Thursday, 1 February 2018

ANAK BUNIAN - Ariff Budiman Zainal Abidin


ANAK BUNIAN





Salam kepada pembaca semua. Kali ini aku ingin paparkan kisah seram komedi untuk tatapan kalian semua.

Aku masih ingat sekitar tahun 80-an, kampungku masih lagi dipenuhi dengan hutan. Bagi mendalami ilmu membaca Al Quran, ibu bapaku telah menghantar kami kepada seorang guru yang tinggal di kampung sebelah.

Setiap kali selepas solat maghrib, kami adik-beradik akan berjalan kaki menuju kampung sebelah demi menuntut ilmu Al Quran. Ramai juga rakan-rakan sebayaku yang turut serta. Di kalangan rakan-rakanku, aku lebih cepat mengenal huruf Al-Quran dan mampu membaca dengan fasih. Andai guru kesibukan, dia akan meminta aku mengajar rakan-rakan yang lain.

Dikalangan rakanku, terdapat seorang rakan yang nakal. Dia kerap mendatangkan masalah terhadap keluarganya. Ada saja perkara yang membuat ibubapanya mengamuk dan sehinggakan terpaksa dirotan. Sudah beberapa kali dia ponteng sekolah dan kelas Al-Quran. Bila kena rotan dari ibunya, maka nampaklah dia dalam kelas Al-Quran. Kadang-kadang dalam sesi menuntut ilmu Al-Quran pun dia sering mengganggu rakan-rakan yang lain.

Pada suatu hari, selepas selesai kelas Al-Quran, aku dan rakanku berjalan kaki untuk pulang ke rumah masing-masing. Di perkarangan rumah rakanku yang nakal itu kelihatan begitu ramai yang berkumpul. Aku mendapat berita yang dia telah hilang. Polis dan tok bomoh juga telah dimaklumkan.
Kami pun memulakan gerakkan mencari rakanku. Kami beramai-ramai ke ladang koko sambil memanggil namanya. Ada yang ke bukit dan dari kejauhan kami dapat mendengar namanya di laung berulang-kali.

Di rumahnya pula ada seorang bomoh. Dimintanya salah seorang penduduk untuk azan. Maka senyap sunyi sekitar rumah apabila azan dilaungkan. Selesai sahaja azan, tok bomoh mula menjalankan jampi serapahnya. Dibakarnya kemenyan. Asap dan bau kemenyan memenuhi perkarangan rumah rakanku. Dia membelah limau ke dalam mangkuk yang berisi air. Digeleng-gelengkan kepalanya.

“Budak ni dah jauh dari kita. Susah nak ambik balik ni,” kata tok bomoh.

Akhirnya setelah selesai menjampi, tok bomoh mengatakan yang rakanku telah di sorok bunian. Bunian terlalu suka terhadap rakanku yang nakal itu.

Maka menangislah emaknya. Si ayah pula membebel marah-marah.

Datang pula pihak polis untuk mengambil laporan. Suasana malam tu bagaikan pesta. Ramai penduduk kampung yang datang sebaik saja mendapat berita akan kehilangan itu. Masing-masing ingin mengetahui perkembangan semasa.

"Itu la hang. Suka sangat marah dan rotan anak kita. Tengok la sekarang, bunian dah ambik dia.”

Semakin sedih si emak bila suaminya berkata demikian. Ada pula di antara orang kampung yang sudah mula naik berang dengan bunian.

"Hoi bunian! Kalau berani kau tunjuk dan bawa balik budak tu ke pangkuan keluarganya. Aku cabar kamu bunian!" Jerit salah seorang dari penduduk kampung. Wajahnya bengis menunjukkan dia begitu bersungguh-sungguh akan kata-katanya itu.

"Jangan kita cabar bunian tu. Pujuk secara baik." Nasihat salah seorang daripada anggota polis.

Penduduk kampung telah dikerah ke serata tempat. Jam sudah menunjukkan pukul 12 tengah malam. Namun kelibat rakanku masih belum lagi di temukan.

Tiba-tiba keadaan menjadi riuh di bawah rumah rakanku. Ada yang bertakbir tanda bersyukur. Ada pula yang berselawat sambil membawa rakanku. Dia bagaikan hero pada malam itu. Dia telah ditemui berada di dalam tong yang bertutup.

Si ibu terus memeluk anaknya sambil menangis dan menyesali perbuatannya yang suka merotan anaknya itu. Si ayah pula menghulurkan sesuatu kepada tok bomoh sambil mengucap terima kasih. Mungkin wang pengeras.

“Sebenarnya bunian tu takut dengan kita. Sebab tu dia cepat-cepat hantar balik anak hang. Kalau ada apa-apa lagi nanti, hang bagitau aku,” ujar tok bomoh.

Setelah keadaan sudah menjadi tenang dan terkawal, orang kampung pun mula pulang ke rumah.

Lepas seminggu berlalu dan ketika berbual, rakanku telah memecahkan rahsianya sendiri. Sebenarnya dia bukanlah disorok bunian tetapi dia sendiri yang masuk ke dalam tong lalu menutup tong itu. Semuanya disebabkan ibunya yang menggugut akan menyiramnya dengan air panas. Melalui lubang kecil, dia dapat melihat orang kampung sedang mencarinya.

Kami semua tertawa mendengar pengakuan rakanku itu. Bermula saat itu kami memanggilnya dengan nama gelaran Anak Bunian.

Kini rakanku telah berjaya dalam bidang perniagaannya. Apabila dia pulang ke kampung dan bertemu kami, panggilan Anak Bunian tidak pernah hilang dan dia hanya mampu tersenyum mengenangkan saat kenakalannya dahulu.


-TAMAT-
Karya : Ariff Budiman
Suntingan Karya & Gambar (sumber dari internet) : DeeFen DF

Karya merupakan hakcipta penulis dan Arkib Angker Negara.
Anda ada kisah seram, misteri, thriller ataupun mind-blowing?
Ayuh kongsikan kisah anda kepada kami. Hantar kisah anda ke e-mel aanrc2017@gmail.com
Nyatakan sekali nama akaun Facebook, Instagram, Twitter, blog atau webpage anda untuk tujuan pengkreditan.

No comments: