kampung Talang Masin!”

Rata-rata warga emas yang berada berdekatan dengan mereka, berpaling serentak ke arah Nain dan Haji Daud. Masing-masing mendekati dengan raut wajah terkejut.

“Kamu pasti ke kamu tinggal di kampung tu?” Hassan, peraih buah bertanya tanpa bertangguh. Nain terdiam. Dia berfikir sejenak.

“Betullah!”
Semua yang mengelilinginya beristighfar. Ada yang menggelengkan kepala. Ada yang menginjak ke belakang sedikit. Ada yang berwajah tegang.

“Kenapa kamu tak sembahyang di surau kampung tu? Jauh kamu ke pekan ni,” Dali, tok siak masjid mula bermain tarik tali. Yang lain hanya memasang telinga. Nain serba-salah hendak menjawab.

“Orang kampung situ, sombong dengan saya! Saya tegur, mereka buat tak tahu!” Nain membela dirinya yang dirasakan dipulaukan.

Haji Daud tersenyum tawar. Yang lain pula kelihatan teragak-agak.

“Maaf ye, pak cik nak tanya,” Haji Badrul menghulurkan senyuman. Dia tidak mahu anak muda di depannya ini takut untuk bercerita.

“In Shaa Allah, saya cuba jawab sebaik mungkin.” Barulah Nain berasa tenang. Lapang dadanya saat itu.

“Tuan rumah kamu namanya Jambak?”
Nain mengangguk.
Jemaah yang sudah berumur, masing-masing terkedu kemudian menggeleng kepala. Mereka segera beristighfar.

“Rumah kamu berdekatan dengan landasan kereta api lama?”
“Pernah dengar bunyinya?”
Nain angguk lagi. Dia mahu beritahu apa yang dia dan isterinya dengar tetapi hasrat itu dibatalkan. Dia rasa berat hati.

“Ada kamu azan sebelum duduk di situ?”
Nain menggeleng.

“Pak Cik Jambak kata, dia sudah azankan untuk saya!”
“Kamu ingat rupa dia?” Dali memyampuk.
“Mestilah ingat!”

Nain sengih. Merasakan dirinya diperhatikan, Nain mengalih pandangan ke arah jalan raya yang semakin lenggang. Kelihatan Pak Cik Jambak sedan senyum ke arahnya.

“Itu Pak Cik Jambak! Nak ke sini agaknya!”

Jari telunjuk Nain dihalakan ke arah jalan raya. Laju tangannya melambai ke arah Jambak. Memanggil lelaki itu agar menyertai mereka semua.

Mendengar saja Nin berkata begitu, beerapa orang Jemaah merapatkan duduk ke arah tok imam. Haji Daud menarik nafas dalam-dalam.

“Ini rumah Allah! Dia tidak boleh masuk!”
Pandangan Haji Daud bertembung dengan sorotan mata Jambak. Dia mula membaca beberapa potong doa. Nain hanya mendengar. Dia mula berasa tidak sedap hati.

“Kenapa pula dia tak boleh masuk?”
Cikgu Faris yang sedari tadi mula bertanya. Dia turut memandang ke arah jalan raya. Kosong. Tiada sesiapa di situ!

Dali melepaskan nafas.

“Dia sudah lama meninggal dunia!”
Nain terlopong, tubuhnya menggigil kuat.
“Meninggal?” Nain terus rebah tdak sedarkan diri.

***

Tidak berapa lama kemudian, Nain pulih daripada pengsan. Haji Daun sedaya-upaya memulihkan semangat anak muda yang baru dikenalinya itu.

“Kamu tinggal seorang diri di situ?”

Hassan kembali bertanya. Tadinya dia juga terperanjat seperti mereka yang lain. Sesuatu yang mengemparkan sesiapa saja yang tahu siapakah Jambak itu.

“Saya tinggal bersama isteri dan anak sulung perempuan.”

“Anak kedua?” Yamin menyoal laju. Semenjak tadi dia memerhati dan mendengar saja.

“Er.. masih dalam perut! In Shaa Allah lepas raya nanti baru bersalin!”

Sekali lagi mereka beristighfar sambil menggelengkan kepala.

“Patutlahhh....” Hasan meraup wajah.

