SIRI PARADOKSIKAL : MASA SONGSANG
Karya : DeeFen DF
ZYREFF : 28 November (2:17pm)
“Ini tidak adil! Dunia selalu berlaku kejam kepada aku! Mengapa aku selalu bernasib malang? Apa salah aku?? Mengapa???”
Zyreff menghenyak pinggulnya ke sofa berkulit sintetik yang sudah compang-camping. Span yang telah hilang keanjalan menyebabkan tulang sacrumnya terhentak ke kerangka sofa. Berkeriuk sofa itu menahan hentakan seluruh tubuh Zyreff yang tidak gedempol jugak tidak kedengkik. Sedang-sedang saja.
Jemari tangan kirinya mengusap dan memicit kedua-dua sisi dahi yang terasa berdenyut. Urat nadi yang bergeronyot dipicitnya kuat. Setiap kali dipicit kuat terasa lega sebentar akan kesakitan di kepalanya.
Keluhan yang kasar dilepaskan. Belakang tubuhnya disandarkan rapat ke sofa. Kepalanya didongak sambil dia merenung bilah kipas yang ligat berpusing. Seligat kipas berkelajuan nombor 5 itu jugalah kepalanya pening dan sakit.
Zyreff mula terkenangkan sejarah hidupnya.
Dia dibesarkan di rumah anak yatim yang terletak di pinggir bandar. Tidak diketahui siapa ibu dan siapa bapanya. Anak buangan. Atau mungkin juga dengan kata lain – anak haram. 99.99% kebarangkalian bayi yang dibuang merupakan hasil zina. Kata-kata kejian dan hinaan akan status dirinya sudah acapkali didengar.
Zaman sekolahnya merupakan zaman gelap bagi diri Zyreff. Lantaran sering dihina sejak kecil, menjadikan dirinya sentiasa malu dan tiada keyakinan diri. Tidak suka bergaul dan selalu memendam rasa. Introvert. Pelajar-pelajar yang nakal juga sering menjadikannya seperti karung tinju. Dibuli hampir setiap masa.
Apabila usia menginjak 20-an, dia mula menjalankan perniagaan kecil-kecilan. Daripada berniaga burger, menjual barangan secara atas talian, ubat pemutih ketiak, sehinggalah menjual buah-buahan. Semuanya telah dibuat. Namun semuanya tidak berjaya. Gagal. Tuah tidak pernah wujud dalam kamus hidupnya.
“ARGHHHHHHHHHHH!!!!”
Satu jeritan panjang menggemakan seluruh ruang rumah flat Zyreff. Seolah cuba melepaskan segala perasaan dan dendam yang membuku di hatinya setelah sekian lama. 30 tahun usia hidupnya bukanlah masa yang singkat. Sepak terajang dunia telah puas dia rasai.
Sebatang sigaret dicucuh. Lepas habis sebatang dicucuh lagi sebatang. Sehingga masuk sigaret yang keempat namun tetap tidak dapat menenangkan hatinya yang sedang merawan. Dia sebatang kara, tiada tempat mengadu, tiada keluarga, tiada sahabat.
“Kalaulah aku dapat undurkan masa……”
* * *
ZYREFF : 28 November (1:02pm)
Zyreff tersentak kerana badannya melorot jatuh ke sisi. Baru dia tersedar yang dirinya telah tertidur sambil duduk. Puntung sigaret yang telah terpadam masih terselit di celahan jari telunjuk dan hantu. Dia berasa terlampau letih. Letih dengan masalah yang tak pernah berakhir. Keletihan pada mental menyebabkan fizikalnya turut merasa efek yang menjalar ke setiap urat saraf.
Zyreff mengeliat kuat sambil bebola matanya mengerling ke arah jam dinding buatan negara China yang dibelinya entah beberapa tahun lepas. Jam itu sering membuat hal. Kadang-kadang baru ditukar bateri tapi tetap malas bergerak. Adakalanya hanya jarum minit sahaja yang bergerak.
“Eh pukul 1? Jam ni buat hal lagi ke ni? Rasanya aku tertidur tadi pun dah pukul 2 petang. Takkan dah pukul 1 pagi kot. Lamanya aku tidur.”
Terhuyung-hayang dia berjalan ke arah pintu gelongsor. Langsir direntap kasar ke sisi menyebabkan cahaya suria memancar terus menerobos kornea matanya. Spontan dia bersin sebanyak tiga kali sebaik melihat cahaya terang secara tiba-tiba.
“Pasti sindrom ‘bersin cahaya’ ni aku peroleh daripada genetik mak bapak aku. Huh! Benci!”
Sigaret dinyalakan. Disedut dalam-dalam asap sehingga terasa penuh paru-parunya. Dengan bibir yang muncung, asap ditiup perlahan-lahan. Terpisat-pisat matanya menahan pedih kerana sebahagian asap yang memasuki matanya.
Berkerut kening Zyreff tatkala melihat asap itu bergerak secara ganjil. Asap yang dihembus keluar daripada mulutnya bertebaran terawangan di udara kemudian berkumpul semula dan kembali ke arah mulutnya. Terpaksa dia mengelak kerana seolah-olah ‘diserang’ oleh asap sigaret.
“Shit! Apa hal ni?!”
Ditenungnya batang sigaret - cuba mencari kelainan yang terdapat pada sigaret tersebut. Disedutnya sekali lagi dan dihembus. Asap itu tetap bergerak seperti tadi.
“Palahotak la! Apa hal pelik sangat ni. Aku mimpi ke ni?”
Ditampar pipinya berulangkali. Dicubit lengannya sendiri. Perlakuannya tak ubah umpama babak dalam filem. Kalau rasa sakit maknanya tidak bermimpi. Pada hematnya entah di mana logiknya perbuatan itu. Dalam mimpi pun sebenarnya boleh rasa sakit, rasa kenyang, rasa puas.
Terus dia memadamkan sigaret tersebut. Hilang terus ketagihannya terhadap bahan karsinogen itu. Matanya masih separa terbeliak kerana tidak dapat mempercayai lagi keadaan yang berlaku terhadap dirinya.
Zyreff terus menuju ke luar balkoni cuba mengambil angin. “Sama ada jin kacau aku, aku berhalusinasi, ataupun aku hampir gila,” gumamnya sendiri.
Sebaik melihat ke bawah dari ketinggian tingkat 6 balkoni rumahnya, Zyreff benar-benar terkejut beruk kerana melihat kenderaan semuanya bergerak berundur ke belakang. Malah orang yang berjalan kaki turut melangkah ke belakang. Yang lebih parah, titis-titis hujan gerimis juga kelihatan menaik ke udara.
“SAH! Sah aku dah gila!”
Terus dia melangkah pantas menuju bilik tidur. Ditepuknya dahi dan kepala berkali-kali. Cubaan membetulkan saraf-saraf otak yang mungkin tersimpul sehingga dia berfantasi seteruk itu.
“Baik aku sambung tidur.”
* * *
ZYREFF : 26 November (12:12pm)
Semalam seharian Zyreff meroyan. Atau mungkin boleh juga digelar esok. Dia rasa dia telah gila. Segala apa yang berada di sekelilingnya semuanya bergerak terbalik. Sepanjang hari dia berkurung di dalam rumah mencuba apa saja cara untuk membetulkan kembali hidupnya.
Akhirnya dia habis idea, mati akal.
“Mungkin dunia telah berputar terbalik? Tapi tak mungkin kerana semua orang bergerak seperti biasa. Cuma aku yang melihat mereka bergerak ke belakang. Mungkinkah dunia aku yang berputar terbalik?”
“Ya dunia aku yang berputar terbalik. Aku melihat matahari terbenam di timur dan terbit di barat. Aku melihat hujan menitik ke atas. Jus oren dan roti yang aku habiskan semalam, hari ni tiba-tiba ada seperti biasa. Seperti tidak disentuh langsung. Rokok juga tidak luak walaupun berbatang-batang aku hisap.”
“Air mandian aku semalam mencurah sebentar ke badan aku, kemudian tersedut balik ke atas ke muncung shower. Nasib baik aku juga langsung tak berasa ingin kencing atau berak. Kalau tidak nanti taik aku terbang masuk balik dalam lubang jubur aku. Gila!”
Zyreff menekup mukanya ke telapak tangan. Kebingungan yang melanda dirinya masih belum reda. Malah semakin difikir, semakin buntu dan kusut. Segala apa yang terjadi di sekelilingnya di luar batas pemikiran manusia normal. Semuanya tampak paradoksikal. Tidak logik.
* * *
ZYREFF : 25 November (11:12am)
Hari ini buat pertama kalinya setelah 3 hari berkurung di dalam rumah, Zyreff meyakinkan dirinya untuk keluar rumah. Bermacam-macam perkara yang berlegar di mindanya. Yang paling utama adalah penerimaan manusia lain akan dirinya.
