Dua Kisah Pengajaran Tak Masuk Akal
Kisah Pertama
"So, kiranya malam ni jadi la plan kita, ye?" Aku bertanya kepada Ihsan, Rami, Farina, dan Marlina untuk memastikan kejutan hari jadi Lindana menjadi satu kejutan yang tidak disangka-sangka.
"Petang ni aku, Asri dengan Rami pergi ambil kek. Korang yang perempuan bawa Lindana pergi makan dan jalan-jalan. Jangan sampai rancangan kita kantoi," kata Ihsan mengingatkan mereka.
"Baik bos!" Balas Farina dan Marlina serentak.
Aku, Ihsan, dan Rami menuju ke kedai kek. Kami menempah kek keju, disebabkan Lindana tidak makan kek coklat (mengada-ngada). Setelah membayar harga kek dan semua barang yang diperlukan, kami meletakkan semua barang yang dibeli di dalam kelas di tingkat dua.
"Asri, aku dengan Rami nak pergi balik ke asrama kejap. Nak masak mee goreng. Malam nanti lepas maghrib, kitorang datang balik ke sini. Jaga barang-barang ye, sayang." Ihsan memberi pesanan sebelum mengajak Rami mengikutinya.
"Kau gila nak tinggalkan aku sorang-sorang kat sini? Dah aku nak sembahyang maghrib macam mana?" Bantahku dengan tidak puas hati.
"Mu sembahyang sini la. Jaga barang-barang. Nanti lepas maghrib, kitorang datang balik. Please..." Rayunya lagi sehingga tiada pilihan yang dapat kutentukan.
"Okey lah! Okey lah!" Aku akhirnya mengalah.
"Macam tu lah kesayangan abang." Dia mencuit hidungku sebelum menghilang bersama Rami.
"Gila!" Cemuhku.
Aku berjalan ke bilik air yang tidak jauh dari situ dan menunaikan solat di dalam kelas itu juga. Mujur kelas itu bersih.
Usai sahaja aku menunaikan solat, aku menghias di depan papan tulis. Beberapa biji belon ditiup dan disangkut untuk memeriahkan majlis. Tidak lama kemudian, Ihsan dan Rami kembali.
"Awat hang lama sangat ni? Jenuh aku tunggu. Hang tak pikiaq aku duk sorang kat sini. Mau mai perogol mampus aku kena kerja. Aiyoo!" Secara tak sengaja, terkeluar pelat kedah aku.
"Yelah, yelah. Jom kita susun semua barang ni. Yang lain dah ready ke Asri?" Soalnya.
"Amboi, kemain hang tanya! Aku duk sorang kat sini siap semua benda. Hang sedap je tanya eh. Aku rasa nak cili je mulut sajat hang." Kataku dengan nada gurau-gurau manja.
Kami bertiga berehat sementara menunggu isyarat daripada Farina dan Marlina untuk membawa Lindana masuk ke perangkap hari jadinya.
Ting!
Telefon Rami berbunyi. Dikhabarkan yang geng-geng perempuan bakal ke mari dalam masa 15 minit.
~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~
"Lindana, kad matrik Syarindah tertinggal dekat BT2.4 la. Mari la temankan kami ambil balik kad dia tu." Farina memujuk Lindana yang sedang berbaring di atas tilam.
Manakan tidak, tadi siang dia meratah dua ayam goreng percik, tiga set cheezy wedges, nasi ayam dengan sambal belacan dan ayam penyet berapi dengan sambal pedas. Perutnya sneak, dan se'eh. Malas mahu bangun.
"Aku malas la, laling! Esok je la." Lindana masih berbaring sambil memakan coklat hersheys.
"Tolong la Lindana, wei! Kawan kita je ni pun." Tambah Marlina dengan kasar.
"Okey la, jap aku siap dulu." Dia akhirnya mengalah dan bersiap ala kadar.
Farina menekan-nekan keypad pada telefonnya dengan memberi isyarat kepada kami untuk menutup lampu. Rami bersembunyi di depan meja. Ihsan duduk bersila di atas meja bersebelahan pintu dan aku menyorok di bawah meja.
Rami telah bersiap sedia dengan bom meletup yang digunakan semasa parti hari jadi. Aku dan Ihsan menahan ketawa menanti ketibaan mereka.
"Hang jalan la depan dulu Lindana." Farina menolak tubuhnya yang berbadan makin gempal.
"Jangan la tolak, aku pun takut la. Hang ni kan..." Lindana menunjukkan buku limanya yang sangat besar.
Sampai sahaja di depan kelas, Lindana berasakan sesuatu yang pelik. Kelas berasa sangat sejuk seperti penghawa dingin terpasang tanpa ditutup.