“Mujurlah kami bertemu dengan kamu, kalau tidak...” Haji Daud menggeleng lemah.

“Kenapa ni?” Nain sudah semakin gelisah.

“Macam ni, kamu tahu mana pasal rumah tu?”

Nain memandang Haji Daud. Dia cuba memerah ingatannya.

“Saya ada terjumpa kawan lama seminggu sebelum saya berpindah ke sini. Dialah yang memberikan nombor telefon Pak Cik Jambak kepada saya. Saudara jauh katanya.

“Kawan kamu tinggal di mana?” Dali kembali bertanya.
“Di Taman Hijrah.” Balas Nain tanpa mengesyaki apa-apa.

“Panggil kawan kamu tu datang sekarang. Kami tunggu” pinta Haji Badrul. Riak wajahnya tegang.

Nain mengeluarkan telefon bimbitnya dari dalam poket seluar. Dia mencari nama rakan yang sama minat dengannya. Punat hijau ditekan setelah nama Rizal ditemui. Yang lain memasang telinga. Masing-masing gelisah.

“Ya Allah!!”
Telefon bimbit Nain terlepas dari genggaman. Yamin dengan tangkas menyambut agar telefon kecil itu tidak terhempas ke lantai.

Haji Badrul memaut bahu Nain.
“Kenapa nak?”

Air mata Nain mengalir deras dengan tiba-tiba. Terhinggut-hinggut bahunya mengambarkan betapa sedihnya dia ketika itu. Sungguh dia tidak dapat menahan sebak yang menghentak dirinya.
Dalam tersedu-sedu, Nain bersuara juga.


“Tadi yang jawab panggilan kawan saya tu, isterinya. Kawan saya tu sudah tiga bulan terlantar koma di Penang!” Nain meraung dalam hati.

Masing-masing sudah tidak senang duduk sambil beristighfar.

“Habis, siapa.. yang jumpa dengan saya tempoh hari? Dan nombor telefon tu?” Nain sudah tidak keruan. Tubuhnya sudah dibasahi peluh.

“Melampau dah ni, Aji!” Dali meluahkan amarah.

“Jom, kita pergi ke rumah kamu, sekarang!”

Nain hanya mengangguk dan perlahan-lahan bangun membuntuti jemaah lain yang mula menghampiri kenderaan masing-masing. Yamin memaut bahu Nain, Dia bimbang anak muda itu terikut dengan emosinya.

***

Telefon bimbit Nain berdering sewaktu dia mula menghidupkan enjin keretanya. Melihat nama ayah mertuanya yang terpapar di skrin telefon, dia memberi isyarat tangan supaya yang laim menunggu sebentar. Dia memberi salam sebaik punat hijau ditekan. Salamnya dijawab laju.

“Ye ayah?”
“Kamu dekat mana ni? Ayah telefon Cha dari tadi tak berjawab!”

Nain terperanjat. Dia terlupa mahu menghubungi isterinya hari ini! Allah.. Lalainya dia sebagai suami!

“Nain ada di pekan ni. Baru nak bertolak balik. Ada jemaah masjid ikut Nain pulang ke rumah.”
“Hah, eloklah. Ayah pun baru masuk ke pekan. Ayah tunggu kamu depan balai polis lama.”
“Baik ayah!”

Nain menjenguk ke luar tingkap. “Ayah mertua saya tunggu di depan balai polis lama.” 
Haji Daud serta yang lain mengangguk dan mula meninggalkan perkarangan masjid.


Sebaik bertemu dengan ayah mertuanya, Nain menceritakan serba-sedikit kepada ayah serta ibu mertuanya meskipun dia sendiri tidak tahu keadaan sebenar. Kedua-duanya beristighfar panjang. Mimpi Puan Zera turut Encik Zul maklumkan.

“Kita kena cepat ni, isteri kamu dalam bahaya!” Gesa Haji Daud. Tidak mahu perkara yang lebih teruk terjadi. Nain memandu di hadapan dan yang lain mengikutinya di belakang.

***

Lampu kereta dibiarkan menyala. Nain tergamam di dalam kereta. Di mana isterinya? Di mana anaknya? Mana rumahnya? Apa yang sudah terjadi ni? Di hadapannya terhidang hutan belantara!