Zyreff melangkah ke arah tepi jalan raya berhadapan rumah pangsanya. Lama dia berdiri melihat kenderaan yang berjalan mengundur. Burung berterbangan ke belakang. Malahan semut pun dilihatnya berbaris dan berjalan mengundur. Mereka bergerak dalam ruang waktu mereka. Zyreff pula bergerak dalam ruang waktunya, berseorangan.
Longlai langkahan Zyreff menuju perhentian bas. Beberapa mata berkerut dahi memandangnya. Mungkin mereka pelik melihatnya berjalan terbalik. Mungkin mereka menganggapnya seorang yang sewel.
Sepanjang hari dia berada di perhentian bas itu bermacam-macam lagi perkara baru yang diperhatikannya. Dia cuba menegur beberapa budak sekolah yang sama-sama berada di situ namun dia langsung tidak memahami percakapan mereka. Budak sekolah itu juga kelihatan tidak memahami apa yang dituturkannya. Pastinya bunyi yang masing-masing dengar adalah terbalik.
Perlakuan para pelanggan di sebuah café hipster di seberang jalan juga menarik perhatiannya. Mereka berjalan terbalik, kemudian duduk di kerusi. Meluahkan makanan ke dalam sudu sehingga penuh pinggan. Air kopi jugak ditiup keluar daripada mulut sehingga penuh gelas. Kemudian pelayan mengambil makanan dan air yang masih penuh masuk ke dalam cafe.
Mulanya kelihatan lucu bagi Zyreff, namun apabila dia tersedar akan realiti yang dihadapi barulah dia terfikir tentang nasibnya. Dia sendiri tertanya-tanya bilakah keadaan ini akan berakhir. Mungkin selamanya dia menghadapi kehidupan seperti ini.
* * *
ZYREFF : 20 November (10:40am)
Sudah 5 hari berturut-turut Zyreff ke perhentian bas itu. Duduk sepanjang hari dan memerhatikan tingkahlaku manusia. Misai dan janggutnya semakin hari semakin pendek dan hari ini terus hilang seperti baru dicukur.
Zyreff membuat kesimpulan yang umurnya juga semakin muda.
Dikala dia termenung mengenangkan nasibnya, dia nampak sebuah lori yang telah kemek teruk ditarik dengan trak tunda. Lori itu ditarik daripada café hipster. Rupa-rupanya lori itu terlibat dalam kemalangan yang menyebabkannya terbabas ke arah café itu.
Semuanya disaksikan di depan matanya, tapi dalam mod ‘reverse’.
Dia melihat satu karung beg mayat yang dikeluarkan daripada trak polis dan diletakkan ke tempat kemalangan. Orang ramai memenuhi kawasan kemalangan. Pegawai perubatan membuka kain putih yang menutup mayat lalu menggelengkan kepala dan mengelap peluh. Kemudian CPR dilakukan berulangkali terhadap seorang mangsa kemalangan.
Zyreff juga melihat bagaimana lori itu terbabas ketika cuba mengelak sebuah motosikal yang ditunggang secara melulu oleh seorang pemuda.
Mangsa kemalangan yang meninggal dunia merupakan seorang gadis yang sedang makan di café hipster itu. Zyreff hanya memandang sayu gadis itu. Gadis ayu yang dalam masa beberapa minit lagi akan kehilangan nyawanya.
Gadis ayu yang sedang menikmati juadahnya itu didatangi seekor kucing yang menggesel kakinya. Tanpa kedekut, makanannya dikongsi bersama kucing itu. Sebelum itu, gadis yang bergerak dalam ruang waktunya telah memasukkan sekeping not berwarna merah ke dalam tabung derma yang diletakkan di tepi sebuah pasaraya mini. Di pasaraya mini itu dia membeli roti serta air yogurt. Kemudian diserahkan kepada seorang pengemis tua di tepi jalan.
Bagaikan dipanah petir, Zyreff tersentak dan merasakan dia sepatutnya membantu menghalang kemalangan itu. Mana mungkin seorang manusia semulia gadis itu harus mati awal. Dia merasakan manusia seperti itulah yang patut hidup lama agar dunia lebih aman dan damai.
“Aku harus merancang sesuatu! Suatu rancangan supaya gadis itu percaya akan kata-kata aku supaya dia tidak ke café itu.”
Zyreff segera melintas jalan dan dicapainya kertas dan pensel dari meja café hipste. Ditulisnya sesuatu di atas ‘chit order’. Panjang lebar. Tujuannya hanya satu iaitu dia ingin menyerahkan nota itu kepada gadis itu agar gadis itu terselamat daripada kemalangan yang meragut nyawanya.
“Mungkin inilah takdir hidup aku! Aku harus membantu manusia yang dalam kesusahan!”
Zyreff segera berlari melepasi gadis itu. Gadis itu hanya memandangnya sambil tersenyum. Zyreff duduk di sebuah kerusi rehat di kaki lima menunggu gadis itu berjalan mengundur menghampirinya.
Tatkala semakin menghampiri Zyreff gadis itu menoleh ke belakang ke arahnya sambil melepaskan senyuman dan membuat isyarat ‘Okay’ terhadapnya. Zyreff sedikit bingung. Bila betul-betul di hadapannya, gadis itu menunduk hormat dan menyerahkan sekeping nota kepada Zyreff.
Zyreff tersenyum membaca nota yang diberikan lalu menjeling tanda nama pada uniform kerja gadis itu. Tertera nama Fatima. Kemudian dia menyerahkan nota yang baru ditulisnya kepada gadis itu…
* * *
FATIMA : 14 November (9:12am)
Fatima membetulkan pemakaian tudungnya di hadapan bingkai cermin. Dia bergegas turun menggunakan lif apartment tempatnya tinggal. Itulah rutin hariannya, berjalan kaki ke tempat kerja yang terletak berjarak 10 minit sahaja.
Setiap hari dia akan singgah di sebuah café untuk menikmati kopi dan sarapan pagi. Setiap hari juga dia akan konsisten memasukkan derma ke tabung di pasaraya mini. Jika terdapat seorang tua yang mengemis berhampiran café, pastinya dia akan membeli sedikit makanan.
Sejak kecil dia telah dididik untuk mengasihi orang lain. Termasuk juga haiwan dan alam sekitar. Walaupun telah kematian kedua orang tuanya, namun ajaran itu tetap melekat dalam hatinya.
Hasil berbuat baik kepada semua makhluk di sekelilingnya, harinya sentiasa dimudahkan, dicukupkan rezeki dan diberi ketenangan yang diimpikan setiap insan. Wajahnya sentiasa kelihatan ceria. Menyejukkan setiap mata yang memandang.
Sambil bernyanyi di dalam hati dia berjalan tertib menuju café kegemarannya. Ketika melintasi sebuah kerusi rehat di kaki lima, tiba-tiba dia diberi sekeping nota oleh seorang pemuda yang tidak dikenalinya. Pemuda itu hanya tersenyum dan mengangguk seolah menyuruhnya menerima nota itu.
Teragak-agak Fatima menerima nota itu. Nota bertulisan tangan itu tertulis…
‘Salam perkenalan. Saya makhluk asing dari masa depan. =)’
* * *
FATIMA : 15 November (9:13am)
Hari ini ketika melalui kerusi rehat yang sama, Fatima menerima lagi nota daripada pemuda itu…
‘Salam Fatima. Hari ni cuaca cerah sepanjang hari.Tapi esok akan hujan ketika awak pulang kerja. Sediakan payung sebelum hujan okay! =)’
* * *
FATIMA : 16 November (9:14am)
‘Salam Fatima Jangan kena hujan tau balik kerja nanti. Demam susah pulak. Oh ya! Esok kedai tempat awak kerja tutup sebab Kotaraya banjir kilat.’
* * *
FATIMA : 17 November (9:01am)
Awal-awal pagi Fatima sudah menerima pesanan ringkas daripada bosnya bahawa kedai di tutup. Jadi dia tak perlu datang bekerja hari ini.
Fatima sudah mula mempercayai nota-nota yang diberikan oleh pemuda itu. Setakat ini, apa yang ditulisnya semuanya betul.
“Mungkin pemuda itu sekadar serkap jarang je kot. Setakat hujan panas tu semua orang boleh teka kalau tengok ramalan cuaca. Hmmm tapi… kalau sampai boleh tahu banjir kilat, lepas tu tahu pula kedai akan ditutup. Ini sangat pelik,” gumam Fatima sendirian.
Walaupun cuti, sengaja Fatima mahu ke pasaraya mini untuk membeli makanan untuk si pengemis tua. Untung-untung boleh dapat lagi nota daripada ‘makhluk asing dari masa depan’.
Fatima berasa semakin seronok menerima nota-nota misteri tersebut. Ketika melewati pemuda itu, seperti biasa dia dihulurkan nota terbaru…
‘Seronok cuti hari ni? Esok pengemis tua yang awak selalu beli makanan itu akan demam. Sebaiknya awak beli ubat siap-siap hari ini sebagai persediaan.’
* * *
FATIMA : 18 November (9:13am)
‘Harap awak dapat pulang kerja awal hari ini kerana akan berlaku kebakaran sederhana di rumah jiran berselang empat pintu dari rumah awak. Ketika itu jiran awak tiada di rumah kerana bekerja. Saya tak rasa saya dapat meyakinkan mereka untuk mempercayai kata-kata saya. Awak sahajalah yang boleh membantu. Mungkin awak boleh arahkan ahli jawatankuasa kawasan perumahan awak supaya bersiap-sedia.’
Panjang lebar nota yang diterima Fatima kali ini. Wajah pemuda dari masa depan itu juga kelihatan serius.
Sebaik dia menemui pengemis tua, benarlah seperti apa yang ditulis dalam nota, pengemis itu demam. Nasib baik Fatima sudah menyediakan ubat seperti yang disarankan oleh pemuda itu.
“Hmmmm siapakah pemuda itu… Benarkah dia dari masa depan? Bolehkan manusia melakukan perjalanan waktu?” Berkerut dahi Fatima memikirkan perkara yang tidak logik dek akal itu.
* * *
FATIMA : 19 November (9:12am)
Fatima cuba berbicara dengan pemuda itu, namun percakapan pemuda itu langsung tidak difahaminya.
Hanya nota daripada pemuda itu yang menjadi perantara antara mereka berdua. Nota daripada pemuda itu bertulis…
‘Maaf. Bahasa kita berbeza. Saya dari masa depan awak. Dan awak dari masa depan saya. Saya tak tahu apa akan terjadi pada masa depan saya sepertimana awak juga tak tahu apa akan jadi pada masa depan awak. Esok merupakan hari penting awak. Kita jumpa di sini pada waktu yang sama.’
Serius sekali raut wajah pemuda itu. Fatima sekadar menganggukkan kepala.
* * *
FATIMA : 20 November (9:14am)
Seperti yang dijanjikan, Fatima bertemu pemuda itu. Wajah serius pemuda itu melambangkan pentingnya nota yang diserahkan
Hari ini juga Fatima ada menuliskan nota untuk pemuda itu…
‘Wahai makhluk asing dari masa depan. Terima kasih atas segala bantuan dan ramalan awak. Semuanya benar. Hanya Tuhan yang mampu membalas segala jasa awak.’
Pemuda itu membaca nota daripada Fatima. Dia hanya tersenyum. Manis. Hilang wajahnya yang serius sebentar tadi.
Kemudian pemuda itu menyerahkan nota buat Fatima…
‘Fatima. Hari ini awak jangan ke café. Akan berlaku kemalangan ngeri. Sebuah lori terbabas ke arah café. Awak terus ke tempat kerja. Janji dengan saya. Ini permintaan terakhir saya. Teruskan menjadi insan yang mengasihi makhluk lain. Saya mengagumi sifat ihsan awak. Awak seorang yang cantik luar dan dalam. =)’
Fatima menunduk hormat dan tangan diletakkan pada dadanya tanda terima kasih.
Sambil melangkah, Fatima membaca nota yang ditulis oleh pemuda itu. Kemudian dia berpaling ke belakang dan tersenyum sambil membuat simbol ‘Okay’.
Selepas beberapa ketika, pemuda itu berlari dengan mengundur melepasi dirinya. Walaupun pelik melihat perlakuan pemuda itu, namun Fatima tetap menguntumkan senyuman. Terdetik dalam hati Fatima, “aku mempercayai bahawa pemuda itu datang dari masa depan.”
Seperti yang diarahkan, Fatima terus menuju ke tempat kerja tanpa singgah di café kegemarannya. Seketika kemudian, terdengar dentuman yang kuat dari arah café. Hanya ucapan syukur yang terbit dari bibirnya...
-Tamat Bahagian 1-
MASA SONGSANG Bahagian 2. Link seperti di bawah 👇
Suntingan Gambar (sumber internet): DeeFen DF
Karya merupakan hakcipta penulis dan Arkib Angker Negara.
Anda ada kisah seram, misteri, thriller ataupun mind-blowing?
Ayuh kongsikan kisah anda kepada kami. Hantar kisah anda ke e-mel aanrc2017@gmail.com
Nyatakan sekali nama akaun Facebook, Instagram, Twitter, blog atau webpage anda untuk tujuan pengkreditan.
No comments:
Post a Comment