"Eh, gelap la. Mana suis lampu ni?" Dia meraba-raba dalam kegelapan.
"Mak! Ada patung buddha!" Jerit Lindana dengan lantang. Ketakutan yang maha dahsyat menyebabkan dia menangis seperti kebudak-budakan.
"Boom!"
Lampu terpasang.
"Arghhhhhhhh!"
Lindana menjerit sehingga melampaui had suaranya. Reaksinya cukup berbeza. Kami terpempan. Tidak disangka begitu sekali takutnya pada bunyi letupan dan bayangan yang disangka patung buddha.
"Arghhhhhhhhhh! Ada setan! Ada setan!"
Lindana menjerit histeria. Farina, Marlina dan Syarindah terpaku. Aku, Ihsan dan Rami terkedu. Malam yang disangka menjadi satu kejutan yang dramatik bertukar menjadi satu kejutan lolongmatik.
"Arghhhhhhhhhhhh!" Lindana berlari keluar dari kelas menuju ke koridor. Dia seperti mahu terjun dari tingkat dua bangunan.
"Hang ni kenapa, Lindana? Sabaq la! Sabaq!" Mereka bertiga memegangnya yang seperti dirasuk hantu.
Seorang pengawal keselamatan yang kebetulan terdengar jeritan itu terus meluru dan membantu yang mana boleh.
"Panggil ustaz sekarang!" Katanya dengan kelam-kabut.
Aku melihat Ihsan dan Rami turun ke tangga untuk memanggil ustaz. Aku yang menyorok di dalam kelas hanya mampu duduk berteleku. Makanan berupa kek, mee goreng Ihsan, coklat, snek, biskut, gula-gula, minuman berkarbonat dan yogurt ditinggalkan di situ tanpa disentuh.
Aku terdengar suara menderam di tempat meletak makanan. Alangkah terkejutnya aku melihat seorang wanita berwajah reput dan berambut panjang sedang makan gelojoh sambil mengeluarkan bunyi dengusan.
Beberapa orang ustaz bergegas ke mari untuk mengubati semangat Lindana yang lemah. Beberapa minit kemudian, keadaan kembali tenang. Lindana pulih, namun tenaganya lemah. Kepalanya dirangkul Marlina.
"Baby, janganlah mati," kata Farina dengan tersedu-sedan. Air matanya mengalir laju.
"Insyallah, dia tak apa-apa. Kamu semua ni kenapa ada dekat sini? Buat apa kamu malam-malam ke sini? Emangnya ada kuliah?" Soal Ustaz Suriman.
Ihsan, Rami, Farina, Marlina dan Syarindah terdiam. Kalaulah ada sesiapa tahu yang punca rakan mereka pengsan ini disebabkan oleh mereka sendiri, nahas nanti. Kejutan hari jadi yang gagal pada malam ini. Serik mereka.
Sementara itu, aku duduk di hadapan wanita berwajah reput itu sambil mencedok mee goreng. Aku tidak pedulikannya. Aku memasukkan beberapa biji kek lapis Apollo, gula-gula, makanan ringan ke dalam beg. Aku pau semua sekali.
Mee goreng yang aku makan bertukar kepada cebisan cacing yang semakin lama semakin bertambah. Wanita itu memandangku sambil mengukir senyuman.
"Sedap kan mee goreng yang Ihsan masak ni?" Kataku sambil terus menyuap makan.
Aku potong sebiji kek keju dan aku masukkan ke dalam mulutku, tidak aku sedar yang aku menggigit sesuatu yang agak kenyal. Lantas terus kucapai dan perhati.
Kek itu diselaputi oleh aising mata manusia sebenar! Darah meruak di dalam kek. Hatiku terpesona. Dah lama aku ingin kek itu. Terus aku makan walaupun mulutku penuh dengan krim merah. Aku mencapai air sirap dan aku teguk walaupun rasanya seperti darah manis.
"Hahahaha!" Aku gelak sendirian. Aku kekenyangan.
~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~
Sewaktu memasuki perkarangan kelas, Lindana melihat kelibat berbaju putih duduk di meja yang terletaknya makanan. Dia tidak menegur namun benda itu cuba menyergahnya tanpa sedar.
"Eh, ada patung buddha la," katanya sekadar menyedapkan hati.
Boom!
"Arghhhhhh!" Lindana menjerit apabila melihat sesusuk tubuh berkain kapan sedang berdiri di depan matanya. Wanita berwajah reput turut dilihat di sudut meja tengah. Dia tidak ingat apa-apa lagi melainkan menjerit dan terus menjerit.