Encik Zul memimpin menantunya keluar daripada kereta. Tubuh Nain lembik tidak bermaya. Dia menggeleng sambil meraup rambutnya.

“Mana rumah kamu, Nain? Mana Cha? Mana Yuyu?”

Puan Zera sudah menyoal dari dalam kereta. Suaminya tidak benarkan dia turun dan mahu dia duduk diam-diam di dalam kereta.

“Nain.. Nain tak tahu mak..”

Nain pandang sekeliling, semak-samun yang meninggi. Mana rumahnya? Mana kawasan lapang di sekitar rumahnya? Yang ada hanya lalang yang melebihi parasnya! Nain meraup wajah. Allah..

“Panggil isteri dan anak kamu. Mudahan mereka mendengarnya.” Arah Haji Daud.

Nain angguk. Air mata yang bertakung di kelopak, dikesat kasar.

“Cha! Yuyu! Cha! Yuyu!”

Sunyi sepi. Angin malam menderu perlahan kemudian bertukar laju. Masing-masing mula diburu kesejukkan. Dinginnya bagaikan ais!

“Ini bukan angin biasa! Ini permainan syaitan!” Dali bersuara tegas.

“Baca ayat Kursi.” Suruhan Haji Daud segera mereka laksanakan.

Bacaan ayat Kursi terus bergema dalam hati masing-masing. Angin semakin menderu-deru. Daun-daun kering bertebaran ganas. Ranting-ranting kecil patah dan berterbangan dari semua arah.

Haji Daud dan Dali mula membaca ayat-ayat ruqyah. Setiap sebutan jelas ditelinga mereka semua.

“Panggil nama isteri dan anak kamu.”

Nain angguk kepada Haji Daud.

“Cha! Yuyu! Walid dekat sini!” Nain memanggil dengan nada sebak.

“Mana kau sorok mereka, Jambak! Kembalikan mereka!” jerit Yamin meluahkan rasa.

Sayup-sayup bunyi keretapi kedengaran dari jauh. Bunyinya kian membingitkan telinga. Rata-rata mereka menutup telinga kerana berasa ngilu. Suara jeritan berselang-seli dengan ngauman enjin keretapi.

Puan Zera tersedu-sedu seorang diri. Matanya meliar ke serata arah.
“Mak tok...”
“Mak...”

Puan Zera menoleh ke belakang dengan senyuman lega. Dua wajah buruk sedang menyeringai ke arahnya. Terus mati senyuman Puan Zera.

“Allahuakbar!”
Suara nyaring Puan Zera mengejutkan mereka. Encik Zul segera mendapatkan isterinya yang sudah tidak sedarkan diri itu.

Haji Daud melaungkan azan kemudian mengenggam segumpal tanah di kakinya. Selesai azan, dia membaca ayat-ayat ruqyah lalu dihembus ke tanah dalam genggamannya itu.

“Allahuakbar!”

Haji Daud melemparkan tanah ke arah semak-samun di hadapannya. Serta-merta bunyi kereta api lenyap! Keadaan menjadi kembali sepi. Deruan angin juga berubah rentak. Perlahan.

“Jom!” Ajak Dali.
“Siapa ada lampu suluh, duduk di sebelah saya.”

Nain mengambil lampu suluh dari dalam keretanya. Encik Zul turut menghulurkan lampu suluh kepada menantunya. Isterinya sudah sedar cuma keadaannya masih lemah.

Haji Badrul mula masuk ke dalam semak. Lampu suluh dihalakan ke serata tempat. Mereka bersengkang mata membantu Nain mencari anak dan isterinya.

“Cha! Yuyu!” Nain memanggil lagi.
“Nak, itu anak dan isteri kamu ke? "

Hasan menyuluh ke arah sebatang pokok. Nain segera menerpa ke arah isteri dan anaknya. Cahaya dari lampu suluh menerangi kawasan itu. Cha dan Yuyu tidak sedarkan diri.

“Aji, cuba tengok ni. Hasan mengalih perhatian mereka.

Astaghfirullahaladzim! Nain benar-benar terperanjat. Di sekeliling pokok itu, terdapat beberapa perkakas dapur yang sudah rosak dan berkarat.

“Pak cik, selama ni keluarga saya tinggal di sini?” Nain menelan air liur yang tertahan sejak tadi.

Haji Daud mengangguk lemah.
Ya Allah! Nain meraup wajah.
“Aji, itu dia! Itu!” Tok siak berbisik perlahan.

Haji Daud melihat botol dalam genggaman Yuyu itu. Dia segera mengambilnya namun belum sempat tanganya mencapai botol itu, Yuyu membuka mata! Lebih mengejutkan apabila mata putihnya saja yang kelihatan!

Haji Badrul mengalunkan azan sekali lagi. Kali ini lebih kuat dari tadi sehinggakan yang lain berasa meremang.

Yuyu kembali terbaring dan tidak sedarkan diri. Haji Daud mengambil botol itu dan membaca ayat-ayat ruqyah lalu meniup pada botol itu. Haji Badrul dan Hasan sudah pun menggali tanah menggunakan belakang lampu suluh milik Yamin. Haji Daun memasukkan botol itu ke dalam lubang dan mengambusnya. Semuanya dilakukan dengan pantas.

“Walid!”
“Abang!”

Nain melafazkan syukur sebaik mendengar suara isteri dan anaknya. Mereka berpelukan sambil menangis.

“Mari kita ke rumah saya. Tak elok berlama-lama di sini,” pelawa Haji Daud. Jam sudah melewati angka empat pagi.

Nain mengangguk lemah. Jiwanya bercelaru saat ini. Cha memerhati keadaan sekitarnya dengan penuh tanda tanya.

***

Suasana sunyi menyelubungi ruang dalam rumah Haji Daud sehinggalah Hajah Samsiah membawa dulang berisi kopi panas dan juga biskut kering. Itu saja hidangan pada ketika itu. Dia yang sudah tertidur, terkejut apabila rumahnya didatangai tetamu pada pukul empat pagi!

“Jemputlah, yang ini saja ada. Maaflah ye.”

Hajah Samsiah memohon maaf kerana tidak menyediakan hidangan yang lebih enak untuk tetamu-tetamunya. Wajah anak kecil yang sedang tidur di atas toto, dipandang penuh kasih. Rasa kasihan menebal dalam dirinya.

“Eh tak apa. Kami dah cukup berterima kasih dapat menumpang sebentar. Maaf menganggu akak tidur.” Puan Zera tersenyum tawar.

Hajah Samsiah menepuk perlahan tangan Puan Zera, tanda dia tidak kisah.

“Sebenarnya apa semua ni, pak cik?” Nain memulakan petanyaan. Dia sudah tidak tahu untuk berfikir lagi. Kepalanya pusing!

Haji Daud menarik nafas dalam-dalam dan melepaskannya perlahan. Dia menyisip sedikit kopi panas. Lega yang dirasainya saat itu.

“Sebenarnya, rumah kamu duduk itu hanyalah tapak asal rumah Jambak.”
“Tapi saya duduk dalam rumah!” Cha menyampuk.

Haji Daud mengangguk. Dia faham.
“Kamu dan keluarga kamu saja yang nampak dan duduk dalam rumah tu. Padahal kamu semua sebenarnya tinggal di dalam hutan! Sejak Jambak meninggal, kawasan itu yang dulunya kebunnya terus terbiar. “

Cha tergamam begitu juga dengan suami serta ibu dan ayahnya. Mereka beristighfar panjang.

“Habis, yang kami jumpa tu?” Nain meminta kepastian.

Cha teringat kembali malam di mana Pak Cik Jambak datang ke rumahnya tempoh hari, serta-merta bulu romanya berdiri! Dia mengesot merapai ibunya.

“Itu jelmaan dia.” Balas Haji Badrul pendek.

“Pasal kereta api tu? Macam mana” Tanya Encik Zul pula.

“Kereta api tu wujud masa kami semua masih kecil. Tetapi setelah kejadian kereta api terbakar di situ, ianya berhenti beroperasi. Kalau tidak silap, hampir berbelas orang yang meninggal dalam kebakaran itu. Kereta api yang terbakar itu pula dibiarkan saja.” Dali berhenti seketika.

“Sejak itu Jambak melakukan kerja-kerja memuja roh-roh yang berkeliaran di situ untuk kepentingan peribadinya!”