Agaknya Lindana pengsan bukan sebab terdengar bunyi letupan yang Rami lakukan. Bukan juga sebab kedudukan Ihsan seperti patung buddha. Tetapi disebabkan...
Aku! Aku yang seru hantu tu! Hahahaha! Ini baru betul kejutan harijadi!
Pengajarannya ialah, masa makan bacalah doa makan. Mohon makanan itu dilindungi daripada syaitan durjana.
Hahahahaha.....!!!
~~~~~~~~~~~~~~
Kisah Kedua
Aku dan Ihsan memasuki perkarangan Giant untuk ke restoran Uncle Jack. Kami beratur untuk melihat menu yang disediakan. Semuanya agak murah dan berpatutan. Nasi ayam hanyalah berharga RM4.30.
Aku membelek dompetku. Alamak, aku hanya ada RM2.00 sahaja. Menyesal tidak ke mesin ATM sebentar tadi. Barisan beratur telah panjang. Aku tak ada pilihan lain lagi melainkan meminta bantuan Ihsan, sahabat baikku.
Sampai giliran kami memesan makanan, aku lihat Ihsan mengeluarkan wang berjumlah RM10. Dia turut memesan makanan yang sama iaitu nasi ayam yang berharga RM4.30.
"Ihsan, belanja aku boleh?" Pintaku tanpa memberitahu yang aku tidak punya wang.
"Mana boleh!" Katanya dengan angkuh.
"Ala, belanja la. Tak pun lain kali aku belanja kau balik. Okey tak?" Aku cuba memancingnya agar bersetuju. Makanan telah aku pesan namun hanya kebenarannya yang aku perlukan untuk makanan itu dijamu kelak.
Makanan kami sampai. Aku mengharapkan Ihsan akan membayar untuk makan kami. RM4.30 untuk dua orang baru RM8.60. Lebih daripada cukup dah RM10 tu.
Namun yang berlaku sebaliknya, Ihsan sekadar membayar makanannya dan baki dipulangkan sebanyak RM5.70.
Hancur luluh hati aku. Dah puas aku pujuk agar dia belanjakan aku namun dia lebih pentingkan wang ringgit daripada sahabat baiknya sendiri.
"Shit!" Cemuhku.
"Ermm...kak, takpe la. Saya tak jadi beli." Aku menahan malu lantas terus ke meja makan bersama Ihsan.
"Mu tak makan ke Asri?" Tanya Ihsan sambil menikmati nasi ayam tanpa ada niat membelanja aku makanan yang sama dengannya.
"Makan la kau sorang-sorang. Aku nak pergi tempat lain kejap," ujarku dengan nada merajuk.
Tiba-tiba, kedengaran bunyi tembakan bertalu-talu. Seorang perompak yang baru merompak kedai emas melepaskan tembakan dan pelurunya mengenai belakang badan Ihsan.
"Ihsan!" Aku pantas berlari ke arahnya.
Ihsan jatuh bergelimpangan dan tubuhnya dipenuhi darah. Air mataku berlinangan.
"Janganlah mati Ihsan!" Aku menepuk-nepuk pipinya dan membuat CPR di dadanya, namun gagal menyelamatkannya. Semakin membuak pula darah mengalir di belakang badannya.
Aku lihat di meja itu masih ada sisa nasi ayam yang belum dihabiskan. Ayam masih banyak. Nasi masih banyak. Sup belum dituang sepenuhnya.
Aku terus duduk di meja dan menghabiskan sisa makanan yang ditinggalkan Ihsan sementara Ihsan sedang menghadapi sakaratul maut, nyawa-nyawa ikan cuba menggapaiku. Polis dan ambulans bergegas ke tempat kejadian dan aku hanya menonton tanpa sebarang perasaan lagi. Ihsan, seperti orang asing.
"Sedapnya nasi ayam yang Ihsan tinggalkan ni," ucapku sendirian sambil terus menyuap nasi ayam yang telah bercampur dengan darah Ihsan. Rasanya sungguh lazat sehingga menjilat jari.
Mungkin apa yang terjadi kepada Ihsan adalah kifarah untuknya.
Pengajarannya, janganlah kita kedekut untuk belanja kawan. Bukan luak pun duit kita. Makin bertambah rezeki kita.
-TAMAT -
Suntingan dan gambar: Gongpal Topek
Pautan akaun penulis: https://www.facebook.com/mohd.asraf.71271
Karya adalah hakcipta penulis.
Sekiranya anda ada kisah thriller, seram, fantasi, dan senggama minda, hantarkan kepada kami ke:
aanrc2017@gmail.com
Sila sertakan pautan akaun FB, blog, atau apa-apa pautan untuk tujuan pengkreditan.
No comments:
Post a Comment