“Kereta api tu ada lagi?” Pertanyaan Cha dibalas dengan anggukan.

“Tapi jauh dalam hutan. Sesiapa pun tidak berani jejakkan kaki ke situ. Seolah-olah mahu menempah bala!” Ujar Yamin pula.

“Macam mana Pak Cik Jambak meninggal?” Nain benar-benar ingin tahu.

“Tiada sesiapa pun yang tahu. Orang kampung menemui mayatnya yang sudah rentung di rumahnya. Tempat yang kamu tinggal tu!” beritahu Yamin pula.

“Botol tu?” Nain baru teringat akan botol yang dijumpai dalam genggaman anaknya tadi.

“Botol tu sebenarnya kami temui berada berdekatan dengan mayat Jambak. Arwah Haji Aq sudah tanam tetapi siapa yang mengambilnya pula? Tak pasal-pasal, Jambak muncul kembali!” Dali merenggus marah.

Keadan menjadi hening hampir beberapa minit. Masing-masing melayani perasaan yang berbaur.

“Dia sebenarnya mahukan anak dalam kandungan kamu! Kamu ingat tak apa yang terjadi sebelum kamu tidak tidak sedarkan diri?”

Cha memandang Haji Daud. Dia menggeleng. Langsung tidak ingat apa-apa. Nain memandang isterinya. Ada cerita yang hendak dia sampaikan. Dia sendiri masih tidak mempercayai semua ini.

“Cha, ingat Apit?Cha mengangguk.
“Kawan abang yang bagi nombor telefon itu kan?”
Lambat-lambat Nain mengangguk.

“Sebenarnya dia koma. Sudah tiga bulan dia terlantar di Penang.”

“Inalillah..” Cha menekup mulut. Tubuhnya terasa menggigil. Sungguh banyak kejutan untuknya hari ini. Pedih mula mencengkam ulu hatinya.

“Nak, yang kamu kata orang kampung sini sombong tu, sebenarnya..” Dali mula membuka cerita. Nain mula teringkat akan hal itu.

"Kenapa pak cik?”

“Sebenarnya mereka tak nampak kamu!” Jawab Haji Daud setelah Dali kelihatan berat untuk bercerita.

“Kenapa pula?”

“Sebab kamu sekeluarga sudah di bawa ke alamnya. Mujurlah kamu singgah ke masjid tadi!”

Nain terkedu. Ketika menghampiri masjid besar di pekan itu, azan isyak mula berkumandang dan hatinya meronta kuat untuk singgah menunaikan solat isyak secara berjemaah. Nain bersyukur tak terhingga kerana keluarganya diselamatkan.

“Err.. Pak cik semua kenal tak dengan orang bernama Wan, Kimi dan juga Naim?”

Pertanyaan Nain itu ibarat luka lama berdarah kembali bagi mereka sebagai orang lama di pekan itu.
“Kenapa kamu tanya?” Hajah Samsiah bertanya dengan tenang. Nain tidak tahu hendak menjawab bagaimana. Dia serba-salah.

“Saya ada terjumpa dengan mereka di sebuah warung. Mereka ada berbual pasal Pak Cik Jambak tetapi elok saya nak bertanya, mereka sudah tiada!”

“Lahaula wala quwata illa billahil aliyil azim!” Haji Daud, Dali, Yamin, Hasan serta Dali melafazkan kalimah itu serentak.

‘Tiada daya dan kekuatan melainkan dengan izin Allah!’ Jawab yang lain dalam hati.

“Mereka tu kawan baik, dijumpai mati berdekatan kereta api yang terbakar tu! Dengar cerita mahu musnahkan kerja-kerja Jambak itu tetapi mereka pula menemui ajal.” Terang Hajah Samsiah sambil mengesat air mata.

“Allah..” Nain terus terdiam sambil menahan tangis.


TAMAT
========================================

Gambar & Suntingan: Dikmang
Anda ada kisah seram, komedi-seram, misteri, thriller ataupun mind-blowing? Apa kata anda kongsikan kisah anda kepada kami.

Hantar kisah anda ke inbox Arkib Angker Negara atau emelkan ke aanrc2017@gmail.com
Nyatakan sekali nama akaun Facebook, blog, Instagram, Twitter atau webpage anda untuk pengkreditan.

No comments: